[SNEAK PEEK] DIA TIDAK BERDOSA

9789831246580-medium

DIA TIDAK BERDOSA Oleh Puteri Andalas

*1975*

Sekolah Seri Puteri

“Karen… bakar dulu mayat mama jadi abu…”

KAY tercegat di jendela, mengagumi keindahan alam semesta. Itulah kebiasaan yang dilakukan oleh gadis keturunan Cina dari utara yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris, bila menjelangnya waktu senja. Dia amat terpesona menatap tirai senja sepuhan warna lembayung merah dan warna jingga. Dia mengagumi kebesaran Penciptanya.

Menurut Inah, Pencipta itu yang menentukan secara berkala, saat-saat tenggelamnya matahari, saat-saat terbitnya bulan dan bintang-bintang yang berkerdipan.

Menurut Inah lagi, keagungan TUHAN mampu mencorak wajah siang dan malam dengan tinta-tinta yang berbeza. Tiada perlu sebarang petanda, tiada perlu laungan semboyan, tiada perlu dentingan bandul atau peranti untuk-NYA mengasingkan siang dan malam hari, mengikut giliran.

Kata Inah lagi, TUHAN yang maha berupaya dan maha mengetahui segala-galanya. Hanya TUHAN yang dapat menjelmakan tanda-tanda kemunculan senja yang sedang ditatapnya, mengusung maghrib ke pangkuan manusia tanpa bantuan apa-apa, mahupun sesiapa. Dan tiada sesiapa yang mampu menghalang kuasa-NYA.

Kata Inah, manusia kerdil sepertinya, hanya perlu memilih, antara yang diperintah dan yang ditegah. Kita diberi kudrat dan akal untuk berusaha ke arah kebaikan, memilih yang baik dari yang buruk. Dan kita berdoa, memohon perkenan-NYA dan dengan keizinan-NYA.

“Assalamualaikum warahmatullah…”

Kay mendengar suara dan berpaling ke belakang. Dia memandang ke arah Sharidat yang sedang memberi salam dan menoleh ke kanan. Dia faham, salam itu menandakan sembahyang Sharidat sudah hampir selesai.

“Assalamualaikum warahmatullah…”

Sekali lagi Kay memerhati Sharidat memberi salam dan kemudian berpaling ke kiri. Dia memerhati Sharidat berdiri dan menanggalkan telekungnya yang putih dan bersih.

Kay menoleh ke belakang Sharidat pula. Dia memerhati ke arah Inah yang masih lagi di atas sejadahnya. Inah masih menyembah tuhannya. Tuhan yang mereka panggil ALLAH.

Sudah lama dia mengagumi Sharidat dan Inah yang rajin menyembah tuhan mereka, lima kali sehari. Ada ketikanya mereka bangun dan bersembahyang selepas lewat malam. Lebih kerap lagi bila peperiksaan akan menjelang. Jelas Inah, sembahyang yang dia dan semua umat Islam lakukan adalah perintah Tuhan mereka, yang paling utama. Sembahyang itu bererti doa atau permohonan kepada tuhan yang mereka sembah. Dalam sembahyang, kata Inah, dia memuji-muji tuhan, meminta pertolongan dan pelindungan dari segala kekejian jiwa dan keburukan amalan.

Kay berpaling semula ke jendela. Fikirannya masih melamun. Kata-kata dan segala jawapan yang diperolehi dari Inah, teman karibnya mengenai Islam, telah meninggalkan kesan yang cukup mendalam dalam hatinya.

Tiba-tiba lamunannya tercantas. Ada suara yang memanggilnya dari bawah. Dia menjenguk dari jendela biliknya. Tergesa-gesa dia melangkah ke pintu keluar. “Aku keluar sekejap,” katanya kepada Sharidat dan merapatkan pintu bilik yang mereka kongsi bertiga.

“Hmm…” Sharidat sekadar mengangguk.

MATA Inah tercari-cari, tertinjau-tinjau. Dia baru sahaja menyidai kain telekung dan sejadah. Bagai sang labah-labah ditengah sawang, dia tercegat dengan kedua-dua belah tangan mendakap bingkai jendela.

Dia baru selesai bersolat dan bermohon. Dia memohon kesihatan untuk kedua-dua orang tuanya juga mendoakan keselamatan Azizah, kakaknya yang tengah belajar di luar negara. Dan yang paling utama buat masa ini, doa untuk teman baiknya, Kay yang berada di persimpangan jalan, antara akidah dan keluarga.

“Eh… Dat. Kay turun jumpa siapa tadi?” Dia bertanya pada Sharidat yang terbaring di atas katil dengan buku di tangan.

“Entah. Tak sempat nak tanya,” jawab Sharidat tanpa mengangkat mukanya.

“Mak dia kot?” Inah mengandaikan dan dia turut berbaring di katilnya.

Sharidat mengangkat bahu. Jelas, dia tidak berminat untuk mengambil tahu.

Berbeza dengan Sharidat, Inah amat akrab dengan Karen Keh Pik Yip, yang lebih mesra dipanggil Kay. Dengan bantuan Kay, dia dapat menguasai bahasa Inggerisnya dengan baik. Dia juga rajin membantu Kay dalam mata pelajaran yang lain. Mereka saling bantu membantu. Persamaan dalam banyak perkara telah merapatkan ikatan persahabatan mereka berdua.

Kay gemar berfesyen dan berseluar panjang, manakala Inah selesa berbaju kurung. Namun dalam memilih warna, mereka sepakat dan sekata. Walaupun mereka berlainan keturunan tetapi warna kulit Inah, seperti juga warna kulit Kay, hitam manis. Mata Kay juga sebesar dan sehitam matanya. Cuma satu sahaja yang membezakan mereka, iaitu anutan agama.

“Lama betul. Jangan-jangan… si Chris tu datang buat kacau lagi macam kat pekan dulu.” Inah menyuarakan kebimbangannya. Dia bangun dan berjalan ke tingkap.

Tempoh hari, dia berasa gerun apabila menyaksikan Chris mengugut dan hampir-hampir menempeleng Kay di kedai makan, di pekan. Mujurlah hari itu, dia dan beberapa orang teman ada bersama Kay. Sejak dari hari itu, Kay tidak boleh hilang dari pandangan matanya. Dia bimbang Chris akan datang lagi dan mencederakan teman baiknya.

Sharidat tetap membisu. Dia menjeling perbuatan Inah yang berjalan mundar-mandir di hadapan tingkap. Berbeza dari sikap Inah, dia kurang mengambil tahu hal peribadi Kay.

“Heh! Sakitlah!”

Tiba-tiba satu jeritan seakan-akan suara Kay, dari bawah asrama, mengejutkan mereka berdua.

Inah dan Sharidat berpandangan.

Spontan Sharidat melepaskan buku teks di tangan. Dia melompat dari katil dan menyertai Inah di tingkap. Mata mereka berdua membulat melihat ke bawah, ke tempat parkir kereta dan motosikal pelajar-pelajar.

“Chris! Lepaskan tangan aku.”

Dalam suram cahaya lampu jalan, kelihatan dua lembaga, lelaki dan perempuan sedang bertengkar dan bertolak-tolakan.

Kay? Mata Inah dan Sharidat tidak berkedip. Mereka terpegun, terpaku melihat Kay sedang terkial-kial cuba melepaskan lengannya dari cengkaman lelaki itu.

“Sakit! Lepaslah!” Kay menjerit kerana pegangan Chris semakin kuat.

Chris mengetap bibir. Geram. Digoncang-goncangnya lengan kiri Kay. “Tahu sakit! Tetapi… kenapa kau buat?”

“Buat apa?”

“Ni… ni!” Chris mengacu-acu telunjuknya ke kepala Kay.

Kay menepis dan mengelak.

Chris lebih pantas. Dengan sekali rentap, skaf yang menutupi kepala Kay terlucut. “Hisy!” dia mendengus dan menghumban skaf itu ke atas rumput.

“You’re crazy!” Mata Kay terbuntang melihat skafnya dibuang ke tanah. “Kau memang gila, Chris!” Terbongkok-bongkok dia mencari skaf dan pengikat rambutnya yang melayang jatuh ke dalam longkang.

“Karen! Kau dah janji! Kau janji dengan kami… tapi kau buat lagi!” mata Chris mencerlung.

“Buat apa?” Kay membetul-betulkan rambut yang terburai dari ikatannya.

“Tu… benda bodoh yang tadi kau letak atas kepala kau tu!” Chris menunjuk ke arah skaf yang sudah terhumban ke dalam longkang.

“Apa salahnya?”

“Kau jangan berdalih. Bukan itu saja yang aku tahu. Aku pernah nampak kau keluar dari masjid tu dengan dia orang. Kau dah janji dengan mama hari tu, kan? Kau janji tak buat lagi!”

“Kau intip aku?”

“Mama takut kau terpengaruh!”

Kay memuncung dan berpaling. Wajah Chris tidak mahu ditentangnya.

“Mama nak kau balik, sekarang! Karen! Kau dengar tak? Se…ka… rang!”

“Kau gila? Aku tengah periksa! Mana boleh balik sekarang? Habis periksa… aku baliklah. Tak payah nak gertak-gertak!”

“Apa dah jadi dengan kau ni, Karen? Kau tak sayang mama lagi? Kau nak buang kami? Nak buang agama keturunan kita?” Suara Chris semakin lantang. Tangan Kay cuba ditariknya semula.

“Agama?” Kay mendengus, menceberkan bibir. Mulutnya terkumat-kamit, menyindir dan menempelak sambil tangannya menepis dan mengelak. Puas menyerang balas dengan kata-kata yang sudah lama terbuku di hatinya, dia turut meninggikan suara. “Kau sentuh aku… aku jerit nanti!”

Chris semakin menyinga. Kata-kata sindiran Kay membuat darahnya mendidih. “Mama sakit pasal kau, tau! Kau memang tak kenang budi! Kau nak dia mati cepat, ya?” Tangan kirinya pantas mencengkam dagu Kay.

“Pukullah! Tamparlah!” Kay memberanikan diri, menadah muka, menyuakan pipinya.

“Kay!” Inah berteriak dari tingkap biliknya.

Kay tersentak bila namanya dipanggil. Dia berpaling ke atas, ke tingkap biliknya. Spontan dagunya terlepas dari cengkaman Chris.

Chris turut mendongak. Kelihatan jelas dua kepala yang terjengul dari jeriji tingkap di tingkat satu. Sedikit cuak, pantas dia menunduk tetapi marahnya masih belum reda.

Nafas Kay turun naik. “Chris tolong… baliklah. Dia mengatur dua langkah ke belakang. Dia ingin pergi dari situ sebelum Chris bertindak lebih agresif terhadapnya.

Chris terus mara menuruti langkah Kay. Tangannya tergapai-gapai ingin menarik tangan Kay sekali lagi. Dia masih belum puas hati.

“Kay! Kay!” teriak Inah. Kali ini lebih lantang.

Chris mendongak lagi. Dilihatnya kepala-kepala yang menjenguk sudah bertambah. Dua tiga kepala lagi muncul di tingkat dua dan tiga. Mereka sedang memerhati gerak lakunya.

Chris mula cuak. Dia cuba mengawal kemarahannya. Bukan niatnya datang untuk membuat kecoh. Dia tidak mahu dituduh menceroboh. Tadi dia telah meminta izin pengawal di pos masuk, mahu menghantar makanan dan ubat kepada adiknya, Karen Keh Pik Yip. Pengawal itu memang telah kenal wajahnya.

Sebelum ini, sudah beberapa kali dia datang bersama mamanya. Perlahan-lahan dia mengatur langkah mara, cuba mendekati adiknya semula.

Kay mengatur langkah berundur. Mukanya dipalingkan. Dia tidak mahu menentang muka Chris yang sedang menyinga. Lebih lama lagi Chris berada di situ, akan lebih kecoh jadinya. Dia tidak mahu Chris ditahan pengawal dan didakwa. Itu akan memalukan dirinya juga. Kali ini dia harus berlembut.

“Chris… tolong jangan buat kecoh. Habis periksa, aku balik. Aku janji.” Perlahan sahaja nada suara Kay.

Chris terdiam sejenak. Menggaru-garu keningnya.

“Please…” pujuk Kay sekali lagi dengan wajah mengharap.

Chris, memandang adiknya yang sedang mengusap-usap dagu dan lengan kirinya. “Karen… sorry.” Dia menyesal bertindak kasar dan menyakitkan adiknya tadi. Suaranya lebih lembut kali ini. “Please wait. There’s something from mama. Your favourite… szechuan soup and vitamins.” Dia bergegas ke keretanya.

Langkah Kay terhenti. Serba salah. Dia memandang ke arah Chris yang sedang membuka pintu kereta dan mengeluarkan sesuatu. Dia jadi tidak sampai hati. Ungkapan mama tadi menyejukkan rasa marah di hati.

Chris kembali dan berada cuma selangkah jauh darinya. “It’s from mama. She prepared it for you.”

Kay masih tidak berganjak. Langkahnya mati di situ.

Chris mendekati. Matanya tepat ke wajah Kay. Kemarahan di wajahnya sudah tiada. Sebuah beg plastik diunjukkan kepada adiknya. “Sorry, Karen…” Lengan Kay cuba diraihnya. Dia tidak dapat mengawal perasaannya tadi.

Kay pantas mengelak.

“Habis periksa… balik, ya. Jangan buat mama tunggu. Dia tak sihat. Dia rindu, kau.” Chris sekan-akan berbisik.

Teragak-agak, Kay menyambut beg plastik dari tangan Chris. Wajahnya masih memuncung dan tanpa berkata apa-apa, dia melangkah pergi, meninggalkan Chris yang terkebil-kebil dan masih tercegat di situ.

Sambil mendaki tangga ke biliknya, Kay melepaskan nafas lega sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi deruman enjin kereta Chris berlalu pergi.

Kay menolak pintu biliknya. Inah dan Sharidat sudah sedia menunggu dengan pandangan penuh tanda tanya. Mereka melihat rambut Kay kusut dan tangannya menjinjing sebuah beg plastik berwarna kuning.

Kay duduk di kerusi sambil menunduk. Sesekali tangannya meraba-raba dagu, lengan dan pipi.

“Abang kau datang lagi? Apa dia nak?” tanya Inah.

Kay hanya mengangguk.

Inah mendekati. Penuh simpati, bahu Kay disentuhnya.

“Dia marah-marah. Dia kata… dia kata, aku tak kenang budi. Dia nak seret aku balik, tadi.”

Inah dan Sharidat berpandangan.

“Sabarlah. Habis periksa ni… kau baliklah. Jelaskan baik-baik. Agama tak galakkan kita memusuhi keluarga. Lebih-lebih lagi ibu yang dah besarkan kita,” nasihat Inah.

“Aku sedih. Dia orang tak nak percaya cakap-cakap aku. Dia ingat aku nak buang keluarga,” jelas Kay.

“Sabar dulu. Jangan burukkan keadaan. Mengalah dulu.” Inah menasihati Kay. Memang itulah kebiasaan yang dia lakukan untuk teman karibnya itu. “Dah… jom… turun makan. Dah lewat ni. Nanti… yang tinggal tulang ngan ekor ikan, aje.”

Sharidat sudah lebih dahulu menapak keluar.

“Kau pergilah. Aku tak ada selera.” Kay membetulkan posisi duduknya. Matanya merenung lantai.

Inah menyentuh bahu Kay sekali lagi. Dia menghulur getah pengikat rambut ke tangan Kay. Hari demi hari, rasa simpati bertambah di hati Inah untuk Kay yang sudah dibukakan sedikit demi sedikit pintu hatinya ke jalan ALLAH SWT. Semoga DIA akan mempermudahkan jalan, untuk Kay mencari ‘Nur’ yang akan menerangi hidupnya yang diakuinya kosong selama ini. Insya-ALLAH.

“Sorry… pengikat rambut dengan skaf jingga kau dah masuk longkang.” Kay mendongak, memandang Inah yang juga berwajah muram. Gadis yang hanya sepuluh jam lebih tua darinya itu telah dianggap sebagai kakak. Dia tahu, gadis Melayu itu amat mengambil berat akan dirinya.

Kay menyambut pengikat rambut dan menyiput rambutnya. “Terima kasih Inah sebab selalu ada bersama aku pada masa-masa macam ni. Aku tak tahu apa akan jadi pada aku kalau kau tak ada.”

Inah hanya mengangguk. “Dah… jom turun.”

“Betul… aku tak ada selera. Pergilah. Lagi pun, tu… dah ada makanan untuk aku. Sup… mama aku masak.”

Sebaik sahaja kedua-dua teman sebiliknya keluar, Kay berbaring di atas katil. Dalam dibungkus dilema, ditemani bilik yang sunyi sepi, wajah mama bulan lalu, mendominasi fikirannya kembali.

“Betul ke, Karen apa yang mama dengar ni?”

Dia hanya menunduk. Menggeleng tidak, mengangguk pun tidak.

“Karen… mama ni dah tua. Sakit-sakit pula. Tunggulah sampai mama mati dulu. Karen bakar dulu mayat mama jadi abu, lepas tu buatlah apa yang Karen mahu. Masuklah agama apa pun. Selagi mama ni hidup… mama tak sanggup tengok…” Mamanya tidak menghabiskan ayatnya. Mamanya menangis tersedu-sedan di hadapannya beberapa bulan yang lalu.

Kay terbayangkan wajah pilu mama. Terngiang-ngiang kembali setiap patah perkataan yang mengiringi juraian air mata mama. Air mata bak butiran manik yang putus tali, menuruni pipi cengkung mama, menghantui setiap hela nafasnya. Menjadikannya rasa amat bersalah, rasa derhaka pada orang yang telah banyak berjasa, membesar dan mendidiknya.

Dia tidak pernah lupa, dia cuma anak pungut dalam keluarga Keh. Tidak payah ditanya, wajah dan kulitnya mampu bercerita. Wajah mama, papa, Chrissy dan Chris jauh berbeza dari wajahnya. Secara bergurau, Chris pernah mengusiknya dengan julukan ‘Kucing Siam’. Dia tidak kisah dengan usikan itu, kerana senda gurau dan usikan itu tidak langsung menjejaskan kasih sayang mereka terhadapnya.

Di zaman kanak-kanaknya dia senyum malu-malu bila dipuji.

Mereka puji batang hidungnya yang bertulang tinggi.

Mereka puji matanya yang bersinar, bulat, macam guli.

Mereka puji bulu matanya yang melentik dan rambutnya yang lebat, hitam dan kerinting.

Tetapi bila dia berada di alam persekolahan, lain pula yang terjadi. Kata-kata itu menjadi penghiris hati. Dia jadi sensitif. Tidak selesa bila mereka membandingkan warna kulitnya yang sawo matang dengan kulit putih abangnya Chris dan kakaknya Chrissy.

Bila meningkat lebih dewasa, mata mama, mata Chrissy dan mata Chris yang sepet mula mengetuk curiga di hatinya. Begitu juga rambut mereka. Rambut Chrissy, mama dan Chris lurus dan tidak sehitam rambutnya. Dia tahu ada rahsia yang disimpan oleh mereka selama ini. Walaupun mereka menyayanginya, dia tetap jadi bahan cerita orang yang melihat perbezaan wajah mereka yang amat ketara.

Mama tidak pernah berdalih. Kata mama, lambat-laun dia tentu akan tahu juga. Mama hanya menunggu kesesuaian waktu. Dan bila genap sahaja umurnya 12 tahun, mamanya menyingkap cerita. Cerita sebenar mengapa raut wajah, rambut dan warna kulitnya berbeza daripada mereka.

Cerita mama, dia dijumpai sedang menangis dan tergolek dikerumuni semut di atas sehelai kain batik Siam, di luar sebuah tokong di sempadan tanah air. Waktu itu, mama ke tokong tersebut untuk membayar nazar selepas mamanya sembuh dari penyakit kayap yang telah merebak, memamah kulit dan daging di pinggangnya.

Kayap ular yang berbisa dan menyeksakan itu, telah melingkari pinggang mama dan lilitan itu sudah hampir-hampir bercantum di kedua-dua belah hujungnya. Kata mama, andainya lingkaran itu bercantum, mama akan menemui ajalnya.

Sebelum itu, sudah beribu wang papa habis untuk membayar beberapa orang bomoh dan doktor-doktor pakar, namun semuanya gagal menyembuhkan penyakit mama. Kata mama, dia telah berputus asa untuk hidup dan pernah menelan pil tidur yang berlebihan untuk membunuh dirinya. Namun tak berjaya.

Setelah lama menderita, mama rasa seperti mati hidup semula setelah dia dirawat oleh sami berketurunan Siam di tokong itu. Kaedah rawatan yang digunakan amat dahsyat dan menyakitkan. Rawatan tradisional di mana kulit mama dibakar dengan api colok yang merah menyala, berserta dengan jampi serapahnya. Kata mama, sakitnya bukan kepalang, bisanya hingga ke tulang.

Dan dengan saranan sami itu juga, tanpa berfikir panjang, papa bersetuju mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk membeli bayi dari Sami tokong itu.

Sejak dari hari itulah, dia menjadi anak angkat kepada keluarga Keh, walaupun waktu itu kehidupan mama dan papa sudah cukup bahagia dan sempurna dengan sepasang anak kandung, Chris dan Chrissy.

Cara mama menyampaikan cerita itu membuat dia menerima rahsia besar asal-usulnya, dengan hati yang terbuka. Dia tidak pernah rasa terhina mahupun terluka kerana selama ini mereka semua amat menyayanginya. Chrissy dan Chris tidak pernah mengungkit siapa keturunannya. Dia juga tidak berminat untuk mengetahui siapa ibu dan ayah kandungnya.

Dia dibawa pulang sebagai anak angkat. Papa dan mama telah membesarkannya dengan nama Keh Pik Yip. Tambahan ‘Karen’ di pangkal namanya, Chrissy dan Chris yang memberinya kerana kedua-dua mereka juga mempunyai nama-nama Kristian. Dia diasuh sebagai anak bongsu yang dimanjai dan disayangi sepenuh hati.

****

Lapan tahun kemudian… Di sebuah hospital swasta

“Nama Islam aku… Nur Khalidah.”

 

“MAAF… ada orang?” tanya Inah dengan senyuman manisnya.

Jururawat yang disapa, menggeleng tanpa mengangkat mukanya.

Inah meletakkan pinggan nasi lemaknya di atas meja. Dia menarik kerusi lalu duduk. Jururawat yang duduk di hadapannya sedang menghirup kopi dan tidak langsung ambil peduli.

Bukan dia tak terasa, terasa juga. Tapi dia masih mampu tersenyum dan mengangkat keningnya. ‘Biasalah…’ bisik hatinya. ‘Orang sekarang tak macam orang dulu-dulu. Orang dulu-dulu terlebih ramah, suka kumpul taulan tapi… suka pulak menjaga tepi kain jiran. Orang sekarang berlainan. Terpekik terlolonglah jiran sebelah kanan, jiran sebelah kiri tutup telinga, tutup mata, tutup pintu, buat-buat tak tahu.’

Matanya ke pinggan miliknya yang penuh berisi nasi dan lauk-pauk. Perutnya memang belum diisi. Tajam fokusnya ke telur mata yang memang menyelerakan.

Dia menjeling sinis ke arah jururawat yang memakai jam bertali jingga. Dia tersenyum sendiri. Ada sesuatu yang tiba-tiba terbang kembali ke layar memori, spontan menggeletik hati. Dia memegang sudu. Dia mahu memulakan suapan. “Alah… lupa ambil garpu pulak,” rungutnya tiba-tiba. Dia bangun. Matanya meliar ke kaunter hidangan, mencari di mana letaknya bekas sudu dan garpu.

“Ni… ambillah. Saya tak pakai.”

Terpempan sesaat, Inah duduk semula. Jururawat yang berlagak ala-ala bisu tadi, tiba-tiba bersuara. Sebelum garpu yang dihulur disambut, dia membaca tag namanya. ‘N.K. Idah’.

Garpu bertukar tangan.

“Terima kasih,” ucap Inah.

Wanita itu mengangguk dan mengangkat mukanya.

Mata mereka bertentangan.

“K… Karen? Kay? Karen Keh Pik Yip?” Inah hampir-hampir menjerit.

“Kak Inah?” Kay terkebil-kebil. “Inah?”

Diam seketika. Dua pasang bibir ternganga sesaat dua.

Mata Kay serta-merta panas. Suaranya amat jelas walaupun sedikit bergetar. “Alhamdullilah… Alhamdullilah…syukur kepada ALLAH!” Jari-jemarinya mengangkat doa.

‘Alhamdullilah?’ Inah turut terpaku. Dia merenung wajah yang berpipi basah, mata berair dan merah. “Kay…Karen… betul kau Karen? Kau dah masuk…”

“Ya… ya…” Beria-ria Kay mengangguk dengan suara yang jelas diamuk emosi. Air matanya mengalir lagi. “Kay…Karen… Nur Khalidah. Nama Islam aku Nur Khalidah.”

“Al… Alhamdulillah.” Inah cuba mengawal emosinya.

“Kau baru tukar ke sini? Wad mana?” Kay bertanya.

Inah mengangguk. Masih teruja. Macam tak percaya. “Er… 7. Kau wad mana?”

“4C. Kau tinggal dekat-dekat sini ke?” tanya Kay pula.

“Tak. Aku berulang dari rumah orang tua aku. Kau dah lama kerja sini?”

Kay mengesat pipinya. “Dah masuk tiga tahun. Dah lama aku cari kau. Kau ke mana? Banyak yang aku nak cerita. Habis syif kita jumpa… boleh? Kat rumah aku.”

Inah mengangguk. Matanya melirik jam di dinding kafeteria. “Alamak, dah sampai waktu masuk ni. Okey, kita jumpa petang nanti. Kau tunggu aku depan pintu utama. Skuter kau yang warna jingga tu… ada lagi, tak? Aku bonceng kau aje nanti.” Dia ketawa.

Kay tergelak sama. “Dah berzaman… mana ada lagi? Dah jadi besi sekerap. Sekarang ni, motor tak ada… car pun tak ada. Yang ada… ‘ki’ ni je.” Dia menunjukkan kedua-dua belah kakinya. “Jadi… kita jalan ka… ki aje, nanti. Rumah aku tak jauh dari sini. Depan sana aje.”

“Apa nombor telefon kau?” tanya Inah.

Mereka bertukar nombor telefon. Berbual, bergelak ketawa, bersentuhan tangan, mengambil kesempatan memanfaatkan tempoh yang terluang dalam perjalanan ke wad masing-masing.

Wajah mereka bak bulan purnama, diamuk perasaan gembira tidak terkata. Dua sahabat seasrama yang satu ketika dahulu, pernah berkongsi bilik dan berkongsi rahsia zaman remaja, berpelukan sebelum menghayun kaki ke arah yang berasingan untuk memulakan tugas harian.

Kay benar-benar teruja, Inah muncul di saat-saat dia amat memerlukan pertolongannya.

SELEPAS bertugas, seperti yang dijanjikan, Kay menunggu Inah di pintu utama hospital. “Wow… Inah! Hebat kereta kau. BMW! Kenapa pilih biru? Kenapa tak beli jingga?”

Ledakan ketawa mereka berdua terburai.

Jingga warna yang paling istimewa dalam sejarah persekolahan mereka.

Nostalgia lama menyingkap tirai. Sewaktu seasrama dulu, mereka berdua memang mengilai warna jingga. Selipar, baju tidur, tuala mandi, sikat, beg, malah apa saja barang yang dibeli, andainya mereka membeli-belah bersama, jinggalah yang menjadi pilihan mereka yang utama.

Itu kisah zaman remaja. Sekarang masing-masing sudah dewasa. Warna jingga sudah kurang dijadikan pilihan Inah lagi. Dia sekarang menggemari warna-warna lembut yang menyenangkan mata dan hati.

Tetapi Kay masih taat pada warna jingga. Warna itu mendekatkan dia kepada Inah. Teman yang amat dirindui. Zaman persekolahan bersama Inah sesuatu yang amat berharga dalam hidup Kay selama ini.

“Kat mana rumah kau?” tanya Inah.

“Seberang jalan aje. Kau buat U-turn kat lampu isyarat depan sana tu. Hati-hati sikit… ada penunggang motosikal yang buta hati buta warna, tak kenal lampu merah, tak sayang nyawa,” beritahu Kay dalam nada lucu dan sinisnya.

‘Inilah Kay. Masih tak berubah.’ Inah tersenyum. Spontan nostalgia zaman bergelar pelajar bersama Kay tertayang di layar ingatan.

Kay memang begitu. Kerap melepaskan geramnya terhadap pelajar, penunggang motosikal yang tidak berdisiplin. Dia masih ingat waktu di asrama dulu, Kay begitu lantang dan berani membuat report pada cikgu apabila ada pelajar-pelajar yang menunggang motosikal secara semborono di kawasan asrama. Dan Inah sebagai pembonceng tetap skuter berwarna jingga Kay, akan menjadi saksi menyokong kesahihan aduan-aduan Kay bila pelajar-pelajar tersebut dipanggil untuk diberi kaunseling dan tindakan disiplin.

Akibatnya kerap juga tayar skuter Kay dipancitkan sebagai tindak balas pelajar-pelajar yang sakit hati. Maka berpeluh-peluhlah mereka berdua, bergilir-gilir menyorong motosikal warna jingga Kay yang pancit sewaktu mendaki anak bukit untuk ke bengkel.

Itulah salah satu nostalgia manis yang mengikat silatulrahim mereka, kian mesra dan amat erat, selain dari warna jingga dan kesungguhan Kay yang sering bertanya mengenai agama.

Inah masih ingat kata-katanya kepada Kay satu masa dahulu mengenai agama Islam. Kay bertanya apa keistimewaan Islam dan mengapa orang Islam rajin bersembahyang.

‘Islam berasal dari bahasa Arab dari asal kata ‘Salima’ bererti ‘Selamat’. Selamat di dalam lindungan ALLAH SWT, bilamana kita berserah diri, patuh dan taat kepada-NYA. Kami bersembahyang kerana solat itu adalah perintah ALLAH SWT yang paling utama. Solat bererti doa atau permohonan kita kepada ALLAH.’ Itu jawapan yang diberi kepada Kay, yang diajar oleh guru agamanya, juga yang dibaca dari buku-buku panduan agama.

“Dah sampai. Tu… rumah teres dua tingkat yang warna biru tu. Slow down… berhenti kat bawah pokok tu. Depan pondok telefon tu.” Kay menamatkan lamunan Inah.

“Rumah gate putih tu?” tanya Inah sedikit keliru. Matanya tertumpu kepada tanglung merah dan tokong kecil berwarna merah di dinding porch rumah itu. Bunyi salakan anjing dari dekat dan jauh turut menyerbu telinganya.

“Hmm… convenient, kan? Hari-hari jalan kaki aje.” Kay membuka pintu pagar yang bermangga.

Mereka masuk ke dalam rumah dan terus ke ruang tamu.

Mata Inah meliar ke keliling sebaik melangkah masuk ke ruang tamu. Ada dua buah bilik berdekatan ruang tamu. Ada gambar besar, seorang pemuda Cina yang tampan di dinding ruang tamu. “Kenapa senyap aje ni?” tanyanya.

“Shif malam agaknya.”

“Shif malam? Hospital kita ke?” tanya Inah.

Kay mengangguk.

Hidung Inah terhidu sesuatu dan mata yang mencari-cari terpaku ke sebuah almari kecil di penjuru ruang tamu. Walaupun tidak terlalu ketara, hidung Inah dapat mengecam bau itu. Dipercayai datangnya dari sebuah bekas yang berwarna merah di situ. ‘Bau colok!’ Dia keliru. “Mak kau duduk dengan kau ke?”

Kay menggeleng. “Tak. Jom… bilik aku kat atas.”

‘Naik ke bilik?’ Inah lebih keliru. ‘Kenapa tak duduk berbual di ruang tamu saja?’ Namun dia mengekori langkah Kay mendaki tangga yang berjubin putih. “Dia kerja shif malam ke? Hospital kita juga, ya?”

Kay mengangguk sambil menolak anak kunci ke pintu bilik di tingkat atas berhampiran ruang tangga. “Masuklah. Ini bilik utama, bilik aku. Kami berempat semuanya.”

‘Hah? Dia dah ada dua anak?’ Inah memandang keliling bilik Kay. Nampak selesa dan kemas. Dia tersenyum apabila melihat satu daripada empat dindingnya dicat warna jingga. Di satu sudut, terletak sebuah sofa berfabrik, dua tempat duduk, juga berwarna jingga.

Berdekatan tingkap ada sebuah almari pakaian, cermin panjang dan sebuah katil bercadar bunga-bunga kecil putih, jingga juga warnanya! ‘Katil bujang aje?’ Bisik hati Inah. Ada bingkai gambar di atas meja kecil di sisi katilnya. Gambar Kay dan mamanya. “Anak kau dah dua, ke? Mana dia orang? Suami kau kerja hospital kita, bahagian mana? Dia err… Cina, ke? Doktor… ya?”

Kay tergelak kuat.

Inah tercengang melihat Kay mentertawakannya. “Kau kata tadi… berempat. Suami… anak-anak…”

“Aku tak kahwin lagi. Yang dua tu, Madam Lim dengan anak dia Ronnie… tuan rumah ni. Bilik dia orang, yang dua kat bawah tadi. Ronnie yang sewakan bilik atas ni pada aku. Sebelah ni… bilik Sarojini, nurse kat wad bersalin. Aku yang ajak dia sewa bilik tu. Dia shif malam agaknya hari ni.” Kay tergelak kerana Inah sudah tersilap faham. “Sejak Ronie jadi doktor pakar… dia di hantar ke HBKL. Sekali-sekala saja dia balik jenguk rumah ni.”

“Doktor? Dia datang jenguk rumah ke… jenguk buah hati dia kat sini? Gambar kat bawah tu… gambar dialah, ya? Handsome. Doktor pakar pulak tu. Beruntungnya nasib badan!” Inah mengusik.

Kay menggeleng. “Not anymore. Itu cerita dulu.” Perlahan sahaja dia menyusun kata-katanya.

“Kenapa? Putus?”

“Aku dah pilih agama Islam. Aku nak mati sebagai seorang Islam.” Suara Kay perlahan. “Aku tak mahu dia pula dimusuhi keluarga. Aku tahu kesannya. Berat.” Wajahnya bertukar suram. Dia teringatkan kisah dirinya yang disisih oleh keluarga kerana menukar agama.

“Aku ternampak altar dan bekas colok. Kemudian gambar besar yang tergantung kat bawah tu. Aku terfikir, kalau kau dah peluk Islam… kenapa pulak ada colok kat rumah ni? Itu yang buat aku keliru tadi,” terang Inah, mengaku kesilapannya.

“Dah tiga tahun aku peluk Islam. Tapi bukan sebab nak kahwin. Aku kan dah cakap dulu… masa kat asrama. Aku dah lama pendam cita-cita nak jadi seorang Muslimah. Kau ingat lagi, tak?”

“Mak kau dah izinkan?”

Kay menggeleng perlahan. Wajah yang ceria berubah tiba-tiba. “Dia… dia tak terima. Dia buang aku. Dia tak mengaku aku anak dia lagi.” Dia menarik satu per satu pin penyemat kep di kepalanya. “Selepas dapat kerja… aku selalu call dia, hantar duit, hadiah hari jadi dan kad Chinese New Year.”

“Dia terima?”

“Dia terima agaknya, sebab barang-barang tu tak pernah returned to sender. Tapi dia tak pernah hubungi aku lagi.”

“Abang kau?” tanya Inah lagi. Dia merenung keseluruhan wajah Kay yang nampak lebih jelas tanpa kep jururawat di kepala. Rambut Kay yang kerinting dilepaskan dari ikatan, terhurai melepasi bahu. Cantik, hitam lebat warnanya. Kay kelihatan lebih cantik, lebih ayu dari dulu.

“Dia duduk dengan mama,” jawab Kay lambat-lambat. “Sambil-sambil duduk tu… kau tengok-tengoklah gambar-gambar lama kita kat meja hujung sana.” Dia meninggalkan Inah dan masuk ke bilik air. Perbuatannya seolah-olah ingin menghentikan persoalan mengenai abang dan mamanya.

Inah merapati meja tulis Kay.

Di dinding berdekatan meja tulisnya, tergantung dua bingkai gambar berlatar belakang warna hitam, bertulisan khat warna emas, dengan perkataan ‘ALLAH’ dan ‘MUHAMAD’.

Beberapa keping gambar yang tersusun di atas meja juga menarik perhatiannya. Dia tersenyum sambil membelek satu per satu gambar-gambar mereka sewaktu di sekolah dahulu. Dia tergelak melihat gambar paling lucu di tangannya. Gambar mereka berdua bercermin mata hitam, di tengah-tengah panas terik, sedang berposing sakan di atas skuter yang berwarna jingga. Berkilauan sinar matahari memantul dari cermin mata hitam yang bertangkai dan berbingkai jingga, yang mereka sepakat membelinya dari Pasar Selasa.

Mereka memang sangat akrab waktu itu, bagaikan belangkas. Mereka pernah berjanji tidak akan memutuskan hubungan persahabatan sampai bila-bila. Sampai mati. Tetapi setelah pengajian berakhir, masa dan keadaan telah menjarak dan memisahkan mereka.

Dia melekapkan gambar itu ke dadanya. Syukur… kini masa dan kerjaya yang dipilih, telah menyatukan mereka semula. Senyumnya melebar dan serta-merta matanya berkaca.

“Dah tengok gambar-gambar tu? Nampak tak? Aku tak pernah lupakan kau.” Kay baru keluar dari bilik mandi sambil berkemban kain batik. Tuala mandi tersidai di bahu kirinya. “Aku dah lama cari kau. ALLAH dah perkenankan permintaan aku hari ni. Alhamdullilah. Kau datang tepat pada masanya.”

Inah terharu mendengar pengakuan itu. Terharu mendengar kalimah ALLAH begitu lancar terluah dari bibir Kay. Sedikit rasa bersalah kerana tidak sungguh-sungguh mencari Kay dahulu. Dia terlalu sibuk dengan urusan ahli keluarganya. Mereka amat bermakna kepadanya. Dia memang dilahirkan di tengah-tengah keluarga Melayu yang cukup bahagia.

Kini kakaknya sudah berumah tangga. Hanya dia seorang sahaja yang belum. Dia masih tinggal sebumbung dengan kedua-dua orang tuanya. Menemani dan menceriakan hidup mereka adalah tanggungjawabnya yang paling utama. Memang ahli keluarga paling berharga kepadanya hinggakan kebanyakan nama teman-teman sekolahnya hampir-hampir dilupakan. Tetapi teman keturunan Cina yang bernama Kay @ Karen Keh Pek Yip ini tidak pernah luput dari ingatan.

“Aku pernah hantar surat ke alamat kau dulu. Dua kali. Tapi kau tak jawab. Aku cuba tanya kawan-kawan pasal kau. Tetapi, dia orang pun tak tahu.” Bingkai gambar diletakkan kembali di atas meja. Dia duduk di sofa yang berdekatan katil sambil memerhati Kay yang sedang mengelap hujung-hujung rambutnya.

“Lepas sekolah, kami tak tinggal di rumah lama tu. Chris bawa kami pindah. Dah banyak kali pindah-randah.”

Mata Inah tidak berkerdip. Kulit Kay yang sedikit gelap masa di sekolah dahulu, kini nampak lebih cerah, halus dan cantik. Bentuk badan Kay amat menarik. Kay nampak jauh lebih muda dari usia sebenarnya.

Mereka berkongsi hari lahir, bulan dan tahun yang sama, cuma waktunya berbeza. Dia dilahirkan tepat jam 12.05 selepas tengah malam, 13 Oktober dan Kay pula jam 10.05 pagi, hari yang sama. Kerana jarak lewat sepuluh jam itu, Kay kadang-kadang memanggilnya dengan panggilan ‘Kak Inah’.

“Aku ambil wuduk dulu, ya,” kata Kay.

Inah memerhati Kay berlenggang ke dalam bilik air semula. Dia tidak berkuit dari sofa sehinggalah Kay keluar dengan mukanya yang basah. Wajah yang dibasahi air wuduk itu nampak seakan-akan bercahaya.

Inah memerhati Kay menarik keluar telekung yang tersidai kemas di ampai kain. Dia ralit memandang, sambil menyandar selesa dengan kedua-dua belah kakinya bersimpuh di atas sofa.

Meleleh air matanya melihat Kay membongkok, menghampar sejadah dengan tertibnya. Tubuh Kay yang bertelekung litup itu ditenung dari mula dia mengangkat takbir hingga selesai dia memberi salam dan berdoa.

Kay bangun dan mengesat air matanya.

Pantas Inah turut menyeka pipinya. “Kau menangis Kay?” tanyanya, cuba menyembunyikan rasa sebaknya sendiri.

Kay mengangguk. “Dulu, aku pelik tengok kau dan Sharidat menangis masa kau orang sembahyang kat asrama dulu. Baru sekarang aku tahu rahsia dan nikmat sembahyang. Eh… Sharidat mana? Kau ada jumpa dia?”

Inah menggeleng. “Dengar khabar dia kat Beijing. Ikut suami dia kerja kat sana.”

Kay menghulur kain telekungnya ke arah Inah.

“Uzur,” terang Inah. “Kau doakan siapa tadi?”

“Kita.” Kay meletak kain telekung di atas katil. “Aku bersyukur kita jumpa semula. Aku benar-benar bersyukur. Aku tak bohong. Memang aku serius. Aku dah lama cari kau. Aku nak jadi macam kau. Aku mahu jadi Muslimah solehah. Banyak lagi yang aku tak tahu. Banyak lagi yang perlu aku belajar.”

Sebak hati Inah mendengarkan luahan hati Kay. “Aku pun bukan sempurna sangat. Masih belajar. Masih berguru. Masih bertanya-tanya.” Inah berterus-terang.

“Aku mahu kita berguru sama-sama. Aku ada ambil kelas agama, tapi merata tempat. Lepas tamat nursing, aku asyik pindah-randah. Dah tiga hospital aku kerja. Chris selalu ganggu aku. Aku cuba sembunyi… but he tracked me down. Dia ganggu aku. Aku cuba cari kau. Aku telefon kau… tapi tak dapat. Aku nak minta kau tolong aku. Kenapa kau tak jawab surat-surat aku dulu?” tanya Kay serius.

“Surat? Aku tak terima pun?”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81367/Dia-Tidak-Berdosa