Terpegun Irham. Tubuhnya menjadi kaku. Pada masa yang sama dia turutcemas melihat keadaan lif yang sangat gelap.
“Mak… Intan takut.”
Irham sembunyi senyum. Dengan tangannya yang panjang, Irham menekan butang kecemasan. Dia meminta bantuan dari pihak berkenaan untuk segera menghantar bantuan. Hampir 10 minit juga mereka terperangkap. Sebaik saja lampu terpasang dan pintu lif terbuka luas, bergegas mereka berlari keluar. Hanya Intan dan Irham masih ada di dalam. Intan masih pejamkan mata. Tubuhnya menggigil ketakutan. Memang dia tak suka berada dalam keadaan gelap. Cuak Liza melihat adegan di hadapan matanya. Dahinya ditepuk perlahan. Boleh pula Intan buat drama di sini.
“Intan!”
Berkerut dahinya mendengar suara Liza. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Nafas lega ditarik perlahan setelah melihat. Suasana bertukar terang. Namun bau wangian yang sangat dekat dengannya membuatkan dada Intan berdegup laju. Dia beranikan diri mendongak ke atas. Hampir pitam Intan melihat wajah Irham hanya tinggal beberapa inci saja dengannya. Dek terlalu terkejut, dia terus menolak tubuh Irham sehingga lelaki itu terjatuh ke lantai.
Bulat mata Liza. Intan terus berlari keluar bersama troli yang dibawanya tadi. Tangan Liza ditarik sekali. Yang penting dia perlu lari daripada lelaki itu terlebih dahulu.
Dadanya diurut perlahan. Nasib baik lelaki tadi tak mengamuk. Takut juga kalau lelaki tadi mengejar dia hingga ke sini. Sampai saja ke bilik mesyuarat, cepat-cepat dia menghidupkan vacuum untuk membersihkan bilik itu. Masa yang tinggal hanya 15 minit saja.
“Kau ni sihat tak?”
“Sihatlah. Kalau tak, dah lama aku ambil MC.” Intan masih tak pandang wajah Liza. Jujur dia masih malu dengan peristiwa di dalam lif.
“Kau jangan nak tipu aku. Aku kenal sangat dengan perangai kau ni. Hari ni aje, macam-macam hal berlaku. Kau sedar tak orang yang kau tolak tadi tu doktor?”
Terdiam Intan. Memang banyak kesilapan yang dia buat hari ini. Pagi tadi dia terlupa gantikan plastik sampah di bilik air. Mengamuk rakan sekerjanya yang lain disebabkan sikapnya yang cuai.
“Apa masalah kau sebenarnya?”
Sambil menyoal, tangannya lincah memasukkan plastik sampah baru ke dalam bakul sampah. Liza masih berusaha mengorek masalah Intan.
“Zahid.”
“Aku dah agak. Mesti sebab dia. Kenapa?”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com