[SNEAK PEEK] Nama Aku Syaiful Rizal

Nama Aku Syaiful Rizal oleh Rina Khan

SUASANA bilik pengantin itu riuh-rendah dengan gurauan dan usikan dari sepupu dan BFF Haniza yang seramai 5 orang itu. Masing-masing hendak mengenakan Haniza, bakal pengantin yang sedang disolek oleh mak andam. Ada saja yang mereka selorohkan. Namun Pya yang turut berada di dalam bilik itu tidak teruja untuk ikut sama mempersendakan Haniza yang bakal menjadi isteri orang esok hari.
Pya lebih senang melayan jiwanya sendiri sambil memain-mainkan gelang tangan yang bergantungan pelbagai motif comel di tangannya. Ada rama-rama, kasut tumit tinggi, tiara, bintang, bunga, pokok kelapa, hati dan macam-macam lagi. Gelang jurai jenama Thomas Sabo itu baru saja dibelikan oleh Jep untuk Pya siang tadi. Hatinya terasa penuh dan sarat dengan kebahagiaan saat ini. Masakan tidak, cinta yang didambakan selama lebih sepuluh tahun kini akhirnya menjadi miliknya jua. Tergedik-gedik hati Pya membayangkan, suatu hari nanti dia juga akan melalui saat yang sedang dialami oleh Haniza, di mana dia akan menjadi pengantin bersama buah hatinya, Jep. Senyuman bahagia terukir dengan sendiri di wajahnya, bila terbayangkan momen yang entah tahun bila akan jadi kenyataan itu.
Manakala di luar rumah teres dua tingkat itu, suasana agak meriah dengan kunjungan kaum keluarga dan sahabat handai yang datang untuk meraikan hari bersejarah anak dara tunggal Pak Husin. Kaum ibu sedang leka berbual sesama sendiri sambil dilayan oleh Mak Chah, ibu saudara Haniza yang mengambil alih tempat ibu Haniza yang telah kembali ke rahmatullah, sebagai tuan rumah di majlis berinai ini.
Seketika kemudian sebuah Toyota Vellfire hitam berhenti mengejut di sisi kanopi. Lima orang lelaki berbangsa India dan seorang berbangsa Cina keluar dari kereta itu dengan muka bengis sambil bertanya dengan kasar.
“Husin mana?! Husin!”
Semua tetamu merasa gempar. Masing-masing berpandangan sesama sendiri dalam perasaan tertanya-tanya, ketakutan.
“Pekak ka semua orang?!” bentak Dino sambil menepuk meja dengan kasar. Beberapa orang mak cik yang berada dekat situ terus termelatah tanpa sengaja.
“Apa hal ni? Kenapa datang sini buat kacau? Orang tengah buat kenduri ni,” kata Mak Chah, memberanikan diri menghadapi lelaki-lelaki asing yang kelihatan seperti hendak melapah orang gayanya. Dino terus mencekak tudung Mak Chah membuatkan Mak Chah terjerit.
“Husin mana?!” jerit Dino, cuba mengalahkan suara jeritan Mak Chah yang nyaring.
“Husiiinnn!” jerit Mak Chah spontan sambil tangannya memaut tudung yang masih dicekak oleh Dino, takut tercabut dari kepalanya.
Dino bagi isyarat kepada Thomas supaya masuk ke dalam rumah. Bergegas Thomas, Mathan dan Ah Kok masuk ke dalam rumah sambil melaung-laung nama Husin.
Manakala para tetamu yang lain terus tergamam dan kejung di tempat masing-masing. Tak tahu nak buat apa menyaksikan kebiadaban tetamu tak diundang ini. Akhirnya Dino lepaskan Mak Chah dan ikut masuk ke dalam rumah.
Thomas yang memanggil-manggil Husin di dalam rumah membuatkan beberapa kaum wanita menjadi terkejut dan marah.
“Woi, kau apa hal masuk rumah orang dengan pakai kasut ni?!” bentak Lily yang baru keluar dari ruang dapur sambil membawa sedulang kuih seri muka.
Thomas tolak Lily dengan kasar sambil menjerkah.
“Husin mana?!” Lily jatuh tersembam. Kuih di atas dulang di tangannya bertaburan ke atas lantai.
“Biadablah ni! Kau apa hal, hah?!” pekik Lily yang semakin geram.
Beberapa orang anak dara telah lari ke arah surau yang terletak kira-kira 250 meter dari rumah Pak Husin, hendak meminta tolong dari para jemaah yang sedang mengerjakan solat isyak.
Ketika itu Pak Husin keluar dari bilik air dalam keadaan tergopoh-gapah.
“Apa hal bising-bising ni?” bentak Pak Husin dengan dahi berkerut dan muka panik perhati keliling.
Dino yang baru tiba dalam rumah itu terus menyampuk.
“Husin mana? Kasi Husin sama saya, kalau lu orang mahu selamat!”
“Woi, kau dah gila ke apa? Apa hal kau cari aku?!” herdik Pak Husin balik, terbakar dada menyaksikan kebiadaban lelaki-lelaki yang tak dikenalinya ini.
Dino terus mengacukan pistolnya ke arah Pak Husin, membuatkan Pak Husin tergamam. Manakala para wanita yang menyaksikan kejadian itu, terus menjerit bagaikan orang histeria.
“Where’s my money?” tanya Dino dengan muka nekad untuk membunuh.
“Kau cakap apa ni? Duit apa benda?!” jerit Pak Husin semula, makin keliru dengan segala huru-hara yang ditimbulkan oleh kumpulan gagak hitam ini.
“You jangan pura-pura tak tahu. You sudah rompak saya punya rumah, angkat semua wang, sekarang mahu tanya apa wang? Kalau you mahu selamat, give me back my money. Now!” jerit Dino sambil maju setapak, dengan pistol masih teracung ke arah dada Pak Husin.
“Kurang ajar!” pekik Pak Husin sambil meluru ke arah Dino dengan tangan mendahului, hendak menampar lelaki India kurang ajar itu. Bang!
Satu tembakan dilepaskan. Langkah Pak Husin termati di tengah jalan. Tangannya terus mendekap dada sambil mukanya berkerut dalam, menahan sakit yang tiba-tiba menerpa, mengasak semua rongga tubuhnya sehingga nafas terasa tersekat di kerongkong. Manakala, para tetamu pula bertempiaran sambil menjerit sakan, bagai kambing dikejar buaya.
Dentuman pistol Dino menarik Haniza, Pya dan yang lain-lain bergegas keluar dari bilik pengantin dengan wajah cemas terpinga-pinga. Sebaik melihat bapanya yang telah tersembam di atas lantai, berdekatan dengan kaki Dino yang masih mengacu pistol ke arah Pak Husin, Haniza terus menjerit sambil berkejar ke sisi bapanya.
“Abahhh!!!”
Pya turut berkejar, dengan niat nak menghalang Haniza dari merempuh bahaya, tapi terlambat. Thomas terus tangkap Pya, menghalangnya dari mendekati Pak Husin yang sedang merintih kesakitan. Manakala Dino pula, segera merangkul tengkuk Haniza yang sedang menggelinjang dari belakang, membuatkan Haniza tercekik, tidak dapat melepaskan diri.
“Haniza!” jerit Pya yang terkejut melihat Haniza terperangkap di dalam kekangan Dino dan konco-konconya. “Lepaskan dia, celaka!”
Bang! Satu lagi tembakan dilepaskan, kali ini mengena tepat ke dada Pya. Darah tersembur dari mulut Pya. Seluruh tubuhnya menjadi kejung dan kaku serta-merta. Sesaat kemudian tubuh kaku Pya melorot ke atas lantai dan tidak bernafas lagi.
Dino tolak Haniza kepada Thomas.
“Bagi balik duit aku, kalau kau tak nak anak kau mati!” ugut Dino sambil mencampakkan sekeping kad nama ke arah Pak Husin yang masih mengerang di atas lantai. Tanpa amaran, Dino tendang perut Pak Husin lalu keluar dari rumah itu dengan konco-konconya. Thomas yang masih mengekang Haniza, terus mengheretnya keluar bersama mereka. Baik Thomas mahupun Dino, langsung tak pedulikan keadaan Haniza yang tercungap-cungap menghela nafas akibat cekakan tangan Thomas di tengkuknya.
Hanya setelah Dino berserta konco-konconya keluar dari rumah itu, barulah mereka yang lain kelam-kabut mendapatkan Pak Husin dan Pya yang terdampar di atas lantai.
Manakala di luar rumah, kereta Toyota Vellfire yang tiba bagikan puting beliung telah pun berlalu bagaikan ribut taufan. Toyota Vellfire yang dipandu oleh Xavier itu hampir berlanggar dengan kereta Eddy yang baru sampai. Meski Eddy sempat mengelak dan menyumpah seranah kereta tersebut, namun disebabkan dia tak sempat memandang pemandu gila itu, dia tak sedar bahawa dia baru saja berselisih dengan geruh.
Jep keluar dari kereta Eddy dengan wajah terpinga-pinga, hairan melihat keadaan kerusi meja yang berterabur, bagaikan baru lepas dilanggar garuda. Eddy juga kehairanan melihat orang ramai berpusu-pusu di pintu masuk rumah Pak Husin, sedangkan kawasan kanopi yang sepatutnya lebih selesa, langsung tak dihiraukan.
“Apa hal ni? Ada cabutan bertuah ke apa?” tanya Eddy kepada Jep sambil mereka menuju ke arah pintu rumah Pak Husin.
“Kenapa, bang? Ada apa ni?” tanya Jep kepada seorang lelaki yang sedang merokok sambil merakam video melalui telefon bimbitnya.
“Ada orang baru kena tembak kat dalam tu. Pak Husin rasanya,” jawab lelaki itu tanpa mengalihkan mata dari skrin telefon bimbitnya.
Jep dan Eddy tersentak mendengar berita itu. Kelam-kabut mereka merempuh kumpulan tetamu yang bersesak-sesak di hadapan pintu rumah Pak Husin sambil melaung.
“Air panas! Ke tepi! Ke tepi, air panas!” pekik Jep, mengejutkan mereka yang berada di muka pintu itu.
Spontan laluan dibuka dan mereka dapat menerobos ke dalam rumah. Masing-masing terpinga-pinga. Mereka semakin panik apabila melihat tompokan darah di atas lantai, manakala dua kelompok manusia sedang mengerumuni dua orang yang terbaring di atas lantai.
Eddy segera mendapatkan Pak Husin yang dipangku oleh Mak Chah yang sedang menangis teruk.
“Kenapa ni, mak cik? Apa dah jadi?” tanya Eddy.
Manakala Jep pula kaget apabila melihat Pya berlumuran darah atas ribaan seorang wanita yang tak dikenali. Lalu dia bergegas menghampiri Pya dan menariknya dari ribaan wanita itu.
“Kenapa dengan Pya, kak? Apa dah jadi? Pya?! Pya, bangun, Pya. Kenapa awak berdarah ni?”
“Dia dah tak ada, dik,” jelas wanita itu dalam nada sebak, membuatkan Jep ternganga memandangnya seketika.
“Tak ada apa? Ini bukan Pya?!” bentak Jep yang tak berniat biadab. “Pya! Bangun, Pya. Pya?!”
“Dia dah meninggal, kena tembak dengan India tu tadi,” ujar wanita itu lagi.
Tak semena-mena Jep menjerit sekuat hatinya.
“Tidakkk!!!” Melepaskan kepiluan yang dialaminya sejak melihat tubuh Pya terkujur di atas lantai rumah itu sebentar tadi. Separuh dari nyawanya terasa ikut melayang bersama jeritan itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/338154/Nama-Aku-Syaiful-Rizal