[SNEAK PEEK] Kerana Satu Janji

Kerana Satu Janji oleh Ameera Ameer

AZRYL memandang Ricky dengan kerutan di dahi seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarinya tadi. Macam tak masuk akal pun ada tapi kemungkinan itu memang ada.

“You’re joking, aren’t you?”

Ricky menggeleng. “Tak. Berita ni memang sahih,” balasnya bersungguh.

“Mana kau dapat info ni?”

“Dari peguam Datuk Hamdi.”

Azryl terdiam cuba mencerna kata-kata sahabatnya itu.

“Kalau menurut info yang kau dapat maknanya lelaki yang jadi suami Hannah tu dibayar? Macam tu?” Tidak berpuas hati Ricky disoal lagi untuk mendapatkan kepastian.

Ricky angkat bahunya. “Yang tu aku tak tahu. Apa yang aku tahu Hannah tolong lelaki tu selamatkan adik dia dari dipenjara dan ada kemungkinan juga lelaki tu berkahwin dengan dia sebab tu,” terang Ricky panjang lebar, sekali gus membuatkan otak Azryl ligat memikirkan sesuatu.

Azryl tersenyum. Pandai kau Hannah menggunakan cara ni untuk mengelak daripada perkahwinan kita. Kau ingat aku akan diam? No way dear… No way! Jeritnya dalam hati. “Tahu tak siapa peguam adik lelaki tu?”

“Elyna.”

Azryl terdiam. Jarinya diketuk-ketuk di atas meja. Kalau Elyna orangnya memang susahlah dia nak mendapatkan maklumat. Tak mungkin Elyna akan berpaling tadah kepada kawan sendiri.

“Ada kenal sesiapa tak yang boleh korek rahsia daripada Elyna?”

“Kau kan kenal Elyna, cubalah tanya dia,”usul Ricky.

Azryl mencemik. “Jangan harap Elyna akan pecahkan rahsia. Kau bukan tak kenal siapa Hannah dengan Elyna tu… BFF,” ulasnya mengingatkan Ricky.

Ricky tergelak. “Aku tak kenal sesiapalah di firm dia tu.”

Azryl terdiam lagi. Rambutnya diraup kasar. Otaknya pula ligat memikir strategi.

“Cari sesiapa yang boleh dapatkan info. Aku sanggup bayar berapa saja yang dia nak asalkan aku dapat apa yang aku mahu,” arah Azryl keras.

“Susahlah bro.”

“Aku bayarlah,” bidasnya keras.

“Aku tahu tapi…” Ricky cuba menolak, namun pantas Azryl memintasnya.

“I’ll pay you for that.” Azryl tetap berkeras mahukan Ricky melakukan sesuatu untuknya.

Ricky mengeluh perlahan. Kepalanya ditundukkan memandang lantai. Pening dengan permintaan sahabatnya itu. Lama dia terdiam sebelum akhirnya dia mengangguk bersetuju.

“Aku cuba, tapi aku tak janji.” Ricky terpaksa mengakur walaupun tidak rela dengan permintaan berat Azryl.

“Kalau boleh dapatkan info secepat yang mungkin,” arah Azryl lagi.

Ricky menggeleng. Sudahlah main paksa, lepas tu nak cepat pula. Masak melayan anak orang kaya yang satu ini. Bebelnya di dalam hati. “I’ll try, but I can’t promise you anything,” ucapnya lagi mengulang katakatanya tadi.

Azryl buat riak tak peduli, yang penting dia dapat apa yang dia inginkan. Dan yang pastinya hidup Hannah Ayuni tak akan senang selepas ini. Jangan kau harap akan terlepas Hannah! Tekadnya lagi.

“Ryl, kenapa kau tak biarkan saja Hannah dengan hidup dia? Kau pun bukan jenis lelaki yang tak laku. Berlambak awek yang sibuk nak dekat dengan kau. Kau pilih aje yang mana kau suka, kenapa Hannah juga yang kau nakkan sangat?” Soal Ricky dengan dahi berkerut. Tak faham dia kenapa perempuan sombong yang macam Hannah itu juga yang dikejar. Rasanya ramai lagi perempuan yang lebih cantik daripada Hannah yang diusung ke hulu ke hilir selama ini tapi Hannah juga yang diigaukan siang malam.

“Yang jual mahal itulah yang syok bro. Barulah mencabar. Kalau yang asyik nak menyendeng aje tu kau tak payah kejar pun dia datang. Itu jenis pakai buang bolehlah,” balas Azryl dengan gelak kecil menghiasi bibir. Air fresh orange di atas meja dicapai dan dihirup.

Ricky menggelengkan kepalanya perlahan. “Lantak kau lah bro, malas aku nak campur. Jangan sampai kena belasah macam hari tu lagi sudahlah,” ucapnya mengingatkan. Tak serik-serik agaknya Azryl kena hentam dengan Ilham tempoh hari. Lunyai dikerjakan Ilham pun masih dia berani hendak mengganggu Hannah lagi. Apalah yang ada pada Hannah Ayuni sampaikan Azryl tidak jemu mengganggunya?

“Kita tengok siapa yang kena belasah pulak kali ni. Aku atau dia!” Keras kata-kata itu diucapkan. Gelas di tangannya diletakkan kasar di atas meja. Teringatkan peristiwa yang berlaku beberapa minggu lepas, bukan main membara lagi hatinya. Nanti kau, tahulah nasib kau! Bisiknya dalam hati.

“ Malam ni nak jumpa di club ke?” soal Ricky sebaik gelas di tangannya diletakkan semula ke atas meja.

Azryl mengangguk. “Macam biasa. Aku dah janji dengan Diana,” balasnya datar.

Tidak bertanya lagi, Ricky hanya mengangguk sahaja. Tiap-tiap hari mengusung bermacam jenis perempuan pun masih tak puas hati lagi. Masih Hannah juga yang disibukkannya. Memang dia tak faham!

 

“BUAT susah-susah aje Su hantar kuih ni.” Lembut Mak cik Lela bersuara. Bekas yang dihulurkan Suraya dicapai. “Mari masuk,” pelawanya sopan.

Suraya tersenyum seraya mengangguk. Langkah Mak cik Lela dibuntuti. “Tak susah pun mak. Abang Ilham kan suka makan lepat pisang. Kebetulan Su buat banyak, jadi Su hantarlah sikit ke sini,” tuturnya perlahan.

Mak cik Lela tersenyum. Sejuk rasa hati melihat gadis di hadapannya itu. Sudahlah cantik, sopan santun, baik, pandai memasak pula tu tapi sayang bukan rezekinya untuk mendapat menantu sebaik itu.

“Mak Su tahu tak Su datang sini?” Mak cik Lela memandang gadis itu sekilas. Bekas yang dibawa oleh Suraya tadi diletakkan di atas meja.

S uraya tersenyum hambar. Kepalanya digelengkan perlahan.

“Kenapa tak beritahu? Kalau mak Su tahu mesti mengamuk orang tua tu nanti,” tegur Mak cik Lela seraya menghela nafas berat.

“Kalau Su beritahu mesti mak tak bagi Su datang,” keluhnya sambil merenung sayu ke arah Mak cik Lela.

“Sejak Abang Ilham kahwin, Su tak pernah jumpa mak. Rindu pulak nak bersembang dengan mak.”

Mak cik Lela terdiam. Tambah sejuk hatinya kerana Suraya tidak hilangkan perkataan ‘mak’ di bibir walaupun sudah putus tunang dengan Ilham.

Mak cik Lela juga faham sangat dengan perangai besan tak jadinya itu. Dia sendiri pun sudah naik cemuh mendengar fitnahfitnah yang dilemparkan oleh Mak cik Seri terhadap keluarganya tapi dibiarkan saja. Selagi dia mampu bertahan, dia akan bersabar. Itulah pesan arwah suaminya dulu, biar orang buat kita, jangan kita pun sama jadi macam mereka juga. Dan pesanan itu jugalah yang sering diingatkan kepada anakanaknya selama ini untuk diikuti.

“Abang Ilham mana, mak?” Suraya bertanya sambil matanya melilau memandang sekeliling, sengaja hendak mengubah topik perbualan tadi. Kelibat Hannah juga tidak kelihatan di rumah itu. Tiba-tiba rasa tidak senang di hatinya dengan keadaan itu.

“Ilham pergi KL jemput Hannah balik.”

“Hannah balik KL?” soalnya dengan dahi berkerut.

Mak cik Lela mengangguk. “Ada urusan di KL katanya. Malam tadi dia call Ilham beritahu nak balik dan pagi-pagi tadi Ilham naik KL ambil dia.” Jujur Mak cik Lela bercerita.

“Abang Ilham ambil Hannah? Kenapa dia tak balik sendiri?” Nada Suraya seolah-olah tidak berpuas hati. Mak cik Lela tersenyum.

“Hannah itu kan isteri dia Su. Lagipun Ilham tak bagi Hannah balik sendiri.” Pahit untuk Mak cik Lela menerangkan semua itu. Namun, dilayankan saja pertanyaan Suraya. Dia sendiri pun kecewa dengan apa yang berlaku. Tetapi, ketentuan Dia tiada siapa yang mampu menolak.

Suraya terdiam. Kecewa mendengar katakata Mak cik Lela tadi. Kahwin terpaksa tapi sanggup bersusah payah begitu. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini dia mula rasa goyah dengan perhubungan antara Ilham dan Hannah.

Dia boleh maafkan Ilham setelah melihat kemesraan antara Ilham dan Hannah minggu lepas. Dia masih berfikiran positif, mungkin kaki Hannah sakit. Namun, melihat rupa paras Hannah dia mula rasa tergugat. Bimbang Ilham tak mampu mengawal hati apabila berada dengan isterinya yang cantik itu. Hurm… Mana ada kucing yang sanggup menolak ikan, bisik hati kecilnya mengingatkan diri sendiri.

Tapi dia tetap tak kisah kerana mereka halal. Yang dia kisahkan adalah, janganlah Ilham jatuh cinta pada Hannah!

“Su…” panggil Mak cik Lela perlahan.

Suraya tersentak dan berdeham perlahan. Nafasnya dihela untuk meredakan hatinya yang mula dikuasai perasaan cemburu yang tidak bertepi itu.

“Bila Abang Ilham balik?”

Mak cik Lela mengeluh perlahan. Faham dengan riak yang ditunjukkan oleh gadis di hadapannya itu. “Sekejap lagi sampailah agaknya. Esokkan Ilham ngajar.”

Suraya mengangguk sahaja. Sudah hilang semua perasaan teruja sebelum sampai ke situ tadi. Sangkanya dapatlah dia melihat wajah kekasih hati yang dirinduinya itu tapi hampa.

 

“HURM… Macam kenal aje kereta yang kat depan rumah awak tu,” ucap Hannah sambil menala pandang ke arah kereta Iswara Aeroback yang terparkir elok di halaman rumah suaminya itu.

Ilham hanya membatukan diri sahaja sambil mata meliar memandang ke arah kereta bekas tunangnya itu. Jauh di sudut hati terasa berdebar juga dengan kedatangan gadis itu. Untuk apa agaknya Suraya datang ke situ?

“Mesti dia cari awak, kan?” Hannah sengaja hendak memancing bicara suaminya itu.

“Entah… Mana saya tahu,” balas Ilham malas-malas. Keretanya terus diparkirkan ke dalam garaj. Enjin kereta dimatikan sebelum dia terus keluar.

Hannah hanya memandang sahaja perlakuan suaminya itu dengan cemikan. Buat-buat tak tahu konon! Dia turut keluar. Langkah suaminya dibuntuti.

“Pergilah cari mak kat dapur, saya letak beg dalam bilik dulu,” arah Ilham perlahan.

Hannah menurut. Dia tahu mesti perasaan Ilham sedang kacau bilau sekarang. Dulu tentu seronok bertemu kekasih hati. Tapi sekarang mesti rasa terseksa agaknya. Melihat air muka Ilham saja dia boleh baca. Kaulah punya fasal Hannah! Tengok sekarang apa dah jadi? Huru hara semuanya! Marahnya pada diri sendiri.

“Assalamualaikum,” sapa Hannah sopan sebaik menjengah pintu dapur.

Mak cik Lela dan Suraya yang sedang leka berbual ketika itu terus berpaling. Salam Hannah disambut serentak.

“Panjang umur. Mak dengan Su baru sebut-sebut,” ucap Mak cik Lela dengan senyuman.

Hannah turut tersenyum. Ibu mentuanya itu dihampiri. Tangannya dihulurkan untuk bersalaman.

“Awal sampai?” soal Mak cik Lela sebaik salam Hannah dileraikan.

“Ilham ajak balik awal, mak. Dia kata ada banyak kerja nak buat,” balas Hannah sambil menghulurkan salam ke arah Suraya pula. Salamnya disambut.

“Ilham mana?” Mak cik Lela terus bertanya apabila kelibat anaknya tidak kelihatan.

“Letak beg dalam bilik,” tuturnya sopan.

Mak cik Lela mengangguk. Baru saja dia ingin bersuara lagi, tiba-tiba terdengar suara Ilham memberi salam di muka pintu. Dia terus menoleh dan anak lelakinya itu dipandang dengan senyum terukir di bibir.

Ilham terus menghampiri ibunya dan jemari ibunya disalami.

“Ha, kebetulan kamu dah balik mari kita minum sekali. Su ada bawa lepat pisang ni,” ajak Mak cik Lela lembut. “Biar mak buat air dulu.”

Suraya terus bangun. “Biar Su aje yang buat, mak.” Pantas Suraya menawarkan diri. Jemari Mak cik Lela terus diraih dan disuruh duduk semula.

“Tak apa. Su kan tetamu.” Perlahan Mak cik Lela menolak tawaran Suraya.

“Tetamu apanya mak, biasanya kan Su yang buat air kalau Su datang sini. Mak duduk biar Su aje yang buat,” balas Suraya bersungguh sambil mengerling Hannah yang sedang terkebil-kebil memandangnya dan Mak cik Lela ketika itu. Puas rasanya dalam hati berjaya membuat Hannah terpaku begitu. Walau apapun keadaannya, dia tetap akan berusaha mendapatkan haknya kembali.

Malas hendak berbalah, akhirnya Mak cik Lela mengalah. Dibiarkan saja Suraya melakukan apa yang diingini. Ilham yang memerhati sedari tadi semakin serba salah dibuatnya.

Hannah pula hanya beriak selamba sahaja seolah-olah tidak terkesan dengan apa yang berlaku padahal dalam hati bukan main menyampah lagi. Ingat aku heran dengan kerajinan kau? Poyos! Macamlah aku nak ambik tunang dia. Macamlah aku nak sangat dengan Ilham tu? Bebelnya geram.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com

https://www.e-sentral.com/book/info/331373/KERANA-SATU-JANJI