“BABA, o uyandı!”
Suara itu mengejutkan Hamzah dari tidurnya. Kepalanya terasa begitu sakit, seolah-olah ada pisau yang menikam laju pada bahagian dalam kepalanya. Perlahan-lahan Hamzah cuba untuk membuka matanya. Cahaya matahari pagi bagai mencucukcucuk matanya. Silau. Dia cuba bangun dari tempat perbaringannya.
Suara tadi datangnya dari satu sosok yang sedang berdiri di hadapan Hamzah. Hamzah terpukau dengan apa yang sedang dilihatnya.
Bidadari.
ku kat mana ni? Syurga ke? Eh takkan aku dah mati? Tak mungkin!
“Baba! Baba! Buraya çabuk gel!”
Gadis yang disangka bidadari oleh Hamzah itu menempik memanggil seseorang. Tidak lama selepas itu, muncul seorang lelaki separuh abad mendekati mereka berdua.
“Alhamdulillah, uyanmışsın.”
Hamzah berkerut. Jelas sekali dia tidak faham bahasa yang dituturkan oleh lelaki dan gadis itu. Menyedari yang Hamzah tidak faham apa yang dikatakannya, lelaki itu mencuba cara lain pula.
“Tatakallam arabbiya?”
Hamzah menggelengkan kepalanya.
“Ingilizce? English?”
Gadis yang masih tercegat di hadapannya mencelah.
Hamzah mengangguk. Lelaki itu tersenyum.
Sakit di kepala Hamzah tiba-tiba menusuk kuat lagi.
“You ok oğlum?”
Lelaki itu segera memegang tubuh Hamzah dan berhati-hati menolaknya ke belakang.
“You need rest. You…weak.”
Hamzah menurut sahaja nasihat lelaki itu.
“Where am I?”
Gadis itu memandang wajah lelaki yang berdiri di sebelah Hamzah, seperti sedang meminta kebenaran. Lelaki itu mengangguk perlahan. Ketika itu Hamzah sudah boleh meneka yang lelaki itu ialah ayah kepada gadis jelita yang berwajah manis itu.
“You are in Kıvırcık. A small village in the Gaziantep region.”
Hamzah seperti terkejut dengan jawapan itu.
“Gaziantep? I’m in Turkey?”
“Evet. Yea.”
Lelaki itu seperti mengisyaratkan sesuatu kepada anak gadisnya. Gadis itu mengangguk dan sejurus selepas itu, berjalan keluar meninggalkan mereka berdua.
“Alhamdulillah, Allah safe you oğlum. Thank Allah.”
Hamzah cuba untuk mengingat-ingat apa yang telah terjadi. Tetapi sakit yang mendenyut-denyut di kepalanya sedikit pun tidak membantu.
“We found you…near border. You…hmmm… baygın.”
Hamzah membuat muka pelik.
Baygın?
Lelaki itu menggaru kepalanya yang botak.
Ketika itu juga anak gadis lelaki itu masuk membawa dulang berisi secangkir air, roti pita dan sepiring humus.
Lelaki itu bercakap dengan anaknya dalam bahasa Turki dengan pantas, sambil mengerling Hamzah.
“Oh. We found you near the border. You passed out.”
Gadis itu cuba memberi penjelasan bagi pihak ayahnya.
Pass out? Aku pengsan?
Penjelasan gadis itu gagal merungkaikan misteri bagaimana Hamzah boleh berada di situ. Di sebuah kampung di Kıvırcık.
“It’s okay oğlum.. You rest first. Eat and drink this.”
Hamzah baru teringat yang dia tidak menjamah apa-apa sejak di Manbij lagi. Dan kali terakhir dia minum adalah sebelum dia dikejar Khalid dan soldadu ISIS yang lain dalam perjalanan ke Jarabulus.
Tanpa segan silu, Hamzah melahap roti dan mereguk air yang dihidangkan kepadanya dengan gelojoh sekali. Lelaki itu tersenyum melihat telatah Hamzah. Dia menyuruh anaknya mengambil lagi roti dan air untuk diberikan kepada Hamzah.
Merah padam muka Hamzah apabila gadis itu kembali dengan berkeping-keping roti pita, semangkuk humus dan sejag air.
“Don’t shy oğlum. You…our guest. Allah sent you. This is rizq. Eat, drink and rest.”
Hamzah terharu. Dia tidak kenal siapa lelaki ini, tetapi dia amat terhutang budi kepadanya.
“What day is today?”
“Saturday young man.”
Sabtu?
Hamzah melihat jam tangannya. 10.47 pagi.
Bermakna tempoh Hamzah tidak sedarkan diri tidaklah begitu lama. Namun Hamzah masih belum dapat mengingat apa-apa.
“You eat, okay? And rest. We don’t disturb you.”
Lelaki dan anak gadisnya sudah bersedia untuk meninggalkan Hamzah ketika Hamzah – dengan mulutnya yang masih penuh dengan roti dan humus – dirundung rasa bersalah.
“I’m sorry. My name is Hamzah.”
Lelaki itu tersenyum.
“Me, Salleh, oğlum.. Ahmad Salleh. And this…my daughter, Aiyla.”
*****
Sudah hampir seminggu Hamzah berlindung di rumah Ahmad Salleh, seorang lelaki budiman Turki yang sudah mencecah usia separuh abad. Sepanjang tempoh itu, dia telah menyaksikan sendiri beberapa perkara yang tidak pernah diimpikan dalam hidupnya sebelum ini.
Buat pertama kalinya, Hamzah merasakan sendiri hidup di dalam sebuah keluarga yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam yang syumul. Dan ia suatu suasana yang amat mempesona dan membahagiakan, sehingga Hamzah berasa cemburu dengan keluarga Ahmad Salleh.
Ahmad Salleh mempunyai lima orang anak kesemuanya. Yang sulung – lelaki – merupakan seorang doktor perubatan di Ankara. Yang kedua – perempuan – ialah seorang guru di Gaziantep. Aiyla – yang ketiga – masih lagi belajar di Marmara Universitisi di Istanbul dalam bidang kewartawanan. Dua lagi anaknya – seorang lelaki dan seorang perempuan –masing-masing masih belajar di sekolah agama Imam Hatep.
Ahmad Salleh sudah kematian isterinya sejak tiga tahun lalu dek barah payudara. Sejak itu, Ahmad Salleh lah yang menguruskan segala-galanya di rumah itu, dari mencari rezeki sesuap roti sehinggalah hal ehwal rumah tangga seperti memasak, membasuh baju dan lain-lain lagi. Aiyla pula akan banyak membantunya setiap kali dia pulang bercuti.
Setiap hari, Ahmad Salleh akan bangun seawal jam empat pagi untuk bermunajat dan bertahajud kepada-Nya. Selepas menunaikan solat dua rakaat, dia akan mengejutkan anak-anaknya untuk bangun bersama. Sudah lima pagi Hamzah di situ, tidak pernah sekali pun Ahmad Salleh tidak mengejutkannya untuk qiamullail bersama-sama.
Kemudian, kaum lelaki akan berjalan kaki untuk bersolat Subuh berjemaah di masjid yang berdekatan. Pulang dari masjid, mereka sekeluarga akan duduk membaca zikir dan doa sehinggalah fajar menyingsing. Selepas itu, kaum perempuan akan menyediakan sarapan sementara Ahmad Salleh bersiap-siap untuk ke kebunnya. Hamzah berkesempatan untuk membantu tuan rumahnya itu di kebun; melihat sendiri betapa besarnya pengorbanan seorang rakyat marhaen demi mencari rezek sehari-hari dan betapa bersederhananya hidup Ahmed Salleh sekeluarga.
Di sebalik semua itu, tidak pernah sekali pun Hamzah mendengar Ahmad Salleh mengeluh tentang kehidupannya. Malah yang sering sampai ke telinga Hamzah ialah ucapan hamdalah dan zikir-zikir memuji Allah. Dan selama Hamzah di rumah Ahmad Salleh, Hamzah dilayan dengan sangat baik dan istimewa, sehingga naik segan dia dibuatnya.
Lima belas ke sepuluh minit sebelum masuk waktu Zuhur, baharulah Ahmad Salleh akan pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Selepas solat dan mengurus diri, dia akan menghabiskan waktu petangnya dengan membaca. Malamnya, selepas solat Maghrib berjemaah di masjid, Ahmad Salleh akan pulang ke rumah untuk makan. Kemudian, mereka akan solat berjemaah Isyak di rumah. Selepas solat, Ahmad Salleh akan duduk memberikan sedikit tazkirah dan nasihat kepada anak-anaknya dan akan mendengar pula sekiranya mereka ada apa-apa masalah atau cerita yang ingin dikongsikan.
Meskipun baru lima hari Hamzah di situ, dia sudah terasa seperti salah seorang ahli keluarga Ahmad Salleh, biarpun hidungnya tidak mancung, kulitnya tidak putih mulus dan rambutnya tidak perang! Dan walaupun baru lima hari dia di situ, dia sudah memasang angan-angan untuk tinggal di situ lebih lama.
Tiba-tiba semangat Hamzah untuk pulang ke Malaysia tidak lagi membara seperti sebelumnya. Tiba-tiba tekadnya untuk melepaskan diri sejauh mungkin dari ISIS tidak lagi sekuat seperti sebelum dia sampai di Kıvırcık.
Dan ia bukan semata-mata disebabkan oleh suasana keluarga Ahmad Salleh yang soleh dan sejahtera, yang begitu mengesani jiwa Hamzah.
Tetapi kerana Aiyla. Ya, anak gadis Ahmad Salleh yang nombor tiga itu.
Di hari pertama sejak pandangan mata Hamzah jatuh ke wajah Aiyla lagi, dia sudah merasakan adanya satu kejutan elektrik yang tidak pernah dirasakannnya sebelum ini. Dia tidak pernah percaya pada cinta pandang pertama, kecuali pada hari itu.
Sejak hari itu, dia sentiasa mendambakan peluang untuk melihat wajah bidadari dunia itu, biarpun Ahmad Salleh tegas dalam menjaga hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi. Suara Aiyla yang halus dan lembut itu sahaja sudah bisa mengggegarkan jiwa Hamzah. Pandangan mata Aiyla jarang sekali tersasar dari tepat menembak hati Hamzah, acap kali membuatkan dadanya sesak dengan debaran kencang.
Tetapi yang benar-benar membuatkan Hamzah terpikat pada Aiyla ialah apabila melihat betapa gadis itu amat menjaga agamanya. Selama Hamzah tinggal di rumah itu, Aiyla amat menjaga aurat dan kehormatannya. Tidak pernah sekali pun Hamzah terlihat Aiyla dalam keadaan mendedahkan auratnya. Dan Aiyla juga tidak akan berbicara dengan Hamzah jika tiada keperluan. Kebanyakan masanya, Hamzah hanya berpeluang untuk melihat Aiyla ketika waktu makan dan sesi tazkirah selepas Isyak. Semuanya benar-benar terjaga.
Berbeza sekali jika mahu dibandingkan hubungan Hamzah dengan Maria suatu ketika dahulu.
Aiyla juga merupakan lepasan sekolah Imam Hatip. Ahmad Salleh asalnya mahu anaknya itu menjadi seorang guru agama, sama seperti kakaknya. Tetapi kerana minat Aiyla yang mendalam dalam bidang kewartawanan, Ahmad Salleh terpaksa akur dengan kehendak anaknya itu. Namun dia boleh berasa lega kerana telah menyediakan asas agama yang kuat untuk anak-anaknya.
Mungkin menyedari Hamzah sedang angau dan memendam rasa terhadap anaknya, malam itu Ahmad Salleh memberikan tazkirah tentang peranan dan cabaran pemuda Muslim masa kini. Ahmad Salleh memberikan perhatian khusus tentang kebejatan sosial yang berlaku dalam kalangan anak-anak muda Muslim hanya kerana gagal menjaga ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Sungguhpun Ahmad Salleh menyampaikan nasihat-nasihatnya dengan lembut dan penuh kebapaan, ia tetap menusuk ke hati Hamzah. Terbakar juga Hamzah dibuatnya malam itu!
Malam itu Hamzah sukar untuk lena. Sekejap dia mengiring ke kiri dan wajah Ailya segera tergambar dalam fikirannya. Kemudian dia mengiring ke kanan dan wajah Ahmad Salleh pula yang terpampang. Kata-kata dan pesanan Ahmad Salleh yang amat dihormatinya itu terngiang-ngiang dalam kepalanya. Lama dia mengelamun dan berfikir sehinggalah matanya terlelap sendiri.
Esoknya, Hamzah bangun sendiri tanpa perlu dikejutkan. Malah dia bangun setengah jam lebih awal dari Ahmad Salleh. Selepas menunaikan empat rakaat solat sunat tahajud, dia menunaikan solat sunat istikharah. Ada perkara yang dia amat perlukan petunjuk daripada-Nya.
Lama Hamzah berdoa dalam sujudnya. Dia tidak meminta apa-apa secara khusus. Dia hanya meminta agar Allah memberikannya furqan, yakni neraca yang benar dalam membuat sesuatu keputusan. Usai memberi salam, dia berasa lega. Amat lega.
Dia yakin tindakan yang bakal diambilnya nanti ialah tindakan yang betul. Kerana dia tenang ketika membuat keputusan tentangnya. Sangat tenang.
Ketika dalam perjalanan pulang dari masjid selesai menunaikan solat Subuh berjemaah, Hamzah memberanikan diri untuk memulakan bicara dengan Ahmad Salleh.
“Amca Salleh, if you don’t mind, can we talk for a minute?”
Ahmad Salleh memandang Hamzah dengan wajah yang sedikit kehairanan.
“Sure oğlum.. Sure.”
Ahmad Salleh memberikan isyarat kepada anak lelaki bongsunya untuk pulang dahulu.
Hamzah menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya pula dengan perlahan-lahan.
Bismillah.
“I have known you and your family for six days now. And I couldn’t ask for a better host, Alhamdulillah. You have been very kind and nice to a stranger like myself. May Allah shower you and your family with His bountiful blessings. ”
Ahmad Salleh tersenyum. Matanya berkaca-kaca.
“Hamzah, you are gift from Allah. Allah sent you to me…it’s taqdir. As Muslim, I must treat you well. You like my oğul…err son now.”
Hamzah memandang wajah Ahmad Salleh dengan penuh rasa terharu. Dia bertambah yakin yang Allah telah memberikannya taufiq untuk mengungkapkan kata-kata yang seterusnya.
“Amca Salleh, I have a favour to ask from you. A big favour.”
Ahmad Salleh memandang Hamzah dengan serius. Dahinya yang sudah sedia berkerut itu semakin berlapis-lapis garis kerutannya.
“What is it, oğlum? How can this old man help you?”
Hamzah teragak-agak untuk melafazkan katakata yang terbuku di hatinya. Namun dia kuatkan semangat. Sekarang, atau dia tidak akan menyatakannya sampai bila-bila.
“Can I… I want to marry your daughter, Aiyla.”
*****
“Ya Allah, Engkaulah Tuhan Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tiada siapa yang dapat aku adukan kerisauan dan kegelisahan aku ini melainkan kepada Engkau.”
Bilik utama rumah banglo bernombor 75 di Lorong Zaaba itu sengaja dibiarkan gelap. Jam di dinding menunjukkan pukul 4.35 pagi. Kelihatan seorang wanita bertelekung sedang khusyuk berdoa di atas sejadah.
“Ya Allah, ya rabbal a’lamin. Sekiranya aku ini seorang hamba-Mu yang taat kepada perintah-perintah- Mu, seandainya aku ini telah banyak berubah, menjadi seorang hamba yang lebih dekat dengan-Mu dan sekiranya segala amalan ibadahku, sedekahku, waqafku, amal kebajikanku dan apa-apa lagi amalan yang pernah aku lakukan ada nilai di sisi-Mu, maka aku ingin meminta kepada-Mu wahai Allah yang Maha Mendengar dan Maha Memakbulkan doa hamba-hamba-Nya…”
Datin Zaleha tidak dapat lagi menahan air matanya dari bercucuran dengan lajunya, membasahi apa sahaja yang berada di laluannya.
“Selamatkanlah anakku Hamzah dan suamiku. Lindungilah mereka dengan kuasa yang ada pada-Mu. Lembayungilah mereka dengan dengan kasih-sayang dan rahmat-Mu. Izinkanlah dan bantulah mereka untuk selamat pulang ke Malaysia. Jauhkanlah mereka dari segala bentuk malapetaka, bencana dan musibah. Permudahkanlah urusan mereka untuk kembali. Kuat kanlah hati mereka dalam menghadapi sebarang ujian dan dugaan.”
Berombak-ombak dada Datin Zaleha menahan sebak. Namun dia terasa begitu lega dan puas dapat meluahkan segala-galanya yang terbuku di hati di hening dua pertiga malam itu.
“Hanya kepada Engkau aku bergantung harap dan hanya kepada Engkau tempat aku meminta pertolongan. Aku hamba-Mu yang lemah, ya Allah. Aku hamba-Mu yang tidak ada daya-upaya, ya Rabb. Dan aku hamba-Mu yang tidak punya apa-apa, melainkan apa yang Engkau rezekikan. Bantulah aku, sepertimana yang Engkau mahu. Engkaulah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
Kebeningan pagi itu tiba-tiba dipunahkan oleh satu panggilan telefon. Datin Zaleha segera mendapatkan telefonnya yang memainkan nada dering Rapuh dendangan Opick.
“Assalamua’laikum?”
Apa sahaja yang diberitahu melalui telefon kepada Datin Zaleha, ia pastinya sesuatu yang amat mendukacitakan kerana sejurus sahaja selepas itu, dia terduduk dengan raungan yang cukup menghibakan.
*****
Hamzah kini sudah tahu bila dan bagaimana dia tidak sedarkan diri sebelum dijumpai oleh Ahmad Salleh.
Ketika itu sudah tengah malam dan Hamzah masih tidak dapat menentukan lokasi semasanya. Yang dia pasti, dia masih lagi berada di tengah-tengah padang pasir yang langsung tidak bersimpati dengannya. Kabus malam yang tebal memburukkan lagi situasinya.
Hamzah mengalami dehidrasi yang amat teruk. Dia keletihan dan tidak berdaya lagi untuk meneruskan perjalanan. Dia malah mengalami halusinasi. Dia melihat Salman yang tersenyum, berdiri tidak jauh dari tempatnya.
Namun ketika Hamzah cuba berjalan untuk mendekati Salman, sosok itu semakin menjauhinya.
“Salman! Kau nak ke mana? Jangan tinggalkan aku berseorangan di sini! Salman!”
Mulut Salman bergerak-gerak seperti cuba untuk mengatakan sesuatu. Hamzah cuba untuk menangkapnya, tetapi kabus yang menyelubungi menghalangnya untuk berbuat demikian.
Dengan segala kudrat dan keringat yang dimilikinya, Hamzah cuba untuk mengejar Salman. Dia rindukan Salman. Dan tidak mahu melalui semua itu seorang diri.
“Salman! Salman! Salmaaaannn…”
Ketika itulah Hamzah jatuh dan tidak sedarkan diri.
Rupa-rupanya Hamzah sudah tidak jauh dari Kıvırcık. Hanya sahaja dia tidak dapat mengetahuinya kerana sudah tidak tentu arah dan keruan.
Pagi itu, Ahmad Salleh ke kebunnya lebih awal dari biasa. Dia ternampak Hamzah – yang ketika itu sudah tertiarap di atas tanah – tidak jauh dari kebunnya. Dia bergegas untuk mendapatkan Hamzah tanpa befikir panjang. Dia cuba untuk membangunkan Hamzah tetapi tidak berhasil. Tanpa ragu-ragu, dengan bantuan beberapa orang kampung yang kebetulan berada di situ, mereka mengangkat dan membawa Hamzah pulang ke rumah Ahmad Salleh.
Hamzah bukanlah orang pertama yang pernah diselamatkan dan dilindungi oleh Ahmad Salleh sekeluarga. Termasuk Hamzah, sudah lapan orang dari pelbagai bangsa dan latarbelakang yang berada dalam situasi yang sama – melarikan diri dari ISIS – yang pernah dibantu Ahmad Salleh. Cuma sahaja Hamzah yang paling lama menetap di rumahnya setakat ini. Dan Hamzah seorang sahaja yang pernah bertemu dengan Aiyla kerana ditakdirkan dia sedang bercuti.
Hamzah hanya tersipu-sipu apabila diberitahu tentang itu. Ahmad Salleh berasa bersalah kerana risau Hamzah salah faham; langsung dia meyakinkan Hamzah yang Hamzah sentiasa dialu-alukan dan boleh tinggal di rumahnya selama mana yang Hamzah mahukan.
Untuk semua yang telah Ahmad Salleh lakukan kepadanya, Hamzah amat terhutang budi dan berasa bersyukur sekali. Dia kini yakin yang bukan kebetulan Allah menghantar Ahmad Salleh untuk menjadi penyelamatnya. Bukan sahaja jasadnya sejahtera di bawah jagaan Ahmad Salleh, jiwanya juga hidup dan sentosa.
Tiga hari lepas, akhirnya Hamzah memberanikan dirinya untuk menghubungi ibunya di Malaysia. Pada mulanya, ibunya itu seperti yang boleh dijangkakan olehnya; emosional tak tentu pasal. Dia sehingga terpaksa menjauhkan gagang telefon dari telinganya kerana tidak tahan mendengar ibunya itu berteriak dan berleter diselang-seli dengan sedu-sedan yang menyebakkan jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya.
Hanya setelah Hamzah memberitahu ibunya yang dia sudah tidak lagi bersama ISIS dan kini sedang berusaha untuk pulang ke Malaysia, barulah gejolak perasaan ibunya itu sedikit reda. Namun setelah itu ibunya memberitahu sesuatu yang amat mengejutkannya.
Ayahnya – Dato’ Sulaiman – sudah dalam perjalanan ke Syria untuk membawa Hamzah pulang. Malah ayahnya itu berangkat pada malam yang sama Hamzah melaksanakan rancangannya melarikan diri dari cengkaman ISIS.
Hamzah tidak tahu bagaimana untuk merespons pada maklumat yang menyebabkannya tercengang itu. Yang pasti, dia langsung tidak sangka yang ayahnya akan berbuat demikian. Dia tidak mengjangkakan ayahnya yang selama ini dianggapnya sebagai mementingkan diri dan tidak ada perasaan itu, sanggup mengambil keputusan sebegitu rupa.
Terbit rasa terharu dalam diri Hamzah. Muncul satu perasaan yang tidak pernah disangkanya masih wujud dalam dirinya terhadap ayahnya itu; rindu dan kasih.
Timbul juga rasa bersalah dalam diri Hamzah kerana telah menyusahkan ibu dan ayahnya sehingga mereka terpaksa membuat sesuatu yang tidak masuk akal sebegitu. Hakikatnya, dia tidak mungkin tahu sehebat mana tekanan perasaan dan jiwa yang telah disebabkan oleh tindakannya terhadap keluarganya, terutamanya ibunya itu.
Hamzah berjanji kepada ibunya yang dia akan cuba sedaya-upaya untuk menjejak keberadaan ayahnya kerana ibunya memberitahu yang ayahnya tidak dapat lagi dihubungi sejak semalam. Dia juga berjanji yang dia akan usahakan untuk pulang ke Malaysia bersama ayahnya. Sebelum mengakhiri panggilan, dia sempat menitipkan rasa rindunya pada ibunya itu dan adik-beradiknya yang lain.
Hari ini sudah genap seminggu Hamzah menumpang di rumah Ahmad Salleh.
Sepanjang Hamzah di rumah Ahmad Salleh, dia mengambil peluang itu untuk mengambil tahu berita dan perkembangan terbaru yang berlaku di seluruh dunia, terutamanya di Malaysia. Dia sangat terkejut dan kagum apabila mengetahui kelajuan internet di sebuah pekan kecil seperti Kıvırcık lebih laju daripada sesetengah kawasan di Kuala Lumpur!
Hamzah kini tahu yang kerajaan Malaysia semakin tegas dan serius dalam memburu sebarang kegiatan yang disyaki ada kena-mengena dengan ISIS. Minggu lepas sahaja, unit anti-keganasan Polis Diraja Malaysia telah menahan tujuh orang dari pelbagai tempat dan latar belakang yang didakwa sama ada aktif menyebarkan propaganda ISIS, mengutip dan menyalurkan dana kepada kumpulan itu atau yang sedang merancang untuk ke Syria.
Hamzah hanya mampu menelan air liurnya apabila membaca berita itu.
Namun yang lebih memeranjatkan Hamzah ialah apabila membaca berita tentang penangkapan Ustaz Abu Ayyash lebih tiga minggu yang lalu. Dia ditangkap ketika sedang memberi ceramah di sebuah surau di Petaling Jaya. Rupa-rupanya unit cawangan khas PDRM telah lama mengekori dan memerhatikan gerak-geri dan segala aktiviti Ustaz Abu Ayyash. Akhirnya, apabila bukti telah mencukupi, mereka menyerbu Ustaz Abu Ayyash yang dilaporkan kaget dan cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan.
Hamzah tidak tahu sama ada mahu berasa simpati atau bagaimana. Di satu sudut, dia sedikit lega kerana dengan tertangkapnya orang seperti Ustaz Abu Ayyash, maka akan berkurang jugalah kebarangkalian untuk anak muda sepertinya yang akan terpedaya dengan dakyah ISIS.
Di satu sudut yang lain, Hamzah mengenali Ustaz Abu Ayyash sebagai seorang yang baik dan sangat mudah untuk didekati. Boleh jadi, ustaz benar-benar ‘ikhlas’ dalam merekrut kader-kader baru untuk ISIS kerana dia sungguh-sungguh beriman dengan perjuangan kumpulan itu. Untuk itu, Hamzah tidak dapat menghalang perasaannya untuk berasa belas akan Ustaz Abu Ayyash.
Hamzah juga – di sebalik perubahan sikapnya yang mendadak terhadap ISIS – tidak dapat menahan dirinya untuk mengambil tahu tentang perkembangan terbaru tentang pergerakan itu. Aleppo kini sudah berjaya ditawan ISIS; bermakna satu demi satu buah domino yang menuju ke arah kelumpuhan rejim Assad kini telah jatuh.
Hamzah gembira membaca berita itu, kerana ia bermakna kekejaman dan kezaliman Bashar al-Assad bakal ditamatkan tidak lama lagi. Tetapi dia juga khuatir kerana ia menandakan kekuasaan dan pengaruh ISIS semakin hebat. Sekiranya ISIS dibiarkan untuk terus bermaharajalela, kemaraannya mungkin tidak akan dapat disekat sampai bila-bila.
Untuk entiti seperti ISIS menggantikan rejim al- Assad bukanlah satu berita yang sebenarnya baik. Ibarat terlepas dari mulut harimau dan masuk pula ke mulut buaya. Situasinya semacam memilih syaitan yang sedikit baik berbanding syaitan-syaitan yang lainnya; namun hakikatnya syaitan tetap syaitan!
Daripada pembacaan yang dilakukan Hamzah, dia kini mengetahui yang peperangan saudara di Syria telah mengorbankan lebih 75,000 nyawa untuk tahun 2014 sahaja; lebih 3,000 daripadanya adalah jiwa kanakkanak yang tidak berdosa! Dia terkedu apabila fakta itu menghentam otaknya.
Tidak dapat tidak, dia berasa bertanggungjawab terhadap angka-angka itu, meskipun sepanjang tempoh singkatnya bersama ISIS, dia tidak pernah membunuh hatta satu nyawa. Dia berazam setibanya dia di Malaysia nanti, dia mahu menyebarkan kebenaran tentang ISIS. Dia mahu menanggalkan topeng ISIS dan mendedahkan wajah sebenar ISIS yang hodoh. Itulah paling kurang yang dapat dilakukannya bagi menebus rasa bersalah yang kini terasa begitu membebaninya.
Hari itu Hamzah mencari maklumat tentang kedutaan Malaysia di Turki. Dia bercadang untuk ke sana dan meminta bantuan mereka untuk mengesan jejak ayahnya, sekaligus merancang perjalanan pulangnya ke Malaysia. Dia juga mencari-cari sebarang maklumat yang ada di internet kalau-kalau warga alam maya punya sebarang info tentang ayahnya itu.
Ketika sedang menatal satu-persatu berita-berita yang terpampang pada skrin komputer, Hamzah bersua dengan satu tajuk berita yang menarik perhatiannya.
Seorang rakyat Malaysia diculik di Syria
Entah kenapa, berdebar-debar Hamzah menekan pautan untuk membaca berita itu. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang dibacanya.
“ISTANBUL, 13 Nov – Seorang rakyat Malaysia telah dilaporkan hilang kerana diculik ketika dalam perjalanan ke Syria. Pihak kedutaan Malaysia di Turki telah mengesahkan, rakyat Malaysia itu yang merupakan seorang ahli perniagaan tersohor sedang dalam misi untuk membawa anaknya pulang…”
Hamzah tidak tenang. Jantungnya berdegup kencang.
Hamzah segera mencapai telefonnya dan menghubungi ibunya. Lama dia menunggu sebelum panggilannya akhirnya diangkat. Dengan esakan dan sedusedan yang tidak berkesudahan, ibunya mengesahkan apa yang dikhuatiri Hamzah.
Rakyat Malaysia yang diculik itu ialah ayahnya sendiri. Dato’ Sulaiman.
Menurut Datin Zaleha, berdasarkan maklumat yang telah diberikan oleh pihak kedutaan, kemungkinan besar Dato’ Sulaiman diculik oleh pihak ISIS ketika cuba untuk menyeberangi sempadan Turki-Syria melalui Kilis. Sehingga kini tiada siapa-siapa lagi yang menghubungi pihak kedutaan Malaysia untuk menuntut tebusan atau mengaku bertanggungjawab terhadap penculikan itu, tetapi mereka percaya yang Dato’ Sulaiman kini ditahan di Aleppo.
Pucat muka Hamzah. Dia seperti tidak mahu mempercayai apa yang diberitahu oleh ibunya itu. Lama dia terdiam. Fikirannya kosong. Buntu.
Selepas beberapa ketika sebegitu, setelah keadaan sedikit tenang, barulah Hamzah dapat berfikir dengan waras. Dia membatalkan hasratnya untuk ke Ankara untuk ke kedutaan Malaysia. Tiada gunanya dia ke sana sekarang ini.
Dengan fikiran yang masih sedikit bercelaru, Hamzah berfikir-fikir apakah langkah terbaik yang perlu diambilnya, dalam situasinya yang sedemikian rupa dan keadaan dirinya sendiri yang masih tidak tentu hala tuju. Yang pasti, dia mahu ayahnya selamat. Dia mahu pulang ke Malaysia bersama-sama dengan ayahnya yang masih bernafas, bukan dengan keranda yang membawa jasad ayahnya yang sudah tidak lagi bernyawa.
Dan Hamzah sudah tentunya tidak mahu ayahnya itu terlepas hari bersejarah pernikahannya dengan Aiyla nanti.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/276576/Aleppokalips