[SNEAK PEEK] Pejuang Cinta

Pejuang Cinta oleh Cik Bawang

AMANDA yang berjalan di belakang Wafiy pantas menerpa pada abangnya.
“Abang, mak macam mana?” Amanda teresak-esak. Terkejut dia tadi bila Wafiy muncul di rumah untuk bawa dia pulang ke Kedah. Amanda fikir Wafiy akan menghalau dia dari rumah itu. Rupanya mak dia sakit tenat!
“Bang.” Wafiy menyapa Sufian yang sedang menekur lantai di ruang menunggu itu.
Sufian paut bahu Amanda yang duduk di sebelahnya. Tubuh adiknya itu dipeluk erat.
“Mak dah tak ada,” jawabnya lirih.
Serentak dengan itu Bunga dan Wafiy yang turut mendengar kata-kata Sufian, pantas mengucapkan Innalillah.
Amanda meraung di dalam dakapan abangnya. Tidak sangka ibunya pergi tanpa sempat berjumpa dengannya. Banyak dosa dia pada ibunya itu. Dia tidak sempat meminta maaf!
Bunga sebak tengok keadaan dua beradik itu. Air matanya bergenang kerana simpati pada nasib Amanda. Secara tiba-tiba gadis itu kehilangan orang tuanya.
Terus Bunga teringatkan mamanya di rumah. Tidak dapat dia bayangkan kalau mama pergi tanpa pesanan seperti ini. Pasti dia nanar sendiri.
Wafiy usap bahu isterinya itu lembut untuk menenangkan Bunga yang turut terkejut dengan perkhabaran itu.
“Abang nak uruskan jenazah untuk dibawa balik. Manda balik dengan Wafiy, ya. Abang naik van jenazah,” ujar Sufian lemah.
Amanda yang masih teresak itu diam tidak memberi reaksi.
“Abang, janganlah risau. Nanti kami tolong uruskan di rumah. Abang selesaikanlah mana yang patut dekat sini,” sampuk Wafiy.
Sufian tersenyum lega. Mujur ada jiran tetangga yang membantu. Ringan sedikit rasa beban di bahunya. Ibunya pergi dengan keadaan yang tiba-tiba. Dia buntu untuk bermula dari mana.
“Tok Abah dan daddy saya dah kumpulkan orang masjid. Abang jangan risau,” pujuk Wafiy lagi.
Bunga gigit bibir menahan tangisannya. Berkali-kali kesian melihat Sufian yang seperti hilang punca. Jemari Wafiy yang sedang bersulam dengan jemarinya itu digenggam erat.
Dia bersyukur, dia ada Wafiy untuk berpaut. Dia ada keluarga untuk bergantung harap. Tapi, Amanda dan Sufian sudah sebatang kara. Mereka ada satu sama lain saja untuk saling memberi kekuatan.
Alhamdulillah, selesai urusan pengebumian Mak Jah. Ramai juga orang-orang kampung dan orang masjid yang datang tadi. Daddy dan mummy pun turut ziarah tadi. Sekarang ni mereka tengah bersiap sedia mengemas rumah keluarga Amanda untuk bacaan tahlil malam ni.
“Bunga, mummy nak balik rumah tok solat asar kejap. Bunga tolong panggil Amanda dekat bilik ya. Dari tadi dia tak makan lagi,” pesan Bella ketika bersiap untuk pulang ke rumah ayahnya di sebelah rumah Amanda.
Bunga yang sedang potong buah tembikai hanya mengangguk kecil.
“Yalah, panggil si Amanda tu kejap, Bunga. Mak Timah rasa dia tak makan lagi tu. Duk menangis lagi dari tadi,” sampuk Mak Timah yang merupakan jiran tetangga di kawasan itu.
Bunga tersenyum nipis lalu bergegas naik ke tingkat atas rumah kampung itu. Bilik Amanda dituju lalu diketuk perlahan pintu bilik yang tertutup rapat.
Sambil itu, sempat Bunga tinjau ruang tamu rumah yang dipenuhi sanak saudara dan rakan-rakan arwah Mak Jah dan Abang Sufian yang baru balik dari kubur. Sedang merehatkan badan barangkali. Wafiy pun dah menghilang ke mana sejak pulang dari kubur sementelah Bunga sibuk membantu di dapur.
“Manda,” seru Bunga. Pintu bilik diketuk tiga kali.
Bila tiada sahutan dari dalam, Bunga beranikan diri untuk buka sahaja pintu bilik itu. Kepala dijenguk ke dalam.
Amanda sedang menangis di sudut bilik.
“Manda…” serunya perlahan seakan memujuk.
Amanda diam tidak memberi reaksi. Gambar maknya direnung sayu. Baru sahaja mak dia pergi, dia dah rindu akan suara maknya itu. Kalau dulu, Mak Jah pasti akan sentiasa membebel pada Amanda.
“Aku dah tak ada sesiapa. Kau tak kesian ke dekat aku. Dulu Wafiy, sekarang mak pula yang tinggalkan aku,” rintih Amanda perlahan, tangannya mengusap lembut wajah si emak yang tersenyum di dalam gambar.
Bunga menghela nafas panjang. Dia kesian pada Amanda, tapi apa dia boleh buat? Hanya mampu memujuk Amanda agar sentiasa tabah saja.
“Sekurang-kurangnya, kau masih ada Abang Sufian.”
Bunga memujuk lembut, tapi tersentak sehinggakan dia berganjak ke belakang selangkah apabila Amanda mencampakkan kepingan gambar yang dipegang gadis itu tadi ke muka Bunga.
“Astaghfirullah…” Bunga mengucap perlahan, dada diusap-usap terkejut dengan tindakan agresif Amanda.
“Kau ni memang kejam! Kau perampas tak sedar diri! Selamba saja kau merampas lepas tu kau buat muka tak bersalah pada aku! Mana maruah kau, hah!” jerit Amanda lantang.
Dari perasaan kesian, terus Bunga rasa geram dengan gadis depan dia saat itu. Memang tak pernah nak berubah!
“Siapa yang tak ada maruah sekarang? Sibuk nak ganggu suami orang,” bidasnya dengan gigi yang terkacip kuat menahan geram.
Orang macam Amanda ni rupanya tak payah nak dikesiankan kalau macam ni punya gaya. Bunga dah cuba berbaik tapi dilayan jahat!
Amanda bangun berdiri bertentangan dengan Bunga. Matanya mencerlung garang merenung muka Bunga. Bunga pamer riak setenang mungkin walaupun rasa nak tampar pipi Amanda ketika itu. Biar sedar diri sikit yang mak dia baru saja meninggal dunia.
“Suami orang tu adalah kekasih aku!”
“Sedarlah sikit Amanda, jodoh kau tak ada dengan Wafiy. Tolonglah faham.” Tanpa sedar kepala Bunga sudah tergeleng perlahan. Kesian dengan Amanda yang masih tak dapat menerima kenyataan. Tak percaya qadak dan qadar ke?
“Aku nak Wafiy! Aku nak mak! Kau yang patut mati! Lenyap dari kehidupan kami! Manusia pengemis kasih sayang orang! Perampas hak orang lain!” jerkah Amanda dekat dengan muka Bunga membuatkan Bunga tanpa dapat ditahan terus melayangkan penampar untuk menyedarkan Amanda.
Amanda jatuh terduduk sampai berbunyi lantai rumah papan itu. Gadis itu menggogoi-gogoi tersedu sedan menangis sambil memegang pipinya yang kemerahan dek kerana penangan Bunga.
“Bunga!”
Wafiy dengan muka garang melangkah masuk ke dalam bilik Amanda diikuti Abang Sufian yang sudah tergeleng kepala perlahan sambil merenung Amanda sayu.
Sufian bagi isyarat pada Bunga agar berlalu dari situ, biar meninggalkan dia dengan Amanda sendirian. Pantas Bunga berlalu pergi dengan perasaan menahan marah.
Wafiy sambar pergelangan tangan Bunga lalu diheret isterinya itu keluar dari rumah.
“Sakitlah abang!” Bunga rasa pergelangan tangan dia pedih kerana genggaman kuat Wafiy.
Saat sampai di hadapan pintu rumah tok abah, Wafiy lepaskan pergelangan tangan Bunga dengan kasar.
“Kenapa tampar dia?” soalnya garang. Mata memanah wajah Bunga tajam.
Bunga yang sedang mengusap pergelangan tangan yang sudah memerah itu mendengus perlahan.
“Dia yang tak siuman tadi!” balasnya geram bila teringat balik yang Amanda terjerit-jerit depan muka dia.
“Dia baru kehilangan orang tua dia, sayang.” Wafiy mengeluh perlahan. Penat masih tak hilang lagi seharian ini, tiba-tiba dia terlihat pula Bunga menampar Amanda ketika melalui bilik gadis itu untuk ke dapur mencari Bunga.
Bunga berdecit perlahan.
“Tapi dia tu tak pernah insaf.” Bunga tidak puas hati bila Wafiy menyebelahi Amanda. Padahal bukan salah Bunga seorang, kalau Amanda tak provoke Bunga, dia pun tak adalah sampai nak naik tangan.
“Whatever it is, Bunga kena minta maaf dengan dia.”
Bunga pandang Wafiy tak percaya. Seriously abang?
“Kenapa Bunga pula?”
Wafiy peluk tubuh di beranda rumah itu.
“Bunga tampar dia tahu tak! Dia baru kehilangan mak dia. Dia sedang bersedih, sayang. Tolonglah faham!”
Bunga gigit hujung bibir. Menahan perasaan yang mula sebak bila melihat wajah Wafiy yang risau akan keadaan Amanda.
“Apa lagi yang Bunga tak faham dia? Sebaik saja tahu mak dia meninggal, saya suruh awak segera bawa dia balik ke kampung. Disebabkan saya faham jugalah saya tahankan diri untuk bertanya kenapa awak sanggup tipu saya! Dan sebab saya faham kesedihan dia… satu hari suntuk saya di sini membantu mana yang patut. Tapi apa yang dia balas? Dia doakan saya yang patut mati! Jadi dekat mana yang saya tak faham? Cakap, dekat mana lagi yang saya tak faham, Wafiy!” Bunga menjerit kuat. Sesak dadanya menahan perasaan selama ini.
Tanpa rasa bersalah dan takut Bunga lawan pandangan mata Wafiy. Dia dah tak peduli! Pergi mati dengan tips pejuang cinta! Kenapa dia saja yang perlu faham dan mengalah? Kenapa tidak Wafiy? Kenapa tidak Amanda? Dia manusia yang tiada hati dan perasaan ke sampai sanggup Wafiy tipu dia selama ini!
Wafiy tergamam. Terkejut dan tak sedar rupanya sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Rahsia yang disimpan sudah pecah!
“Ab… abang…” Orang bersalah sentiasa akan temui jalan mati. Itulah yang Wafiy rasakan saat ini. Lidahnya kelu tidak tahu cara apa untuk menerangkan pada Bunga.
“Abang tipu Bunga.”
“Bunga… dengar dulu. Abang…”
“Bunga tak nak dengar! Hakikatnya abang tak jujur dengan Bunga.” Air mata yang ditahan jatuh ke pipi menandakan dia terlalu kecewa saat menuturkan sebaris kenyataan itu. Tidak betah terus menatap raut wajah lelaki itu, Bunga angkat kaki berlalu masuk ke dalam rumah meninggalkan Wafiy yang menggunung menahan rasa sesal.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/340108/Pejuang-Cinta