Pandangan mata selalu menipu. Pandangan akal selalu tersalah.Pandangan nafsu selalu melulu. Pandangan hati itulah yang hakiki. Jika lahir dari iman dan taqwa. Nur Asiah telah nekad. Dia harus pergi dari rumah ini. Rumah puaka yang tidak pernah menjanjikan kebahagian untuknya. Rumah yang cantik seumpama sangkar emas.Rumah yang memenjarakan dirinya dengan berbagai penderitaan. Cukuplah selama ini dia menjadi hamba sahaya kepada suami dan madunya. Sesabar manusia pun ada juga batasnya. Dia bukan Malaikat untuk terus bersabar dengan segala kekejaman yang dilakukan oleh suaminya. TUHAN-ku! Ampunkanlah aku kerana meninggalkan rumah tanpa keizinan suami. Janganlah aku dianggap isteri yang nusuz kerana melarikan diri dari suami. Sesungguhnya aku sedang menyelamatkan diri agar nyawaku tidak terancam. Dalam kepekatan malam, dia menjinjing beg pakaiannya. Dia hanya mengambil apa yang perlu dan penting saja. Dia perlu segera beredar, takut-takut suaminya terjaga dari tidur. Barang-barang pemberian yang pernah dihadiahkan oleh suaminya satupun dia tidak ambil. Dia tidak memerlukan itu semua. Yang dia mahu ialah ketenangan dan kebahagiaan. Sebentar kemudian teksi berhenti di hadapan rumah dan Nur Asiah bergegas masuk. Tanpa menoleh lagi dia meninggalkan rumah itu bersama kepekatan malam yang kian sunyi. Sebaik saja teksi berhenti di hadapan rumah Suriani, Nur Asiah keluar dari perut teksi dan dia dapati Suriani sedang tercegat menunggunya di muka pintu walaupun malam sudah dinihari. Dia bersyukur Suriani mahu menerimanya untuk menumpang di rumah itu buat sementara waktu. “Masuklah, Nur. Kau buatlah macam rumah sendiri. Aku gembira sangat. Akhirnya kau dengar juga cakap dan nasihat aku.” “Tapi Su, tidakkah nanti aku akan menyusahkan kau?” “Apa ke susahnya. Lagipun selama ini aku hanya duduk sorang aje! Sekarang aku taklah boring sangat sebab ada kau.” Suriani dengan gembira menerima kedatangan Nur Asiah.
“Su, aku rasa terharu sangat sebab kau sudi terima aku, sedangkan suami aku sendiri tak suka dan benci dengan aku.” Air mata Nur mula menitis di pipi, kelam jiwanya disaat ini mengenangkan nasibnya yang tak pernah kurang dikunjung malang. “Sudahlah, Nur. Kat sini kau selamat. Laki kau tak dapat cari kau lagi. Bermula saat ini tak ada siapa lagi yang akan mendera kau. Aku akan sentiasa berada disisi kau. Sudahlah, esok aku akan bawa kau jumpa doktor. Kita ambil laporan doktor lepas tu kita pergi balai polis buat repot.” “Eh, tak nak. Aku bukan nak suruh suami aku masuk penjara.” Nur Asiah menggeleng. Rupanya masih ada secuit kasih untuk suaminya walaupun tanpa cinta. “La! Sapa pula nak suruh laki kau masuk penjara. Kita buat ni sekadar ikut prosedur biasa. Takut nanti ada kes yang berbangkit, bolehlah kita guna report tu sebagai bahan bukti. Kau ni muka dah hancur lebur pun masih nak bela laki kau yang tak berguna tu.” “Walau seburuk manapun, dia tetap laki aku.” “Eeeee… geramnya kau ni, terlalu naif.” Suriani menunjukkan rasa geramnya. Manakala Nur Asiah menggerakkan bibir untuk senyum pahit walaupun masih terasa peritnya. Malam itu dia merasakan tidurnya cukup puas dan nyenyak sekali. Buat pertama kalinya dia tidak terbangun pada waktu malam. Kalau sebelum ini tidurnya sering terganggu sebab sering berfikir-fikir apakah perkara buruk yang bakal dilakukan oleh suami dan madunya keesokkan hari. Hidupnya penuh dengan ketakutan. TUHAN-ku! Terima kasih diatas rahmat-MU. AIMAN terjaga dari tidur. Rasanya dia kesiangan. Memang semalam dia pulang agak lewat. Setelah makan malam dengan Adura, mereka bertemu pula dengan kawan. Sedar tak sedar dah pukul 1.00 pagi. Mana tak mengantuk dan kesiangan, tapi kenapa pula si Nur ni tak kejut. Selalunya dia yang akan ditugaskan untuk mengejutkan mereka dari tidur. Hisy… si Nur ni nak kena lagilah tu. Tak tahu serik. Selalu saja nak buat aku naik darah. Ini kalau dah bangun lewat, mestilah pergi kerja pun lewat. Aiman menyelak selimut yang membaluti tubuhnya.Dia mula turun dari katil. Suasana pagi yang cukup aman dan damai. Tidak kedengaran berbagai bunyi dari arah dapur seperti selalu. Bunyi yang tidak asing dia dengar pada waktu pagi. Bunyi kerentung kerentang Nur Asiah memasak. Tapi pagi ini terlalu lain rasanya tanpa bunyi bising di dapur. Kenapa si Nur Asiah ni tak bangun lagi? Dia bergegas ke bilik sebelah untuk mengejutkan Nur Asiah. Kalau Nur Asiah lewat masuk dapur, jawabnya taklah sempat dia bersarapan pagi, sedangkan dia memang suka bersarapan di rumah. Tapi apa pula yang si Nur Asiah tu nak masak? Sedangkan semalam Nur memberitahunya tidak ada benda yang boleh dimasak. Ah… memang salah aku. Aiman berjalan menuju ke bilik Nur Asiah dan menolak daun pintu untuk memastikan Nur Asiah ada dibiliknya. Kalau tak ada benda yang nak dimasak sekali pun Nur Asiah masih boleh membancuh air Milo untuknya dan dia ingin memberitahu Nur Asiah petang nanti dia akan singgah di supermarket untuk membeli barang-barang keperluan dapur. Sebaik saja pintu bilik Nur Asiah ternganga, Aiman mendapati bilik itu kosong. Nur Asiah tiada disitu. Yang ada hanya bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Dia masuk ke dalam dan mengetuk pintu bilik air, tiada pun tanda-tanda yang Nur Asiah berada di dalam bilik air. Hatinya mula berteka-teki. Ke mana pula si Nur ni? Jangan-jangan dia pengsan sebab semasa dia dan Adura meninggalkan Nur Asiah malam tadi, Nur Asiah jatuh tersungkur. Entah-entah Nur Asiah mati. Eh! Minta jauh. Ini dah jadi kes pembunuhan. Ya ALLAH… mana pula minah ni? Aiman berlari turun ke tingkat bawah, terus menuju ke dapur. Sepi dan kosong. Tiada Nur Asiah di situ. Dia mencari di bilik air bawah, Nur Asiah juga tiada. Hatinya mula marah bercampur cemas. Di kepalanya mula bercambah berbagai soalan. Kemana minah kampung ni pergi? Siaplah nanti kalau jumpa. Memang kena nanti. Tak cukup lagi ke dengan pelempang malam tadi? Nak main sorok-sorok pula. Ingat aku tak ada kerja lain ke. Nak cari dia ke sana ke mari. Aiman naik semula ke tingkat atas. Dia perlu sembahyang subuh walau pun subuhnya sudah subuh gajah. Entah mengapa tiba-tiba dia merasakan sesuatu miliknya telah hilang daripada genggaman. Rasa hilang, sepi dan kosong. Sebaik saja dia selesai solat subuh, dia mengejutkan Adura yang masih enak berbungkus dengan selimut. “Sayang! Bangun… kita dah lambat ni. Cepat bangun!” Dengan separuh mendengus, Adura bangun lalu terus menuju ke bilik air. Aiman ke bilik Nur Asiah untuk mengambil pakaiannya yang selalunya sudah tersedia di atas katil. Bila dia membuka lampu bilik, tak ada pun pakaiannya tersedia seperti biasa. Dia melilau-lilau mencari, entah apa yang dia cari. Tiba-tiba dia terpandang sehelai kertas yang terletak di atas meja solek
Nur pergi. Jangan cari Nur. Halalkan makan minum Nur selama ini. Semoga abang berbahagia selalu.
Terduduk Aiman bersama kertas di tangannya. Entah mengapa hatinya bagai diragut keras. Dia sendiri tidak dapat menceritakan bagaimana perasaannya dikala ini. Marah ke? Bengang ke? Sedih ke? Kehilangan ke? Dia tidak dapat menyatakannya.Ternyata dia terasa kosong dan hatinya dibawa pergi bersama. Kenapa macam ni? Selalunya dia sentiasa merasa menyampah bila melihat Nur Asiah. Walaupun wajah Nur Asiah cantik dan punya pekerti yang baik, tapi hatinya seakan tertutup untuk memiliki hati Nur. Kadang-kadang dia merasa geram melihat sikap Nur Asiah yang selamba dan buat bodoh bila dimarahi atau dipukul. Seolah-olah Nur Asiah tak ada perasaan dan merasa sakit. Dia merasakan Nur Asiah selalu mencabar kesabarannya dalam diam. Walaupun Nur Asiah tak pernah menjawab dan melawan tapi sikap Nur Asiah yang diam membatu seperti patung itulah yang lebih membuatkan Aiman sakit hati. Aiman masih terpaku di atas katil. Dia terasa ingin menangisi kehilangan Nur Asiah, tapi untuk apa? Bukankah selama ini dia memang tidak peduli tentang apa yang Nur Asiah rasa. Dia melihat bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Disinilah dia sering meninggalkan Nur Asiah sendirian bertemankan bantal-bantal sepi dan sejuk. Dia lebih suka berada di bilik Adura. Adura yang hangat, Adura yang penuh keghairahan, Adura yang sering mendesak dan Adura yang ingin memiliki dirinya secara mutlak dan tidak suka berkongsi. Dia sedar, dia sering tidak berlaku adil pada Nur Asiah. Dia bermalam di bilik Nur Asiah sekiranya dia memang menginginkan Nur Asiah. Itu pun setelah Adura nyenyak tidur. Memang ia tidak adil. Selama ini pun dia sering membiarkan Adura membuli Nur Asiah. Nur Asiah yang lemah lembut dan tidak pandai melawan. Nur Asiah seperti hamba di dalam rumahnya sendiri. Dia membuka almari pakaian. Alangkah terkejutnya dia.Nur Asiah memang telah pergi. Semua pakaian Nur Asiah telah tiada. Yang tinggal hanya pakaian yang dia hadiahkan untuk Nur Asiah. Dia terasa sedih ditinggalkan. Bagaikan anak telah ditinggalkan oleh si ibu. Hilang kosong dan hampa. Dia mengambil baju dan seluar yang tergantung. Cukup susah rasanya untuk memadankan pakaian yang hendak dipakai. Selama ini Nur Asiah yang buat semuanya. Nur Asiah yang tentukan apa yang dia akan pakai, dari tie hinggalah ke stoking. Kadang-kadang stoking dia pun Nur Asiah yang pakaikan. Adura tidak pernah ambil tahu itu semua sebab pakaian dia pun, Nur Asiah yang basuh dan gosokkan. Ke manakah kau pergi Nur Asiah? “Eh… Siah! Gosokkan baju aku. Cepat sikit, kami dah lambat ni!” Tiba-tiba Adura menjerit dari depan pintu bilik Nur Asiah. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Nur Asiah. Aiman dengan muka separuh sendu menghulurkan kertas nota perpisahan dari Nur Asiah untuk tatapan Adura. “Ha… ha… ha… ha… kalah juga akhirnya orang kampung bodoh tu. Hah… baru puas hati aku. Tak sedar diri. Ha… ha…” Sukanya hati Adura dengan ketiadaan Nur Asiah. Aiman melihat wajah Adura. Jauh berbeza daripada wajah Nur Asiah yang putih bersih penuh keikhlasan. “Hah… abang ni kenapa pula? Macam ayam berak kapur saja. Sedih sangat ke bini kampung abang tu lari?” Tanpa menunggu reaksi suaminya Adura melenggang meninggalkan bilik Nur Asiah. “Abang!!! Tolong gosok baju saya!” Adura menjerit dari bilik sebelah. Aiman buat tak dengar saja. Hatinya mula merasa keliru dan celaru. “Abang… cepatlah. Saya tak tahu gosok baju!” Adura yang manja memang tidak tahu menggosok baju. “Gosoklah sendiri. Awakkan perempuan.” “Saya mana pernah gosok baju. Selama ini pun saya tak pernah gosok baju. Semuanya diuruskan oleh mami dan bibik.” “Mulai sekarang belajarlah kerana hanya ada awak dan saya. Awak juga akan mengambil alih segala tugas yang Nur buat selama ini, faham?” Suara Aiman bernada tegas. Adura dengan wajah masam mencuka berjalan sambil menghentak kaki menuju ke biliknya. Ternyata mereka benar-benar lewat hari ini.
***
Rasulullah SAW bersabda: “Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, dan menjaga kemaluannya daripada mengerjakan perbuatan haram dan dia taat kepada suaminya, maka dipersilakanlah dia masuk ke dalam syurga dari pintu mana saja yang dia kehendaki.” (Riwayat Ahmad dan Thabrani) SUDAH dua hari Aiman mengambil cuti sakit. Jarang sekali dia mengambil cuti. Baginya menyelesaikan kerja dengan tidak bertangguh adalah kemestian, tapi bila dah sakit begini, badan perlu dilayan dan diberi rehat. Dia sememangnya sedang sakit. Sakit hati dengan kerenah dan perangai Adura yang semakin menjadi-jadi. Sakit rindu dan penyesalan pada Nur Asiah yang sudah tak tertanggung dan sakit badan yang kian menyucuk-nyucuk. Walaupun sudah makan ubat tapi kebahnya tak mahu juga. Aiman terlentang di ruang tamu keseorangan. Adura dengan alasan yang sama macam semalam telah lama pergi meninggalkan Aiman keseorangan. Kenapa Adura begitu tega melakukan demikian? Adakah ini hukum karma? Entahlah… mungkin juga kerana dia dulu lebih daripada tega memperlakukan Nur Asiah. Sebuah kereta masuk ke garaj memecah keheningan dan kesunyian rumah tersebut. Penghuninya terbaring lesu. Bila pintu dikuak dan salam diberi, baru Aiman tahu, mamanya yang datang menziarahi. Mana mama tahu dia tak sihat? “Ya ALLAH, Aim, kenapa teruk sangat ni? Dah jumpa doktor ke belum?” cemasnya Puan Jamaliah melihat anak kesayangan terbaring lesu. “Dah mama tapi tak juga kebah.” “Biasalah tu demam tengah naik. Kadang makan ubat pun tak jadi.” “Sakit sangat badan Aim, mama.” Aiman mengadu lemah. Segala tenaganya menjadi hilang. “Memanglah kalau demam semua sendi-sendi kita rasa sakit. Sabarlah.” “Mana mama tahu Aim demam?” “Sebenarnya, mama rasa tak sedap hati bila call Aim tak dapat-dapat. Hati mama resah semacam saja bila ingat Aim. Tu yang mama datang ni. Itulah hubungan batin antara ibu dan anak.” Aiman termenung seketika. Adakah Nur Asiah akan merasai perasaan yang sama terhadap dia? Hubungan batin antara suami dan isteri? Tahukah Nur Asiah yang dia sedang sakit begini? Ah… mungkin tidak! Dia termalu sendiri. Tak mungkin Nur Asiah akan mengingatinya, seorang suami yang kejam dan pembengis, seorang suami yang busuk hati dan kuat cemburu, yang selalu menyeksa mental dan fizikal Nur Asiah. Nur, maafkan abang! Abang menyesal. Kembalilah pada abang! Air mata Aiman tumpah satu per satu. Terkenang dosanya yang terlalu banyak. Makin lama makin banyak air yang turun di lurah pipi.
“Kenapa Aim? Sakit sangat ke?” Aiman hanya menggeleng, tak mampu untuknya bercerita tentang derita hatinya. Semenjak Nur Asiah pergi, hatinya tak pernah tenteram dan bahagia. Anehnya perasaan, bila dah tak ada, baru rasa kehilangan. “Aim, kenapa nak? Ceritalah dengan mama.” “Tak ada apa mama. Mama boleh tak ambilkan air untuk Aim.” Aiman mengubah tajuk. Dia tak bercadang untuk berkongsi masalah hati dengan mamanya kerana dia tahu mamanya tak akan faham. Puan Jamaliah berlenggang menuju ke dapur dan kemudian datang dengan segelas air. “Aim, kenapa dapur tu banyak sangat habuk? Tak pernah sapu ke?” “Sejak Nur tak ada, tak ada siapa yang menyapu,” terus-terang Aiman. “Habis Adura tak masuk dapur?” terkejutnya Puan Jamaliah. “Tak, mama. Dapur tu tak pernah berasap lagi.” Biarlah mama tahu tentang menantu kesayangannya, yang dibanggakan selama ini. “Mana Adura pergi ni?” “Kerjalah, mama.” Malas rasanya Aiman melayan cakap dengan mamanya. Badan yang sakit ni pun tak tertanggung. “Hai dah senja macam ni pun tak balik lagi? Kerja apa tu?” “Mama, selagi tak malam dia tak balik. Dia buat rumah ni macam hotel. Sesuka hati dia bila nak balik.” Aiman tidak kisah lagi. Biarlah dia membuka pekung sendiri di depan mamanya. Biar mama tahu menantu kesayangannya tak sebaik manapun kalau nak dibandingkan dengan Nur Asiah.Bagaikan langit dengan bumi. “Hah… betul ke Aim?” ternganga Puan Jamaliah. Kenapa tak percaya ke? “Buat apa Aim tipu mama? Apa Aim dapat? Dah dua hari Aim demam, ada dia peduli? Itulah menantu yang mama pilih. Itulah menantu kesayangan mama. Kalau ada Nur, dia tak akan benarkan Aim sakit sendirian. Nur akan jaga Aim,” sayu mata Aiman membuang pandangan di luar laman dan Puan Jamaliah sepi seketika, terpukul dengan kata-kata Aiman. SEBAIK saja azan maghrib selesai berkumandang, barulah nampak batang hidung Adura. Hatinya menjadi kecut bila melihat kereta ibu mertuanya ada di garaj. Bila pula orang tua ni sampai? Bukan dia heran sangat dengan Puan Jamaliah tu, tapi takut lakonannya selama ini terbongkar. Hisy… kacaulah orang tua ni. Datang tak bagi tahu. Ah… lantaklah dia nak cakap apa pun. Kalau tahan, tadah telinga. Kalau rasa dah menanah saja lubang telinga ni, tahulah apa aku nak buat. Bila saja Adura melangkah masuk ke dalam rumah, ibu mertuanya sudah siap sedia tercegat macam polis trafik, manakala Aiman tersandar di sofa. “Hai… mama. Dah lama sampai.” Adura berlagak macam biasa, tunjuk muka tak bersalah.
“Mama dah separuh hari kat sini, kau baru balik? Kau dari mana? Dah malam baru sampai rumah. Apalah jauh sangat tempat kerja kau di Kuala Lumpur tu dengan Cheras ni?” “Alah, Adura keluar makan dengan kawan-kawan lepas kerja, bukannya ke mana pun! Mama pun nak datang tak bagi tahu. Kalau tak bolehlah Adura balik cepat.” “Hei… mama tak fahamlah dengan kamu ni. Sanggup kamu pentingkan kawan-kawan kamu sedangkan suami kamu sakit kat rumah. Isteri jenis apa kamu ni?” Puan Jamaliah kesal sungguh dengan sikap Adura. “Sebelum mama tuduh Adura, mama tanya dulu anak kesayangan mama ni. Ada dia pentingkan Adura? Sejak si bodoh tu keluar dari rumah ni, Aiman dah tak pedulikan Adura lagi. Asyik menilik gambar si bodoh saja. Tiap-tiap minggu keluar pergi cari si bodoh tu, sampai ke Melaka. Apa yang dia nak dari perempuan kampung yang bodoh itu pun Adura tak tahu. Dia ingat Adura ni apa? Patung cendana? Tak ada perasaan? Hah… sekarang, mana tak jatuh sakit kalau dah ke hulu ke hilir mencari bini dia yang bodoh bongkong tu. Padan muka! Serve you right! Aiman mencerlun ke arah Adura. Rasa nak saja dia menampar mulut kecil comel tu. Bukan dia tak larat nak mengangkat tangan, tapi dia dah berjanji dengan dirinya. Dia tak akan mengulangi kesilapan yang sama. Puan Jamaliah tercengang dengan cerita yang baru dia dengar. Tak sangka dan tak tahu nak cakap apa. Dia terpempan langsung terduduk di sofa. Manakala Adura senyum sumbing, tanda mengejek. “Tapi, Adura tak boleh biarkan Aiman sakit sendirian. Kalau jadi apa-apakan susah. Lagipun, buat apa pergi keluar jumpa kawan-kawan. Adurakan dah kahwin. Berilah tumpuan pada rumah tangga. Tengoklah rumah ni, macam tak bertuan.Berhabuk sana, berhabuk sini. Sampai bila Adura nak jadi perempuan manja yang tak tahu buat kerja?” Ikhlas Puan Jamaliah menasihati menantunya, bagai sedang menasihati anak sendiri. Bulat mata Adura mendengarnya. “Hello… what do you mean? Mama nak suruh Adura buat semua kerja-kerja rumah ni? Oh… no! Dunia Adura bukan terkurung saja dalam rumah, tapi outdoor, ada faham… I’m a career woman. Adura tak akan buat kerja-kerja bodoh tu dan Adura tak akan jadi macam perempuan bodoh tu.” “Patutlah selama ini you tak pernah buat kebaikan pun pada I sebab itu semua kerja bodoh?” Aiman menempelak. Adura tersenyum sumbing. “Yalah buat apa I nak buat kerja untuk orang.” “Bagus, mama dah dengar, kan… dan tengok sendiri, kan? Betapa hebatnya menantu kesayangan mama ni. Sekarang ni dia dah tak mampu berlakon lagi. So, dia dah menjelma dalam bentuk asalnya.” Berasap telinga kedua-dua perempuan itu mendengar sindiran berbisa daripada Aiman. Mereka saling berpandangan dengan bahasa hati. Hanya mereka yang tahu isi hati masing-masing. ‘Celaka kau Aiman!’ Adura menyumpah seranah dalam hati, tunggu dan lihatlah apa yang akan aku buat.
“Ya, memang inilah diri I yang sebenarnya. Kenapa, menyesal kahwin dengan I? Eh… boleh jalanlah! Boleh blah… Kalau setakat you, melambak I boleh cari.” Adura sudah hilang pertimbangan dan rasa hormat kepada ibu mertuanya. Dia tidak suka dirinya diperkotak-katikkan oleh sesiapa. Dia akan melepaskan apa yang dia tidak suka. Menitik air mata Puan Jamaliah bila mendengar bahasa menantu yang dia sayang selama ini. Betapa dia terlalu buta dalam menilai antara kaca dan permata. Orang bandar yang disangka berpendidikan dan bertamadun, tapi inilah watak yang mampu dipertontonkan oleh Adura. “Selama ini pun bukan I tak tahu you main kayu tiga,” kata Aiman. Kata-kata itu cukup memeranjatkan Adura. Macam mana Aiman boleh tahu? Dan kata-kata itu juga membuat Puan Jamaliah ingin tumbang dan nafasnya seakan sesak. Kejutan demi kejutan, membuatkan dia tidak tahan lagi. Air matanya semakin laju. Aiman! Maafkan mama. Mama telah runtuhkan masjid yang kamu bina dan inilah balasannya. Maafkan, mama! “Sekarang you dah tahu, so, you nak buat apa?” angkuhnya Adura. Aiman hanya tenang. Dia perlu belajar bersabar. Bertindak dalam keadaan marah amat buruk padahnya. “I tak akan buat apa-apa, terpulang pada you. You sendiri tahu you masih isteri orang dan apakah hukum bagi isteri yang curang.
***
SURIANI bagaikan mendengar orang yang sedang menangis, dalam mimpi ke alam nyata? Lalu dia terpisat-pisat bangun dan menenyehkan matanya. Dia melihat jam, baru pukul 10.00 malam. Rupanya dia tertidur awal. Bunyi esakkan masih kedengaran, yang pasti itu suara Nur Asiah. Eh… dah sakit ke? Dah nak bersalin ke? Terkocoh-kocoh Suriani berlari dan membuka pintu bilik Nur Asiah. “Nur kau dah sakit ke?” Nur Asiah hanya menggeleng. “Dah tu kenapa menangis?” “Aku baru habis bercakap dengan mak aku. Aku sedih sangat kerana tak mampu berterus terang mengenai masalah aku ni.” “Kenapa kau tak cakap saja Nur?” “Aku tak sampai hati Su. Aku tahu mak dan ayah aku pasti kecewa dengan kegagalan rumah tangga kami dan mereka pasti sedih seandainya mereka tahu Aiman buat aku begini.” “Habis kau tak bagi tahu kau mengandung?” “Dah.” “Apa mak kau cakap?” “Dia suka sangat. Dia dah tak sabar nak menimang cucu. Mak suruh aku balik. Katanya semua keluarga aku rindukan aku, terutamanya ayah aku. Hari-hari dia sebut nama aku. Aku pun rindu sangat dengan mereka, tapi apakan daya,” tangisan Nur Asiah semakin pecah dan berlagu sayu. “Dahlah Nur, jangan nangis lagi. Aku bab-bab lihat orang nangis ni, memang tak tahan. Karang dengan aku sekali meraung. Mak aku kata, aku ni macam Neng Yatimah, pelakon zaman dulu yang suka sangat berendam air mata. Badan besar macam gajah, tapi hati kecik macam nyamuk.” “Aku sedih sangat Su. Dah tak tertanggung rasanya derita ini.”
“Macam nilah Nur, minggu depan aku temankan kau balik Melaka, jumpa keluarga kau. Kau jangan takut, aku sentiasa ada di sisi kau. Apa-apa jadi pun kita hadapi bersama. Dah… jangan nangis lagi.” “Betul Su?” Nur Asiah menyapu lelehan air matanya. “Ya betul, aku akan temankan kau.” “Su, kaulah sahabat aku dunia dan akhirat.” Mereka berpelukan. Suriani menahan air matanya yang hampir gugur kerana sebak. “Sekarang aku nak kau tidur. Jangan fikir yang bukan-bukan lagi. Esok nak kerja. Kau kena banyak berehat. Kalau tak perkembangan bayi tak bagus. Kau dah minum susu?” “Ya, doktor. Terima kasih, doktor. Selamat malam, doktor.” Ketawa Suriani dengan sindiran Nur Asiah, sedangkan Nur Asiah hanya menyengih. Dia bersyukur sangat dipertemukan dengan Suriani. Suriani yang terlalu mengambil berat tentang diri dan kandungannya sehinggakan kadang-kala menimbulkan rasa lemas dengan pantang larangnya. Entah ya entah tidak. Katanya emak dia yang cakap. Kalau tak ikut pasti kena marah. Dah rasa duduk dengan nenek tua. Penuh pantang larang dan petua. Nur Asiah tersenyum sendiri sambil menarik selimut bagi menutupi tubuhnya, lalu dia mengucapkan selamat malam pada bulan. Moga tidurnya diulit mimpi yang indah. SEAWAL pagi selepas saja solat subuh, kedua orang wanita itu telah pun bersiap sedia untuk bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka. Walaupun Melaka dengan Kuala Lumpur bukanlah jauh sangat, tapi si pemandunya tetap tergesa-gesa di awal pagi. “Kenapa kau nak bertolak awal? Kelam kabut aku dibuatnya.” Nur Asiah geram dengan Suriani. “Kan elok berjalan di awal pagi,” jawab Suriani. “Ya… tapi taklah pagi-pagi buta macam ni. Kau pun bukannya ada temujanji dengan sesiapa pun.” Suriani ketawa. “Mak aku kata, kalau nak berjalan biarlah di awal pagi, bertolak sebelum matahari naik. Barulah perjalanan lancar. Tak baik bertangguh-tangguh.” “Alah… mak kau bukannya ada kat sini. Dia tak nampak pun pukul berapa kita bertolak. Aku ni hah… tak sempat nak melabur pagi ni sebab kau tergesa-gesa sangat.” “Hmm… perkara kecik aje tu. Kat mana-mana pun boleh lepaskan hajat kau tu. Kita singgah kat mana-mana hentian R&R, ya.” Suriani memberi cadangan. “Kalau perut aku ni meragam dalam perjalanan yang tak ada hentian, macam mana? Siapa nak jawab?” “Kaulah jawab, barang kau punya?” Suriani ketawa mengekek dengan jawapannya dan Nur Asiah juga ketawa
Suriani memandu dengan tenang, menyusuri Lebuh Raya Utara Selatan. Di awal pagi tak banyak kereta yang bertali arus, namun dia tetap berhati-hati memandu. Nur Asiah di sebelah mula membuka bekalnya yang banyak. Suriani menjeling sambil tersenyum. “Mak oii! Banyaknya bekal kau. Macamlah perjalanan ni selama sepuluh jam.” Nur Asiah menyeringai sambil memasukkan kuih Tausar kesukaannya ke dalam mulut. “Aku lapar. Pagi-pagi lagi perut aku dah berkeroncong. Lagipun aku dah biasa. Bila berjalan mesti bawa bekal.” Suriani ketawa. “Bila masa pula kau berjalan? Naik kereta adalah.” “Maksud aku, bila aku travellah bendul! Aku selalu makan sebab nak hilangkan mengantuk dalam perjalanan. Aiman selalu marah kalau dia bawa kereta, aku sedap-sedap tidur.” Terbit rasa rindu Nur Asiah pada Aiman bila nama itu disebut. “Hai… takkan itu pun nak marah?” “Yalah, dia rasa sunyi bila tak ada orang nak bersembang. Jadi kau tak marah, bila orang sebelah tidur?” “Orang dah nak tidur, biarlah…” tenang saja Suriani menjawab. “Kalau macam tu, bolehlah aku tidur lepas aku makan ni ya!” “Hoi… mak cik. Kau nak suruh aku bawa kereta sorang-sorang. At least tunjuklah jalan. Aku mana tahu jalan nak ke rumah kau. Ni first time aku datang Melaka tau. Karang sesat, padan muka kau!” “Huh… dengki betullah kau ni. Orang nak tidur pun tak boleh. Bukannya susah nak jalan, tengok saja signboard, sampailah nanti.” “Dah jangan tidur!” “Aik! Tadi kata tak marah? Cepat sangat lupanya. Itulah…banyak sangat makan kepala ikan!” Mereka berdua ketawa geli hati. Tiba-tiba handphone Suriani berbunyi. Dia menjawab dengan wajah yang ceria sekali. Pasti ada cerita di sebaliknya. Perbualannya tak lama sebab Suriani memberitahu dia sedang memandu tapi wajah yang ceria dan senyumnya yang lebar bak upih pinang masih tertera dibibir. “Siapa call?” tanya Nur Asiah. “Tak ada siapalah.” Senyum Suriani masih berbunga. “Nak cakap ke tak?” Nur Asiah menghulurkan tangannya untuk mencucuk pinggang Suriani. Suriani menjerit kegelian. “Aku tengah drive ni. Nak mati ke?” “Cakap dulu, kalau tak aku cucuk lagi.” Nur Asiah ketawa mengekek. “Okeylah… aku cakap. Roslan yang telefon. Dia nak ajak aku makan.”
“Maksud kau dating?” Suriani mengangguk. “Alhamdulillah… aku harap inilah jodoh kau. Moga-moga Roslan tu baik dan bertanggungjawab.” “Terima kasihlah kerana menyokong aku. Sebenarnya aku tak yakin dengan diri sendiri. Kau tengoklah aku… tak serupa orang. Badan besar, tak cantik, kerjaya tak sebaik mana. Siapalah yang nakkan aku.” “Tapi hati kau cantik. ALLAH melihat hati kau, bukan rupa paras kau. Nabi pun ada beritahu. Sebenarnya soal jodoh itu semua kerja ALLAH. Dialah yang telah menetapkan jodoh kita dengan siapa, walaupun kita berusaha mengelaknya atau bersungguh-sungguh menginginkannya. Hidup mati kita ni berada dalam genggaman ALLAH. Jadi kau jangan risau, akan ada jodoh untuk kau,” nasihat Nur Asiah. Perbualan mereka terhenti sebaik saja mereka melihat jalan susur keluar ke Plaza Tol Alor Gajah. Suriani menyusuri jalan ke plaza tersebut. Kemudian dia mengikuti saja jalan yang ditunjuk oleh Nur Asiah untuk menuju ke Bandar Masjid Tanah. Dari Masjid Tanah mereka akan memandu kira-kira dalam 15 kilometer lagi untuk sampai ke Kampung Kuala Sungai Baru. Bila tiba saja di pantai peranginan Pengkalan Balak, perasaan Nur Asiah menjadi lebih teruja, mengalahkan Suriani yang memang tak pernah hidup di tepi laut. Dia menurunkan tingkap kereta untuk membolehkan deruan ombak kedengaran di telinganya. Semilir angin laut dingin menyapa wajahnya. “Wei… nak berhenti ke tidak ni?” Suriani bertanya bila keretanya membelok ke kanan untuk perjalanan seterusnya. “Tak payah berhenti, jalan ja terus…” “Tapi, aku nak tengok pantai Pengkalan Balak ni. Kat sini ramai pengunjung, mesti best.” “Su… sepanjang perjalanan kita nanti, kau akan nampak pantai dan chalet-chalet murah untuk disewa kerana di sini adalah tempat pelancongan. Jadi tak payahlah berhenti. Kita tengok saja pemandangan dari dalam kereta.” “Cantiknya kampung kau. Aman dan mendamaikan, hilang serabut!” “Tahu tak apa. Sebab tulah aku selalu rindukan suasana kampung aku.” “Jauh lagi ke rumah kau?” Suriani dah tak sabar nak melihat rumah Nur Asiah yang berada di tepi pantai seperti yang diceritakannya. “Tak adalah jauh lagi. Nanti kau belok kiri, naik jambatan kecil. Dari situ kau akan nampak jeti tempat nelayan-nelayan simpan bot dan naikkan tangkapan mereka. Dulu ayah aku pun letak bot kat situ juga.” “Wah… terujanya aku. Cuma aku tak tahan dengan bau sikit.” Suriani memicit hidungnya sendiri. “Bau apa?” hairan Nur Asiah. “Entah… bau busuk masin, macam bau busuk ikan dan wap laut pun ada.”
Nur Asiah ketawa. “Betullah tu… bagi orang yang tak biasa dengan udara tepi pantai dan nelayan, dia tak tahan baunya, terutama kalau pantai tempat nelayan bawa naik ikan. Tapi bagi kami yang dah biasa, semua tu dah lali.” “Ini ke pekan Kuala Sungai Baru?” Berhati-hati Suriani membawa keretanya. Sibuk juga jalannya. “Ya… sekarang kau belok ke kiri, jalan terus dan belok ke kanan.” “Berapa banyak kali nak beloklah?” “Alah sikit saja lagi. Lepas ni, kau akan jumpa Restoran Terapung Ikan Bakar. Jalan terus ke depan. Hah… situlah kampung aku. Kau pasti suka punya.” “Kau ni asyik jalan terus, jalan terus, tapi sampai tak juga.” bebel Suriani. “Sabarlah beb! Takkan larinya pantai tu kalau kau kejar. Hah… lagi satu, jalan kat sini, kau jangan bawa laju-laju…sebab jalannya sempit. Karang habis budak-budak yang main tepi jalan kau rembat.” Nur Asiah memberi peringatan pada Suriani. “Yalah… apa pasal kampung kau ni jalannya sempit sangat?” “Entah… mana aku tahu. Sewaktu mak aku lahirkan aku dulu pun, jalan ni dah sempit.” Ketawa Suriani dengan jawapan Nur Asiah. “Mana satu, rumah kau?” “Alah depan lagi, jalan terus…” Senyum Nur Asiah sedang mekar di bibir.Tergambar dilayar hati wajah mak yang dirindui. “Dari tadi tak habis-habis, jalan terus, jalan terus, tak juga sampai-sampai. Heh… minah! Apa nama kampung kau sebenarnya?” “Kampung Hilir. Hi… tak menyabar langsung, karang dah jumpa laut, tak nak naik-naik ke darat, terus tukar jadi dugong.” Suriani menjelirkan lidahnya. “Tak apa, kau katalah aku lagi. Sampai nanti, siap kau!” “Weh… Stop! Stop! Itu rumah aku, terus masuk ke laman.” Berseri-seri wajah Nur Asiah bila disalami angin pantai yang nyaman. Suriani keluar dari keretanya. Meluruskan kakinya, membetulkan urat-urat tengkuk dan meregangkan otot-otot yang ketat. “Wah! Cantiknya kampung kau! Rumah kau pun cantik. Walaupun rumah kayu, tapi sesuai dengan panorama di tepi laut. Nur… aku suka kampung kau. Aku nak pergi pantailah!” “Mak cik… naik dulu, rehat, makan. Tak payah nak teruja sangat. Sekarang ni pun matahari tengah tegak atas kepala.Karang tak pasal-pasal tertukar dengan Aci Malaswari. Panas matahari laut ni, semacam jelaganya tau tak? Hah… petang karang kau turunlah. Nak tengok matahari yang terbenam ke, nak termenung di atas benteng pemecah batu ke, suka hatilah!” Suriani hanya menyengih macam kerang busuk. Kemudian mereka membawa barang-barang naik ke rumah. “Assalamualaikum! Mak… Nur balik ni.” Nur Asiah melaung.
Kemudian muncul Mak Esah yang masih basah lagi mukanya. Mungkin baru keluar dari bilik air. “Waalaikumussalam! Ya ALLAH… kau balik nak.” Dia menerpa dan memeluk Nur Asiah dengan perasaan penuh rindu. “Mak, ini kawan Nur, Suriani,” ujar Nur Asiah. “Apa khabar mak cik?” “Baik… Mana Aiman?” Macam ada yang tak kena saja, detik hati Mak Esah. Nur Asiah hanya diam kemudian mengalihkan persoalan. “Ayah mana mak?” “Entahlah, tadi ada kat bawah.” Hati mak Esah digaru rasa curiga. Ini mesti ada sesuatu yang terjadi.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66600/persis-bidadari-syurga