[SNEAK PEEK] BUSANA NANA

BUSANA NANA Oleh Saidatul Saffa

Nama saya Nana. Saya seorang doktor. Err… maksud saya, doktor kain. Kan dekat kedai ada doktor cermin, apa salahnya kalau saya anggap diri saya sebagai doktor juga kan?

Doktor biasa, jahit-jahit orang. Tapi saya jahit kain. Sebenarnya, saya baru belajar menjahit. Saya ni sangat alergi dengan perkataan ‘tersalah’. Sebab apabila saya dengar perkataan tu… automatik saya akan terbuat salah. Sampai kawan saya suruh saya pergi jumpa pakar psikiatri sebab takut saya ni gila (eheh, sebenarnya saya yang rasa saya gila, bukan kawan saya cakap). Nak dijadikan cerita panjang sikit, akhirnya saya beritahu pada kakak sepupu saya tentang masalah saya tu dan pendapat kawan saya. Dan, akhirnya… saya dibawa berjumpa seorang ustaz yang katanya boleh mengubati penyakit secara ayat-ayat suci al-Quran. Kiranya perubatan alternatiflah. Selepas berjumpa dengan ustaz itu… teng teng! Nak tahu apa cerita selanjutnya…? Teruskan menanti sampai Nana tulis lagi (sambil gelak jahat).

DIARI ditutup semula dengan senyum yang berbunga mekar di bibir. Tiba-tiba dia terasa nak baca balik diari yang dia beli atas cadangan Kak Zatil. Pesan Kak Zatil, diari tu Nana tulis apa yang dia rasa. Antara banyak-banyak rasa tu… rasa takut ‘tersalah’ yang paling banyak Nana tulis.

“Macam ni… setiap kali Nana tulis rasa bersalah tu, Nana tulis penutup dengan doa.”

Kening Nana terangkat sebelah ala-ala The Rock. “Doa minta jodoh?”

Laju tepukan Kak Zatil hinggap di pahanya. “Doa supaya Allah kawal perasaan takut buat salah Nana itulah.”

Perlahan-lahan dia menolak diari ke atas meja kecil di tepi katil. Buku zikir al-Mathurat dicapai. Sekarang ni… dia dah cuba amalkan zikir al-Mathurat ni. Tapi… dalam selalu amalkan itu pun ada juga hari dia terlupa. Tertidurlah. Tersibuk sangatlah dengan kain-jarum. Termenonton drama televisyen lama sangatlah. Isy… macam-macam ‘ter’ ada. Berzikir pun culas Nana ni.

Ya Allah, jangan Engkau hukum kami apabila kami terlupa dan tersalah ~ (al-Baqarah: 286)

 Pertama kali baca zikir al-Mathurat dia tak perasan lagi ayat tu. Tapi… masa kali ketiga dia baca al-Mathurat, dia terasa nak baca secara tenang-tenang, teliti terjemahannya sekali. Dan… di situlah dia jumpa ayat tu.

Allah aje yang tahu betapa tenangnya dia saat terbaca ayat tu. Sekarang ni… apabila sampai ayat al-Baqarah yang ke-286 bahagian doa-doa tu… dia akan lafazkan ayat itu dalam bahasa Arab. Kemudian, dia tutup mata. Lafazkan maksudnya dengan sepenuh hati dalam bahasa Melayu.

Semoga Allah memperkenankan doanya. Aminnn….

“AYA… tolong panggil Abang Syahmin turun makan.”

Suara Datin Mah menyebabkan anak gadisnya yang baru sahaja menarik kerusi, tak jadi duduk. Tanpa banyak soal dia terus berlalu meninggalkan ruang makan untuk ke tingkat atas.

“Abang… jom makan. Pak Andak semua ada sekali ni.” Aya mengetuk perlahan pintu kamar abangnya. Entah apa dibuatnya sejak balik dari pejabat petang tadi, tak keluar-keluar.

“Okey! Dua minit!”

Sahutan dari dalam melahirkan rasa leganya. Maksudnya, tugasnya dah selesai. Aya mengatur langkah berlari anak menuruni anak tangga. Kembali ke meja makan untuk menikmati makan malam bersama keluarga.

Kebetulan pula, keluarga Pak Andak datang bertamu ke kediaman mereka hari ini. Meriah sikitlah jadinya. Mama pun… semangat memasak. Kalau tak ada orang datang, nak harapkan mama memasak meriah macam ni… hmmm… dalam mimpilah.

Dulu, semasa mereka adik-beradik kecil lagi… mama ambil pembantu rumah. Lagipun, mama masa muda-muda aktif berpersatuan sana sini. Jadi, pembantu rumahlah yang selalu ambil alih kerja-kerja dalam rumah. Namun, semenjak dia masuk tingkatan satu di Sekolah Seri Puteri, mama tidak lagi mengambil pembantu rumah. Masa itu mama kata anak-anaknya sudah besar, sudah pandai cari makan sendiri kalau mama tak masak. Untuk kerja-kerja rumah seperti mengemas, mencuci kain semua itu sekarang ini mama hanya upah orang di hujung minggu saja. Selesai tugas, orang itu akan balik.

Semasa dia bersekolah asrama penuh, dia selalu cemburu dengan kawan-kawan yang ibu bapa mereka datang melawat bawa masakan ‘air tangan’ ibu mereka sendiri. Dia… mana pernah. Makan di luar saja. Seingatnya, mama jarang sangat masuk ke dapur. Mama hanya masuk dapur apabila dia rasa nak ataupun apabila saudara-mara datang bertandang aje. Cuma semenjak dua tiga tahun kebelakangan ini saja mama jadi suri rumah sepenuh masa. Dah besar begini barulah dapat merasa air tangan ibu sendiri kerap sikit.

Pernah sekali dia tanya pada mama, kenapa mesti ambil orang gaji? Mama hanya jawab dengan ringkas, “Kita ni orang senang. Ada rezeki lebih. Apa salahnya kalau kita bagi kerja pada orang yang mahu bekerja. Betul tak?”

Masa itu jawapannya adalah mulut yang herot. Baginya, mama tak perlu bekerja pun tak apa sebab abah dah cukup kaya dan mampu untuk tanggung seisi rumahnya.

Namun, apabila sudah besar begini barulah dia boleh cerna ayat mama dulu.

“Abang turun tak?” Tangan Datin Mah mencedok nasi ke pinggan suaminya.

Aya menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya. “Dua minit.”

“Dah sampai.”

Semua mata terarah pada Syahmin yang berdiri tegak dengan senyum berbunga di bibirnya.

ROKOK dikepit antara dua jari. “Azra, jomlah kerja dengan syarikat Pak Ngah lepas ni.”

Azra mengerut dahi. “Tak naklah. Nanti kalau apa-apa Pak Ngah report terus pada abi.”

Asap rokok berkepul-kepul memenuhi udara malam seiring dengan tawa Syahmin.

“Abang Min, pleaselah jangan hisap rokok kat sini. Kak Azra tak suka rokoklah.” Suara Aya mengomel menyebabkan Syahmin memandang Azra semula. Patutlah dari tadi Azra duk tertunduk-tunduk tepi buai. Rupanya, tak nak sedut asap rokok yang dihembusnya.

Sorry. Tak beritahu awal-awal…” Syahmin tersengih bersalah. Kakinya memijak puntung rokok. Puntung yang sudah terpadam apinya diambil dan dicampak ke arah pasu-pasu bunga di halaman rumah mereka.

“Dah kita duduk rumah orang… takkan nak komen banyak-banyak.” Selamba Azra menuturkan.

So, sekarang Azra kerja kat mana?”

“Kerja dengan Bank Negaralah. Kan depa yang taja Kak Azra sambung belajar hari tu.” Suara Aya pula yang memintas.

“Oh… Aya, Abang Min nak minta tolong sikit boleh?”

Aya mendongak sedikit, dengan isyarat, apa? “Lain kali… jangan menyampuk cakap orang. Abang Min tanya Azra. Bukan tanya Aya.”

Azra ketawa. Aya merengus geram. Membebel sendiri. Entah apa butirnya, Aya saja yang tahu.

“Azra bila nak kahwin ni?”

Azra duduk tegak dengan soalan daripada sepupunya itu. Aya menelengkan kepala sedikit melihat muka Azra, kemudian ke arah abangnya.

Random betul soalan Abang Min ni. Cakap fasal kerja, tiba-tiba tukar topik kahwin pula?” Huh! Azra mengerut dahi.

Syahmin ketawa kecil. “Taklah. Soalan standard untuk umur Azra kan?”

“Patutnya, Azra tanya Abang Min dulu. Bila nak kahwin ni? Umur dah tiga puluh kan?” Azra memulangkan paku buah keras. Badan kembali disandarkan, biar bergerak seiring dengan ayunan buai.

“Abang Min tengah tunggu jodoh jatuh dari langit.” Selamba dia membalas.

“Kalau jodoh tu macam duit turun dari langit tak apa juga. Azra takut jodoh Abang Min tu buah durian aje. Jatuh atas kepala, wassalam!” Meletus tawa mereka bertiga di situ.

“CUBA BERITAHU aku sikit, apa yang menyebabkan kau paranoid sangat dengan orang kaya ni?”

Nana pegang kepala. Huda ni kan… “Aku tak faham, kenapa apabila aku kata aku tak nak orang kaya, engkau yang tak dapat terima?”

Huda ketawa besar. Sampai sepet matanya. “Bukan tu maksud aku.” Sisa tawa cuba dibuang seupaya mungkin. “Aku nak tahu satu alasan yang konkrit aje.”

Bahu dijongket. “Aku tak tahu. Aku cuma tak suka aje. Itu aje. Tak ada sebab tiang besi konkrit.”

“Okey, meh sini aku beritahu kau.” Huda mengisar punggung. “Islam tak marah orang kaya. Rasulullah tu pun kaya tau.”

Nana angkat kening ala-ala The Rock. “Eh, bukan Rasulullah punya tempat tidur pun pelepah kurma ke? Yang sampai berbekas badan Rasulullah.” Huda   menepuk   meja   perlahan.   “Ha… itulah bezanya. Rasulullah tu kaya, tapi tak suka mengamalkan gaya hidup kaya. Kalau kau semak balik kan sejarah… Rasulullah punya kuda perang tu kuda yang paling tangkas yang ada waktu tu. Pedang Rasulullah, yang dia guna setiap kali jihad… apabila ditarik aje pedang tu dari sarung, cahaya yang terpantul daripada pedang tu dapat menyilaukan mata dan menggentarkan musuh sebab pantulan cahaya tu seolah-olah ada ramai sangat tentera yang ada. Nak buat pedang macam tu, bukan sikit emas yang perlu digunakan.”

“Okey.” Anak matanya menikam anak mata Huda. Tepat. “Kau kata, Rasulullah tu kaya, tapi tak suka mengamalkan gaya hidup kaya. Yang orang-orang kaya ada atas dunia ni memang kebanyakannya mengamalkan gaya hidup kaya. Tak eloklah kan?”

“Kau kena ingat, Allah memang cakap dalam surah an-Nahl. Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya. Ayat ketujuh puluh satu. Maknanya tak salah nak jadi kaya. Dan kau tengok para sahabat macam Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf. Dia orang tu semua kaya-raya tau. Cuma bezanya, dia orang tak letak harta tu dalam hati. Tak rasa susah nak gunakan harta tu untuk buat kebaikan pada orang lain.” Bersemangat Huda menerangkan. “Tak salah nak jadi kaya dan nak amalkan gaya hidup orang kaya. Kita cuma kena ingat kaya tu ujian untuk kita ajelah.”

Nana mengeluh perlahan. “Aku tak kata aku tak nak jadi kaya. Aku cuma kata tak suka sangat orang kaya jadi suami aku.”

Huda ketawa. “Ya Allah, tolonglah beri Nana ni suami kaya. Biar dia dapat buat kebaikan banyak sikit.” Tangan ditadah ke langit. “Amin!”

Nana memicingkan mata. Kalau pintu langit terbuka masa ni… habislah.

Eh… tapi Huda kan doa untuk kebaikan.

Isy! Itulah yang Nana susah nak terangkan. Nana… tak tahu nak aminkan ke tidak doa tu.

Haih….

“YA ALLAH….”

Nana memegang kain yang sudah siap dijahit segala zip, getah dan cangkuknya. Sakit jiwalah macam ni. Asyik tersalah aja. Hesy… nampaknya sumpahan ‘tersalah’ Nana belum habis.

“Kak… silap jahit zip. Terbalik. Luar ke dalam, dalam ke luar.”

Kain di tangan dibawa pada Kak Zatil yang sibuk ‘berchenta’ dengan mesin jahitnya. Kak Zatil mencapai huluran Nana. Diteliti betul-betul apa yang Nana duk kompelin.

“Ambil penetas dalam bekas tu. Tetas je Nana. Tak susah pun.”

Kain dihulur semula pada Nana. Pedal ditekan semula. Baju kurung dipegang berhati-hati agar jahitannya tak serong.

Nana rasa nak hantuk kepala ke dinding. “Memanglah tak susah kak. Tapi… akak perasan tak yang ini… tersalah lagi. Kain sutera orang pula tu.” Zatil berhenti menjahit. Matanya menikam anak mata Nana. Lama. “Nana… pergi ambil diari Nana kejap boleh?”

Nana buat muka sedih. “Baik, kak.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97186/busana-nana