Prolog
Masjid Berlin, Wilbur Cross Highway
“HIERMIT verheirate ich dich Herr Megat Iskandar Ibrani mit dir Frau Azizah Gretel mit 50Euro als mahar.”
„Bist du damit einverstanden?”
„Ja! Ja! Ja!” sagt Megat Iskandar Ibrani und “Ja! Ja! Ja!” sagt Azizah Gretel.
Dann wird die besagte Dua des Sheikh Effendi gesprochen und am Ende alle eine Al-Fatihah.
„Alhamdulillah, suncleit seid Ihr Mann und Frau.”
Sie unterzeichnen Em die Heiratsurkunde vor den Zeugen.
„Das ist die zertifikate.”
„Danke schöne.”
„Bitte.”
Beide lächeln und sind sehr glücklich.
TERJEMAHAN
“Saya dengan ini menikahkan anda, Megat Iskandar Ibrani dengan Azizah Gretel dengan sebanyak Euro 50 sebagai Mahar.”
“Adakah anda bersetuju?”
“Ya! Ya! Ya!” akui Megat Iskandar Ibrani.
“Ya! Ya! Ya!” beritahu Azizah Gretel.
Sheikh Effendi membacakan doa. Setelah itu semua hadirin menamatkannya dengan surah Al-Fatihah.
“Alhamdulillah, anda sudah sah sebagai suami dan isteri.”
Mereka kemudian menandatangani sijil perkahwinan di hadapan saksi.
“Ini sijilnya.”
“Terima kasih banyak.”
“Sama-sama.”
Kedua-duanya tersenyum dan berasa gembira.
Gretel yang bermaksud mutiara itu kini dipanggil Azizah. Aku memilihnya sendiri nama Azizah itu supaya namanya nanti punya jalinan yang menarik apabila digabungkan. Azizah Gretel bermaksud mutiara yang disayangi. Dia tersenyum mesra sambil memaut lenganku. Ya, dia sememangnya sangat berharga yang aku kasihi sepenuh jiwaku. Deminya, aku sanggup lakukan apa saja. Hatta aku harus meninggalkan segala yang pernah aku ada.
Mutiaraku merenung penuh kasih. Cahayanya umpama bintang-bintang yang menerang kegelapan malam. Aku membalas kembali renungannya, juga sarat dengan kasih sayang. Tangannya kugenggam erat. Aku ingin meminjam kekuatan daripadanya. Jika dia boleh berkorban segala untuk membuktikan cintanya kepadaku, mengapa tidak aku menyerahkan seluruh hidupku kepadanya?
“Sijilnya, encik.” Teguran imam yang menikahkan kami membawa aku ke alam nyata. Jauh rupanya aku tenggelam dalam dunia Azizah Gretel. Aku tersenyum malu memandang ke arah imam itu kemudiannya.
“Maafkan saya.” Aku berkata lalu mengambil dokumen yang telah mengikat aku, Megat Iskandar Ibrani dengan Azizah Gretel Ibrani menjadi satu.
Kami bersalam lalu mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang ada di masjid itu. Tidak ramai, hanya empat orang semuanya dan enam orang bila termasuk aku dan Azizah. Aku memandang lagi sekadar untuk memastikan, dua orang yang sepatutnya hadir menyaksikan majlis ini benar-benar tiada di situ.
Aku cuba menyedapkan hati. Memadailah, kerana telah menjadikan impian dua manusia yang berlainan adab budaya menyatu di bumi Hitler!
‘Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cinta siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu senantiasa akan timbul kesenangan.’
– Ibnu Abbas
*****
Taman Keukenhof, Belanda
PUTERI SARA IBRANI merenung jauh pada kuntuman tulip berwarna oren di hadapannya. Kakinya yang berbalut sneaker putih bercop NIKE dilunjurkan ke hadapan sambil bersandar pada bangku kayu yang disediakan di laluan pejalan kaki itu. Dia melepaskan keluhan. Terasa begitu sesak taman ini dengan manusia, menambah sesak fikirannya. Di kepalanya tertanya-tanya mengapa hari ini juga mereka ke sini sedangkan mereka boleh memilih salah satu hari dalam bulan Mac hingga Mei?
Sara terlupa tentang kemasyuran taman ini. Jutaan pengunjung saban tahun ke sini semata-mata untuk melihat tulip dalam masa hanya tiga bulan itu. Bukan setakat hari ini saja orang datang bersesak tetapi setiap hari. Hanya kerana dia ‘tamak’ mahu melihat tulip dalam sunyi dan sendiri, dia marahkan orang lain yang juga mahu menikmati keindahan taman bunga tulip terbesar di dunia itu. Hah! Sungguh terbawa-bawa dengan emosi!
Dia bangun. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam jaket. Matahari sudah separuh tinggi tetapi tetap dingin. Sesekali tubuhnya menggeletar. Walaupun salji telah berlalu, dingin di musim bunga itu tetap menggigit. Dia membetulkan mafla di lehernya lalu mula berjalan. Kamera DSLR yang disangkut di bahu dibetulkan letaknya. Sekalipun suasana indah sedang terbentang di depan mata, hatinya tidak terdetik mahu merakam apa-apa.
Kakinya terus berjalan menghala ke arah taman mini yang menempatkan beberapa haiwan daripada keluarga unggas. Merpati, ayam serama malah itik, bebas berkeliaran di dalam reban. Bukanlah tujuannya datang ke taman bunga ini untuk melihat unggas-unggas itu tetapi kakinya tetap laju melangkah ke situ. Laju tangannya menala lensa kamera DSLR untuk merakam beberapa aksi sang unggas.
Dia melihat di lensa kamera Nikon itu hasil gambar yang terakam. Senyumannya meleret ke telinga. Puas hati dengan hasil sentuhan seninya. Selain itu, pastilah kerana mengenangkan betapa peliknya tingkah sendiri. Datang ke taman bunga, tapi unggas yang diambil gambarnya.
Dia pernah mendengar cerita Aunty Aminah yang unggas-unggas seperti itu banyak berkeliaran di kampung-kampung di Indonesia mahupun di Malaysia. Kepalanya segera teringat pada wajah riang Adrian dan Aziz apabila ibunya itu bercerita tentang pengalaman semasa kecil mereka berdua mengejar dan dikejar ayam semasa di kampung. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri mengingatkan keluarga kecil yang dia ada di Berlin. Ya, satu-satunya keluarga yang dia ada di dunia sebenarnya.
Sara mengambil tempat di bangku kosong yang baru ditinggalkan sekumpulan pengunjung dari Asia. Dari telor percakapannya mahupun bentuk matanya, dia dapat mengagak pelancong itu datang dari negara China. Sempit sangat pengetahuannya tentang bangsa Asia hinggakan dia tidak tahu yang bermata sepet dan bertutur Mandarin itu tidak semestinya datang dari negara China. Mungkin saja pelancong dari Hong Kong, Singapura malah tidak mungkin juga dari Malaysia!
Pastilah itu sesuatu yang tidak menghairankan kerana taman bunga secantik Keukenhof ini telah membawa ramai pencinta bunga dari seluruh dunia. Khabarnya hinggakan tempahan dibuat berbulan-bulan lebih awal bagi mengelakkan kehampaan kerana tidak dapat masuk ke taman ini. Malah ada pelancong yang datang terlalu awal ketika bunga-bunga tulip masih belum pun berkembang. Ada pula yang datang hanya sekadar melihat daun bunga tulip sahaja. Masalah ini tidak dapat dielakkan kerana tempoh musim dingin tidak dapat diduga peredarannya setiap tahun.
Sara memeluk tubuh. Jauh sudah dia mengelamun. Dia memandang lagi ke hadapannya. Terbentang pemandangan indah yang memukau mata. Dia mengagumi panorama yang sedang terbentang di hadapannya tanpa pernah jemu. Dia sudah ke sini beberapa kali bersama kawan-kawan dan sekali bersama papanya. Kata papa, ladang tulip itu terbentang luas macam sawah padi di Malaysia. Cuma bezanya padi berwarna keemasan sedangkan tulip pula berwarna-warni.
Sara tidak dapat membayangkan apa yang cuba disampaikan papa. Sawah padi? Kelihatan begitu asing padanya. Dek kerana ingin tahu, dia mencarinya di internet. Rupa sawah padi memang langsung tidak sama dengan ladang tulip. Jadi bagaimana papanya boleh membuat persamaan sebegitu? Sungguh dia tidak faham, sebagaimana dia tidak memahami papanya.
“Assalamualaikum!” Ucapan salam seseorang dari belakang telinganya membuatkan hati Sara berbunga ria tiba-tiba. Dia tidak perlu menoleh untuk melihat siapa yang menegurnya. Dia arif sangat dengan suara itu. Dia dan empunya suara itu sebenarnya sudah tidak boleh dipisahkan oleh apa-apa lagi.
Sara mengukir senyum. Dia membiarkan lelaki itu terus menjadi penunggu di sisinya. Betapa suara itu memang amat dirinduinya. Tak perlu dia menyatakan kerinduan itu, dia tahu akhirnya lelaki itu pasti akan datang. Baru sebentar tadi dia teringatkan lelaki itu dan kini bagaikan mimpi, lelaki itu muncul di sisi.
“Selamat hari jadi, Sara!” ucap lelaki itu dalam bahasa Jerman yang fasih.
Suara lelaki itu gemersik menerpa ke telinganya. Sara memejamkan matanya, menghayati keindahan ucapan salam daripada seseorang yang sangat dekat dengannya. Rasa bahagia itu menyerap ke hatinya membuatkan dia tersenyum.
Haruman Cool Water dari Davidoff yang sudah sebati di hidungnya mengesahkan siapa dia yang berada di sisinya tanpa perlu dia menoleh. Ya, semenjak dia menghadiahi Cool Water kepada lelaki itu dua tahun lepas, haruman itu telah menjadi bau rasminya.
“Terima kasih, Adrian!” jawab Sara, juga dalam bahasa Jerman yang fasih. Matanya perlahan-lahan dibuka. Kini Adrian betul-betul berdiri di hadapannya. Lelaki itu memegang sejambak bunga tulip berwarna merah jambu di tangan kanan, manakala di tangan kirinya secawan besar kopi panas.
Hatta melihatkan Adrian, hampir saja Sara memeluk lelaki itu ke dalam dakapannya. Dia benar-benar teruja kerana sebenarnya di saat dia kesedihan seperti itu tiada siapa yang diharapkan kecuali dia. Tanpa diduga, impiannya tiba-tiba menjadi kenyataan! TUHAN pastilah benar-benar sayang padanya.
Namun reaksi Adrian seperti biasa. Cepat saja menjarakkan dirinya bila Sara membuat aksi teruja begitu. Dia mengundur ke belakang selangkah. Tetapi senyuman tetap tersungging di bibir merahnya. Wajahnya nampak begitu ikhlas tatkala menghulurkan jambangan tulip kepada Sara tanpa rasa bersalah sekelumit pun.
Ah! Lelaki itu terlalu menjaga adab. Dalam keadaan teruja seperti itu, seharusnya Adrian biarkan sahaja dia memeluknya untuk meraikan kegembiraan. Begitulah perkiraan Sara, gadis separuh Malaysia, separuh Jerman itu. Sedangkan bagi Achmad Faris Adrian Fadhli, lelaki setengah Indonesia dan setengah Jerman itu, batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan cukup umur harus ada bentengnya.
Sekalipun mereka membesar bersama, tidak bermakna dia dan Sara boleh saling berpelukan sebagaimana dia memeluk Aziz. Sara tetap haram disentuh sekalipun antaranya dengan Sara boleh diibarat bagai kembar tidak seiras. Mereka sangat akrab hinggakan apa sahaja tentang diri Sara sudah ada di dalam poketnya hinggakan dia boleh membaca fikiran gadis itu. Lihatlah, walaupun Sara tidak memberitahu akan berada di situ, dia boleh menjejakinya kerana pada tahun-tahun sebelumnya memang di sinilah, di kerusi yang sama mereka duduk berjam-jam lamanya berbicara macam-macam.
Sebenarnya bukanlah sukar menduga ke mana Sara pergi kerana beberapa hari sebelum kehilangannya, Sara ada memberitahu yang dia teringin ke Keukenhof melihat tulip. Sara memang gemar dengan tulip. Kalau jumpa tulip meliar di jalanan pada musim bunga, Sara cepat saja berlari mengutipnya. Jadi bila berlaku perselisihan antara Sara dan papanya, Sara menggunakan alasan itu untuk ‘melarikan’ diri seketika sehingga hatinya sejuk kembali. Jadi mudah baginya untuk mengagak ke mana Sara membawa diri kali ini.
Begitulah juga jika dia menghilangkan diri. Sara pasti boleh menjejakinya walau ke mana dia pergi hinggakan Aziz, adik kandungnya kadang-kadang angkat bendera putih kalau tiba-tiba mami dan papi minta mencarinya! Lalu Aziz pasti saja menelefon Sara jika dia tidak mahu pening kepala membuang masa mencarinya.
Adrian mengambil tempat di sisi Sara yang kelihatan asyik membelek jambangan tulip merah jambu.
Sara pula menyimpan rasa terkilan di hatinya pada tingkah Adrian sebentar tadi. Ketika hati dipagut sedih begitu, jika boleh dia mahu dipeluk dan dibelai supaya hatinya menjadi tenteram. Dia tahu, batas yang Adrian letakkan itu seharusnya dihormati tetapi dia benar-benar sedang bersedih dan tertekan. Kalaulah sahaja papa boleh menjadi orang yang dipercayai dan dihormatinya. Dia mengeluh di dalam hati, mengenangkan nasib diri.
Dia membelek lagi bunga-bunga tulip yang begitu segar warna merah jambunya. Dia mengiranya. Ada 21 kuntuman semuanya. Pastilah melambangkan 21 tahun umurnya kini. Ya, dia sudah pun berumur 21 tahun!
“Cukup tak dua puluh satu?” Adrian bertanya untuk menceriakan wajah Sara tetapi gadis itu hanya tersenyum hambar. “Kenapa merajuk sampai ke sini?” Dia bertanya mengorek rasa. Masih juga tidak mahu berputus asa memujuk gadis itu berkata-kata dengan nada yang selalu tegas tetapi tetap lembut tuturnya.
Sebagai lelaki bangsa Indonesia yang masih menjunjung tinggi adab timur, begitulah watak Adrian. Berbeza dengan karakter lelaki bangsa Jerman yang selalunya kedengaran tegas tetapi sedikit kasar. Matanya saja yang kelihatan coklat kebiruan tetapi dia tetap suka makan pempek Palembang buatan papinya. Itulah Adrian yang lebih bahagia menjadi orang Indonesia walaupun tinggal di negara Jerman.
Seperti Sara, Adrian juga menggunakan bahasa Jerman dalam pergaulan sehariannya tetapi yang membezakan antara kedua-duanya ialah Adrian akan bertutur dalam bahasa Indonesia dengan keluarga atau dengan orang Indonesia yang lain sedangkan Sara langsung tidak tahu bertutur bahasa Malaysia. Kerana itu, sekalipun datang dari satu rumpun Melayu, Sara dan Adrian akan bertutur dalam bahasa Jerman kerana kekurangan Sara itu.
“Mana ada merajuk?” Sara tidak mahu mengaku.
Kata-kata Sara itu sekadar membuatkan Adrian tergelak kecil. Dia membongkokkan tubuhnya ke hadapan lalu berpaling ke kiri Sara. Dengan segaris senyuman yang masih tersungging di bibirnya dia hanya memandang wajah Sara. Dia cuba mencari punca mengapa kali ini Sara lari lagi.
Melihatkan Sara hanya membatukan diri, dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu tidak berubah. Selalunya dia turut terbabit sama dalam hal ‘melarikan diri’ hinggakan papa Sara pernah mengamuk kepadanya. Tetapi sejak peristiwa setahun lalu itu, Sara telah berjanji kepadanya yang dia tidak akan lari lagi walau apa juga yang terjadi. Kini Sara memungkiri janjinya. Sara sudah pandai ‘lari’ tanpa membawanya. Sungguh Adrian tidak faham.
“Sampai hati tak bawa aku sama. Kalau kau beritahu, aku tak akan biarkan kau pergi sendiri sejauh ini.” Adrian meluahkan apa yang dirasakannya.
Sara menarik nafas yang terasa begitu berat di dadanya. Kedatangannya ke sini memang tidak dikhabarkan kepada sesiapa. Tidak kepada Adrian, apatah lagi kepada papanya. Dia hanya ingin bersendirian menyambut hari lahirnya. Justeru, seawal jam 6.00 pagi semalam, dia sudah berada di Berlin Sentral untuk menaiki ICE ke Amsterdam.
Sangkanya tiada yang akan menemuinya di sini. Yalah, dia bukannya artis yang semua orang kenalnya. Lagi pula jarak di antara Berlin ke Amsterdam lebih kurang 659km! Naik ICE saja sudah pun enam jam! Sudah cukup jauh. Tetapi dia tersilap. Silapnya kerana dia terlupa, dia ada seseorang seperti Adrian.
Adrian ketawa tiba-tiba. Wajah jengkel yang ditunjukkan oleh Sara langsung tidak membuatkannya terasa hati. Malah dia merasakan kemenangan telah berpihak kepadanya.
“Sudahlah… jangan merajuk. Nanti tak cantik.” Dia bercanda.
Wajah Sara masam mencuka mendengarkan lawak Adrian yang langsung tidak menjadi, langsung tidak menyejukkan hatinya yang sedang marah. Adrian tak perlu mencarinya. Dia tak perlukan sesiapa untuk memujuknya.
“Boleh tak lain kali, kau jangan cari aku? Biarkan saja aku seorang. Aku kan memang tak ada sesiapa di dunia ni?!” Bersungguh-sungguh dia marah. Suaranya sudah tinggi. Dia sudah tidak hiraukan bunga tulip merah jambu mahupun orang yang lalu-lalang di hadapan mereka. Dia sudah tidak peduli apa-apa lagi.
“Sara! Kita kan dah berjanji akan melalui semuanya bersama-sama? Aku sekali-kali tak akan biarkan kau sendirian.” Adrian mengulang janji yang pernah terukir di antara mereka sejak kecil. Janji yang sudah dipateri dengan darah pada usia 12 tahun itu. Sekalipun ketika itu mereka tidak faham banyak perkara, tetapi janji tetap janji. Masakan Sara lupa pada janji itu? Masakan Sara terlupa pada dia?
Namun kata-kata Adrian tidak langsung membuatkan Sara tersenyum. Ketika itu, Sara berasa malu pada dirinya. Dia baru tersedar dia telah memungkiri janjinya sedang lelaki itu begitu tegar memegang janji mereka. Mengapalah ketika dia membuat keputusan ke sini dulu, dia tidak memaklumkan kepada Adrian supaya dia tidak mungkir janji? Dia tunduk. Sedar dia terlalu mengikut kata hatinya.
“Baiklah… buktikan! Jangan cakap saja. Kalau betul kau nak bersama aku, susah… senang… mahu kau jadi teman serumahku? Hari ni aku sudah dua puluh satu tahun. Aku rasa dah tiba masa aku keluar dari hidup papa. Apa kata kau? Berani?” Sara memprovokasi Adrian. Mata Adrian ditentang.
“Sara!” Adrian hanya menggeleng. Dia kesal kerana Sara seolah-olah tidak memahaminya. ‘Duduk bersama Sara? Tinggal berdua? Hah! Memang idea gila!’ Bila membayangkannya saja dia sudah tidak sanggup. Idea ‘bunuh diri’ sendiri.
“Aku rasa tak perlu aku jelaskan lagi tentang itu. Kau tahu jawapan aku.” Dia berkata. Dia cuba menyabarkan hatinya menghadapi kerenah Sara. “Kan aku dah datang sejauh ini untuk bersama kau? Senyumlah…” pintanya kepada Sara yang sudah memalingkan wajahnya ke sisi. “Kalau kau terus masam macam ni, aku tahu apa caranya boleh buat kau senyum.” Kali ini dia sudah bangun. Dia membetulkan kedudukan pinggang seluarnya supaya lebih selesa.
Dia menanggalkan topi di kepalanya lalu meletakkannya di kerusi. Rambutnya yang perang, kelihatan sedikit berserabai. Dia mengirai rambutnya dengan kedua-dua tangannya. Tidak lama kemudian, rambut yang dihempap topi tadi kembali kemas terpacak, menyerlahkan sisi wajahnya yang lebih menawan.
“Kau jangan cuba, Adrian! Aku tak nak tengok!” Sara sudah tergeleng-geleng. Hilang rajuknya dek mengenangkan tindakan Adrian nanti. Dia tahu apa yang Adrian mahu lakukan. Adrian bukannya malu. Lagi ditegah, lagilah semangat dia hendak melakukannya. Itu kan sudah hobinya?
Tetapi Adrian kelihatan serius mahu mengenakan Sara. Langsung tidak peduli dengan rayuannya. Dia sudah mengambil tempat beberapa langkah di hadapannya lalu bersedia. Bila-bila masa dia akan memulakan persembahannya.
“Okey… okey… aku senyum!” Sara mengalah. Bibirnya sudah mengukir senyuman plastik.
Tetapi Adrian tidak berpuas hati. Itu bukanlah senyuman yang diharap-harapkannya. Dia mengacah Sara dengan membuat aksi regangan menyebabkan Sara kelihatan huru-hara. ‘Padan muka!’ ejeknya di dalam hati. ‘Tadi tunjuk berani sangat!’ Dia tersengih-sengih nakal.
Sara menutup mukanya dengan telapak tangan. Itulah langkah selamat yang terakhir yang boleh difikirkannya. Dia akan berasa malu setiap kali Adrian mahu membuat persembahan street dance untuknya. Sekejap sahaja nanti mereka akan dikerumuni orang ramai yang kagum dengan persembahannya. Kemudian diberi wang sebagai menghargai persembahan itu. Bukan sekali dua dia terkena. Lalu mengalah ketika itu adalah jalan terbaik. Ada banyak masa yang lain kalau dia mahu bertekak dengan Adrian.
“Sara! Buka mata. Kau jangan bimbang, aku main-main saja.” Adrian tergelak-gelak menjelaskan. Masakan dia mahu menarik perhatian orang di situ. Hari ini adalah hari istimewa yang harus dikongsi hanya untuk dia dan Sara. Tak perlu ada orang yang lain-lain. Dia cuma mahu menyakat.
Perlahan-lahan Sara mengintai dari celahan jemarinya. Dia mahu mengesahkan yang Adrian tidak mempermainkannya. Dia nampak Adrian berdiri betul-betul di hadapannya sambil berpeluk tubuh. Di bibirnya sedang mengukir senyuman lebar. Lega!
“Selamat hari lahir, puteriku,” ucap Adrian perlahan. Dia memandang Sara dengan hati yang damai. Kali ini Sara tersenyum manis kepadanya. Ya, senyuman itulah yang dinanti-nantikannya. Melihat senyuman itu, dia mahu hidup seratus tahun lagi.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/182884/cinta-bunga-tulip