[SNEAK PEEK] CUKUP SAMPAI DI SINI

CUKUP SAMPAI DI SINI Oleh Viviana Rose

“SYAFIQAH, bangun!” jerit Mak Long Kiah dari sebalik pintu bilik. Sengaja suaranya ditinggikan. Mak Long Kiah geram sebenarnya apabila panggilannya tidak disahut. Kini, tangannya pula mengetuk pintu bilik bertubi-tubi hingga bergegar.
Terpisat- pisat Syafiqah bangun lalu menggosok-gosok matanya apabila mendengar suara Mak Long Kiah yang menjerit memanggil namanya. Segera pandangan matanya dihalakan ke arah jam loceng yang terletak di atas meja kecil di tepi katilnya.
Pukul 8.00 pagi! Patutlah kuat benar suara mak longnya itu memanggilnya. Kelam kabut dia bangun dari katil lalu menuju ke arah pintu biliknya. Jika dia lambat, pasti akan terbuka pintu biliknya akibat diketuk dengan kuat.
Hatinya berdebar-debar kerana takut dia akan dimarahi lagi. Entah kenapa sejak beberapa hari ini, dia sering bangun lewat. Cuma apa yang dia tahu sejak akhir-akhir ini badannya terasa lemah dan tidak bermaya. Mungkin kurang tidur kerana terlalu memikirkan masalah yang menimpa dirinya itu. Atau adakah dia… tidak! Dia tidak mahu memikirkan itu. Tombol pintu bilik dipulas pantas.
“Mak long… Sya minta maaf sebab Sya tertidur lagi,” kata Syafiqah perlahan. Mata Mak Long Kiah tidak berani dipandang.
“Apa kena dengan kamu ni, Sya? Selalu elok aje kamu bangun awal. Tapi sekarang, dah dua tiga hari kamu asyik bangun lambat. Jangan manjakan sangat diri kamu tu. Ingat, tak sampai dua minggu saja lagi keluarga Zikri akan datang meminang kamu,” bebel Mak Long Kiah diikuti dengan gelengan.
Sebenarnya dia risau dengan perangai Syafiqah. Bimbang dikatakan orang yang dia tidak pandai mengajar anak dara dalam rumahnya. Padahal dia sendiri tidak sedar yang Zakiah dan Zaleha sebenarnya telah dimanjakan sejak kecil. Mereka dibiarkan saja jika enggan membantunya membuat kerja-kerja di dapur.
“Ya, mak long. Mungkin sebab Sya tidur lewat malam semalam, tu yang Sya terlambat bangun pulak,” kata Syafiqah dengan harapan Mak Long Kiah akan menerima alasannya. Lagipun bukannya dia sengaja hendak bangun lewat.
“Pergi mandi cepat dan tolong buat apa yang patut kat dapur tu,” arah Mak Long Kiah sebelum beredar.
Syafiqah mengangguk perlahan. ‘Mana Zakiah? Takkan tak boleh nak menolong sekali-sekala?’ tanya hatinya.
Pantas dia mengambil tuala dan melangkah menuju ke bilik air. Baru sahaja kakinya memijak dapur, tiba-tiba pandangannya berpinar-pinar. Dirasakan bumi seakan berpusing- pusing. Akhirnya dia rebah tidak sedarkan diri
Mak Long Kiah yang terdengar bunyi seperti benda terjatuh dari arah dapur, pantas menuju ke dapur. Dia terperanjat apabila mendapati Syafiqah terbaring dan tidak sedarkan diri di situ. Cepat-cepat dia menuju ke arah Syafiqah. Kepala gadis itu dipangku. Panas! Pipi Syafiqah ditampar lembut. ‘Demam ke dia ni?’ soalnya di dalam hati. Dia sedikit cemas.
“Sya… Sya…” panggil Mak Long Kiah sambil menepuk-nepuk pipi Syafiqah. Namun, gadis itu masih tidak sedarkan diri.
“Kenapa Sya ni, mak?” soal Zakiah yang baru tiba di situ.
Zakiah hairan melihat Syafiqah yang terbaring di ruang dapur. Ingatkan barang yang terjatuh tadi, tapi rupa-rupanya Syafiqah. Patutlah kuat benar bunyinya. Fikirnya di dalam hati.
“Entahlah Zakiah. Tiba-tiba saja dia pengsan kat sini. Hah, tolonglah ambilkan air dalam bekas kecil. Mak nak basahkan muka dia ni,” arah Mak Long Kiah kepada anaknya Zakiah.
Pantas Zakiah bergerak mengambil air di dalam mangkuk kecil lalu dihulurkan kepada emaknya. Kemudian, dia juga ikut duduk di sisi Syafiqah. Wajah dan leher Syafiqah dibasahkan sedikit demi sedikit sebelum pipinya ditepuk-tepuk lagi.
Tidak lama kemudian, Syafiqah mula membuka matanya. Sebaik sahaja membuka mata, Syafiqah hairan melihat Mak Long Kiah dan Zakiah ada di sisinya. Kedua-dua mereka memandang wajahnya dengan riak cemas yang jelas terpamer.
“Mak long… kenapa ni, mak long?” soal Syafiqah perlahan sambil cuba bangun. Kepalanya terasa berat dan berdenyut-denyut. Pantas tangannya memicit lembut kepalanya untuk mengurangkan sedikit rasa sakitnya.
“Kau pengsan tadi.” Pantas Zakiah menjawab sambil matanya memandang Syafiqah. “Kau sakit ke Sya?” soal Zakiah lagi.
“Macam mana kamu boleh pengsan ni, Sya? Badan kamu panas, kamu demam ke?” soal Mak Long Kiah pula.
“Tak, mak long. Sya cuma rasa letih aje,” jawab Syafiqah sambil tangannya meraba-raba dahinya. ‘Dia demam ke? Dahinya cuma panas sedikit saja. Tapi kenapa dia boleh pengsan pula?’ Hatinya berbicara sendiri.
“Tapi badan kamu panas. Cepatlah pergi mandi. Lepas tu, kita pergi klinik,” arah Mak Long Kiah. Risau juga dia jika keadaan Syafiqah bertambah melarat.
“Tak apa mak long, sikit aje ni,” ujar Syafiqah cuba membantah.
Dia enggan dibawa ke klinik kerana tidak mahu menyusahkan Mak Long Kiah. Dalam diam dia terharu juga dengan perhatian Mak Long Kiah. Dia ingatkan Mak Long Kiah langsung tidak ada sekelumit pun perasaan sayang kepadanya. Ternyata dia silap.
“Jangan nak mengada-ngada. Kalau kamu pengsan lagi, macam mana? Aku tak nak orang kampung mengata aku mendera kamu pula,” marah Mak Long Kiah apabila Syafiqah cuba menolak untuk dibawa ke klinik.
Perlahan-lahan Mak Long Kiah bangun setelah yakin yang Syafiqah sudah sedar sepenuhnya dan boleh berjalan sendiri.
“Er… baik, mak long.” Lambat-lambat Syafiqah bangun. Badannya terasa sakit dan lemah.
“Boleh ke kau bangun ni Sya?” soal Zakiah apabila melihat Syafiqah yang masih terkial-kial hendak bangun.
“Boleh… jangan risau,” jawabnya sambil mengangguk-angguk.

DOKTOR wanita itu tersenyum sambil terangguk-angguk perlahan. Syafiqah dan Mak Long Kiah dipandang dengan mata yang bersinar. Reaksi yang ditunjukkan oleh doktor itu membuahkan tanda tanya di hati Syafiqah. Apa sebenarnya yang berlaku sampai doktor wanita itu tersenyum sambil kepalanya terangguk-angguk perlahan sebegitu? Kalau dia sakit, mustahil doktor itu jadi gembira pula. Dia pelik dan hairan. Perilaku doktor itu tidak boleh diterima oleh Syafiqah.
“Apa sebenarnya penyakit saya, doktor?” tanya Syafiqah yang sudah tidak sabar. Jari-jemarinya digenggam kuat.
“Awak tak ada apa-apa masalah, cuma…”
“Cuma apa, doktor?” sampuk Syafiqah sebelum sempat doktor itu menghabiskan bicara.
Dia semakin tidak sabar untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku kepada dirinya. Dia pengsan, tapi doktor wanita di hadapannya itu mengatakan yang dia tidak ada apa-apa masalah. Apa maksudnya? Takkanlah pengsan itu sesuatu yang baik pulak. Soal hatinya yang masih lagi keliru.
“Hisy… kamu ni. Kalau ya pun, dengarlah dulu apa yang doktor nak cakap,” sampuk Mak Long Kiah yang kurang senang dengan perangai tidak sabar Syafiqah itu. Dicubit sedikit lengan Syafiqah yang duduk di sisinya itu.
Syafiqah terdiam sambil menggosok-gosok lengannya yang sakit akibat cubitan Mak Long Kiah. Wajah doktor di hadapannya itu dipandang lagi.
“Selepas pemeriksaan dan ujian air kencing, puan didapati mengandung. Tahniah!” ucap doktor wanita itu sambil bibirnya tetap mengukirkan senyuman. Salam dihulur kepada Syafiqah yang sudah pun terkaku. Ditarik balik tangannya apabila huluran salamnya tidak bersambut.
“Apa?” jerit Mak Long Kiah sambil pandangannya dihalakan ke wajah Syafiqah yang sudah tertunduk.
Matanya sudah merah menahan marah. Bahang panas di wajahnya juga dirasakan sudah hampir menggelegakkan otaknya. Ditarik nafasnya, dalam dan berat, cuba mengawal api kemarahan yang boleh membara bila- bila masa sahaja.
“Err… kenapa, mak cik?” soal doktor itu yang hairan melihat reaksi dua orang wanita di hadapannya itu.
“Tak ada apa-apa, doktor. Terima kasih,” jawab Mak Long Kiah pantas.
Dia tidak mahu doktor di hadapan mereka itu berasa curiga. Bagaikan hendak tercabut nyawanya mendengar apa yang disampaikan oleh doktor itu sebentar tadi. Nasib baik sekarang ini mereka berada di klinik. Kalau tidak, sudah diganyang Syafiqah sepuas hatinya. Biar sampai mati pun dia tidak kisah. Syafiqah sudah menconteng arang ke mukanya. Akan malulah dia jika orang kampung mengetahui tentang perkara itu.
Syafiqah, anak saudara Mak Long Kiah mengandung anak luar nikah! Mak Long Kiah tidak tahu menjaga anak saudaranya! Mak Long Kiah memejamkan matanya seketika. Tidak sanggup hendak membayangkan umpatan dan penghinaan oleh orang kampung yang bakal diterimanya selepas ini. Perlahan nafasnya ditarik. Berat dan dalam.
Syafiqah yang tertunduk sudah mula hendak menangis. Jantungnya bagaikan dirobek keluar dari badannya. Lemah lututnya ketika itu. Dia tidak tahu bagaimana hendak melalui hari-hari mendatang. Dia buntu. Mahu saja dia menjerit sekuat hati. Biar dunia tahu yang dia hidup menderita. Biar seluruh isi alam tahu yang dia tersiksa di dalam permainan takdir yang tertulis untuknya. Tapi, suara-suara keluhan hatinya itu tidak mampu dia luahkan. Hanya tersekat di dalam dadanya. Air liur ditelan. Perit. Dia kaku sendiri.
“Kalau macam tu, puan boleh ambil vitamin yang akan dibekalkan di kaunter hadapan. Kandungan puan masih baru, jadi banyakkan rehat. Jangan buat kerja yang berat-berat. Semua vitamin tu perlu dimakan secara teratur,” pesan doktor yang sudah mula curiga dengan babak yang terpampang di hadapan matanya itu.
Namun, dia tidak mahu menambahkan lagi bara yang sudah hampir menyala jika dia bertanya lagi. Gadis muda yang berwajah lesu di hadapannya itu dipandang.
“Baiklah doktor,” jawab Mak Long Kiah pantas lalu segera menggamit Syafiqah yang hanya diam menunduk di sisinya itu tanda diajak beredar. Sempat jelingan tajam dihadiahkan untuk Syafiqah.
Syafiqah tidak mampu bercakap apa-apa lagi. Dunianya seakan gelap. Macam mana jika Zikri dan keluarganya mengetahui perkara itu? Dia menyangka semuanya sudah selesai selepas Zikri tetap dengan pendirian untuk mengahwini dirinya. Tapi kini, dia diuji lagi dengan kandungan yang tidak pernah difikirkan oleh akalnya. Anak itu adalah anak lelaki yang merogol dan memusnahkan impian hari depannya.
Matanya dipejamkan sebelum dibuka semula. Dia kemudiannya bangun perlahan lalu menuruti langkah Mak Long Kiah yang sudah pun berjalan meninggalkannya. Dia tahu, Mak Long Kiah pasti akan mengamuk kepadanya sebentar lagi.
‘Ya ALLAH, kenapa harus begini nasibku? Kenapa? Tidakkah ada sekelumit bahagia untukku? Tidak cukupkah dugaan yang selama ini aku lalui?’ rintih hati kecil Syafiqah.
Dia seolah-olah lupa tentang qada dan qadar yang telah ditentukan oleh-NYA. Dia lupa tanggungjawabnya sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pencipta. Dia juga lupa tentang janji ALLAH, setiap hamba-NYA yang bersabar pasti akan beroleh kemenangan. Dia benar-benar lupa!

****

MAK LONG KIAH memandang dengan perasaan geram wajah Syafiqah yang sedang bermandi air mata di hadapannya itu. Kalau diikutkan rasa hatinya yang sedang marah, memang dipijak-pijaknya Syafiqah biar mati. Dia betul-betul tidak menyangka yang Syafiqah sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu seterusnya memalukan keluarga mereka.
Memang terlalu panas rasa hatinya ketika itu hinggakan kipas siling yang berputar di ruang tamu tidak lagi terasa sejuknya. Syafiqah telah menconteng arang ke mukanya! Tidak cukup baik lagikah dia menjaga Syafiqah selama ini? Apa yang dia hendak jawab kepada orang kampung jika rahsia itu terbongkar dan tersebar luas?
“Apa yang kau dah buat ni, hah? Ini balasan kau selepas aku menjaga kau selama ni? Dasar tak sedar diri!” Bergema suara Mak Long Kiah memarahi Syafiqah sambil matanya merah menahan marah.
“Kau tahu tak, kau ni dah memalukan aku? Memalukan keluarga ni? Mana aku nak letak muka aku ni kalau orang kampung tahu yang dalam perut kau tu ada anak haram?” Mak Long Kiah mengherdik Syafiqah.
Sekali lagi Mak Long Kiah menampar wajah Syafiqah. Kemudian, rambut Syafiqah pula ditarik-tarik hingga gadis itu terjerit-jerit menahan sakit. Kemarahannya sudah tidak mampu lagi dikawal. Tingkahnya sudah seperti orang yang sedang kerasukan.
“Sudahlah tu, Kiah. Bawa-bawalah mengucap. Kalau kamu bunuh budak Syafiqah ni sekalipun, takkan selesai juga semua masalah,” nasihat Pak Deris kepada isterinya yang masih tidak puas-puas lagi memukul Syafiqah.
Memang dia juga marahkan Syafiqah. Tapi, apalah gunanya memukul Syafiqah sebegitu rupa. Bukannya dapat memulihkan semula maruah yang sudah pun tercalar.
“Abang jangan nak sebelahkan dia pulak. Dah dia buat salah, takkanlah saya nak bersorak gembira pulak? Malu saya bang. Malu!” bentak Mak Long Kiah. Kali ini dia menunjal-nunjal pula kepala Syafiqah hingga gadis itu hampir rebah terlentang.
“Saya tahulah Syafiqah dah buat salah. Tapi, apalah salahnya kalau kita berbincang elok-elok anak-beranak? Ini tidak, macam dah tak ingat dunia awak pukul dia, sepak terajang dia. Mati pulak budak Syafiqah ni nanti. Awak kena ingat, Syafiqah ni mengandung. Anak kat dalam perut dia tu tak salah,” nasihat Pak Deris lagi.
Geram juga Pak Deris dengan perangai isterinya itu. Isterinya bagaikan orang hilang akal apabila memukul Syafiqah hingga lupa akan kandungan itu.
Syafiqah yang sedang menangis hanya tunduk membatu memandang lantai. Tidak berani dia hendak bersuara, lagi gerun hendak mengangkat wajah. Mak Long Kiah seperti dirasuk ketika memukulnya tadi. Terasa pedih dan perit tubuhnya ketika ini. Namun, itu semua tidak mampu menandingi luka di hati kecilnya, tidak mampu memadamkan rasa kecewa yang sedang berlingkar di jiwanya.
Mak Long Kiah berasa geram terhadap suaminya. Sudahlah hatinya sakit begitu, ditegur pula oleh suaminya kerana dia memarahi Syafiqah. Tidak sedarkah suaminya itu akibat yang akan mereka tanggung jika perkara itu terbongkar? Kesalahan yang Syafiqah lakukan bukannya kesalahan yang kecil dan senang untuk dimaafkan. Wajah Syafiqah ditatap lagi.
“Siapa yang buat kau macam ni, Syafiqah? Baik kau cakap sebelum darah aku naik semula!” tanya Mak Long Kiah dengan nada suara yang masih keras.
Sementara jarinya pula menunjuk ke muka Syafiqah. Tajam pandangannya menikam anak mata Syafiqah.
“Sya tak kenal lelaki tu, mak long. Sya tak kenal…” jawab Syafiqah jujur.
Sememangnya dia tidak mengenali lelaki itu. Kalau dia kenal sekalipun, mahukah lelaki itu mengaku? Meskipun lelaki itu mengaku, apa yang mak longnya itu boleh lakukan? Kahwinkan mereka? Tidak! Dia tidak ingin menjadikan lelaki yang berhati binatang dan mempunyai nafsu serakah seperti itu sebagai suaminya. Tidak sesekali-kali. Lelaki seperti itu tidak layak untuk dijadikan pemimpin dalam rumah tangga.
“Jangan kau nak menipu aku, bodohkan aku. Baik kau cakap betul-betul. Ini mesti kerja Zikri, kan? Apa yang kau nak lindungkan sangat budak Zikri tu? Ah, aku tak peduli, Zikri kena bertanggungjawab!” putus Mak Long Kiah.
“Tapi mak long… bukan Zikri yang buat,” jawab Syafiqah sambil menafikan keterlibatan Zikri dalam hal itu.
Syafiqah tidak boleh melibatkan Zikri dalam hal ini. Zikri benar-benar tidak bersalah.
“Habis tu, siapa? Hii… geramnya aku! Cakaplah, siapa? Jangan kau nak berdolak-dalih lagi.” Mak Long Kiah memekik. Geram dengan kedegilan Syafiqah yang masih tidak mahu memberitahu siapakah lelaki yang telah membuatkan dirinya hamil.
“Sya dah cakap, Sya tak kenal lelaki tu. Sya dirogol!” tegas Syafiqah.
“Rogol? Bila masa pulak kau kena rogol? Jangan kau nak buat-buat cerita pulak. Dah mengandung anak haram macam ni, pandai pulak kau nak beralasan,” marah Mak Long Kiah.
“Masa kau buat benda tak senonoh tu tak pulak kau guna kepala otak kau,” tambah Mak Long Kiah lagi. Kecil besar dipandang Syafiqah yang sedang duduk di hadapannya itu.
“Sya tak buat benda tak senonoh tu, mak long. Sya kena rogol masa… hari Sya balik lewat dari kebun dan bibir Sya yang pecah tu,” jawabnya jujur.
Kemudian, dia menundukkan wajahnya semula. Tidak sanggup bertentang mata dengan Mak Long Kiah yang masih berdiri di hadapannya itu.
“Habis tu, kenapa kau tak cakap dari hari tu lagi? Kenapa baru sekarang? Kau ingat orang kampung akan percaya?” soal Mak Long Kiah lagi sebaik mendengar jawapan Syafiqah. Dia masih tidak berpuas hati.
“Kiah… dah lah tu. Benda dah jadi, nak buat macam mana?” sampuk Pak Deris setelah lama mendiamkan diri.
Tiba-tiba kedengaran bunyi deruman motosikal di halaman rumah. Faizal yang baru sampai hairan mendengar suara emaknya yang tinggi. Cepat-cepat dia melangkah masuk ke dalam rumah. Dibelek satu per satu wajah-wajah yang ada di hadapan matanya. Semuanya berwajah tegang.
“Apa yang dah berlaku ni? Kenapa Sya menangis?” soal Faizal agak hairan.
“Ni… perempuan tak tahu malu ni, dia dah mengandung!” Pantas Mak Long Kiah menjawab soalan Faizal. Tidak ada apa yang perlu dirahsiakan daripada Faizal.
“Kiah…” Pak Deris menegur isterinya.
“Apa?” Terperanjat Faizal mendengarnya. Dia yang baru sampai segera keluar dari rumah dan dengan pantas melompat ke atas motosikalnya. Enjin motosikal dihidupkan. Berdesup motosikal Faizal bergerak meninggalkan halaman rumah.
Pak Deris dan Mak Long Kiah yang terperanjat dengan tindakan Faizal serentak memanggil nama Faizal. Namun, tidak diendahkan.
“Itulah kamu. Apa pulak yang hendak dibuat oleh budak Faizal tu?” soal Pak Deris sambil menyalahkan Mak Long Kiah.
“Apa pulak saya? Bukan saya yang mengandung,” tukas Mak Long Kiah geram.

“ZIKRI!!” Nyaring suara Faizal menjerit memanggil Zikri dari tangga rumah. Bibir diketap menahan marah sambil tangannya digenggam.
“Ada hal apa ni, Faizal?” soal Mak Nah yang hairan dengan kedatangan Faizal secara tiba-tiba. Muka bengis Faizal dipandang dengan penuh tanda tanya.
“Zikri mana, Mak Nah?” soal Faizal yang tidak ingin membuang masa.
“Ada kat dalam, masuklah,” pelawa Mak Nah.
Mendengar sahaja jawapan itu, pantas Faizal mengatur langkah dan mencari Zikri di dalam rumah. Zikri yang dilihatnya sedang berbaring di hadapan televisyen segera ditarik.
“Jantan tak guna!” Buk! Satu tumbukan tepat singgah di wajah Zikri.
“Ya ALLAH! Apa ni, Faizal?” soal Mak Nah cemas.
Mak Nah agak terperanjat dengan tindakan spontan Faizal itu.
“Kenapa ni? Apa salah aku?” soal Zikri yang masih terpinga- pinga.
Zikri hairan dengan tindakan Faizal. Tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba saja wajahnya menjadi santapan penumbuk Faizal. Faizal yang berdiri di hadapannya itu dipandang. Nasib baik Faizal adalah abang sepupu Syafiqah. Jika tidak, sudah pasti dia akan membalas tumbukan Faizal yang dirasakan agak kuat. Terasa sakit dan berdenyut pipinya itu. Diusap-usap perlahan pipi dan rahangnya yang terasa sakit dan sedikit ketat.
“Tumbukan tu tak cukup untuk menebus maruah Syafiqah yang dah kau rosakkan,” jawab Faizal tegas. Pandangan matanya tajam menikam wajah Zikri. “Kalau ikutkan hati aku, aku bunuh kau sekarang jugak!” sambung Faizal lagi.
“Tapi… aku tak buat apa-apa pun pada Syafiqah. Aku tak fahamlah!” Zikri cuba menafikan tuduhan Faizal. Memang dia tidak pernah melakukan perkara yang tidak elok terhadap Syafiqah. Dia sayangkan gadis itu!
“Jangan nak buat-buat tak faham pulak. Sekarang Syafiqah dah mengandung, dan aku nak kau ikut aku jumpa mak dan ayah aku, sekarang!” Bergema jeritan Faizal di ruang tamu rumah Mak Nah.
“Syafiqah mengandung? Betul ke ni Zikri?” soal Mak Nah.
Hampir pengsan dia mendengar apa yang diucapkan oleh Faizal itu. Hancur hatinya mengenangkan perbuatan anak terunanya itu. Tidak cukup lagikah didikan agama yang diberikannya selama ini? Dia menangis. Kesal dengan perbuatan Zikri. Tidak bolehkah Zikri bersabar sedikit masa lagi?
“Zik tak buat, mak. Semua ni salah faham,” jelas Zikri jujur.
“Habis tu, kalau bukan kau, siapa lagi?” pekik Faizal lalu menarik Zikri keluar dari rumah itu untuk dibawa berjumpa dengan emak dan ayahnya.
Dia yakin Zikrilah orangnya kerana dia mengetahui yang Syafiqah sedang bercinta dengan Zikri. Mak Nah turut bergegas memanggil anaknya Fikri lalu meminta untuk pergi segera ke rumah Mak Long Kiah.

****

“MAK tak setuju!” Mak Nah tetap bertegas dengan keputusannya. Zikri tidak boleh meneruskan niatnya untuk mengahwini Syafiqah. Walau apapun alasan Zikri, dia tetap tidak mahu anak terunanya itu menjadi pak sanggup untuk menutup malu keluarga Syafiqah. Belum ada lagi keturunannya yang menjadi pak sanggup begitu.
“Tapi mak… Syafiqah tak bersalah. Zik cintakan dia, mak. Izinkanlah Zik selamatkan maruah dia,” kata Zikri separuh merayu.
Mak Nah memandang tepat wajah Zikri. Diamati raut wajah anak terunanya itu. Jelas pada penglihatannya, Zikri memang benar-benar cintakan Syafiqah. Hinggakan semput dadanya apabila terpaksa menahan kedegilan Zikri yang tetap memujuknya dari tadi. Dia mengeluh keras.
“Tapi, takkanlah kamu nak jadi pak sanggup pulak? Dah terang-terang tu semua bukan perbuatan kamu. Anak tu pulak, bukan anak kamu. Apa pun alasan kamu, mak tetap tak setuju!” tegas Mak Nah sekali lagi.
Mana mungkin dia akan mengizinkan anak terunanya itu berkahwin dengan gadis yang sudah ditebuk tupai, mengandung pula tu. Mak Nah membuang pandangan ke arah katilnya. Bingkas dia bangun dari duduknya lalu bergerak menuju ke arah katil. Ditepuk- tepuk bantal di atas katilnya, lagak seperti orang hendak mengemas katil. Perbuatannya itu sebenarnya sekadar untuk menenangkan hatinya yang geram terhadap permintaan Zikri.
“Tolonglah, mak. Zik merayu pada mak. Zik tak sanggup tengok Syafiqah sedih begitu,” rayu Zikri sambil tangannya cuba mencapai tangan emaknya itu tetapi ditepis. Zikri meraup wajahnya berkali- kali.
“Mak kata tidak, tidaklah! Kenapa kamu ni gila sangat nak kahwin dengan Syafiqah hah, kenapa? Macam dah tak ada perempuan lain lagi dalam kampung ni yang kamu boleh buat bini,” jawab Mak Nah dengan suara yang sudah mula meninggi.
“Zik tak nak kahwin dengan perempuan lain. Zik hanya nak kahwin dengan Syafiqah. Zik cintakan dia,” jawab Zikri.
“Mak tak nak orang kampung ni mengata yang kamu ni mengambil perempuan yang sudah jadi sisa orang lain. Apa pun, keputusan mak muktamad,” sambung Mak Nah lagi tanpa memandang wajah Zikri. “Dahlah mak mengantuk, mak nak tidur,” sambungnya lagi.
Segera Mak Nah merebahkan dirinya di atas katil. Bantal di tepinya diambil lalu ditutup ke mukanya. Sengaja dia berbuat begitu kerana tidak mahu Zikri terus-terusan memujuknya. Risau hati kecilnya terpujuk dengan rayuan Zikri.
Sesungguhnya dia sebenarnya menyukai Syafiqah, tapi dia juga tidak sanggup anaknya menjadi penutup kepada perbuatan orang lain. Kalau Syafiqah tidak mengandung, mungkin boleh lagi dia bertolak ansur.
Zikri hanya mampu memandang emaknya baring dan menutup muka dengan bantal. Dia mengeluh lagi. Jika diikutkan kasih dan cintanya kepada Syafiqah, sudah tentu dia akan tetap mengahwini Syafiqah walau tanpa keizinan emaknya. Namun, hati emaknya juga harus dijaga kerana di situlah letak syurganya. Dia tidak mahu menjadi seorang anak yang derhaka dan dilaknat oleh ALLAH jika dia bertindak mengikut kata hatinya sendiri. Restu seorang ibu amat penting untuk seorang anak mengharungi hidup.
Dia pasrah andai jodohnya dengan Syafiqah tiada. Dia cuma mampu berdoa dan berharap agar esok atau lusa, hati emaknya akan terbuka untuk menerima Syafiqah seperti sebelum ini.
Diusap wajahnya sambil melepaskan satu keluhan yang berat. Kesal kerana telah tersilap cakap. Kalaulah ketika di rumah Syafiqah malam itu dia mengaku saja yang anak dalam kandungan Syafiqah itu adalah anaknya, tentu mereka akan dinikahkan saja tanpa banyak soal.

KELIHATAN Mak Long Kiah mundar-mandir di ruang tamu rumahnya. Dia risau kerana emak Zikri telah membatalkan majlis pertunangan antara Zikri dan Syafiqah. Dia juga risau jika Syafiqah tidak dapat berkahwin secepat mungkin sedangkan perut Syafiqah semakin hari, semakin membesar. Hendak dicari lelaki yang telah membuat Syafiqah jadi begitu memanglah mustahil memandangkan Syafiqah juga tidak mengenali lelaki yang telah merogolnya. Tangannya menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Buntu memikirkan jalan penyelesaian yang harus diambil.
“Macam mana ni, bang? Risau saya ni. Kepala pun dah rasa macam nak pecah dibuatnya,” kata Mak Long Kiah kepada Pak Deris yang duduk di atas kerusi kayu di ruang tamu. Dipandang wajah tenang suaminya itu. Orang tua ni, kita tengah risau begini, dia pula boleh senang-senang baca buku macam tak ada apa-apa yang berlaku! Marah Mak Long Kiah di dalam hati.
“Kita nak buat macam mana lagi, Kiah? Dah emak Zikri tu tak nak anak dia jadi pak sanggup, terpaksalah kita terima aje. Takkan kita nak paksa pulak dia. Dah terang-terang itu bukan salah Zikri” kata Pak Deris sambil memandang isterinya itu.
Pak Deris rimas sebenarnya apabila isterinya itu tidak berhenti berjalan ke hulu ke hilir dari tadi. Sudahlah dari tadi dia asyik jadi mangsa pertanyaan isterinya itu. Kalau tidak dijawab, merajuk pula nanti. Hendak dijawab, tak tahu pula jawapannya.
“Perut Syafiqah tu bukannya semakin hari semakin kecil, bang! Kalau setakat anak kucing yang mengandung, tahulah saya nak campak ke mana. Tapi Syafiqah ni, anak saudara saya, anak saudara abang jugak,” kata Mak Long Kiah.
Mak Long Kiah geram dengan jawapan sambil lewa suaminya itu. Kalau dulu suaminya boleh jadi tempat dia mengadu dan berkongsi masalah, kenapa sekarang suaminya itu seperti tidak peduli pula dengan masalah yang menimpa keluarga mereka? Mak Long Kiah mendengus kasar.
“Itu saya tahulah, Kiah oi. Habis tu, takkan kamu nak buat pengumuman tanya siapa yang nak jadi suami Syafiqah pulak?” kata Pak Deris. Kepalanya juga berserabut sebenarnya memikirkan masalah Syafiqah itu. Tapi dia juga tidak tahu apa yang dia perlu lakukan. Kalau terlalu dibebani kepalanya, takut tekanan darahnya pula akan mencanak naik.
“Ke situ pulak abang ni. Orang tengah runsing macam ni, dia nak main-main pulak,” celah Mak Long Kiah yang agak marah sambil mencebik bibir. Tidak bolehkah suaminya itu cuba untuk memahami situasinya kini? Bertambah-tambah geram rasa hatinya.
“Dah kamu tak berhenti-henti tanya saya,” ucap Pak Deris ringkas. Dijeling sekilas wajah isterinya yang sudah masam mencuka.
“Abang kan suami saya, dah tentulah saya tanya abang. Kalau abang bukan suami saya, tak ada maknanya saya nak tanya abang,” marah Mak Long Kiah lagi. Mak Long Kiah mendengus geram.
Mak Long Kiah mengatur langkah masuk ke dalam bilik. Kalau dia berlama-lama di situ, pasti akan menimbulkan pula pergaduhan antara mereka suami isteri. Dia sebenarnya kasihan dengan Syafiqah. Silapnya juga sehingga anak itu takut hendak bercerita kepadanya jika menghadapi sebarang masalah. Selama ini dia hanya tahu mengarah itu dan ini kepada Syafiqah. Dia berasa menyesal. Kalaulah waktu dapat diputarkan semula. Namun, semua itu adalah mustahil.
Pak Deris menggeleng apabila melihat kemarahan isterinya itu. Bukannya dia tidak risau, tetapi apa yang harus dia buat selain berserah kepada ALLAH. Dia juga sayangkan Syafiqah seperti anaknya sendiri. Tidak pernah sesekali dia membeza-bezakan Syafiqah daripada Zakiah, Zaleha mahupun Faizal. Syafiqah adalah seorang gadis yang baik pada pandangan matanya. Cuma nasib selalu tidak menyebelahi gadis itu. Selama ini pun puas dia menasihati isterinya yang terlalu berkasar dengan Syafiqah. Syafiqah diperlakukan umpama musuh oleh isterinya walau hakikatnya Syafiqah adalah darah daging isterinya sendiri. Pernah dia bertanya kepada isterinya, namun tiada jawapan yang diperolehinya. Akhirnya dia hanya mendiamkan diri dengan perlakuan isterinya itu.
Buku yang berada di tangan ditutup lalu diletakkan di atas meja di hadapannya. Pantas dia bangun dan bergerak menuju ke bilik untuk memujuk isterinya. Jika tidak dipujuk makin panjanglah rajuk isterinya itu seperti selalu. Adakalanya dia tersenyum sendiri memikirkan perangai isterinya yang kadangkala terlalu kebudak-budakan. Sering merajuk tidak mengira tempat. Yang dirajuknya pula adakalanya perkara yang remeh-temeh.
Perlahan-lahan pintu bilik dikuaknya. Kelihatan isterinya sedang duduk di birai katil. Pak Deris menapak perlahan menghampiri isterinya yang sedang masam mencuka dengan bibir yang masih dimuncungkan. Mak Long Kiah yang perasan kehadiran Pak Deris segera berpaling memandang ke arah lain. Malas dia hendak memandang wajah suami yang tidak cuba membantu dirinya menyelesaikan masalah yang membeban pundaknya.
Bila Pak Deris duduk di sebelahnya, cepat-cepat pula dia beralih lalu baring mengiring membelakangkan suaminya. Selimut ditarik menutupi tubuhnya. Tersenyum Pak Deris apabila melihat perlakuan isterinya. Gaya merajuk seperti orang yang baru berkahwin pula. Pak Deris ikut merebahkan badannya di sebelah Mak Long Kiah yang masih berkelubung dengan selimut.
“Isteri yang membelakangkan suami hingga membuatkan suaminya berkecil hati tidak akan sekali-kali mencium bau syurga,” kata Pak Deris perlahan. Sengaja dia berkata begitu walaupun tidak sedikit pun dia berkecil hati. Dia tersenyum lagi. Pasti sekejap lagi rajuk isterinya itu akan hilang.

SYAFIQAH menggosok-gosok matanya yang tidak mahu terlelap itu. Matanya juga turut pedih dan bengkak akibat terlalu banyak menangis. Berkali-kali Zakiah, Zaleha dan juga Faizal cuba memujuknya, namun tidak diendahkan.
Bagaimana dia hendak menenangkan perasaannya sedangkan impian hidupnya telah jauh dibawa pergi oleh arus derita. Dia juga telah tersungkur dalam penantian cintanya yang tidak kesampaian. Tidak mungkin dia dan Zikri akan dapat bersatu setelah semua itu berlaku walaupun dia tahu Zikri masih lagi menyayanginya. Siapalah dia untuk meletakkan harapan di bahu lelaki itu.
Hatinya yang dulu tegar kini telah mulai rapuh. Dia telah hilang kekuatan. Ingatan Syafiqah mula menyorot kisah-kisah bahagia ketika dia masih bersekolah. Di sekolah, dialah pelajar yang selalu mendapat perhatian kerana kebijaksanaannya. Bukan ramai anak gadis di kampung itu yang bijak seperti dirinya. Dia seorang gadis yang bercita-cita tinggi, ingin menjadi seorang akauntan. Atas sebab itulah dia rajin menelaah pelajaran. Keputusan peperiksaan SPMnya juga agak baik. Cuma nasib tidak menyebelahi dirinya apabila dia terpaksa tunduk dengan kehendak takdir kerana dia datang dari keluarga yang susah.
“Mak long… Sya ingat bulan depan Sya nak ke Kuala Lumpur,” beritahunya perlahan sebaik menghampiri Mak Long Kiah.
“Nak buat apa pergi sana? Tak cukup ke makan pakai selama kau tinggal dengan aku kat kampung ni?” Kasar suara Mak Long Kiah menyoal dirinya semula.
“Bukan macam tu, mak long. Sya nak bekerja kat sana. Sambil-sambil tu bolehlah Sya sambung belajar. Lagipun, keputusan SPM Sya agak bagus. Sayang rasanya kalau Sya tak sambung belajar,” ujarnya pula.
“Kat sana nanti kau nak tinggal dengan siapa? Dahlah KL tu besar. Bahaya untuk anak dara tinggal seorang diri. Aku tak nak kau terikut dengan gaya hidup kota yang tak senonoh tu. Dahlah jauh dari mata aku. Tak payahlah kau nak sambung belajar jauh-jauh. Nak kerja sangat, kau kerja ajelah kat kedai di pekan tu.” Mak Long Kiah tidak memberikan keizinan.
“Tapi mak long, berapa sangat gaji yang Sya boleh dapat dengan berbekalkan sijil SPM ni? Sya ke bandar bukannya nak buat apa-apa pun. Sya hanya nak sambung belajar. Sya nak capai cita-cita Sya dan seterusnya tunaikan impian ayah dan ibu Sya.”
“Aku kata tak payah, tak payahlah! Kat bandar tu banyak orang jahat. Kalau apa-apa berlaku kat kau nanti, aku jugak yang akan disalahkan. Dahlah… aku nak masuk bilik. Apa-apa pun, jangan kau ungkit lagi perihal kau nak ke bandar tu. Ingat, aku tak suka!”
Terngiang-ngiang perbualan antara dirinya dengan Mak Long Kiah sehari selepas dia menerima keputusan SPMnya beberapa bulan lalu. Pantas dia mengeluh sambil matanya dipejamkan seketika.
Tapi kini, apa yang pernah ditakuti oleh Mak Long Kiah telah pun berlaku. Di bandar atau di kampung, sama sahaja. Manusia tetap sama walau di mana mereka berada. Yang membezakan adalah akal yang memandu naluri setiap insan. Baik kata akalnya, baik pula kata hati dan perbuatan seseorang manusia. Begitulah sebaliknya. Tidak semua yang tinggal di bandar itu buruk perangainya dan tidak semua yang tinggal di kampung itu baik belaka.
Buktinya, dirinya telah dinodai oleh lelaki yang tidak berhati perut itu ketika dia sedang berada di kampung halamannya. Kalaulah dia tahu perkara itu akan berlaku, pasti awal-awal lagi dia sudah pergi membawa diri meninggalkan kampung halamannya untuk mengejar cita-cita yang tertanam jauh di lubuk hatinya.
“Kalaulah aku tak dengar cakap mak long masa tu, mungkin semua ini takkan terjadi,” hatinya berbisik. Dia mula rasa menyesal. Kalaulah dia mengingkari saja kata-kata Mak Long Kiah…
Syafiqah mengeluh perlahan. Badannya dikalih ke kiri dan kemudiannya ke kanan. Namun, matanya tetap juga berdegil. Dia kemudiannya duduk bersila di atas katilnya sambil memandang kosong ke segenap ruang bilik. Bantalnya dipeluk erat.
Suasana malam itu sangat sunyi seperti hatinya yang kesepian dan terasing dalam kelukaan. Sekali-sekala kedengaran bunyi cengkerik menyanyi seperti mengejek dirinya yang tengah berduka. Wajahnya diraup perlahan-lahan. Kali ini, dia teringat pula perbualan bersama Zikri kelmarin.
“Maafkan Zik, Sya. Kalau ikutkan hati, Zik tetap akan berkahwin dengan Sya. Tapi… Zik tak mampu mengingkari kehendak mak Zik,” kata Zikri memohon maaf. Wajahnya sayu memandang Syafiqah.
“Tak apalah, Zik. Bukan salah Zik atapun mak Zik. Ini semua takdir yang telah ditentukan untuk diri Sya,” kata Syafiqah sambil pandangannya dialihkan ke pokok rambutan di hadapan rumah.
Dia tidak mahu memandang wajah lelaki di hadapannya itu. Bimbang jika hatinya semakin rapuh dan pecah berderai. Dia tidak sanggup sebenarnya berpisah dengan Zikri, lelaki pertama yang dia cintai. Air matanya yang mengalir laju itu pantas dikesat.
“Tapi… percayalah yang cinta Zik akan selalu bersama Sya walaupun masa tu Sya dah menjadi milik orang lain,” ucap Zikri pula.
Hati Syafiqah menangis lagi apabila mengenangkan cintanya terhadap Zikri. Apa gunanya jika lelaki itu akan tetap mencintai dirinya jika dia sudah menjadi hak orang lain? Tidakkah itu hanya akan membenihkan dosa? Sungguh tidak adil dirasakan apabila dia yang dihukum sedangkan pesalah yang sebenanya bebas dan gembira di luar sana.
‘Kenapa semua ini tertulis untukku?’ Keluh hatinya untuk kesekian kalinya. Bantal yang ada dalam pelukan dicampak kasar. Diramas dan ditarik-tarik cadar yang kemas membungkus tilam. Kakinya diluruskan dan di hentak-hentak ke tilam. Dia menangis semahunya. Menangisi nasib diri yang sentiasa diekori derita. Kalaulah dia dapat memutarkan semula waktu, pasti dia tidak akan ke kebun hari itu. Dan kini, sayur yang pernah menjadi kegemarannya suatu masa dulu telah bertukar menjadi sayur yang paling dia benci.
“Ya ALLAH, berikan aku kekuatan untuk menghadapi segala ujian ni,” doanya dengan suara yang perlahan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97176/cukup-sampai-di-sini