[SNEAK PEEK] Hanya Untuk Dia… Ain Nuraina

Hanya Untuk Dia… Ain Nuraina oleh Sophilea

HARI terakhir di universiti, Ain cuba berlagak biasa walaupun hatinya juga berbunga kesedihan. Masakan tidak, untuk bertemu semula mungkin susah. Masing-masing berlainan negeri, kalau sama negeri pun bukan satu daerah.

Bahu Ain ditepuk dari belakang.

“Beb, kau tak nak join ke majlis malam ni?” Asmiza menyandar di Kancil Ain.

Ain geleng. Malam ini dia mahu bersendirian. Cukuplah dia dah ucapkan selamat tinggal pada kawan-kawan seketika tadi. Pergi majlis? Mungkin hanya menambah rasa rindunya nanti.

“As, aku nak mintak maaf kalau aku ada salah silap sepanjang aku berkawan dengan kau. Apa saja perbuatan aku yang melukakan hati kau, buat kau terasa, sorry ya.”

Asmiza mengangguk. Terus dia peluk Ain. Sebak hatinya nak berpisah.

“Kau jangan menangis, As. Nanti aku pun menangis sama.”

“Kaulah buat aku menangis. Aku pun sama tahu Ain, maaf ya kalau ada buat silap kat kau.”

“Kau tak ada buat salah dengan aku. Aku doakan kau berjaya dan bahagia ya.”

Asmiza mengangguk. Kemudian dia ketawa.

“Kita ni macam tak akan berjumpa langsung. Macam tak boleh nak WhatsApp ke, FB ke, bukan tak boleh call pun. Apalah kau ni…”

Ain pun turut ketawa akhirnya.

Ain dan Asmiza berpisah di parkir. Ain tak pandang lagi ke belakang. Bukan dia tak mahu bertemu kawan-kawan di majlis yang dirancang tapi dia tak mahu ada lagi memorinya bersama Zhafran. Ia hanya akan melukakan hati dia. Esok, dia dan Zhafran bukan lagi seperti ini. Ain berhentikan keretanya di tepi jalan. Mengejut. Stereng kereta dipegang kuat-kuat.

“Zhafran Haikal!” jeritnya sekuat hati. Menjerit bagai melepaskan satu tekanan. Ain menyandar. Peristiwa malam tadi benar-benar buatkan Ain rasa marah. Bukan marah pada Zhafran tapi marah pada diri sendiri yang gagal melawan nafsu. Yang turut perintah hati. Stereng kereta ditumbuk kuat.

“Aku benci!” jerit Ain lagi. Dia pejamkan matanya. Kembali mengingati peristiwa semalam. Saat penyerahan dirinya yang kedua kali kepada Zhafran. Ya dia juga wanita yang punya nafsu, yang punya rasa dan gerak jiwa. Sekeras mana pun hatinya dia tak mampu menolak hukum Tuhan, dia tak mampu menolak rasa yang Allah letakkan di jiwanya.

Ain buka mata dan pejam mata semula. Kenangan malam tadi tak mampu dia usir kala hati runsing begini.

Zhafran balik malam itu awal. Ain masih di bilik air, berhampiran dapur. Ain sudah tidak peduli tentang Zhafran lagi. Saat Zhafran bersetuju untuk lepaskan dia, itulah hari yang dia tunggu. Benarkah Ain? Benarkah kau menunggu hari itu? Ain tak mahu hatinya terus berperang.

Sedang Ain mandi tiba-tiba bilik air gelap-gelita. Dia tercari-cari tuala untuk dipakai. Kemudian tombol pintu bilik air dibuka dalam keadaan meraba-raba. Sebaik saja kakinya jejak ke luar beberapa langkah, dia terlanggar sesuatu.

“Aduh! Ouch…”

“Ain… Ain okey?” Suara Zhafran kedengaran di telinga. Ain diam. Terkaku terus dia. Kakinya masih sakit. Tersepak kaki kerusi. satu blok apartmen tiada elektrik.

Tiba-tiba dia rasa tubuhnya diraba.

“Apa pegang-pegang ni?” Ain tepis tangan Zhafran dalam gelap.

“Abang nak pastikan Ain okey.”

Dalam samar-samar dia nampak Zhafran berdiri beberapa langkah di hadapannya. Ain cuba melangkah ke dalam bilik, tidak betah hanya bertuala di hadapan Zhafran walaupun gelap.

“Ain…” Tangan Ain disambar Zhafran.

Terkejut Ain. Dia menahan debaran. Sungguh, apa yang dia rasa malam ini sama seperti pertama kali dia rebah dalam dakapan Zhafran. Dia berpaling pada Zhafran yang tak jelas pun ekspresi mukanya macam mana.

Zhafran dekatkan wajahnya pada Ain. Dalam gelap yang hanya ada cahaya bulan yang menembusi masuk. Samar-samar. Bagaimana Zhafran rasa saat ini, itulah juga yang Ain rasa. Fitrah manusia yang sukar ditolak tepi walaupun sudah bulat hati dengan apa yang dirancang sebelum ini.

“Abang…” Lidah Ain kelu. Dia pejamkan matanya rapat-rapat. Akhirnya dia tewas untuk kedua kalinya. Penyerahan dirinya yang kedua pada Zhafran. Ya, bukan salah Zhafran kalau nafsunya juga mahu. Bukan salah Zhafran kalau hatinya tewas. Bukan salah Zhafran juga andai dia rebah kali ini.

Ain buka matanya kembali. Dia masih dalam kereta. Masih di tepi jalan. Air matanya mengalir laju.

“Argh!” Ain menjerit dalam kereta. Dia benci dirinya tewas dengan keberanian yang selalu dijunjung tinggi.

Ain tukar gear kembali meneruskan perjalanan pulang. Dia harus berkemas. Esok dia akan tinggalkan segala-galanya di sini. Esok pagi dia akan ke Mahkamah Batu Gantung. Tempat dia failkan penceraiannya dengan Zhafran. Tidak perlu berbahas di dalam kamar mahkamah apabila Zhafran juga sudah bersetuju beberapa hari yang lepas. Bak kata orang berpisah secara baik.

Ain teruskan pemanduannya. Cuba melupakan apa yang terjadi semalam. Fikiran yang sedia serabut bertambah serabut apabila kenangkan apa yang dia dan Zhafran lakukan di dapur malam tadi. Malah kesan merah di dada masih ada sehingga sekarang. Dia jadi benci tiba-tiba.

Ain kemaskan barang-barang yang tidak banyak mana. Minggu lepas dia dah bawa balik separuh. Cuma ada dua kotak buku dan dua beg baju saja lagi. Ain pandang gambar pernikahan dia dan Zhafran yang tergantung di dalam bilik. Ain tak ada hati nak ambil gambar itu. Biarlah terus tergantung di situ.

Zhafran masuk ke bilik. Dia duduk di sebelah Ain yang tekun memasukkan kain baju ke dalam beg. Bagai Zhafran tak wujud di situ.

“Perlu ke Ain?” Suara Zhafran memecah keheningan bilik.

Ain masih diam. Teruskan kerja bagai Zhafran tak ada. Zhafran tarik kemeja Ain yang mahu dimasukkan ke dalam beg.

“Please… saya tak mahu bergaduh,” ujar Ain tidak lembut dan tidak kasar. Ditariknya kemeja kepunyaan dia yang dipegang Zhafran.

“Abang bukan nak bergaduh. Tapi tak bolehkah abang minta sedikit pertimbangan daripada Ain? Paling tidak malam tadi bukti kita masih memerlukan satu sama lain. Ain masih perlukan suami.” Matanya memandang Ain.

Perbuatan Ain yang sedang mengemas terhenti. Bencinya dia. Terasa Zhafran merendahkan keupayaannya pula.

“Ain…”

Ain pantas menggeleng.

“Tak ada timbang tara lagi. Saya mahu berpisah. Kita dah bersetuju kan. Kenapa perlu pertimbangan?” Ain sambung masukkan baju dan bangun menuju ke almari. Laci bawah ditarik. Ada beberapa barangan dia yang diletakkan di situ dikeluarkan. Dimasukkan satu demi satu ke dalam beg.

“Abang dah buat macam-macam sampai kadang-kadang abang rasa yang Ain tak pernah hormatkan abang sebagai seorang suami. Abang dah berusaha untuk memiliki hati Ain tapi Ain tak pernah izinkan peluang itu ada dalam jiwa Ain.” Zhafran berhenti seketika. Dia sudah penat memujuk. Penat berusaha untuk menjadi seorang suami yang terbaik buat Ain. Mungkin betul jodohnya cuma di sini.

“Baiklah kalau ini yang Ain nak. Kita jumpa esok di mahkamah.” Zhafran bangun dan terus keluar.

Ain kaku seketika. T-shirt yang dipegang terjatuh. Dia hanya pandang langkah Zhafran yang lenyap dari matanya.

Tidak. Aku tak akan berpaling lagi!

Malam itu Ain bersendirian di bilik manakala Zhafran di ruang tamu. Hakikatnya kedua-duanya tidak tidur sehingga ke subuh. Zhafran bangun melangkah ke bilik. Tapi langkahnya terhenti di hadapan pintu. Tangannya yang ingin memulas tombol pintu juga terhenti.

Cukuplah Zhafran. Dia bukan untuk kau.

Zhafran terduduk di pintu bilik. Matanya cuma memandang dinding yang kosong. Di dalam bilik Ain juga sedang menyandar di pintu. Cuma matanya saja memandang gambar pernikahan dia dengan Zhafran. Dua jiwa berlainan irama lagunya sedang berkumandang dalam rentak kesedihan yang sama.

Esoknya mereka tiba di Mahkamah Batu Gantung tepat jam 3.00 petang. Ain cuba bertenang walaupun hatinya gusar. Zhafran tiba dengan seorang temannya. Zhafran sedikit pun tidak pandang Ain, cuma Mikhail saja yang memandang dan tersenyum pada Ain. Marah benar Zhafran barangkali.

Ain juga senyap. Duduk di kerusi berasingan sementara dipanggil ke kamar kehakiman. Apabila Zhafran tiada, Mikhail menghampiri Ain.

“Dah fikir habis-habis?”

Ain tak kenal sangat Mikhail cuma selalu mendengar cerita sahabat Zhafran ini dari mulut suaminya. Ain cuma mengangguk.

“Tak menyesal?” Soal Mikhail lagi.

Ain geleng.

“Saya tak ada hak untuk nasihatkan Ain cuma saya ada hak sebagai kawan Zhafran untuk tengok dia bahagia,” ujar Mikhail.

“Bahagia dia bukan dengan saya.” Angkuhnya Ain.

“Bahagia? Ain bahagia ke dengan apa yang Ain lakukan sekarang?”

Soalan Mikhail sukar untuk Ain jawab.

“Bahagia atau tidak cuma saya yang tahu.”

Mikhail mengeluh.

“Ain tahu kan hari ini hari apa?”

Ain angguk.

“Sampai hati Ain hadiahkan Zhafran dengan hadiah sebegini,” keluh Mikhail.

Ain gigit bibir. Bergelora jiwanya ini. Dia terlupa waktu memilih tarikh hari ini. Zhafran ada minta dia tangguh pada hari esok tapi dia tidak mahu. Subuh tadi, baru dia teringat hari ini hari jadi Zhafran.

“Sampaikan ucapan selamat hari jadi untuk dia. Saya doakan dia bertemu jodoh yang baik dan lebih sempurna daripada saya. Saya bukan sesiapa pada dia dan dia juga bukan ditakdirkan untuk saya.” Ain berkata bagai tanpa perasaan. Bagai Zhafran itu macam Hamidi tarafnya.

Mikhail tersenyum. Dia mahu berbicara lagi tapi apabila Zhafran datang, niatnya dimatikan. Dia kembali kepada Zhafran.

Setelah dipanggil, keduanya masuk tanpa sepatah bicara. Tepat 3.45 petang Zhafran lepaskan Ain dengan talak satu. Sebaik saja mahkamah mengesahkan, Ain terus keluar. Dia tak pandang ke belakang lagi walaupun dia mahu sangat melihat Zhafran. Dia mahu terus hilangkan langkah-langkah Zhafran di belakangnya.

###

“AYAH Chik tak nak masuk campur dalam hal rumah tangga Kak Yang. Ayah Chik tahu Kak Yang ada alasan Kak Yang sendiri.” Malam itu dia berhadapan dengan Ayah Chik dan seluruh keluarga sebaik dikhabarkan penceraiannya dengan Zhafran.

Malah keluarga mentuanya tidak henti- henti menelefon bertanya kenapa mereka berpisah. Ain hanya menjawab mungkin mereka tiada jodoh. Puas ibu mentuanya memujuk, namun kata Ain semuanya sudah ditakdirkan.

“Kak Yang minta maaf. Kak Yang dah kecewakan Ayah Chik dan Ayah Uda.”

“Ayah Chik tak salahkan Kak Yang. Takdir Tuhan memang kita tak boleh lawan. Cuma Ayah Chik harap kalau masih ada jodoh kamu berdua, kamu balik bersama. Ayah Chik tengok Zhafran tu baik budaknya. Hormatkan orang tua, pandai jaga kamu.”

Ain mengakui kebenaran kata-kata Ayah Chiknya. Zhafran memang seorang lelaki yang cukup baik. Malah sempurna sebagai seorang suami.

“Habis tu kamu nak buat apa sekarang ni?”

Ain memandang Mak Cik Mariam yang bertanya.

“Tak tahu lagi mak cik. Kak Yang ingat sementara tunggu result dan konvo, Kak Yang nak cari kerja dulu. Tak kesahlah kerja apa pun.” Memang itulah rencananya. Mencari kerja sementara menunggu keputusan peperiksaan.

“Kalau ada apa-apa Kak Yang bagi tahu je kat mak cik.”

Ain tersenyum. Apabila Mak Cik Mariam dan Ayah Chiknya balik, dia mula rasa sunyi. Mula rasa tidak tenteram.

Rasa bersalah?

Ain geleng cepat-cepat. Dia tidak mahu rasa bersalah menghantui dirinya. Dia tidak mahu rasa keputusan yang dia lakukan adalah satu kesilapan.

Ain mengeluh. Seketika lagi malam pasti akan tiba, kemudian esoknya mentari akan muncul semula dan akan terus bergilir-gilir sehingga masanya dihentikan Allah. Dia? Dia sendiri tak tahu ke mana langkah kakinya akan berjalan.

Malam itu, sekali lagi dia berbicara dengan Naruto. Memberitahu Naruto melalui WhatsApp.

– Awak rasa betul ke tindakan awak ambil tu?

+ Entahlah saya tak pasti dan saya tak tahu. Apa pun sekarang saya dah bercerai. Tapi saya macam rindukan dia. Baru sehari dah rindu…

– Kenapa bercerai kalau tahu ada rindu? Pernah je kan berpisah lama dengan dia. Tak faham saya dengan awak ni. Awak peliklah Keroro.

+ Nantilah sampai masa yang sesuai saya akan ceritakan segalanya pada awak. Tapi bukan sekarang. Di saat hati saya tak mahu memikirkan apa-apa tentang dia.

– Okey saya tunggu saat itu.

+ Lepas ini saya nak cari kerja. Saya perlu teruskan
hidup. Kat sini tak ada coffee bean macam tempat saya buat part time di Penang dulu. Nak cari kerja pulak bukan senang.

– Ya, ekonomi pulak merudum ni. Saya doakan yang terbaik buat awak.

Ain tersenyum. Terasa lega apabila mampu meluahkan segalanya pada Naruto. Ain pandang bulan penuh. Kata orang waktu begini sesuai kalau nak cari ketam. Apabila bulan penuh isi ketam juga akan penuh. Tidak tahu di mana logiknya tapi kadang-kadang memang betul.

Ain tahu tiada kesudahannya kalau dia terus termenung. Jendela kayu ditutup. Tubuhnya direbahkan di atas tilam. Kepalanya terasa pening. Rasa mual kerana perutnya dibiarkan kosong sejak pagi tadi. Dia cuma jamah sikit makanan.

Ain mahu lelap. Semoga ketika dia buka mata tatkala mentari pagi memberikan senyumannya, dia juga akan turut sama tersenyum.

ZHAFRAN diam walaupun diasak dan diajukan soalan bertalu-talu daripada keluarganya. Dia tiada jawapan. Maka lebih baik dia diam.

“Kenapa ini Ran? Cuba cerita biar kami semua faham.” Zarith masih terkejut dengan cerita Zhafran. Bagai tidak percaya Zhafran dan Ain berpisah.

“Tak ada jodoh Kak Zarith.” Senang saja Zhafran jawab.

“Bukan persoalannya tak ada jodoh. Kalau tak ada jodoh Ran dengan Ain tak kahwin. Persoalannya bukan tak ada jodoh tapi kenapa tak pertahankan jodoh tu?”

Zhafran diam lagi apabila Zarith terus mendesak.

“Jodoh tu rahsia Allah, Kak Zarith. Dah Allah tulis jodoh Ran sampai sini saja, Ran nak buat apa?”

Zarith tak puas hati dengan jawapan Zhafran. Dari tadi keluarga mereka berkumpul di ruang tamu ini. Ibu dan bapanya cuma diam. Masih terkejut dengan berita mendadak yang Zhafran bawa. Cuma dia yang tidak henti-henti bertanya.

“Abang Ran, ada call dari Mesir.” Zaril muncul di pintu tengah dengan telefon bimbit milik Zhafran yang ditinggalkan di meja makan. Zhafran bangun, telefon bimbit di tangan Zaril diambil. Dia terus melangkah keluar.

Bercakap seketika dengan Ikram melegakan sedikit perasaan Zhafran yang bercelaru. Ya Ikram juga tidak menyalahkan dia. Cuma seperti keluarganya, Ikram juga terkejut dengan cerita perpisahan mereka.

Zhafran naik ke bilik. Pintu bilik dihempas kuat mengejutkan yang masih tinggal di ruang tamu. Dia jadi marah. Tak tahu marahkan siapa. Dia pandang gambar Ain di atas meja. Bingkai gambar itu diambil dan dilemparkan ke dinding. Berkecai kaca bertaburan.

Zhafran ke arah kaca-kaca tersebut. Dia kuis sedikit dan diambilnya gambar Ain. Lama dia pandang sebelum jemarinya mengoyak gambar Ain sehingga menjadi kepingan kecil. Dia koyak gambar Ain seperti mana hatinya yang sedang terkoyak. Diambil pula kepingan kaca digores ke arah wajah Ain yang sudah terbelah dua. Ya, seperti mana hatinya yang tergores saat ini. Kemudian dia tinggalkan gambar yang sudah terkoyak dengan kepingan kaca begitu saja. Dia kembali ke katil. Direbahkan tubuhnya. Berpusing ke kiri dan ke kanan. Mencari ruang untuk matanya terlelap. Tapi matanya tak mahu lelap. Berkelip-kelip memandang siling.

“Abang nak tengok sejauh mana ego Ain akan pergi.” Zhafran bercakap sendirian.

Suasana sunyi sepi. Suara pusingan kipas dan cicak saling bergandingan. Malam ini akan berlalu, esok tiada siapa yang tahu rentak lagunya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/340910/Hanya-Untuk-Dia-Ain-Nuraina