[SNEAK PEEK] My Sweet Cik Leftenan

My Sweet Cik Leftenan oleh Sophilea

MAJLIS yang dirancang berjalan lancar. Adam dan Dayana sama-sama dalam persalinan baju Nombor 1 TLDM segak berjalan di bawah kilatan mata pedang. Acara rasmi saat seorang pegawai yang ditauliahkan melangsungkan perkahwinan. Kemudian Dayana bertukar pakaian kepada gaun labuh berwarna putih. Dia mahu rekaannya sama seperti yang dipakai Kate Middleton saat mengahwini Putera William. Cuma ditutup sehingga leher.

“Cantiknya puan.”

Anggota bawahan dan teman-teman yang hadir berikan pujian. Adam juga segak dalam bush jacket, pegawai waran berwarna putih. Teman-teman hadir berikan ucapan tahniah.

“Congrats D.”

Fadhli muncul dengan hadiah dan bunga. Meski hatinya tercalar sedih dan perit namun dia harus terima hakikat Dayana bukan miliknya. Dayana milik lelaki lain yang akan membahagiakannya.

“Thanks Fadh sudi datang majlis I.”

Dayana tahu kalau Fadhli menyimpan rasa. Dayana tahu kalau Fadhli menyembunyikan cerita cinta dia pada Dayana. Tapi Dayana telah pun pilih. Hatinya cuma satu dan telah diberikan untuk Adam Muqrie. Tak mungkin ada lagi untuk mana-mana lelaki lain.

“Of course I datang D, you kawan I. skuad I .”

Fadhli hulurkan tangan pada Adam Muqrie.

“Tahniah. Jaga kawan saya ini baik-baik.” Sebaknya hanya Tuhan sahaja yang tahu saat dia menuturkan kata-kata ini.

“Terima kasih, tuan. Terima kasih sudi datang majlis kami.”

Adam segak berdiri di sebelah Dayana.

“Encik kata kena draft kapal?”

“Last minute jadi COB KD Tan Pusmah, tuan. TMK, mana pernah lama kat darat.”

Fadhli ketawa kecil.

“Selamat menempuh alam perkahwinan.”

Fadhli tak mampu lagi teruskan kata-kata. Memandang wajah yang pernah bertakhta di hatinya satu masa lalu buatkan dia sebak. Dia pergi. Ya, jodoh itu urusan Tuhan. Bukan di tangan manusia. Ada yang menyulam cinta bagai nak rak pun kalau Allah tetapkan itu bukan jodohnya siapa kita untuk menghalang. Kesedihan ini akan berlalu pergi. Doanya sentiasa ada untuk Dayana dan Adam Muqrie.

“Skuad, macam mana boleh tackle pegawai, cantik pulak tu.” Seorang teman mengusik. Adam senyum. Korneanya dilemparkan pada Dayana yang sibuk melayani tetamu.

“Jodoh.”

COB Ismail pelik juga macam mana kawannya ini bertemu jodoh dengan kadet yang pernah dia latih dahulu. Bukan calang-calang orang, anak Dato’ Laksamana Bersara pula itu.

“Memanglah jodoh. Peliklah macam mana Laksamana Arif boleh terima hang jadi menantu dia?”

Ada cerita yang tak perlu dia kisahkan pada mereka. Cukup dia dan mereka terdekat sahaja yang tahu. Siapa dia, siapa ibu dan ayahnya…itu semua hanya pangkat di dunia.

Seorang lelaki berbaju Melayu menghampiri Adam dan teman-temannya yang sedang berbual.

“Tuan Adam, tahniah.”

“Terima kasih, Hisyam.

“Tuan maaf lah saya bercakap hal ini di majlis tuan. Kita dah tak boleh tunggu lama lagi. Saya dah dapatkan perintah mahkamah untuk cairkan semua aset yang dibekukan. Tuan kena hadir.”

Adam angguk.

“Hisham, awak aturkan pertemuan saya dengan Tan Sri Nazri dulu. Saya nak bertemu dengan dia dulu sebelum apa-apa keputusan saya buat.”

Hisham cuma angguk.

“Hebat hang sekarang main Tan Sri segala.”

Adam cuma tersenyum. Tak perlu dihebahkan siapa dia.

Dayana berjalan hampiri Adam yang masih rancak berbual.

“Boleh saya pinjam suami saya sekejap?” Lengan Adam digapai mesra.

“Tak payah pinjam sekejap puan, memang kena ikat selama-lamanya dah ni.”

Dayana ketawa mesra. Ramai juga teman-teman yang hadir termasuk teman-teman sekolah dahulu.

“Adam Muqrie.” Satu suara menyapa lewat tetamu beransur pulang.

Adam pandang lelaki tinggi lampai yang berdiri memandang dia saat ini. Lama dia memerhati. Dayana juga memandang sama. Ya dia kenal lelaki ini.

“Subhanallah, Mikail Harris!” Tubuh lelaki itu segera dipeluk erat oleh Adam.

“Allahuakbar… Lama betul aku tak jumpa kau, Adam. Kau pergi macam tu je. Kau macam lupa kau ada kawan dekat sini.” Bahu Adam ditepuk perlahan.

“Abang Mikail…”

Mikail Harris anak kenalan bapanya. Sekarang menjadi doktor pakar di salah sebuah hospital terkemuka di Malaysia.

“Mana kau hilang Adam? Kau lupa ke kau ada kawan baik yang tak pernah berpisah dengan kau sejak kecik lagi.”

Beratnya rasa rindu yang menggunung. Selepas rumah dan hartanya disita, dia dan keluarga bawa diri jauh ke utara. Memutuskan terus hubungan dengan dunia yang pernah mereka bertapak. Termasuk sahabat baiknya, Mikail Harris.

“Aku tak macam kau, Mika. Aku tahu kau dah berjaya jadi doktor. Aku malu nak tunjuk diri aku.”

Mikail geleng. Mereka sama-sama sebak mengingati kisah semalam.

“Aku tahu kisah keluarga kau tapi tak patut juga kau hukum aku sekali. Aku tak pernah pilih siapa kau untuk jadi kawan aku.”

Adam menunduk.

“Aku tak pernah lupa kat kau. Cuma tu lah aku rasa rendah diri. Aku nak lari daripada semua yang pernah kenal aku.”

“Tapi kau tak boleh lari daripada kenangan yang pernah kau ada. Kau lupa zaman sekolah kita. Mana pernah kita berenggang.”

Adam kelihatan menyeka air matanya yang mengalir.

“Adam, saya pergi sana dulu ya.”

Dayana tahu kalau Adam dan Mikail mahu mengembalikan segala kenangan mereka saat ini. Melepaskan rindu yang sekian lama terpendam. Dia tidak mahu mengganggu. Langkahnya diatur ke arah keluarga Adam yang berkumpul bersama keluarganya. Biarkan Adam dan Mika melayani perasaan mereka sekian lama.

“Kau tak payah nak berlagak sangatlah, jangan kau dah menang bila kau kahwin dengan Abang Adam.” Satu suara menghentikan langkah Dayana ke khemah.

Dari tadi memang Zara langsung tak ada rasa mahu bergambar. Wajahnya masam mencuka. Dayana tak ambil hati pun.

“Tak ada siapa yang berlagak, Zara. Jodoh saya dengan Adam adalah ketentuan dari Yang Maha Kuasa. Kalau Zara menafikannya samalah Zara menolak takdir.”

Dia masih berlembut. Malas mahu berbahas.

“Tak payah nak ajar aku soal agamalah, perempuan. Kau datang dalam keluarga kami pun tak diundang. Kalau bukan bapa kau yang paksa Adam untuk terima kau, em kau ingat Adam nak kahwin dengan kau? Sebab papa kau merayu supaya Adam pilih kau. Kalau tak… Abang Adam tu tak boleh tolak kau sebab keluarga kau dah banyak bantu kami. Jangan kau ingat Adam tu betul-betul cintakan kau, Dayana.” Sinis suara Zara menerjah ke gegendang telinga Dayana.

“Apa maksud awak, Zara? Jangan nak buat cerita.” Dayana mula meradang. Selembut-lembut dia ada hadnya.

“Buat cerita? Kenapa kau tak tanya sendiri pada Dato’ Arifudin. Papa kau datang jumpa mak aku lima tahun dulu dan pinang Adam. Adam menolak tapi papa kau merayu demi persahabatan dia dengan arwah abah kita orang. Demi balas budi, Adam terima permintaan papa kau tapi dia minta masa. Sebab tu selepas lima tahun baru dia bersetuju untuk nikah dengan kau.”

Zara ketawa kecil.

“Aku tak percaya.”

“Terpulang Dayana. Percaya atau tak itu bukan soal aku. Aku cuma cakap apa yang aku tahu.”

Balik kampung minggu lepas dia dengar semua cerita ini bila Hajah Aminah bercerita dengan Adlina. Dato’ Arifudin bertemu Adam lima tahun lalu supaya Adam dapat terima Dayana sebagai isteri. Kerana dia takut nak lepaskan Dayana pada orang lain.

“Kau buat cerita kan, Zara?”

Zara geleng.

“Pergilah tanya dia orang betul atau tak apa aku cakap ni. Kau syok sendiri Dayana. Sedang Adam sikit pun tak berminat dengan kau. Well, selamat pengantin baru.”

Zara melangkah ke arah Hajah Aminah. Kaki Dayana kaku di situ. Dia pandang Adam yang masih rancak bercerita dengan Mikail. Dia pandang Dato’ Arifudin yang masih sibuk melayan tetamu. Kakinya bagai tak terasa. Betulkah apa yang Zara ceritakan?

Dayana melangkah laju masuk ke dalam rumah. Dadanya turun naik. Antara percaya dan tidak, dia tidak tahu apa yang harus dilakukannya sekarang.

“Adik..”

Datin Hanis yang perasan Dayana terburu-buru masuk menyapa.

“Er..adik nak naik atas sekejap.”

Dayana cepat-cepat naik ke atas. Di dalam bilik, Adlina dan Ayu rancak bercerita. Mengemaskan barang hantaran disusun elok di satu tempat.

“Ha adik, kenapa ni?” Idayu menyoal. Adlina senyum. Dayana geleng.

“Lin, boleh D cakap sikit?”

Adlina angguk. Merapati Dayana yang duduk di birai katil.

“Lin, D nak tanya macam mana Adam boleh kenal D masa kadet tu?”

Adlina senyum dia tak tahu kalau itu soalan perangkap untuk Adlina jawab semua teka-teki dalam hatinya.

“Oh… uncle ada datang rumah dan tunjukkan gambar D, masa tu abang kenal dengan D. Tak salah masa tu D baru masuk UPNM.”

“Papa pinang Adam untuk D ya?” Dayana cuba tersenyum. Bagai bercanda dalam gurauan.

“Jarangkan perempuan pinang lelaki. Masa tu kata mak abang terkejut juga. Tapi yalah dah jodoh kamu berdua.”

Ya Allah…benarlah kata Zara.

Papa..sampai hati papa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/331374/MY-SWEET-CIK-LEFTENAN