[SNEAK PEEK] PERCAYA ADA CINTA

9789831245132-medium

EBUKU Percaya Ada Cinta Oleh Ryana Adrina

Kiranya kau ada penggantiku…

14 Januari 2007

TERKEJUT aku dengan kehadiran tiba-tiba Arsyad Zikri di restoran Tuan Haji Azman. Ketika aku sedang ingin duduk bersendirian, ketika sedang ingin melayan lara hati seorang diri, kenapa dia yang hadir? Sesungguhnya lelaki itu cuba kujauhi seboleh mungkin. Aku cuba menanam perasaan benci padanya sepertimana aku bencikan Rasya. Namun bilamana hati lelaki itu tergores dengan kelancangan mulutku sendiri, ketika itu… baru kusedari keluhuran hati seorang lelaki yang bernama Arsyad Zikri. Dari situ juga aku mula menyedari keterlampauan sikapku ke atasnya. Dialah lelaki budiman pertama yang kutemui sepanjang hayatku. Fikiranku cepat membuat rumusan. Bertuahnya Rasya kerana terlebih dahulu mengenali lelaki ini.
Lelaki itu bagai dapat mencium perubahan sikapku yang kurang ceria seperti selalu. Sungguh… aku cuba menutup punca diriku menjadi cengeng di hadapannya. Aku tidak mahu lelaki itu mengambil ruang dalam hidupku. Cukuplah aku mengenalinya sebagai insan yang pernah menjadi teman istimewa Rasya.

Entah kenapa aku cuba mengocak perasaan lelakinya. Sengaja mempersoalkan kesetiaan Rasya padanya selama ini. Hatiku sekali lagi merintih apabila mendapat tahu lelaki itu benar-benar mencintai Rasya sepenuh hati. Habis… bagaimana dengan abangku, Amer Munawer? Tidakkah Rasya mencintai tunangnya itu sepenuh hati? Kalaulah Arsyad tahu yang Rasya kini sedang membilang hari bahagia bersama Amer Munawer, bagaimanalah agaknya perasaannya? Tergamak sungguh Rasya mempermainkan lelaki-lelaki ini.

Wafiya akhirnya meletakkan pena berdakwat basah itu di sisi diarinya. Perasaannya bercampur baur. Perasaannya pada Kay tidak pernah terluah, kini ditambah pula dengan kerenah sepupu sendiri yang cuba menghancurkan perasaan lelaki lain. Bilakah akan berakhirnya titik derita ini?

ARSYAD ZIKRI masuk ke pejabatnya seperti biasa. Senyuman di bibirnya terukir spontan sejurus terpandangkan gambar yang berbingkai indah di atas mejanya. Gambar dia bersama Rasya. Rasya sedang tersenyum manis sambil memaut mesra lengannya dan melentok manja di bahunya. Gambar yang berlatarbelakangkan musim bunga di sebuah taman itu bagai menceritakan betapa indahnya percintaan mereka berdua di US dahulu. Mereka sudah seia sekata mahu mematerikan perhubungan mereka agar lebih bermakna.
Arsyad mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Dia pantas mendail nombor Rasya. Tiga kali deringan, barulah talian di sebelah sana bersambut.

“Hello, dear! Free tak petang ni?” tanya Arsyad terus tanpa ucapan salam seperti selalu.

“Hai Syad. Petang ni? Emm… sorrylah dear. Petang ni I kena temankan mama I ke butik,” jawab Rasya di hujung talian.

“Malam ni?” Arsyad masih tidak berputus asa. Cabaran Wafiya cukup besar maknanya jika dapat dibuktikan. Rasanya sudah lebih dua minggu dia tidak ditemani Rasya. Setiap kali dia mengajak Rasya keluar, ada sahaja alasan yang diberikan.

“Malam pun tak bolehlah, Syad. I dah janji nak dinner dengan famili I,” tutur Rasya dengan nada serba salah.

Arsyad mendengus. “I tak fahamlah. You tak pernah ada masa untuk I. Habis, bila sebenarnya you free ni?” Arsyad mula hilang sabar, tetapi cuba dikawal suaranya.

“Syad, janganlah marah. I memang tengah sibuk sangat sejak kebelakangan ni. Nak jumpa you kejap pun dah terkejar-kejar macam tak cukup masa. Memanglah I rindukan you, tapi apa I boleh buat kalau kerja dah sebeban depan mata?” Rasya masih tegar mencipta alasan.

“Okey, tak apa. Kalau macam tu, apa kata… I join dinner dengan famili you malam ni? I nak jugak kenal dengan famili you.” Arsyad seakan memaksa bila Rasya tetap tidak memberi peluang kepadanya.

Rasya tergamam. Pelik bercampur terkejut. Bagaimana Arsyad boleh jadi senekad itu tiba-tiba? Dia mula kalut. Mana mungkin dia memperkenalkan Arsyad kepada keluarganya sedangkan malam ini, Amer juga akan turut serta menghadiri makan malam bersama keluarganya.

“Syad, listen. Betul you nak jumpa famili I?” Rasya menguatkan suara, memberanikan diri bertanya. Jauh di sudut hati, dia mengharap akan mendapat jawapan ‘tidak’ dari bibir Arsyad.

“I memang nak jumpa famili you, Sya. Dah lama dah. You ingat I main-main ke?” jawab Arsyad penuh yakin. Sedikit kecewa bila Rasya seolah-olah mempersoalkan keikhlasannya. Seperti tidak yakin dengan kejujurannya.

Rasya terdiam. Otaknya ligat berusaha memikirkan alasan lain untuk diberikan kepada Arsyad. Dia tersepit.

“Boleh tak ni, Sya?” gesa Arsyad apabila tidak mendapat apa-apa respons daripada Rasya.

Kedengaran helaan nafas kuat Rasya di talian. “Syad… macam mana I nak cakap, ya? I’m surprise. Tapi… entahlah.” Resah gelisah suara Rasya.

Giliran Arsyad pula menghela nafas dalam. “Rasya… you sebenarnya masih tak yakin dan belum bersedia kan?”

“No, no! I tak bermaksud macam tu…” Rasya pantas menangkis.

“Okey, kalau macam tu… kita jumpa malam ni di rumah you!” tegas Arsyad tidak memberi pilihan.

“Wait! Arsyad! I’m sorry. Malam ni memang tak boleh. Kita kena bincang dulu. I takut famili I terkejut bila tiba-tiba I bawa you datang jumpa dia orang. Kita kena rancang betul-betul dulu, Syad.” Rasya masih mahu berdolak-dalik.

“You macam sengaja bagi alasan, Sya. Kalau betul you sayangkan I, you takkan mengelak macam ni. Betul ke you cintakan I ni, Sya?” tanya Arsyad mula ragu-ragu.

“Syad, sayang I pada you tak pernah berkurang sikit pun.”

“Tapi… I macam dapat rasa you dah tawar hati dengan I. I dapat rasakan, Sya. Tak apalah kalau you tak izinkan. Bye.” Arsyad serta-merta mematikan talian tanpa menunggu balasan Rasya. Dia kecewa. Mungkinkah benar telahan Wafiya? Tidak! Itu bukan telahan! Dia mula yakin, ia bukan sekadar telahan, tetapi gadis itu seperti cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya. Wafiya seperti tahu apa yang dia tidak tahu!

****

Hidup mati cinta kita bersama…

ARSYAD melangkah mengikut langkah kaki dan gerak hatinya membawa diri. Terasa hatinya kini begitu sunyi dan sepi. Tiada lagi gelak ketawa dan rajuk Rasya yang meriangkan hati. Entah mengapa, dia merasakan Rasya semakin jauh dari hidupnya.

Kenangan mulai menerbang jauh melintasi alam benua. Memori sewaktu mula berkenalan dengan Rasya di US dahulu kembali menerpa ingatan.

ARSYAD menulis sesuatu di dalam buku notanya. Dia dan beberapa orang teman senegaranya sedang duduk di bawah pokok, menghadap taman indah berhadapan East 13th Avenue. Tempat itu merupakan laluan utama mahasiswa-mahasiswa universitinya. Tempat itu juga dikenali sebagai heart of campus kerana di situlah pelbagai aktiviti mahasiswa diadakan. University of Oregon menyaksikan pelbagai bangsa di dalamnya begitu tekun mencari ilmu. Masing-masing berkejar menghadiri kuliah seterusnya.

“Syad, kau nampak tak perempuan kat sana tu? One of them, yang pakai sweater biru navy tu, dari tadi asyik pandang sini,” provok Hafizi, teman sekuliah Arsyad.

“Hah? Ya ke? Entah… tak perasan pulak aku.” Arsyad mendongak, mengarahkan padangannya kepada dua orang gadis yang sedang duduk di sebuah bangku panjang yang berhampiran. Benar, salah seorang daripada mereka yang berambut ikal keperangan sedang memandang ke arah mereka. Namun, bila mata itu bertembung pandang dengannya, cepat-cepat gadis itu berpaling ke arah lain.

“Cantik jugak! Dia berkenan kat kau agaknya.”

“Hisy… mengarutlah!” nafi Arsyad seraya ketawa kecil, tanda tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh teman-temannya. Walau bagaimanapun, dia perasan ada secebis senyuman mesra di bibir gadis itu.

Seminggu selepas itu, sekali lagi Arsyad bertembung pandang dengan gadis yang sama di kafetaria sewaktu sedang bersarapan. Si gadis terlebih dahulu mencuri kesempatan itu menegurnya. Kebetulan, dia sedang berseorangan. Teguran pertama itulah yang membawa kepada bibit-bibit pertemuan mereka yang seterusnya. Sehinggalah masing-masing mula menyedari perasaan yang sedang bercambah dan memekar sedikit demi sedikit di hati.

“Syad, I tak nak kehilangan you. I nak hidup di samping you sampai tua, Syad.” Pernah Rasya meluahkan kata-kata itu pada hari terakhir mereka di US. Musim bunga saat itu menyaksikan kemeriahan pelbagai warna daripada beribu spesis bunga. Genggaman erat jemari Rasya yang bertaut kemas dengan jemari Arsyad sudah cukup menceritakan segala-galanya. Kasih mereka padu. Tidak ada apa yang dapat merobohkan tembok cinta mereka berdua.

“Sya, bila I balik Malaysia nanti, I tak nak tunggu lama-lama. I nak jumpa famili you dan lamar you jadi isteri I seberapa segera,” ungkap Arsyad meluahkan hasrat hatinya.

“I love you, Syad…” balas Rasya seolah-olah berikrar. Lunak janjinya di pendengaran Arsyad .

MASIH terngiang-ngiang lagi ucapan keramat Rasya itu. Perasaan dan ungkapan cinta Rasya ibarat hembusan bayu pagi yang menyegarkan. Tapi kini… Rasya dirasakan semakin jauh. Adakah kerana rasa cemburunya pada Wafiya yang membuatkan gadis itu berkelakuan begitu?

Arsyad berdiri sambil memeluk tubuh di hadapan pancuran air Taman KLCC. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia sudah berdiri di situ. Dia melangkah tanpa haluan sambil memikirkan Rasya.

Arsyad memerhati sekeliling. Kelihatan ramai pasangan kekasih sedang asyik bergurau senda. Ada yang berpelukan, ada juga yang bergenggaman tangan tanpa mempedulikan manusia di sekeliling yang memandang.

Arsyad mengambil keputusan untuk masuk semula ke bangunan Suria KLCC. Sesaat berpaling, dia kaget. Langkahnya terhenti serta-merta. Benarkah apa yang sedang dilihatnya sekarang ini? Arsyad tidak berlengah. Demi mahu memuaskan hati, dia bergerak mengekori dua manusia itu.

‘Langkah Arsyad terhenti berhampiran Butik Kunang-Kunang. Arsyad mengintip dari jauh. Mereka seolah-olah sedang berbincang sesuatu dengan pemilik butik tersebut.

Semakin lama dia memerhati, semakin sakit hatinya. Kini, sudah terang lagi bersuluh. Buktinya sudah ada!

Arsyad lantas mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. Dia menekan pad kekunci dan menaip sesuatu sambil matanya liar memerhatikan tingkah pasangan sejoli itu dari luar kedai tersebut sebelum meninggalkan tempat itu dengan jiwa yang lara.

PERBUALAN Rasya dengan pemilik butik terganggu apabila telefonnya memberi isyarat SMS. Dia pantas mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangannya dan membuka peti simpanan mesej sementara menanti Amer keluar dari bilik persalinan. Sejenak, dia tergamam membaca SMS tersebut.

Rasya, thx utk ‘hadiah’ yg amt brmakna ni. I enjoy every bit of it! Give my warmest regards 2 ur ‘mum’ beside u in d boutique.

Terkejut, resah, semuanya bersatu menjadi satu. Rasya berlari keluar dari butik berkenaan. Dia pasti Arsyad sedang memerhatikannya. Memang benar. Kelihatan kelibat Arsyad semakin menjauh ditelan orang ramai.

Ya, memang Arsyad sudah mengetahuinya. Terbongkarlah segala rahsianya kini. Selama empat tahun ini, dia membohongi Arsyad tanpa Arsyad menyedarinya. Patutkah dia menghubungi Arsyad atau membiarkan lelaki itu tenang dahulu sebelum memberi penjelasan?

“Kenapa ni Sya? Muka you nampak pucat. Sakit ke?” tanya Amer Munawer tiba-tiba. Hairan melihat tunangnya seperti mencari seseorang di luar butik itu.

“Nothing! I’m okay. I’m fine!” ujar Rasya cuba meyakinkan tunangnya itu. Mereka kembali duduk di kerusi yang tersedia. Kembali kepada pereka yang menanti di dalamnya.

ARSYAD duduk sambil memegang kedua belah lututnya di parkir motosikal, berhadapan dengan Kolej Seroja. Angin sedang berpuput lembut. Dia ingin bertemu seseorang hari ini. Dia mahu berkongsi lukanya. Selain itu, dia percaya, gadis yang ingin ditemuinya ini merupakan kunci kepada apa yang menjadi tanda tanyanya sejak akhir-akhir ini. Dia yakin, Wafiya sudah lama tahu tentang apa yang ingin diketahuinya. Benarkah dia hadir sebagai orang ketiga dalam perhubungan Rasya dan pasangannya?

Dari jauh, Arsyad sudah terpandangkan Wafiya yang berkemeja kotak-kotak. Dia kelihatan berjalan seorang diri bertemankan buku dan fail di tangan.

Wafiya turut terperasankan Arsyad yang sedang duduk di bawah pohon rendang berhadapan dengan parkir motosikal. Kenapa lelaki itu di sini? Wafiya tidak jadi melangkah ke skuternya, sebaliknya menuju ke arah Arsyad.

“Hai, tunggu Fiy ke?” tegur Wafiya sambil menghampiri.

“Fiy free tak? Boleh temankan Syad hari ni tak?” Soalan berbalas soalan, mengabaikan sapaan Wafiya sebentar tadi. Dia resah dalam kecewa. Dia perlukan Wafiya untuk mengorek rahsia sebenar Rasya.

“Okey… Fiy pun dah habis kelas hari ni. Latihan teater pun dah tamat.” Wafiya memberikan persetujuan.

“Jom, ikut Syad…” Arsyad menarik lengan Wafiya. Wafiya terkial-kial menuruti. Hampir berteraburan fail dan buku nota yang dipegangnya.

“Kenapa ni?” soal Wafiya agak meninggi. Pelik melihat perlakuan Arsyad yang sedikit kelam-kabut.

“Nanti Syad beritahu.” Arsyad terus mendiamkan diri kemudiannya. Tangannya bagaimanapun masih kuat mencengkam lengan Wafiya. Wafiya mengikut langkah Arsyad sehingga ke kereta. Arsyad membuka pintu kereta di bahagian sebelah pemandu dan mengisyaratkan Wafiya masuk sebelum dia bergegas ke bahagian pemandu. Beberapa minit kemudian, kereta itu menderum membelah jalan.

MEREKA sama-sama merenung dada langit yang dilatari sang riang camar yang berterbangan. Arsyad begitu asyik memandang. Seakan terlupa siapa yang dibawanya ke situ.

Wafiya pada awalnya hanya diam mengikut rentak Arsyad, namun lama-kelamaan dia mulai bosan dengan suasana pegun begitu. Keluhan demi keluhan terbit dari bibirnya.

“Kalau nak terus senyap aje macam ni, baik Fiy balik aje. Buang masa Fiy ajelah!” Akhirnya Wafiya bersuara.

“Fiy… Syad rasa Fiy tahu yang… Rasya ada lelaki lain kan? Kenapa Fiy tak beritahu Syad awal-awal?” Arsyad melontarkan soalan tanpa mempedulikan rungutan Wafiya.

Wafiya terpempan. Dia terdiam beberapa ketika sebelum merenung Arsyad di sebelahnya.

“Fiy tahu kan, sebab tu Fiy diam!” tuduh Arsyad lagi sambil menoleh memandang Wafiya sekilas.

“Ya, kalau Fiy tahu pun, apa kuasa yang Fiy ada? Fiy bukannya siapa-siapa! Fiy tak ada hak nak masuk campur dalam urusan Syad dan Rasya!” Wafiya membela diri. Geram juga dia dengan tuduhan Arsyad terhadapnya.

“Jadi… betullah apa yang Syad agak sebelum ni.” Perlahan suara Arsyad. Bibirnya bergetar, menyentuh tangkai hati Wafiya yang memandang.

“Fiy dah tahu segalanya, tapi sengaja sembunyikan dari pengetahuan Syad,” tutur Arsyad tanpa memandang Wafiya Munirah. Hatinya sayu dan sedih kerana dipermainkan oleh mereka yang berada di sekelilingnya. Terasa diri seperti boneka yang dipergunakan hingga akhirnya terperangkap dalam rentak hidup manusia yang tidak punya belas simpati!

“Fiy minta maaf. Fiy yang berdiri depan Arsyad ni bukan sesiapa. Macam yang Fiy cakap tadi, Fiy tak ada hak nak masuk campur dalam soal pilihan hati Rasya. Malah dengan siapa Arsyad nak bercinta atau nak kahwin sekalipun, Fiy tak berhak campur. Tapi malangnya diri Fiy ni, Fiy selalu terlibat dalam semua agenda Rasya tanpa sengaja. Fiy sering dipersalahkan atas segala yang berkaitan dengan Rasya. Semuanya salah Fiy yang orang nampak,” luah Wafiya penuh emosi.

“Fiy… Fiy mesti kenal siapa lelaki yang bersama Rasya, tu kan? Siapa lelaki tu, Fiy? Apa hubungan sebenar mereka?” Arsyad separuh merayu, meminta Wafiya merungkai rahsia.

Satu lagi keluhan berat terbit dari bibir Wafiya. Pelbagai gelodak rasa menyerang, menyesakkan dadanya. Tetapi selagi tidak diberitahu, selagi itulah rasa bersalah akan menghantuinya.

“Lelaki tu… adalah abang Fiy sendiri, Amer Munawer… tunang Rasya sejak lebih lima tahun yang lalu.” Akhirnya Wafiya membongkar rahsia.

Arsyad terpaku beberapa ketika sebelum meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata Wafiya itu. Benarkah? Jika benar, bermakna dirinya sudah lama dipermainkan oleh Rasya. Bagaimana dia boleh begitu mudah terpedaya?

“Kalau Syad tak percaya, tak apa. Lagipun, bukan semua benda yang Fiy cakap orang akan percaya. Tapi, apa yang Fiy dan keluarga Fiy tahu, Rasya memang tunang abang Fiy. Majlis pertunangan mereka diadakan sebelum Rasya berangkat ke US lagi,” terang Wafiya lagi tanpa dipinta.

“Kenapa Rasya sanggup berbohong dan menyembunyikan semua ni?” soal Arsyad perlahan seakan-akan ditujukan kepada dirinya sendiri.

“Fiy tak ada jawapan untuk tu, Syad. Semua tu Syad kena tanya Rasya sendiri,” balas Wafiya enggan bercerita apa-apa lagi. Dia tidak mahu memburukkan keadaan. Dia bersimpati dengan Arsyad. Lelaki itu bagai menahan kesakitan dalam jiwanya.

‘Kita dah seri, Syad. Sama-sama terluka. Sakitnya hanya kita sendiri yang tahu dan tanggung. Apakah kita tidak layak untuk rasa dikasihi?’ Namun, persoalan itu hanya bermain-main dalam fikirannya.

Keadaan menjadi sunyi sepi. Arsyad seakan merenung sesuatu di kejauhan. Wafiya turut terbawa-bawa perasaan luka di hatinya.

“Jom! Saya hantarkan Fiy balik.” Tiba-tiba sahaja Arsyad bersuara, mengejutkan Wafiya yang sedang leka. Cepat-cepat Wafiya menyeka air di birai matanya tanpa sempat dilihat oleh Arsyad.

“Tak payahlah susah-susah, Syad. Hantar aje Fiy balik ke kampus. Lagipun… skuter Fiy masih di sana,” pinta Wafiya.

“Okey, saya hantarkan Fiy balik kampus. Jom!” Arsyad bingkas bangkit dari duduknya.

Wafiya menurut tanpa suara. Begnya disandang ke belakang.

ARSYAD menghantar Wafiya hingga ke parkir motosikal, tempat yang sama di mana dia menunggu Wafiya tadi.

Tersentuh hati Wafiya melihat wajah Arsyad yang keruh. Sesungguhnya dia sendiri mahu tahu kenapa Rasya tergamak bertindak sedemikian. Kalau Arsyad seorang kasanova, tidak mengapa juga. Malah, dia sendiri pasti menyokong tindakan Rasya. Tetapi, setelah lama mengenali Arsyad, ternyata lelaki itu seorang lelaki yang budiman. Apa agaknya yang ada dalam kepala Ainur Rasya, ya?’

“Fiy, jaga diri.” Arsyad menepuk lembut bahu Wafiya, mengejutkan Wafiya dari lamunannya.

“Sabarlah Syad, ya?” balas Wafiya. Lakonan apakah ini?

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/74007/percaya-ada-cinta