[SNEAK PEEK] CINTA PANDANG KE-2

CINTA PANDANG KE-2 Oleh Laila Kamilia

 

Apartmen Avilla, Puchong

MAZLAN berjalan mundar-mandir di ruang tamu. Sekejap kemudian, dia duduk semula mendail nombor telefon seseorang. Sejak pulang dari rumah Kak Lynn tadi, itulah aksi membuatkan Zairul berasa betul-betul rimas.

“Wei, engaged la…” Mazlan memberitahu Zairul yang sudah bersiap hendak masuk ke bilik. Selepas balik dari rumah Kak Lynn tadi, mereka menonton televisyen dan berbincang tentang reunion yang akan diadakan bulan depan.

“Telefonlah lagi. Kalau betul kau serius, janganlah putus asa.” Zairul memberi galakan. Dia sudah bangun menggeliat, membetulkan urat sarafnya yang bersimpul kerana keletihan dek aktiviti hariannya yang padat hari ini.

“Pinjam telefon kau kejap.” Mazlan meminta.

Dahi Zairul berkerut.

“Mana tau, tuah telefon kau tu dapat aku bercakap dengan dia.” Mazlan tersengih-sengih.

“Sudahlah, cakap saja kau nak pau kredit aku.” Zairul sudah dapat membaca apa yang ada di kepala teman serumahnya itu.

Zairul memandang ke arah Mazlan yang dengan spontan mendail nombor telefon seseorang menggunakan telefon bimbit miliknya pula. Zairul menggeleng. Tak boleh dia hendak kata apa kerana Mazlan itu tidak guna ditegur. Mukanya akan toya macam itulah. Buat penat air liur saja membebel. Dia lalu masuk ke dalam bilik. Sudah penat benar satu hari ini. Dia ingin berehat.

“Dah habis telefon, hantar balik ke bilik aku. Kalau tak, esok pagi aku tak bangun pulak,” pesan Zairul di muka pintu.

Mazlan terangguk-angguk. Dengar tak bermaksud dia akan buat. Zairul arif sangat dengan Mazlan. Apakan daya, itulah satu-satu teman yang sering bersama-samanya dari dulu sampai sekarang ini. Yang sangat memahaminya dan memberikan sokongan untuk semua tindak-tanduknya. Atau sebenarnya, dia bersabar hanya kerana rasa bersalahnya pada Mazlan kerana kesilapan lampaunya. Ah, susahnya hidup kerana rasa beban dosa silam.

Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur

AINNUR memandang skrin telefon bimbitnya. Ada lima panggilan tidak berjawab. Dia merenung Zely yang ada di hadapannya sedang asyik menonton televisyen. Mak Tiah ada di dapur membereskan kerja-kerja dapur yang masih belum selesai sejak tadi. Ainnur dapat merasakan Mak Tiah sengaja memberi peluang kepada dia dan Zely untuk berbincang. Sudah tiga jam dia berada di rumah mereka kerana merajuk dengan ibunya.

“Telefonlah Fiza balik. Tentu dia risau.” Zely berkata kepada Ainnur tanpa mengalihkan pandangannya daripada skrin televisyen.

Sekarang ini, Zely hanya berharap Rafiza dapat memujuk Ainnur pulang ke rumahnya semula kerana dia telah gagal memujuknya sejak dari tadi. Tentu Auntie Dalilah dan Uncle Amaluddin risau dengan ketiadaan Ainnur. Mana ada ibu bapa di dunia ini yang tidak kisah jika anak mereka tidak pulang melainkan memang itu ibubapa yang tidak sayangkan anak.

“Helo! Assalamualaikum!” Tidak lama menunggu, kedengaran suara Ainnur memberi salam kepada Rafiza.

Zely bangun lalu ke dapur. Dia mahu memberikan ruang selesa kepada Ainnur untuk berbicara dengan Rafiza.

“Waalaikumussalam…”

Mendengarkan suara Rafiza di talian, Ainnur sudah kembali menangis. Air matanya gugur lagi tanpa mahu mengerti apa makna berhenti. Sudah banyak tisu basah dek mengelap air matanya yang gugur sejak tadi. Dia tidak tahu kenapa semua orang tidak mahu menyebelahinya. Semua orang mahu dia menjadi anak yang baik, mendengar kata ibu tetapi bukankah dia juga punya hak untuk menentukan masa depan sendiri?

“Kenapa ni?”

Pertanyaan Rafiza semakin menyebabkan air matanya turun semakin laju. Ainnur memang lemah bila ada yang bersimpati dengannya. Dari luar memang nampak dia seperti wanita yang tabah-tabah saja. Boleh meninggalkan tanah air seorang diri untuk menyambung pengajian di luar negara, tetapi sebenarnya dia bukanlah wanita segagah Tun Fatimah, watak yang selalu dipamerkan. Hakikatnya, dia hanyalah seorang puteri lilin.

“Cuba bertenang. Bagitahu sekarang kat mana?” Rafiza lembut menutur kata. Sebagai seorang yang sentiasa menjadi tempat rujukan teman-teman, dia sudah masak sangat dalam hal memberi nasihat. Dia tidak boleh mendesak. Biarkan Ainnur bertenang dahulu.

“Kat rumah Zely.” Dalam teresak-esak Ainnur memberitahu.

“Bagi aku alamat, aku dah lama keluar dari rumah Kak Lynn. Ingat nak jumpa kau kat rumah. Kalau macam tu, kita jumpa kat sana.” Rafiza menyatakan rancangannya.

Walaupun dia penat, tetapi demi seorang kawan yang sedang dilanda masalah, dia akan berusaha untuk membantu. Apa gunanya bersahabat jika hanya untuk bersuka ria bersama, tetapi bila dirundung musibah terus menjauhkan diri. Selepas ini, dia ada banyak masa untuk berehat. Tambah pula, dia ada sebab yang kukuh untuk bersenang hati malam ini. Panggilan daripada Zairul beberapa ketika tadi telah menyebabkan tubuhnya terasa segar.

Ainnur mengesat air mata yang berjuraian di pipinya dengan tisu. Sekurang-kurangnya, dia berasa sedikit lega selepas Rafiza berjanji akan menjemputnya dari rumah Zely.

“Sekejapnya berbual.”

Sapaan Zely membuatkannya sedikit tersentak. Dia memandang Zely yang sedang menghulurkan secawan teh yang masih berasap.

Di wajah Zely tergambar kehairanan kerana sepatutnya tentulah perbualan Ainnur akan mengambil masa yang agak lama. Dari pengalamannya, bukan mudah untuk mententeramkan Ainnur.

“Minum dulu,” pelawanya setelah teh yang dihulurkan tadi tidak disambut Ainnur.

Tidak mahu menghampakan Zely, Ainnur mencapai cawan yang dihulurkan lalu menyisipnya sedikit. Aroma teh yang menyegarkan memberinya sedikit semangat yang hilang. Rasa teh itu benar-benar mendamaikan. Dia menyisip teh itu sekali lagi.

“Sekejap lagi Fiza nak datang sini. Aku ni dah menyusahkan ramai orang, kan?” Ainnur berkata kepada Zely sambil cuba untuk ketawa yang kedengaran dibuat-buat.

“Ainnur… kita kenal dah lama. Kenapa kau suka nak buat benda yang akan menyeksakan diri kau? Kau terseksa, tapi dia di sana berbahagia. Kau buat kerja bodoh tau? Kalaulah tidak mengenangkan kau yang beria-ia mempertahankan dia, memang dah lama jantan tu aku lanyak sampai lunyai.” Zely menggenggam penumbuknya tanda marah benar pada lelaki yang Ainnur gilakan itu. Urat di tengkuknya kelihatan tegang.

Sangkanya pemergian Ainnur ke luar negara akan dapat mengubat luka di hatinya. Seingatnya, Ainnur akan berjaya menemukan seseorang yang boleh membantunya melupakan kenangan silam. Harapnya kepulangan Ainnur ke Malaysia akan mengubah Ainnur yang lemah dan hanya bersandar pada cinta palsu. Tetapi segala-gala yang dijangka langsung tidak mengena. Ainnur masih gadis lemah yang sama ketika meninggalkan Malaysia. Tiada apa yang berubah selain daripada membawa segulung sarjana.

Sedari tadi Zely tidak habis-habis marahkan Ainnur yang degil untuk terus hidup dalam kenangan cinta. Kata sudah mahu lupakan si dia, tetapi mengapa tetap memilih jalan yang sama, yang hanya akan menemukan Ainnur dan lelaki tak berguna itu di bawah satu bumbung?

Zely bukannya tidak faham dengan prinsip cinta tidak semestinya bersatu yang dilaung-laungkan Ainnur. Dia arif benar kerana dia sudah merasakannya lama dulu. Sejak dia mengenali apa itu cinta. Cuma dia mahu Ainnur matang dengan usia. Cinta yang mengundang sengsara bukanlah cinta dalam erti kata yang sebenar. Cinta seharusnya membahagiakan.

“Aku bahagia dengan cara aku sendiri. Kalau aku tak boleh hidup dengan dia, hidup dalam kenangan itu sudah memadai. Lagipun siapa hendak kahwin dengan perempuan kotor macam aku ni, Zely? Biarlah aku hidup begini. Kurang-kurang aku tak susahkan sesiapa.” Ainnur mempertahankan pendiriannya.

“Siapa kata tiada orang yang hendakkan kau? Kau perempuan baik, Nur. Kerana semalam yang malang tidak membuatkan kau jadi perempuan jijik. Hanya kau yang merendahkan diri kau sendiri. Cubalah fikir positif dan beri peluang kepada diri kau untuk rasa erti bahagia yang sebenar. Kau harus tunjukkan kepada dia yang kau berhak mendapat lelaki yang lebih baik daripada dia.” Zely berceramah lagi. Dia berharap kata-katanya akan difikirkan oleh Ainnur bila gadis itu sudah tenang nanti.

Ainnur ketawa. Kata-kata Zely itu terlalu indah untuk menjadi realiti. Hakikatnya, dia yang menanggung sendiri.

“Siapa yang sudi nak kahwin dengan aku? Kau sendiri pun tak sudi nak kahwin dengan aku.” Ainnur berkata sambil memandang ke wajah Zely. Dia mahu melihat apa reaksi Zely dengan kata-katanya. Dengan Zely, dia tidak pernah berasa malu. Mereka membesar bersama-sama. Dengan Zely, dia menjadi Ainnur yang tidak perlu berpura-pura.

Zely tunduk memandang lantai. Dia ingin berterus terang tentang perasaannya, tetapi dia sedar siapa dirinya. Dia bukanlah lelaki yang paling layak untuk Ainnur jadikan suami apatah lagi menantu kepada Auntie Dalilah dan Uncle Amaluddin. Dia hanya anak seorang bekas pemandu dan orang gaji di rumah besar itu. Dia tahu di mana dia harus meletakkan diri. Dia sudah memikirkan semasak-masaknya. Biarlah segala-galanya ditelan sendiri.

“Aku bukan tak sudi, Nur. Aku hanya anak seorang pemandu dan orang gaji kat rumah kau. Aku sekali-kali tak layak jadi suami kau, Nur!” Lirih suara Zely menjelaskan apa yang ada di fikirannya. Air mata yang berkaca di matanya, cuba ditahan agar tidak jatuh ke pipi.

“Zely!” Ainnur bangun dari sofa. Dia berasa sedih dan marah dengan kata-kata Zely.

“Sampai hati kau kata begitu pada aku. Aku tak pernah pandang darjat untuk jodoh aku. Begitu juga dengan keluarga aku. Kau menghina aku dengan berkata begitu, Zely.” Ainnur begitu marah dan kecewa. Sekalipun Zely tidak sudi berkahwin dengan perempuan kotor macam dia, jangan sesekali menuduhnya mementingkan darjat dan pangkat pula.

“Aku kawan dah lama dengan kau. Kenapa baru sekarang kau cakap macam tu, Zely? Aku tak sangka, begitu rendahnya kau memandang aku.” Dengan nada hiba Ainnur menyatakan kekecewaannya. Terasa ia bagai belati menusuk tajam ke ulu hatinya.

“Aku minta maaf, Nur. Aku tak berniat begitu, kau salah faham…” Zely cuba menjernihkan suasana. Dia tidak sangka kata-katanya akan membuatkan Ainnur tersinggung. Reaksi Ainnur benar-benar menakutkannya. Ketika itu, dia sedar akan kehilangan Ainnur pada bila-bila masa.

“Aku akan buktikan pada kau suatu hari nanti Zely, aku orang yang macam mana!” Ainnur berlari ke luar rumah. Air matanya merembes laju. Dia tidak pernah berasa begitu terhina. Berada di hadapan Zely dalam keadaan begitu, sangat melukakan hatinya.

Hari ini, dia menerima dua perkara yang begitu mendukacitakan dalam hidupnya. Dia berasa sudah tidak berdaya untuk melangkah lagi. Hari esok, apakah masih ada sinar mentari untuknya? Masihkah ada sisa rasa kasihan daripada ALLAH? Dia berdoa semoga ALLAH masih menyayanginya dan memberi petunjuk jalan kebenaran. Di saat semua insan tidak lagi boleh diharapkan, hanya DIA yang dapat menyelamatkan.

Dia berlari keluar dari rumah Zely sambil menyeka air mata. Panggilan Zely langsung tidak dihiraukan. Dia hanya mahu membawa sekeping hatinya jauh daripada semua!

ZELY cepat-cepat mencari nombor telefon Rafiza pada menu telefon bimbitnya. Mujur saja dia masih menyimpannya walaupun hanya sekali dua dia bersua muka dengan Rafiza. Dia tidak sabar mendengar suara Rafiza di hujung talian. Sambil itu kepalanya terjenguk-jenguk ke luar halaman, mencari kelibat Ainnur.

“Helo! Fiza! Zely ni.” Terus saja Zely menegur sebaik talian mereka bersambung.

“Lama lagi ke kau baru nak sampai?” Zely bertanya sambil menyarung selipar. Dia ingin mengejar Ainnur yang sudah jauh daripada pandangannya. Jika apa-apa terjadi kepada Ainnur malam itu, dia tidak akan memafkan dirinya sampai bila-bila.

“Okey. Okey. Jaga dia untuk aku. Katakan aku minta maaf.” Zely bernafas lega bila mendapat berita daripada Rafiza, Ainnur sudah ada bersamanya. Menurutnya, semasa dia masuk ke lorong rumah Zely, dia nampak Ainnur berlari. Mujurlah dia sampai tepat pada masanya. Jika tidak, entah apa yang akan terjadi kepada temannya itu.

“Terima kasih, Fiza. Jaga dia untuk aku!” ulang Zely lagi sebelum talian telefon bimbitnya dimatikan. Dia memejamkan mata. Perkara yang sangat ingin dielakkan kini benar-benar terjadi. Dia benar-benar kesal.

Sekitar Lebuhraya Persekutuan

RAFIZA memberhentikan keretanya di bahu jalan setelah beberapa ketika memandu. Dia tidak boleh menumpukan perhatian pada pemanduan kerana tangisan Ainnur semakin menjadi-jadi. Dia langsung tidak boleh memandu dengan keadaan Ainnur yang sedang dilanda emosi begitu.

Sebaik kereta berhenti, Ainnur memeluk Rafiza lalu menangis semahu-mahunya di bahu Rafiza. Dia melepaskan kesedihan di hati bersungguh-sungguh. Rafiza berasa begitu empati hinggakan dia turut sama menangis.

“Ambil tisu ni.” Setelah beberapa ketika, Rafiza menghulur beberapa helai tisu dari dashboard keretanya. Dia merenung wajah Ainnur yang nampak kusut benar malam itu. Tentu masalah yang dihadapi Ainnur begitu besar hinggakan Zely yang paling rapat dengannya telah mengalah.

“Minum air ni dulu. Tenangkan diri.” Rafiza mengambil pendekatan tunggu dan lihat. Jika Ainnur tidak mahu bercerita apa-apa, dia akan turutkan saja. Pada fikirannya saat ini, dia harus menenangkan Ainnur, itu saja. Ainnur perlu rasa yang dia punya seseorang yang berada di pihaknya buat masa ini.

Setelah tangisan Ainnur reda dan kelihatan sedikit tenang, Rafiza bersedia untuk meneruskan pemanduannya. Dia bimbang juga tentang keselamatan mereka. Lorong yang mereka lalui agak suram disebabkan tiang-tiang lampu berada agak jauh antara satu sama lain. Orang pula tidak ramai yang lalu-lalang.

Ainnur berpaling pada Rafiza yang sudah masuk ke Lebuhraya Persekutuan. Lampu-lampu jalan sudah terang-benderang menyuluh kegelapan malam. Jam di dashboard telah menunjukkan 10.00 malam. Rafiza menumpukan perhatian pada pemanduannya. Sesekali Ainnur dapat rasakan, Rafiza menjelingnya.

“Terima kasih sebab datang,” beritahu Ainnur sambil cuba tersenyum.

“Tak ada apa. Masa kau perlukan aku, aku mesti datang.” Rafiza memegang tangan Ainnur cuba memberikannya kekuatan semula.

“Tolong hantar aku balik rumah.” Ainnur bersuara perlahan, tetapi bernada tegas.

Rafiza memandang Ainnur sekilas sebelum mengangguk mengiakan.

“Aku dah buat keputusan…” Tanpa disuruh-suruh Ainnur memberitahu Rafiza.

“Tentang apa?” tanya Rafiza sedikit keliru. Dia tidak tahu pokok pangkal cerita Ainnur, tetapi temannya sudah membuat keputusan.

“Aku akan turut apa saja kemahuan ibu walaupun itu bermakna aku akan padamkan semua cita-cita aku. Mungkin ada betulnya kata Zely… aku sudah buat keputusan untuk lupakan dia. Seharusnya aku terus melangkah bukan membiarkan diri terus dibuai kenangan silam.” Ainnur berkata perlahan. Lebih kepada dirinya sendiri.

“Lupakan siapa?” Rafiza tercengang-cengang tidak faham. Dia keliru apa yang sedang diperkatakan sahabatnya itu.

“Lupakan siapa, Ainnur?” ulangnya sekali lagi.

“Suatu hari nanti, aku akan ceritakan segalanya. Bila aku sudah benar-benar bersedia. Sekarang, kau hantar aku pulang ya. Tentu ibu bapa aku risau sebab aku keluar rumah lama sangat dah.” Ainnur memberitahu sambil menggenggam tangan Rafiza.

Rafiza hanya mengangguk sahaja. Dia akan tunggu masa di mana Ainnur betul-betul bersedia meluahkan segalanya. Dia arif sangat dengan gadis bernama Ainnur Azleen di hadapannya ini.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93958/cinta-pandang-ke-2