[ SNEAK PEEK ] DREAMCATCHER

EBUKU DREAMCATCHER OLEH MAYA ADIRAA

EBUKU DREAMCATCHER OLEH MAYA ADIRAA

“It Must Have Been Love”

It must have been love but it’s over now.

It must have been good but I lost it somehow.
Roxette: 1987

Dia berteleku, menongkat dagu berjam-jam lamanya. Hatinya mula hilang debar, yang ada hanya bisikan-bisikan halus. Riuh-rendah di sekeliling mula kabur, jauh daripada pendengaran. Matanya mahu lelap, namun tubuhnya kian terasing daripada dunia nyata.

“Encik Khalid?”

Halus sahaja suara itu menyapa telinganya. Dia mengangkat muka, mencari pemilik suara.

“Encik Khalid?” soal doktor wanita yang mungkin hampir separuh abad umurnya. Mata wanita itu bening dan wajahnya nampak lesu.

Khalid mengangguk perlahan. Dia cuba bangun, namun kakinya seakan-akan membantah.

“Tak apa, duduklah,” ujar doktor itu memahami keadaan Khalid.

“Bagaimana dengan isteri saya?” tanya Khalid terus.

Doktor wanita itu menelan liur. Kedua-dua tangannya diramas perlahan, sedikit menggeletar.

Khalid merenung marmar putih yang menghampari lantai.

“Maafkan saya, maafkan kami. Kami dah cuba sedaya upaya, namun Allah lebih sayangkan dia… maafkan saya, Encik Khalid.” Getar suara itu menyampaikan berita.

Khalid bangun, dia kehilangan kata-kata. Suasana sunyi sepi.

“Bayi dalam kandungannya juga tak dapat kami selamatkan. Kecederaan Puan Nurul Ain terlalu parah. Kami betul-betul minta maaf.”

Khalid berpusing, menatap lesu wajah doktor di hadapannya. Sebuah senyuman tawar dilemparkan. “Tak apalah, saya faham. Terima kasih sebab berusaha menyelamatkan mereka.”

Khalida yang tertidur dari jam empat pagi tadi terpisat-pisat bangun. Wajah rusuh Khalid dan kelam air muka doktor membuatkan dia dapat mengagak apa akhiran yang disampaikan. Lengan Khalid dipeluk kuat. Air mata mahu mengalir tatkala melihat mata abangnya yang kosong, menjauh dari kenyataan.

“It’s okay, Kay. I’m gonna get through all this.”

Khalida sebak. Kerongkongnya seakan tersumbat. Tiada perkataan yang mampu diluahkan. Doktor wanita itu kemudian meninggalkan mereka berdua.

“Abang baliklah. Biar Kay uruskan semua. Abang dah dua malam tak makan, tak tidur. Maklumkan pada abah untuk urusan pengebumian. Abang pergi balik ya, tolong….”

Khalid membisu. “Tolong Kay, abang….”

Kali ini, Khalid mengangguk. Dia melangkah, meninggalkan ruang malang itu. Namun, langkahnya kelihatan pincang. Dia perlu pulang.

HUJAN yang turun akhirnya terhenti. Dia masih di situ, di bawah pondok bersama-sama yang lain. Talkin sudah selesai dibacakan. Air mawar sudah habis disiram.

“Kita balik, Lid.” Lembut sahaja suara mamanya mengajak pulang. Lengannya dipaut, ditarik perlahan. Dia membetulkan songkok.

“Abang Lid, jom balik.”

Kali ini, suara Khalida pula menerpa telinga. Dia akhirnya mengangguk. Saat kakinya melangkah, dia berjanji. Dia berjanji untuk tidak bercinta lagi. Dipandangnya sejenak perkuburan yang masih basah dengan hujan. Didongak ke langit yang masih kelam. Khalid tersenyum sinis. Hebatnya dugaan Dia untuk hamba kerdil seperti dirinya.

 

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/51030/dreamcatcher