[SNEAK PEEK] NAH, UNTUK AWAK!

9789675118869-small

EBUKU Nah, untuk Awak! Oleh Nirrosette

Sebulan lalu…

“NAJIHA!” Hampir gugur jantung Nina apabila terpandang kelibat Najiha di hadapan pintu rumahnya. Dia sudah ternganga luas. Digosok matanya berkali-kali untuk memastikan apa yang dilihat tika itu memang realiti, bukan mimpi.

Najiha sudah tersenyum panjang. “Surprise!” ucapnya penuh teruja. Tubuh Nina ditarik terus ke dalam pelukan. Gila punya rindu, dah dekat setahun tak jumpa!

Nina seakan-akan kehilangan kata. Dia memandang Najiha dengan mata tak berkelip. “Apa kau buat kat sini? Kat e-mel kau kata kau balik minggu depan?”

Najiha masih lagi dengan senyum yang mekar di bibir. “Saja nak surprisekan kau dengan Dian. Terkejut tak? Terkejut tak?”

Ya Rabbi. Nina dah menggeleng laju. Umur dah nak masuk dua puluh tiga tahun, masih lagi buat perangai macam budak-budak. “Kalau aku ada sakit jantung, dah lama aku gone. Tau tak?” Nina pura-pura marah. Bahu Najiha ditumbuk geram. Ada ke patut nak surprise-surprise! Memang mintak kena cekik sungguh.

“Bila kau sampai?” Pagar pintu rumah dibuka, menjemput Najiha masuk ke dalam rumah yang tak berpenghuni. Ibu bapa Nina kedua-duanya bekerja. Abang Nina pula sudah berkahwin dan berpindah ke rumah kondominium di Rivervale. Jadi memang tinggal Nina seorang ajelah dalam rumah waktu itu.

Najiha menurut langkah Nina masuk ke dalam rumah. Dia membuka kasut bertutup yang tersarung di kaki lalu meletakkannya dengan cermat di atas rak kasut.

“Aku baru sampai pagi tadi.” Selamba Najiha menuturkan. Sebaik sahaja sampai di lapangan terbang, babah menjemputnya pulang. Tetapi babah perlu ke pejabat semula. Jadi bosan punya fasal, dia pun terus tahan teksi ke sini. Najiha bukannya ada lesen memandu. Kalau ada lesen, boleh aje dia pandu kereta babah. Tapi Najiha ni bangsa pemalas. Nak harapkan pemandu tolong hantarkan. Tak kuasa nak pandu sendiri. Nanti nak kena cari parking la apa la. Menyusahkan, tahu?

“La!” Nina menepuk dahi. Dia melangkah ke dapur. Peti sejuk dibuka. Mencari air sirap untuk diberikan pada Najiha. “Kau tak jet lag ke?” Nina melaung kepada Najiha yang sudah melabuh duduk di ruang tamu. Perjalanan dari London ke Singapura hampir berbelas jam lamanya. Tak penat ke?

“Sikit. Tapi okey la. Masih larat lagi nak jumpa kau dan Dian.” Najiha melaung kembali. Dia mencapai sebuah majalah yang terletak di ruang tamu. 100 Cara Ikatan Tudung. Tudung? Dah kenapa Nina minat nak baca majalah fasal tudung pulak? Bukan Nina pun macam aku ke, free hair?

“Kau nak pergi mana ni dengan baju kurung segala? Ada kenduri ke?” Najiha menegur sebaik sahaja terpandang kelibat Nina yang sedang menatang dulang dan jag ke ruang tamu. Majalah tadi diletak tepi. Dia memandang Nina atas ke bawah. Siap dengan baju kurung songket warna ungu gelap ni. Takkan nak pelawa aku masuk rumah kena pakai lawa-lawa sangat kut?

“Aaa…” Nina sengih bersalah. Dia mengangguk sedikit. “Kau nak ajak aku keluar ke? Sorry la, aku ada hal.” Nina menggigit lidah sebaik sahaja menghabiskan ayat. Rasa bersalah kerana menyembunyikan hal sebenar daripada pengetahuan Najiha.

“Oh tak pelah.” Najiha senyum. “Aku nak pergi rumah Dian lepas ni. Nak surprisekan dia pulak.” Najiha angkat-angkat kening pada Nina. Riak wajah Nina sudah berubah.

“Dian… Dian selalu hari Sabtu macam ni dia tak ada kat rumah.” Teragak-agak Nina menuturkan kata, cuba menutup helah.

“Dia adalah!” Laju sahaja Najiha menyangkal. Dia mengambil cawan dari dulang lalu menghirup sedikit air yang disediakan Nina untuk membasahkan tekaknya yang terasa kering. “Tadi aku call, tak taulah siapa angkat. Aku tanya Dian ada kat rumah tak. Orang tu cakap Kak Dian ada. Dia tanya aku ni siapa, aku terus letak. Tak surpriselah kalau Dian tahu aku call. Tapi peliklah, sejak bila Dian ada adik eh?” Dia mengalih pandang pada Nina yang sudah pucat tak berdarah. “Weh Nin, kau okey tak?”

“Aaa…” Nina sengih lagi. “Aku… aku okey.” Gelas yang sudah dituang tadi diserahkan pada Najiha. Nina berkira-kira dalam hati, sama ada hendak berterus terang sekarang ataupun tidak.

“Kau sakit eh? Pucat semacam je aku tengok?”

Laju sahaja Nina menggeleng. “Mana ada sakit. Aku pucat sebab terkejut la. Terkejut tengok kau!”

Najiha tertawa lepas. “Sorry, sorry! Mana aku tau kau akan terkejut macam tu sekali. Tak pe lepas ni aku nak tengok reaksi Dian pulak. Mesti dia terkejut beruk. Dia kan memang senang kena usik. Jangan-jangan pengsan terus!”

Nina tarik senyum nipis segaris. Bukan setakat pengsan, memang koma terus agaknya kalau dia nampak Najiha terpacak di depan pintu rumah.

“Kau nak pergi kenduri apa lepas ni sebenarnya?” Najiha menyoal Nina yang sedang duduk di kerusi rotan bertentangannya.

Nina sekadar menggeleng. “Tak pelah, aku teman kau pergi rumah Dian.” Tak sanggup rasanya nak biarkan Najiha pergi ke sana sendirian. Kalau bukan Dian yang koma, entah-entah Najiha yang masuk ICU nanti.

“Ek? Boleh gitu?”

Nina senyum lagi. “Untuk kau, semua boleh punya.” Dia mengenyit mata. “Aku nak pakai tudung. Tunggu kejap!” Tanpa berlengah Nina terus melangkah ke bilik.

Najiha sekadar memerhati tak berkelip. Nina? Tudung? Sejak bila???

“MISS, ORANGE JUICE?”

Najiha diam tak menyahut. Pandangannya jauh ke hadapan. Langsung tak menoleh ke arah pramugari yang sudah tercegat di sebelah.

“Miss?” Pramugari tadi memanggil lagi. Dia menggawangkan tangan di hadapan wajah Najiha. Najiha tersentak daripada lamunan apabila tersedar dirinya diperhatikan.

“Yes?” Pandangannya jatuh pada pramugari yang sedang berdiri menolak troli di sebelah. Dia melurut headphone ke bahu.

“Orange juice?”

“Oh, yes please.” Najiha memaksa senyum di bibir. Walhal kala itu dia masih lagi dalam keadaan terkejut. Dia jadi lemah setiap kali dia teringat tentang peristiwa yang berlaku. Air matanya menjadi murah setiap kali dia teringat tentang Ilham. Najiha cuba menguatkan semangat tapi tak boleh. Semakin jauh dia lari semakin dekat bayangan Ilham datang mengejarnya. Nyata sekali dua minggu memang tak cukup untuk Najiha melupakan lelaki yang sudah bertakhta dalam hatinya sejak lima tahun yang lalu. Memang sukar sebab hati Najiha memang sudah terlalu sayang lelaki itu. Tapi untuk apa Najiha, untuk apa? Dia tak pernah cintakan kau pun! Dia curang pada kau! Kenapa kau masih nak harapkan lelaki tak guna tu? hati Najiha bertingkah sendiri.

Dia mencapai jus oren yang diletakkan di meja lipat di depan kerusinya itu lalu diteguk perlahan. Entah di mana silapnya ketika dia hendak meletakkan semula gelas yang masih berbaki separuh itu, gelas tersebut jatuh tergolek ke bawah. Kalau tumpah di atas seluar jean Najiha tak apa. Ni tidak. Habis tumpah air tersebut ke atas buku penumpang di sebelah.

“I’m so so so so so so very sorry!” Najiha mengucapkan penuh kesal. Dia mengangkat wajah memandang orang di sebelah yang sedang mengibas seluar jeannya yang turut dicemari air oren manakala sebelah tangan lagi sedang memegang bukunya yang separuh basah.

“Eh awak?” Bulat mata Najiha tatkala pandangannya bersabung dengan pandangan Eid. “Bila masa awak duduk sebelah saya?”

Sekilas Eid memandang Najiha dengan dahi berkerut sebelum kembali memandang buku di tangan. Habis la rosak buku bertajuk Muhammad: His Life Based on the Earliest Sources hasil karya Martin Lingsyang baru sahaja dibeli tempoh hari. “Saya duduk sebelah awak dari tadi, awak je yang tak perasan kut.”

“Dari tadi? You mean since an hour ago?” Terkejut, Najiha membalas.

Hampir-hampir sahaja Eid mengangkat mata ke langit. “Terkejut sangat ni kenapa?” Tanpa memandang Najiha, dia membalas.

“Sebab saya tak perasan pun!” Sungguh, Najiha memang tak perasan. Dia menonong terus ke dalam pesawat dan sebaik sahaja melabuh duduk di atas kerusi empuk ini, dia terus menarik headphone menutup telinga. Lagu-lagu dendangan Suju, Beast, Infinite, SNSD dan 2NE1 silih berganti menjadi teman. Nak cari ‘feel’ la kononnya. Mentang-mentang dah nak terbang ke Korea. Padahal selama ni memang Najiha akan teruja tiap-tiap kali perkataan Korea disebut.

Tapi entah kenapa, dah ada dalam pesawat pun Najiha masih tak teruja lagi. Padahal beberapa jam lagi kakinya akan menjejak Lapangan Terbang Incheon di Korea Selatan. Itu yang tiba-tiba mindanya menerawang sampai teringat kembali peristiwa pahit tu. Tidak ada satu perkara pun yang boleh buat Najiha lupakan apa yang terjadi. Tidurnya pun tak lena, sering kali termimpikan peristiwa pahit itu.

“You’re oblivious. Kalau saya letak dadah dalam air awak pun, awak tak perasan agaknya.”

“Awak letak dadah dalam air saya?” hampir terjerit Najiha menyoal. Biar betul mamat ni?

Ya Rabbi budak ni! “And you’re gullible too, do you know that?” Eid menggumam di bawah nafas. Buku yang sudah rosak tadi diletakkan di atas meja lipat.

Bulat mata Najiha memandang lelaki yang sedang berada di sisinya tika itu. Amboi! Suka-suka hati je mengata aku gullible la oblivious la hape la! Aku tak mudah tertipu dan bukan tak sedar la.

Tanpa menyedari bola mata Najiha yang sudah tersembul keluar merenungnya, Eid bangun daripada duduk. Ingin melangkah ke tandas membersihkan seluar jeannya yang sudah dicemari air oren. Habis melekit! Haish. Namun pandangannya singgah sebentar ke wajah Najiha yang sedang memandangnya dengan pandangan tajam. Apa hal budak ni?  “Why are you staring at me like that?”

“Saya tak gullible, oblivious dan apa-apa je yang awak cakap tadi tu!”

“Yes, you are.” Tenang sahaja Eid membalas.

“Am not!” sahut Najiha defensif.

“You are.”

“Am not!” Najiha mengeraskan suara. Entah kenapa sensitif semacam. Bukannya Eid buat apa pun. Dia tak adalah hina Najiha ke apa sampai nak marah macam ni.

“You win.” Eid mengangkat bahu. Tak kuasa nak bertekak.

Najiha ternganga sekejap. Terkejut dengan reaksi Eid yang tidak disangka-sangka.

“You can deny all you want. But…” Eid mengangkat sebelah tangan tanda tak mahu dipotong di pertengahan ayat apabila dia melihat rahang Najiha bergerak-gerak. “But in my record you’re certainly oblivious and gullible. And of course, defensive too.” Tanpa berlengah, terus sahaja Eid berlalu pergi ke tandas di belakang kabin.

Najiha terhenyak di atas kerusi. Dia menyumpah Eid dalam hati. Headphone ditarik kembali menutupi telinga. Bunyi daripada iPhonenya dikuatkan lagi. Lagu Be Mine nyanyian Infinite mula menyapa gegendang telinga. Ceh! Depan babah tadi mamat ni bukan main baik macam malaikat. Ayat bukan main manis terlebih dos gula. Lelaki macam ni babah harapkan untuk jaga aku? Hampeh!

****

NAJIHA MENOLEH ke kiri dan kanan. Langkahnya yang panjang dan teratur kini sudah terhenti betul-betul di tengah jalan. Matanya dipejam-celikkan beberapa kali. Mulutnya terlopong.

“Annyeong haseyo!” sapa seorang wanita bermata sepet yang memakai tag nama Soo Yun sambil membongkokkan tubuhnya sedikit tanda hormat.

“Annyeong haseyo!” Najiha kembali menyapa. Dia turut membongkokkan tubuhnya sedikit. Bibirnya mengukir sekuntum senyuman lebar.

“Eodi eseo osyeosseoyo?” Wanita tadi membuka bicara, bertanya dia berasal dari mana.

“Singapore eseo wasseuyo.” Najiha membalas ramah. Memberitahu wanita tadi dia baru sahaja tiba dari Singapura.

Wanita tadi memandang Najiha dengan pandangan tak percaya. “Hangukmal hasil jul aseyo?” Wanita itu kagum dengan kefasihan Najiha bertutur dalam bahasa Korea.

Najiha tertawa kecil mendengar soalan itu. Dia spontan menggelengkan kepalanya ke kiri dan kanan.

“Ani, hangukmal jal mot haeyo.” Dia merendah diri dan menafikan kefasihannya berbahasa Korea.

“Mannaseo bangapseumnida, err…”

“Najiha.” Lekas-lekas Najiha membantu Soo Yun menghabiskan ayatnya yang tergantung tadi.

Soo Yun mengangguk-angguk. “Na-Ji-Ha?” Dia menyoal Najiha dengan dahi berkerut. Cuba menangkap nama yang disebutkan.

Najiha mengangguk mengiakan.

“Mannaseo bangapseumnida, Na-ji-ha sshi.” Dia mengulang ayat tadi yang membawa maksud ucap selamat sambil tersenyum manis. Dia membongkokkan tubuh sekali lagi sebelum berlalu pergi. Najiha sekadar memerhati kelibat Soo Yun hilang daripada pandangan. Wajahnya masih lagi dihiasi sekuntum senyuman yang mekar di bibir.

Aneh, apabila sudah menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Incheon dan melihat papan-papan tanda yang ditulis di dalam bahasa Korea, barulah Najiha merasa teruja. Seakan-akan tidak percaya yang dia sebenarnya sudah tiba di Incheon saat ini. Pada mulanya, Najiha memang tak ada mood langsung. Ditambah lagi dengan kehadiran penumpang sebelah yang memang nampak sangat mintak pelempang. Najiha rasa macam nak balik ke rumah dan kurung diri di dalam bilik. Tapi apabila mengenangkan janjinya pada babah, pada Nina, dan terutama sekali pada diri sendiri, Najiha tak mahu menghukum diri sendiri atas kesalahan yang dia sendiri tidak buat. I will have fun. I must!

“Jangan diri kat tengah-tengah jalan, boleh tak?” Meskipun rendah, telinga Najiha sempat menangkap suara Eid yang baru sahaja berlalu di tepinya.

Najiha mendengus kasar. Kacau je la mamat ni. Tak boleh tengok hidup aku senang ke? Najiha menarik bagasinya lalu mengatur langkah ke satu sudut berdekatan kaunter pertanyaan lapangan terbang seperti yang diarahkan pegawai Sharifah Travel & Tours yang lain.

Eid sudah lesap. Dia pergi ke kaunter untuk mendapatkan tiket bas KAL limousine deluxe yang sudah pun ditempah sebelumnya. Sepanjang percutian ini, mereka akan menginap di Hotel Millennium Seoul Hilton yang terletak di bahagian utara Seoul. Perjalanan dari Lapangan Terbang Incheon ke bahagian utara Seoul akan mengambil masa lebih kurang satu jam.

Najiha melepaskan nafas perlahan. Dia membetulkan mafela yang melilit leher. Bagus jugaklah mamat tu tak ada di sini. Tak sanggup nak pandang muka dia tu. Entah kenapa apabila berhadapan dengan Eid, Najiha rasa darahnya mudah sangat nak mendidih. Padahal kesalahan Eid tak ada la besar mana pun. Tapi yang pasti, Najiha tak pernah berkelakuan begitu sebelum ini. Apabila dengan Ilham pun, sekali pun Najiha tak pernah naikkan suara ataupun bergaduh. Kalau ada pun, gaduh-gaduh sayang. Tapi Najiha tak kisah sebab dia tahu apabila bersama Ilham, semuanya terasa indah. Sempurna. Bahagia. Ah. Ilham… sekali lagi nama itu diseru dalam hati. Ada getar dan sendu tatkala menyebut nama itu. Ilham… sampainya hati awak buat Najiha macam ni. Awak memang kejam!

Sebulan lalu…

NINA MENURUT langkah Najiha lambat-lambat. Hatinya berdetak laju. Tak tahu apa yang hendak dijangkakan tika ini. Tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Najiha yang sudah pun melangkah masuk ke dalam lif menjengahkan kepala ke luar. “Nin, apa hal kau jalan lambat sangat? Kau okey ke tak?”

Nina menarik segaris senyum tawar di pinggir bibir. “Aku okeylah.” Dia mempercepatkan langkah, terus masuk ke dalam lif dan menekan butang tutup.

Najiha mencebik. Enggan mempercayai kata-kata Nina. Tangannya dilekapkan ke dahi Nina yang pantas sahaja ingin mengelak.

“Kau tak demam pun.” Najiha menuturkan rendah.

“Siapa kata aku demam?” laju sahaja Nina membalas.

“Dah tu kau pucat kenapa?” Najiha menjawab tak puas hati. Serentak itu pintu lif terbuka. Tak sampai seminit mereka berdua sudah tiba di tingkat sembilan.

“Kiri kan?” Najiha menyoal Nina yang masih termangu-mangu di dalam lif. “Rumah yang ada lampu liplap kat balkoni ke?” Nina diam tak menyahut. Dia tak ingat sebenarnya rumah Dian di lorong kiri atau kanan tapi dia tahu rumah Dian memang senang sangat nak cam. Senanglah sebab…

“Kenapa rumah Dian ramai orang ni, weh?” Najiha berbisik pada Nina yang sedang mengekornya di belakang. Terkejut apabila ternampak ramai orang sedang berkerumun di depan rumah Dian. Najiha pasti sangat rumah itu rumah Dian kerana rumah Dianlah satu-satunya rumah yang mempunyai tanam-tanaman di hadapan pintu rumah. Ada majlis apa ni? Nak kata kematian, tak mungkin. Semua pakai warna terang-benderang. Warna yang meriah gitu. Tengah ketawa, bersuka ria, riang gembira. Berbalik pada dirinya, Najiha baru terperasan tubuhnya hanya disaluti baju-T kelabu berlengan panjang dan jean berwarna hitam. Merosakkan majlis sungguh!

“Kawan Dian ke ni?” sapa seorang makcik bertubuh gempal yang sedang berdiri berdekatan gril pintu. Najiha mengangguk laju. Nina sekadar menelan liur.

“Dian ada, makcik?” sopan Najiha menyoal. Matanya meliar ke sana sini. Ruang tamu rumah Dian kelihatan agak penuh dengan tetamu. Tapi Dian langsung tak ada di situ.

“Dian ada dalam bilik tu. Bakal mak mertua dia tengah sarungkan cincin tunang. Cepatlah masuk kalau nak tengok!” Makcik tadi menggesa Najiha dan Nina agar cepat-cepat ke dalam agar tak terlepas menyaksikan hari bersejarah Dian.

Cincin? Najiha hampir menjerit. Kurang asam punya budak tak bagi tau dah nak bertunang! Memang mintak penyepaklah budak ni! Ada ke patut nak bertunang pun tak bagi tau kawan baik sendiri. Dia mengalih pandang ke arah Nina yang sudah pucat tak terkata.

“Kau mesti dah tau kan dia nak tunang? Apa hal kau tak bagi tau aku siang-siang? Memang tak patut la kau ni! Ada ke patut nak rahsiakan hal ni daripada aku.” Najiha dah menggeleng sendiri. Dalam hati di sudah berkira-kira, habis sahaja majlis ini dia memang akan menyoal Dian habis-habis! Apa nih tak ada cerita bercinta, tup-tup dah bertunang? Hampeh punya kawan!

Lekas-lekas dia menanggalkan sandal yang tersarung di kaki dan terus menghalakan langkah ke bilik Dian. Nina hanya mengekor di belakang. Pintu bilik Dian kala itu sesak dikepung orang ramai yang hendak melihat upacara tersebut.

“Tunangnya tak datang sekali ke?” Terdengar suara seseorang mengusik sebaik sahaja cincin belah rotan itu selamat disarung ke jari manis Dian.

“Dia ada kat bawah.” Terdengar ada satu suara lain pula menjawab.

“Panggillah dia naik, bergambar.”

“Dia segan. Tak manis katanya.”

“Alah… satu shot je, tak luak mana pun.” Mungkin itu suara jurugambar kut yang sedang membuat ‘tawar-menawar’.

“Sekejap saya telefon dia suruh naik.”

Najiha masih lagi terjenguk-jenguk. Cuba mengintai di dalam bilik. Di celah-celah lubang kecil yang ada, Najiha dapat melihat Dian yang anggun berkurung merah jambu sedang duduk di birai katil. Senyuman tak lekang di bibirnya yang sudah pun dicalit gincu berwarna nude pink.

“Weh, Dian lawa gilaaa.” Najiha menarik lengan Nina untuk turut mengintai ke dalam bilik. Nina terdorong ke hadapan. Wajah Dian yang sudah disolekkan memang menawan sekali. Walaupun boleh dilihat solekan Dian agak nipis, terserlah kejelitaan Dian saat itu.

“Mintak tumpang lalu sikit, tunang dah tiba.”

Serentak itu mereka yang berkerumun di hadapan pintu bilik terus memberi laluan. Najiha tidak terkecuali. Dia yang sibuk terhendap-hendap tadi mula mengambil langkah ke belakang. Mulutnya terlopong sebaik sahaja terpandang lelaki yang sedang memakai baju Melayu berwarna putih di hadapannya tika itu. Lelaki itu juga memberikan reaksi yang sama. Dia memandang Najiha dengan satu pandangan yang tidak dapat ditafsirkan ertinya. Untuk seketika mereka saling berpandangan tanpa dapat bersuara.

“Ilham, tercegat kat situ kenapa? Cameraman nak ambil gambar Ilham dengan Dian tu.” Saat itu, seorang wanita dalam usia awal lima puluhan keluar dan menarik tangan Ilham masuk ke bilik. Ilham tidak membantah. Dia menurut langkah mamanya lalu mengambil tempat di sisi Dian untuk bergambar. Najiha tersandar ke dinding untuk seketika. Dia mengalih pandang pada Nina yang sedang menggenggam erat tangannya tika itu.

“Nina?” Dia pandang Nina dengan pandangan keliru. Tidak mengerti. “What. On. Earth. Is. Happening?”

Nafasnya terasa sesak. Dia mengalih pandang sekali lagi ke arah Dian dan Ilham yang sedang dikerumuni sanak saudara. Tidak putus-putus mengucapkan tahniah pada mereka berdua.

Nina mengeratkan genggaman di tangan. Hatinya sendiri bagai ditusuk sembilu melihatkan apa yang sedang berlaku. Tanpa menunggu lagi dia menarik Najiha keluar dari situ. Najiha hanya menurut tanpa banyak bicara. Dia benar-benar terperanjat. Tak tahu hendak memberi reaksi bagaimana.

“Nina?” Najiha memanggil nama temannya sekali lagi sebaik sahaja mereka tiba di bawah blok. “Dian dengan Ilham….?” Ayatnya dibiarkan tergantung. Tak tahu apa yang hendak dikatakan. Tak tahu bagaimana hendak melafazkan.

Nina mengangguk lambat-lambat. “Mereka bertunang hari ni.” Berat hati Nina hendak melafazkannya tapi dia tahu, dia tak punya pilihan lain. Takkan selamanya Ilham dan Dian dapat berdalih. Takkan selamanya Ilham dan Dian dapat berlari. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Walau sudah lama menyembunyikan hakikat, lambat laun kebenaran pasti akan terbongkar jua. Tanpa dapat ditahan, air mata Najiha merembes keluar. Tubuh Najiha ditarik erat ke dalam dakapan. “I’m so sorry for you, Ha. I’m so sorry!”

Najiha menggigit bibir. Tubuhnya mula menggigil. Antara terkejut, kecewa, marah, sedih. Semuanya bercampur aduk menjadi satu. Dia membalas pelukan Nina kuat. Antara sedar dan tidak, Najiha mula menangis teresak-esak di bahu Nina. Dia terluka. Dia benar-benar terluka!

“WIPE YOUR TEARS before someone else catches you crying for no reason.” Najiha yang sedang mengelamun sambil bersandar di dinding spontan menegakkan tubuh apabila ditegur sebegitu. Tanpa memandang Najiha, Eid menyerahkan sepeket tisu ke arah gadis itu. Najiha terkejut. Namun dia menyambut juga huluran Eid tanpa sepatah kata. Macam mana la si mamat ni perasan dia menangis betul-betul kat tengah-tengah lapangan terbang ni?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75664/nah-untuk-awak