[SNEAK PEEK] I LOVE YOU STUPID 2

I Love You Stupid 2 oleh Melur Jelita

“LEBIH dari faham. Tak salah mencuba.”

“Matlamat tak menghalalkan cara. Ada banyak lagi cara untuk membantu kami. Jangan sampai nak menjual diri dan maruah.”

Aku terdiam, agak tersinggung. Firman terus bercakap dengan nada yang menjengkelkan.

“Kalau saya jadi lelaki, awak takkan menjadi pilihan calon isteri!”

“Siapa nak kahwin dengan awak?!”

“Awak rasa awak boleh menang kalau masuk pertandingan ratu cantik?”

Cabar nampak! Pantas aku membalas.

“Boleh! Saya boleh kalahkan semua ratu di dunia… malah title Ratu Universe paling layak untuk saya!”

Dia tersenyum mengejek.

“Jadi ratu cantik ni bukan senang. Bukan diukur daripada kecantikan dan badan saja… tutur kata, perangai dan IQ juga dikira. Bijak. Tersendiri. Memukau.”

“Saya ada semua tu,” jawabku yakin.

Firman menopang daku dan memandang aku serius.

“Kalau saya jadi pengadil… saya takkan bagi awak menang.”

“Kenapa pulak?”

“Sebab saya tak nak awak riak, berlagak dan ujub dengan diri sendiri. Lagi satu, awak hanya untuk tatapan suami awak saja. Kalau saya jadi suami awak, saya tak mahu isteri saya bekas model, bekas pelakon, bekas penyanyi… apalagi bekas ratu cantik. Setiap lurah, setiap bukit dah dilihat oleh lelaki lain… kecuali dia dah bertaubat.”

Dia ni! Lagi dilayan lagi sarkastik cakapnya.

“Jangan pandang saya tak ada mata, Mr. Lanun!”

“Saya takkan terima duit daripada hasil begitu.”

“Jangan terlalu angkuh. Allah terbalikkan hati awak baru tau.”

“Iris… buat masa ni, saya masih mampu berfikir dan berusaha dengan tulang empat kerat saya. Jika ditakdirkan saya sudah KO, ramai lagi akan meneruskan kerja saya. Kemiskinan dan penderitaan bukan sesuatu yang asing sejak dari zaman Nabi SAW lagi. Tapi kita masih boleh terus survive tanpa menjual diri dan agama.”

Lemah la pula bila Firman sudah berfatwa.

“Apa usaha kita lagi?”

Firman merenung komputer riba sambil menjawab.

“Banyak lagi cara lain jika awak mahu berfikir.”

Aku pula yang kena fikir. Dia? Kira duit je?

“Orang yang lebih sesuai sebagai guru ialah orang Melayu Cham sendiri.”

“Sudah ada yang belajar sampai ke pondok di Pattani, Kelantan dan Kedah. Mereka pergi dengan biaya sendiri atau bantuan orang kampung yang tak seberapa.”

“Tapi… takkan pendidikan di madrasah ni terus nak bersistemkan pondok? Anak-anak perlu diajar ilmu akademik. Kemahiran hidup. Mereka perlu dihantar belajar ke kolej atau universiti sama ada di Kemboja atau luar negara. Barulah bangsa Melayu Cham boleh maju setaraf dengan bangsa Melayu di Malaysia.”

Firman kembali melekapkan ibu jarinya di bibir berfikir sambil skroll komputer riba. Sekali lagi aku asyik dengan gaya Firman yang menawan ini. Beberapa ketika kemudian, aku tersedar. Oh Papa! Jangan Firman terklik e-mel! Aku segera bingkas bangun. Melihat apa yang Firman sedang skroll. Lega! Tentang Fugee School. Mujur Firman tidak terklik yang lain! Kalau tidak, innalillah!

Aku menutup komputer riba sambil berkata:
“Tak payah nak serius sangat. Saya takkan masuk pertandingan ratu cantik. Mati saya dengan mama nanti. Aidan pun tak suka saya seksidan bebas sangat. Dengan dia aje okey.”
Riak muka Firman seperti berminat bila nama Aidan disebut.

Aku duduk di kerusi semula sambil memeluk komputer riba.

“Sepatutnya seorang doktor itunerd atau mat skema, tapi saya tengok Aidan sangat bergaya, kalah model. Kalau tak diberitahu, saya tak tahu dia seorang doktor. Sesuai sangatlah dengan awak. Mana awak kenal dia?”

“Kenalan keluarga. Kami mula serius sebelum dia pergi Ireland.”

“Sebab apa awak jatuh cinta dengan dia?”

Aku tidak menunggu lama untuk menjawab.

“Sebab dia handsome, bijak, anak orang kaya, dia stylo, macho, gentlemen, he’s a doctor, satu pekerjaan yang menjamin masa depan. Dia sangat memahami, selalu mendengar saya… pandai pujuk saya, suka buat lawak, selalu ikut kehendak saya, tau apa yang saya nak, tak pernah membantah saya, sangat menyokong cita-cita saya…”

“Macam pak turut aje….”

Pedas! Aku mencerlung kepada Firman. Dia buat tak pandang, dan menyambung baca di komputer ribanya. Tabiat Firman yang tidak kusukai. Suka sangat bercakap tidak memandang muka aku yang ayu jelita ini!

“Kenapa awak cakap Aidan macam tu?”

“Saja.”

Itu saja?

“Macamlah awak tu baik sangat. Kasar. Lanun… barbarian… rebellious…”

“Lanun? Sedap jugak. Lanun Firman Ebrahim. Nama yang seksi menjadi igauan ramai wanita.”

“Tapi sekurang-kurangnya saya pernah mendebarkan hati awak.”
Gulp!

“Jangan nak perasanlah!”

“Awak bukan cintakan Aidan.”

“Apa maksud awak?”

“Apa yang awak sebut mengenai Aidan, bagi saya, awak hanya meminati dia. Kalau awak mencintai, awak takkan boleh sebut kerana cinta itu dirasai oleh dua hati. Hanya dua hati yang mengerti dan memahami bahasa cinta yang tak perlu dilafazkan. Cinta itu dari hati, bukan dari bibir.”

“Negatif. Saya tak faham.” Aku berpeluk tubuh, enggan mendengar kata-kata Firman yang seterusnya.

“Awak tak faham sebab hati awak belum betulbetul jatuh….”

“Jatuh apa?”

“Cinta….”

“Firman… saya tak faham dan saya tak suka dengan apa yang awak cakap mengenai kami. Bahasa awak terlalu tinggi untuk orang seperti saya. Saya ni jenis straight bukan bengkangbengkok.”

Apa yang aku cakap ni? Punyalah aku cuba nak berfalsafah, macam lain pula maknanya. Firman menahan ketawa.

“Okey, tak perlu nak mula perang. Tengok sini, lebih berfaedah.”

Siapa yang mulakan? Aku cakar matanya baru tau!

Kami sama-sama meneliti maklumat dan gambar-gambar yang dipaparkan. Deborah Henry bersama Shikeen Halibullah telah menubuhkan pusat pendidikan khas untuk anak-anak pelarian dari Somalia. Tajaan dan derma diminta daripada mereka yang berminat untuk membantu anak-anak yang malang ini bersekolah.

“Kita mungkin boleh cuba perkara yang sama, Firman. Minta bantuan kewangan sebanyak tujuh ratus untuk seorang kanak-kanak, dua puluh lapan ribu untuk sekolah sebulan atau lapan puluh empat ribu untuk seratus orang kanak-kanak selama setahun.”

“Banyak tu. Siapa yang nak derma lapan puluh empat ribu setahun? Setiap tahun? Belum campur gaji ustaz, penyelenggaraan sekolah, alatan mengajar dan lain-lain?”

“Belum cuba, belum tahu….”

“Rasa-rasanya dah dicuba dulu di Maahad Dubai yang terletak di Chrang Chamreh kilometer tujuh. Bangunan sekolah dibina daripada sumbangan syeikh dari Dubai. Diuruskan sementara oleh Persatuan Cham. Awal-awal bulan pertama, memang syeikh itu membiayai segala-galanya, kemudian terbengkalai. Tapi lepas tu, tak ada duit dan modal nak teruskan. Murid tak bayar yuran, ustaz tak dibayar gaji, tak ada buku teks dan peralatan belajar… sekolah ditinggalkan… lembu kambing masuk belajar. Sekarang ni JAKIM ambil alih bermula tahun 2011 kalau tak silap. Harapnya sekolah itu akan berkembang dan maju. Nak mengharapkan hasil derma dan sedekah, berapa lama? Betul jugak apa yang awak cakap dulu. Berapa lama orang nak menderma? Memang kena cari ikhtiar untuk teruskan pendidikan.”

Firman menunduk sambil mengurut-urut belakang lehernya perlahan. Berat sekali bebanannya. Kemudian dagunya ditopang, ibu jari dilekap di bibirnya. Dia buat lagi! Satu tabiat yang menawan bagiku. Aku meletakkan kedua-dua belah telapak tangan di pipi dan memerhatinya dengan kepala senget. Rama-rama mengepak galak. Dia kelihatan manis sangat. Hmmm… Firman menoleh kepadaku. Aku cepat-cepat membetulkan duduk.

“Saya balik Malaysia dan cuba membantu dari sana. Mencari dana. Kawan-kawan papa ramai yang kaya-raya. Mungkin mereka boleh membantu. Tak banyak, sikit pun jadilah.”

Firman memandangku serius.

“Iris tak malu ke menadah tangan? Merendahkan diri, meminta derma?”

“Apa yang nak dimalukan? Saya bukan minta untuk saya. Saya minta untuk orang yang memerlukan. Saya boleh melukis tapi subjek utama keadaan di Kemboja ni. Buat jualan amal. Saya jual, separuhdaripada hasil jualannya saya serahkan kepada awak. Awak gunalah untuk sekolah ini.”

“Kalau tak menyusahkan awak.”

“Saya bantu dari sana. Awak uruskan di sini.”

Muka Firman kembali cerah tetapi kemudian dia termenung jauh.

“Saya mengharapkan awak buatlah apa saja, asalkan masyarakat dunia menyedari kewujudan kami. Tapi saya takut akan membebankan awak. Lagipun, sebenarnya dah ramai sukarelawan yang datang. Mereka pulang dengan janji untuk terus membantu tapi bila sampai masa yang dijanjikan… bantuan tak sampai. Saya tak mahu awak seperti mereka.”

“Saya cuba bantu sedaya upaya, setakat yang saya mampu…. Saya akan buat apa saja.”

“Awak berjanji?”

Aku mengangguk.

“Ya, saya janji.”
Muka Firman berseri.

“Jangan berduka cita, adik. Rezeki di tangan Allah, bukan di tangan manusia. Walaupun begitu bukan bermakna harus berpeluk tubuh, menunggu rezeki jatuh dari langit. Tetap kena berusaha mencari rezeki dengan jalan yang halal dan penuh bermaruah.”

Suara mai tuen menyebabkan muka Firman tambah berseri. Dia segera bangun mendapatkan mamanya yang berdiri di depan pintu bersama Fatimah. Dia memeluk dan mengucup dahi mai tuen. Aku turut menyalaminya.

“Begitulah… bincang baik-baik dan tenang. Segala beban menjadi ringan. Jangan campurkan garam dalam sebekas air, pasti terasa masinnya. Campurkanlah garam itu ke dalam sungai, masinnya pasti tak terasa. Hidup tanpa masalah, bukan hidup namanya. Setiap manusia pasti diuji. Kecil atau besar, bergantung kepada penerimaan kita. Jangan terlalu berfikir, ia mengganggu urusan hidup yang lain. Kadang-kadang masalah yang kecil menjadi besar kerana kesilapan kita membesar-besarkannya.”

“Terima kasih mama. Mama buat apa di sini?”

“Jalan-jalan melihat bekas arwah baba dan ai long. Mama pergi dulu. Jangan lewat pulang ke rumah. Isteri imam hantar pecok untuk kita.”

Kami mengangguk kepala, hormat kepada mai tuen dan Fatimah.

Sebelum mengekor mai tuen keluar, Fatimah mengunjukkan aku segelas air tuak. Aku menelan pahit, enggan melihat. Firman mengambilnya dan Fatimah berlalu pergi. Firman menghulurkan kepadaku.

“Kegemaran awak.”

Aku menggelengkan kepala.

“Awak minumlah…” jawabku.

Aku menuruni tangga sambil menahan sebak. Aku tidak boleh… apalagi meminumnya. Tekak kering, dada ketat.

Rasa pilu dan sayu teringatkan Ahmad.

“Nak balik sekarang?”

Aku menoleh dari tingkap kelas. Firman mengekor aku?

“Awak dah selesai kerja ke?” tanyaku.

“Kerja tak pernah selesai….” Mendatar sahaja jawapan Firman.

Diam sekejap.

“Firman… bila kita boleh ke Phnom Penh lagi?”

“Nak buat apa? Dah mula rasa lemas?”

Aku memasukkan komputer riba ke dalam beg galas.

“Saya nak beli motor.”

Muka terkejut Firman aku renung.

“Kenapa nak beli motor pulak?”

“Saya perlu beri berapa sebab untuk awak bawakan saya ke Phnom Penh?”

Firman merenung aku serius.

“Kenapa tiba-tiba ni?”

“Saya tak mahu membonceng dengan awak.”

“Nanti saya fikir dulu….”

“Kenapa nak fikir pulak? Bukankah awak seorang yang cukup menjaga? Lebih baik saya ada motor sendiri daripada terpeluk awak. Terjerit-jerit geli… nak duduk pun tak aman. Dahlah merempit kalah mat rempit. Nak bonceng dengan Matt, marah pulak.”

Firman semakin mendekat.

“Awak hanya selamat dengan saya.”

“Clear up. Saya hanya selamat dengan saya.”

Firman merenung aku tajam.

“I smell something fishy here.”

“Fishy messy…. Saya nak beli motor dan saya nak awak ajar saya menunggang dengan lebih cekap. Demi untuk kebaikan kita berdua.”

“Kebaikan apa?”

Dia ni! Kalau tak bersoal jawab memang tak sah! Macam aku ni perisik musuh yang sangat digeruni. Dan cara dia menyoal pun kalah pihak risikan Unit D4 PDRM.

“Awak tak risau ke satu hari nanti… saya akan memeluk, meraba dan mencium awak? Mencabul kehormatan awak?”
Riak muka Firman tergamam.

“Awak dah desperate sangat ke?”

“Awak nak kata apa, terpulang. Aidan tak ada di sini untuk saya lepaskan rindu. Saya ke hulu, ke hilir dengan tunang Siti Zubaidah.”

Aku sudah merapu. Tidak tahu hendak mereka alasan. Firman angkat kening.

“Saya rasa kepala awak tak betul sekarang. Jangan cakap apa-apa lagi…. Kita bincang kemudian.”

Firman berlalu keluar. Aku meraba perutku. Tension! Aku mesti memujuk Firman. Aku keluar mengekorinya. Tetapi terhalang bila ayah Ahmad menghulurkan segelas air tuak. Berapa kali nak bagi aku air tuak?

“Firman! Tolong beritahu ayah Ahmad… terima kasih. Tapi saya tak mahu minum.”

Firman menoleh dan mendekatiku semula. Dia mengambil gelas air tuak dari tangan ayah Ahmad.
“Kenapa awak tak mahu minum?”

“Saya tak boleh…”

“Terima takdir, Iris….”

Aku mengangguk, menahan getar.

“Saya terima tapi buat masa ini… saya tak mahu mendengar, melihat atau merasanya….” Aku berlalu masuk ke dalam kelas, berpura-pura sibuk mengemas meja.

“Awak harus lawan perasaan tu. Jangan layan. Itu bererti awak tak reda.”

Aku memejamkan mata. Kenapa dia tidak memahami?

“Saya… saya tak suka nak kongsi apa yang saya rasa dengan seorang yang asing. Aidan sendiri pun tak banyak tahu mengenai saya…. Rahsia hati saya hanya Tuhan yang tau. Dan saya tak perlu jelaskan kepada sesiapa….”

“Saya nak awak minum. Kalau tidak sampai bila awak akan jadi macam ni? Termenung sana, termenung sini. Jangan awak fikir saya tak perasan. Awak menatap lap-top berjam-jam. Dari air muka awak, saya boleh nampak. Awak sedang menahan amukan perasaan yang menggila. Bila awak minum bererti awak menerima ketentuan-Nya.”

“Jangan memaksa dan jangan menyibuk!”

“Saya akan memaksa dan menyibuk kerana saya bertanggungjawab ke atas awak. Apa papa awak akan kata kalau anaknya berkeadaan begini?”

“Hati dan perasaan saya bukan tanggungjawab awak. Awak tak boleh memegang dan mengunci hati saya. Menentukan apa yang boleh saya fikir… apa yang saya rasa.”

“Betul, tapi saya boleh menggembirakan awak. Fikirkan orang yang menyayangi awak. Dia tentu sedih melihat awak begini. Iris… awak perasan tak, awak dah tak cantik sekarang. Muka awak penuh kesedihan walau awak berpura-pura ceria. Mata awak sentiasa basah walau awak cuba menyembunyikan air mata. Awak cengkung dan agak pucat… awak jugak dah tak bersolek.”

Tak cantik? Dua patah perkataan yang cukup sensitif bagiku tetapi aku tidak merasa apa-apa. Aku meraba mukaku. Aku juga sudah lama tidak bercermin. Sejak bila? Aku pun tidak tahu. Firman duduk berdepan denganku lalu meletakkan gelas air tuak itu.

“Firman… tolong jangan paksa. Saya perlukan masa.”

“Saya mendengar awak, Iris….” Suara Firman lembut. Tanda dia takkan berganjak selagi aku tidak meluahkan dan dia akan terus memaksa.

“Mama rindukan arwah baba dan ai long. Kami juga kehilangan. Tapi cara kami menangani kehilangan itu dengan berkongsi rasa… meluah dan bercerita. Saling menguatkan diri. Mama tak menyembunyikan perasaannya dengan berpura-pura seperti tak ada apa-apa…. Walau dia tak menyebut terang-terangan, tapi dia datang melihat bekas arwah baba…. Saya faham, dia merindu.”

Aku cuba meredakan rasa pilu. Mata kuarah ke luar pintu, melihat anak-anak yang sedang keriangan bermain. Aku cuba mengeraskan hati dan bercakap dengan tenang.

“Saya kempunan. Masin mulut awak. Saya bukan tak nak minum. Jangankan nak minum… nak sebut dan tengok pun sangat mengilukan. Ia mengingatkan saya kepada Ahmad.” Air mataku bergenang. Hening seketika.

“Saya tak sangka… ia yang terakhir dari tangannya yang mungil dan comel. Sekarang saya tak mampu nak menelannya kerana saya terkilan dengan perbuatan saya yang tak boleh dimaafkan…. Bila mengingat peristiwa itu, niat murni dia nak saya menjamah… hadiah daripadanya… saya terkilan Firman. Terkilan sangat-sangat….”
Jariku menahan air mata yang menitis.

“Betul, ia rezeki dari Allah. Bila saya membuangnya, entah bila saya akan dapat menikmatinya lagi. Sekarang ia ada di depan saya, tapi saya langsung tak bernafsu, seolah-olah Allah menyekat nafsu saya. Allah tak izinkan saya minum rezeki yang pernah saya buang dulu.”

“Jangan bersangka buruk dengan Allah. Apa yang berlaku semua atas kehendak-Nya. Tapi ia juga daripada hasil perbuatan kita sendiri. Saya tak fikir Allah menyekat nafsu awak…. Awak tak boleh teringatkan Ahmad… terus awak jadi lain. Tak apalah. Saya tak mahu memaksa tapi saya harap awak akan kembali meminum air tuak ni, tanda awak pulih daripada kemurungan, awak reda dan menerima. Keengganan awak tak membantu. Sebagaimana awak datang ke Kemboja dengan gembira… saya nak awak pulang ke Malaysia dengan keadaan yang sama. Kalau tidak, saya akan rasa sangat bersalah. Kerana saya yang bertanggungjawab memantau dan memastikan awak selamat, zahir dan batin.”

Firman berlalu keluar. Zahir dan batin?

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/272108/I-Love-You-Stupid-2