[SNEAK PEEK] MY PRECIOUS IRIS VOLUME 1

My Precious Iris Volume 1 Oleh Melur Jelita

 

“KENAPA awak biarkan saja si tua tu kerjakan Iris? Yang Iris ni pun satu, mana pergi habis tae kwan do tu? Kenapa tak bantai dia?”

“Sabarlah papanya. Masa tu kami dalam kereta. Tau-tau Iris masuk dengan muka merah.” Mama cuba menyabarkan papa yang sudah mula mahu mengangkat telefon. Muka dan seluruh tubuhku dibeleknya. Azalea dan Azella pun tidak duduk diam. Siap mendemah mana tempat yang patut. Aku hanya membisu.

“Papanya nak telefon siapa? Tak payahlah panjang-panjangkan. Hal budak-budak je.”

“Hal budak-budak awak kata? Mak budak yang pukul anak awak, awak nak biarkan je?” Papa terhenti menekan nombor di telefon bimbit.

“Orang tu jiwanya sakit. Kita pun jangan sakit juga. Kalau kita bertindak macam dia, panjang-panjangkan… apa beza kita dengan dia? Sama-sama sakit jiwalah.”

Cakap-cakap papa dan mama yang seterusnya tidak kulayan. Aku menapak satu, satu ke anak tangga. Mama dan papa terdiam. Masuk ke dalam bilik, aku duduk di tepi katil. Membisu dalam sepi. Entah berapa lama. Kotak anyaman daripada rotan aku tarik. Cuba menghiburkan hati sendiri. Aku membelek lesu keratan kertas warna rerama dan pepatung yang aku gunting beberapa hari lepas. Itu yang aku tekun usahakan sambil menunggu hari. Ia akan dibahagikan kepada tetamu dan mereka akan menulis ucap selamat untukku dan Firman. Tetapi ia tetap tidak mendamaikan. Aku rindukan Firman. Aku perlukan dia.

Firman…

Panjang umurnya bila nada deringnya masuk. Aku membiarkan lama sebelum menjawab. Cuba menenangkan hati.

“Assalamualaikum…” Suara yang kunanti.

Aku memejamkan mata, menahan sebak di dada, Iphone kurendahkan ke pipi, menahan getaran bibir dan hidung yang panas membara. Tidak mahu Firman mendengar nafas sesak piluku.

“Iris…” Suaranya kehairanan di hujung sana.

Aku melepaskan nafas lelah. Cuba menjawabnya dengan tenang. Tetapi lain yang ingin aku katakan, lain pula yang keluar.

“Firman… saya rindu awak…” Suaraku bergetar, sebak

“Saya juga rindu awak. Iris… kenapa?” jawab dan soalnya tenang.

“Tak ada apa. Saya hanya rindu awak. Firman…datanglah sini….”

“Dah lewat. Lagipun tak elok berjumpa sebelum akad nikah. Sabarlah… seminggu lagi, kan!”

“Firman… bila saya panggil… awak mesti datang.”

Firman terdiam.

“Firman datanglah sini… saya perlukan awak.”

Aku tidak dapat menahan air mata lagi. Sedih dengan nasib diriku. Allah sahaja yang tahu. Firman membiarkan aku melepaskan rasa pilu sepuas hati. Dia hanya membisu, setia mendengar di hujung sana.

“Dah okey?” tanyanya macam tiada perasaan pula. Hati lanun!

“Apa yang okey?” Aku agak geram.

“Air mata gemuk-gemuk, bulat-bulat…”

“It’s not funny dan ia tak menghiburkan, okey.” Tiba-tiba sahaja aku terasa hati. Firman tidak seperti Aidan. Yang sangat memahami, romantik dan pandai memujuk. Aku mengetuk kepala dengan Iphone! Kenapalah aku membandingkan mereka berdua?

“Aduh!” Dia pula mengaduh!

Aku kehairanan.

“Apasal pulak yang aduh tu?”

“Iris ketuk kepala saya dengan Iphone?”

“Macam mana awak tahu?”

“Agak je….”

Firman tertawa kecil dan aku ikut tertawa.

“Iris…”

“Hmmm…”

“Cuba pandang keluar….”

Aku berdiri malas, berjalan keluar ke balkoni dan memanjangkan leher, melihat sekeliling. Oh papa! Aku hampir terjelepok jatuh!

“Mama awak call, suruh saya datang.”

Firman berbaring di atas Ninjanya sambil memandang wajahku di balkoni. Aku cepat-cepat ingin turun tetapi suara Firman di Iphone menghentikan niat hati.

“Tak payah turun. Kita begini saja. Saling merenung dari kejauhan. Dekat-dekat bahaya. Darah tengah manis nanti lain pulak jadinya,” usiknya.

Aku tertawa riang. Menghampiri pagar balkoni dan menyandar sambil merenungnya di bawah. Relaks sahaja dia berbaring atas Ninjanya. Santai dengan gaya macho dan stylonya.

“Dah, jangan sedih-sedih. Saya bangga awak dapat bersabar dengan apa yang berlaku tadi. Tapi lain kali, lawan. Jangan biarkan orang belasah tak tentu hala.”

“Baik punya batu api,” aku ejek dia.

Kami sama-sama tertawa.

“Saya dapat agak, awak akan jadi menantu kesayangan mama. Habis pasal saya dia cerita kat awak. Siap dengan laporan terkini.”

“Siapa dapat menahan aura Firman Ebrahim? Anaknya pun tewas apa sangat la mamanya….”

“Eknya dia…! Tolak jatuh dari Ninja karang…!”

Kami tertawa.

“Dah boleh ketawa dan menjawab… dah okey la tu…. Saya balik dulu.”

“Jangan…! Saya belum puas….”

“Kalau nak puas, sampai bila-bila takkan puas.”

Tegas jawapannya. Aku tetap melekapkan Iphone kemas di telinga seolah-olah memeluknya erat. Enggan melepaskan.

“Saya balik dulu?” bisiknya perlahan di telingaku.

“Nanti la…” bisikan balas daripadaku.

Firman duduk pula di atas Ninja sambil terus merenungku di atas.

“Awak tak pujuk saya pun. Awak tak romantik.”

“Kalau diminta pujuk, mana ada romantiknya.”

Kami tertawa lagi.

“Dah la… saya nak balik. Malam pun dah lewat. Panas telinga saya kat handphone ni.”

“Awak lanun.”

“Lanun yang macho.”

“Lanun sengal.”

“Lanun yang stylo….”

Hangat hati pula dengan jawapan selambanya. “Pergilah balik. Kita tak puas nak tatap wajah dia. Tak puas nak lepaskan rindu. Sampai hati nak tinggalkan kita.”

“Iris yang sengal dan angau. Mudah lupa diri dan kejam tahap bini lanun.”

Bini lanun? Sudah beberapa kali dia mengiakan lanun aku. Dia mengaku dirinya lanun juga? Mue he he he….

“Awak tak kesian kat saya ke? Lenguh tengkuk saya mendongak awak di atas, embun jantan dah menitis. Saya demam nanti siapa nak goncang tangan tok kadi?”

Hai laaa… terlupa pula. Memang betul kata Firman. Aku kejam dan angau!

“Okey… balik la….” Firman mengeluarkan sesuatu dari poket jaketnya. Mataku membesar bila melihat sebiji delima dan sebiji epal merah di tangannya. Sepeket buah lagi dikeluarkan dari poket jaket Doraemonnya.

“Awak nak baling saya dengan buah tu? Mau benjol kalau kena!” Keras suaraku di Iphone. Belum apa-apa aku sudah beri amaran. Bukannya boleh kira abang pedas ini. Bukannya dia tahu nak fikir kami akan diakadnikahkan dan kebarangkalian dia membenjolkan muka bakal pengantinnya sangatlah besar.

Firman tertawa perlahan.

“Tau takut jugak. Nah sambut!”

Firman membaling delima dan aku menyambut pantas. Besarnya!

“Itu buah dari syurga. Kawan saya baru balik dari umrah. Saya pesan dengan dia. Saya suka makan semasa kecil-kecil dulu di Arab Saudi. Ia tak sama dengan buah delima di sini. Ia spesial kerana bijinya sangat merah dan jika awak memakannya, bibir awak akan menjadi merah seperti isinya. Ia manis dan berair. Ia juga berbau wangi. Baru betul dengan perumpamaan bibir merah bak delima merekah. Tak perlu lipstik mahal awak tu.”

Firman sudah mula melanun. Aku tertawa senang.

“Mekah boleh tanam buah ke?”

“Buah delima import la… dari Spain agaknya. Nah… ini pulak!”

Peket itu aku sambut. Buah ceri! Kegemaranku!

“Saya tau awak suka. Makan ceri itu bayangkan muka saya… ia berbentuk love, lambang cinta dan kesucian seorang dara.”

Aku hanya mampu terkekeh ketawa dengan kata-katanya. Aku menunggu-nunggu pula dia membaling epal merah. Tetapi dia hanya melambunglambungnya sambil tersenyum mendongak kepadaku.

“Firman…” Aku pula yang tidak sabar.

“Nak jugak?”

Aku mengangguk laju. Dia hanya tersengih. Melihat epal merah di tangan dan memandang aku di atas, silih berganti.

“Cepatlah Firman…!”

Tersengih lagi. Tahu aku tidak sabar lagi dilambatkannya. Epal merah dikucup dan digigitnya. Ia dilambung tinggi dan aku menangkapnya pantas. Berdebar melihat kesan gigitannya. Rasa lain macam. Bisikannya di Iphone membuatkan rama-ramaku terkulai layu.

“Sealed with a kiss… bitten with a love.”

Aku tidak mampu bersuara. Firman, awak sungguh kejam! Suka sangat meriuhkan rerama!

“Berdiri diam-diam…!” Arahan selanjutnya. Firman mengambil gambar aku dengan telefon bimbitnya kemudian dia mim mim sin. Aku terkejut melihat hasil gambar itu. Cepat aku mendongak ke atas. Bulan penuh.

“Sedari tadi saya asyik membandingkan kecantikan awak dengan bulan. Bulan pun tersipu malu kerana sinar wajah awak mengalahkan sinarannya. Masya-Allah….”

Rama-ramaku sudah menggelepar, jatuh seekor demi seekor ke dasar perut seperti disumpit sumpitan beracun.

“Iris… awak hanya bulan untuk saya…. Saya tak mahu awak dikongsi dan ditatap oleh ramai lelaki. Kepada mereka, awak adalah matahari. Sinarnya membuatkan setiap mata silau sebelum sempat memandangnya.”

Oh papa! Ayat menaga Firman! Aku tidak faham tetapi aku suka! Dengan kata-kata itu Firman menderum laju sambil mengangkat sebelah tangannya, melambai aku dari belakang. Aku memerhati bahagia sehingga dia hilang dari pandangan mata. Kembali menunduk sambil menatap gambar dalam Iphone. Wajah yang bersebelahan dengan bulan, terang dan bercahaya. Cuma wajahku agak samar-samar. Bagaimana pula Firman boleh menyatakan wajahku lebih bercahaya daripada bulan? Dia yang angau!

Epal merah aku gigit. Kemanisan dan kerangupannya menyebabkan aku terawang-awang sampai ke bulan dan menari di celah-celah awan gebu. Terasa seperti dikucup dan digigit Firman! Purrmeowww…

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/278024/My-Precious-Iris-Volume-1