[SNEAK PEEK] DUIT HANTARANKU TAK CUKUP

Duit Hantaranku Tak Cukup Oleh Sarnia Yasmin

 

GILA ke dia orang tu? Nak putus aje pun. Mintak sampai lima ribu sebagai ganti rugi!” keluh Puan Normah sambil menutup pintu besi rumah sebaik kenderaan yang membawa ketiga-tiga orang temannya hilang daripada pandangan.

Apa pun ada rasa lega, hajatnya untuk memutuskan pertunangan Khairina dan Muzaffar hampir tercapai.

Encik Shamsuri tidak memberi sebarang reaksi. Surat khabar di tangan terus menjadi tatapannya. Malas hendak komen apa-apa.

“Bang!”

“Ya?” Encik Shamsuri memandang isterinya.

“Macam mana ni?” Puan Normah menghampiri suaminya.

“Macam mana apanya? Bayar ajelah.” Jelingnya dan kembali memandang surat khabar tadi. Bukan dia baca pun sengaja hendak melihat reaksi isteri yang sudah seperti cacing kepanasan.

“Bayar? Kenapa kita pula kena bayar?” Buntang biji mata Puan Normah menatap wajah suaminya.

“Lima ribu aje, kan? Tak banyak mana pun daripada lima belas ribu yang awak mintak kat dia orang!” Selamba Encik Shamsuri berkata.

Terpukul dia dengan sindiran Encik Shamsuri.

“Saya mana ada duit nak bayar.”

“Tu gelang tangan awak yang besar macam tali kapal tu. Rasanya dah cukup nak bayar Kak Jamaliah dan Muzaffar.” Sengih Encik Shamsuri sambil memuncungkan bibirnya ke lengan isterinya.

“Apa abang ni?”

Disorok tangannya ke belakang. Sayang kalau hendak digadai rantai tangannya. Hampir setahun dia terpaksa membayar hutang gelang itu hasil duit yang diberi oleh suaminya dan Khairina.

“Abang abah pada Rin, takkan tak boleh bayar. Saya bukan kerja.”

Tidak puas hati dia dengan sikap ambil mudah suaminya. Sangkaannya perkara itu mudah dan kini ia menambahkan lagi bebannya. Haisy, orang tua ni, sengaja aje!

“Duit yang saya ada untuk majlis Rin. Saya tak akan sentuh. Awak yang nak putuskan pertunangan tu, kan? Bayar ajelah. Bukan banyak mana pun, lima ribu aje, Cik Nor oi!”

Puan Normah berdengus kasar. Bengang dia dengan sindiran suaminya.

“Bang!”

“Haa?” Berkerut dahi Encik Shamsuri.

Takut dia dengan wajah garang yang ditunjukkan oleh suaminya.

“Semua ni untuk Rin, bang. Untuk Rin. Berapa kali saya nak cakap!” Sungguh-sungguh dia mempertahankan tindakan yang dilakukan.

“Puas ke hati Nor dapat buat budak-budak tu sedih?” soal Encik Shamsuri memandang isterinya. Dia semakin tidak faham dengan sikap isterinya.

“Saya buat macam tu nak Rin bahagia tetapi bukan dengan orang tak mampu,” tegas Puan Normah. Dia sudah punya calon untuk Khairina. Calon yang boleh buat anaknya bahagia.

“Astaghfirullahalazim. Nor ingat bahagia tu datang daripada kekayaan ke?”

“Ya! Memang mati tak boleh bawak duit. Sekarang ni kalau tak ada duit, boleh mati tau bang. Segala-galanya perlukan duit!” keras suara Puan Normah menegaskan pendapatnya.

Encik Shamsuri berdengus kasar. Payah hendak memahamkan wanita di hadapannya.

“Abang tak tahu siapa sebenarnya yang nak bernikah? Nor? Atau Rin.”

Rasa terbakar mukanya sekali lagi. Geramnya dia dengan sindiran suaminya.

“Apa ke situ pula! Hai, ya Allah, orang tua ni!” Merah padam wajah Puan Normah ditempelak oleh suaminya.

“Dah ada ke calonnya kalau dia orang putus?” soal Encik Shamsuri ingin tahu.

Gamam Puan Normah dengan soalan suaminya. Macam tahu-tahu pula orang tua ni, getusnya sendiri.

“Aa… Ada.” Teragak-agak Puan Normah menjawab.

“Ooo… memang awak rancanglah semua ni!” tebak Encik Shamsuri geram.

“Mana ada!”

“Calonnya dah ada. Lepas tu beria-ia sangat nak dia orang putus tu?”

“Lama sangat dia orang tunang, bang!” Dia memberi alasan. Dan itu sebahagiannya.

“Alasan!” sindir Encik Shamsuri. “Dia orang bertunang lama sebab hantaran yang awak nak tulah. Kalau tak, empat tahun dulu dia orang dah nikah, faham tak?” keras suara Encik Shamsuri cuba memahamkan isterinya.

Hangat dada Puan Normah ditengking begitu.

“Salah ke saya nak Rin hidup senang dan bahagia. Saya tak mahu dia merempat entah di mana-mana kalau berkahwin dengan Muzaffar tu nanti!” tegasnya.

“Awak jamin dengan calon baru tu, Rin boleh bahagia. Boleh gembira?” Dari intonasi isterinya dia tahu wanita itu seperti tidak pasti dengan jawapannya sendiri.

“Insya-Allah. Kita doakan yang baik-baik untuk Rin nanti.”

Tiba-tiba dia rasa tidak sabar hendak melihat Khairina bersanding dengan anak bujang Hajah Raihan. Hanif, desisnya sendiri.

“Amboi, pandainya cakap, ya. Kenapa dengan Muz dan Kak Jamaliah Nor tak boleh buat macam tu? Tak boleh nak bertolak ansur. Beza membezakan orang sebab kedudukan seseorang?”

Seperti dia sudah melihat perubahan sikap isterinya. Melayan mereka dengan baik pada yang berada dan memandang hina mereka yang miskin. Astaghfirullahalazim! Ucap hatinya penuh dengan rasa kesal.

“Apa abang ni? Saya tak pandangan sesiapa begitu!” nafi Puan Normah geram.

“Habis tu? Kenapa sampai sanggup buat macam ni pada anak sendiri?” Rasa ketat dadanya bergaduh dengan wanita itu. Nampaknya memang sukar untuk membuat keputusan dengan sikap Puan Normah yang begitu.

Puan Normah senyap.

“Kata nak anak bahagia, Nor ada tanya Rin, dia bahagia dengan apa yang Nor nak buat sekarang ni?” Ditarik nafasnya dalam-dalam agar tenang kembali.

“Insya-Allah… lama-lama pasti Rin akan bahagia.”

“Awak jamin?” ulang Encik Shamsuri lagi.

“Saya kata insya-Allah, bang.”

“Eh, tahu pula awak cakap insya-Allah, ya?”

“Habis apa lagi saya nak cakap?”

“Kenapa dengan Muzaffar awak tak boleh berfikiran macam ni?” selar Encik Shamsuri kesal.

“Asyik-asyik Muzaffar. Asyik-asyik Muzaffar.” Naik menyampah dia mendengar nama itu.

“Kenapa benci sangat awak dengan dia? Sebab budak tu kerja Pengawal Keselamatan, bukan pegawai macam yang awak nak?” Semakin tidak faham dia dengan isterinya yang bernama, Normah Haji Daud.

Puan Normah berdengus kasar.

“Abang ni banyak songeh tau tak?”

“Abang yang banyak songeh atau Nor tu yang banyak songeh?” balas Encik Shamsuri.

“Kita juga yang kena!” Jelingnya dengan rasa bengang. Pusing-pusing, dia juga yang terkena.

“Abang tak nak campur. Pandai-pandai buat keputusan sendiri, kan? Haa… pandai-pandailah selesaikan.” Encik Shamsuri bangun dan melangkah menuju ke biliknya.

“Bang!” pekiknya. Sekali lagi Puan Normah berdengus kasar.

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/273634/Duit-Hantaranku-Tak-Cukup