[SNEAK PEEK] Khurafat, Tahyul & Mistik di Alam Melayu

Khurafat, Tahyul & Mistik di Alam Melayu oleh Zahiruddin Zabidi
Persoalan yang paling besar dalam kehidupan seorang manusia yang berfikir adalah tentang siapakah Tuhan mereka dan apakah hakikat Tuhan itu sendiri? Selain itu, soalan seperti, “Dari mana kita wujud?”, “Mengapa kita wujud?”, dan “Ke manakah kita selepas kewujudan ini?” merupakan soalan pemikiran dan falsafah yang menjadi asas kepada pemikiran falsafah jauh sebelum Nabi Muhammad SAW menerimanya wahyunya yang pertama. Soalan-soalan tersebut tidak mampu sewenang-wenangnya dijawab hatta oleh ahli fikir yang agung sekalipun. Sehinggalah manusia mendapat petunjuk wahyu daripada Sang Pencipta mereka yang berkomunikasi dan menyampaikan watikah-watikah khas melalui pengantara untuk mengingatkan hakikat keberadaan dan kewujudan mereka atas muka bumi ini, ia adalah kesengajaan Sang Pencipta sebagai ujian untuk mengetahui hamba-Nya yang mana patuh dan taat serta sebaliknya. Tujuannya apa? Tiada lain melainkan untuk menunjukkan kemahakuasaan-Nya semata-mata. Tuhan yang menciptakan segala makhluk menjadikan kepercayaan kepada kewujudan-Nya sebagai ujian iman yang paling besar kepada makhluk yang ditaklifkan iaitu manusia dan jin. Selain daripada keduanya tiada beban tanggungjawab yang akan dipersoalkan kelak di akhirat, ia adalah kemuliaan sekali gus adalah beban yang maha berat.

Khurafat, Tahyul dan Mistik dalam ‘Mitos dan Legenda’

Mitos, legenda, dongeng, epik juga dikenali sebagai cerita rakyat (folklore) dan ia berkembang dalam bentuk sastera lisan. Ia adalah cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut secara turuni temurun sebelum bermula era sastera tulisan dalam bentuk hikayat. Perekaan dan penciptaan cerita-cerita ini mempunyai motif-motif yang tersendiri antaranya untuk mendidik, meningkatkan nilai moral, menakut-nakutkan rakyat bawahan, mengangkat satu-satu subjek dengan pelbagai kelebihan seperti kesaktian dan memburukkan sesuatu subjek dengan pelbagai jenis pengakhiran yang tidak baik.
Ironinya mitos, legenda, epik dan dongeng boleh dimanipulasikan oleh sesiapa sahaja yang pandai bercerita berdasarkan keperluan dan kepentingan semasa. Meskipun kemudian sebahagian besar daripada mitos, legenda dan dongeng ini kita jumpa dalam hikayat yang bertulis namun ia dijadikan sebagai suatu bentuk pengungkapan pengarang bagi melapisi makna sebenarnya. Ia sengaja ditulis secara bercampur-aduk antara fakta sejarah dan mitos, legenda dan dongeng, demikian kaedah kepegarangan zaman awal Islam di Alam Melayu pasca era Hindu dan Buddha sebelum munculnya era Sastera Kitab. Antara contoh terbaik karya yang mempunyai unsur tersebut adalah Hikayat Hang Tuah/Tuha dan Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) sendiri.
Antara buku kajian tentang topik ini adalah:
Malay Folk Beliefs: An Intergration of Disparate oleh Prof. Emeritus Dr. Mohd. Taib Osman dan karya-karya beliau yang lain
The Malay Islamic Hikayat oleh Prof. Dr. Ismail Hamid

Khurafat, Tahyul dan Mistik dalam ‘Kepercayaan Hantu’

Boleh dikatakan setiap negara dan bangsa di dunia ada hantu versi mereka masing-masing, ini termasuk orang Melayu di Nusantara ini. Di Malaysia sendiri, Melayu dengan hantunya, Cina dengan hantunya dan India dengan hantunya termasuklah etnik-etnik lain sekalipun. Bermula daripada kepercayaan terhadap semangat atau mambang yang kemudian berkembang kepada roh orang mati dalam keadaan tidak baik bertukar menjadi hantu. Kepercayaan mengenai hantu tidak pernah wujud dalam mana-mana ajaran agama tawḥīd, ini kerana wahyu daripada Allah hanya mengatakan selain daripada manusia, syaitan yang membuat kejahatan dan maksiat kepada Allah adalah daripada kalangan jin (iblis sendiri adalah berbangsa jin20).
Kepercayaan orang mati dalam keadaan tidak baik kemudian bertukar menjadi hantu adalah ajaran dalam ‘aqīdah agama Buddha dan Hindu, oleh sebab orang Melayu di Nusantara pernah menganut agama Buddha dan Hindu dicampur pula dengan kepercayaan lama mereka tentang semangat atau mambang maka konsep hantu diterima dan diyakini juga sekali gus bersama penerimaan mereka terhadap konsep iman dalam Islam. Ironinya kedua-duanya adalah bersalahan antara satu sama lain! Kita tidak menolak adanya gangguan makhluk halus dalam pelbagai cara terhadap manusia, cuma Islam mengajarkan bahawa ia bukan daripada hantu21 tapi sebenarnya daripada iblis-jin.

Khurafat, Tahyul dan Mistik dalam ‘Sihir dan Ilmu Hitam’

Sihir, ilmu hitam atau juga dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai black magic sangat berkait rapat dengan ritual, jampi serapah dan interaksi dengan jin-iblis. Amalan sihir disebut dalam al-Quran22 dan mempunyai sejarahnya yang tersendiri, dalam Islam sihir adalah dosa besar yang ketiga ia boleh menatijahkan syirik kepada Allah yang merupakan dosa besar paling utama. Namun di Alam Melayu, istilah ‘berubat’ dan ‘ikhtiar’ menjadikan amalan sihir oleh bomoh, pawang, dukun, poyang, tukang nujum sebagai adat warisan dalam berubat sedangkan pada hakikatnya ia adalah sihir.
Campur-aduk antara perubatan tradisional yang menggunakan herba dan kepandaian fisioterapi seperti mengurut dengan pelbagai jenis ritual dan mantera menjadikan ia keliru bagi difahami dan dikenali sebagai sebuah sihir. Mutakhir ini pula memperlihatkan kaedah Ruqyah Sharʿiyyah (jampi patut syariah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah) juga telah berlaku percampuran yang agak dahsyat sehingga kita boleh jadi keliru sama ada seseorang ‘ustaz’ itu benar-benar seorang perawat yang patuh syariah atau sebenarnya seorang bomoh yang tidak patuh syariat.

Nak lebih lagi? boleh dapatkan di –

https://www.e-sentral.com/book/info/327716/khurafat-tahyul-mistik-di-alam-melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *