[SNEAK PEEK] DIRIKU USAH DICARI

DIRIKU USAH DICARI Oleh Irda Haleeda

 

USAI solat asar tadi, Kirana menyapu halaman rumah emak mertuanya. Kagum jugak dengan emak mertuanya yang suka menanam pokok bunga yang cantik.

“Kan bagus, kalau perangai emak cantik macam bunga yang mak tanam ni,” kata Kirana sendiri. Mengenangkan layanan emak mertuanya boleh menambahkan sakit di hati.

Sedang Kirana hampir selesai mengumpulkan semua daun-daun kering dan sampah di halaman rumah itu, kereta Wish yang dipandu Haziq masuk ke halaman. Cepat-cepat Kirana menyandarkan penyapu di tepi pokok manggis yang dekat dengannya.

Kirana membuka pintu kereta di bahagian hadapan. “Mak, jom Kira tolong emak.”

“Tak payah. Mak larat lagi nak turun,” balas Salmah. Sempat dijeling ke arah Kirana. Tak tahu kenapa semakin hari semakin meluat dia melihat wajah Kirana.

“Kira, tolong abang bawak barang-barang ni,” kata Haziq yang sedang membuka pintu kereta di bahagian penumpang belakang.

Kirana menurut sahaja. Tersenyum dia tatkala terpandangkan bungkusan itu. Pasti semua itu untuk dia. Tapi, selalunya Haziq akan mengajaknya membeli barang untuknya. Hari ini, kenapa Haziq beli barang ini semua tanpa dia? Kirana melihat barang apa lagi yang ada dalam kereta itu. Beg tangan, tudung dan jubah berjenama. Kirana bertambah pelik.

“Kira larat tak angkat ni?” soal Haziq. Kesian pula kenangkan Kirana yang terpaksa ditinggalkan di rumah seharian tadi. Ini semua gara-gara emaknya. Selepas pulang dari klinik tadi terus sahaja emaknya mengajak membeli barang di Aeon Jaya Jusco di bandar tadi.

Kirana tersenyum. “Laratlah. Abang ingat Kira tak kuat ke?” soal Kirana.

“Eleh, tipu kata kuat. Nampak lipas pun takut.” Sempat Haziq memegang kepala Kirana. Selepas itu, dia menghulurkan bungkusan yang ada dalam kereta itu. Separuh kepada Kirana, separuh lagi dia sendiri yang membawanya.Mereka sama-sama ketawa.

“Banyaknya abang beli barang ni. Abang buang tebiat ya? Selalunya abang ajak Kira perg beli barang,” kata Kirana. Dia duduk di ruang tamu bersebelahan dengan suaminya.

Salmah hanya diam memerhati suami isteri itu bersembang. Dalam hatinya tersenyum. ‘Padan muka kau!’

Haziq menelan liur. Serba salah pula dia dengan Kirana. “Kira, ni semua barang mak. Nanti untuk Kira, kita beli sama-sama ya?” Haziq memegang tangan Kirana. Takut kata-katanya ini buatkan Kirana berkecil hati.

Berubah wajah Kirana. Antara percaya dengan tidak lima bungkusan yang ada di depan matanya ini milik emak mertuanya. Sah, semua ini duit Haziq!

Kirana cuba menyembunyikan rasa di hati. “Lah… ya ke mak punya barang ni? Bagusnya, mak. Cantik barang-barang yang mak pilih ni. Haziq ni memang macam tu, kalau dengan Kira ni, habis dua ribu ringgit aje sekali beli barang-barang untuk Kira. Mak punya barang-barang ni semua kira murah sangatlah ni. Beg Prada ni, tudung ni dah macam kain buruk aje pada Kira.” Kirana memegang satu per satu kotak yang ada di meja kopi itu.

“Lah, jubah ni… kenapa beli sehelai aje untuk mak? Mak, nanti mak datang rumah Kira, Kira bagi jubah yang lagi cantik daripada ni. Kira pun dah tak terpakai baju-baju yang Haziq belikan untuk Kira. Kesian mak… apalah abang ni, dengan mak abang pun abang nak berkira ke?” soal Kirana. Dijeling suami yang ada di sisinya. Kirana buat muka manis.

Salmah mencebik. “Mak kesian sebenarnya dengan Haziq ni. Banyak sangat keluarkan duit. Untuk kamu lagi, untuk mak lagi. Tak apalah sekali-sekala. Esok, kamu berdua balik sini lagi bolehlah Haziq belikan emak yang mahal-mahal macam Kira dapat tu ya Haziq?” soal Salmah. Sengaja dia mahu menyakitkan kembali hati menantunya.

“Haziq, mak laparlah. Jom temankan mak makan,” ajak Salmah.

‘Dah mula dah si tua ni buat drama dia,’ bentak hati Kirana.

Haziq hanya menggeleng melihat dua insan itu. Terkejut juga dia dengan kata-kata isterinya. Nak kata ikhlas apa yang dicakap tadi rasanya terselit juga nada memerli. Emak pun satu tak habis-habis menyakitkan hati Kirana.

“Mak nak makan? Kejap ya, mak… Kira panaskan balik lauk-lauk yang Kira masak.” Kirana melangkah cepat ke dapur. Dia tidak mahu emak mertuanya perasan riak tidak senang di wajahnya.

“Mengadu tangan sakit macam nak mati, tapi beli barang berjam-jam tak ada pula rasa sakit,” omel Kirana. Dia mengeluh.

Di ruang tamu, Haziq memandang wajah emaknya. “Mak, bukan ke kat pertengahan jalan tadi kita dah makan?” soal Haziq. Hairan juga dengan emaknya yang tiba-tiba mengadu lapar. Selepas membeli-belah tadi, mereka bertiga singgah makan di Old Town. Takkan sekejapan pula datang rasa lapar?

Tidak lama kemudian, Kirana naik ke ruang tamu. “Mak, abang, pergilah makan. Kira dah siapkan hidangan atas meja tu. Amir, pergi makan sayang…”

Amir yang dari tadi ralit dengan permainan kereta control yang baru dibeli itu menjawab. “Tak naklah, mak su. Amir kenyang. Tadi pak su belanja makan kat Old Town.” Lambat-lambat budak kecil itu menyebut nama restoran tersebut.

“Lah, ya ke? Betul ke abang dah makan ni?” soal Kirana. Kurang percaya dia mendengarnya.

Haziq tersenyum. “Ha’ah, Kira. Tadi makan kat sana. Tapi, mak pulak yang rasa lapar balik tiba-tiba.”

Kirana mengangguk. Sekilas dijeling emak mertuanya yang duduk membelakangkannya. Salmah diam sahaja.

“Amir, betul tak lapar?” Kirana minta kepastian.

Amir mengangguk. “Betul, mak su.”

“Bagusnya, Amir… tu tandanya Amir baca bismillah sebelum makan.” Selamba sahaja Kirana menjawab.

“Abang, pergilah temankan mak makan. Kira nak solat dulu ya mak, abang.”

“Kira tak nak makan sekali?” soal Haziq. Dia sudah berdiri.

Kirana tersenyum memandang Haziq. “Oh, Kira dah makan. Hari ni, Kira masak lemak ayam kampung.” Sengaja ditekan perkataan ayam kampung.

Salmah yang dari tadi asyik membelek beg yang baru dibeli itu memandang Kirana. “Kau guna ayam kampung dalam peti ais tu ke?” soal Salmah. Wajahnya berubah merah seperti mahu marah.

Kirana pura-pura tak tahu. “Ha’ah, mak. Dalam peti ais tu hanya ada ayam kampung. Takkanlah Kira ni nak sembelih sendiri kut ayam kat laman rumah tu.” Kirana buat muka manis. Dia tahu emak mertuanya marah.

Haziq memandang pelik emaknya. “Kenapa mak? Biarlah Kira masak ayam tu. Kat sini bukan susah sangat nak cari ayam kampung.”

“Hmm… yalah. Dah… dah… mak lapar dah ni.”

Kirana hanya memadang sahaja wajah Salmah.

“KIRA… kenapa Kira bagitahu mak tadi abang belikan barang-barang untuk Kira?” soal Haziq. Selepas solat maghrib, dia duduk dekat katil.

Kirana yang sedang menyikat rambut terhenti pergerakannya. Dia memandang Haziq melalui cermin meja solek itu. “Abang, kenapa? Tak boleh Kira beritahu semua tu?” Dia tahu Haziq akan mengungkit kembali peristiwa petang tadi. Hanya menunggu masa untuk diluahkan.

Haziq tersenyum memandang Kirana. Dia berdiri dan mendekati Kirana pula.

“Kira pun tahu kan mak abang tu macam mana. Jadi, abang tak naklah dia tahu yang abang bagi macam-macam kat kira.” Haziq memgang bahu Kirana. Rambut Kirana yang panjang itu disikat pula.

“Abang, cara mak abang bercakap tu seolah-olah Kira ni tak mampu nak beli semua barang tu guna duit Kira sendiri. Kira minta maaf sebab menjawab macam tu pada mak. Tapi, Kira nak mak sedar… Kira tak pernah pun cemburu dengan apa yang abang bagi pada dia. Abang anak dia. Kira pun tahu dalam Islam, sampai bila-bila pun emak abang tu tanggungjawab pada abang. Tapi… cara dia tu. Abang tengoklah dengan ayam kampung yang Kira masak tu…” Kirana terdiam. Serba salah dengan apa yang didengarinya ketika mahu turun memasak nasi goreng pagi tadi.

Haziq mengerutkan dahi. “Kenapa dengan ayam tu, Kira?” soal Haziq pula.

“Pagi tadi, Kira dengar mak bercakap dalam telefon. Mak kata, mak ada simpankan ayam kampung untuk dia. Tapi Kira tak tahu siapa. Mak suruh orang tu datang ke rumah petang nanti. Kira rasa orang yang mak bercakap tu macam…” Takut-takut Kirana menjawab. Dia takut Haziq kecil hati jika apa yang diberitahu ini silap.

“Arma?” soal Haziq.

Kirana mengangguk lambat-lambat. “Kira rasa ajelah.”

“Abang tahu, Kira. Betullah tu. Sebab tengah hari tadi mak nak pinjam telefon bimbit abang. Bila abang tanya, dia nak telefon siapa… dia jawab Arma,” jujur Haziq terangkan kepada Kirana.

“Jadi? Arma dah tahulah nombor telefon abang sekarang?” soal Kirana.

Haziq menggeleng. “Tak, sebab abang kata abang lupa nombor telefon Arma.”

Kirana tersenyum mendengar jawapan Haziq. “Abang, kenapa dengan mak tu? Kira rasa kekok tinggal dalam rumah ni. Kira cemburu dengan Imah. Mak mertua dia layan dia baik sangat tau, abang…”

“Abang tahu. Tak apa. Kira jangan letih tau layan mak abang dengan baik. Isteri abang kan baik? Insya-ALLAH bila Kira layan dia dengan baik, mesti terbuka juga hati mak tu terima Kira seadanya.”

“Eleh, tu cakap abang. Tapi hati mak tu keras sangatlah. Nak aje Kira cuci hati mak tu dengan air Zam Zam. Biar lembut sikit dengan Kira,” jawab Kirana.

“Amboi, pengakuan berani mati ni!” Haziq ketawa seketika. Dia tahu Kirana banyak bersabar dengan kerenah emaknya.

“Abang, bosanlah. Jom naik motor pergi pusing-pusing felda ni. Lama dah tak naik motor,” ajak Kirana.

“Hmm… bijak otak isteri abang ni. Good idea. Jom, abang pun gian dah nak merempit ni,” jawab Haziq.

Mereka sama-sama ketawa.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93972/diriku-usah-dicari