DI BAWAH adalah biodata Doktor Syed sombong a.k.a penyeliaku…
Nama: Syed Nadzhan bin Syed Irham
Umur: 31 tahun
Pekerjaan: Jurutera Penyelidikan
Status: Bujang
Kepantangan: …
“Perempuan!” jerit Salwa lalu ketawa kecil.
“Hesy… sibuklah kau ni! Aku nak luahkan perasaan dalam diari pun tak boleh! Apa kau buat kat sini? Bukan tempat kau dekat tingkat atas ke?”
Salwa menjelirkan lidah sebelum tertawa kecil. Seronok dapat mengenakan Tasneem.
“Aku pergi tandas tadi. Saja datang sini nak melawat kau. Salah ke? Ehhh… pakwe kau mana?” soal Salwa sambil terjenguk-jenguk.
“Aku mana ada pakwe la!” Tasneem membalas perlahan. Malas rasanya hendak membuka mulut bila soal pakwe, kekasih mahupun mata air diajukan kepadanya. Jujurnya, sejak di bangku sekolah lagi memang tidak ada lelaki yang sudi berkawan rapat dengannya. Kenapa? Entah. Dia sendiri kurang pasti sebab musababnya.
“Maksud aku, Doktor Syed la!”
Laju saja dia mencebikkan bibirnya apabila penyelianya yang sombong itu dikatakan sebagai kekasihnya. Salwa sengaja aje hendak mengenakannya.
“Eh, bila masa pula aku jadi makwe dia ni? Kau jangan nak pandai-pandai buat gosip murahan ya, Awa. Dia belum datang lagilah. Entah-entah, dia cuti hari ni.”
“Siapa yang cuti?”
Erkkk! Tasneem terdiam. Takut-takut dia hendak menjawab. Dari sisi mata, dia sudah boleh mengagak gerangan yang bertanya. Daripada bau minyak wanginya saja Tasneem sudah tahu siapa gerangan orangnya. Heh Salwa ni, memang saja nak mengundang masalah. Errr… Aci tak kalau dia pura-pura tak mendengar soalan itu?
“Ehhh… Doktor Syed! Lewat hari ni? Jalan jammed ya?” tegur Tasneem, ceria. Langsung lari daripada topik cuti.
“Hmmm… Masuk bilik aku kejap!” balasnya sambil terus membuka pintu kaca biliknya.
Mata Salwa sedikit membulat. Aku? Biar betul penyelia Si Anim ni! Sempoi gila. Guna kata ganti nama diri aku-kau aje?
Seakan-akan memahami maksud pandangan Salwa, Tasneem cepat-cepat menggeleng, memberi isyarat kepadanya supaya pergi. Hah, nampaknya mood Doktor Syed tak berapa baik pada hari ini. Bersedialah wahai Afnan Tasneem. Sila sediakan kapas putih cukup-cukup buat menyumbat telinga!
“Ya Doktor Syed?” soal Tasneem lalu bersiap sedia dengan nota dan pen di tangan. Lagak dah macam setiausaha tak berbayar. Hidungnya lantas menangkap bau minyak wangi yang semerbak memenuhi bilik itu. Damai. Menarik lagi tertarik. Urghhh… Bahaya ni! Fokus Tasneem, fokus!
“Haaa… yang kau terpejam-pejam mata ni, kenapa? Baru hari kedua dah mengantuk datang kerja?”
Alamak! Cepat-cepat dia membuka mata.
“Doktor Syed ni wangi sangatlah…” Kata-katanya terhenti di situ tatkala mata lelaki itu tajam memandang ke arahnya. Aduhai Anim… Macam manalah mulut ni boleh terlepas cakap?!
“Kenapa? Busuk? Pening?” soalnya dengan pandangan redup. Tidak seperti semalam. Matanya tajam seperti singa yang dah berbulan-bulan tak makan daging.
“Eh… tak adalah. Saya suka bau macam ni, macam… Emmm… aaa… tak mengapalah, tak penting. Oh ya, ada apa Doktor Syed panggil saya ni?” Pantas saja Tasneem menukar topik. Tidak mahu soal minyak wangi terus diutarakan.
“Haaa… Lupa pula aku. Kau dah baca pasal amidasi?”
Laju Tasneem menggeleng. Bila pula dia ada masa nak mencari maklumat berkenaan amidasi kalau pada malam tadi dia sibuk menjawab temu bual eksklusif daripada Mastura dan Salwa tentang lelaki di hadapannya ini?
“Kau buat apa malam tadi? Bergayut dengan pakwe ya?” soalnya serius. Pandangan redup terus berubah menjadi pandangan yang menakutkan dengan mata yang tajam langsung tak berkerdip.
Mata Tasneem mencerlung. Uikkk… Soalan!
“Saya mana ada pakwe la, Doktor Syed.” Tasneem membalas bersahaja.
“Dah tu, kalau bukan dengan pakwe, gayut dengan tunang?”
“Kalau pakwe pun tak ada, tunang lagilah tak ada, kan?” balas Tasneem seiring senyuman manakala nada suara meminta simpati. Tapi senyumannya setakat di situ saja apabila melihat lelaki itu kembali memandang komputer.
Perlahan-lahan Tasneem memberanikan diri, memerhatikan wajah lelaki yang sedang sibuk memandang ke arah skrin komputer riba itu. Kacak. Kulit putih mulus dan bersih. Hidung mancung. Rambut tersisir elok. Pengemas. Ada kerja yang bagus… tapi bajet bagus sangat! Sebab itulah tak ada perempuan yang nak dekat.
Wah Anim, baru dua hari praktikal di sini dah boleh membuat ulasan pasal penyelia sendiri. Bila ditanya soal kerja, soal proses amidasi… huh… haram. Sepatah pun tak boleh dijawab!
“Yang kau beria-ia pandang aku ni, kenapa? Tengah dok fikir aku sesuai ke tak jadi calon pakwe kau?”
Tasneem menelan air liur. Perit pula rasanya lebih-lebih lagi apabila melihatkan senyuman ala-ala perli lagi sinis lelaki di hadapannya itu.
“Hehehe. Tak adanya, heh! Saya ni manalah layak nak digandingkan dengan Doktor Syed. Doktor Syed ni pegawai besar, saya ni pula, pelajar praktikal saja. Manalah…”
“Jadi, betullah kan tadi kau dok renung, fikir pasal aku? Tasneem, Tasneem…”
Kali ini Tasneem tergamam. Lama. Terkebil-kebil dia melihat lelaki itu tersenyum mengejek ke arahnya sambil menggeleng kepala berkali-kali. Biarpun rasa malu sebab terkantoi di situ tapi entah kenapa hatinya berbunga-bunga. Aduhai Doktor Syed yang kacak, merdu sungguh suara kau menyebut nama aku tadi.
Tasneem… Tasneem.
Hai la… Hari-hari kalau macam ni boleh cair dia dibuatnya.
****
SESEKALI Tasneem menggenyeh matanya yang mula terasa pedih. Hampir dua jam dia menghadap skrin komputer riba, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh lelaki itu. Matanya sudah mula berasa letih.
Tentang apa? Ahhh, apa lagi kalau bukan tentang proses amidasi tu. Selagi tidak menjelaskan secara tepat tentang proses itu, selagi itulah dia terpaksa mencari bahan. Hai la amidasi…
“When you fail to explain it simply, it means that you don’t understand the topic well enough. Bukan aku yang cakap ya, Albert Einstein yang cakap.”
Dek mendengar ceramah motivasi pendek itulah, Tasneem ada di atas kerusi itu, di hadapan meja itu biarpun pada mulanya, dia terasa segan bila diarah duduk di atas kerusi dan meja milik lelaki itu untuk mencari maklumat. Paling dia risaukan, tanggapan pegawai-pegawai lain kalau ada yang lalu-lalang, terlihat dirinya di situ. Mereka mesti menganggap yang bukan-bukan.
Tapi kalau bukan di situ, di mana lagi dia nak mencari maklumat? Di sini bukannya seperti di universiti, ada makmal komputer bagai. Lagipun, bukan dia yang memandai-mandai hendak duduk di situ, tapi atas arahan lelaki itu sendiri.
“Syed! Kenapa you tak balas SMS I?
Tasneem mengangkat wajahnya perlahan-lahan tatkala suara itu menyapa di hadapan pintu gelangsar yang baru dibuka.
“Ehhh… Awak ni student praktikal, kan? Awak buat apa dalam bilik Doktor Syed ni, ha? Pandai-pandai saja awak guna laptop dia ya!”
Suara wanita berambut ikal mayang yang berdiri sambil bercekak pinggang di hadapannya itu sedikit menggerunkan. Cepat-cepat Tasneem bangun.
“Maafkan saya, puan…”
“Doktor Aleesya.”
“Maafkan saya, Doktor Aleesya. Doktor Syed yang suruh saya duduk di sini…”
“Really? It’s sound stupid, dear. Which Doktor Syed are you talking about?”
Tasneem terdiam. Ceh… Speaking London pula dia ni! Dia ni siapa sebenarnya dengan Doktor Syed? PA? Tak mungkin. Dia pun ada pangkat doktor juga.
“Doktor Syed suruh saya cari maklumat tentang…”
“Tak payah nak buat ceritalah. Doktor Syed yang saya kenal tak akan bagi mana-mana perempuan duduk dalam bilik dia, lebih-lebih lagi atas kerusi dia dan guna komputer peribadi dia. So, apa awak buat kat sini?” soalnya sambil berpeluk tubuh dengan pandangan sinis.
“Betul, Doktor Aleesya…”
“Ohhh… Just shut up! Saya cukup masak dengan sikap pelajar praktikal perempuan macam awak yang datang sini pura-pura comel, kononnya nak belajar something tapi sebenarnya nak menggatal, mengurat lelaki macam Doktor Syed, kan?”
Tasneem menarik nafas panjang.
S. A. B. A. R. Perkataan itu cuba ditanam dalam dirinya. Kalau ikutkan fitrah dan perangai asalnya, memang dah lama perempuan di hadapannya ini dihabiskan cukup-cukup
Apa sebenarnya masalah dia ni? Datang-datang terus nak naik angin satu badan? PMS mungkin? Tak pun marah sebab cintanya kepada Doktor Syed tak berbalas? Ahhh… Kenapa pula hal peribadi Doktor Syed nak menjadi urusannya pula?
“Saya bukan macam yang Doktor Aleesya cakapkan tu…”
“Well, yeah. Sesiapa pun boleh cakap macam tu, even you. Tapi tengok apa yang awak buat? Opposite! Awak tahu tak, belum pernah ada perempuan duduk atas kerusi tu?”
Habis tu? Ada aku kisah? Gatal saja mulut Tasneem hendak menjawab, tapi hanya mampu diluahkan dalam hati.
“Kalau Doktor Aleesya tak percaya, doktor boleh tanya pada Doktor Syed…” Tasneem cuba bertegas.
“Enough girl! Pack your things, and get out from this room right now!”
Darah Tasneem sedikit menyirap apabila suara itu sedikit meninggi hingga ada beberapa orang yang lalu berhampiran berpaling. Gatal sahaja mulutnya hendak terus membalas tuduhan melampau itu tapi bila memikirkan tentang Mastura, hasrat itu dimatikan. Kesian pula dia kepada Mastura. Dia yang membuat hal, Mastura pula nanti yang mendapat malu!
Perlahan-lahan Tasneem mencapai kertas dan telefon bimbitnya. Kemudian dia mengatur langkah keluar dari bilik itu, diiringi jelingan tajam Doktor Aleesya.
“Ha… Kalau betul awak nak cari bahan, pergi ke lobi. Pinjam komputer Hani dekat meja penyambut tetamu tu. Jangan berani-berani lagi masuk bilik ni. Faham?”
Tasneem mengangguk perlahan. Malas nak bercakap banyak. Malas nak mencari gaduh!
“KAU buat apa kat sini?”
Tasneem berpaling. Melihatkan gerangan yang menegur, cepat-cepat dia berdiri tegak lalu tersenyum.
“Doktor Syed! Emmm… Saya cari bahan yang Doktor Syed nak tentang proses amidasi tu la.”
“Tapi kenapa kat sini?” soal Doktor Syed. Dahinya sedikit berkerut. Elok-elok dia suruh duduk di dalam bilik, kenapa pula nak mencari maklumat di meja penyambut tetamu?
“I yang halau dia dari bilik you, Syed. Budak ni, pandai-pandai saja masuk bilik you…”
“You halau dia? I yang bagi dia masuk, suruh dia guna laptop I. Yang you pandai-pandai halau dia, kenapa?”
Doktor Aleesya yang baru saja turun dari tangga kelihatan sedikit tergamam dengan jawapan yang diterima. Wajah Syed Nadzhan direnung dalam-dalam.
“Syed? I nak guna laptop you pun you marah… takkanlah…”
“Itu you. Tasneem bukan you!” Mata Doktor Aleesya membulat sebaik saja mendengar jawapan itu. Dia mendengus kasar sambil menayang wajah geram.
Tasneem mengetap bibir. Dia rasa serba salah untuk terus berada di situ. Perlahan-lahan dia menggaru kepalanya yang tak gatal. Apa kata kalau secara senyap dia beredar dari situ dan membiarkan pasangan kekasih ini menyelesaikan masalah atau konflik mereka berdua? Hmmm… Idea yang bagus.
“Tasneem, awak nak ke mana tu?”
Langkah Tasneem terhenti bila ditegur. Aik, dia memanggil aku dengan gelaran awak pula? Bukan selalu kau-aku ke?
“Saya… saya… nak masuk dalam makmal Doktor Syed…” jawab Tasneem takut-takut.
“Awak dah makan?” Tasneem menggeleng perlahan.
“Makan dengan saya.”
Tasneem tergamam. Wajah Doktor Syed kelihatan bersahaja. Tapi tatkala melihatkan rupa Doktor Aleesya yang merah padam dan masam mencuka sambil memandang ke arahnya, dia jadi kecut perut pula.
“Saya puasa.” Entah dari mana alasan itu tiba-tiba saja datang
“Sejak bila pula ada hukum dalam Islam, hanya berpuasa makan tapi minum boleh? Botol air kat tangan awak tu, apa bendanya?”
Gulp! Lagi sekali dia kantoi!
“Pergi masuk, ambil handbag awak. Saya tunggu dalam kereta. Oh, ya. Aleesya, mulai hari ni… I tak mahu you ganggu Tasneem lagi, okey. She’s…”
“She’s what?” potong Doktor Aleesya.
Tasneem terus melangkah laju, masuk ke dalam makmal. Dia tak mahu terus berdiri di situ dan mendengarkan jawapan dari mulut lelaki itu. Sudah pastilah jawapannya, she’s my practical student! Takkanlah dia nak jawab, she’s my girlfriend kut?
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79885/meh-sandar-padaku