[SNEAK PEEK] RINDU BELUM BERHENTI

9789831243602-medium

RINDU BELUM BERHENTI Oleh Dhiya Zalira

Bandar Raya Kuala Lumpur

“AKU nak keluar.” Zack bersuara tiba-tiba. Dia berdiri secara berhadapan dan merenung empat orang temannya yang sedang rancak ketawa. Entah apa yang lucu, dia tidak mengambil kira. Yang pasti, kata-kata yang diluahkan bakal mematikan gelak yang kedengaran begitu sumbang di telinganya.

Perbualan yang begitu rancak di dalam ruang yang luas itu mati tiba-tiba. Kesemuanya menoleh menatap wajah Zack yang sedang berdiri di muka pintu. Mereka faham apa maksudnya, sebab itulah tiada siapa pun yang mengambil peduli akan kata-kata itu.

Seorang lelaki bangun membuka peti ais yang terletak di bahagian timur bilik. Dia mengeluarkan beberapa tin minuman dan menghulurkan kepada teman-teman yang sedang menanti. Dengan gaya yang bersahaja juga, dia meneguk mi-numan berkarbonat itu dengan rakus. Tidak sampai beberapa saat, tin yang sudah kosong itu dicampak ke sudut bilik, tepat memasuki sebuah bakul sampah kecil yang berada di situ. Black tersenyum bangga melihat kehebatannya sendiri.

“Aku serius, Black. Aku nak keluar!” ulang Zack lebih tegas. Dia tahu apabila dia menyuarakan hasratnya, dia pasti menerima tentangan hebat daripada ahli kumpulannya itu.

Mungkin mereka menganggapnya bergurau, tetapi kali ini mereka silap. Mulai hari ini, tiada siapa yang dapat menghalang keputusannya lagi.

Kalau ikutkan hati, dia boleh sahaja meninggalkan kumpulan itu tanpa berpaling lagi. Namun, akalnya menahan. Hatinya juga keberatan. Dia tidak mahu mengeruhkan kea-daan. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu tindakan itu nanti akan menimbulkan perasaan kurang senang di hati ahli kumpulannya. Walaupun dia tahu, dia sedang mempertaruhkan nyawa untuk keluar dari situ.

Black menghenyakkan tubuhnya ke sofa yang agak lusuh. Matanya tajam memerhatikan Zack. Cuba menilai sejauh mana pemuda itu bersungguh dengan keputusannya. Bukan sehari dua dia mengenali lelaki itu. Bukan juga setahun dua, tetapi sudah hampir enam tahun. Sedikit sebanyak, dia dapat membaca perwatakan lelaki itu walaupun kehidupan peri-badinya begitu rahsia.

Black merenung lagi. Selama tiga bulan ini, hanya itu saja yang diperkatakan oleh orang kanannya itu. Kalau dulu, dia tidak mengendahkan langsung. Malah, dia tidak membenarkan Zack bercakap mengenainya. Tetapi kini, apabila melihat seriusnya wajah Zack, dia tahu, lelaki itu tidak boleh dihalang lagi.

Dia melihat Zack membalas renungannya tanpa perasaan gentar. Sesungguhnya, dia tahu tiada apa yang boleh menakutkan lelaki itu.

“Kau tahu apa kau cakap ni?” Akhirnya, Black membuka mulut memperdengarkan suaranya yang amat garau. Kadangkala kata-katanya amat sukar difahami, namun setelah bersama beberapa tahun, mereka sudah dapat membiasakan diri.

Zack tidak pernah bertanya kenapa suara Black begitu. Dia tidak pernah berminat untuk mengetahui. Dia sendiri juga tidak suka apabila mereka cuba membongkar masa silam yang amat dilindunginya.

Namun, dia terdengar juga perbualan daripada rakan yang lain. Suara Black jadi begitu kerana lehernya pernah dicekik dengan tali sehingga menyebabkan peti suaranya cedera teruk beberapa tahun lalu. Sebab apa, dia tidak bertanya.

“Dah lama aku fikir. Aku tak nak terus macam ni. Tak ada akhirnya hidup aku kalau terus macam ni.”

“Kau lupa janji dan sumpah kau dengan kumpulan kita? Walau apa pun yang berlaku, kita tak akan berpecah. Kau lupa?” sergah Black menyebabkan yang lain tersentak.

Suasana yang hening itu menjadi semakin sepi. Masing-masing tahu Zack sengaja mencari nahas. Perlahan-lahan mereka bangun menghampiri Black dan Zack. Pasti perkara buruk bakal berlaku nanti.

Sejak dahulu lagi Black memang terkenal dengan sikap panas barannya. Kalau tidak bersebab, tiada siapa yang berani mencari nahas dengan Black. Dan kini, orang kepercayaan Black sendiri yang membangkitkan kemarahan lelaki ber-parut di pipi itu. Mereka juga terpaksa akui, dalam kelompok mereka, hanya Zack seorang sahaja yang berani menentang arahan Black.

Kini, ketua dan penolong kanan itu seperti mahu ber-patah arang berkerat rotan. Mereka tahu permintaan Zack memang tidak masuk akal. Mereka melangkah dengan ber-hati-hati dan bersedia dengan apa saja kemungkinan yang bakal berlaku. Apa pun puncanya, mereka tidak mahu pertumpahan darah berlaku di antara anggota kumpulan sendiri.

“Aku tak lupa. Aku tak pernah lupa. Cuma, aku tak nak teruskan lagi. Cukup setakat ini.” Zack cuba bertenang.

Dia tahu, dia telah membangkitkan kemarahan Black. Dalam pada itu juga, dia bersedia dengan apa yang bakal terjadi. Black, kalau dilanda marah akan bertindak seperti orang tidak siuman. Hampir sedekad mengenali lelaki itu cukup memberikannya ruang memahami tingkah laku dan perwatakan Black yang bengis.

“Kau ingat senang-senang kau nak keluar? Kau ingat aku akan bagi kau keluar?” balas Black lagi benar-benar tidak berpuas hati dengan keputusan Zack.

“Aku tak mintak izin kau untuk keluar. Aku dah buat keputusan. Sama ada kau terima atau tak, aku tetap akan keluar.”

Dalam sekelip mata, suasana berubah. Black mengacukan senjata ke arah Zack. Memaksa Zack menarik balik keputusannya. Dia tahu, sesiapa pun akan berasa takut apabila menyedari maut semakin hampir. Sesiapa pun akan meng-ubah keputusan apabila menyedari Browning 9 mm High Power diacukan ke kepala.

Black semakin berang apabila Zack tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Lelaki di hadapannya ini seakan sudah tekad. Argh… Zack sepatutnya takut dan merayu agar dia diberi peluang. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Genggaman Black semakin kejap.

“Black, jangan buat kerja bodoh.” Tony menegah. Dia cuba menjernihkan keadaan. Salah seorang daripada mereka perlu masuk campur untuk meredakan kemarahan Black. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk menimpa teman rapatnya. Peluh memercik seluruh tubuhnya mengenangkan nasib yang bakal diterima oleh Zack.

“Kau diam!” jerit Black. Matanya berapi-rapi menahan marah. Sakit hatinya semakin membara apabila pengikut sendiri mempertikaikan tindakannya.

Zack memandang Tony dan menggeleng perlahan. Dia tidak perlukan bantuan Tony atau sesiapa untuk menuntut kebebasan dirinya. Lebih penting lagi, dia tidak mahu memperjudikan nyawa Tony.

“Pistol di tangan kau. Kau buatlah keputusan. Sama ada hidup atau mati, aku tetap akan keluar dari tempat ni,” ujarnya penuh tekad.

Mereka berbalas pandangan. Zack dengan wajah tenang, dan Black dengan desah nafas yang kedengaran begitu kuat. Ketika itu, mereka berdua sedang membaca fikiran masing-masing.

Melihat Black yang masih tidak bersuara, membuatkan Zack mengambil keputusan nekad. Dia kenal siapa Black. Dia tidak akan mengambil masa begitu lama untuk membuat keputusan. Kalau Black sudah tetap dengan sesuatu, dia akan segera bertindak.

Tanpa menunggu jawapan, dia berpaling dan melangkah pergi tanpa menoleh lagi. Meninggalkan rakan-rakan yang diyakini tidak akan ditemui selepas ini. Meninggalkan sebuah kisah hidup yang penuh dengan duri dan liku. Meninggalkan kenangan silam yang begitu memualkan. Meninggalkan hampir separuh hidupnya di belakang.

Dalam pada itu, dia masih menanti saat-saat peluru me-nembusi dada atau kepalanya. Walaupun dia yakin Black akan melepaskannya, namun terbit juga rasa gentar dalam hati. Meramal tingkah laku Black seperti meramal cuaca. Disangka hujan akan turun, namun kadang-kadang panas yang menjelma. Dia menunggu dan terus menunggu. Sehingga langkah yang terakhir, dia masih lagi tegak berdiri.

Sebaik saja dia menutup pintu, Zack jatuh terduduk. Kakinya terasa terlalu lemah untuk berdiri. Dia tidak menyangka akan berjaya menghadapi saat itu. Dia menduga tubuhnya akan terbujur kaku akibat keputusannya itu, tetapi syukurlah TUHAN masih memeliharanya.

Syukurlah, ALLAH masih memberinya peluang untuk bertaubat. YA ALLAH… terima kasih, bisiknya berkali-kali dengan rasa sebak yang menggila. Pertama kali dalam hidup, air matanya gugur.

Zack memandang keadaan sekeliling. Setelah beberapa tahun menjadi manusia perlarian, kini dia rasa benar-benar dapat menikmati keindahan alam maya. Langit membiru menyambut kepulangannya dengan mesra.

Awan berarak perlahan membawa bayu yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Seakan penawar luka yang menyakiti jiwanya sekian lama. Untuk pertama kalinya, dia menarik nafas lega dan kini dia bebas, sebebas-bebasnya!

EMPAT manusia di dalam bilik kecil itu masih lagi kaku setelah Zack menutup pintu. Seketika kemudian, suasana di dalam bilik kembali hingar-bingar. Seakan tidak percaya melihat Zack berjaya keluar dari kumpulan yang amat di-geruni oleh kumpulan-kumpulan lain.

Apa yang lebih memeranjatkan, Black dengan mudah melepaskan Zack pergi, walaupun pada awalnya dia kelihat-an begitu marah dan menentang. Apa yang membuatkan ketua mereka itu mengubah fikiran? Apa istimewanya Zack? Namun, persoalan itu hanya mampu diluahkan dalam hati.

Chua mengerling ke arah Tony memberi isyarat supaya bertanyakan hal itu pada Black, namun Tony hanya mengangkat bahu. Dia tidak masuk campur dalam hal ini. Baginya, Zack benar-benar beruntung kerana berjaya melepaskan diri. Nasib mereka tidak dapat dipastikan lagi. Bila-bila masa saja mereka boleh menemui ajal. Kalau bukan di tangan polis, mungkin di tangan kumpulan lain yang sama-sama mahu merebut kuasa siapa yang paling hebat.

Tony kembali ke mejanya semula dan memikirkan bagaimana dia boleh menghubungi Zack selepas ini. Sebenar-nya, dia tahu Zack akan mengambil tindakan itu hari ini ke-rana Zack ada mengajaknya untuk pergi bersama. Tetapi, dia enggan kerana dia sudah tiada sesiapa lagi. Hanya Blackhawk saja keluarganya yang tinggal.

“Kau nak lepaskan dia pergi macam tu saja?” tegur satu suara.

Tony dan Chua berpaling pada suara itu. Wajah Pot dipandang dengan penuh perasaan kagum. Pemuda itu memang pendiam dan tidak banyak cakap. Tony teringatkan Zack. Lelaki itu juga pendiam. Bercakap bila perlu saja. Dia perancang yang hebat dalam kumpulan mereka.

Namun, dia lebih sukakan Zack berbanding Pot. Pot terlalu banyak rahsia sehingga kadangkala dia sendiri tidak dapat menelah apa niat sebenar lelaki itu menyertai kum-pulan ini.

“Biarkan. Aku tak nak sesiapa pun ganggu Zack selepas ni,” jawab Black tanpa memandang ke arah anak buahnya.

“Kau serius nak lepaskan dia? Kau tak takut Zack bocorkan rahsia kita?” soal Pot tidak puas hati. Hatinya terbakar melihat begitu mudah Black melepaskan Zack. Kalau ikutkan hatinya, dia tidak akan membiarkan Zack keluar dari situ hidup-hidup.

Black hanya tersenyum sinis sambil berpaling memandang Pot. “Aku lebih percayakan Zack daripada korang semua. Lepas ni, aku tak nak dengar korang ganggu dia lagi.Kalau ada yang langgar arahan aku, nahas dia aku kerjakan!” ugutnya serius.

Masing-masing tunduk menikus. Pot yang tadi lantang bersuara turut mendiamkan diri walaupun rasa tidak puas hati masih menjalar dalam dirinya. Dia tahu Black tidak main-main. Apa yang dikatakan itulah yang dilakukannya.
“BILA?” Black menyoal.

“Aku nak hujung minggu ni selesai,” balas suara garau dari hujung talian.

“Tak ada masalah, tapi macam mana dengan bayaran?”

“Seperti biasa. Kau akan dapat separuh. Separuh lagi bila tugas ni selesai,” jawab suara itu lagi.

Black menggaru dagunya. Dalam otaknya sudah terba-yang hasil lumayan yang akan diperolehnya.

“Anggap saja perkara ni dah selesai,” ujarnya seketika kemudian, penuh dengan keangkuhan.

“Buat dengan betul. Aku tak nak timbul masalah nanti.”

Black ketawa mendengar nasihat itu. “Hei, ini akulah! Kau tahu aku kerja macam mana?”

“Itu aku tak nak tahu. Yang pasti, tugas selesai.”

Klik. Talian telefon dimatikan. Black merenung gagang yang berwarna hitam itu. Bibirnya mengukir senyuman memikirkan mangsa mereka kali ini.

“Nasib kaulah!”

****

Kuala Kubu Bahru

“APA hal kau? Bila keluar, terus lenyap. Kau okey ke?” tanya Tony sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Tangannya laju mengeluarkan sekotak rokok dan menarik sebatang.

Zack hanya memerhati. Dia menolak apabila Tony mempelawanya. Dari dulu lagi dia memang tidak merokok dan dia tidak mempunyai alasan untuk memulakannya sekarang.

Hampir enam tahun dia bergelumang dalam hidup yang penuh dosa dan noda. Kalau hendak dikira, segala kekotoran yang melekat dalam jiwanya belum tentu bersih walaupun direndam dalam Clorox ataupun Dettol.

Sekarang, sudah tiba masanya dia kembali mencari harga diri yang telah lama hilang. Dia perlu berubah. Berubah untuk kembalikan dirinya yang suatu ketika dahulu putih bersih. Dia harus kembali menjadi penawar ke atas racun yang diciptanya sendiri. Dia memejamkan mata, cuba me-madamkan ingatan tentang kehidupan lampaunya.

Ya ALLAH, tidak terkata banyaknya dosa yang telah dilakukan. Masih adakah peluang untuknya memulakan hidup baru? Kadangkala dia risau memikirkan perjalanan hidupnya.

“Kau tak sunyi?” Tony menukar soalannya apabila me-lihat Zack seperti tenggelam dalam dunia sendiri. “Kalau aku, mesti gila. Macam mana kau tahan, aku pun tak tahu.”

Zack tersenyum. “Aku dah biasa dengan semua ni. Hidup seorang. Tak ada teman. Tak ada sesiapa. Hidup orang macam kita ni, sunyi yang jadi teman sejati. Kalau tak, aku tak tahu macam mana kita nak bertahan,” balas Zack seperti orang falsafah lagaknya.

Tony diam memikirkan kata-kata temannya. Semenjak Zack keluar, lelaki itu memang banyak berubah. Entah positif atau negatif, dia masih belum dapat mentafsir.

Apa yang pasti, dia dapat melihat dengan jelas lelaki itu menjadi lebih tenang. Mungkin apa sahaja yang menghantui jiwanya sebelum ini berjaya diatasi. Baginya, berilah apa sahaja masalah kepada Zack, lelaki itu pasti dapat selesaikannya. Dalam diam, dia mengagumi lelaki bertubuh tinggi dan sasa itu.

“Kami dapat ‘tugas’ baru!” Entah mengapa tiba-tiba itu yang keluar dari bibir Tony. Tujuan kedatangannya berjumpa Zack kali ini pun sememangnya bersangkut paut dengan ‘tugas’ yang bakal mereka lakukan. Dia sendiri terperanjat dengan ‘tugas’ kali ini. Tidak dapat tidak, dia terpaksa memberitahu Zack walaupun dia telah melanggar peraturan kumpulan mereka.

Kata-kata Tony itu ternyata tidak menyenangkan hati Zack. Lelaki itu dilihat membetulkan duduknya.

“Tony, aku tak nak tahu. Bila aku tinggalkan semua ni, bermakna aku dah lepaskan semua. Aku tak minta kau faham, tapi cukup kalau kau hormat keputusan yang aku buat,” ucapnya lalu meneguk minuman. Panas kopi itu menjalar ke seluruh tubuhnya. Cukup hangat dan menyegarkan.

“Hmm… aku tak pasti tentang tu,” jawab Tony dengan senyuman misterinya.

“Maksud kau?”

Tony tidak menjawab, sebaliknya mencampakkan sekeping sampul besar ke atas meja. Zack memerhatikan sampul surat itu. Begitu lama dan tajam renungannya seolah-olah dapat menembusi sampul itu dan membaca isinya. Walaupun tanpa membuka, dia tahu apa isi kandungan sampul itu.

Dia tahu, Tony mahu dia melihatnya. Keinginannya juga begitu kuat. Pasti ada sesuatu yang amat penting di dalamnya. Kalau tidak, masakan Tony sanggup menyeludup keluar maklumat itu. Walaupun rasa ingin tahunya begitu memuncak, tetapi dia juga telah berjanji dengan diri sendiri. Dia tidak akan terlibat lagi.

“Tengok dulu,” pinta Tony seperti memujuk apabila me-lihat keraguan wajah Zack.

“Beritahu aku saja.” Zack masih berdegil. Dia bangun berpura-pura seperti mahu meregangkan anggota badan. Keengganannya mencetuskan tawa di bibir Tony.

“Tak. Kalau kau nak tahu, kau kena bukak sendiri. Kau yang kena buat keputusan.”

“Tony, kau jangan nak uji kesabaran aku,” keluh Zack sedaya upaya menahan marahnya.

“Bukaklah, Zack. Percayalah… Kau akan berterima kasih pada aku nanti.”

Zack diam sambil berfikir seketika. Apa yang ada di dalam sampul itu menyebabkan Tony beria-ia mahu dia melihatnya? Walaupun permintaan Tony itu kedengaran begitu mudah, tetapi dia terasa berat untuk melakukannya.

Entah mengapa, nalurinya tiba-tiba terasa kurang enak. Hatinya juga berat menyatakan yang seluruh hidupnya akan datang, bergantung pada isi kandungan sampul itu.

Oleh kerana itulah, dia mengambil sampul yang masih terdampar di atas meja. Rasa ingin tahu mengatasi segala-galanya. Dengan perasaan yang berdebar-debar, dia mengeluarkan isi kandungan itu satu per satu. Tepat sepertimana telahannya.

Sekeping gambar berukuran 4R jatuh di pangkuannya. Walaupun foto itu terbalik, namun dia seakan tahu siapa insan di foto itu. Matanya bulat terarah ke wajah Tony.

“Ya ALLAH!” Tiba-tiba kalimah itu tercetus dari bibirnya. “Tidak!” Matanya mencerlang ke wajah Tony. Mahu lelaki itu turut sama menafikan tanggapannya. Tetapi, lelaki Cina berketurunan nyonya Melaka itu hanya diam memerhatikan reaksinya. Pandangan Tony begitu bersimpati.

Zack tidak mahukan simpati Tony. Dia tidak perlukan semua itu. Apa yang dia mahu adalah penafian atas se-gala tanggapannya ketika ini. Takdir, kenapa begitu mudah mahu mempermainkannya? Kenapa masa silam masih mahu mengejarnya? Ya ALLAH, jangan biarkan aku kembali kepada kehidupan hitam itu.

“Bukan dia, Tony. Biarkan aku silap. Ya ALLAH, biar aku silap, tapi jangan kata itu dia!” nafi Zack keras.

“Zack…”

Belum sempat Tony menghabiskan kata, lehernya dicekak dengan kuat dan tubuhnya dihentak ke dinding. Buat seketika dadanya terasa begitu sesak. Dia begitu terkejut dengan tindakan Zack sehingga dia tidak sempat mahu memper-
tahankan dirinya.

Tony meronta-ronta minta dilepaskan, tetapi tenaga Zack ternyata begitu kuat. Dia sempat melihat wajah Zack. Lelaki itu seperti orang hilang akal. Dalam kepayahan, dia cuba menerangkan perkara sebenar, namun Zack tidak mahu mengendahkannya.

Oleh kerana tidak mempunyai pilihan, Tony menendang sekuat tenaga apabila dia mempunyai peluang untuk melepaskan diri. Zack yang tidak menduga tindakan itu terdorong ke belakang lalu terlanggar bucu meja menyebabkan dia terduduk menahan sakit. Tony yang berjaya melepaskan diri tercungap-cungap menarik nafas. Sungguhpun begitu, matanya terus mengawasi Zack yang masih lagi menahan kesakitan. Dia tidak mahu Zack menyerangnya semula.

“Dengar dulu cakap aku,” kata Tony cemas. Dia perlu me-yakinkan Zack. Dia tidak mahu Zack memusuhinya nanti.

“Kenapa?” Zack merintih. Suaranya kedengaran begitu dalam dan perlahan.

Tony yang terpaksa memasang telinga terperanjat me-lihat wajah kawannya yang diselubungi kesedihan itu.

“Aku tak tahu itu dia. Sumpah Zack, aku tak tahu. Black yang terima arahan tu. Aku tak boleh nak kata apa. Keputusan dah dibuat. Aku tahu betapa pentingnya dia pada kau, sebab tu aku jumpa kau. Kalau Black tahu ni, mati aku!” terang Tony apabila melihat Zack kembali tenang.

“Aku nak jumpa Black!” tegas Zack. Dia tahu, hanya Tony yang boleh membawanya ke sana.

Tony pantas menggeleng.

“Mustahil, Zack. Sekali kau dah keluar, kau tak akan diterima lagi. Kau pun tahu, kan?” bantah Tony seakan tidak percaya dengan permintaan Zack.

“Aku bukan nak masuk balik. Aku nak Black tolak tawaran tu. Yang penting, aku nak tahu siapa yang upah Black.”

Gelengan Tony laju. “Itu lagi mustahil. Kau tahu kan kerja orang macam kita ni macam mana? Sekali kita terima ‘tugas’, kita kena selesaikan walau apa pun yang berlaku. Kita takkan buat sekerat jalan. Semua ni tentang reputasi, Zack. Kau patutnya lebih tahu.” Tony kembali duduk. Tangannya masih memegang leher yang sakit.

“Lagipun, jangan harap Black akan ikut cakap kau. Dia mesti nak jaga reputasi dia. Kalau tak, siapa nak upah kami lagi? Lagipun, separuh bayaran kami dah dapat.” Tony mene-rangkan situasi yang sebenar.

Zack terdiam. Sememangnya, dia tahu dan faham apa yang dikatakan oleh Tony. Bukankah dia juga pernah menjadi sebahagian daripada mereka dahulu?

Dulu, dia ibarat master mind dalam setiap ‘tugas’. Kum-pulannya tahu, malah kumpulan lain juga tahu dia sanggup melakukan apa saja untuk menyelesaikan tugas yang diberi.

Mendengar nama ‘Zack’ sahaja cukup membuatkan orang yang mengenalinya menikus. Dia juga tahu, sekali ‘tugas’ diterima, memang tiada jalan untuk berpatah balik. Walaupun keberatan, mereka tetap menyelesaikan ‘tugas’ yang diberi.

“Aku kena cuba jugak. Aku tak boleh biarkan mereka buat macam ni,” balas Zack dengan kedegilan yang sukar dilenturkan.

“Aku tak benarkan. Kau bukan bahayakan nyawa kau saja, nyawa aku juga. Kau tahu, Black takkan dengar cakap kau. Hal kau keluar dulu pun masih buat dia bengang sampai se-
karang. Keadaan dah tak sama masa kau ada dulu. Kau jangan cari pasal dengan dia.” Tony cuba menghalang niat Zack.

Dia tahu, kalau dia tidak berjaya menghalang Zack meng-ubah keputusannya, tidak mustahil Zack akan bersemuka dengan Black. Sekiranya itu berlaku, dia takut salah seorang daripada mereka tidak akan bernyawa lagi.

“Siapa? Siapa punya kerja ni?” Zack bertanya lagi walaupun dia tahu itu semua sia-sia. Walaupun Tony tahu siapa yang mengupah mereka, lelaki itu tidak akan membocorkan rahsia. Itu juga salah satu prosedur kerja mereka.

“Siapa, Tony? Aku perlu tahu siapa orang tu. Adakah orang yang aku kenal atau orang baru?” Tanpa rasa putus asa dia merisik mencari jawapan.

“Tidak. Aku tak nak ambil risiko. Teruk aku nanti. Terlalu bahaya. Aku boleh mati sebab perkara ni. Kau jangan main-main dengan dia orang, Zack.”

“Habis tu, kenapa kau bawak gambar tu ke sini? Apa tujuan kau suruh aku tengok isi sampul tu kalau kau tak nak aku buat sesuatu? Kau tahu kan Tony, aku takkan diamkan diri dalam perkara ni? Sekarang, apa tujuan sebenar kau?” Nada Zack sudah bertukar.

Tony serba salah. Dia mengharapkan Zack berbuat se-suatu bila dia melihat foto itu tetapi dia juga takut nyawanya terancam. Kalaulah dia tidak pernah tengok wajah yang sama di dalam dompet Zack, dia tidak akan berdiri di situ ketika ini. Mungkin juga dia yang selesaikan kerja itu tanpa mengetahui betapa pentingnya manusia itu dalam hidup Zack.

“Tapi, kau nak buat apa?” soal Tony tanpa menjawab pertanyaan Zack.

Zack mengambil kembali foto yang terdampar di lantai ketika mereka bertumbuk tadi. Gambar itu direnung dengan penuh perasaan. Saat itu, dia sudah nekad. Walau apa pun yang akan berlaku, dia akan menghalang rancangan mereka.

“Aku akan selamatkan dia. Aku kena selamatkan dia.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81388/rindu-belum-berhenti