[SNEAK PEEK] PSIKOLOGI ABNORMAL

Psikologi Abnormal oleh Azizi Yahaya & Jamaludin Ramli

 

4.7 KECELARUAN SKIZOFRENIA DAN KECELARUAN PSIKOTIK

Kecelaruan skizofrenia dan kecelaruan psikotik merupakan dua jenis penyakit jiwa yang boleh dikatakan sebagai agak serius. Lazimnya orang yang mengalami kecelaruan ini dikatakan mengalami masalah psikosis. Psikosis adalah keadaan yang si penghidap akan menghadapi masalah hilang hubungan dengan dunia nyata. Dengan kata lain si penghidap akan hidup dalam satu dunia lain yang seakan-akan khayalan dan tidak sejajar dengan apa yang berlaku dengan kenyataannya (DSM, 1994).

4.7.1 Kecelaruan Skizofrenia

Skizofrenia adalah satu keadaan seseorang itu akan mengalami kelompok kecelaruan berbentuk psikotik yang serius kerana masalah berhubung dengan proses-proses emosi, kognitif dan sosial. Kesemua aspek ini tidak dapat diorganisasikan dengan baik dan sempurna seperti mana kelaziman orang yang normal (Lahey, 1980). Selain itu, seseorang yang mengalaminya juga akan merasakan bahawa seolah-olah ia bebas atau tiada kaitan dengan peraturan alam nyata di mana ia sebenarnya berada.

Penghidap skizofrenia menarik diri sepenuhnya daripada sesi interaksi sosial. Pemikiran, emosi dan persepsinya tidak langsung menyamai pemikiran, emosi dan persepsi seorang yang normal. Istilah pecahan mental atau demensia praecox pernah digunakan untuk mendefinisikan skizofrenia oleh Kreplin, seorang ahli psikologi Jerman. Walau bagaimanapun, istilah tersebut tidak lagi digunakan kerana tidak begitu sesuai untuk merujuk pesakit kanak-kanak. Istilah yang lebih tepat ialah pembahagian rohani atau pecahan minda yang telah diperkenalkan oleh Bleuer, seorang psikologi Swiss. Istilah ini lebih menepati keadaan pesakit yang memaparkan perlakuan, fikiran dan emosi yang tidak selaras atau tidak diorganisasikan secara normal.

Webb (1984) telah menggariskan sembilan ciri simptom kecelaruan skizofrenia dengan penekanan kepada kewujudan pelbagai gangguan fungsi psikologi pada seseorang dan kecenderungannya untuk menjadi lebih serius. Simptom-simptom tersebut adalah:

  1. Masalah Komunikasi
    Lazimnya pesakit skizofrenia akan menggunakan perkataan dan ayat yang tidak berkaitan antara satu sama lain di samping tidak mempunyai makna yang logik dan dapat diterima oleh akal yang waras.
  2. Delusi yang Terlampau
    Bentuk-bentuk delusi ini lazimnya tidak dialami oleh seseorang yang normal mahupun yang dikategorikan di bahagian lain. Pesakit skizofrenia percaya bahawa fikiran mereka dikuasai oleh makhluk asing dan mereka tidak mampu untuk mengatasinya supaya kembali normal seperti sedia kala.
  3. Masalah Persepsi
    Pesakit skizofrenia memiliki persepsi yang amat berbeza dibandingkan dengan orang yang normal. Mereka dikatakan boleh melihat, mendengar, menghidu dan merasai sesuatu yang tidak wujud secara nyata (Frances, First dan Pincus, 1995). Sebenarnya semua ini adalah khayalan mereka semata-mata. Selain itu pesakit skizofrenia juga mengalami pelbagai bentuk delusi dan halusinasi yang tidak pernah dapat difikirkan oleh seseorang yang normal.
  4. Emosi yang Menakutkan
    Emosi mereka kasar, sukar diramalkan dan lazimnya berlaku penyalahsuaian emosi dengan persekitaran. Contohnya, mereka akan ketawa apabila melihat orang lain mendapat kemalangan atau kesusahan dan pada masa lainnya pula mereka akan menunjukkan kesedihan yang amat sangat pada waktu suasana gembira.
  5. Masalah Konsep Kendiri
    Pesakit skizofrenia mengalami satu keadaan yang mereka tidak mengetahui atau mengenali diri mereka sendiri. Masalah ini termasuklah menyentuh aspek kejantinaan dan identiti secara keseluruhannya.
  6. Masalah Dorongan dan Motivasi
    Kadangkala mereka mempunyai motivasi yang tinggi untuk mencapai sesuatu matlamat tetapi tidak mempunyai arah dorongan yang betul. Aspek asas seperti pengurusan kendiri juga sering mengalami masalah, iaitu mereka tidak dapat menguruskannya dengan betul.
  7. Masalah Sosialisasi
    Mereka tidak mahu bercampur dengan orang lain dan akan terus mengasingkan diri daripada berinteraksi dengan alam sekelilingnya. Penarikan diri seperti ini akan mempertingkatkan masalah penyakit yang dialami kerana dalam penarikan ini mereka akan lebih banyak menumpukan perhatian dan tenaganya kepada persepsi dan fikiran mereka. Proses pemencilan ini dinamakan mutisme.
  8. Tingkah Laku Motor yang Sangat Abnormal
    Mereka sering memaparkan tingkah laku bilazim seperti mengamuk, menumbuk dan menendang tanpa sebab. Julat pergerakan mereka juga sangat besar daripada terlalu hiperaktif kepada langsung tiada pergerakan.
  9. Ketenangan yang subjektif
    Penghidap skizofrenia ini sering kelihatan sedih, murung dan mengalami keadaan seperti amat sengsara.

Kecelaruan skizofrenia dapat dibahagikan kepada lima subkelas utama iaitu jenis hebefrenik, katatonik, paranoid, tiada perbezaan dan serpihan.

Skizofrenia jenis hebefrenik merujuk seseorang yang menghadapi gangguan emosi yang teruk. Emosinya dikatakan tidak bersesuaian dengan situasi yang sedang dihadapinya. Ia memperlihatkan keadaan seperti orang bodoh, tidak berkelakuan senonoh, tidak menunjukkan emosi serta tidak koheren. Mereka juga kerap mengalami halusinasi jenis audio dan visual. Menurut Davidson dan Neale (1974) mereka kerap menyatakan bahawa perbuatan yang tidak bersesuaian yang dilakukan oleh mereka sebenarnya berpunca daripada permintaan atau diarah secara paksa masuk ke dalam minda mereka supaya berkelakuan sedemikian.

Skizofrenia jenis paranoid melibatkan kehadiran delusi penganiayaan, grandiose dan cemburu serta halusinasi yang berkaitan dengan penganiayaan dan grandiose. Kedua-duanya berlaku dengan kadar yang amat kerap. Pada asasnya pesakit ini mempunyai latar belakang tingkah laku yang penuh dengan syak wasangka. Delusi yang dialami adalah daripada jenis yang tidak masuk akal serta melampau. Contohnya, mereka mendakwa bahawa diri mereka sering diekori, disiasat serta diancam sama ada oleh orang yang dikenali atau tidak. Keseluruhan fikiran dan perhatian mereka ditumpukan kepada delusi yang dialami sehingga menyebabkan halusinasi dan kerap juga mereka memaparkan tingkah laku yang agresif dan berbahaya.

Skizofrenia katatonik berkaitan dengan masalah pergerakan fizikal, termasuk stupor, mutisme, negativisme dan mengeraskan badan serta pergerakan otot-otot yang luar biasa. Pergerakan otot-otot lazimnya datang dalam dua bentuk, iaitu tiada pergerakan atau kaku, dan terlalu hiperaktif. Apabila seseorang yang mengalami skizofrenia katatonik mengeraskan anggota tubuh mereka, ia dapat mengekalkannya selama berberapa jam malahan hingga beberapa hari. Mereka juga dikatakan bersifat negatif kerana tidak mahu posisi tersebut diubah oleh orang lain. Mereka juga tidak memberikan perhatian kepada pengawalan buang air dan tidak mempedulikan rangsangan yang menyakitkan tubuh mereka.

Skizofrenia jenis tiada perbezaan merujuk tingkah laku yang langsung tidak mempunyai organisasi yang normal serta diiringi oleh halusinasi, delusi dan keadaan tidak koheren. Mereka yang termasuk dalam kategori ini akan mengalami gangguan emosi, kebingungan, delusi terhadap sesuatu perkara khusus, kemurungan dan hiperaktif.

Skizofrenia jenis serpihan ialah kategori yang digunakan apabila ketiadaan kriteria yang boleh digunakan untuk mengkategorikan pesakit dalam mana-mana kategori skizofrenia yang sedia ada.

4.7.2 Kecelaruan Psikotik

Kecelaruan jenis psikotik dapat dikategorikan kepada empat subkelas, iaitu psikosis reaktif ringkas, kecelaruan skizofrenifora, kecelaruan skizoafektif dan psikosis tak tipikal (atipikal). Kecelaruan psikosis reaktif ringkas biasanya berlaku secara tiba-tiba. Seseorang itu mungkin sihat sehingga menghadapi tekanan yang amat teruk dan menyebabkannya terjerumus ke dalam psikotik.

Kecelaruan skizofrenifora pula memaparkan ciri-ciri seseorang itu mengalami keadaan psikotik secara tiba-tiba tetapi prognosisnya adalah baik. Pengalaman ini seharusnya berakhir dalam jangka masa enam bulan tetapi sekiranya keadaan ini menjangkau sehingga melebihi enam bulan keadaan ini harus dikategorikan di bawah salah satu subkategori kecelaruan skizofrenia.

Kecelaruan skizoafektif memperihalkan keadaan yang berlaku antara kecelaruan skizofrenia dengan kecelaruan psikotik afektif. Kecelaruan ini juga kerap dikategorikan di bawah skizofrenia serpihan.

Kecelaruan psikosis tak tipikal pula berkaitan dengan keadaan beberapa kecelaruan. Psikosis tak tipikal digunakan untuk memperihalkan kecelaruan psikotik yang berlaku selepas umur 45 tahun kerana lazimnya psikotik yang khusus berlaku sebelum umur 45 tahun. Kategori ini juga memuatkan kecelaruan psikotik yang mempunyai sifat tersendiri seperti keadaan psikotik menesimptom, iaitu keadaan psikosis yang secara khusus diarahkan terhadap sesuatu yang khusus.

4.7.3 Kecelaruan Paranoid

Kecelaruan paranoid adalah suatu keadaan berbentuk psikotik yang dialami oleh seseorang. Sifat utama kecelaruan ini ialah kecelaruan mempunyai sistem delusi yang amat teratur yang berlaku pada seseorang yang hampir normal, terutamanya delusi yang berbentuk penganiayaan atau kecemburuan. Seseorang yang mengalami kecelaruan ini tidak dapat berhubung dengan baik dengan realiti di sekelilingnya. Mereka tidak mengalami halusinasi tetapi tingkah laku dan emosi mereka terganggu.

Kecelaruan paranoid terbahagi kepada empat jenis, iaitu paranoid, paranoid jenis mendadak, paranoid perkongsian dan kecelaruan paranoid tak tipikal.

Kecelaruan jenis paranoid berkaitan dengan delusi daripada jenis penganiayaan dan kecemburuan yang berlaku dengan kadar yang kerap selama enam bulan. Delusi paranoid ini berkembang secara sistematik dan berbentuk logik seperti mengesyaki sesuatu keburukan berlaku kerana orang lain tidak menyukainya dan sebagainya (Corey, 1991). Seseorang itu tidak mengalami halusinasi dan perilakunya masih boleh dianggap stabil dan keadaannya tidak seperti dalam kecelaruan paranoid.

Kecelaruan paranoid mendadak sama seperti paranoid tetapi kecelaruan ini berlaku kurang dari enam bulan. Delusi yang dialami tidak berbentuk logik atau sistematik. Lazimnya kecelaruan ini berpunca daripada masalah yang mempunyai kaitan dengan tekanan jiwa yang agak serius dan juga hasil perubahan-perubahan sementara dalam kehidupan seseorang.

Kecelaruan paranoid perkongsian merujuk kecelaruan seseorang yang berhubung rapat dengan pesakit yang menghadapi masalah kecelaruan paranoid. Masalah ini bermula apabila seseorang itu mempunyai hubungan yang rapat dengan penghidap kecelaruan paranoid. Akibat hubungan rapat seperti itu ia akan mengalami delusi seperti yang dialami oleh pesakit tersebut dengan cara meniru dan mengkonsolidasikan delusi tersebut serta sifat psikotik lain ke dalam personalitinya.

Kecelaruan paranoid tak tipikal pula memperihalkan keadaan paranoid yang tidak dimasukkan dalam mana-mana subkelas di atas.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/207110/Psikologi-Abnormal