Pedagogi Ramadan

. . .

“Ustaz, saya bercadang untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan ini sebab saya terpaksa menduduki peperiksaan,” kata seorang mahasiswi melalui emelnya kepada saya.

“Saya yang lemah iman tidak mungkin boleh berpuasa Ramadan ini sebab aktiviti minggu orientasi yang berat!” maklum seorang mahasiswa pula.

“Saya terlalu bernafsu kuat dan sering melakukan onani termasuk di Ramadan ini. Apakah nasib saya ustaz?” tulis seorang… maaf bukan seorang, tapi beberapa orang pelajar perempuan melalui emel kepada saya.

Ya, perempuan.

Bukan lelaki.

Muka saya merah, telinga kepanasan.

Jika saya dihubungi oleh seorang dua, saya boleh memikirkannya sebagai kes terpencil. Tetapi apabila seorang demi seorang menimbulkan perkara yang sama, saya jadi bimbang. Kisah-kisah ini bermula semenjak lebih sedekad lalu semasa saya menulis naskhah Transformasi Ramadan edisi pertama pada tahun 2008. Kini, selepas 15 tahun berlalu, saya ingin memikirkan semula senario ini dari kacamata seorang pendidik.

Di manakah silapnya?

Apa yang tidak kena dengan keberagamaan kita?

Saya yakin ia bukan masalah fakta, bukti atau dalil yang diajar, dihafal dan pernah diuji dalam peperiksaan. Sebaliknya, ada sesuatu yang pincang dalam proses puasa itu diperkenalkan kepada kita. Baik secara formal di sekolah, mahupun secara tidak formal di rumah sendiri.

Sebagai mahasiswa dan mahasiswi, mereka sudah mukallaf. Sudah dewasa dan menanggung implikasi perbuatan masing-masing. Dosa dan pahala tetap berjalan, walaupun ada pelbagai cacat celanya. Tetapi motif saya bukan untuk menentukan soal dosa dan pahala sesiapa, sebaliknya ingin memahami kepincangan-kepincangan yang berlaku. Mana tahu, serba sedikit ilmu pendidikan yang ada boleh menyuluh solusi.

Puasa dan semua ibadah di dalam agama kita, diamalkan dengan kombinasi fakta sebagai ilmu pengetahuan dan karakter diri sebagai kenderaan dan pelakunya.

Kita tidak ada masalah dengan fakta. Zaman teknologi maklumat ini, fakta sudah seperti lautan dan segalanya berada di hujung jari.

Perbuatan menyengajakan tidak berpuasa atau berbuka tanpa uzur syar’i yang kita sedia maklum, adalah dosa besar yang berat ancamannya daripada Allah dan Rasul.

بَينا أنا نائمٌ أتاني رجلانِ ، فأخذا بِضَبْعَيَّ فأتَيا بي جبلًا وعْرًا ، فقالا : اصعدْ . فقلتُ : إنِّي لا أُطيقُهُ . فقال : إنَّا سَنُسَهِّلُهُ لكَ . فصعدتُ ، حتَّى إذا كنتُ في سَواءِ الجبلِ إذا بأصواتٍ شديدةٍ . قلتُ : ما هذهِ الأصواتُ ؟ قالوا : هذا عُوَاءُ أهلِ النَّارِ ثمَّ انْطُلِقَ بي فإذا أنا بقَومٍ مُعلَقِينَ بعراقيبِهِم ، مُشَقَّقَةٌ أشداقُهُم ، تسيلُ أشداقُهُم دمًا . قال : قلتُ : مَن هؤلاءِ ؟ قال : الَّذينَ يُفطِرونَ قبلَ تَحلَّةِ صَومِهِم

Semasa aku sedang tidur, datang dua lelaki kepadaku dan mendapatkan aku pada tangannya lalu membawa aku ke hujung gunung. Mereka berkata: Naiklah ke atas. Aku berkata: Aku tidak boleh. Mereka berkata. Sesungguhnya kami akan mempermudahkan bagimu. Maka aku mendaki sehingga sampai ke kemuncak gunung tersebut. Kemudian aku mendengar suara-suara yang kuat. Aku berkata: Suara apakah itu? Mereka berkata: Ini adalah suara pekikan manusia dari neraka. Kemudian aku bergegas sehingga aku melihat manusia digantung di belakang lutut mereka, dengan di tepi mulut-mulut mereka koyak dan darah keluar daripada mulut-mulut mereka. Aku berkata: Siapakah mereka ini? Mereka berkata: Ini adalah mereka yang berbuka puasa sebelum waktunya.

(Hadith riwayat al-Nasai, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

Itu hadithnya untuk peringatan.

Ia faktanya.

Namun fakta singgah di kepala kita sebentar sahaja dalam aktiviti belajar. Bagaimana caranya agar apa yang kita tahu, bertukar menjadi sesuatu yang kita mahu dan mampu melakukannya?

Sama ada maklumat yang kita tahu itu berpindah ke memori jangka panjang (long term memory) atau tidak, ia banyak bergantung kepada sejauh mana fakta itu signifikan, bermakna dan relevan kepada individu yang belajar. Itu hujah sains moden dalam bidang pembelajaran.

Kita melihatnya dalam pengalaman para sahabat belajar dengan ‘ustaz’ mereka, Nabi Muhammad ﷺ. Baginda mengajar agama kepada sahabat dalam sesi yang ilmu tidak dikelas-kelaskan mengikut subjek.  Akidah, fekah dan akhlak sama-sama terbentuk dalam perbendaharaan kata yang mesra, serta kemesraan itu dirasa oleh sang murid yang belajar.

. . .

Baca selanjutnya di e-sentral.com