KELAM-KABUT Ariq bersiap. Nasib masih ada lagi pakaiannya yang elok di sini.
Kalau tidak memang dia pakai aje baju T dan sweat pants. Itu yang dia tak suka kalau ada siapa-siapa yang mengajaknya keluar pada saat akhir. Dia tak suka terkocoh-kocoh. Dia suka segala-galanya dirancang terlebih dahulu. Barulah teratur semuanya.
Lagu Don’t Wanna Know berkumandang.
Dia kerling skrin telefon bimbit. Malas-malas telefon bimbit diambil.
“Yup, uncle. Ariq dah nak siap ni. Give me five more minutes. ” Dia mengeluh nafas berat.
Awalnya dia nak menolak ajakan Uncle Amran tapi tak sampai hati bila pak ciknya itu merayu. Nak minta pendapat dia mahu membeli kereta. Pelik pak ciknya ini.
Bukan pak ciknya tak biasa beli kenderaan mewah tapi kenapa perlu mengajak dia?
Bukan dia tahu apa-apa sangat pun. Setakat mencadangkan jenama yang dia suka tu bolehlah.
Telefon bimbit digenggam. Kunci kereta yang diletakkan di atas meja solek dicapai.
Dia bergegas keluar dari bilik tidurnya.
Sambil melangkah, tangannya menyisir rambut.
“Eh, dah nak balik ke?” Puan Sri Zainab yang baru keluar dari ruang dapur memandang Ariq yang sedang menuruni tangga.
“Taklah. Nak keluar dengan Uncle Am sekejap.” Ariq menggeleng. Terus sahaja mendapatkan mamanya sebaik sahaja tiba di bawah. Tangan mamanya dicapai. Dia menunduk mengucup tangan yang tak pernah berhenti menjaga dia.
Kenapa Amran mencari Ariq semula?
Bukan dulu adik iparnya itu sendiri cakap tak akan berhubung rapat dengan anaknya ke selepas menuduh suaminya tak nak membantu tika dia sedang dalam kesusahan? Ada muslihat apa? Berkerut kening Puan Sri Zainab.
“Nak ke mana?” Dia cuma berbasa-basi.
“Uncle ajak teman pergi galeri kereta. Katanya nak beli kereta baru. Macamlah orang tahu sangat.” Ariq yang sedangmenyarungkasutmemberitahu.
Diaketawa-ketawa. Ingat mamanya bertanya bersungguh-sungguh.
“Banyak duit dia?”
“Business dia dah okey, kut.” Ariq jongket bahu.
Tak tahu nak jelaskan macam mana dengan mama. Dia sendiri tak pernah bertanya dengan Uncle Amran pasal perniagaan yang baru sahaja diusahakan pak ciknya. Dia orangnya yang bukan jenis sibukkan hal oranglain. Hal dia dan Azza sendiri pun dah buat dia pening kepala.
Lagilah nak fikirkan masalah orang lain.
Tak kuasa.
“Tak balik rumah sana?” Puan Sri Zainab yang masih tak berpuas hati dengan sikap Ariq yang langsung tak pedulikan isteri.
Berjalan dengan orang lain boleh pula.
Isteri dekat sana ditinggalkan sorang-sorang. Entah apalah yang digaduhkan sampai sanggup buat macam ni.
“Orang gerak dulu, ma. Uncle dah tunggu lama dekat luar.” Cepat-cepat Ariq melangkah.
“Budak bertuah. Bukannya nak jawab apa kita tanya. Dia ingat mengelak macam tu boleh selesaikan masalah ke?” Puan Sri Zainab menggeleng. Hanya memerhati Ariq yang sudah loloskan tubuh dari pagar rumah.
Ariq berjalan pantas menuju ke kereta pak ciknya yang diparkir di hujung jalan.
Disuruh masuk ke rumah dahulu, pak ciknya tak mahu. Nak cepat katanya. Entah apa yang dikejarkan agaknya.
“Sorry, uncle. Terlambat sikit.” Dia memandang pak ciknya yang hanya tersenyum tika melabuhkan punggung di tempat duduk sebelah penumpang.
“Janji sampai.” Amran tersenyum. Dia mula memandu.
“Nak tengok dekat mana ni?”
Baru Amran nak buka mulut, telefon bimbitnya berbunyi. Dia menunjukkan isyarat tangan meminta Ariq bersabar.
Cepat-cepat panggilan itu dijawab bila melihat nama yang tertera.
“Macam mana, Man?” Dia menunggu.
Ariq menoleh sekilas sebelum menatap telefon bimbitnya sendiri. Folder gambar ditekan. Foto Azza dicari. Entah kenapa tiba-tiba terbit rasa rindu dalam hatinya.
Semalam ya dia marah bila ternampak Azza dan Tengku Aish Iskandar berbual mesra tapi hari ini marahnya telah surut.
Seharian tak menatap wajah Azza dia rasa kosong. Apalah yang sedang buah hatinya buat sekarang ni agaknya.
“Dah ada? Bagus-bagus. Nanti aku hubungi kau semula.” Telefon bimbit dimatikan. Dia pandang Ariq. Ekor matanya ternampak gambar yang sedang Ariq tatap.
Dia tarik senyuman sinis.
“Apa Ariq tanya tadi?”
Ariq yang sedang ralit tak dengar dirinya ditanya.
Sebaliknya jemarinya sibuk mengusap foto Azza.“Ariq …”
“Errr… ya, uncle? ” Ariq tekan butang di tepi telefon bimbit. Serta-merta skrinnya gelap.
“Uncle cakap apa yang Ariq tanya tadi.”
“Ooo… kita nak tengok kereta dekat mana?” Telefon bimbit Ariq letak di riba.
Wajah pak ciknya dipandang. Rasa tak manis pula berbual dengan orang sambil membelek telefon bimbit.
“AH Auto Gallery dekat Setia Tropika.Kawan uncle rekomen. Dia kata servis dekat situ bagus. Jurujualnya pun mesra alam.”
Ariq hanya mengangguk.
Matanya kembali memandang ke arah jalan raya.
Pada dia beli kereta dekat mana-mana pun sama saja kalau memang jenama itu yang dipilih. Ada empat tayar juga. Bukan boleh terbang pun. Kalaulah ada yang boleh terbang, dia orang pertama yang tempah dulu.
Tersungging senyuman Amran. Lega bila Ariq tidak bertanya banyak. Pada masa yang sama hatinya berdebar-debar.
Dah susut poketnya mengupah orang untuk menjayakan pelannya. Haraplah apa yang dia rancangkan menjadi. Berbaloi-baloi.
Mata Ariq terbuntang bila kereta pak ciknya mula memasuki ruang parkir. Tak sangka ada galeri kereta serupa ini di Johor Bahru. Boleh tahan besar galerinya.
Patutlah dapat rekomen baik daripada kawan pak ciknya.
“Jom.”
Amran dan Ariq beriringan masuk ke dalam galeri. Mata Amran menerawang.
Mencari bilik yang dimaksudkan orang upahannya tadi. Setelah pasti apa yang dia nampak, tangannya menggamit Ariq.
Menuding jari pada sebuah kereta jenama BMW yang terletak berhadapan dengan bilik yang dimaksudkan.
“X3? Tak besar ke, uncle? Guna untuk seorang diri je kan.” Ariq memandang
Amran seketika. Matanya kembali berkalih pada model BMW X3 di depan mereka.
Dia semakin hairan dengan perangai pak ciknya. Buat apalah nak membazir duit beli kereta besar sedangkan hanya pak ciknya seorang sahaja yang akan menaikinya. Lainlah kalau isteri dan anak-anak pak ciknya masih tinggal serumah.
Sudah tentu berbaloi.
“Alah membeli menang memakai.”
Sekali lagi Ariq pandang pak ciknya.
Amran jongket bahu.
Baru Ariq mahu berkata lagi,pandangannya tertancap pada seseorang yang sedang gelak besar tika daun pintu bilik yang bertentangan dengan tempat dia berdiri terbuka. Suara itu? Dia macam kenal. Matanya mengamati orang yang dimaksudkan.
Azza? Azza Humaira isterinya ke itu?
Azza buat apa dekat sini? Tak tunggu lama Ariq menuju ke meja seorang gadis yang baru keluar dari bilik yang dia nampak tadi. Tanpa dia sedar pak ciknya hanya memerhati dengan senyuman sinis.
“Cik, tumpang tanya.”
“Errr… kalau nak beli kereta, encik boleh bertanya dengan jurujual yang ada. Saya bukan jurujual.” Si gadis menggeleng laju.
“Tak. Saya bukan nak beli kereta.”
Cepat-cepat Ariq menidakkan kata-kata gadis itu.
Si gadis dah jongket kening.
“Nak jumpa dengan bos, boleh?”
“Encik ni siapa? Ada hal apa nak berjumpa dengan Puan Azza?”
Mendengar nama Azza yang disebutkan si gadis buat Ariq terkesima. Jadi betullah itu Azza. Azza dia. Masalahnya sekarang apa Azza buat di sini? Bukan ke sepatutnya Azza berada di rumah mereka?
“Aaa…”
“Dia sibuk. Ada perbincangan dengan Tengku Aish Iskandar.” Seperti memahami apa yang sedang Ariq fikirkan, si gadis memberitahu.
Menyirap terus darah Ariq naik ke muka. Dia kepal jari-jemarinya. Marahnya kembali membara. Nampak gaya kedua-dua merpati sejoli ni memang tak mendengar kata. Yang lebih buat dia marah bila Azza seperti menidakkan kewujudan dia sebagai suami wanita itu. Kenapa Azza langsung tak minta izin darinya untuk keluar rumah?
Malas nak cakap apa-apa lagi, dia melangkah kasar dan merempuh masuk.
“Eh, encik!” Terpinga-pinga si gadis tadi.
Pintu yang dikuak kasar dari luar memeranjatkan Azza dan Aish. Terhenti perbincangan mereka berdua tatkala terpandangkan insan yang berada di depan mereka. Rasa gerun mula terbit di hati Azza melihatkan wajah Ariq yangmerahmenyala.
“Maaf, puan. Saya…”
“It’s okay, Maya. ” Azza kerdipkan matanya melihat wajah serba-salah Maya.
Dia memberi isyarat agar gadis itu berlalu dari situ. Tidak mahu para pekerjanya tahu apa yang sedang melanda kini. Tidak mahu ada fitnah yang menular di kalangan mereka. Cukuplah hanya dia, Aish dan Ariq sahaja yang mengetahui pergeseran ini.
Seolah-olah faham dengan lirikan mata majikannya, Maya bertindak segera.
Sebaik sahaja daun pintu bertutup rapat, matanya kembali kepada Ariq. Tenang.
Wajahnya sangat tenang menghadapi suasana getir ini. Tidak berkutik dengan tingkah Ariq. Inilah harinya. Akhirnya, hatinya berbisik.
Halkum Aish bergerak-gerak. Teringat kata-kata amaran yang dibisikkan lelaki ini semalam. Melihatkan wajah lelaki ini, pastinya ada yang akan meletup. Inikah jawapan kepada rasa tidak sedap hatinya sejak melangkah masuk ke dalam pejabat Azza? Ya Allah, Kau lindungilah insan-insan yang aku sayangi ini. Peliharalah perasaanmereka.
Janganlah sampai berlakunya sesuatu yang tidak ingin aku saksikan. Aku sangat mengharap padaMu.
Ariq yang melihat apa yang terbentang di depan matanya semakin membuat dadanya menyirap. Rasa marah yang ditahan-tahan sedari tadi semakin meluap-luap. Semakin sakit hatinya melihat tenangnya wajah Azza, isteri yang disayanginya ini.
“Perempuan tak guna! Aku bagi kebebasan pada kau, ini balasan kau pada aku! Huh?” Suara Ariq bertempik memenuhi ruang pejabat Azza. Tidak dihiraukan andai orang-orang yang berada di luar bilik ini mendengar. Apa yang penting meluahkan rasa sakit dalam dadanya ini.
Dia pandang Azza dan Aish silih berganti. Rasa mahu sahaja dia menumbuk si lelaki, pengacau rumah tangganya ini.
Dan, Azza… Dia jadi buntu tiba-tiba.
Mahu diapakan isteri yang disayanginya ini? Pukul? Herdik dan herdik biar satu galeri ini mendengarnya?
Argh! Semuanya tertelan sendiri.
“Ariq, tenang. Jangan terburu-buru lepaskan marah tu. Kau dah salah faham ni.” Aish mencelah.
Sebagai seorang peguam yang terlatih, seboleh mungkin dia cuba menggunakan pendekatan diplomasi kepada Ariq. Orang yang sedang panas, perlu disejukkan dengan kata-kata bernada lembut walau sakit telinganya mendengar tuduhan Ariq.
Risau jika dia turut bernada tinggi, itu umpama menyiram minyak pada api yang sedang marak. Takut ada yang tergeliat lidah melafazkan apa yang tak sepatutnya dilafazkan.
“Kau diam!” Jari telunjuk Ariq lurus menuding Tengku Aish Iskandar.
Aish ingin membuka mulut membalas tapi Azza menggeleng. Niatnya dibatalkan walau sebenarnya hati dia meronta-ronta ingin menerangkan duduk perkara sebenar.
Tidak betah dia mendengarkan tuduhanyang dilempar Ariq. Inilah padahnya kalau menurut kata hati yang sedang panas.
“Ariq, dengar dulu penjelasan aku.”
Azza bangkit dari duduknya.
“Penjelasan?” Kerusi yang hampir dengannya, Ariq tolak kasar hinggaterbalik.
“Selama ni aku diam. Diam bagi peluang pada kau. Aku sabar. Tapi ada kau beri penjelasan yang jujur? Ada!” Sergahnya hingga terhinggut bahu Azza.
Ada kebenaran kata-kata tersebut. Bukan salah Ariq seorang. Dia juga bersalah.
Perlahan-lahan Azza mendekati Ariq.
Mahu meredakan kemarahan Ariq. Mahu memujuk Ariq agar bertenang.
Jadibolehlah dia bercerita apa yang sedang berlaku. Jika tidak, Ariq akan percaya apa yang dilihat dengan mata kasar. Sedangkan pada hakikatnya apa yang dilihat tidak menggambarkan apa sebenarnya yang terjadi. Lagi pula dengan membentak marah-marah macam ni bukannya bolehmenyelesaikan masalah.
“Ariq, aku minta maaf.” Serentak itu lengan Ariq mahu Azza sentuh.
“Jangan kau berani nak sentuh-sentuh aku!” Lima jari Ariq naik menghalang niat Azza.
Sungguh, dia jijik dengan lakonan Azza. Berlagak seolah-olah perempuan yang suci dan baik. Sakit hatinya. Tak sia-sia Uncle Amran membawa dia ke mari.
Rupa-rupanya Allah mahu tunjukkan sesuatu kepadanya. Mahu dua biji matanya ini menyaksikan sendiri kecurangan Azza.
Dadanya seperti dihimpit sesuatu. Allah, sakitnya.
“Ar…”
“Aku tahu, balik nanti aku tak nak tengok muka kau dalam rumah aku. Jangan pernah sesekali pun tunjukkan muka kau depan aku. Jijik.” Ariq memintas sebelum sempat Azza berkata apa-apa.
Azza gamam mendengarnya. Lemahrasa lututnya ini mahu terus berdiri. Pantas tangannya berpaut pada meja di sisinya.
“Bro…”
“Mind your own business! ” Usai bercakap, Ariq berlalu dari situ. Daun pintu dihempas kasar hingga bergema kuat bunyinya yang terkena dinding bilik.
“Ariq!” Amran memanggil. Namun panggilannya dipandang sepi oleh Ariq yang terus keluar dari ruang pameran.
Hampir sahaja Amran mahu ketawa. Suka dengan apa yang terpampang di depan matanya. Telefon bimbit dilekapkan ke telinga.
“Esok datang pejabat. Collect duit kau.”
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/331371/BERARAK-AWAN-CINTA