[SNEAK PEEK] BICARA HATI

983124110x-medium

BICARA HATI Oleh Damya Hanna

“Awak dah gila ke? Awak ingat saya ni perempuan murahan?” marah Zahlia sambil membeliakkan biji mata.

Tengku Syahran berasa gerun melihat wajah bengis gadis yang bertudung di hadapannya itu. Nampak lembut tapi garang.

Tengku Syahran masih ingat lagi peristiwa seminggu yang lalu. Kereta Honda Preludenya telah dilanggar oleh kereta gadis itu. Tengku Syahran sungguh geram. Ingin sahaja ditengking gadis itu yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Alia.

Dahlah hatiku tengah panas dengan kerenah mak yang suka-suka nak kahwinkan aku dengan Linda. Ini pulak, kereta kesayanganku kena balun, bisiknya.

“Tolonglah Cik Alia! Cik Alia ajelah yang dapat tolong saya sekarang ni!” rayu Tengku Syahran.

“Tapi…” Zahlia jadi serba salah.

Memang Zahlia terhutang budi dengan Tengku Syahran kerana tidak meminta wang ketika keretanya dilanggar. Tapi takkanlah kerana ingin membalas budi, dia perlu mengorbankan hidupnya? Menjadi isteri buat lelaki yang baru dikenalinya seminggu yang lalu.

“Tolonglah Cik Alia, jadi isteri saya. Itu aje permintaan saya!” Ayat itu masih terngiang-nigang di telinganya.

“Arrghhhh!!!” Zahlia menjerit sambil menumbuk-numbuk meja yang ada di hadapannya. Biar satu dunia tahu dan dengar kebuntuannya ketika itu.

“Bagaimana? Setuju? Kita kahwin, bukan buat apa. Saya cuma nak minta tolong Cik Alia berlakon depan mak saya aje. Saya janji takkan ganggu Cik Alia selepas segala-galanya selesai.”

“Amboi-amboi senangnya awak cakap! Awak tu lelaki, bolehlah cakap macam tu. I’m a woman. Kalau apa-apa berlaku, lelaki mana yang nakkan saya lagi?” petah Zahlia menghuraikan hujah.

Tengku Syahran terdiam seketika. Dia terlupa untuk memikirkan hal itu. Selama ini fikirannya kacau memikirkan paksaan emaknya yang mahu dia berkahwin dengan Linda. Tengku Syahran tidak mahu menurut kerana Linda tidak pernah dicintai.

“Mak mahu kamu berkahwin dengan Linda! Mak dah bincang dengan Datin Rohana dan dia setuju!” Permintaan emaknya kedengaran lagi.

Tengku Syahran memicit-micitkan kepalanya. Tiba-tiba sahaja dia terasa pening. Otaknya berserabut lagi dan dia perlukan seseorang untuk meringankan beban itu.

“Encik Syah! Kalau awak nak buat keputusan, fikir dulu masalah yang akan timbul. Ini tak, main rempuh aje. Sorrylah… I can’t accept your offer.”

Zahlia bingkas berdiri. Dia berkira-kira untuk meninggalkan tempat itu. Suka-suka hati dia nak ajak aku kahwin guna cara tu! Gila… dia ingat aku ni perempuan yang senang ditolak dan ditarik sesuka hati. Boleh blahlah!!!

“Cik Alia! Saya betul-betul perlukan bantuan Cik Alia. Cik Alia mintalah berapa banyak wang yang Cik Alia mahu, saya sanggup bayar dengan syarat Cik Alia terima tawaran jadi isteri saya.”

Zahlia terlopong mendengarnya. Ini dah kes berat. Nahas, kalau mak aku tahu! Hatinya berdetik.

“Boleh?”

“Encik Syah, please! Jangan paksa saya. Lelaki jenis apa awak ni? Awak ingat kahwin tu perkara main-main ke? Kalau ini caranya nak mencipta ikatan, baik tak usah. Saya tak mahu jadi seorang hamba yang dibenci ALLAH. Menganggap perkahwinan sesuatu yang boleh ditolak tepi.” Panjang lebar Zahlia berkata seterusnya membuatkan Tengku Syahran terdiam.

“Saya tahu tapi saya bingung. Saya tak mahu berkahwin dengan gadis pilihan mak saya. Saya dah masak dengan perangai dia!” Tengku Syahran bersuara lemah.

Zahlia membisu. Tidak sangka di zaman berteknologi maklumat masih ada kes pasangan disatukan dengan pilihan keluarga. Kalau aku bantu, aku telah menyelamatkan dia dari keadaan. Tapi, aku pulak yang terjerat. Siapa yang mahu membantuku? Jerit hatinya.

“Tolonglah Cik Alia. Kita bernikah seperti biasa. Saya takkan ganggu hak privasi Cik Alia. Perjanjian kita lakukan secara peribadi.”

“Dan saya terjebak dalam keluarga awak?”

“Tak ada pilihan lain. Itu aje yang mampu saya minta dari awak, please!” Tengku Syahran masih merayu.

Zahlia mengalihkan pandangan ke luar restoran. Berharap ada seseorang yang lalu dan dapat membantunya ketika itu. Terbayang wajah Puan Azizah di ruang mata. Teringat Razif yang masih terlantar sakit di hospital dan wajah lembut Fatimah bagaikan menggamit dirinya dengan perasaan berdebar.

“Cik Alia, tolonglah…”

“Saya takut nak ambil risiko ni. Bagaimana saya nak tahu yang awak ni jujur? Sedangkan kita baru kenal seminggu. Lagipun saya tak pernah terfikir untuk berkahwin dalam waktu terdekat ni.”

“Tapi Cik Alia…”

“Tolong Encik Syah, jangan ganggu saya lagi. Saya nak ucapkan terima kasih sebab awak tak mahu terima wang saya. Tapi saya tak mampu nak tolong… maafkan saya,” ujar Zahlia sambil mula hendak melangkah pergi.

“Kalau saya tawarkan Cik Alia wang, Cik Alia sudi terima tak?” Tengku Syahran masih tidak berputus asa.

Langkah Zahlia terhenti serta-merta.

“Jangan ingat dengan tawaran awak tu, saya akan terima! Perkahwinan apa kalau berdasarkan wang tetapi kasih sayang tak ada? Baik awak cari perempuan lain. Saya bukan perempuan jenis tu. Saya takut Hari Akhirat,” ujar Zahlia tenang.

Tengku Syahran mengetap bibir. Dia tahu tentang itu. Bukan dia tidak belajar agama. Malah sejak kecil lagi dia telah diajar tentang hukum-hakam ALLAH. Sehingga guru agama dipanggil datang ke rumah untuk mengajarnya.

Tapi hari ini, Tengku Syahran buntu. Dia terpaksa memikirkan sesuatu untuk menjaga perasaannya. Dia tidak mahu Linda bertamu di hatinya. Dia lebih rela tidak berkahwin dari menjadi suami kepada perempuan yang gemar bertukar pasangan ketika di England dahulu.

Masih jelas di ingatan, Linda bermersa dengan seorang lelaki Inggeris di hadapan sebuah hotel sebelum kedua-duanya melangkah masuk ke dalam hotel itu. Malam esoknya, Linda kelihatan bersama lelaki lain pula.

Apabila perkara itu disuarakan kepada Tengku Badariah, sedaya upaya emaknya mahu menyangkal. Tengku Badariah tidak percaya anak sahabatnya, Datin Rohana sanggup berbuat begitu. Malah, yang paling mengejutkan apabila Tengku Syahran dipaksa berkahwin dengan Linda. Inilah yang merunsingkan fikiran Tengku Syahran sehinggakan dia terpaksa membuat keputusan yang drastik dengan mencari perempuan yang sudi menjadi isterinya.

Kebetulan ketika dia sedang melarikan diri dari kekalutan itu, kemalangan kecil berlaku dan Tengku Syahran telah diketemukan dengan Zahlia. Gadis yang dirasakan sesuai untuk membantunya.

Namun, Tengku Syahran kecewa apabila Zahlia menolak tawarannya. Serta-merta Tengku Syahran duduk terjelepok di atas lantai restoran itu. Zahlia terkejut dengan tindakannya. Beberapa pelanggan yang berada di situ juga turut memandang.

“Encik Syah! Apa awak buat ni? Hei, bangunlah!” Serentak itu Zahlia terus menarik tangan Tengku Syahran dan menuju ke meja yang ditinggalkan tadi.

Zahlia melabuhkan punggungnya di hadapan lelaki itu semula. Wajahnya sudah mula nampak resah. Raut wajah itu telah membuatkan hati wanitanya sedikit terusik.

“Saya pernah nampak Linda masuk ke dalam hotel. Setiap malam, dia bertukar pasangan. Saya tak mahu terikat dengan Linda. Dia perempuan yang tak pernah puas dengan hidup!” Hambar sungguh suara Tengku Syahran ketika itu.

Zahlia memasang telinga. Berkerut dahinya mendengar cerita yang baru diucap oleh Tengku Syahran.

“Kalau saya tak tunjukkan perempuan lain kepada mak saya dalam waktu terdekat ini, saya tak ada pilihan lagi selain terpaksa bernikah dengan Linda. Mak saya tak pernah percaya dengan apa yang saya beritahu. Dia hanya pentingkan persahabatan!”

Zahlia mengetap bibir. Suara Tengku Syahran yang mendatar membuatkan dia terharu.

“Bantulah saya… saya sanggup menawarkan wang jika itu yang Cik Alia pinta sebagai balasan,” ujar Tengku Syahran berharap pujukannya kali ini diterima.

Zahlia menelan air liur. Fikirannya bercelaru sama ada mahu menerima atau tidak! Tiba-tiba ingatan Zahlia melayang jauh.

“ALIA, aku sayangkan kau! Aku hanya inginkan cinta dari kau, salahkah?” Razif menyuarakan rahsia hatinya pada Zahlia.

“Tak salah Razif. Tapi hatiku tak dapat terima diri kau. Aku tak boleh paksa. Aku dah anggap kau seperti sahabat,” beritahu Zahlia. Ada riak kekeruhan di wajah Razif.

“Tapi, aku terlalu cintakan kau, Alia. Sejak dari kecil, sejak kita mula mengenali erti kehidupan lagi.” Razif masih tidak berputus asa.

“Razif, jangan kau salah anggap dengan kasih sayang yang kutunjukkan. Aku ada had dan batas tertentu di dalam tempat ni. Kita sama-sama yatim piatu dan bertanggungjawab di tempat ni. Maafkan aku.”

Zahlia masih tidak berganjak dengan keputusannya. Tidak mahu mengalah.

Razif terdiam. Nafasnya turun naik menahan sebak. Memang dia mencintai Zahlia sejak kecil. Walaupun perpisahan berlaku seketika tetapi cinta yang berputik di hati Razif tidak pernah padam. Kemunculan semula Zahlia berpuluh tahun lamanya menyemarakkan kembali perasaan yang kian terkubur.

“Tapi Alia…”

“Kita teruskan hubungan sebagai sahabat aje,” ujar Zahlia tenang.

Razif berasa pilu. Cintanya ditolak mentah-mentah. Mengapa? Rintih hatinya. Pandangannya mula dirasakan berpinar-pinar. Dan tiba-tiba dia rebah di padang itu. Zahlia tersentak. Lantas dia meluru ke arah Razif yang tidak bergerak itu. Tubuh Razif digoyang beberapa kali sebelum dia menjerit meminta tolong.

Di hospital, segala-galanya terbongkar. Razif didapati menghidap penyakit kanser perut. Zahlia menangis tersedu-sedan di samping Fatimah, rakannya. Wajah Razif ditatap sayu. Masih lemah. Kenapalah Razif merahsiakan penyakitnya?

TIBA-TIBA Zahlia mengeluh. Lamunannya terhenti. Mula mengingati situasinya ketika itu. Zahlia memerlukan wang untuk rawatan Razif.

“Baiklah Encik Syah! Saya terima tawaran awak itu. Tapi saya ada syarat yang perlu awak turuti.” Akhirnya Zahlia memberikan persetujuan.

Tengku Syahran mengangkat wajah dan terus merenung gadis bertudung putih itu. Anak mata gadis itu yang berwarna hazel ditatapnya lama. Cuba mencari cahaya keikhlasan dan akhirnya bibir Tengku Syahran menguntum senyuman lega.

“Syarat pertama; saya tak mahu tinggal dengan famili awak lepas berkahwin. Kita pindah dan cari rumah lain. Saya tak mahu pergerakan saya terbatas.

Syarat kedua; saya nak terus bekerja tanpa ada sekatan memandangkan kita hidup dengan duit masing-masing.

Syarat ketiga; tidur di bilik masing-masing demi menjaga kelakuan dan tindakan kita daripada hilang pertimbangan dan menjadi rapat. Awak tak dibenarkan menyentuh tubuh saya, walaupun perkahwinan kita sah. Setuju?” Begitu panjang lebar Zahlia menyuarakan syaratnya.

Tengku Syahran termenung seketika. Sekejap duduk. Sekejap berdiri. Memikirkan syarat-syarat yang dikenakan oleh Zahlia. Akhirnya dia bersuara.

“Kenapa banyak sangat syarat?”

“Awak nak terima atau saya batalkan hasrat saya? Saya dah terima tawaran awak ni dah kira bagus. Atau…”

“Okey… okey… saya setuju!”

“Kan senang. Hah! Satu lagi.”

“Ada lagi?”

“Tentang duit yang awak tawarkan tadi. Saya rasa elok awak tentukan sendiri jumlahnya. Pasti awak dah dapat agak berapa jumlah nilai pengorbanan saya ni, kan? Saya tak mahu cakap banyak. Kalau boleh saya nak depositnya secepat mungkin!”

Tengku Syahran masih memikirkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi. Syarat kedua tu, tak kisahlah. Tapi, syarat yang lain tu, macam mana aku nak ikut. Senang-senang nak suruh pindah. Ingat mak aku setuju? Dahlah kahwin pun atas pilihan sendiri, mengamuk pulak orang tua tu nanti! Hatinya berkata-kata.

“Bagaimana Encik Syah? Setuju atau tak?” soal Zahlia lagi.

Tengku Syahran mengetap bibir dan perlahan-lahan mengangguk lemah.

“Saya setuju. Tapi, saya pun ada syarat yang perlu Cik Alia ikut.” Kini giliran Tengku Syahran pula mengenakan syarat.

“Awak pun ada syarat?” soal Zahlia separuh menjerit.

“Mestilah. Cik Alia kenakan saya tiga syarat dan saya hanya kenakan Cik Alia satu syarat aje.”

“Apa dia?”

“Saya nak Cik Alia panggil saya dengan panggilan yang sesuai. Saya mahu watak yang bakal Cik Alia lakonkan berkesan. Okey?”

“Panggil awak dengan panggilan yang sesuai? Nak panggil apa?”

“Panggilan isteri untuk seorang suami,” ujar Tengku Syahran.

“Apa?”

“Abang!”

Zahlia tertelan air liur. Dia nak suruh aku panggil dia dengan panggilan tu? Hisy… bagaimana aku nak sebut perkataan tu? Tak pernah aku terfikir nak sebut sampai macam tu sekali. Jiwanya meronta.

“Cik Alia setuju?”

Lama Zahlia terdiam tetapi akhirnya Zahlia mengangguk.

“Kalau begitu, esok saya akan siapkan dokumen tentang syarat itu,” tambah Tengku Syahran.

Zahlia mengangguk dan terus bangun. Kemudian, dia melangkah pergi dan meninggalkan Tengku Syahran setelah masing-masing mencapai kata sepakat.

Aduh! Bagaimana ni? Apa aku nak cakap dengan mak kalau dia tanya kenapa nak pindah? Takkan nak beri alasan nak hidup berdikari. Mak mesti tak bagi punya! Takut jadi macam Alonglah… duduk jauh cepat bercerai. Itulah, inilah. Tengku Syahran seolah-olah mengajuk percakapan emaknya.

Tengku Syahran menggeleng. Membisu sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk permukaan meja. Lama dia terdiam dan akhirnya tersenyum. Ah, pandai-pandailah elakkan diri dari syarat tu. Gunakan ayah sebagai orang tengah. Mesti perempuan tu akan kalah kalau ayah pujuk. Aku takkan pindah! Muktamad kata-kata Tengku Syahran.

“Yes!” Tengku Syahran tersenyum kecil.

****

Majlis perkahwinan Tengku Syahran dan Zahlia telah diadakan secara besar-besaran bagi meraikan kedatangan orang baru di Vila Sakura. Walaupun Tengku Badariah sedikit terkilan dengan keputusan anaknya mengahwini orang kebanyakan, namun dia terpaksa juga menerima hakikat tentang jodoh pertemuan di tangan yang Maha Esa. Kini dia redha dengan kehendak anak keduanya yang beria-ia minta dikahwinkan segera dengan pilihan hatinya.

Nak buat macam mana kalau dia dah suka? Ikutkan ajelah. Lagipun perempuan tu nampak dari golongan yang baik-baik. Pakai tudung, kelakuan pun sopan. Emmm… ada chancelah aku dapat cucu dalam setahun dua ni! Bisiknya di dalam hati.

“Yah, apa yang awak menungkan tu?” soal Tengku Ismail apabila mendapati isterinya tidak mengikuti topik perbualan. Tengku Badariah terkejut seketika.

“Hah, tak ada apa-apalah bang! Yah tengah perhatikan menantu kita tu. Sopan orangnya kan, bang?” beritahu Tengku Badariah.

“Sopan, lawa! Teringat awak masa muda-muda dulu,” ujar Tengku Ismail sambil ketawa kecil.

Tengku Badariah menoleh ke arah suaminya.

“Jadi, sekarang ni Yah dah tak lawa lagi ke?”

“Bukan begitu maksud abang! Apa yang abang perhatikan, Alia tu bakal jadi isteri yang baik seperti Yah,” beritahu Tengku Ismail.

“Yalah abang tu!”

“Ya! Lagipun biarlah Syah kahwin dengan pilihan dia. Kalau kita pilihkan isteri untuk dia, takut bukan taste dia. Peristiwa yang terjadi pada Kimi betul-betul buat abang serik,” ujar Tengku Ismail secara jujur.

“Yah pun rasa berdosa pada Kimi bang! Disebabkan Yahlah, dia kena tanggung semuanya ini. Itupun alhamdulillah Jasmin pergi tak bawa Murni sekali, kan bang?” Tengku Badariah berkata sambil mengingati cucu sulungnya yang berusia lima tahun.

“Em… bersyukurlah,” ringkas Tengku Ismail menjawab.

“Tapi, Yah sebenarnya sedih jugak sebab Syah pilih sendiri jodoh dia. Kalau Syah berkahwin dengan Linda, Yah lagi suka,” balas Tengku Badariah.

“Yah nak jodohkan dia dengan Linda? Hisy… simpang malaikat empat puluh empat. Abang tak berkenan sungguh dengan anak Datin Rohana tu. Perangainya melebihi orang barat. Pakai baju terbelah sana. Terbelah sini,” rungut Tengku Ismail.

“Abang jangan nak mengata anak kawan Yah.”

“Abang cakap apa yang betul. Abang memang tak berkenan dengan Linda tu,” bidas Tengku Ismail.

Tengku Badariah mula menarik muka masam.

“Abang memang begitu, semua kawan Yah tak elok. Kawan abang ajelah yang baik,” rajuk isterinya.

Tengku Ismail ingin ketawa tetapi ditahannya. Tengku Badariah memang pantang jika rakan-rakannya diumpat. Persahabatan pada Tengku Badariah terlalu suci untuk di persoalkan.

“Abang tak cakap semua kawan Yah macam tu! Cuma segelintir aje yang abang tak berkenan perangainya.”

“Ah, malaslah Yah nak layan abang!” Tengku Badariah terus melangkah pergi.

Tengku Ismail memandang Tengku Badariah yang melangkah semakin jauh. Kepalanya digeleng apabila kelibat isterinya itu hilang di sebalik kanopi dan orang ramai yang ada di situ. Para tetamu sudah semakin ramai memenuhi ruang legar pekarangan Vila Sakura.

Taman mini yang tersedia di tepi sudut sebelah kanan vila itu menarik perhatian ramai. Sehingga ada yang duduk berbual di situ sambil menikmati pemandangan air terjun buatan yang menyerikan suasana.

Di sudut bertentangan tersusun kerusi kayu berukir yang ditempah khas dari China. Di kelilingnya terdapat pasu-pasu kecil bunga kertas yang beraneka warna.

Di kejauhan, kelihatan Tengku Syahran sedang leka memerhati Zahlia yang berada di taman mini itu. Dia sedang rancak berbual dengan tetamu yang hadir. Sesekali wanita itu ketawa dan berbual dengan saudara-mara yang suka mengusik.

Tengku Syahran tersenyum. Pandai betul dia berlakon! Mujurlah dia pandai membawa diri. Bukan senang nak bergaul mesra dengan orang-orang kenamaan yang banyak kerenah, bisiknya.

“Syah!!!” Tengku Syahran tersentak apabila namanya di panggil.

Dia berpaling apabila bahunya dicuit. Abangnya, Tengku Hakimi sedang tersengih memandangnya.

“Apahal kau tenung isteri kau tu lama-lama? Kalau ya pun sabar-sabarlah sikit,” usik abangnya.

“Along ni merepek ajelah!”

“Apa yang merepeknya. Hei, Along dah ada pengalaman tau! Kau ingat Along tak nampak apa yang kau buat tadi? Perhatikan Alia macam nak telan. Along pun pernah rasa perasaan tu Syah,” tambah Tengku Hakimi lagi.

Tengku Syahran bersikap selamba. Entah perasaan apa yang dimaksudkan oleh Tengku Hakimi tidak pula dia terfikir. Yang dia ingat, dia sedang leka memerhatikan Zahlia tanpa apa-apa perasaan berdebar atau gementar.

“Along ni suka-suka nak mengata orang.”

“Along cakap ikut pengalaman. Kan Along lebih dulu makan garam, lebih dulu rasa nikmat rumah tangga,” ujar Tengku Hakimi sambil membelai rambut Tengku Murni.

Tengku Syahran memandang wajah Tengku Murni. Cantik, macam mamanya Raja Jasmin. Namun dia berasa kasihan dengan Tengku Murni. Kecil-kecil lagi sudah kehilangan kasih sayang mama. Pada Tengku Syahran, Raja Jasminlah yang bertanggungjawab di atas penderitaan abangnya dan anak buahnya itu.

“Kau tak temankan Alia? Kasihan dia melayani tetamu sorang-sorang tu.”

“Tak apa bang. Biar dia biasa dengan keadaan rumah kita bila ada majlis keramaian macam ini. Baru dia tau,” jawab Tengku Syahran tenang.

“Kau ni, tak elok kalau orang tengok! Suami isteri kena bertindak mengikut kata sepakat. Bukan dia ke sana, kau ke sini,” nasihat Tengku Hakimi.

Tengku Syahran memandang Alongnya semula. Ucapan itu bagaikan terselit makna tersendiri. Mungkinkah Along tidak mahu perkahwinan aku menjadi seperti perkahwinannya? Tengku Syahran meneka di dalam hati. Raut Tengku Hakimi sudah jelas menyatakan tetapi Tengku Syahran tidak dapat menangkap.

“Along bila lagi? Syah tengok Murni ni macam tengah rindukan mama dia. Baik Along cari calon cepat-cepat sebelum Kak Min buat tuntutan hak penjagaan sepenuhnya ke atas Murni.” Tengku Syahran terus mengubah tajuk.

Tengku Syahran sengaja meluahkan keresahannya sambil mencuit lembut pipi Tengku Murni. Tengku Syahran takut Alongnya menderita lagi. Kecurangan Raja Jasmin sudah cukup azabnya. Jangan lagi Alongnya menerima hukuman akan kehilangan Tengku Murni pula.

Tengku Hakimi terdiam sejenak. Tubuh Tengku Murni dipeluk erat. Dia memikirkan kemungkinan kata-kata adiknya itu.

“Entahlah Syah, Along pun takut jugak,” ujarnya ringkas.

“Sebab tulah Syah harap Along kahwin lagi. At least Kak Min tak boleh cari kelemahan Along. Konon-konon Along tak boleh jaga Murni seorang sebab Along ni lelaki,” beritahu Tengku Syahran.

Tengku Hakimi membisu sambil matanya memerhati Zahlia yang semakin mendekati. Lama matanya terpaku pada sekujur tubuh yang sedang berjalan lembut dan penuh sopan.

“Di mana kau jumpa Alia? Selama ni kau tak pernah cerita pun? Along ingat nak cari isteri seperti dialah. Ada sifat-sifat keibuan.” Tengku Hakimi berkata.

“Along ingat lagi tak tentang accident kereta Syah dulu?”

“Ingat! Yang tiga bulan lepas tu, kan?” jawab Tengku Hakimi.

Tengku Syahran mengangguk.

“Dialah perempuan yang Syah maksudkan tu!”

“Oh… dia! Maknanya kau baru kenal dia tiga bulan dan terus jatuh cinta?” soal Tengku Hakimi seolah-olah kurang percaya dengan cerita adiknya itu.

“Emm… kuasa ALLAH! Love at the first sight,” jawab Tengku Syahran segera. Cuba menyembunyikan keresahan hati dengan soalan yang pelbagai.

“Syah…” Tiba-tiba Zahlia bersuara dan menghampirinya.

Tengku Syahran menoleh dan Zahlia sudah pun berada di sisinya. Zahlia sempat mencuit pipi Tengku Murni sebelum melemparkan senyuman kepada Tengku Hakimi.

“Saya ada hal nak bincang dengan awak sekejap. Kita ke bilik,” beritahu Zahlia.

Dahi Tengku Syahran berkerut. Namun hatinya mengucap syukur. Kehadiran wanita itu telah menyelamatkannya dari ditanya dengan pelbagai soalan.

“Tentang apa?” tanya Tengku Syahran.

Zahlia tidak menjawab. Lidahnya kelu kerana Tengku Hakimi ada di situ.

“Adalah… saya tak boleh beritahu kat sini.” Lambat-lambat Zahlia bersuara.

“Aikk… Alia! Dah kahwin pun bersaya, berawak lagikah? Cubalah panggil Syah tu dengan panggilan yang manja sikit. Sejuk hati dia. Gelaran saya dan awak tu kan gelaran waktu bercinta,” usik Tengku Hakimi sambil memandang Zahlia.

Zahlia menyedari kesilapannya seraya tertunduk malu. Dia mula teringatkan syarat yang dikenakan oleh Tengku Syahran.

“Along ni, tak habis-habis nak menyakat,” marah Tengku Syahran sambil ketawa kecil.

“Saya jumpa awak kat atas.” Zahlia segera berlalu.

“Pergilah Syah. Dia dah panggil tu. Nanti merajuk pulak,” gurau Tengku Hakimi lagi.

Tengku Syahran bingkas bangun. Ketawanya masih bersisa. Sebelum berlalu dia sempat menumbuk mesra bahu abangnya. Tengku Hakimi faham maksud adiknya. Kemudian dia ketawa lagi dengan tindakan Tengku Syahran. Mula merasai kebahagiaan yang bakal dikecapi adiknya.

TENGKU SYAHRAN duduk di birai katil yang dibaluti cadar baldu yang berwarna hijau lumut. Dia termangu seketika. Matanya terus merenung tubuh Zahlia yang sedang berdiri membelakanginya. Apakah jawapan yang harusku berikan? Tengku Syahran mati akal.

“Syah, cakaplah cepat! Apa yang harus saya buat lagi? Hari tu awak kata caranya senang! Sekarang?”

Zahlia bagaikan merayu. Sakit hatinya melihat kelakuan Tengku Syahran yang telah pun sah menjadi suaminya itu. Sikap Tengku Syahran yang selamba dan bercakap tidak serupa bikin itu membuat hatinya geram. Fikirannya kini terus melayang kepada seorang gadis yang baru dikenali tadi.

“MACAM MANA you kenal Syah?” tanya seorang gadis yang lebih kurang sebaya dengan Zahlia. Lagaknya seperti tidak senang melihat Zahlia.

“Masa accident dulu. Tak sangka jodoh kami bertemu dalam keadaan begitu,” jawab Zahlia tenang.

“Oh, ada jugak orang yang baru kenal tiga bulan terus kahwin ya?”

Soalan gadis itu mula tidak disenangi Zahlia. Namun, Zahlia masih cuba menyembunyikan perasaan gementarnya itu. Tetap bersabar.

“Siapa tahu kehendak ALLAH,” jawab Zahlia pendek.

“Ya, hati orang pun kita tak tahu. Niatnya baik atau buruk! Yalah sejak zaman teknologi mula berkembang sekarang ni, macam-macam virus kita ketahui. Actually, virus tu pun macam manusia jugak. Ada yang elok dan ada yang memudaratkan. Betul tak Zahlia?” ujarnya panjang lebar. Zahlia telan air liur mendengarnya.

“Just call me Alia.”

“Okay. By the way, I’m Hazwin.” Gadis itu menghulurkan salam. Zahlia menyambutnya walaupun kata-kata gadis itu tadi masih terasa menyerap ke lubuk hati.

“Alia, Hazwin tu sepupu saya yang paling rapat. Saya yakin setelah awak mengenali dia, awak akan tahu dia tu sebenarnya tak seperti yang awak sangkakan.” Bicara Tengku Syahran menyedarkan Zahlia dari terus mengingati perbualan dinginnya dengan gadis yang dikenali sebagai Hazwin itu.

Zahlia mengeluh kecil.

“Habis tu, apa saya nak cakap kalau dia datang bersembang dengan saya lagi? Saya dah tak sanggup Syah! Saya tak mahu sepanjang perkahwinan kita, saya kena terus terusan berbohong di hadapan semua orang! Itu baru Hazwin, kalau Linda bagaimana?” ujar Zahlia.

“Alah, pandai-pandailah awak kelentong. Bukannya susah,” jawab Tengku Syahran.

“Syah! Awak jangan nak pandai-pandai mengajar saya menipu pulak. Saya tolong awak ni, tak lebih dari untuk membalas budi dan sebab saya perlukan wang. Awak hanya suruh saya berlakon di hadapan keluarga awak. Awak tak beritahu tentang perangai saudara-mara awak yang merimaskan,” jerit Zahlia geram dengan perangai Tengku Syahran.

“Eh… janganlah jerit! Nanti orang dengar,” marah Tengku Syahran.

“Ah, saya tak peduli! Awak memang nak perangkap saya. Ada niat lain awak mengahwini saya. Awak hanya mahu mengambil kesempatan ke atas diri saya,” jerit Zahlia lagi. Kali ini lebih kuat.

Tengku Syahran terkejut. Segera dia menerpa ke arah Zahlia. Mulut Zahlia ditekupnya dengan tapak tangan. Tubuh Zahlia ditolaknya tepat ke dinding.

“Diam! Jangan jerit. Aku tak suka dengar. Aku benci dengar perempuan yang suka menjerit!”

Zahlia terkesima dengan tindakan Tengku Syahran. Bahasa lelaki itu bertukar kasar tiba-tiba. Wajahnya direnung begitu tajam sekali. Rasa ingin menangis kerana di perlakukan sedemikian rupa.

“Bila mereka tanya, kau buka mulut. Bukannya susah! Aku dah bagi kau upah. Ingat, surat perjanjian tu ada pada aku. Sekali kau buat silap, kau tahulah akibatnya. Aku akan tuduh kau perempuan yang bukan-bukan,” ujar Tengku Syahran berbaur ugutan.

Berlinang air mata Zahlia jatuh ke pipi. Dia cuba melepaskan diri. Tangan Tengku Syahran ditepis kuat.

“Don’t you dare to touch me! Tolong hormati syarat yang patut awak patuhi.” Zahlia berkata dan mula menjarakkan diri dari Tengku Syahran.

Zahlia sudah mula menangis teresak-esak. Segera dia mencapai tuala yang tergantung di penyidai dan terus melangkah ke bilik air. Malas dia hendak melayan Tengku Syahran.

Tengku Syahran bergerak ke katil. Dia merebahkan tubuh ke situ. Tidak sedar kata-kata dan bahasa yang dituturkan terlalu jauh menyimpang. Dia cuba menenteramkan dirinya. Perlahan-lahan dia memejamkan mata.

Beberapa minit kemudian, Zahlia keluar dari bilik air setelah lengkap berpakaian. Baju kurung pesak yang baru dipakainya menyerlahkan lagi kulit kuning langsat miliknya. Cuma, kepalanya tidak dilitupi tudung seperti tadi kerana rambutnya basah.

Tengku Syahran dilihatnya sedang baring di atas katil sambil lengannya diletak di atas dahi. Mata Tengku Syahran yang pejam, terus terbuka apabila terdengar derap langkah yang berbunyi. Tengku Syahran terpandang Zahlia. Terkesima sebentar dia melihat diri sebenar Zahlia.

Selama ini, dia hanya melihat keadaan Zahlia yang bertudung. Kini nafsu lelakinya tiba-tiba bergelora. Pandangannya masih tajam menjamah tubuh wanita yang sedang menghadap cermin. Rambut lurus Zahlia yang basah direnungnya lama.

“Kenapa pandang saya macam tu?” soal Zahlia keras.

Gementar hati Zahlia melihat panahan mata nakal Tengku Syahran menjamah tubuhnya. Namun, Zahlia pura-pura bersikap berani. Terus menyapu losyen di lehernya yang putih. Tengku Syahran menelan air liur. Zahlia tidak peduli dengan renungan itu.

“Nanti, awak bincang dengan ayah awak tentang syarat saya yang pertama tu. Saya tak mahu tinggal lama-lama di sini. Makin lama saya dalam rumah ni, makin gila saya melayani kerenah awak. Saya nak tinggal di bilik sendiri,” luah Zahlia terus menyedarkan Tengku Syahran dari terus memerhatikannya. Dia tersentak seketika.

“Tapi kita baru kahwin. Takkan nak pindah dalam masa terdekat ni? Nanti apa kata mak?” Tengku Syahran cuba memujuk.

“Itu masalah awak. Awak pandai-pandailah kelentong.” Sengaja Zahlia menyindirnya.

Kemudian Zahlia mencapai sejadah dan membentangkannya. Dia hendak menunaikan Solat Asar. Selesai bersolat, dia berdoa. Tengku Syahran masih lagi memerhatikan perbuatan Zahlia. Zahlia tidak ambil pusing dengan renungan itu. Dengan pantas dia mencapai tudung serkup dan disarungkan ke kepala. Diikuti dengan tudung yang tersangkut di tepi almari. Zahlia bersiap-siap untuk turun ke bawah.

Zahlia terus melangkah ke arah pintu. Tengku Syahran masih lagi terbaring di atas katil. Rimas dia melihat renungan lelaki itu. Lantas tombol pintu dipulasnya dan sebelum dia melangkah keluar, sempat dia berpesan.

“Solat Asar jangan lupa. Nanti terlepas pulak!”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81514/Bicara-Hati