[SNEAK PEEK] BIAR HATI BERBISIK RINDU

Biar Hati Berbisik Rindu Oleh Zuri Yanie

KEADAAN di dalam bilik itu sunyi sepi. Hana tekun menelaah pelajaran. Hanya tinggal beberapa minggu lagi dia akan menduduki peperiksaan besar sebelum berangkat ke luar negara bagi menyambung pengajian.
Namun, tumpuan Hana terganggu seketika dan beralih kepada Nina tatkala kedengaran helaan nafas berat dari arah gadis itu.
Hana kemudiannya menggeleng-geleng dengan tingkah laku Nina. Dia masih teringat akan cerita Nina yang sudah bertunang beberapa hari yang lepas. Pada mulanya dia memang terkejut mendengar pengakuan Nina namun sedikit demi sedikit dia mula mengerti mengapa nenda Nina sendiri yang menetapkan syarat begitu.
Yalah, orang kaya. Takkan mereka mahu harta yang dicari untuk mengisi perut tujuh keturunannya jatuh ke tangan orang yang belum tentu keturunannya baik-baik.
Tapi berkenaan dengan Raof, dia tidak pernah menganggap Raof itu orang yang jahat-jahat.
Sepanjang tempoh Nina berkenalan dengan lelaki itu, Nina tidak pernah bercerita tentang perkara yang tidak elok tentang Raof. Dia juga ada merisik dengan teman lelakinya. Tak ada pula cerita kurang enak sampai ke cuping telinganya. Agak pelik apabila mengetahui hidup Raof yang bergelumang dengan noda. Entah dari mana gadis itu mendengar cerita itu, dia tidak mahu ambil pusing. Yang pasti, tiga hari lepas Nina pulang ke kamar itu dengan deraian air mata. Kasihan Nina…
“Aku bukannya tak nak cerita pada kau, Hana.” Nina bersuara tatkala dia mengajukan soalan yang berkisarkan tentang isu Nina bertunang tanpa pengetahuannya.
Dia tidak berniat ingin campur tangan dalam hidup Nina. Cuma dia terkilan kerana mereka sudah hampir dua tahun berkawan namun Nina tetap berahsia dengannya. Apalah harga sebuah persahabatan jika tidak saling mempercayai?
“Habis tu kenapa? Kalau kau bertunang sekalipun kita tetap kawan sampai bila-bila. Persahabatan kita tak pernah putus, Nina. Kalau kau boleh terima aku yang berasal dari keluarga yang tak berduit ni sebagai kawan kau, takkan sebab status kau dah bertunang tu aku tak boleh nak terima pula?” Hana bersuara, meluahkan rasa kecewa.
Jika bukan kerana hal Raof, sudah pasti sampai bila-bila dia takkan tahu lelaki berkereta Jaguar yang selalu singgah menjenguk Nina adalah tunangan gadis itu!
“Aku bertunang dengan Amil atas desakan keluarga.” Nina akhirnya mengaku. Gadis itu tertunduk memandang lantai tatkala mata Hana buntang mendengar berita itu.
“Habis tu kau terus setujulah ni?” Hana bertanya tatkala melihat Nina sekadar menanti dihujani pelbagai soalan lagi.
Nina hanya diam.
“Merepek!” Hana menepuk dahi sendiri dengan kuat. Seperti tidak percaya tatkala mendengar pengakuan Nina.
“Aku tak nak lukakan hati sesiapapun dalam hal ni,” luah Nina dengan harapan supaya Hana mengerti.
“Walaupun jauh di sudut hati kau tak pernah setuju dengan keputusan keluarga kau ni?” Hana menebak, memaksa Nina menjawab pertanyaannya.
“Aku terpaksa,” tutur Nina sayu
“Nina, jodoh yang ditentukan oleh keluarga dah tak boleh diguna pakai sekarang. Kau berhak buat keputusan kau nak pilih siapapun untuk dijadikan suami.” Hana meluahkan pendapatnya sendiri.
“Aku ada sebab setuju kahwin dengan Amil. Waktu tu aku dah tak ada pilihan lain. Kau takkan faham, Hana.” Hanya itu yang mampu Nina luahkan.
“Macam mana aku nak faham kalau kau tak terangkan? Sampai bila-bila pun kau takkan dapat selesaikan masalah kau tu kalau kau tak cerita pada aku. Sekurang-kurangnya, ringan sikit beban kau tu.” Hana cuba memujuk. Dia tidak mahu nanti pelajaran Nina merosot gara-gara memikirkan Amil dan Raof.
“Aku tak nak kusutkan fikiran kau dengan masalah aku.” Cukuplah Hana sudi membantu dia dalam pelajaran. Biarlah perihal keluarga disimpannya sendiri. Dia tak mahu Hana tahu tentang nendanya yang bengis dan hubungan kekeluargaan diikat atas dasar budi.
“Aku kawan kau, Nina. Sampai bila-bila pun kita tetap berkawan. Tak ada istilah susahkan sesiapa dalam berkawan. Kau pun tahu, kan?” Kali ini Hana cuba menekan Nina untuk bercerita. Biar ringan beban yang ditanggung.
“Tapi kalau kau belum bersedia nak cerita, aku okey aje. Asalkan kau jangan terbawa-bawa dalam pelajaran sudah. Ingat target kita, Nina. Yang penting kau dan aku sama-sama ke U.K. ambil jurusan pergigian. Kalau tak, kita akan jadi macam senior kita terkandas di sini. Aku tak nak nanti kita terpaksa lupakan hasrat untuk belajar sebab kita tak capai keputusan seperti penaja inginkan. Itu yang penting, Nina.”
Kali ini Hana menggenggam erat jemari Nina. Dia mahu sama-sama melangkah ke menara gading dengan Nina. Mereka berdua sudah berjanji akan tamatkan pengajian bersama dan berkhidmat dengan kerajaan di tempat yang sama. Sehingga kini, dia masih utuh memegang janji itu.
Keluhan Nina menggamit Hana ke realiti. Gadis itu masih termenung sambil memandang jauh ke luar tingkap.
“Kau okey, Nina?” Hana bertanya tiba-tiba, mengejutkan Nina daripada khayalannya.
“Hah?” Nina kebingungan.
Ingatan Nina masih tertumpu kepada Raof. Entah kenapa, makin dia cuba membenci lelaki itu hatinya semakin sayang. Dia mula rindukan suara Raof biarpun baru tiga hari berlalu. Selepas menghantar teks ringkas kepada Raof untuk berpisah, dia telah menukar nombor telefon. Hanya dengan cara begitu sajalah dia dapat mengelak daripada bertemu Raof selain berkunjung ke perpustakaan.
Ada juga Raof datang mencarinya di asrama ini namun dia buat-buat diam saja di dalam bilik sehingga lelaki itu mengalah dan berlalu pergi. Selepas melihat kesungguhan Raof, dia akui hatinya goyah. Tetapi dia cuba tegaskan pada dirinya bahawa Raof bukanlah lelaki yang baik-baik dan tak harus wujud dalam hidupnya.
namun dia buat-buat diam saja di dalam bilik sehingga lelaki itu mengalah dan berlalu pergi. Selepas melihat kesungguhan Raof, dia akui hatinya goyah. Tetapi dia cuba tegaskan pada dirinya bahawa Raof bukanlah lelaki yang baikbaik dan tak harus wujud dalam hidupnya.
“Dari tadi lagi aku tengok kau asyik baca di muka surat yang sama aje.” Hana menyambung kata. Dia bangun lalu menutup buku dan menapak ke meja Nina yang bersebelahan dengan mejanya.
“Apa kata aku bawa kau keluar jalan-jalan? Kita boleh pergi tengok wayang. Kalau kau tak kisah, kita keluar makan lepas tu tengok wayang secara maraton. Malam nanti baru balik. Setuju?” Hana bersuara sambil mengusap lembut bahu Nina. Dia kasihankan Nina. Selepas peristiwa Nina menangis kerana Raof, gadis itu seperti hilang semangat untuk hidup.
“Aku tak ada mood nak keluarlah, Hana. Aku rasa lebih baik aku belajar di dalam bilik aje.” Nina bersuara lemah. Dia berpura-pura menyusun buku di atas meja dengan harapan Hana akan berlalu ke mejanya.
“Sebab kau tak ada moodlah aku nak ajak kau keluar. Sekali-sekala rasalah angin luar sikit. Ni tak, asyik terperap kat dalam bilik aje. Nanti kau sakit.” Hana berusaha memujuk Nina.
Dia tahu Nina makan hati. Dia yakin keputusan Nina belajar di bilik kerana ingin lari dari Raof. Masakan tidak, pagi-pagi lagi Nina sudah melangkah ke kelas. Pulangnya pula bila tamat kelas. Ketara sangat Nina cuba menjauhkan diri dari Raof. Dia tidak mahu panjang lebar menasihati Nina tentang masalah cinta. Biar Nina selesaikan sendiri. Lambat-laun, Nina dan Raof pasti bersua. Waktu itu,Nina sendiri tak boleh nak mengelak. Itu dia yakin.
“Kalau aku berkeras tak nak pergi, macam mana?” Nina bersuara lemah. Dia rasakan bilik ini adalah syurga baginya. Dia dapat melarikan diri dari Raof dan duduk termenung.
“Kalau kau tak nak pergi bererti kita putus sahabat,” tegas Hana.
“Hana… Takkan sampai macam tu sekali?” Hana ni kalau ya pun nak ajak keluar, janganlah sampai kaitkan halhal persahabatan pula, desis Nina dalam hati. Kurang selesa dengan ugutan Hana.
“Hah, kalau macam tu kau bersiap. Sekejap lagi kita keluar. Lepas ni aku tak nak tengok muka monyok kau tu lagi tau. Tak cantik langsung!” Hana menarik tubuh Nina rapat ke almari pakaian gadis itu. Dia cuba berjenaka untuk menghidupkan suasana.
“Kau pilih baju yang paling cantik bagi kau. Anggaplah hari ni hari jadi kau. Kita akan buat perkara yang kau suka aje.” Hana cuba menceriakan keadaan. Baju di dalam almari pakaian Nina dibelek-belek. Hanya beberapa helai saja terselit jean dan blaus. Yang lain semuanya baju kurung. Memang perempuan Melayu terakhir betul!
“Jadi sepanjang beberapa hari ni muka aku memang tak cantiklah?” Nina sekadar bergurau. Sekadar melayan bicara Hana. Biarpun tidak bermaya, dia tidak mahu tindakan temannya itu hanya sia-sia. Selebihnya hatinya masih berkabung dengan keputusan yang diambilnya tempoh hari. Keputusan supaya melupakan Raof sampai bila-bila membuatkan badannya jadi lemah. Terbang segala kegembiraan yang dikecapi bersama lelaki itu.
“Bukan tak cantik tapi tak manis.” Hana menjawab ringkas. Dia mula menyiapkan diri. Buku rujukan di atas meja ditutup rapat lalu disusun kemas dan kembali menyiapkan diri.
“Maksudnya aku ni cantiklah, kan? Aku baru tahu yang aku ni cantik rupanya.” Nina tertawa di hujung ayat. Dia tercuit dengan kata-katanya. Masuk bakul angkat sendiri!
“Puji diri sendiri nampak!” Hana menekan suara. Dia tertawa melihat reaksi Nina mengangguk. Lega hatinya melihat tawa Nina mula kembali selepas beberapa hari bermuram durja. Kalaulah Nina tahu bahawa tawanya itu bagaikan sinar suria pada waktu pagi, tentu gadis itu memilih untuk tertawa sepanjang hari. Sungguh indah!
“Kau nak bawa aku pergi ke mana?” Nina bertanya setelah siap. Dia menanti Hana mengenakan tudungnya sebelum mereka sama-sama keluar dari bilik itu.
“Tengok wayanglah. Kata nak tengok wayang sampai lebam mata.” Hana sudah siap bertudung. Setelah mencalit pelembap bibir dan bedak asas, dia terkocoh-kocoh menggapai beg tangan dan mendapatkan Nina di depan pintu.
Nina mencebik apabila mendengar perancangan Hana. Dia terus lupa akan masalah antara dia dan Raof.
“Takkanlah nak tengok wayang sampai lebam biji mata ni? Pergilah ke tempat lain juga.” Dia tidak berapa suka menonton wayang. Dia akan berkunjung ke sana apabila ada pelakon yang diminatinya berlakon dalam filem tersebut.
“Mana-mana asalkan kau suka, tuan puteri intan payung penawar duka kalbu!” Hana mencuit dagu runcing Nina. Ke mana saja yang dipinta Nina asalkan gadis itu sudi berhenti dari hidup termenungkan Raof. Naik buntu juga fikirannya melihat Nina yang kemurungan.
“Amboi kau, Hana. Panjang lebar gelaran bagi pada aku.” Nina mencebik lagi tetapi kali ini dia menyembunyikan senyuman geli hati diusik Hana. Ingat aku ni budak kecil agaknya, desis Nina dalam hati.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/303303/biar-hati-berbisik-rindu