[SNEAK PEEK] JUARA CARTA CINTA

9789831246320-medium

EBUKU Juara Carta Cinta Oleh Lynn Dayana

WAJAH Haqiem singgah lagi di dalam ingatan. Puas dihalau namun datang juga. Kalau Haqiem itu nyamuk, sudah lama lelaki itu disembur dengan Ridsect. Dia sanggup membeli berbotol-botol jika ada jaminan lelaki itu tidak akan datang mengganggunya lagi. Masalahnya, Haqiem bukan nyamuk aedes. Haqiem bukan nyamuk tiruk. Persamaan Haqiem dengan nyamuk hanyalah kedua-duanya menyebabkan dia hilang keselesaan. Perkataan tenteram puas sudah diselak dan dicari di dalam kamus hidup tetapi hilang. Ya, sudah hilang! Bersembunyi entah di mana. Maya mengeluh sendiri.
“Bos ni asyik mengeluh aje. Perut ada masalah ya?” Julie bertanya sambil meletakkan sepiring karipap di hadapan bosnya itu.

“Karipap dari mana ni?” tanya Maya. Warna karipap yang dihidangkan kepadanya itu sedikit gelap. Ada ciri-ciri hangit!

“Karipap dari Kampung Pinang Sebatang!” Julie menjawab gaya Pendekar Mustar.

“Macam pinang terbakar aje saya tengok!” Maya selamba menjawab.

Gelak ketawa Laila menyebabkan Julie mula bercekak pinggang. Dia baru belajar cara membuat karipap sebenarnya. Itu pun berdasarkan resipi yang diberikan oleh Laila. Ketika menggoreng pagi tadi, dia berangan sedikit. Ah, bukan salahnya. Salah pakwenya yang gatal berSMS mengucapkan selamat pagi sayang kepadanya. Tidak dibalas nanti pasti merajuk.

“Saya masak dengan kasih sayang tau, bos!” Julie menjawab dengan bersungguh-sungguh.

“Berapa gram awak letak? Macam kurang aje. Sebab tu hangus kot?” Maya masih mahu mengusik.

“Ini mat salih kata, ‘well done’ Cik Maya.” Julie ada-ada saja jawapan di dalam kotak fikirannya itu.

Jawapan Julie mengundang tawa Laila dan Maya. Kerana tidak mahu ada yang kecil hati, Maya mengambil juga sebiji karipap itu dan membaca bismillah. Ya, mungkin sudah rezekinya hari ini untuk menikmati karipap Kampung Pinang Sebatang yang hangat tetapi hangit!

Sebaik saja dia mengunyah, dia memandang wajah Laila yang sedang menahan ketawa. Maya terus mengunyah dengan payah. Mujur loceng berbunyi menandakan ada pelanggan yang masuk dan kelihatan Julie bergegas mendekati pelanggan yang datang.

“Ini inti apa ni?” Maya bertanya Laila.

“Intifada!” Laila menjawab sambil tersengih.

“Hah?” Maya bertanya lalu mencapai tisu yang Laila hulurkan kepadanya.

“Makan dan anggap sebagai amal!” Laila menyambung bicaranya sambil ketawa namun dengan nada yang perlahan. Julie itu baru mahu belajar maka patutlah mereka memberikan galakan. Pasti dapat pahala!

“Amal? Kalau keracunan?” tanya Maya lagi.

“Kita masuk hospital sama-sama.” Laila selamba menjawab. Dia pun tidak tahu mengapa inti karipap yang dibuat oleh Julie itu pelik pula rasanya. Mahu ditanya takut kecil hati.

“Awak tak tanya ke dia letak apa?”

“Nak juga soal siasat tapi tak sampai hati.” Laila membuat pengakuan. Semalam, beria-ia Julie mengambil resipi daripadanya tetapi sudah beratus kali dia membuat karipap tidak pernah pula rasanya menjadi sebegitu unik.

“Jangan sampai kita kena bedah siasat sudah!” Maya menjawab lalu baki karipap itu dibungkusnya di dalam tisu dan cepat-cepat dibuang ke tong sampah. Berdosa memang berdosa tetapi Maya merasakan kalau karipap itu diberi kepada kucing pun silap-silap kucing itu menjawab, “Sorry!”
LEWAT petang Maya sampai ke rumah dengan badan yang terasa sengal-sengal. Hari ini dia pulang awal kerana mahu menyiapkan beberapa bab untuk novel ketujuhnya yang terbengkalai beberapa hari. Bermula dengan minat yang mahu mencuba, tanpa disedari novel yang ditulisnya sudah mencecah kepada tujuh buah. Alhamdulillah, dengan rezeki dari dunia penulisannya itulah dia berjaya membuka kedai cenderahati yang terletak di Carrefour Sri Petaling itu. Menulis memang menjadi impiannya semenjak dari dulu dan kini impiannya yang kedua iaitu membuka kedai cenderahati juga sudah terlaksana dan sudah mula mendatangkan hasil.
Dia berjalan perlahan di tepi kolam renang itu. Hanya ada dua anak kecil yang sedang bermain air di bahagian kanak-kanak. Gelak tawa mereka nampak sungguh mesra dan penuh keriangan. Maya melambai dan apabila kedua-dua anak kecil itu melambai semula kepadanya, dia tersenyum. Nyaman sungguh suasana petang hari ini. Maya terus menuju ke lif. Di hadapan lif kelihatan ada dua, tiga orang lelaki yang memakai baju seragam Delicious Catering sedang sibuk mengangkat beberapa bekas makanan ke dalam lif.

Tidak mahu bersesak dengan mereka, Maya membiarkan mereka naik dahulu dan dengan sabar dia menunggu lif yang kedua. Ada penghuni yang membuat majlis keramaian agaknya. Sebaik sahaja lif kedua turun di tingkat bawah, Maya segera memasuki lif. Terbayang agendanya pada malam ini. Mandi, masak Maggie, buat air teh dan mula menulis. Berhenti sekejap untuk menonton siri CSI dan kemudiannya sambung semula menulis sehingga jam 12.00 malam.

Ketika lif berhenti di tingkat tujuh, Maya melihat pekerja katering tadi sedang menunggu lif untuk turun pula. Kedengaran suara perempuan yang nyaring menyuruh supaya makanan itu cepat dibawa naik. Maya menghentikan langkahnya seketika. Telinganya seakan mengenali tuan punya suara yang sungguh tidak sedap itu. Cuba mendengar lagi namun kesunyian pula yang melanda maka Maya mengatur langkah semula menuju ke rumahnya.

“Hei, baru balik kerja!” Mimi sudah mula menegur dengan gaya manjanya.

Tidak mahu dituduh kurang sopan, Maya hanya mengangguk dan di dalam hatinya sempat memarahi mangga rumah kerana sukar pula mahu dibuka. Sengaja mahu membuat pasal di hadapan Mimi yang masih tersengih-sengih seperti kucing Parsi mahu mengawan.

“Kami buat parti. House warming!” Mimi masih mahu bercerita.

Cerita Mimi itu Maya dengar tanpa perasaan. Namun sempat dia berjenaka sendiri di dalam hati. ‘Kasihan Haqiem, house warming? Rumah tak ada penghawa dingin rupanya!’ Dia sudah tidak sabar mahu masuk ke dalam rumah. Mahu berlindung di kubu perisai miliknya sendiri. Berada di depan pintu rumahnya ini, dia sungguh tidak rasa selesa. Ketika mangga berjaya dibuka, Maya terasa seperti mahu menjerit keriangan. Namun niatnya itu dimatikan saja apabila Mimi sudah sibuk mengarahkan pekerja yang datang dengan beberapa bekas makanan lagi.

Ketika mahu mengunci pintu, sempat matanya melihat bekas yang berisi mihun goreng yang dihiasi dengan telur dadar, lada merah dan bawang goreng yang dibawa oleh pekerja itu. Gulp! Dia menelan air liur. Sedap tu! Maya segera menutup pintu rumah. Bayangan mihun dilenyapkan dari ingatan dan dia segera bergegas membersihkan diri.

Siap berpakaian, Maya segera memasak air. Dia menyanyi kecil.

“Enjit enjit semut, siapa sakit naik atas…

Enjit enjit semut, siapa sakit naik atas.”

Dia mengambil Maggie di dalam cawan yang berperasa kari. Dia mengupas bawang dan meletakkan beberapa hiris ke dalam cawan tersebut. Malas dia mahu memasak nasi hari ini. Masa yang ada mahu digunakan untuk menulis. Bunyi loceng rumah menyebabkan pergerakan Maya terhenti. Siapa pula yang datang berkunjung ke rumahnya hari ini? Rasanya dia tiada berjanji dengan sesiapa.

Pintu rumah dibuka dan wajah seorang perempuan muda yang sedang tersenyum membuatkan Maya tersenyum sama. Reaksi yang ikhlas tanpa dipaksa.

“Kak Maya! Sorry ya, Ima kacau. Rindulah kat akak. Akak sihat? Lama kita tak jumpa! Akak sibuk ke? Akak dah lama duduk sini?” Gadis yang memakai seluar separas lutut dan baju-T belang-belang itu bercakap dengan laju. Bergoyang-goyang rambutnya yang diikat satu itu ketika kepalanya bergerak mengikut bicaranya yang petah.

Tidak tahu bagaimana mahu menjawab pelbagai persoalan yang dilontarkan, Maya hanya ketawa dan beredar mendapatkan kunci rumah. Sebaik sahaja pintu gril dibuka, Ima memeluk tubuhnya dengan erat.

“Rindulah, kak!” Ima sekali lagi meluahkan rasa.

Tanpa dipelawa, Ima sudah masuk ke dalam rumahnya dan melihat sekitar isi rumah. Maya hanya melihat dengan senyuman. Adik bongsu Haqiem ini memang tidak pernah berubah. Manja! Dahulu, dia selalu menemankan Haqiem menghantar makanan atau apa-apa saja yang diidamkan oleh adiknya itu ke sekolah berasrama yang dihuninya. Hubungan mereka dahulu erat dan dia selalu menjadi pendengar setia kepada kisah-kisah cinta Ima yang dalam sebulan boleh putus cinta tiga, empat kali.

“Akak sihat?” Sekali lagi Ima bertanyakan soalan.

“Alhamdulillah!” Maya menjawab lalu bergerak ke ruang dapur dan mengambil sebiji mug dan menuang yogurt strawberi. Mug itu dihulurkan kepada Ima.

“Wah, cita rasa kita masih sama ya?” Ima mengenyit mata setelah melihat air yang diserahkan kepadanya. Dari dahulu, yogurt jenama Nestle itu sememangnya menjadi pilihan mereka berdua.

“Akak masih Kak Maya yang Ima kenal dulu. Tak berubah!” Maya melihat wajah gadis remaja itu dengan penuh prihatin.

“Tipulah, kak. Dulu, akak dengan Abang Haqiem macam ni. Sekarang dah tak!” Ima menjawab sambil jarinya menunjukkan dua jari yang dirapatkan dan kemudiannya dipisahkan.

“Nak buat macam mana? Tak ada jodoh.” Maya duduk di sofa sambil melihat wajah Ima yang jelas tidak puas hati dengan jawapannya.

“Akak dah makan ke?”

“Belum. Baru nak masak Maggie,” jawab Maya tanpa malu.

“Jom, gi sebelah,” pelawa Ima dengan senyuman mesra.

Hanya gelengan diberikan kepada Ima. Bukan saja tidak sudi, dia sungguh-sungguh tidak sanggup dan tidak akan memalukan diri sendiri dengan menjejakkan kaki ke rumah sebelah. Biarlah dia kelaparan di sini. Biarlah dijemput dengan kad undangan bertatahkan emas, dia tidak akan mahu ke sana. Maya menetapkan gerak hati, penuh khusyuk dan tawaduk.

“Tak baik tolak rezeki, kak!” Ima cuba memujuk. Dia merenung wajah wanita yang dipanggilnya kakak itu dengan pandangan yang penuh mengharap. Dari dahulu, dia memang suka dengan Maya yang sporting dan suka ketawa itu. Dengan Maya, dia tidak kekok bercerita apa saja. Sayang, hubungan Maya dengan abangnya tidak kekal lama.

“Mana ada tolak. Akak duk diam aje kat sini, hah.” Maya meloyar buruk.

“Akak ni main-mainlah…” Ima bercakap dengan nada merajuk.

“Mana ada main-main….”

“Sudahlah, kak. Saya balik jap ya? Jangan kunci pintu tau. Lima minit lagi saya datang.” Laju saja Ima mengatur bicara dan kemudiannya sudah hilang dari pandangan mata.

Maya mula berasa tidak senang hati. Apa pula yang dilakukan oleh Ima. Gadis yang kini berumur 18 tahun itu bukan boleh dijangka tindakannya. Janganlah Ima membuat benda-benda pelik. Maya sempat berdoa di dalam hati. Bunyi derapan kaki Ima membuatkan Maya bangun dari tempat duduknya.

“Ima!” Maya menjerit nama gadis itu yang selamba saja tersenyum bersama dengan dua pinggan yang penuh dengan makanan.

“Mihun goreng dengan taucu! Akak suka, kan? Abang Haqiem terpengaruh dengan favourite akak ni sampai sekarang kalau nak makan mihun mesti letak taucu!” Ima menayang mihun itu betul-betul di depan mata Maya.

Mahu marah, tetapi hidungnya yang menghidu aroma mihun bertaucu itu menghantar signal kepada perut yang lapar itu untuk menikmati saja rezeki yang datang. Pinggan yang di tangan kanan Ima juga dijengah. Popia! Kuih keria! Talam berlauk! Ah, fikiran Maya sudah tidak mahu menerima logik lagi.

“Rezeki tak elok ditolak. Kalau ditolak, berdosa.” Ima memberikan tazkirahnya.

Dua pinggan itu diletakkan di atas meja makan kecil yang dihiaskan dengan ‘money plant’ di tengah-tengah mejanya. Ima menarik kerusi dan menyuruh Maya duduk.

“Ima…” Maya mahu mencari alasan tetapi fikirannya jadi buntu maka tiada kata-kata yang dapat diucapkan.

“Ima balik dulu ya? Akak makanlah. Lain kali Ima datang lagi ya, kak!” Ima mencium kedua-dua belah pipinya lalu meninggalkan Maya berdiri termangu sendirian.

“Kak, kunci pintu!” Ima mengingatkan dengan lambaian yang mesra.

Maya menarik nafas dalam-dalam. Makin hari, makin gila dia jadinya kalau kekal berjiran dengan Haqiem! Apa lagi yang boleh berlaku agaknya? Pintu gril dimangga dan pintu kayu pun dirapatkan. Dia berjalan dan berhenti di hadapan meja makan sambil merenung mihun goreng yang bertaucu itu. Kenangan silam datang bertandang tanpa diundang.

“APA benda yang hitam ni?” Haqiem membelek mihun yang dihidangkan kepadanya itu.

“I letak pengeras,” balas Maya bersahaja.

“Pengeras? Lembut aje benda ni.” Haqiem menjawab sambil menggunakan garpu mencucuk benda hitam yang ada di dalam mihun itu.

“I letak ubat biar you selalu ingat kat I.” Maya berbisik mesra sengaja menakutkan Haqiem.

“You ni mengarutlah. I ada pendinding tau!”

“Dinding asbestos?” usik Maya lagi.

Haqiem terus mengusik-usik benda hitam itu. Tidak pernah dia makan mihun yang disediakan sebegini. Mihun yang digoreng emaknya biasa saja. Benarkah Maya meletakkan ubat pengeras?

“Tauculah. Kacang soya! Tak pernah makan?” beritahu Maya setelah melihat Haqiem masih lagi teragak-agak. Dia mengambil sedikit lalu dengan bacaan bismillah dia mengunyah mihun yang dimasaknya itu dengan penuh nikmat.

“Sedap!” Maya meyakinkan Haqiem. Dia mengambil lagi sedikit mihun itu lalu menyuakannya ke bibir Haqiem. Perlahan lelaki itu membuka mulut dan membiarkan Maya menyuapkan mihun itu kepadanya.

Setelah mengunyah beberapa kali, Haqiem mengangguk dan mula makan tanpa disuruh lagi. Memang sedap rupanya mihun yang diletakkan taucu. Manalah dia tahu tentang taucu. Yang dia pernah dengar adalah budu!

MENGINGATI kisah itu, Maya senyum sendiri. Dia bangun dan mendapatkan garpu. Matanya dipejamkan setelah suapan yang pertama diambil. Hmm… ini dosa! Hati kecil Maya bersuara. Suapan yang kedua pula diambil. Ah, ini memang enak dan cukup menyelerakan. Maya pun sudah lupa pada Haqiem. Sudah hilang janji pada diri yang tidak mahu menikmati makanan ‘house warming’ yang diselenggara Mimi. Bukan dia yang meminta tetapi Ima yang membawa jadi secara relatifnya, ini semua bukan salah dia. Maya menyenangkan hati sendiri. Tangannya mencapai pula kuih keria. Hmm… kesedapannya memang mengasyikkan.
Terima kasih Ima kerana sudi mengambilkan makanan. Terima kasih Mimi kerana tahu mencari katering yang sedap. Maya ketawa sendirian. Terdengar volum muzik yang agak kuat dari rumah sebelah. Mimi betul-betul berparti nampaknya. Panaslah rumah Haqiem dibuatnya.

****

MATANYA kini semakin kuyu. Semenjak bangun menunaikan solat subuh, dia telah menaip sebanyak sepuluh muka surat. Kini, jam sudah menunjukkan pukul 7.30 pagi dan dia mula rasa mengantuk. Tangan masih lagi mahu menaip namun fikirannya sudah membayangkan bantal kerana malam tadi dia tidur selewat pukul 2.00 pagi.
Mengingatkan apa yang berlaku malam tadi, Maya mendengus marah. Sungguh kurang sopan perempuan yang bernama Mimi itu. Terbantut seleranya apabila baru dia menjamah mihun bertaucu dua tiga garpu, tiba-tiba pintu rumahnya diketuk dengan kuat. Apabila pintu dibuka, Mimi sedang bercekak pinggang dan memandangnya dengan pandangan yang tajam.

“Jangan lupa pulang pinggan-mangkuk I yang mahal tu!” Mimi mengingatkan sebelum berlalu dengan berlagak.

Mati seleranya mahu menikmati mihun itu. Akhirnya, dia biarkan saja mihun itu di atas meja. Biarlah perutnya lapar dan ususnya putus namun mahu menikmati mihun itu, dia sudah tidak sanggup. Bagaimana Haqiem boleh terikat dengan Mimi yang serba-serbi bengong itu? Maya menyoal diri sendiri. Tiba-tiba dia ketawa sendiri. Daripada dia membuang masa memikirkan tentang jirannya itu baiklah dia tidur. Membazir saja memikirkan tentang Mimi yang tentu-tentunya tidak menerujakan. Maya menarik selimut dan mula memejam matanya semula.

Baru dia mahu melangkah ke alam mimpi, bunyi loceng rumah menyebabkan dia mengeluh. Hati mula mahu meradang lalu bantal pula diambil dan telinganya ditutup. Namun, pengunjung itu benar-benar bersemangat waja apabila loceng rumahnya masih lagi ditekan beberapa kali. Maya bangkit bangun dan menuju ke muka pintu dengan geram. Sewaktu pintu dibuka kelihatan seorang pengawal keselamatan sedang berdiri di muka pintu.

“Cik ada buat parti malam semalam?” Pak cik berusia lewat 40-an itu bertanya.

“Rumah sebelahlah, pak cik. A-7-3A. Bukan A-7-3.” Maya memberitahu.

“La, salah pulak nombor rumahnya. Maaf, cik. Maaf mengganggu.” Pak cik itu menjawab dengan wajah kesal.

Maya yang mahu marah menjadi tidak sampai hati. Tidak mahu masuk campur, dia menutup pintu dan merebahkan badan ke sofa. Jam di dinding menunjukkan pukul 8.00. Ah, masih awal lagi. Maya pun menutup matanya namun sekali lagi tidurnya terganggu. Ketukan di pintu menyebabkan Maya beristighfar beberapa kali. Dia mendiamkan diri namun kini locengnya pula yang dibunyikan bertalu-talu.

Ketika pintu rumah dibuka, Mimi sedang berdiri dengan muka yang masam mencuka. Baju tidurnya yang berwarna merah garang itu memang sesuai sungguh dengan karakternya yang juga garang.

“Hey, perempuan tak malu! Dahlah makanan aku kau makan, lepas tu kau kompelin kata aku buat bising ya?” Mimi terus mengherdik tanpa usul periksa.

Ternganga Maya jadinya apabila dimarah tanpa sebab. Baru dia mahu membalas, kelihatan wajah Haqiem pula yang berada di depan pintu rumahnya. Haqiem hanya berseluar boxer berwarna hitam sahaja. Maya segera mengalihkan pandangan. Segan pula mahu melihat Haqiem begitu seksi berdiri di hadapannya.

“You ni, Mimi! Suka-suka tuduh Maya. Mana you tau yang kompelin tu Maya? Semalam pun I dah kata, volum tu jangan kuat sangat tapi you degil.” Haqiem memarahi Mimi.

“Ah, you kalau pasal perempuan ni memang macam tu. Tepilah, I nak masuk dalam.” Mimi memberikan jelingan maut lalu menolak sedikit tubuh Haqiem.

Wajah Maya yang bersahaja dipandang Haqiem. Manis Maya dengan baju tidur berwarna pink yang dipakainya. Penuh dengan kartun Minnie Mouse yang sedang dikejar Mickey Mouse.

“Sori Maya… Mimi tu memang macam tu. Cepat panas tapi kejap lagi sejuklah tu.” Haqiem memberitahu.

“You ingat I berminat nak tahu suhu badan dia ke?” Maya menyindir lalu pintu rumahnya dirapatkan sebelum Haqiem dapat membalas.

Pagi-pagi begini dia tidak berminat pun mahu tahu tentang perkembangan cuaca. Panas ke, sejuk ke, Maya tidak mahu ambil tahu. Yang dia tahu, pada waktu ini dia sudah kerugian masa tidurnya. Hampeh punya pengawal keselamatan! Hampeh punya Mimi yang mamai dan tidak sekolah! Hampeh punya Haqiem pilih makwe yang tidak berpendidikan moral! Astaghfirullahalazim! Maya akhirnya beristighfar. Pagi-pagi sudah negatif amalan pahalanya. Maya duduk termenung di atas sofa.

TANGANNYA laju mencapai barangan yang ada di rak. Pasar raya Tesco itu masih lagi belum ramai pengunjungnya. Dia mengambil sebungkus mihun dan berfikir sejenak lalu mengambil sebungkus lagi. Maya menolak troli, lalu berjalan ke rak makanan dalam tin. Sebotol taucu diambil. Botol itu kemudiannya dikembalikan ke raknya semula. Kecil sangat! Baik ambil yang paling besar sekali. Maya tersenyum sendirian.
Matanya menjeling seketika pada barang-barang yang ada di dalam troli. Sebeg plastik bawang putih, bawang merah dan cili kering. Sepaket ikan bilis, dua keping tauhu, sedikit tauge dan sebiji sayur kobis. Sebentar tadi dia sudah membeli bakul kecil dan plastik berwarna sebanyak dua keping. Setelah menjengah sekali lagi isi trolinya itu, Maya mengangguk tanda puas hati lalu terus menuju ke kaunter dan membuat pembayaran.

Sampai di rumah, Maya bergegas menuju ke peti ais dan mengambil tupperwear berisi air Sunquick. Kehausan. Berpinar matanya semasa memandu tadi. Setelah meneguk dua tiga kali, Maya segera mengambil riben dan gunting. Bakul diletakkan di tengah-tengah plastik pembungkus hadiah itu. Barangan yang dibeli tadi disusun cantik-cantik. Tidak sampai lima minit, hamper bersaiz sederhana besar sudah terbungkus dengan cantik dan kemas. Maya bangun mengambil kad lalu tersenyum dan menulis. Hatinya puas.

Pintu rumah dibuka. Dia mengetuk pintu rumah Haqiem dengan bersungguh-sungguh. Apabila pintu dibuka dan wajah Haqiem terpacul di muka pintu, Maya mengangkat tangan dan tersenyum buat sesaat.

“Kejap ya!” Maya memberitahu sebelum bergegas masuk semula ke dalam rumah dan membawa hamper yang sudah dibungkus cantik itu ke hadapan rumah Haqiem. Wajah Haqiem berkerut melihat hamper yang ditunjuk Maya.

“Hamper apa ni?” tanya Haqiem kehairanan. Mana ada orang bagi hamper berisi bawang merah, taucu, mihun dan entah apa-apa bahan basah lagi. Taugeh pun ada dalam hamper? Ajaib! Haqiem jadi keliru.

“I tak nak makan budi!” Maya menjawab kasar.

“Habis tu nak makan apa? Makan hati?” Haqiem bertanya lagi. Ini mesti kes Maya kecil hati dengan sikap sepupunya yang tidak makan saman itu.

“Suka hati I nak makan apa? You tak payah masuk campur!” Maya membalas.

“I memang tak mau masuk campur. I nak masuk rumah dan sambung tidur.” Haqiem melambai tangan lalu cuba menutup pintu. Langsung tidak mempedulikan hamper yang dipegang oleh Maya.

“Ini hamper you. I tak mau.” Maya laju bercakap lalu meletakkan hamper itu ke lantai dan bergegas memasuki rumahnya semula. Sakitnya hati dipermainkan Haqiem. Geram kerana ideanya mahu menyindir Haqiem dan Mimi tidak berjaya! Maya mendengus marah.

Mendengar pintu rumah Maya yang ditutup dengan kuat Haqiem tersenyum sendiri. Nampaknya kecil sungguh hati Maya dengan teguran Mimi. Biarlah mereka berdua menyelesaikan masalah jika ada dengan sendirinya. Haqiem tidak akan ambil tahu. Biarlah mereka berperang kalau itu akan mewujudkan ruang untuk dia selalu dapat berinteraksi dengan Maya.

“Kenapa senyum-senyum kambing ni?” Aisyah bertanya pada anak bujangnya yang nampak riang.

“Ni Haqiemlah, mak! Mana ada kambing kat rumah ni.” Sengaja Haqiem mengusik emaknya.

“Mana kamu dapat tu?” Aisyah tidak mengendahkan usikan tetapi berjalan mendapatkan hamper yang kini diletakkan di atas meja makan.

“Menantu mak bagi,” sahut Haqiem lalu terus berlalu memasuki bilik.

Hamper itu dilihat oleh Aisyah dengan hairan. Ada juga orang bagi hamper barangan yang sebegini. Amboi, siap garam sepaket! Aisyah menggaru kepalanya yang sudah mula ditumbuhi uban.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/72990/juara-carta-cinta