Bila Onny dan Jannah mengajaknya keluar hujung minggu itu, Saleha cepat-cepat bersetuju. Tak sabar rasanya hendak bercerita dengan rakan-rakannya tentang Bago. Kalau selama ini dia sekadar mendengar kisah romantis percintaan Jannah dan Abang Supervisor kilang, kali ini biar mereka pula ternganga mendengar cerita cintanya.
“Handsome ke? Cute ke? Macam mana rupa Bago kau ni?” Onny begitu teruja bila Saleha mula memberi mukadimah kisah pertemuannya dengan lelaki itu.
“Kalau kau tengok mesti kau kata dia biasa-biasa je. Tapi bagi aku, aku rasa muka dia manislah. Tak jemu pandang. Rasa macam nak tengok siang malam.” Saleha tersenyum malu-malu. Selama ini dia memang jarang memuji lelaki di depan rakan-rakannya. Malah, dia tak pernah jatuh hati dengan mana-mana lelaki pun.
“Dia kerja apa? Dah lama ke datang sini? Ada permit ke tak?” Jannah kedengaran seperti sedikit skeptikal.
“Dia kerja dekat-dekat situlah kot. Kat Seri Jati tu kan ada banyak kilang…”
“Laaa! Kau tak tau ke dia kerja apa? Entah-entah kerja cuci jamban.”
Wajah Saleha tiba-tiba berubah. “Hey! Tak ada bau jambanlah masa aku lepak dengan dia!”
“Oh! Dah pernah keluar datinglah ni? Tak cakap dengan kitorang pun, kan? Kedekut betul kau ni. Kenapa? Takut aku rampas Bago daripada kau ke?” Onny pula mengusik dan Saleha ketawa tertahan-tahan.
“Bukan datinglah, lepak kat area pasar malam tu je. Itupun waktu aku dah habis berniaga.”
Jannah mencubit paha rakannya yang kian kurus itu. “Itu dah kira datinglah, Leha. Kau tau tak masa first time aku dating dengan Abang Haikal, kitorang duduk dekat tepi stor waktu tea break aje, tau.”
“Boyfriend kau tu nama Haikal? Eeeeiiii… handsome-nya nama. Mesti orangnya pun handsome, kan?”
“Bolehlah. Yang penting, dia pandai ambik hati aku,” kata Jannah sambil menayangkan gelang tangan yang bersinar-sinar hingga mencuri perhatian Saleha.
“Amboi! Pandora ke tu? Untunglah kau Jannah.” Saleha tak dapat nafikan dia sedikit cemburu. Dia tahu gelang tangan jenama itu bukan murah.
“Ada satu charm je dekat bracelet tu, Leha. Kau tak payah nak kagum sangat…” Onny tiba-tiba mencelah membuatkan Jannah menarik muka.
“Hey! Bracelet kosong takde charm pun dah berapa ratus harga dia, woi!”
“Onny mana tahu pasal benda-benda macam ni, Leha. Dia tahu .mp3 player, speaker, ear phone, pastu lagu-lagu baru Taylor Swift. Itupun semua kena beli sendiri sebab takde boyfriend nak bagi.” Giliran Jannah pula mengenakan Onny.
“Oit! Cakap baik sikit, eh!” Onny menayangkan buku penumbuk.
“Tak payah gaduhlah, korang ni. Syukurlah boleh dapat benda-benda tu semua. Aku ni?” Saleha mengeluh perlahan dan rakan-rakannya terdiam lalu merenung ke arahnya.
Onny memeluk bahu Saleha. “InsyaAllah nasib kau akan berubah nanti, Leha. Manalah tau, entah-entah Bago ni sebenarnya Prince Charming kau.”
“Tapi kau check dulu dia ada permit ke tak,” Jannah memberi peringatan menyebabkan Saleha ketawa terkekeh kerana pesanan itu kedengaran lucu. “Kau jangan gelak, Leha. Kalau kau dah kawin dengan dia, lepas tu dia kena hantar balik Myanmar, nanti kau juga yang menangis sorang-sorang…”
Tawa Saleha terhenti. “Ya, OK-lah, nanti aku tanya dia.”
“Ha! Mesti dah plan untuk next date ni. Waaaah! Seronoklah tu!” Onny yang tadinya memeluk Saleha terus menunjal-nunjal bahu rakannya itu.
“Tak plan pun. Tapi rumah dia dekat je dengan rumah Mak Su. Mesti selalu jumpa. Lagipun dia selalu datang pasar malam tu.” Saleha menepis tangan Onny yang tak henti-henti menunjalnya.
“Mesti dia dah kemaruk makan cekodok kau, kan? Kau dah mandrem cekodok tu, eh? Dahsyat kau ni,” usik Jannah lagi.
Saleha ketawa.
“Tak baik oi main ilmu hitam ni. Syirik kau tau? Syirik!” Onny menambah membuatkan tawa Saleha kian kuat.
Sudah terlalu lama dia tak ketawa hingga keluar air mata begitu. Pulang dari bertemu Jannah dan Onny, hatinya berasa begitu lapang. Ada lagu Ziana Zain berputar-putar dalam kepalanya. Dia mula bernyanyi-nyanyi lagu Syurga Di Hati Kitadengan kuat. Beberapa budak-budak lelaki yang sedang berehat di tepi padang permainan memandangnya dengan sedikit hairan. Mungkin kerana dia kelihatan seperti perempuan gila yang berjalan sambil bernyanyi dan tersenyum-senyum sendiri.
“Kau pergi mana? Punyalah lama keluar!” Kata-kata separa menengking dari mulut Hafiz menyambut Saleha di muka pintu.
Kegembiraan yang bertandang tadi terus mati. “Saya pergi minum dengan Jannah dan Onny. Kenapa? Tak boleh ke?” soalnya semula sambil terus berjalan ke bilik. Dia malas nak bercakap dengan abangnya itu lama-lama.
“Minum dari pagi sampai ke petang? Korang minum apa?” Abang Hafiz mengekornya sampai ke bilik. “Baik cakap betul-betul kau pergi mana lagi.”
Saleha mengeluh panjang. “Tak pergi mana-mana. Minum, makan, borak-borak… itu aje. Saya bukannya ada duitpun nak pergi shopping-shopping macam orang lain.” Bosannya bila terpaksa melayan soalan-soalan sebegini daripada abang sendiri.
“Kalau aku tanya je, menjawab kau ni sekarang, kan? Belajar mana ni?”
“Abang tanya, saya jawablah. Kalau tak jawab karang, kena marah juga, kan?”
“Dahlah menjawab, dah pandai enjoy-enjoy pula tu. Mana duit kau meniaga sate selama ni? Semua dah habis buat enjoy, ya?” Hafiz menolak pintu bilik dan masuk ke dalam.
“Berapa ringgit sangatlah yang saya dapat. Semua dah belanja buat beli sabun, ubat gigi, bedak, spenda, pad, selipar, kain, baju. Apa lagi yang tinggal? Nak top-up telefon pun selalu tak cukup.”
Hafiz terdiam. Dia memang tahu sebanyak mana Mak Su upah Saleha tapi dia tak ada pilihan. Saleha tak boleh dibiarkan bebas seperti kawan-kawannya yang lain.
Hubungan Saleha dan abangnya kian keruh bila petang itu Mak Su minta tolong siang ayam dan Hafiz buat tak tahu saja.
“Mak Su minta tolong tu, abang dengar ke tak?” soal Saleha ketika berdiri di muka pintu bilik abangnya, merenungnya penuh marah.
“Bila pulak aku ni jadi pekerja dia? Dia upah kau, kan? Ha, kaulah yang pergi siang ayam tu!” jawab Hafiz tanpa menoleh.
****
Sementara Makcik Nina berehat selepas makan tengah hari, Saleha berbaring di bilik tempat dia solat tadi. Fikirannya masih bercelaru. Ke mana arahnya selepas ini? Bagaimana dia mahu pastikan Bago ataupun orang upahan Haji Malik takkan dapat mencarinya?
Resit tambah nilai yang dibeli di 7-Eleven pagi tadi dikeluarkan dari dompet. Dia telah mengecas telefon bimbit yang sudah sekian lama tidak dihidupkan. Sungguhpun tidak membawa pengecas sendiri, mujurlah Makcik Nina menggunakan jenama telefon yang sama.
“Kita berdua je dekat Malaysia ni agaknya yang masih guna telefon kurun ke-18 ni,” gurau Makcik Nina ketika dia bertanya tentang pengecas itu tadi.
Selesai memasukkan kod tambah nilai, jantung Saleha berdetak kencang melihat jumlah pesanan suara dan SMS yang tidak pernah dibaca. Dia tiba-tiba jadi takut dan cepat-cepat mematikan kembali telefon itu lalu disimpannya di dalam beg.
Pintu bilik diketuk sebelum ditolak perlahan-lahan oleh Makcik Nina.
“Anak sedara makcik telefon tadi,” bisiknya dengan wajah yang begitu serius, membuatkan Saleha sedikit cemas.
“Kenapa makcik?”
“Katanya ada orang bergaduh di Rumah Selamat pagi tadi. Dua orang mati, dua orang cedera parah. Kamu ada di situ ke masa tu?”
Saleha terus tersentak dan terbeliak. Siapa yang mati? Dia tak tahu bagaimana hendak ceritakan segala-galanya kepada Makcik Nina. Dia hanya mengangguk beberapa kali sebelum air mata laju mengalir ke pipi.
“Ya Allah. Kenapa kau tak bagitau?” Makcik Nina meluru lalu memeluknya. “Patutlah kau nampak macam orang takut je tadi.”
“Diorang bergaduh dengan parang panjang, makcik. Ada ramai tadi,” kata Saleha sambil teresak-esak.
“Kau dengan Bago ada di sana masa tu, ya? Patutlah kamu tak datang sarapan pagi tadi. Eh, Bago mana? Kerja ke?”
Esak tangis Saleha kian menjadi-jadi membuatkan Makcik Nina mula syak sesuatu. “Kau datang tadi bukan dengan Bago, ya?”
Saleha menggeleng dan menyapu air mata dengan hujung lengan baju kurung. “Diorang datang cari Bago, lepas tu semua pukul dia. Dia melawan.”
“Apa jadi dengan Bago?”
“Saya tak tahu. Saya terus ambil barang, lepas tu lari ikut jalan belakang. Entah-entah diorang dah bunuh dia.” Saleha menekup kedua tangan ke muka.
Setelah tangisnya agak reda, Saleha menceritakan semua yang dia tahu tentang Bago. Bermula dari episod dia dituduh mencuri di kedai Haji Malik sehinggalah dia membelasah Sharul di tepi jalan, pergi mencuri di rumah tuan punya restoran itu dan kedatangan lelaki-lelaki dengan parang panjang ke Rumah Selamat subuh tadi.
“Astaghfirullahalazim. Kalau dah tahu dia macam tu, kenapa kau masih ikut dia, Leha? Seram sejuk makcik dengar cerita kau,” kata Makcik Nina menunjukkan bulu roma di lengannya yang berdiri.
“Saya sayang sangat-sangat dekat dia, makcik. Lagipun, dia memang ambil berat dan jaga saya elok-elok.” Ketika melafazkan kata-kata itu, Saleha kian tersedar perasaan sayang itu sudah tiada makna lagi. Entah apa yang mengaburi mata dan hatinya selama ini.
“Abih tu, sekarang macam mana? Kau tak ada sedara mara dekat sini. Kau tinggal dengan makcik ajelah, ya? Rumah ni pun tak ada orang. Kau boleh tolong-tolong apa yang patut. Nanti makcik bagilah kau upah apa yang termampu. Nak?”
Saleha merenung sayu ke mata wanita yang begitu ikhlas mahu membantunya itu. Dia tahu Makcik Nina berniat baik tapi wanita itu takkan mampu melindunginya dari bahaya yang menanti.
“Saya tak boleh tinggal di daerah ni lagi, makcik,” kata Saleha dengan suara tertahan-tahan. “Orang upahan Haji Malik mungkin tengah memburu saya. Kalau Bago tu belum mati, mesti dia pun tengah cari saya. Dahlah dia tahu rumah makcik ni.”
Makcik Nina melepaskan keluhan berat. “Itulah. Anak sedara makcik tadi kata yang mati tu dua-dua Melayu. Mungkin salah sorang yang cedera parah tu Bago.”
Saleha tak tahu sama ada dia patut berasa lega ataupun makin cemas. Kalau Bago benar-benar sudah tiada, dia mungkin akan bersedih selama beberapa hari. Tetapi selepas itu InsyaAllah dia akan dapat meneruskan kehidupan dengan perasaan tenang. Tapi jika Bago hanya cedera, bila dia sembuh nanti pasti dia akan mencari perempuan yang meninggalkannya hingga ke lubang cacing.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/125482/langkah