[SNEAK PEEK] FOBIA

FOBIA Oleh Siti Rozilah

DOKTOR Humaira terpisat-pisat membuka matanya apabila terasa tangannya yang bergari dilepaskan. Ketika itu, jaraknya dengan Hidayat teramat rapat.
“Cepat, Maira! Dia dah datang. You kena sembunyi,” beritahu Hidayat yang sedikit cemas.
Doktor Humaira masih terpinga-pinga ketika tubuhnya didorong ke arah sebuah almari besar. Dia tidak tahu siapa yang datang dan kenapa wajah Hidayat kelihatan cemas.
“Masuk, Maira,” kata Hidayat sambil mendorong tubuh Doktor Humaira agar masuk ke dalam almari.
Doktor Humaira terpaksa duduk dalam keadaan mencangkung. Kemudian, Hidayat menutup pintu almari itu. Hanya kegelapan menyelubungi Doktor Humaira yang berada di dalam almari itu. Dari tempatnya bersembunyi, Doktor Humaira memasang telinga.

“MANA kau sembunyikan perempuan tu, Yad?” soal satu suara.
“Apa yang kau cakap ni? Aku tak fahamlah!”
“Kau jangan nak naikkan darah aku, Yad. Mana kau sembunyikan perempuan tu? Aku boleh hidu bau perempuan tu dari sini!”
Di dalam gelap itu, Doktor Humaira menggigil ketakutan. Perbalahan yang terjadi di luar almari itu didengarinya dengan jelas. Dia mengintai keluar dari celah-celah lubang yang terdapat pada almari itu. Peliknya, dia langsung tidak melihat orang lain di luar sana, kecuali Hidayat! Lelaki itu kelihatan seolah-olah sedang bercakap-cakap seorang diri.
Tiba-tiba mata Hidayat mencerun ke arahnya di dalam almari. Renungannya tajam dan menakutkan. Doktor Humaira menarik tubuh ke belakang sambil memejamkan matanya. Pintu almari itu dibuka, lalu Doktor Humaira ditarik keluar dari tempat persembunyiannya itu.
“Yad?” soal Doktor Humaira dengan suara yang terketar-ketar.
Bahunya rasa sakit dicengkam lelaki itu.
“Tak, sayang. Aku bukan Hidayat. Kalau kau nak tahu, nama aku Hakeem. Nama glamour aku, Joe atau Algojo. Selamat berkenalan, Doktor Humaira.”
“Tak, kau bukan Algojo. Kau Hidayat. Lelaki bernama Hidayat yang aku kenal bukan macam ni orangnya. Dia seorang lelaki yang berjaya dalam hidupnya. Dia seorang lelaki yang baik. Mana Hidayat yang pernah aku kenali dulu, hah?” sergah Doktor Humaira.
Sebagai seorang doktor psikiatri, dia telah merawat banyak kes yang berkaitan dengan kecelaruan dan masalah mental. Namun, dia belum pernah lagi berdepan dengan kecelaruan identiti yang sebegini, yang mana seseorang itu boleh mengubah-ubah perwatakannya tanpa dia sendiri menyedarinya.
“Hei, banyak cakaplah betina ni! Nanti aku jahit mulut kau yang macam murai tercabut ekor tu, baru padan muka kau!” sergahnya.
“Aku hairan, kenapalah Hidayat tu boleh sukakan kau. Dulu, dia jatuh cinta dengan Laila walaupun aku pernah ingatkan dia yang Laila tu perempuan jalang. Perempuan jalang manalah boleh dijadikan bini. Tapi, Hidayat degil. Dia kahwin jugak dengan Laila. Sekarang ni, dengan kau pulak. Kau bukan cantik sangat pun. Kalau kau nak tahu, Laila tu berkali-kali ganda cantiknya daripada kau.”
Lelaki itu terus menceceh. Doktor Humaira yang ketakutan hanya diam mendengar. Kemudian, lelaki itu berhenti menceceh lalu merenung Doktor Humaira.
“Mari aku kenalkan kau dengan seorang perempuan jalang!” Dia menarik tangan Doktor Humaira dan mereka keluar dari bilik itu.

DOKTOR Humaira menjerit sebaik sahaja lampu kalimantang menerangi bilik itu. Di hadapannya, dia melihat seorang perempuan bergaun longgar yang dibotakkan kepalanya berdiri dalam keadaan kedua-dua belah tangannya diikat ke atas dengan tali yang bergantung pada siling.
Perempuan itu kelihatan tidak bermaya. Terdapat kesan-kesan lebam pada wajahnya menandakan yang dia telah diseksa dengan teruk. Dia membuka matanya dan terpaksa menahan silau cahaya lampu.
“Keem, lepaskanlah Mala. Lepaskanlah, Mala…” rayu perempuan itu berulang kali.
“Aku kenalkan kau dengan perempuan jalang ni. Nama dia Normala. Kau tahu apa kesalahan dia? Dia curang dengan suaminya sendiri. Sebagai seorang algojo, aku ditugaskan untuk menghukum dia.”
“Yad, kenapa awak jadi macam ni? Lepaskanlah perempuan tu, Yad. Dia cedera tu,” ujar Doktor Humaira, tidak dapat mengawal emosinya.
Sambil menangis, dia bersuara. Dia tidak sanggup melihat penderaan yang sadis itu.
Spontan, bahu Doktor Humaira dicengkam lelaki itu sehingga mata mereka bertentangan. Doktor Humaira tahu dia kini sedang berdepan dengan seorang lelaki yang ganas dan sanggup membunuh.
“Hei, berapa kali aku nak cakap, hah? Aku bukan Hidayat. Aku, Hakeem atau Joe!” ujar lelaki itu sambil melepaskan ketawa besar.

Imbas kembali…

SEBELUM memulakan sesi temu janjinya, Doktor Humaira menyemak data pesakitnya di skrin komputer.

Nama pesakit: LUTHMANUL HIDAYATUL HAKEEM BIN BAHRIN

Panjangnya nama, bisik Doktor Humaira dalam hati. Kemudian, dia tersenyum nipis.
Ketika lelaki itu pertama kali masuk ke biliknya, Doktor Humaira masih ingat lagi yang soalan pertama diajukannya.
“Nak panggil nama apa, ya?”
“Hidayat! Panggil I, Hidayat,” sahut Luthmanul Hidayatul Hakeem.
Doktor Humaira mengangguk.
“Apa khabar, Encik Hidayat?”
Luthmanul Hidayatul Hakeem tersenyum nipis. Renungannya ketika itu nampak lembut menikam ke dasar hati Doktor Humaira.
“Khabar baik, Doktor Humaira,” jawab Luthmanul Hidayatul Hakeem.
Suaranya ketika membawakan watak Hidayat kedengaran lembut menyapa ke telinga Doktor Humaira.

KINI, Doktor Humaira sudah didedahkan dengan dua perwatakan yang dibawa oleh seorang lelaki yang nama penuhnya adalah Luthmanul Hidayatul Hakeem. Kalau Hidayat seorang lelaki yang baik, Hakeem pula sebaliknya iaitu bengis lagi kejam dan menganggap dirinya adalah seorang algojo.
Perwatakan Luth itu bagaimana pula agaknya, ya? Soal Doktor Humaira tertanya-tanya dalam hati.
Luthmanul Hidayatul Hakeem duduk di atas sebuah kerusi plastik, lalu mengarahkan Doktor Humaira duduk di sisinya. Doktor Humaira hanya mampu menurut. Dalam situasi begitu, sudah tentulah dia tidak mahu menaikkan darah lelaki itu.
“Doktor, mari sini aku ceritakan pada kau pengalaman masa kecilku. Kau nak dengar tak?” soal Luthmanul Hidayatul Hakeem.
“Nak. Ceritalah.”
“Dulu, aku pernah tinggal dengan ibu tiri. Perangai ibu tiri aku sama jalangnya dengan perempuan depan kita ni. Puih!!!” beritahu Luthmanul Hidayatul Hakeem lalu meludah ke lantai, menunjukkan kebenciannya.
“Masa ayah aku sedang sakit, ibu tiri aku bawa balik jantan lain ke rumah kami dan mereka…” sambung Luthmanul Hidayatul Hakeem lalu menangis teresak-esak sambil memaut bahu Doktor Humaira.
Walaupun tertekan dengan situasi itu, tetapi Doktor Humaira menurutkan sahaja kemahuan Luthmanul Hidayatul Hakeem.
“Mereka betul-betul kurang ajar. Kadang-kadang mereka sanggup melakukannya di atas katil yang sama tempat ayah aku terbaring. Mereka ingat aku tak nampak. Tapi, aku nampak segala kemungkaran yang mereka lakukan.”
Luthmanul Hidayatul Hakeem terus menangis teresak-esak. Kemudian, tiba-tiba sahaja tangisannya terhenti dan riak wajahnya berubah bengis.
“Mak tiri aku jugak kejam dengan aku. Dia kurung aku kat bawah kolong rumah agam kami. Aku tak dibaginya makan. Dia jugak selalu pukul aku kat sini!” Luthmanul Hidayatul Hakeem menepuk-nepuk kepalanya.
Patutlah dia selalu mengadu sakit kepala dengan aku, bisik Doktor Humaira dalam hati.
“Kemudian, suatu malam… aku dapat peluang untuk balas dendam pada mereka. Ketika mereka sedang nyenyak tidur setelah puas berdangdut dengan syaitan, aku nyalakan api.”
Bagaikan seorang kanak-kanak, Luthmanul Hidayatul Hakeem terlompat-lompat kesukaan.
“Rumah terbakar panggil bomba. Bomba datang berlumba-lumba. Rumah terbakar panggil bomba…” kata Luthmanul Hidayatul Hakeem, mengulang-ulang irama itu sambil terus melompat-lompat kegirangan.
Doktor Humaira semakin kecut perut melihat kelakuannya.
Setelah beberapa ketika, Luthmanul Hidayatul Hakeem berhenti melompat lalu duduk semula di sisi Doktor Humaira.
“Tapi, tak ada pun kereta bomba yang datang. Sehinggalah rumah kami musnah terbakar. Baru puas hati aku setelah mereka hangus dalam kebakaran tu. Tapi ayah… aku tak dapat selamatkan ayah. Ayah… maafkan, Luth,” cerita Luthmanul Hidayatul Hakeem sambil menangis teresak-esak, kemudian menyondol-nyondol tubuh Doktor Humaira.
Kelakuannya ketika itu tidak ubah seperti seorang anak kecil yang sedang menagih perhatian daripada ibunya.
“Ibu, kenapa ibu tinggalkan Luth? Dunia ni tak adil dengan Luth, bu.”
Humaira terdengar lelaki itu merintih di sisinya.
“Syy… jangan nangis ya, Luth. Luth anak yang kuat, kan? Luth kena bersabar,” pujuk Doktor Humaira sambil mengusap-usap rambut Luth seolah-olah seorang ibu yang sedang memujuk anaknya.
Luthmanul Hidayatul Hakeem memeluk erat tangan kanan Doktor Humaira, bagaikan tidak mahu dilepaskan. Seolah-olah Doktor Humaira itu adalah jelmaan ibunya.
“Luth, kalau Luth anak yang baik, Luth kena ikut cakap ibu. Luth lepaskanlah perempuan yang terikat kat depan tu. Kasihan dia, Luth. Lepas tu, Luth kena lepaskan Doktor Humaira jugak,” pujuk Doktor Humaira menggunakan teknik memujuk untuk mempermainkan emosi Luthmanul Hidayatul Hakeem.
Walaupun dia dibelenggu ketakutan, tetapi Doktor Humaira tetap merangka strategi untuk menyelamatkan dirinya dari tempat itu. Dia khuatir kalau-kalau dirinya akan didera seperti Puan Sri Normala.
Luthmanul Hidayatul Hakeem merenung ke arah Doktor Humaira.
“Nak lepaskan perempuan tu ke, bu? Eh, tak boleh. Dia jahat, bu. Jahat! Perangai dia sama macam Mak Cik Salina. Doktor Humaira pun tak boleh keluar dari sini, bu. Dia baik, bu. Luth suka dia.”
Doktor Humaira terpempan mendengar jawapan daripada Luthmanul Hidayatul Hakeem. Terasa peluangnya untuk melepaskan diri dari situ amat tipis. Dia menadah doa dalam hati supaya ada orang yang akan perasan kehilangannya.
Sudah semalaman Doktor Humaira berada di banglo itu!

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/95895/fobia