[SNEAK PEEK] DOKTOR SAKIT

Doktor Sakit Oleh Dr. Atikah Razali

 

NILAI YANG SEMAKIN PUDAR

Kisah 1:

“Nombor 3045 bilik 3.”

Setelah agak lama menunggu tiada siapa yang masuk, nombor yang sama ditekan sekali lagi. Tidak lama kemudian pintu dibuka, kelihatan seorang pesakit berumur lewat 70-an terketar-ketar tangannya cuba memegang tombol pintu untuk menolak sambil sebelah tangan lagi memegang tongkat.

Kasihan melihat nenek itu, doktor tersebut bangun daripada kerusinya sambil matanya sempat melirik keluar.

Penuh kerusi menunggu yang hanya kira-kira satu meter sahaja daripada pintu bilik. Ada anak muda, ada pertengahan usia. Namun mereka hanya mampu melihat nenek tadi yang entah berapa lama bersusah payah mahu membuka pintu dari tadi.

Kisah 2:

Ketika seorang pesakit yang tidak sedarkan diri akibat sawan mahu dirujuk ke hospital besar untuk rawatan lanjut, kelihatan ibunya yang sudah lanjut dimamah usia, dalam keadaan berjalan terhincut-hincut akibat masalah lutut yang serius, bersusah payah mahu memanjat masuk ambulans.

Di tepinya ada seorang pengawal yang tegap hanya mampu melihat tanpa sedikit belas mahu menolong nenek berketurunan India itu. Seorang doktor muda yang melihat dari jauh bergegas ke arah ambulans sambil tangannya memimpin wanita tersebut yang mahu menemani anaknya. Hatinya hanya mampu beristighfar panjang.

Kisah 3:

Keadaan bahagian trauma dan kecemasan hospital daerah itu sedikit kelam-kabut walaupun jam hampir menunjukkan pukul 3.00 pagi. Pesakit tidak putus-putus datang.

Ada pula seorang pesakit yang mengadu mengalami kesukaran bernafas di rumah, tidak sedarkan diri pula di hospital akibat serangan jantung yang serius. Di tengah kekalutan berusaha untuk menyelamatkan nyawa pesakit tersebut (dengan izin Allah SWT), tiba-tiba terdengar suara seseorang memarahi seorang staf,“ Hoi boleh cepat tak buat kerja tu? Saya demam dah dua jam tunggu ni!”

Walaupun saat itu matanya boleh melihat jelas doktor, pembantu pegawai perubatan dan jururawat berlari-lari dalam kesibukan. Bagaimana jika ahli keluarga mereka pula di tempat pesakit yang sedang bertarung nyawa?

****

Nilai kemanusiaan, simpati dan empati yang semakin luput.

Entah dek masa, entah dek desakan hidup muktahir ini yang menyebabkan semua hanya berfikir, ʻAku, aku dan aku.ʼ

 

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/277253/Doktor-Sakit