[SNEAK PEEK] MR FUSSY OR MR COOL

MR FUSSY OR MR COOL Oleh Lieya Leza

“TAK guna!” geram Aryana sambil melemparkan beg tangan ke arah katil. Dengusan kasar terlepas dari bibir.
“Perempuan tu memang tak serik-serik. Berani dia kembali kepada Zharif semula,” geram Aryana lagi. Dikepalkan tangan sambil menahan kemarahan dalam hati.
“Yana,” tegur Dato Yazir dari arah muka pintu bilik.
Aryana menoleh. Wajah Dato Yazir menyapa mata.
“Kenapa dengan anak papa ni?” tegur Dato Yazir sambil melabuhkan duduk di birai katil. Matanya menatap wajah tegang Aryana.
“Zharif!”
“Zharif? Kenapa dengan Zharif?”
“Zharif dah berbaik semula dengan perempuan tu. Yana tak suka!”
“Macam mana Yana tahu yang Zharif dan Dhieya dah berbaik semula?”
“Hazyrul! Yana terserempak dengan dia tadi.”
Dato Yazir menghela nafas berat. Wajah Aryana masih menjadi tatapan mata. Kenapa Aryana masih mengejar Zharif? Sudah berkali-kali dia menasihati, tetapi nasihatnya itu dipandang sepi oleh Aryana. Bagaimana untuk menyedarkan Aryana bahawa Zharif milik Dhieya Amiera dan bukannya Aryana Natasya?
“Yana tak suka! Yana nak hapuskan perempuan tu.”
“Sudah-sudahlah, Yana. Buat apa Yana nak rosakkan hubungan Zharif dengan Dhieya? Yana tak sedar lagi apa yang Yana dah buat dahulu dekat Zharif dan Dhieya? Yana fitnah Dhieya sehingga mereka berdua berpisah. Yana tahu tak dosa memfitnah tu lebih berat daripada dosa membunuh?” tegur Dato Yazir dengan tegas.
Kepalanya digeleng perlahan mengingati kesemua perbuatan anaknya itu. Rasa berdosa kerana tidak berjaya mendidik Aryana sebaik mungkin.
“Yana tak peduli. Yana tak nak mereka bahagia atas kedukaan Yana.”
“Untuk kali ini, dengar cakap papa. Papa tak nak Yana menyesal kemudian hari.”
Aryana mendengus kasar. Tanpa membalas, beg tangan dicapai lantas beredar dari bilik itu. Dia perlu berhadapan dengan Zharif dan Dhieya. Selagi hatinya tidak tenteram, selagi itulah dia akan mencari jalan untuk memutuskan hubungan Zharif dengan Dhieya.
“Yana nak ke mana?” tegur Dato Yazir sebelum kelibat Aryana menghilang.
“Yana nak buat perhitungan dengan Zharif dan Dhieya!” laung Aryana dari luar bilik.
Dato Yazir hanya mendengar. Keluhan berat terlepas dari bibir untuk kesekian kali. Sukar untuk menasihati Aryana. Hanya doa yang mampu diberikan agar pintu hati Aryana terbuka untuk menerima kenyataan dan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah.
“Perhitungan?” Meluncur laju perkataan itu daripada bibir Dato Yazir.
“HATI-HATI, Dhieya,” tegur Puan Zulaikha.
Dhieya sekadar mengangguk dan tersenyum. Ucapan syukur meniti di sudut hati. Bersyukur dengan kasih sayang Puan Zulaikha dan Encik Ashraf.
“Umi, kami pergi dulu,” beritahu Zharif.
“Jaga Dhieya elok-elok, Rif,” pesan Puan Zulaikha lagi.
“Zu ni, tahulah Zharif nak jaga Dhieya macam mana. Zu janganlah risau,” tegur Encik Ashraf lalu menggeleng perlahan.
“Zu bukan apa, abang. Hati Zu ni risaukan Dhieya. Abang tengoklah keadaan Dhieya. Tak bermaya dan pucat,” adu Puan Zulaikha sambil memandang ke arah Dhieya.
“Abang pun perasan juga, Zu,” sokong Encik Ashraf.
“Zu risau penyakit Dhieya makin melarat. Abang kan tahu, doktor sarankan Dhieya menjalani dialisis tu enam kali seminggu disebabkan mengandung. Zu risaukan kedua-duanya.”
“Insya-Allah, Zu. Sama-samalah kita berdoa agar kedua-duanya selamat.”
“Zu pun doakan yang sama, abang.”
Encik Ashraf mengangguk perlahan. Matanya masih tertumpu ke arah Zharif dan Dhieya yang sudah mula menapak untuk masuk ke dalam perut kereta. Berdoa agar Zharif dan Dhieya dilindungi Allah ke mana sahaja anak menantunya pergi.
“Aryana,” sebut Puan Zulaikha, tiba-tiba.
Encik Ashraf tersentak. Dihalakan mata ke arah Aryana yang sudah pun keluar dari perut kereta. Tegang dilihatnya wajah gadis itu. Apa yang berlaku kepada Aryana?
“Perempuan tak guna!” sergah Aryana seraya menarik lengan Dhieya.
“Aryana! Apa yang you buat ni?!” marah Zharif.
“I nak hapuskan cleaner ni. Sebab dia, you tolak cinta I!” marah Aryana turut sama meninggi. Dicengkam lengan Dhieya sekuat yang mungkin.
“Cik Aryana!” tegur Dhieya, perlahan.
“Aryana, lepaskan Dhieya!” arah Zharif, serius.
“I takkan lepaskan dia. I nak dia rasa apa yang I rasa selama ini. I bersungguh-sungguh pikat you, tapi you tetap pilih cleaner ni,” luah Aryana, tegas.
“Aryana, lepaskan Dhieya, nak. Dhieya kan tengah mengandung,” pujuk Puan Zulaikha. Risau melihat tingkah laku Aryana ketika ini.
“Aryana, kita bincang,” pujuk Encik Ashraf pula.
Aryana tidak mengendahkan kata-kata Puan Zulaikha dan Encik Ashraf. Ditarik tubuh Dhieya supaya mengekorinya.
“Yana, you nak bawa wife I ke mana?” tanya Zharif, geram.
“Ikut aku!” arah Aryana, keras. Ditarik kasar tubuh Dhieya sehinggakan langkah Dhieya terpesong dan hampir terjatuh.
“Aryana!!!” jerit Zharif, lantang. Marah dengan tingkah laku Aryana terhadap Dhieya.
“Aduh!” adu Dhieya, perlahan.
“Sayang!” seru Zharif, lembut. Matanya memerhatikan langkah Dhieya.
“Aryana, lepaskan Dhieya. Kita bincang elok-elok,” pujuk Puan Zulaikha lagi. Perasaan risau semakin menghuni dalam hati.
“Auntie, diam! Jangan nak berlagak baik depan Yana. Bukannya Yana tak tahu yang selama ini auntie memang tak sukakan Yana,” tegur Aryana, tinggi.
Puan Zulaikha terkedu. Sedikit sebanyak, kata-kata Aryana ada benarnya juga.
“Yana, uncle dah call papa Yana. Sekejap lagi, papa Yana sampai,” pujuk Encik Ashraf.
Sejak tadi dia menjadi pendengar dan pemerhati. Dalam pada itu, sempat dia menelefon Dato Yazir yang kebetulan dalam perjalanan menuju ke rumahnya. Mengkhabarkan tentang tingkah laku Aryana.
Aryana mendengus kasar. Semakin kuat cengkaman di lengan Dhieya. Menahan kemarahan dalam hati. Kenapa Encik Ashraf menelefon Dato Yazir?
“Please, Yana. Lepaskan Dhieya,” pujuk Zharif dengan tegas.
Aryana masih berdegil. Ditarik kasar dan memaksa Dhieya masuk ke dalam kereta. Dia perlu membuat perhitungan dengan Dhieya.
“Aryana, you nak bawa wife I ke mana?” tanya Zharif, serius. Dihampiri kereta dan cuba untuk menghalang Aryana daripada memaksa Dhieya masuk ke dalam kereta.
“You jangan nak masuk campur. I bunuh dia nanti!” ugut Aryana seraya mengeluarkan sebilah pisau dari beg tangan.
“Aryana! You buat apa ni?” tegur Zharif, tinggi. Puan Zulaikha dan Encik Ashraf turut sama terkejut. Perasaan risau menujah dalam hati masing-masing.
“You jangan paksa I, Zharif. Kalau you sayangkan dia, jauhkan diri you dari kami berdua,” amuk Aryana. Seperti orang dirasuk syaitan sahaja.
“Ya Allah, Yana. Tolong jangan apa-apakan Dhieya,” pujuk Puan Zulaikha dengan risau. Matanya mengekori langkah Aryana.
“Yana, bawa mengucap. Kita selesaikan dengan cara baik. Jangan apa-apakan Dhieya,” pujuk Encik Ashraf pula. Dia turut sama risaukan keselamatan Dhieya.
“Okey. You nak apa, Yana? I akan ikut cakap you. Sebelum tu, you lepaskan wife I,” kata Zharif, mengalah. Cuba untuk menenteramkan perasaan Aryana yang sedang marah.
“Cik Aryana, tolong lepaskan saya. Saya janji akan ikut kata-kata cik,” ujar Dhieya pula. Ada baiknya dia cuba memujuk. Berharap Aryana termakan dengan pujukannya itu.
Aryana mendengus kasar. Semakin sakit telinganya mendengar suara Dhieya. Tanpa membalas, ditolak kasar tubuh Dhieya supaya masuk ke dalam kereta. Dapat dirasakan penolakan daripada Dhieya. Bertambah panas hatinya dengan tingkah laku Dhieya. Semakin kuat dia menolak tubuh Dhieya, semakin kuat juga penolakan daripada Dhieya.
Zharif hanya memandang. Dikepalkan tangan sambil cuba menahan kemarahan dalam hati. Kerutan di dahi Dhieya menggambarkan kesakitan isterinya itu.
“Aryana!” panggil Dato Yazir tiba-tiba.
Tersentak mereka yang berada di situ. Masing-masing menghalakan mata ke arah Dato Yazir yang sudah pun keluar dari perut kereta.
Zharif yang menyedari kealpaan Aryana segera menarik tubuh Dhieya menjauhi Aryana. Terkejut Aryana dan Dhieya atas tindakan Zharif itu.
“Zharif!!!” jerit Puan Zulaikha dan Encik Ashraf, serentak.
“UMI, mana Abang Zharif?” tanya Dhieya, terpinga-pinga. Sungguh, dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Zharif ketika ini.
“Dhieya, sabar ya,” pujuk Puan Zulaikha sambil menggenggam tangan Dhieya.
“Cik Aryana mana?” tanya Dhieya lagi.
Puan Zulaikha menarik nafas berat. Matanya menatap wajah Dhieya yang terpinga-pinga. Rasa sebak hadir dalam hati ketika ini.
“Zu,” panggil Encik Ashraf, perlahan.
“Dhieya, umi jumpa ayah sekejap,” beritahu Puan Zulaikha, lembut.
Dhieya sekadar mengangguk. Otaknya cuba merencanakan apa yang berlaku sewaktu Zharif menarik tubuhnya menjauhi Aryana. Apa yang dia ingat, tubuhnya dipeluk erat Zharif ketika itu. Telinganya disapa dengan suara cemas Puan Zulaikha dan Encik Ashraf. Apa yang berlaku kepada Zharif?
“Macam mana, bang?” tanya Puan Zulaikha, tidak sabar.
Encik Ashraf menarik nafas berat. Wajah Puan Zulaikha ditatap kasih. Kemudian dihalakan mata ke arah Dhieya yang sedang duduk di atas kerusi. Rasa kasihan turut sama hadir dalam hati.
“Abang, Zharif macam mana?”
“Tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Zharif kena beberapa jahitan saja.”
“Syukur alhamdulillah kalau tak teruk, bang. Zu risau kalau luka Zharif tu dalam dan boleh memudaratkan Zharif.”
“Insya-Allah, tak ada apa yang perlu dirisaukan. Doktor dah bagi ubat kat Zharif. Tunggu Zharif sedar aje ni.”
“Lega hati Zu ni, bang.”
Encik Ashraf sekadar mengangguk. Peristiwa tadi bermain-main dalam minda. Perbuatan Aryana sukar untuk dimaafkan. Mujurlah tikaman di perut tidak begitu dalam dan Zharif hanya dikenakan beberapa jahitan. Jika tidak, pasti akan memudaratkan pergerakan Zharif nanti.
Nafas ditarik lalu dilepaskan dengan berat. Tindakan Zharif menarik Dhieya dari pegangan Aryana satu tindakan yang tepat. Jika Zharif tidak berbuat begitu, sudah tentu Dhieya yang akan terkena tikaman itu. Sungguh, dia tidak mahu memikirkan perkara itu memandangkan Dhieya sedang mengandung. Akibat itu, Zharif yang terkena tikaman sekaligus dapat menyelamatkan Dhieya daripada Aryana.
“Dapat jumpa Aryana?” tanya Puan Zulaikha sekadar ingin tahu.
Selepas kejadian tadi, Aryana menghilangkan diri. Mungkin sedang menyembunyikan diri atas perbuatannya beberapa jam yang lepas. Dato Yazir yang berada di situ turut sama terkejut dengan tindakan Aryana. Tidak menyangka Aryana sanggup berbuat begitu kerana membenci Dhieya.
“Tak dapat. Dato Yazir masih mencari,” jawab Encik Ashraf.
“Habis tu, kita nak laporkan perkara ni kepada pihak polis ke, bang?”
“Abang tak tahu, Zu. Kita tanya Zharif.”
Puan Zulaikha tidak membalas. Matanya menatap wajah Encik Ashraf yang beriak tenang. Adakah perasaan suaminya sama seperti dirinya? Risau dan rasa bersalah.
“Abang rasa, Zu paling sesuai bagi tau pasal Zharif dekat Dhieya,” ujar Encik Ashraf.
“Baiklah bang. Zu bagi tau dekat Dhieya,” balas Puan Zulaikha lalu mengangguk perlahan.
Encik Ashraf sekadar tersenyum. Dihalakan mata ke bangku yang diduduki Dhieya. Berkerut dahinya tatkala melihat Dhieya tiada di situ.
“Dhieya mana?” tanya Encik Ashraf.
Puan Zulaikha menoleh. Dahinya turut sama berkerut. Ke mana Dhieya pergi?
“Dhieya!” panggil Encik Ashraf.
“Mana Dhieya?” tanya Puan Zulaikha pula.
DHIEYA terpinga-pinga. Entah ke mana arah tujunya, dia sendiri tidak tahu. Sejak tadi lagi dia mencari Zharif. Apa yang didengarinya sebentar tadi membuatkan jantungnya berdegup dengan kencang. Perasaan risau menujah dalam hati. Risaukan keadaan Zharif. Dia perlu berjumpa dengan Zharif. Dia perlu mencari Zharif. Di mana dia perlu mencari Zharif dalam keadaannya yang buta itu? Siapa yang dapat membantunya ketika ini?
“Abang! Abang kat mana?” tanya Dhieya sambil teresak kecil. Kakinya masih lagi melangkah. Mencari di mana Zharif berada ketika ini?
“Aduh!” adu Dhieya tatkala terlanggarkan sesuatu. Diusap dahi yang terasa sakit.
“Puan nak ke mana?” tegur seseorang dari arah belakang.
“Cik, tolong saya. Saya nak cari suami saya,” beritahu Dhieya, bergetar.
“Suami puan? Siapa?” tanya jururawat yang bernama Hamimah.
“Suami saya, Zharif Farhan. Tolong, cik. Saya nak jumpa dengan suami saya,” rayu Dhieya. Dia meraba-raba mencari Hamimah. Seketika kemudian, dapat dirasakan tangannya dipegang oleh Hamimah.
“Puan, dahi puan lebam. Mari saya sapukan ubat kat dahi puan tu,” beritahu Hamimah, prihatin. Ditarik tubuh Dhieya agar mengekorinya.
Dhieya mengeraskan badan. Ditarik tangannya dari pegangan Hamimah.
“Saya nak cari suami saya. Mana suami saya? Tolong saya!” rayu Dhieya lagi. Tangisan kedengaran dari bibirnya itu.
“Baiklah, puan. Saya bawa puan ke kaunter. Kita check di mana bilik suami puan nanti,” putus Hamimah. Matanya menatap wajah Dhieya yang sedang bersedih.
Dhieya masih lagi menangis. Sungguh, dia perlu mencari Zharif. Risau dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu. Bagaimana keadaan Zharif ketika ini?
ZHARIF memerhatikan Dhieya yang sedang tidur. Dia menggeleng perlahan tatkala terdengar dengkuran halus isterinya itu. Masih tidak berubah. Namun, itulah yang membuatkan dia tertarik dan jatuh cinta dengan Dhieya Amiera. Sikap jujur dan berterus terang yang ada dalam diri Dhieya turut menjadi faktor dia tertawan dengan gadis itu. Syukur alhamdulillah kerana Dhieya turut merasai apa yang dirasainya selama ini.
Nafas ditarik lalu dilepas dengan berat. Terasa ngilu di perut. Perlahan-lahan diangkat tubuh lalu bersandar di kepala katil. Matanya masih menatap wajah tersayang. Kasihan dia melihatnya. Selama ini, dia banyak melukakan hati Dhieya dan isterinya itu dapat memaafkan segala kesalahannya yang lepas. Rasa bersalah dengan apa yang terjadi dahulu.
“Maafkan abang. Abang banyak menyusahkan Dhieya,” luah Zharif. Pipi Dhieya diusap lembut. Lama dia bertingkah laku begitu sehingga membuatkan Dhieya tersedar.
“Abang!” panggil Dhieya, terpinga-pinga.
“Sayang,” sahut Zharif, perlahan.
“Dhieya risaukan abang. Penat Dhieya cari abang. Nasib baik ada Cik Hamimah tolong bawakan Dhieya ke bilik abang,” cerita Dhieya, bersungguh.
Rasa berterima kasih kepada Hamimah kerana membantunya mencari bilik Zharif. Dia juga turut meminta maaf kepada Encik Ashraf dan Puan Zulaikha kerana mengundang kerisauan dalam hati mereka berdua.
Zharif tersenyum hambar. Rasa bersalah mengepung diri. Bersalah kerana menyusahkan isterinya itu. Ditatap kasih wajah Dhieya. Seketika itu, matanya jatuh ke dahi Dhieya.
“Sayang, kenapa dengan dahi ni?” tanya Zharif sedikit terkejut. Disentuh dahi Dhieya yang berwarna kebiruan. Seperti lebam terhantuk sesuatu.
Dhieya tersenyum sambil menyentuh dahi sendiri. Disebabkan risau, dia terlanggar bucu dinding.
“Sayang, kenapa?” ulang Zharif, risau.
“Dhieya terlanggar bucu dinding tadi. Lebam sikit aje ni. Nurse dah tolong sapukan ubat,” beritahu Dhieya, jujur. Senyuman masih terukir di bibir.
“Sayang, lain kali kalau nak ke mana-mana, panggil sesiapa tolong sayang. Ni baru lebam. Kalau luka ke apa, siapa yang susah? Sayang juga, kan?” tegur Zharif, lembut.
“Dhieya tak nak susahkan sesiapa. Selama ini, Dhieya banyak susahkan orang lain. Abang, umi, ayah, mak ngah, Kak Eren dan Abang Faris,” adu Dhieya, perlahan.
Zharif terkedu. Adakah kata-katanya tadi telah menyinggung perasaan isterinya itu? Bukan niatnya untuk berkata begitu. Kerisauan dalam hati melebihi segala-galanya.
“Maafkan Dhieya.”
“Kenapa nak minta maaf?”
“Sebab Dhieya, abang cedera. Sebab Dhieya, Cik Aryana bertindak macam tu. Sebab Dhieya…” Kata-kata Dhieya terhenti tatkala jari telunjuk Zharif meniti di bibirnya.
“Dhieya pelengkap hidup abang. Dhieya segala-galanya untuk abang. Kalau apa-apa terjadi dekat Dhieya, seumur hidup abang akan menyesal,” luah Zharif, ikhlas.
Dhieya menarik tangan Zharif. Dikucup mesra tangan itu lalu tersenyum hambar. Rasa bersalah masih menghuni dalam hati. Bersalah atas apa yang berlaku terhadap Zharif dan Aryana.
“Abang rindukan sayang.”
“Luka abang macam mana?”
“Hurm… Masih rasa ngilu.”
Dhieya ketawa kecil.
“Kenapa?” tanya Zharif dengan dahi berkerut.
Dhieya hanya menggeleng. Dia bingkas bangun lalu melabuhkan duduk di birai katil. Perlahan-lahan direbahkan tubuh di sisi Zharif lalu memeluk erat tubuh suaminya itu. Disentuh lembut balutan di perut Zharif. Rasa sebak hadir dengan tiba-tiba. Syukur kerana luka Zharif tidak dalam dan hanya dikenakan beberapa jahitan sahaja.
“Rindu abang, ya?” usik Zharif.
“Rindu sangat-sangat,” balas Dhieya, lembut.
Zharif tersenyum. Dieratkan pelukan ke tubuh Dhieya. Menyalurkan rasa kasih dan cinta terhadap isterinya itu.
“Kalau Dhieya mati, abang janji dengan Dhieya akan jaga anak kita baik-baik. Abang janji akan terima segala kekurangan anak kita nanti tau.”
Berkerut dahi Zharif mendengarnya. Kenapa Dhieya berkata begitu?
“Dhieya sayang dan cintakan abang. Terima kasih kerana sudi terima segala kekurangan Dhieya,” luah Dhieya lagi.
“Sayang, kenapa cakap macam tu? Abang tak suka!” tegur Zharif, serius.
Dhieya tidak membalas. Dipeluk erat tubuh Zharif lalu tersenyum hambar. Degupan jantung Zharif menyapa halwa telinga. Deras dan laju.
“Sayang,” tegur Zharif, lembut.
Dhieya sekadar berdehem. Diusap perutnya yang terasa sakit dengan tiba-tiba.
“Sayang ingat lagi tak macam mana mula-mula kita berkenalan?”
“Ingat. Abang kejar Dhieya sebab Dhieya kotorkan baju abang.”
“Then Dhieya kata abang beli baju tu kat Chow Kit atau Petaling Street.”
Dhieya ketawa perlahan. Peristiwa itu bermain-main dalam minda. Kenangan yang paling bermakna dalam hidupnya.
“Kalau abang nak tahu, Dhieya dan Abang Faris gelarkan abang dengan panggilan miska. Gabungan perkataan miskin dan kaya. Kami ingat abang ni orang miskin dan berlagak kaya. Tapi, abang sebenarnya memang orang kaya,” cerita Dhieya lalu tersenyum.
Zharif turut sama tersenyum mendengarnya.
“Dhieya happy jumpa abang. Kalau bukan kerana pertemuan tu, mustahil Dhieya akan menjadi isteri kepada mister fussy, Zharif Farhan Ashraf.”
Zharif mengangguk perlahan. Mister fussy. Jolokan yang diberikan oleh Dhieya buat dirinya. Mister cool khas buat Hazyrul Nizam.
“Dhieya minta ampun dari hujung rambut hingga hujung kaki. Halalkan makan minum Dhieya selama kita bersama. Terima kasih kerana mencintai Dhieya. Nama abang akan kekal dalam hati Dhieya sehingga nafas terakhir Dhieya,” luah Dhieya, perlahan.
Zharif tergamam. Kata-kata Dhieya menusuk ke tangkai hati. Apa yang tidak kena dengan isterinya itu? Kenapa Dhieya meminta maaf darinya? Matanya memandang wajah Dhieya yang sedang beriak tenang.
“Dhieya nak tidur. Nanti abang tolong kejutkan Dhieya,” ujar Dhieya, lemah.
“Tidurlah, sayang. Nanti abang kejutkan sayang,” suruh Zharif, lembut.
Dhieya mengangguk lemah. Ditarik nafas lalu dilepaskannya lembut. Dieratkan pelukan ke tubuh Zharif. Menyalurkan rasa cinta terhadap suaminya itu.
“Terima kasih, Dhieya. Terima kasih untuk kasih dan cinta Dhieya terhadap abang selama ini. Abang bersyukur kerana memiliki Dhieya sebagai isteri,” luah Zharif, tersenyum.
Dahi Dhieya dikucup lembut. Matanya menatap wajah tenang Dhieya yang sedang tidur. Seminit kemudian, dahinya berkerut. Ada sesuatu yang berlainan pada isterinya ketika ini.
“Dhieya… Dhieya…” panggil Zharif, lembut. Diangkat wajah Dhieya yang sedang tidur. Kenapa wajah Dhieya pucat tidak berdarah?
“Dhieya… Sayang…” seru Zharif lagi. Namun, tiada tindak balas daripada isterinya itu.
“Doktor!!!” jerit Zharif, lantang.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93890/mr-fussy-or-mr-cool