[SNEAK PEEK] MY DEAR MR. DIMPLE

9789670992020-medium

MY DEAR MR. DIMPLE Oleh Aifa Batrisya

“AWAK…” panggil Sofea sambil membetulkan tudungnya yang tidak sempat dilipat elok sebelum mula menghadap komputer ribanya. Teruja sangat dengar bunyi notification tadi, aci sempat sahaja sarung mana-mana tudung yang bersidai di hujung katil.

“Ye awak,” balas orang di sebelah sana dengan mata sengaja dikerdip-kerdipkan, gaya comel amat.

“Bila awak nak balik ke sini?” soal Sofea untuk yang ke berapa ratus kali sejak sebulan yang lalu. Langsung tidak jemu bertanya walaupun jawapan dan reaksi yang diterima tetap sama. Dan seperti biasa bila mendengarkan saja soalan klise itu, orang di sebelah sana sudah keluar tawa machonya.

“Nanti saya baliklah, okey sayang? Tak lama lagi. Awak pejam, celik… pejam, celik… tengok-tengok je saya dah ada depan mata awak,” balasnya sambil tangan dilekap ke dada. Simbol supaya bawa bersabar.

“Dah tak larat nak bangun, tidur dah. Tapi bila tanya, awak masih ada dekat sana. Bukan awak patut balik lama dah ke?” soal Sofea, tidak puas hati.

“Yeah… according to the real plan….”

“Then? Buat apa menghabiskan duit kerajaan duduk lama-lama dekat sana? Baliklah sini. Mama dah bising-bising dah siang tadi tau…!” Sofea sudah mula keluarkan ayat memancing.

“Mama awak cakap apa? Dia nak suruh saya pinang awak? Bila?” soalnya bertalu-talu. Tiba-tiba keluar semangat peliknya.

Sofea sengih. Dah agak dah, confirm pancing mengena kalau nama mama disebut.

“Dia tak sebut pun pasal awak.”

Orang di sebelah sana sudah mula angkat kaki rapat ke badan sambil garu-garu belakang kepala.

“Apasal eh, mama awak tak sebut pasal saya?”

“Kenal awak pun tidak,” balas Sofea ber sahaja.

“What? Bakal menantu mithali macam saya ni mama awak tak kenal lagi? Rugi besar tahu? Ini nak merajuk ni,” balasnya sebelum skrin papar gambar orang di sebelah sana tiba-tiba jadi gelap. Mengekek Sofea tertawa. Cepat benar sentapnya.

“Alaaa… awak ni. Tak payahlah nak merajuk-rajuk bagai. Tak cool la macam tu. Nanti awak dah balik sini, barulah saya inform mama. Kalau cerita sekarang pun, bukan awak ada. Nanti saya nak upah siapa pulak buat ganti awak?”

“Eh, jangan mengada-ngada nak upah lelaki lain buat ganti saya, ye. No ganti-ganti! Tunggu saya balik sana dulu. So buat sementara, awak boleh berpura-pura macam masih single. But the truth, you’re no longer available. Hehehe. Tapikan awak, buat sementara untuk praperkenalan, awak ajaklah mama awak video chat sekali dengan kita. Aci tak? Aci tak?” balasnya tiba-tiba dengan sengihan.

Praperkenalan? Apa tu? Kali ini Sofea pula yang garu kepala. Prauniversiti biasalah dengar. Perkenalan pun ada pra juga ke?

“Haah. Sekali saya ajak mama, semua konco-konco dia join sekaki. Dari yang paling kecil sampai la si inspektor polis tu.”

“Eh, abang awak tu polis eh?”

Sofea angguk laju-laju sebelum buat isyarat pistol ke arah kamera.

“Don’t mess with me… or else…”

“Wahhh… takutnya… takutnya!!!”

Sofea gelak besar sebelum gelak mereka bersatu dalam talian versi boleh nampak muka itu.

“Mama tanya pasal ciri lelaki idaman saya,” sambung Sofea usai tawa mereka reda.

“Then? Awak jawab apa? Awak cakap yang awak sukakan lelaki macam saya ni… tall, dark and handsome?”

“Buwekkk!!!”

Orang di sana sudah gelak beria-ia.

“Saya suka lelaki yang wangi.”

“Check! Sebotol minyak wangi sehari saya sembur tau.”

“Poyo!” komen Sofea sebelum gelak.

“Saya suka lelaki yang suka pakai baju Melayu sebab nampak… something.”

Orang di sebelah sana tiba-tiba hilang dari skrin sebelum tiba-tiba muncul dengan baju lain dan kopiah di kepala.

“Macam ni, kan? Saya tahu, awak memang cerita pasal saya. Kan? Kan? Kan? Ada gaya ustaz tak saya ni? Assalamualaikum wahai Zarin Sofea, si pemilik tulang rusukkku….”

Sofea sudah bantai gelak sakan sambil beria-ia tepuk tilam. Bersungguh-sungguh pi sarung baju Melayu segala macamlah mama ada dekat sini. Poyo betullah dia ni! Nasib baik jauh nun di sana. Kalau depan mata, dah tentu-tentu kena sepit dengan ‘ketam’.

“Rin…”

Gelak Sofea terhenti sebelum tangan kanannya tarik skrin komputer riba separuh tertutup. Cepat-cepat dia bangun daripada meniarap lalu duduk sopan di hujung katil.

“Abang ingat Rin dah balik lepas mengajar tadi,” tegur Zafril sambil ambil tempat di kerusi meja solek berhampiran katil.

Sofea menggeleng. “Tadi Rin buat facial free dekat mama. Nak dekat maghrib baru siap, rasa macam malas pulak nak drive balik. Esoklah kut Rin balik sana. Emmm… abang baru balik kerja?” soal Sofea walau sah-sah soalan tadi setakat mahu berbasa-basi kata orang. Pakaian seragam duk melekap elok kat badan dia kut, Pia! Takkanlah baru balik menoreh?

Zafril angguk sebelum tersenyum. Ekor matanya kemudian terarah pada komputer riba yang separuh terbuka di atas katil.

“Abang ingat, Rin cakap dalam phone, rupanya tak. Borak dengan siapa tadi?”

“Aaa… dengan Lina!”

“Tapi suara macam lelaki je yang gelak tadi.”

Gulppp!!! Jelas sangat ke bunyi gelak tawa tadi?

“Aaa… Samsul. Menyibuk je dia tu nak gelakkan Si Lina. Ceritanya macam ni, Lina tu baru cuba pakai tudung awning yang tengah glamor sekarang tu. Tapi Si Samsul cakap, tak sesuai. Nampak pelik. Jadinya, Rin dengan Samsul gelak la berjemaah. Haaa… macam tu.”

“Ooo…”

Sofea tarik nafas lega bila nampak Zafril sudah mengangguk faham. Mujur cover line berjaya. Kalau tidak, harus waktu itu juga dia terpaksa kenalkan si dia pada abang long.

“Yang Rin pakai tudung jugak ni nak tunjuk pada Samsul jugak ke?”

Ha? Sofea sudah ternganga. Tudung yang tersarung di kepalanya ditenung sendiri. Lambat-lambat baru dia menjawab dengan sengihan.

“Ehhh… bukan, bukan. Iyalah, walaupun borak dengan Lina… mana tahu kut Samsul join sekaki macam tadi, kan? Jadi Rin pakailah tudung siap-siap. Bagus tak? Bagus tak?”

Zafril tertawa kecil sebelum bangun seakan mahu beredar.

“Tidurlah Rin. Sudah-sudah berborak dengan Lina tu. Dia tu isteri orang. Nanti marah pulak Si Samsul tu Rin kacau isteri dia malam-malam macam ni.”

“Okey bos! Selamat malam!”

“Assalamualaikum…”

“Waalaikumussalam,” balas Sofea malu-malu sambil memerhati kelibat Zafril hilang di balik pintu yang turut sama ditarik sebelum ditutup. Perlahan-lahan, Sofea buang keluhan bila mengenangkan si baju biru yang baru sahaja keluar tadi. Dia memang abang yang terbaik di alam maya.

Dan…

Lelaki di skrin di sebelah sana, adalah calon suami terbaik untuknya.

Teringatkan perbualan video yang terhenti tadi, cepat-cepat dia meniarap semula ke atas katil sebelum perbualan mereka bersambung hingga ke tengah malam.

****

TOMBOL pintu masuk dipulas perlahan. Keadaan dalam rumah itu tampak tenang berbanding biasa. Sunyi sahaja. Tiada bunyi televisyen yang dipasang kuat mahupun suara radio dari bilik Si Luna yang sememangnya gemar pasang radio sampai habis volume. Dan tanpa bingit suara radio itu menandakan yang budak Kuantan tu masih belum balik dari kampung lagi.

Langkah diatur ke arah biliknya di hujung kawasan rumah teres setingkat itu sebelum kakinya terhenti di ruang hadapan arah masuk ke dapur. Sofea berjingkit-jingkit perlahan, lagak macam pencuri menghampiri dua sahabatnya yang sedang duduk di meja makan sambil membelakanginya.

“Woittt! Buat apa tu, ha?” Dua pasang mata memandang bulat ke mukanya sambil mulut masing-masing terlopong.

“Ooo… sampai hati ye korang, makan durian sorok-sorok. Bagi aku bau je.”

Tanpa diajak, Sofea tarik kerusi untuk duduk di antara Alia dengan Sheha sambil merenung kosong ke arah bekas putih di hadapannya.

“Beli durian kat mana ni? Kenapa beli yang dah disusun dalam bekas? Tak fresh la!” komen Sofea sambil tangannya laju mencapai satu. Baru sahaja hendak disua ke dalam mulut, tangannya terhenti.

“Kenapa durian ni pelik? Durian apa kau beli ni? Durian sintetik ye?” soalnya lagi.

Sheha dan Alia langsung tertawa.

“Itulah, masuk rumah tak bagi salam… main serbu masuk je. Ini bukan durian la,” balas Sheha sambil mencapai satu sebelum digigit perlahan.

Sofea garu kepala. Bukan durian, tetapi warna kuning… baunya pun bau durian. Apa pula bendanya kalau bukan durian? Durian cucuk botox ke apa ni?

“Jadi betullah sintetik? Kan?” Sofea terus menerus bertanya.

“Bukanlah. Aku kata bukan durian, bukanlah. Hisyh Pia ni, kan! Ini namanya durian crepe. Tengah glamor ni. Kakak ipar aku jual secara online, aku saja bawak sini sikit. Ingat nak promosi dekat ofis,” balas Alia sambil tersengih.

“Crepe? Apa tu?” soal Sofea.

“Crepe tu ala-ala lempeng jugak. Perkataan crepe tu berasal dari Perancis. Crispa yang bermaksud kerinting,” jelas Alia.

Makin panjang kerutan dahi Sofea. Durian crepe di tangannya dibelek berkali-kali sebelum mulut dimuncungkan panjang. Kerinting? Celah mana pula benda ni kerinting? Elok saja bulat dilipat macam kuih koci. Cuma warnanya sahaja bagai dicelup dengan pewarna kuning. Entah-entah celup dengan serbuk kunyit! Crepe di tangan didekatkan ke hidungnya. Tak mungkin kunyit! Pekat betul bau duriannya!

“Aaa..lia…” Sofea sudah angkat tangan tinggitinggi.

“Haaa… aku tahu, mesti kau nak persoalkan pasal kerinting tu, kan? Dah, turunkan tangan anda itu ye, wahai murid. Tak payah iya-iya bertanya. Aku pun tak tahu kaitannya. Nak tahu, kau tanya pengasasnya,” Alia memberi amaran.

“Okey. Sss…”

“Oppp… jangan tanya aku jugak siapa pengasasnya. Aku tak tahu. Yang aku tahu, aku suka makan benda ni. Sedap!!!”

Sofea tarik sengih. Tidak jadi dia hendak bertanya. Potong stim sungguhlah Alia ni! Mentang-mentanglah jawatan hakiki dia dekat pejabat PA kepada director, cekap sungguh bab menjawab atau menepis soalan ni, kan!

Ngappp!!! Akhirnya usai lafaz bismillah, mulutnya mengunyah perlahan sambil kepala sekali-sekala dianggukkan lagak juri Masterchef. Hmmm… sedap juga durian tipu-tipu ni. Boleh tahan.

“Payah betul berkawan dengan orang daripada bahagian penyelidikan ni, kan Lia? Sampai ke akar umbi dia nak tahu,” komen Sheha sambil tertawa mengekek.

“Entahnya,” sahut Alia dengan tawa.

“Lohhh… tak ada kaitan di situ, heh!” komen Sofea sambil terus menyuap. Serius sedap benda kerinting ni. Tak kurang tak lebih rasa durian pun!

“Eh, Pia. Awal kau balik hari ni? Bukan selalu kalau cuti panjang macam ni kau terus pergi ofis pagi esoknya ke?”

Sofea telan crepe yang sudah dikunyah sebelum menyambung kata.

“Kau gila? Esok Angry Bird mula memerintah. Kut dibuatnya aku terlewat satu saat pun, sampai ke anak cucu dia sebut tahu?”

Alia gelak besar. Sheha pula sudah angkat kening tinggi sambil tepuk-tepuk bahu Alia yang gelak solo. Siapa pula yang dapat gelaran Angry Bird ni?

“Siapa Angry Bird ni weh? Aku dah terlepas tren la. Kau berdua ni naik Senandung Malam ke komuter?”

“Kami naik monorel. Laju berdesup kut! Kau ni Sheha, itu pun tak dapat tangkap ke? Angry Bird atau nama sebenarnya Puan Zahlia. Faham?” Alia sambung gelak. Pertama, menggelakkan Sheha yang masih terpinga-pinga. Keduanya, membayangkan macam manalah Si Sofea ini boleh suka-suka saja gelar orang, tetapi kebanyakannya memang kena dengan karakter.

“Kau panggil Puan Zahlia apa? Angry Bird?” soal Sheha setelah sekian lama bersoal jawab sendiri tentang relevannya panggilan yang Sofea beri pada pegawai kanan paling digeruni di jabatan mereka itu.

“Haah. Kenapa? Salah ke?” soal Sofea sambil mengunyah crepe yang kedua. Emmmm… sedapnya!

“Tak ada gelaran lain ke kau nak bagi dekat orang tua tu?”

“Ammm… eemmm… ummm…”

“Oi budak! Tak baiklah bercakap waktu mulut penuh berisi makanan. Habiskanlah dulu makanan dalam mulut tu. Hisyh.”

Sofea sengih sambil mulut laju mengunyah.

“Ha, sambung balik. Cuba kau belek muka bos kau tu, Sheha. Kalau dia tengah berfikir, tengah marah… kening diakan terangkat. Mulut muncung… haaaa… sebijik Angry Bird pe!” balas Sofea bersahaja sambil buat gaya kening terangkat sebelum tertawa mengekek.

Sheha yang mula-mula berkerut dahi membayang, akhirnya turut sama tertawa.

“Haah! Bos aku pun, dah jadi bos kau sekarang. Selamat datanglah ye, ke wilayah jajahan Angry Bird wahai Cik Zarin Sofea. Eh, lupa nak beritahu kau. Dia ada e-mail aku tau semalam,” balas Sheha.

“Siapa? Doktor Syed pujaan hati kau tu ke?” soal Sofea.

“Bukan daaa…. Bos Angry Bird kau tu, lah.”

Huk aloh, dia tu tak reti-reti nak berehat waktu cuti ke? Mengganggu ketenteraman awam je. Apa dia nak?” soal Sofea lagi. Kali ini crepe yang ketiga pula dikunyahnya. Licin bekas plastik yang tersusun cantik dengan durian crepe tadi.

“Esok pagi, dia nak buat sesi taaruf dengan semua pegawai jajahan terbaru dia. Tepat pukul lapan setengah pagi.”

“Apa? Taaruf?”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79841/my-dear-mr-dimple