[SNEAK PEEK] SAAT KAU TAKLUK CINTA INI

Saat Kau Takluk Cinta Ini Oleh Sara Hezra

HAIRA terpisat-pisat. Dari berbaring, dia bangun dan duduk seketika. Di luar masih gelap, bermakna masih ada waktu subuh. Dia cuba berdiri, namun kepalanya masih pening.

Rahhal yang menyudahkan bacaan Al-Qurannya terkejut melihat kelibat di ruang hadapan itu. Dia pasti, Haira sudah terjaga. Mungkin mahu ke tandas. Bingkas dia mendapatkan gadis itu.

“Haira nak ke mana?” Langkah Haira terhenti. Tangannya memaut dinding seketika, pandangannya tancap pada suara yang menegur.

“Ra nak sembahyang.”

“Boleh jalan ke tandas? Hujan lagi di luar.” Beritahu Rahhal. Haira mengangguk namun langkahnya tetap terhuyung-hayang. Rahhal pantas memimpin.

“Ra pegang lengan abang ni, abang hantar ke tandas.” Rahhal tidak pasti cara terbaik untuk dia membantu Haira. Lengannya dihulur. Masih berlapik baju Melayu.

Haira menurut. Mereka menuruni tangga, berjalan terus ke tandas dengan berpayung.

“Haira OK?” soal Rahhal bila Haira keluar semula dari tandas. Wajah itu basah, sisa air sembahyang. Tubuh itu menggeletar.

“Pegang abang.” Usul Rahhal, menghulurkan lengannya. Haira berpaut. Mereka kembali ke dalam rumah. Rahhal membantu Haira mengenakan telekung. Seusai solat, Haira kembali mengensot ke pembaringan.

“Abang minta maaf, tak ada tilam.”

Haira hanya menggeleng, tidak mahu menyalahkan Rahhal. Rahhal memberi kebenaran kepadanya untuk menumpang pun dia sudah cukup bersyukur. Dia kembali merebahkan badan. Dia tidak berdaya untuk memberi respons terhadap kata-kata Rahhal. Apa yang lelaki itu buat untuknya sudah memadai.

“Ra rehat dulu ya. Nanti abang kejut untuk makan ubat dan sarapan.” Rahhal menyelimutkan tubuh itu. Dia perlu menguruskan Hajah Jamiah pula. Sebesen air sudah disediakan untuk kegunaan Hajah Jamiah mengambil wuduk.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/351939