[SNEAK PEEK] JEPUN

9789670954356-medium

EBUKU JEPUN Oleh Lokman Hakim

Okamachi

4 pagi. Jam telefon bimbit aku sudah berbunyi. Namun mentari sudah menginjak horizon, memberikan perspektif seolah-olah aku terbangun pada pukul 7 pagi hendaknya. Perbezaan waktu antara Kuala Lumpur dan Osaka adalah satu jam. Tatkala Osaka mendakap mentari pada pukul 5 pagi, Kuala Lumpur masih didakap lena gelap pada pukul 4 pagi.

Melisa dan Rogiro berdiri di bucu bilik ini, seolah berkawal. Tegak dirinya, umpama patung yang memerlukan roh untuk bergerak. Aku mengeluh melihat keadaan Rogiro yang lusuh pakaiannya. Dan juga Melisa itu. Aku masih tak tahu bagaimana mahu menyambung cerita perihal Melisa di dalam novel Gesek itu.

Sementara menunggu Halim terjaga dari tidurnya, aku membuka laptop dan mengeluarkan buku catatan. Setiap peta minda yang aku lakarkan semasa dalam tren, aku belek satu-persatu.

Terdapat satu lagi novel yang aku gemar tuliskan dan muatnaik di Wattpad. Ia berjudul Tirani. Semudahnya, novel itu adalah lakaran kebencianku pada manusia. Namun kewarasan membuatkan aku menulis novel dan bukannya keluar membunuh orang. Kewarasan adalah satu-satunya sebab aku masih dapat menulis novel begini. Dalam keadaan tertekan dengan hidup yang sukar, inspirasi aku subur tumbuhnya.

Tirani – novel yang tidak sama sekali menggunakan peta minda. Aku zahirkan kebencianku pada manusia yang digarap pada terma ‘boneka’ lalu aku mutilasi segila-gila mungkin. Sekurang-kurangnya aku tahu, ia tidak berlaku di luar sana. Ya, orang gila seperti Aidil di dalam Tirani, tidak mungkin wujud.

Tuhan takkan membenarkan kewujudan sebegitu ngeri menular dalam kalangan manusia. Jadi aku boleh bertenang. Sekurang-kurangnya, aku berjaya mengasingkan kegilaan itu dalam satu kotak yang boleh dikatup rapat bernama novel.

Satu aspek yang aku sukakan berkenaan perumahan ini adalah kesunyiannya. Seolah-olah tidak berpenghuni langsung. Tiada bunyi rengek budak kecil. Tiada bunyi kereta lalu-lalang. Apa yang bingit hanyalah reriang yang tak berhenti-henti. Bunyi reriang adalah melodi musim panas, ia seolah memberitahu kewujudannya di sekitar untuk memeriahkan musim panas itu yang sunyi dari perbualan-perbualan miniskus warga-warga Osaka. Ishibashi setepatnya.

Aku menjeling keluar pintu bilik, dan mendapati, pintu masuk ke rumah ternganga luas.

Ah, bagaimana boleh jadi begini?

Aku pantas memeriksa dompet dan telefon bimbitku, dan mendapati semuanya masih ada di tempat asal. Adakah memang begitu selamat duduk di Ishibashi ini? Sehinggakan terlupa menutup pintu pun tiada pencerobohnya?

Pada mulanya, aku mahu berjalan-jalan di luar dan kononnya menikmati udara luar. Namun mata masih dibuai kantuk. Jam juga baru menunjukkan pukul 5:35 pagi. Aku tak pasti adakah aku boleh menyambung tidur dalam keadaan begini terang. Namun aku tahu, aku tidak mungkin dapat memejamkan mata dan berpura-pura dibuai mimpi dengan matahari menyinar galak.

Peta minda.

Aku keluarkan pula peta minda yang aku karang. Tatkala lembaran demi lembaran aku selak, dan mahu dicatatkan mata pena ke atas mukasurat, Rogiro mendekati. Dia menuding ke lakaran jam yang telah dirobek angka demi angkanya. Aku tersenyum.

Jam yang ditunjukkannya itu adalah jam yang telah dirogol waktunya. Di mana apa yang termaktub selaku satu jam tidak serupa rasanya dengan waktu di antara pukul 1 dan 2. Ia tidak selari dengan naluri.

Apabila dibayangkan naluri ini selaku satu ketepatan seorang manusia, maka, dunia akan jadi lebih mesra manusia. Ya, manusia ini dibayangkan sempurna untuk menjadikan peredaran waktu itu, sentosa.

Kita akan merasakan jam itu terlalu lambat. Ada masanya kita akan rasakan masa itu terlalu laju. Dan kita takkan menyalahkan diri, kerana terlalu pemalas. Kita takkan menyalahkan diri kerana terlalu rajin. Naluri adalah satu ketepatan, maka yang salah adalah dunia, gunung berapi dan juga tenuk. Manusia akan terlepas dari segala salah laku.

(Kemalasan tanpa aktiviti, akan membuatkan waktu dirasakan perlahan. Kerajinan penuh aktiviti, akan membuatkan waktu begitu laju.)

Rogiro menggeleng-geleng, tanda dia tak faham. Aku tak peduli dia faham atau tak. Dia hanya perlu hadam dan telan sebagaimana orang dungu menelan fahaman yang kononnya datang dari Tuhan. Tak perlu mengerti akan apa yang disuapkan, telan sahaja. Maka Rogiro ditempelengku berulang-kali, sehinggalah Melisa menepis tanganku. Dia melindungi Rogiro!

“Jan..gan… bu..li… bu..dak.”

Sepatah-patah katanya. Seolah baru mahu belajar bercakap. Di sebalik topeng rusa yang dikenakan pada wajahnya, suaranya termendap. Namun ia masih jelas dek kerana dia menyebut setiap suku kata dengan selang masa yang jitu dan tepat. Setepat konsep naluri manusia yang perasan hebat. Sesuatu konsep narsis yang takkan difahami Rogiro sampai bila-bila.

“Se..ri..ga..la.”

Ujar Melisa lagi. Kali ini dia berusaha untuk menanggalkan topeng rusa yang dipakainya. Rogiro pula sudah menyorok di belakang Melisa. Aku berdebar menanti kemungkinan yang akan tiba. Melisa akan membuka topengnya. Biarpun aku mengetahui apa yang terlindung di sebalik topeng itu, aku tahu ia bukan mudah untuk menonton babak topeng dibuka dengan perlahan.

Rambutnya yang panjang mula kelihatan, disusuli dagunya. Kelihatan kulit putih melepak membaluti dagunya yang indah lekuknya. Aku mahu mencalit sesuatu pada dagu itu. Mungkin kalau aku lukis mata di dagu itu, aku akan dapat lihat dunia dari perspektif berbeza. Aku optimis. Namun aku pemalas.

“Kenapa dengan serigala?” tanyaku.

“Serigala ada kat puncak menara.”

Aku hairan pada mulanya. Namun apabila Rogiro merampas buku peta minda daripadaku dan mula melukis serigala yang dimaksudkan, aku mula memahami, ia adalah serigala yang sama muncul dalam novel yang aku tulis. Novel Serigala di mana, antagonisnya ditulis oleh protagonis.

Aneh, bukan?

Namun itulah konsepnya. Novel Serigala menceritakan perihal penulis dan wataknya, yang dipengaruhi oleh serigala bernama Malaq, salah satu kesedaran samar-samar yang menghantui kedua-dua penulis dan yang ditulis. Ia adalah satu analogi aneh.

Bayangkan kau selaku pembaca sebenarnya sedang dibaca oleh buku yang kau baca. Kau sedar kau sedang dibaca, maka kau tutup buku itu, dan campak buku itu jauh-jauh, dengan harapan buku itu takkan dapat menjeling kau sebegitu lama dan merenung serta menghitung setiap rongga bulu roma pada tubuh kau.

“Diam! Diam!” Melisa mula bertempik, tetapi aku tetap mahu menerangkan perihal konsep novel Serigala itu.

“Kami nampak serigala atas puncak Sky Building!”

“Oh,” itu saja yang mampu aku perkatakan.

“Kami ingat awak dah mati kena telan serigala!”

“Kenapa pulak?”

Terkebil-kebil Melisa berwajah cantik, bila ditanya begitu. Aku balas renungannya dengan renungan. Aku mahu dia panik. Namun dia pantas sahaja diulit keyakinan tinggi. Dia terus menjawab:

“Serigala tu dah conquer satu menara. Kami nampak orang jatuh. Serigala itu yang campak.”

“Berapa ramai yang serigala tu campakkan?”

“Dua orang. Seorang lelaki dan seorang perempuan.”

Topeng rusa dipegang oleh Rogiro. Matanya membulat merenung kami berdua berbicara. Aku tengah memikir, bagaimana caranya untuk membuatkan Rogiro berpakaian lebih elok. Namun dia muncul dari persimpangan rel dan jalan raya Stesen Hankyu, Ishibashi, maka secara praktikalnya, dia bukannya dilandaskan pada imaginasiku semata-mata.

Ada sesuatu di tempat ini yang membentuk karakternya, maka ia tidak dapat diubah sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, bajunya yang compang-camping dan juga bau badannya yang agak busuk. Mungkin ia selaku perlambangan kepada sesuatu yang minda separa sedar aku fahami dan bukannya aku. Aku dalam proses memahami minda kendiri.

“Serigala tu kawal dua orang tu. Dia main-mainkan macam dia main anak patung. Dah bosan, dia campak ke bawah. Macam tu,” tambah Rogiro pula.

Melisa mengangguk-angguk.

Aku membayangkan watak serigala dalam novel itu, memang selaras deskripsi perlakuannya selaku raja kepada watak-watak dalam novel itu dan mengawal perlakuan setiap watak dengan dominasi melangkaui batasan simbiosis antara pembaca dan watak.

Cuma aku masih cuba membayangkan perihal identiti kedua-dua mangsa serigala itu. Aku tidak mengingati watak-watak yang aku gubah untuk novel-novelku. Mereka umpama satu kewujudan yang hadir seketika dalam kotak memori, minta dituliskan dan apabila cerita mereka beredar dalam kelompok pembaca, perlahan-lahan mereka akan menarik balik memori mereka daripada otakku. Mereka sudah dapat rumah yang baru, aku hanya sekadar persinggahan.

Ilham ini, watak-watak ini, umpama tetamu yang didatangkan oleh Tuhan kepada penulis. Mereka meminta aku menceritakan perihal perjalanan mereka walau ia tidak logik sama sekalipun dan sesudah penulisan usai, mereka akan meninggalkanku. Tanpa sebarang ucap selamat tinggal.

“Jadi, sekarang apa jadi dengan serigala tu?”

Mereka berdua menuding ke arahku, dengan pandangan mata tak berkelip-kelip.

“Serigala tu, ada dalam awak.”

Aku mengeluh sahaja. Kedua-dua watak ini, sudah keluar dari cerita mereka dan menganalisa aku sepanjang perjalananku di Osaka ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79492/jepun