[SNEAK PEEK] LELAKI ITU DIA

9789678605304-medium

EBUKU Lelaki Itu Dia Oleh Aleya Aneesa

SHANA berdiri di hadapan pintu kaca Restoran Murni Discovery yang tertutup rapat. Kepala dijenguk-jenguk sedikit. Ada! Melihat Thaqif, dia menggeleng dalam senyuman. Hatinya berdebar-debar sendiri. Kalau tak dikawal, mungkin dadanya akan pecah dek pukulan jantung yang bagaikan tak mahu berkompromi dengannya.
Sudah lebih 15 minit, dia berdiri di luar restoran. Masih sibuk memujuk hati supaya bertenang. Namun, tetap juga hatinya bimbang. Takut kalau-kalau hari ini, dia bakal menerima maki hamun daripada Thaqif. Siapa tahu lelaki itu tiba-tiba naik hantu saat terpandang rupanya yang tak secantik mana ini.
“Tapi… aku bukannya nak kahwin dengan dia pun, kan? Kenapa perlu cuak tak tentu pasal?”
Liur ditelan berkali-kali. Sungguh… dia bingung!
Separuh hati mahu balik ke Kedai Buku Kasih. Tak ada gunanya dia ada di sini kerana pada dasarnya, bukan ini yang dia inginkan. Tapi, separuh lagi meminta dia terus berhadapan dengan Thaqif.
“Tapi kalau aku dimaki Thaqif, macam mana?”
Shana ketuk kepalanya dengan jari telunjuk kanan. Makin buntu jadinya. Kemudian, dia melihat kenderaan yang masih bertali arus menuju ke destinasi masing-masing. Jarum jam di tangan dipandang sekilas. Masa tak pernah menanti manusia.
“Alang-alang menyeluk pekasam, Shana. Biarlah sampai ke pangkal lengan.”
Ya, dia anggap saat ini dia sedang membalas kebaikan mereka walau tak pernah minta dibalas. Dengan lafaz bismillah, dia kembali melangkah.
“Hai, abang…” tegur Shana selamba.
Thaqif yang terkejut, pantas panggung kepala. Tajam matanya menombak anak mata Shana. Mahu merakamkan wajah yang telah merosakkan harinya selama beberapa minggu ini dalam ingatannya. Tak mahu terlupa walaupun sedikit. Jujurnya, melihat si gadis bertudung, dia terkedu. Tak percaya hijab yang dipakai langsung tak mampu menutup malu Shana. Padahal, dia membayangkan gadis itu bukan seperti ini. Sayang, sangkaannya sasar sama sekali.
“Kenapa tak datang esok petang aje?” tempelak Thaqif.
“Ingat memang nak datang esok petang, tapi tak sampai hati pula biarkan abang sorang-sorang hari ni. Itu yang saya datang tu,” balas Shana selamba. “Manalah tahu, kot-kot abang rindukan saya nanti,” sambungnya masih dalam nada suara dan air muka yang sama.
“Saya tak ada masa nak berloyar buruk.”
“Loyar baru boleh?”
Membuntang mata Thaqif. Aneh bila Shana langsung tak terkesan dengan nada kurang mesranya. Selamba saja gadis itu melabuhkan punggung di hadapannya. Bila mata Shana tertancap ke arah airnya, cepat-cepat dijauhkan. Tak rela dia berkongsi minuman dengan gadis yang tak dikenali.
“Tangkai jering betullah abang ni,” ejek Shana selamba. Dia ketawa-ketawa kecil.
Kuat Thaqif ketap bibir. Geramnya rasa bukan kepalang. “Siapa abang awak?”
“Abanglah!”
“Tolonglah jangan nak perasan. Adik saya cuma dua!”
“Kalau macam tu jadikan saya adik angkat abang. Boleh?”
“Tak payah!”
“Adik ipar boleh?”
“Adik saya pun tak nak kat awak.”
Shana jongket bahu. Thaqif jelas mempamerkan air muka kurang mesra. Nampak sangat lelaki itu terpaksa menemuinya. Ikutkan hati, dia hendak ketawa. Tapi jauh di sudut hati, dia rasa lega. Thaqif ternyata tak seperti yang disangka.
“Sampai hati abang cakap macam tu. Saya bukanlah teruk sangat pun. Kalau abang kenal saya, saya okeylah. Kalau kita jadi adik ipar dan abang ipar, abang mesti bangga. Ramai dah yang nak jadikan saya ni menantu mereka, tapi saya tolak mentah-mentah. Hati saya tak tertarik dengan anak mereka. Mungkin kita ni berjodoh nak jadi keluarga agaknya tak, abang?” ujar Shana selamba.
Sengaja dipuji diri sendiri. Mahu melihat bagaimana reaksi Thaqif. Bila air muka Thaqif berubah sedikit, dia ketawa kecil. Kalaulah orang lain mendengar kata-katanya, mungkin setahun gelak mereka tak habis.
“Awak ni perasan ya?”
“Ya ke? Abang rasa saya macam tu ke? Saya langsung tak perasan. Yalah, kita mana boleh nilai diri sendiri. Kalau terpaksa nilai pun tentu aje nak letak angka yang tinggi-tinggi biar menjulang sampai ke langit.”
Dengan mata memandang Thaqif, dia mengeluarkan bedak di dalam beg tangan. Pantas saja wajah dilihat di dalam cermin. Lantas, dia tersenyum manis pada diri sendiri.
Thaqif yang melihat, semakin terkedu. Kelu lidah melihat betapa bersahajanya aksi-aksi Shana. Langsung tak peduli pada pengunjung yang lain, walau tak ada yang memandang. Masih-masing leka memenuhkan perut sendiri. Jauh sekali berasa segan dengan dia yang pertama kali ditemui. Kalau gadis lain, mungkin akan tersipu-sipu malu dengan muka merona merah.
“Kalau tak boleh jadi adik ipar, jadi ibu tiri abang ajelah!”
“Mengarut apa ni?” tanya Thaqif geram. Kalaulah mamanya mendengar, mahu dipenggal kepala Shana.
“Chill, bro! Jangan marah-marah sangat.”
Kuat rengusan Thaqif. Diam-diam, sabar yang hampir bertabur dikutip satu demi satu. Sudah diingatkan hatinya supaya sabar menangani Shana. Jangan marah-marah dan tak perlu garang-garang kalau dia benar-benar mahu gadis itu berhenti daripada mengganggu hidupnya. Hanya perlu bercakap baik-baik kerana itu lebih berkesan. Namun, ternyata apabila berhadapan begitu, laluannya seakan-akan sukar. Shana di dalam talian, sama saja seperti Shana di hadapannya.
“Awak nak apa sebenarnya daripada saya ni?”
“Nak jadi isteri abanglah! Nak apa lagi?”
“Jangan main-main boleh tak?”
Shana terus tersenyum. Kecil kedua-dua belah matanya kerana senyumannya yang ikhlas. Kasihan juga melihat Thaqif yang nampak bengang, tapi dia tak ada pilihan lain lagi. Thaqif harus bersabar dengannya. Mungkin hanya sekejap atau mungkin mengambil masa berbulan-bulan lagi. Bertahun-tahun? Tak mungkin! Hidupnya tak akan disia-siakan begitu saja semata-mata untuk menarik perhatian Thaqif.
“Saya makan dulu, boleh? Lepas tu, kita bincang ya?”
“Tak boleh! Saya nak cepat ni. Kalau awak banyak masa free, jangan ingat orang lain pun sama juga macam awak,“ bebel Thaqif.
“Dan, saya nak abang belanja saya makan hari ni,” kata Shana tanpa mempedulikan bantahan Thaqif.
“Awak ingat saya cop duit ke?”
Bahu Shana terjongket sedikit. Mukanya masih juga berseri-seri. “Saya tak ada duitlah abang sebab saya kerja biasa-biasa aje. Gaji pun tentu tak banyak macam abang. Murah hatilah sikit dengan saya hari ni.”
“Tak nak!”
“Saya lapar. Lapar sangat ni. Kalau gastrik saya datang, macam mana? Abang nak dukung saya bawa pergi klinik kalau saya tak boleh jalan? Saya ingatkan abang siap-siap yang saya ni bukan ringan sangat. Berat saya 50 kg. 50 kg tau! Bukannya 5 kg. Saya ulang lagi, 50 kg. 5…”
“50 kg. Cukuplah sebut tu! Saya masih belum pekak lagi. Pagi tadi pun, saya dah korek telinga lepas mandi,” potong Thaqif pantas.
“Saya nak makan!”
“Saya tetap tak nak tunggu.”
Air muka Shana berubah sugul. Bedak di atas meja diletakkan kembali di dalam beg tangan. Otaknya ligat berfikir tentang banyak perkara. Thaqif yang tak marah-marah itu bukanlah begitu mudah untuk ditundukkan. Nampak keras kepala dalam tenang. Muka pun langsung tak manis seperti gula. Sukar juga hendak beralah pada perempuan.
“Kalau macam tu tak payah makanlah. Biar ajelah saya kebulur sepanjang hari ni. Kalau saya mati, saya jadi hantu saya cekik abang sebab kedekut dengan saya. Harapkan gaya aje macam ada duit berkepuk-kepuk. Minta belanja makan sepinggan pun berkira macam Haji Bakhil.”
“Mana awak tahu duit saya ada berkepuk-kepuk?”
“Tengok pun dah tau,” kata Shana sambil menjuih.
“Dia nilah!”
Thaqif gamit seorang pelayan supaya menghampiri mereka. Tanpa bertanya apa yang Shana mahu makan, dipesan nasi lemak kukus untuk gadis itu. Baginya, itu sajalah makanan yang paling cepat boleh dihidangkan.
“Terima kasih, abang,” ucap Shana ikhlas.
Langsung Thaqif tak membalas. Tubuhnya disandarkan di kerusi. Air epal yang belum diminum, hanya dipandang. Otaknya kosong. Namun saat melihat Shana sudah mula mencapai sudu dan garpu, dia melepaskan keluhan panjang. Kesal kerana berada di sini, saat ini. Sepatutnya, diabaikan saja permintaan Shana yang mahu bertemu dengannya. Tapi berterusan menerima gangguan daripada gadis itu, dia tak tahan. Dunianya yang aman damai mahu dikembalikan. Lantaran itu, dia ada di sini sudahnya.
“Makan, bang…” pelawa Shana.
Thaqif hanya diam. Diperhatikan saja cara Shana menyuap makanan. Nampak begitu tertib dan lemah lembut. Tak gelojoh dan terburu-buru seperti kata-kata yang gadis itu keluarkan setiap kali berbicara dengannya. Bila sesekali mengelap mulut dengan tisu, jemari-jemari runcing itu nampak bergerak perlahan. Gemalai seperti lalang yang ditiup angin.
Lalang ditiup angin? Tak mungkin! Gadis tak malu ini tak mungkin seorang yang lemah lembut. Sopan santun jauh sekali.
“Alhamdulillah…” ucap Shana, lalu menolak pinggannya ke hadapan. Kemudian, air laici di dalam gelas dicapai dan disedut perlahan. Sedar, daripada tadi tingkahnya diperhatikan Thaqif. Dia rasa kurang selesa dipandang begitu. Namun sengaja dibuat seperti sedang makan seorang diri. Thaqif dianggap seperti patung lilin.
“Kenapa tak habiskan makanan awak tu? Kata lapar benar tadi,” sinis Thaqif sambil mencebikkan bibir.
“Dah kenyanglah sebab tu tak habis.”
“Membazir tu sedara syaitan, tahu? Lagipun… awak ingat senang ke saya cari duit sampai awak sia-siakan nasi lemak kukus tu?”
Kembang hati Shana mendengar bebelan Thaqif. Dengan muka serius dan mulut yang tak henti-henti bercakap, dia merasakan lelaki itu sangat comel. Jarang benar dilihat lelaki membebel begitu.

****

HELO… dah berangan sampai ke mana? Kutub utara? Ke Antartika? Bulan? Bintang?” tanya Thaqif sambil menempelak Shana. Tak pasti apa yang berlaku. Namun, sejenak tadi dilihat Shana seakan-akan hanyut dengan dunia sendiri. Malah, sempat dilihat kepala Shana menggeleng-geleng perlahan.
“Tak berangan pun. Cuma terkilan sebab abang tak nak suapkan saya makan. Terus saya hilang selera makan yang tadinya membuak-buak. Kalau tak licinlah nasi dalam pinggan tu,” kata Shana mengusik Thaqif. Bibirnya sengaja dimuncungkan ke arah pinggan yang masih berbaki dengan nasi lemak kukus.
Hampir pitam Thaqif dengan jawapan Shana. Mahu saja ditepuk mulut sendiri kerana ramah bertanya. Patut dibiarkan saja walau hanya sebutir nasi yang masuk ke perut Shana tadi. Bukan urusannya, maka tak perlu terlalu disibukkan. Yang perlu dilakukan, menyelesaikan apa yang patut dengan gadis itu, kemudian balik semula ke pejabat dengan hati lapang. Esok, harinya tentu akan ceria seperti biasa.
“Jangan nak berlakon sangatlah! Tak habis-habis nak berdrama.”
“Kalau abang heronya, saya sudi aje jadi heroin walaupun terpaksa berlakon untuk seumur hidup.”
“Awak ni kan, saya tak tahulah nak cakap apa lagi.”
“Cakaplah tentang ayat-ayat cinta!”
Serius, Shana terasa hendak muntah darah dengan sebaris ayat yang disebut. Geli-geleman tekaknya. Demi lelaki itu, dia sudah melakukan banyak perkara yang tak pernah dilakukan sebelum ini. Ayat-ayat merapu juga mudah saja meluncur melewati bibirnya bagaikan air mengalir.
Tinggi harapannya, bila sampai masanya kelak, dia tak akan dipertemukan lagi dengan Thaqif. Kata-kata dan tingkahnya yang memalukan diri sendiri, biarkan tamat begitu saja. Tak rela diungkit, bimbang malunya hingga tujuh keturunan pun tak hilang.
“Betul-betul boleh tak, Cik Melati?”
Melati? Shana sengih dengan panggilan Thaqif. Nama yang makin sebati di telinganya akhir-akhir ini.
“Tak payah panggil ciklah. Macam kat pejabat aje.”
“Peduli apa kalau saya nak panggil pun!”
“Tapi, saya lagi suka kalau abang panggil saya sayang daripada panggil Cik Melati. Janggallah…”
Meremang bulu roma Thaqif. Mati kemudian hidup semula, selepas itu mati kembali, pun dia tak teringin memanggil Shana sayang. Kalau tak mengenangkan sopan santun, mahu saja dipanggil ‘hoi’ pada gadis itu. Biar Shana tahu betapa tak gemarnya dia terus diekori seperti bayang-bayang.
Seumur hidupnya, inilah pertama kali dia bertemu dengan gadis yang tak malu seperti Shana.
“In your dreams!”
“Kalau abang tak nak panggil sayang, panggil honey pun okey. Saya terima!”
“Jangan harap!”
“Sweetheart boleh?” Mata sengaja Shana kelip-kelipkan demi menarik perhatian Thaqif.
“Boleh blah!” kata Thaqif senafas. Hati Shana sebenarnya diperbuat daripada apa sehingga langsung tak peduli dengan apa yang dikata? Kalau perempuan lain, awal-awal lagi sudah meraung hebat agaknya. Atau, cepat-cepat angkat kaki kerana tak mampu menahan malu.
“Jangan bongkak sangat. Karang abang menangis kalau tiba-tiba saya hilang.”
“Eh… tak kuasalah saya! Kalau awak betul-betul hilang, silap-silap saya buat kenduri pulut kuning tiga hari tiga malam. Kalau masih tak cukup juga, saya akan buat tujuh hari tujuh malam. Jemput orang satu Malaysia.”
“Wah… ni yang saya makin suka abang ni. Dahlah handsome, pemurah pula tu.”
Terjegil mata Thaqif. Ada-ada saja jawapan daripada Shana yang menyakitkan hatinya. Kalau kurang sabar, memang Shana bakal dicepuk tangannya. Niatnya mahu menyakitkan hati Shana, balik-balik dia juga yang dikenakan.
Shana tergelak perlahan. Air di dalam gelas kembali disedut. Sekilas, jam di pergelangan tangan dipandang. Masa rehat semakin berlalu. Namun, dia tak perlu gusar kerana Madam Anne sudah memberi izin. Jika tak, memang ditinggalkan Thaqif begitu saja walaupun urusan mereka masih belum selesai.
Sebenarnya, memang tak ada apa-apa yang penting. Niat bertemu muka dengan Thaqif sekadar mahu melihat lelaki itu jenis yang bagaimana. Selepas tahu, barulah dia boleh menyusun langkah seterusnya. Bila Thaqif bukannya jenis panas baran, itu bonus terbesar untuknya.
Selepas ini, tak perlulah dia berasa gusar kalau-kalau dimaki hamun Thaqif. Lelaki itu bukan jenis begitu.
“Rasanya awak dah banyak sangat mengarut. So… apa tujuan awak nak jumpa saya?”
“Rindu!”
“Lagi sekali awak merepek macam ni, saya tinggalkan awak. Daripada melayan awak yang tak berfaedah ni, lebih baik saya siapkan kerja-kerja pejabat saya yang tertangguh sebab awak.”
“Kejaplah… bagi saya rehat lima minit. Saya rasa macam penat sikit.”
Thaqif gigit bibir. Tak puas hati dengan permintaan Shana. Gadis itu seperti sengaja bermain tarik tali dengannya. Dia tak suka! Namun berterusan melihat Shana yang tersandar di kerusi, disabarkan hatinya. Memang gadis itu nampak seperti letih walaupun sesudah makan dan minum.

Melihat peluh halus merintik di dahi Shana, dahinya berkerut. Dalam keadaan pendingin hawa yang terpasang pun masih sempat berpeluh. Kulit jenis apa dia ni? Namun, dihulurkan juga tisu pada Shana. Bila hulurannya disambut berserta dengan senyuman meleret, sekali lagi dia terasa seperti mahu menghantukkan kepalanya ke dinding.
Yang aku baik sangat, apa pasal?
“Terima kasih. Saya tahu abang baik.”
Tak seperti biasa, kali ini lembut saja nada suara Shana. Thaqif terpana. Jika Shana baru muncul dalam hidupnya saat ini, bukan sejak beberapa minggu lalu, tak juga sejak 30 minit tadi, tentu hatinya tercuit dengan kelembutan gadis itu. Mana ada lelaki yang suka pada gadis yang berperangai tak semenggah. Sayangnya, imej gadis itu sudah tercalar sejak hari pertama Shana menghubunginya dengan kata-kata, “Assalamualaikum… abang!” Sejak detik itu, Shana di matanya sudah tampak hitam seperti malam.
Walau hakikatnya, gadis itu hanya berkulit sawo matang. Sesuai dengan bentuk mukanya yang bujur sirih.
“Maaf kalau abang rasa saya ganggu abang selama ni. Saya tak simpan niat jahat. Hanya sekadar nak berkenalan dengan abang. Itu aje!”
“Saya tak percaya!” sangkal Thaqif.
Semata-mata nak berkenalan, Shana sanggup memalukan diri sendiri? Memburu dirinya seperti dia perempuan dan gadis itulah si lelaki yang berlagak berani? Sungguh… tak masuk akal! Barangkali, Shana lupa yang dia seorang lelaki dewasa yang sudah tahu membezakan mana yang betul dan mana pula yang salah.
“Saya tak tipu. Saya betul-betul nak jadi kawan abang.”
“Awak tak kenal saya kan sebelum ini?”
“Sebab tak kenallah saya nak berkenalan. Kalau dah kenal buat apa susah-susah nak kenal lagi. Buang masa aje, kan?”
“Macam mana awak boleh tiba-tiba nak kenal dengan saya?”
Shana senyum. Kalau dikhabarkan pada Thaqif cerita yang sebenarnya, makin berantakanlah dunia ini jadinya.
“Itu rahsia yang tak boleh saya bagitahu pada abang. Belum sampai masanya atau masanya betul-betul tak akan sampai.”
“Tapi, saya tetap nak tahu!”
Shana geleng. Kalau Thaqif acukan buku lima di mukanya pun, dia tak akan berterus terang. Amanah yang telah diberikan, akan digalas sampai bila-bila. Kalau cerita terbongkar, biarlah bukan daripada mulutnya. Kalau mulut yang lain, dia tak kisah. Ketika itu, mungkin keadaan sudah berubah. Kalau pun tak lebih baik, mungkin akan jadi lebih buruk daripada sekarang ini.
Biarlah. Dia sudah berusaha dan selebihnya, biarkan masa dan keadaan yang menjadi kayu ukur.
Apa yang dia tahu, kalau benar-benar berjodoh tentu tak akan ke mana. Halangan juga tak mungkin menjadi masalah yang besar.
“Maaf. Yang itu saya tak akan cakap pada abang walau macam mana pun abang paksa saya.”
“Kalau macam tu, saya tak minat nak berkenalan dengan awak!”
Sakit pula hati Thaqif dengan kata-kata Shana. Jangankan dengan Shana, dengan mana-mana perempuan pun dia tak mahu berkenalan. Hidupnya sudah terlalu sibuk untuk disibukkan lagi dengan perempuan. Kalau pun dia mahu mengubah statusnya, bukan dalam jangka masa terdekat ini.
Perempuan?
Ada jeritan lantang! Ada cubitan kuat! Ada bebelan yang tak berhenti! Ada kemarahan yang menggila! Ada kesedihan yang seperti tak mahu hilang! Ada segala-galanya hanya dengan membayangkan figura itu.
Thaqif geleng kepalanya perlahan. Tak mahu memikirkan soal perempuan dan berumah tangga. Dia sudah selesa dengan hidupnya sekarang. Hanya sejak munculnya Shana, keselesaannya sedikit berubah. Masa rehatnya lebih banyak dicuri gadis itu daripada digunakan sendiri. Mahu menukar nombor telefon yang lain, terasa seperti tak berbaloi langsung. Nombor itu sudah digunakan sejak berbelas-belas tahun lalu. Semua kenalannya juga tahu nombor itu.
Kalaulah dapat disingkirkan terus Shana daripada hidupnya, alangkah bahagia rasa.
“Abang… janganlah sombong sangat dengan saya.”
“Jangan panggil saya abang!” larang Thaqif untuk kesekian kalinya. Panas juga hatinya dianggap sombong.
“Saya nak panggil juga.”
“Jangan. Saya tak suka!”
Shana goyang-goyangkan kepalanya. Tanda tak peduli pada larangan Thaqif. “Saya tak ada abang, tak pernah pun panggil orang abang. So… abang tak payahlah nak kedekut sangat dengan saya. Tak rugi pun kalau saya panggil abang dengan panggilan abang. Takkan buat sehelai pun bulu roma abang tu jatuh ke lantai. Rambut jauh sekali. Lagipun dah memang abang tua dua tahun daripada saya. Eloklah kalau saya panggil abang sebagai tanda hormat. Kan?”
“Tinggalkan saya. Berhenti kacau saya mulai saat ini!” Tegas Thaqif.
“Saya tak nak tinggalkan abang.”
“Saya tak suka awak kacau hidup saya macam ni.”
“Teruk sangat ke gangguan saya pada abang?” Shana tayangkan rupa polos.
“Bukan aje teruk, tapi sangat teruk sampai saya rasa nak pindahkan awak ke planet yang di dalamnya tak ada sesiapa. Biar awak hidup sorang-sorang supaya awak tak kacau hidup orang lain lagi.”
“Kejamnya abang ni.”
“Awak lagi kejam sebab buat hidup saya yang dulunya tenang jadi serabut.” Tajam mata Thaqif menyorot wajah mulus Shana.
Sedangkan Shana yang mendengar kata-kata Thaqif, hanya mampu mempamerkan segaris senyuman manis. Sungguh… melihat Thaqif beria-ia minta dijauhi, rasa simpatinya jatuh melimpah-ruah. Betapa dia sudah menghuru-harakan hidup lelaki itu. Entahkan lena tidur Thaqif, entahkan tidak, dia benar-benar tak tahu!

“Saya nak abang!”
“Saya tak nak awaklah! Berapa ratus kali nak cakap? Ke awak nak saya cakap dalam bahasa lain selain bahasa Melayu dan Inggeris ni?”
“Bahasa apa yang abang boleh cakap lagi?”
“Hei…”
“Abang nak saya bomohkan abang ya supaya cintakan saya? Kalau nak, saya buat nanti,” potong Shana selamba. Suka melihat muka merah padam milik Thaqif. “Bomoh Siam okey kot, abang? Dengarnya ilmu mereka kuat.”
Thaqif kembali melangkah tanpa membalas kata-kata Shana yang seperti orang tak bertamadun. Zaman moden, masih berfikir soal bomoh. Nampak benar betapa gadis itu hidup di zaman batu. Cumanya, kalau benar kenapa jadi begitu berani mengejar lelaki? Gadis zaman batu tentu saja tak begitu.
“Jangan ikut saya!”
“Saya tak ikut abang,” katanya sambil terus melangkah mengikut Thaqif sehingga berhenti di hadapan Menara Semarak.
“Jangan ikut saya naik ke pejabat!” tegah Thaqif. Cukup-cukuplah dia dimalukan Shana hari ini. Kalau dibiarkan Shana terus mengekorinya, tak mustahil satu pejabat kecoh hari ini.
Tak! Tak akan dibenarkan Shana terus mencatat memori hitam dalam hidupnya!
“Siapa yang nak ikut pun? Saya hanya nak tengok abang sampai masuk dalam bangunan. Nak pastikan abang tak kena culik. Lepas tu, saya baliklah ke tempat kerja saya pula.”
Ringan saja tangan Thaqif mahu meramas bibir Shana. Cakap-cakap gadis itu selalu lepas. Langsung tak berfikir panjang bila berkata-kata. Dia yang mendengar pula terasa semput nafas. Kemudian, tanpa mengendahkan Shana, dia melangkah laju ke hadapan. Biar cepat sampai. Rimas jika terus diekori begini.
“Kesian dia. Susah hati aku kerjakan,” kata Shana sambil tergelak sendiri.
Namun melihat bayang-bayang yang semakin menghilang, dia bersandar di tiang lampu isyarat sambil mengeluh panjang. Melihat Thaqif, melihat penerimaan lelaki itu yang sangat pasif, dia tahu yang dia bakal menghadapi jalan yang sukar. Tapi, dia akan cuba bertahan selagi mana dia mampu bertahan. TUHAN, tolonglah…
“DAH 30 tahun aku hidup dalam dunia ni, tapi tak pernah aku jumpa perempuan macam tu. Muka cantik, sawo matang. Senyum manis macam gula. Ayu bertudung. Pakai baju kurung kain kapas bertanah pink dan berbunga putih. Tapi perangai, jauh panggang dari api. Tak malu betul!” rungut Thaqif sebaik saja melepasi pintu utama. Merah padam mukanya kerana menahan geram.
Masih teringat-ingat betapa selambanya seraut wajah milik Shana setiap kali bersuara. Bibir nipis itu tak pernah lekang dengan senyuman. Malah, setiap kata-katanya ditangkis dengan berani. Langsung tak peduli pada muka kelatnya yang rimas dengan gangguan yang bertali arus.
“Bos… cakap apa tu?” tegur Sakinah sambil tersenyum.
“Tak ada apa-apa!” balas Thaqif selamba.
“Eh… macam marah aje?” tanya Sakinah lagi. Masih tersenyum manis. Sengaja mahu berbual-bual dengan Thaqif. Bosnya itu dilihat tergesa-gesa keluar sebaik saja jarum jam menunjukkan ke angka 1.00 tengah hari.
“Awak ada buat salah ke?”
Sakinah geleng lembut. Kemudian, dia tergelak-gelak perlahan. Tahu, Thaqif sengaja mahu mengenakannya.
“Yakin ke tak ada?”
Kali ini, Sakinah berdiri tegak, tak lagi bersandar di tepi meja. Thaqif nampak seperti serius, tak tenang seperti selalu. Kalau silap gaya, mungkin hari ini dalam sejarah dia bakal ditengking lelaki kesukaan ramai di Menara Semarak itu, kecuali dia. Thaqif baginya hanya seorang bos dan dia setiausaha kepada lelaki itu.
“Pergi tengok cermin dan tengok apa yang awak pakai sekarang ni, Atikah!” tegur Thaqif tiba-tiba kepada Atikah yang baru melepasi dia dan Sakinah yang masih berdiri.
Atikah yang tak bersedia, terkedu. Tubuhnya yang berskirt singkat, dipandang.
Usai berkata-kata, Thaqif terus melangkah tanpa mengendahkan Sakinah yang bungkam. Telinganya mendengar gelak ketawa beberapa orang staf yang tentunya melihat dan mendengar apa yang dikata pada Atikah, tapi dipekakkan telinga. Sebenarnya sudah lama dia ingin menegur Atikah yang selalu mengenakan pakaian sesuka hati. Bukan saja warnanya terang-benderang, singkat pun tak usah dikata. Seperti sengaja mengundang banyak mata terus memakukan pandangan di tempat-tempat yang tak sepatutnya.
Belum lagi diambil kira solekan di muka yang mengalahkan warna pelangi. Pendek kata, selagi ada warna, selagi itulah Atikah mahu praktikkan di muka. Dia yang melihat, kadang-kadang rasa ngeri sendiri.
“Ini semua Shana punya pasallah ni!”
Terus Thaqif masuk ke bilik pejabatnya dan menghempaskan punggung di kerusi empuk. Teringatkan Shana kembali, dia merengus kasar. Kepala dipegang dengan kedua-dua belah tangannya. Hati yang geram masih gagal dipulihkan. Semuanya terasa serba tak kena.
Dalam sekelip mata, ketenangannya bagai direnggut pergi. Padahal, dia bukannya jenis yang mudah melatah. Marah-marah jauh sekali kerana dia manusia yang selalu belajar daripada pengalaman.
“Huh! Harapkan muka aje cantik. Teruknya,” bebel Thaqif terus. Sabar yang cuba dipupuk, bertabur sekali lagi. Seketika, duduknya yang sendeng ditegakkan serta-merta. Matanya membulat sendiri.
“Apa aku cakap tadi? Muka dia cantik?”
Thaqif tepuk dahi dengan telapak tangan. Agak kuat. Tak percaya dalam pada meluat pada Shana, dia masih sempat memuji gadis itu yang sememangnya berwajah menarik. Yang lebih tak dapat diterima akal, dia dapat mengingati dengan jelas warna dan corak baju yang tersarung di tubuh ramping Shana.
“Aku ni dah kenapa? Geram sampai tak boleh lupa dengan setiap yang ada pada dia?”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/75686/lelaki-itu-dia