“YOU lambat!” Keras teguran bila melihat Catilya melangkah gemalai menghampirinya. Mencuka wajahnya.
“Sorrylah darling. I cuma lambat lima minit je tau.” Pipi lelaki itu dicuit mesra. Memujuk. Bukan dia tak tahu perangai teman lelakinya itu. Tepat pada waktu.
“You tahukan, I tak suka tunggu orang, tapi you buat juga kebencian I yang itu. You datang lambat juga. You ni sengajakan, Lya?” Zaif Affendy membebel.
“Syiii… Darling, I datang nak jumpa dengan you, nak lepaskan rindu I yang membuak ni pada you, bukan nak dengar you membebel, berleter macam orang tua tau. Hmmm… Senyum sikit.” Dia memujuk.
“Kalau tak mau dengar I membebel, lain kali jangan datang lam…bat.” Tak terhabis ayatnya bila gadis itu meletakkan jari telunjuk ke bibir.
“Darling, I miss you.” Tangan mula melingkar di leher Zaif Affendy.
“Lya, please… Jaga kelakuan you. Kita di pejabat I, apa kata staf-staf I nanti? I bos dekat sini, perlu jaga I punya reputasi. Perlu jadi contoh mereka.” Tubuh model itu ditolak perlahan. Tangan yang merangkul lehernya juga dilerai.
“You, nilah!” Masam wajahnya. Gadis itu menghentakkan kaki geram dan tanpa diduga terpijak sekali kasut kulit yang berwarna hitam berkilat milik lelaki itu.
“Oi, you dah pijak kasut I!” marah lelaki itu.
“Padanlah dengan muka you,” balas gadis itu tanpa sedikit pun rasa bersalah.
“I baru kilatkan kasut I, you dah kotorkan balik.” Tidak puas hati sungguh dia dengan balasan Catilya itu.
“Alah, apa susah, kilatkanlah balik. Tu dekat luar sana tu I ada nampak tukang kasut baru tau. Jom I bawakan you ke sana.” Tangan lelaki itu ditarik dan lelaki itu hanya mengikut tanpa sebarang bantahan.
Hampir 5 minit menurut, langkah terhenti di hadapan sesusuk tubuh yang sedang duduk di atas bangku kecil dan tekun menjahit satu kasut kulit yang sudah tertanggal tapaknya.
“Ya, boleh saya bantu?”
Lelaki ke perempuan dia ni? Eh, ada ke perempuan jadi tukang kasut? Zaif Affendy kehairanan.
“Boyfriend I yang cerewet dan punctual ni nak kilatkan kasut dia. Boleh buat sekarang ke?” Belum sempat dia menjawab Catilya sudah menjawabkan bagi pihak dirinya. Dia menepuk dahi mendengar ayat penyata yang keluar dari mulut gadis itu. Tu ayat sengaja nak cari pasallah tu.
“Boleh. Mana kasutnya?” soal tukang kasut itu. Senyuman ramah terukir di wajah. Jelas kelihatan baris gigi yang putih bersih sebaik saja wajah itu mengukir senyuman.
“Ni, yang I pakai ni,” jawabnya pantas. Muda lagi dia ni. Rasa macam perempuan, suara pun macam perempuan. Sahih, perempuanlah kut. Perempuan berperwatakan lelaki. Ah, apa nak dihairankan dengan zaman sekarang ni. Sempat lagi hatinya membebel memberi komen itu dan ini.
“Err… Encik, boleh tanggalkan kasut tu dulu?”
“Kalau I tanggalkan kasut ni I nak pakai apa? Lantai dekat sini kotor! Geli.” Tercebik-cebik bibirnya. Sungguh dia tak sanggup memijak lantai kotor hitam bersalut debu-debu kotor itu tanpa sebarang alas. Silap-silap kulit kakinya nanti boleh terkena penyakit! Hesy… Minta simpanglah.
“Okeylah encik, saya malas nak buang masa encik, saya ada banyak kasut nak kena siapkan. Meh sini kaki tu. Letak dekat sini.” Menunjukkan pahanya yang sudah dialaskan dengan kain buruk itu.
“Hah?” Macam tak percaya. Biar betul, takkan nak biarkan aku pijak pahanya pula. Betul ke tak betul dia ni?
“You cepatlah, kan dia suruh buat macam tu.” Catilya mencelah bila melihat raut serba salah yang terpamer di wajahnya.
“Oo… okey.” Teragak-agak Zaif meletakkan kaki.
“Weh, kilat elok-elok. Mahal kasut aku ni tau.” Sempat dia memberi pesanan.
“Ya encik, jangan risau.”
“Chomel!” Tiba-tiba ada satu suara lembut manja menyapa.
Si tukang kasut yang sedang tekun membuat kerja mengangkat wajah. Topi warna merah jambu yang terletak di atas kepala ditanggalkan. Diletakkan ke sisi. Cuaca panas hari ini membuatkan rintik-rintik peluh mula terbit di dahinya.
“Apa hal kau datang sini Rina? Tak kerja?” soalnya tanpa mengangkat langsung wajah. Tangan lincah menyapu Kiwi hitam pada kasut lelaki itu. Hasil kerja mesti baik supaya pelanggannya yang cerewet ini berpuas hati.
“Kerjalah. Sekarangkan tengah waktu rehat. Nah, ni saya bawa air untuk awak. Soya bagi. Dia belanja katanya. Tekak awak mesti keringkan? Pelanggan mesti ramai sampai awak tak dapat rehat.” Cawan plastik lutsinar dihulurkan kepada Chomel namun gadis itu tidak menyambutnya. Tetap lincah membuat kerjanya.
“Letaklah dekat situ dulu. Aku sibuk ni. Ni, nampak ni ada customer yang aku nak kena siapkan cepat.”
“Okey… Kesiannya awak, Chomel. Berpeluhpeluh. Panas ya dekat sini?” Tanpa dijangka Rina mengeluarkan tisu dari tas tangannya dan terus membantu mengesat peluh di wajah Chomel itu.
“Eh..eh… Rina, tak… tak payah susah-susah.” Chomel cuba menepis tangan Rina menghalang perbuatan temannya itu konon. Namun gadis itu tetap juga berkeras.
“Alah Chomel, awak ni dengan saya pun nak malu-malu ke. Awak lupa ke kita inikan….”
“Ehem-ehem…” Tak sempat menghabiskan ayat bila pelanggan lelaki si Chomel itu berdehem keras.
“Okey, encik. Siap! RM5 sahaja, encik.”
“Nah…” Sekeping RM10 ringgit dihulurkan kepada si tukang kasut itu, sebelum cepat-cepat berlalu. Geli melihat aksi luar biasa pasangan tukang kasut itu.
“Eh encik, bakinya?”
Chomel hanya memerhati pasangan itu sebelum berlalu. Ah orang kaya, memang selalunya sombong dan tak berbudi bahasa. Lantaklah. Aku tak rugi apa-apa pun. Air soya yang diberi oleh Rina itu dicapai. Diteguk laju isinya. Membasahkan tekak yang tengah kering. Rina ni macam tau-tau saja aku tengah haus.
“KETINGGALAN gilalah kau ni.”
Dia yang sedang tunduk menulis teks mesej terkejut bila bahu ditepuk dari arah belakang.
“Weh kawan, sekarang sudah 2012 lah. Mana ada orang pakai handphone hitam putih lagi. Macam orang tua-tualah.”
“Aku… Aku…” Laju telefon bimbit yang berada di tangan dimasukkan ke dalam saku seluar. Merah padam muka menahan malu.
“Kau tengok aku ni. Pakai iPhone lagi. Sekarang mana main pakai phone ada keypad ni. Sekarang semua main touch screen je. Barulah gempak.”
“Kau kata ayah kau ada company sendiri. Buka kilang kasut. Masakan handphone pun tak mampu beli? Walaupun aku tahu ayah kau dah tiada tapi mesti dia ada tinggalkan kau harta yang banyakkan sebelum dia pergi? Mesti kau lebih dari mampu nak beli phone baru.” sampuk temannya yang seorang lagi.
“Bukanlah, handphone aku rosak. Tu yang aku pakai yang ini. Pakai untuk sementara saja.” Dia menjawab pantas. Memberi alasan untuk menutup malu.
“Rosak? Beli sajalah yang baru. Kaukan kaya.”
“Eh, tak naklah. Telefon bimbit aku yang hari itu masih boleh dibaikilah. Lagipun tak elok membazir tau.”
“Membazir atau alasan saja ni? Kalau aku jadi kau, dah banyak duit sangat aku buang saja handphone tu kalau rosak. Beli baru terus tak payah nak repair segala bagai. Buang masa saja tau.”
“Alasan? Apa maksud kau?” soalnya, seolah tak mengerti.
“Alah, kau cakap sajalah kau tak ada duit sebenarnya,” tempelak temannya itu
“Kenapa pula kau cakap macam tu?”
“Yalah, sepanjang berapa semester kau dekat sini, aku tak pernah pun nampak keluarga kau. Jangan-jangan kau tipu kami selama ini, kan?”
“Tipu? Mana ada… Tak ada kerja aku nak menipu.” Laju dia menggelengkan kepala menafikan tuduhan temannya itu.
“Weh, anak orang kaya tak ada datang kolej naik baslah. Anak orang kaya ada pemandu sendiri, siap hantar ambil. Macam aku ni.”
“Aku… Aku sajalah naik bas. Nak belajar berdikari.”
“Sudahlah, aku tak percayakan kaulah.”
“Aku akan buktikan nanti.”
“Buktikan macam mana? Tunjukkan dengan Nokia 3310 kau ni? Kah! Kah! Kah!” Ketawa dua orang temannya itu lantang sebelum meninggalkan dirinya seorang diri.
Cis! Tak guna. Tak apa, nanti aku akan tunjukkan biar korang tak ada suara nak bercakap. Dia menggetap bibir. Geram bila dihina dan diragui begitu. Aku nak tunjukkan pada mereka, tapi macam mana? Tiba-tiba dia teringat… Hah, tak apa, nanti aku minta pada dia!
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278600/Kasut-Hitam-Topi-Pink