SAMPAI aje di kondo, aku mendahului langkah Adif masuk ke rumah. Lega hatiku apabila kata laluan rumah itu masih nombor yang sama. Ketika aku memasukkan kasutku ke atas rak, Adif berdiri dekat di belakangku.
“Tarikh kematian mak dan ayah.”
Aku terkejut. Serentak itu aku pusingkan tubuh menghadapnya. Kening sudah tertaut rapat tatkala melihat wajah mendung Adif.
“Apa dia? Apa maksud abang?”
“Kata laluan rumah kita ialah tarikh kehilangan mak dan ayah abang.”
“Kenapa beritahu Rian tentang hal ni?”
“Bersamaan tarikh Adelia mula disahkan jadi pesakit mental. Gila. Awal petang Adelia masuk wad tu, lepas maghrib mak dan ayah meninggal dunia.”
Dadaku berdetak kencang. “Kenapa beritahu Rian semua ni? Tak perlu dan Rian tak mahu tahu.” Aku mahu berpaling semula. Kesakitan di hatiku buat aku tidak mahu mendengar luahan rasa hatinya.
“Tarikh yang membuat hati abang dihambat untuk menuntut bela, membalas dendam segala apa yang terjadi pada keluarga abang.” Adif suarakan sambil memaut lenganku sehingga aku terpaksa berpaling semula menghadapnya.
Aku menggigit bibir kuat. Sakit mendengar kenyataan Adif walaupun aku sudah tahu keseluruhan cerita tentang dendamnya pada keluarga kami. Patut pun dia berdendam kerana dia sendiri yang memilih untuk mengingati peristiwa buruk yang menimpa hidupnya.
“Sekarang Rian dah tahu segalanya, jadi abang nak Rian berpihak kepada abang.” Dia cakap tanpa nada.
Aku terdiam. Mataku jatuh ke dasar anak matanya. Dia kacak. Masih kacak seperti beberapa bulan yang lepas sebelum kami mengikat janji ijab dan kabul. Dia tetap kacak sehingga membuat hati wanitaku diketuk debar melangit. Tetapi sayangnya dia juga lelaki yang bertanggungjawab memusnahkan kerjaya pa, meranapkan impian ma… Membuat hidup kami terbuang dan merana.
“Rian masih ada pa. Selagi benci yang ada di hati abang tu tak surut, Rian tak akan sama sekali berpihak kepada abang. Abang simpan saja masalah abang seorang diri. Bila Rian tahu apa yang abang dah buat pada pa, Rian dah rasa jijik, mual pada abang. Abang hiduplah dengan cara abang, Rian tak peduli.” Aku tolak tubuhnya yang menghalang pemergianku dan apabila dia melepaskan pautannya, kaki kubawa melangkah ke bilik yang paling hujung. Tak ingin untuk masuk ke bilik tidur utama milik Adif. Dia bukan lagi Adif yang dulu jadi bermakna dia juga bukannya suami yang aku miliki sebagai seorang isteri dalam erti kata sebenarnya.
“Rian ke mana?” Adif mengekori langkahku. Sampai di hadapan pintu bilik paling hujung aku segera membuka tombol pintu. Tapi belum sempat aku memasuki bilik itu Adif sudah menarik lenganku untuk menghadapinya sekali lagi.
“Kenapa ke sini?” soal Adif menekan. Aku hela nafas dalam.
“Rian tak layak untuk berada di bilik abang.”
“Apa yang tak layak? Rian masih marah?” soalnya mempamerkan wajah yang penuh dengan tanda tanya.
“Memang Rian marah! Apa abang ingat, dengan segala yang abang buat, Rian patut happy dan ketawa suka? Rian benci diri Rian sebab ikut abang ke sini. Kalau abang tak ugut, nak melangkah ke sini pun Rian tak ada hati.”
“Rian betul-betul dah benci abang?” Dia meminta kepastian sekali lagi.
Aku tersenyum nipis. Tangannya aku tepis sehingga jatuh ke sisi tubuhnya. Untuk apa ditanya benci sedangkan dia yang menyebabkan ini semua berlaku.
“Berapa kali kena ulang yang Rian memang dah bencikan abang? Abang harapkan Rian tambah suka, tambah cinta? Orang gila aje yang buat begitu, bang. Kalau…” Hendak saja aku sebut nama Adelia yang tidak siuman itu di hadapan Adif. Penamat ayatku aku gantikan dengan senyum sinisku.
Adif memandang wajahku kosong tanpa menunjukkan apa-apa reaksi. Sama ada dia sedar atau tidak makna di sebalik senyumku, langsung aku tak peduli. Kalaulah dia Adif yang dulu sudah pasti aku percaya dia sangat terluka saat ini tetapi aku tidak mahu tertipu lagi dengan helahnya.
“Abang tak percaya.”
Aku hela nafas panjang. Mata Adif kutentang berani. “Rasa sayang tu dah mati. Sebab dari dulu lagi Rian terima abang sebab pa dan ma yang berkenan. Bukan ikhlas dari hati ini. Bila pa dan ma tak suka kat abang, itu tandanya Rian pun tak suka pada abang.” Aku tipu dia sebab aku tak nak dia baca hati aku.
Walau jauh di sudut hati rasa sayang itu ada tapi aku tak mahu Adif tahu tentang rasa itu. Apabila sahaja aku membuat keputusan untuk membuang segala rasa cinta yang ada buat Ahmad Adif Rayqal, bermakna aku kena tegas pada diriku sendiri. Bukan setakat menipu dengan Adif dan orang lain semata-mata, tetapi aku kena menipu diri sendiri juga. Aku tak nak kerana kelemahan yang ada pada diriku, dia pergunakan untuk kepentingan dirinya.
“Abang faham kalau Rian tak suka abang buat masa ni…” Dia menggumam kecil.
“Rasa benci Rian tak sama macam abang. Abang boleh duduk di syarikat pa dan menatap wajah pa setiap hari walaupun dari rambut ke kaki pa tu boleh buat hati abang terbakar sakit. Tapi Rian lain, nak tengok muka abang pun Rian rasa jijik sangat.”
Adif tetap memandang wajahku tanpa rasa apa-apa, menelan kata-kataku yang semakin biadab terhadapnya. Memang dia hati batu. Biarlah! Biar dia buat muka selambanya tetapi aku tahu dia rasa sakit hati sangat dengan ucapanku tadi. Kalau boleh aku nak dia terluka lebih teruk dan tak mampu untuk bangun lagi.
“Rian tidur di bilik kita, ya?”
Aku menjuih bibir.
“Rian tak suka tengok bilik tu. Rian rasa macam neraka!” Aku masuk ke dalam bilik tetapi saat aku ingin menutup pintu Adif sudah menahan.
“Abang perlukan Rian, abang sunyi.”
Aku terkedu. Wajahnya kutenung tajam dengan hati yang terluka. “Abang ingat Rian ni pelacur?”
“Bukan itu yang abang maksudkan, Rian. Kalaulah Rian tahu apa yang abang rasa. Kalaulah Rian faham. Abang pun tak nak kita jadi begini tapi abang tak boleh bila tengok Adelia macam tu. Abang sakit hati tahu tak?” Dia tepuk dadanya tiga kali. Aku hanya terpaku tanpa kata. “Abang sa…”
“Abang sedar tak Rian ni anak perempuan kepada Muhammad Idris?” Aku menyampuk kata-kata Adif tegas. Adif panar memandang wajahku.
“Abang sedar tak bila abang buat family Rian macam tu, abang dah melukai hati Rian teruk-teruk? Berapa kali Rian kena ulang kata-kata ni supaya abang faham dan sedar yang Rian Aulia tak boleh dipisahkan dengan nama Muhammad Idris walaupun maut memisahkan kami?”
Air mata yang hendak mengalir kutahan bersungguh-sungguh lebih-lebih lagi teringat wajah tua pa yang terpaksa bersusah payah untuk memastikan kebahagiaan diriku.
“Tak payahlah abang nak berlakon jadi baik sebab Rian dah tahu segala-galanya. Layan je Rian macam sampah sebab memang abang nak Rian menderita selama ni, kan?”
Adif menggelengkan kepala beberapa kali. “I’m hurting myself,” gumam Adif mengeluh berat. Aku tahan jiwa yang sedang bergelombang besar.
“Abang hanya fikir luka di hati abang tetapi luka di hati Rian…” Aku tak habiskan kata-kataku kerana kuyakin dia mengerti apa yang kurasa. Adif, kulihat menghela nafasnya dengan berat.
“Abang seolah-olah tak percaya qadak dan qadar yang Allah dah tentukan. Kenapa abang salahkan pa bila kesilapan itu sebenarnya bukan datang daripada pa? Adik abang tu yang terhegeh-hegeh nakkan pa, mahu merosakkan rumah tangga ma dan pa Rian. Abang mahu nafikan benda tu kerana Adelia tu adik abang. Kenapa tak guna akal abang untuk melihat segala yang berlaku dari segenap sudut? Jangan salahkan ma dan pa Rian kalau hati Adelia tu yang busuk! Jadi, jangan salahkan Rian bila abang terluka, sebab abang sendiri yang sengaja menempah bala! Abang tak guna akal abang untuk melihat segala yang berlaku dengan mata hati abang!”
Pang!
Perit pipiku menahan pedih. Walaupun tak kuat Adif melayangkan tangannya tetapi aku tahu Adif melepaskan marahnya kepadaku. Aku sedar sangat-sangat hal itu. Kenapa nak pukul sedangkan apa yang aku cakapkan ni satu kenyataan?
Sedih tak usah cakap tapi andainya perlakuan fizikal boleh memuaskan hati Adif, menghilangkan rasa benci untuk pa, aku sanggup dipukul berkali-kali. Sayangnya hati Adif tak selembut itu untuk memaafkan orang lain. Aku dah terlebih sedar yang dia takkan boleh terima pa lagi sampai bila-bila. Hati Adif dah jauh tersasar.
“Terima kasih…” Di hujung bibir tertera senyuman pahit. Ma dan pa tak pernah sekalipun angkat tangan tapi Adif yang belum lama menjadikan aku sebagai haknya sudah menampar wajahku buat julung-julung kalinya.
Menyesalkah aku dipertemukan dengan lelaki ini? Menyesalkah? Kalau aku tidak bertemu dengannya, tidak mengenalinya, tidak bersetuju dengan cadangan ma dan pa, mungkinkah hidupku sekarang lebih bahagia? Ya Allah, sesungguhnya semua itu terjadi kerana takdir-Mu. Dipertemukan dengan Ahmad Adif Rayqal, berjodohan dengannya sehingga ke jenjang pelamin, semua itu ketentuan takdir.
“Rian jangan cabar abang!”
“Rian tak pernah cabar abang, abang yang cabar diri sendiri. Terima kasih untuk tamparan abang ni, Rian akan ingat sampai Rian mati.”
“Rian!” Adif mengetap bibir kuat, menahan amarahnya yang semakin meluap-luap.
“Abang fikirlah dalam-dalam, jangan menyesal di kemudian hari. Rian tak mampu tolong diri abang bila abang tak tolong diri sendiri. Dan Rian nak abang ingat dalam otak dan kepala abang, mungkin sebelum ni segala-galanya berlaku seperti yang abang rancang. Kahwin dengan Rian, rampas syarikat pa, biarkan pa dan ma hidup merempat… Tapi lepas ni jangan mimpi untuk berjaya lagi sebab Rian tak akan benarkan rancangan keji abang tu berjaya lagi. Memang patut pun adik abang jadi gila sebab abang pun memang gila!”
Mungkin sebab dia marah sangat, kata-kataku pun terlebih biadab, dia macam nak pukul aku lagi tapi bila aku nampak dia ketap bibir kuat, aku tahu dia cuba tahan dirinya daripada berlaku kasar kepadaku lagi. Bukan dia seorang sahaja sedang marah sekarang ni sebab apa yang aku rasa lebih daripada perasaan marah. Lebih daripada perasaan sedih, kecewa, terkilan, terluka dan benci terutamanya mengenangkan kehidupan keluargaku kini kerana helah dan permainan kotor Adif.
“Kalau Rian tak nak abang berlakon lagi, fine! Mulai hari ini kita bawa haluan masing-masing! Tapi dendam abang untuk Adelia takkan pernah padam, Rian! Selagi dia begitu selagi itulah pa perlu membayar segala-galanya! Dan mulai sekarang Rian pun akan menderita seperti pa sebab Rian sendiri yang pilih untuk sakit!” Adif menempelak kasar. Urat-urat di dahinya kelihatan tegang.
Hatiku tertoreh buat kesekian kalinya. Terasa Adif benar-benar membuang diriku jatuh ke telapak kakinya. Aku bukan lagi insan yang bermakna buat dia di dalam hidupnya dan aku memang tak pernah penting pun dalam hidupnya selama ni.
Anda dapati novel ini menarik untuk dibaca? Boleh ke pautan tertera di bawah untuk pembelian;
https://www.e-sentral.com/book/info/338435/Di-Hatiku-Ada-Kamu