[SNEAK PEEK] Gentleman

Gentleman oleh Ailah Diela

MATA menjeling ke sebelah. Dah hampir lima belas minit mereka berdua berada di dalam kereta. Tapi sepatah perkataan pun tak ada yang keluar dari bibir tu.

“Ehem!”

Aryan berdehem. Cuba menarik perhatian orang di sebelah. Namun seperti biasa, hampa. Hannah masih dengan reaksi yang sama.

“Ehem!!!”

Kali ini deheman lagi kuat.

“Encik Aryan sakit tekak ke? Saya ada gula-gula ni, nak?”

Aryan pandang ke luar tingkap dengan senyuman yang ditahan. Tak sangka Hannah akan fikir macam tu.

“Boleh juga,” balasnya sambil mencuri pandang ke arah Hannah yang menyelongkar ke dalam beg.

Nasib kaulah Aryan! Tak pasal-pasal kena mengaku sakit tekak.

“Alhamdulillah… Mujur tinggal lagi satu.” Hannah keluarkan gula-gula tersebut dan dihulurkan ke arah Aryan. Selalunya memang dia suka simpan gula-gula tersebut sebagai bekalan apabila sakit tekak.

“Saya berdehem bukan sebab sakit tekak pun sebenarnya.” Aryan menyambung kata sebaik sahaja gula-gula tersebut masuk ke dalam mulutnya.

Rasa bersalah pulak telah menghabiskan gula-gula wanita berkenaan.

“Huh?”

“Saya berdehem sebab nak hilangkan bosan. Dalam kereta ada peneman tapi gayanya macam saya seorang saja.”

Hannah sengih serba tak kena. Yang sebenarnya bukan dia tak nak bercakap, tapi dia sendiri tak tahu apa ayat permulaan yang perlu dia tuturkan.

“Saya memang macam ni, Encik Aryan. Tak biasa sangat nak berborak kalau baru pertama kali jumpa.”

Kalaulah lelaki tersebut tahu, otak dia sebenarnya penat berfikir ayat yang sesuai. Nampak saja dia diam, tapi kepala otak kemain aktif.

Aryan angguk faham.

“Panggil Aryan saja boleh tak? Macam pelik sangat pulak dengan perkataan encik dekat bahagian depan tu.”

Dah rasa macam dekat pejabat pulak bila terlalu formal macam tu. Itu pun dekat pejabat kalau orang tu dah biasa dengan diatetap akan panggil nama sahaja walaupun pangkat lebih rendah. Dia lagi sukakan kesederhanaan.

“Oh… Errr… Kawan encik… Maksud saya, kawan Aryan tunggu dekat mana?” Hannah ajukan soalan sebagai salah satu cara untuk membuang rasa kekok.

Berdua-duaan dengan lelaki macam ni memang boleh buat dia hilang kata. Silap hari bulan tingkah laku dia pun boleh pincang ni nanti.

“Kawan?”

‘”Ya… Tadi Puan Sari kata Aryan nak saya pergi ukur baju untuk kawan. Dia tunggu kita kat mana?”

Aryan gelak perlahan.

Adoilah! Sari ni pun tak agak-agak nak reka alasan. Dah tak pasal Hannah kena tipu.

“Okey. Macam nilah Hannah, ya? Saya ni sebenarnya tak suka nak menipu ataupun berdolak dalih ni. Yang sebenarnya tak ada pun istilah kawan saya nak ukur baju tu,” bicara Aryan terhenti dan mencuri pandang reaksi Hannah.

Hannah pandang tepat wajah itu.

“Saya memang nak ajak awak keluar sebenarnya. Tapi kalau boleh tak naklah ganggu masa kerja awak. Saya boleh aje ajak awak keluar lepas habis waktu kerja. Tapi kakak saya ataupun bos awak tu over pulak. Sanggup reka alasan tu semata-mata untuk membolehkan saya bawak awak keluar sekarang ni.”

Kesian pulak dia tengok Hannah. Sari ni pun la… Tak menyabar-nyabar. Sah Hannah kata dia tak gentleman! Nak ajak keluar pun gunakan kakak sendiri.

“Oh…” Pendek reaksi Hannah.

Aryan nak ajak dia keluar? Dia tak salah dengar, kan?

“Saya minta maaf bagi pihak kakak saya.”

“Emmm, tak apa.”

Takkanlah dia nak marahkan bos sendiri pula, kan?

“Jadi, sekali lagi, sebagai permulaan… Hannah, awak nak tak temankan saya pergi makan?”

Mata Hannah pandang jam di pergelangan tangan apabila Aryan ajukan soalan tersebut.

“Baru pukul sebelas pagi ni,” balasnya.

“Tak apa… Sekejap lagi… Sekarang kita pusing-pusing dulu. Lepas tu mesti dah pukul dua belas. Rasanya masa dah sesuai kut nak makan tengah hari.”

Nampak tak betapa bersemangatnya dia? Sanggup tunggu asalkan dapat makan tengah hari bersama Hannah.

“Ermmm okey… Tapi kita nak pusing ke mana?”

“Kita pusing ukur lebuh raya ni ajelah.” Aryan tergelak dengan jawapan sendiri. Itulah, nak sangat bawak anak dara orang keluar. Akhirnya diri sendiri pun tak tahu hala tujuan.

Situasi sekarang berbeza, kalau dengan Malia dulu dia tak payah fikir. Sebelum keluar lagi memang wanita tersebut dah sebut tempat dan apa yang perlu mereka buat. Senang kata, semuanya memang telah diatur.

“Tapi saya tak selesalah nak berdua-duaan dalam kereta macam ni.” Baik berterus terang saja.

Wahai encik abang, awak tak tahu ke jantung saya ni dah huru-hara? Lagi nak ajak berlama-lamaan dalam kereta macam ni?

Aryan angguk faham sambil memuji dalam hati. Bagus! Ini bermakna Hannah tak biasa berdua-duaan dengan lelaki lain. Atau Hannah sekadar berpura-pura. Tak apa, kita tengok dan lihat nanti.

“Okey. Kalau macam tu, kita pergi Sunway Mall ya… Kita pusing dalam tu. Haaa… Dalam tu ramai orang, jadi mesti awak selesa, kan?”

Nak tak nak Hannah terpaksa angguk. Takkanlah dia nak ajak Aryan balik semula ke butik pula. Nampak sangatlah yang dia ni tak sudi?

Eh? Maknanya memang dia mengharap ke yang Aryan ajak dia keluar? Ya. Mengharap tu memang dari dulu lagi. Cuma masa tu dia fikir yang harapan dia tu hanya akan tinggal harapan. Kini peluang dah ada, apa salahnya dia cuba.

“Awak dah mesej boyfriend awak ke ni nak keluar dengan saya?” Aryan mula ajukan soalan dalam masa yang sama menyiasat.

Mata ni pulak asyiklah menderhaka. Suka sangat mencuri pandang wajah putih gebu tu. Kalau boleh, nak tenung lama-lama. Ada sesuatu di wajah tu yang buat dia tertarik.

“Tak ada siapa yang saya nak mesej.”

Yes! Aryan angguk puas hati.

“Tak ada boyfriend? Serius? Memilih sangat ni…” Macam tak percaya pula orang macam Hannah ni tak ada kekasih hati.

Nak kata lawa tu taklah lawa sangat pun. Tapi comel Hannah tu boleh memikat mata sesiapa saja yang memandang.

“Mungkinlah kut.”

Memilih? Ya haruslah dia memilih dalam mencari lelaki untuk disimpan dalam hati. Kalau boleh Hannah tak nak perkara yang sama berulang lagi. Sejarah hitam yang menghantuinya sehingga kini.

“Dah lama kerja dengan Sari?”

“Setahun lebih juga…”

Hannah ambil nafas panjang. Nampak sangatlah yang sebelum ni Aryan langsung tak menyedari kehadiran diri dia ni. Padahal masa hari pertama dia kerja, Aryan ada datang butik. Siap dia lagi yang tolong buatkan air.

“Oh, boleh tahan lama… Duduk sini dengan parents atau dengan kawan-kawan?”

Diam.

“Kalau rasa soalan saya tu terlalu personal, tak perlu jawab. Saya minta maaf,” pohon Aryan apabila menyedari sikap wanita itu yang tiba-tiba berdiam diri.

Mulut dia pun alahai. Ringan sangat pulak nak bertanya macam-macam soalan. Tapi dia tak boleh tipu kemahuan hati. Ikutkan rasa, semua benda pasal Hannah dia nak tahu sekarang ni juga.

Tapi kenapa sekarang? Kenapa masa ada Malia dulu dia tak macam ni?

Adakah ini disebabkan rasa hati yang betul-betul tertarik pada Hannah atau hanya mainan perasaan lelaki yang baru putus cinta?

“Dengan kawan…” Perlahan tutur kata Hannah. Suara juga lebih jauh ke dalam. Nak tak nak dia memang tak ada pilihan. Apa yang diajukan Aryan dia perlu juga jawab.

“Parents duduk mana?”

Kali ini Hannah buang pandangan ke luar tingkap. Tangan menggenggam hujung baju sendiri. Memang dia dah jangka Aryan pasti akan ajukan soalan tersebut.

“Hannah?”

“Pahang.”

Ringkas dan tanpa rasa. Hannah gigit sedikit hujung bibir. Cukuplah, Aryan! Tolong jangan ajukan apa-apa soalan lagi. Bukan ingin melupakan asal usul. Namun ada sesuatu yang mengganggu perasaannya ketika itu.

Aryan bagi signal masuk ke simpang memasuki Sunway Putra Mall. Dalam masa yang sama cuba mencari wajah yang seolah sengaja ingin disorokkan dari dia.

“Maaf… Mungkin soalan saya terlampau peribadi. Padahal ni baru pertama kali kita keluar, kan.”

Tiada jawapan untuk kata-kata Aryan. Selagi boleh Hannah cuba untuk mengawal rasa di dada. Menyebut hal keluarga, memang sesuatu yang cukup susah bagi dirinya.

Ibu. Abah. Ingat lagi pada Nur Hannah binti Azuman ini?

Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;
https://www.e-sentral.com/book/info/338141/Gentleman