PENDENGARAN EMPATI
“Mendengar ialah suatu seni.Sepertimana melukis, mewarna, bermain piano dan mempertahankan diri. Cuba lihat anak-anak kecil, mereka tak akan dapat menguasai mana-mana seni panduan, latihan berterusan dan disiplin yang tinggi. Begitulah juga halnya dengan mendengar.”
Tahukah anda, secara purata manusia menghabiskan 45% masa sehari untuk mendengar perbualan?
Tahukah anda, secara purata manusia cuma ingat 25% sehingga 50% daripada apa yang didengari setiap hari?
Tahukah anda, secara purata manusia mendengar pada kadar 125 sehingga 250 perkataan seminit, tapi mampu berfikir pada kadar 1,000 sehingga 3,000 perkataan seminit?
Tahukah anda, gambar yang dilihat akan masuk terus ke dalam memori jangkamasa panjang, manakala perkataan yang didengar hanya tersimpan dalam memori jangkamasa pendek?
Tahukah anda, tak sampai 2% dari populasi dunia yang pernah belajar secara formal bagaimana nak mendengar?
—————————————————————————————————————————————-
Mesti ramai di antara anda yang tak tahu fakta-fakta menarik di atas bukan? Termasuklah saya sebelum menulis buku ini!
Anda ingatkan mendengar itu satu kemahiran yang dapat dikuasai secara semulajadi tanpa perlu belajar macam melihat, makan, minum dan tidur. Malangnya anda silap. Kesilapan ini menjerumuskan anda ke dalam golongan yang disebut sebagai: “Hearing but not listening”
Ya, ramai orang yang mendengar semata-mata (hear) tapi tak mendengar dengan sungguh-sungguh, penuh perhatian dan tumpuan untuk faham (listening). Listening juga merujuk kepada pendengaran empati, satu kemahiran kepimpinan kritikal yang akan anda lalui dalam bab ini.
Allah berfirman dalam Surah Qaff, ayat 37 yang bermaksud:
“Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati (yang sedar pada masa membacanya), atau yang menggunakan pendengarannya dengan bersungguh-sungguh (kepada pengajaran itu) dengan menumpukan hati dan fikiran kepadanya.”
Tanpa pendengaran empati anda akan susah mengingat, gagal berkomunikasi dengan baik dan sukar mempengaruhi orang lain. Akibatnya anda gagal menonjolkan diri sebagai pemimpin yang berkebolehan dan berkredibiliti.
SENI MENDENGAR UNTUK MEMPENGARUHI
Ya, mendengar ialah suatu seni. Sepertimana melukis, mewarna, bermain piano dan mempertahankan diri. Cuba lihat anak-anak kecil, mereka tak akan dapat menguasai mana-mana seni panduan, latihan berterusan dan disiplin yang tinggi. Begitulah juga halnya dengan mendengar. Jika anda masih ingat, salah satu elemen dalam Undang-undang KELIM yang bertujuan untuk meningkatkan simpanan dalam akaun bank emosi ialah Empati. Pemimpin yang hebat perlu memahami terlebih dahulu orang yang ingin dipengaruhi. Dan cara terbaik dan terpantas untuk memahami ialah dengan mendengar. Ya, cuma mendengar.
“Betul ke dengan hanya mendengar kita boleh memahami dan mempengaruhi orang lain?” Satu soalan cepu emas yang pernah dilontarkan kepada saya dalam salah satu sesi latihan.
“Dah tentu,” balas saya yakin.
“Bagaimana?” Soal peserta saya lagi.
“Manusia secara nalurinya suka bercakap dan bercerita tentang diri sendiri. Memang Allah ciptakan camtu. Semua orang asyik fokus apa yang dia fikir, apa yang akan dia buat, apa kesan sesuatu perkara dan apa perancangan masa depan hanya terhadap dirinya sendiri. Bahkan sesetengah ahli psikologi mengatakan, manusia menumpukan 80% dari pemikiran dan usahanya untuk diri sendiri dan hanya 20% untuk orang lain.”
“Cuba bayangkan anda jumpa dengan seorang yang baru dikenali dan berbual dengannya. Dah tentu topik pertama ialah pengenalan diri kan? Dah tentu juga dia akan cerita pasal diri dia, keluarga dia, anak-anak dia, rumah dia, kereta dia, kerja dia dan lain-lain. Semuanya tentang diri dia sendiri kan?” Semua peserta angguk tanda setuju.
“Maknanya, hanya dengan mendengar dia bercerita, anda akan dapat fahami latar belakang dan maklumat lain tentang dirinya. Itulah yang saya maksudkan anda mampu memahami orang lain hanya dengan mendengar!”
“Okey kalau macamtu baru faham. Tapi macam mana pula nak mempengaruhi orang lain hanya dengan mendengar?” Soalnya lagi.
“Begini, sebelum mempengaruhi orang lain, anda kena bina hubungan baik dulu. Orang putih panggil ‘rapport’. ‘Rapport’ boleh dibina jika anda mengenali dan memahami seseorang tu. Pertama, macam saya cakap tadi, hanya dengan mendengar anda boleh mengenali dan memahami seseorang. Kedua, kajian menunjukkan orang yang banyak mendengar dilihat sebagai boleh dipercayai, mudah mesra dan diplomatik. Ciri-ciri ini membuatkan orang mudah mendekati dan percayai anda, seterusnya menyebabkan apa sahaja yang anda cakap akan mudah diikuti. Pendek kata, kemahiran mendengar yang baik boleh membantu anda bukan sahaja untuk kenali orang lain, bahkan juga untuk membina hubungan baik dan seterusnya mempengaruhi mereka. Inilah ciri pemimpin yang hebat!” Simpul saya.
KERJA TELINGA ATAU MINDA?
Seni mendengar sukar dikuasai kerana ia bukan sahaja merupakan kerja telinga, malah juga kerja minda. Masakan
tidak, salah satu sebab terpenting anda mendengar ialah untuk memahami, bukan? Anda memahami dengan menggunakan minda, bukan? Jadi, minda sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting untuk anda mendengar dengan efektif. Tumpuan minda diperlukan bukan sahaja untuk memahami, tetapi juga sepanjang proses mendengar. Tanpa perhatian minda dan fokus, pendengaran anda jadi kosong. Anda tidak mampu faham apa-apa. Inilah yang berlaku ketika anda sedang tidur.
Walaupun telinga anda masih mendengar bunyi yang berlaku di sekitar, namun anda tidak faham apa-apa kerana minda sedar anda tidak lagi berfungsi. Dalam bahasa kasarnya, kalau anda tak fokus atau tak tumpukan perhatian semasa mendengar, samalah akibatnya dengan anda tidur ketika mendengar! Justeru, teknik-teknik yang saya telah huraikan dalam Bab 1 berkaitan anjakan paradigma dan kuasa minda separa sedar hendaklah dipraktikkan sepenuhnya sebelum mendengar bagi membolehkan anda kekal fokus dan bertenaga sepanjang proses mendengar, walaupun berhadapan dengan orang yang paling membosankan di dunia.
CABARAN DAN HALANGAN
Tahu tak apa halangan terbesar untuk mendengar pada zaman serba moden ni? Tiada peluang nak mendengar! Ya, itulah masalah terbesar. Masakan tidak, kalau nak hubungi kawan-kawan anda gunakan khidmat sms, Whatsapp, Telegram, WeChat, Hangouts atau Facebook Messanger. Kalau nak kemaskini perkembangan dan aktiviti diri sendiri anda buka blog, Facebook, Twitter atau Instagram. Di pejabat pula anda gunakan emel.
Sekarang cukup susah nak jumpa orang yang sanggup bercakap melalui telefon atau berjumpa berhadapan kalau nak sampaikan sesuatu perkara. Bahkan, bila berjumpa berhadapan sekalipun masing-masing sibuk melayan telefon pintar. Jadi, bagaimana anda nak dapat peluang untuk berbual? Bagaimana anda nak dapat peluang untuk mendengar?
Sekiranya anda mampu menghadapi halangan terbesar di atas, cabaran seterusnya ialah untuk mengatasi penghalang utama dalam pendengaran empati. Saya ringkaskan sebagai Faktor 3P:
1. Prejudis
2. Pemahaman Cetek
3. Persekitaran Tidak Kondusif
Macam biasa hadapi, bukan? Jom lihat faktor-faktor penghalang ini dengan lebih mendalam:
1. Prejudis
Naluri dan sifat semulajadi manusia memang suka menghukum, mengkritik, melabel dan mengelaskan orang lain. Manusia dijadikan fitrahnya lebih mudah melihat keburukan berbanding kebaikan. Jika satu titik kecil hitam dilukis di atas sehelai kertas putih, nescaya warna hitam itu yang akan lebih menonjol di mata manusia daripada warna putih yang jauh lebih dominan.
Persepsi dan paradigma anda terhadap seseorang (biasanya yang negatif) juga memainkan peranan dalam mengganggu proses mendengar. Kalaupun anda bermula tanpa sebarang persepsi, sebaik sahaja seseorang membuka mulut untuk memulakan bicara, anda terus membentuk prejudis sebelum sempat dia menghabiskan ayat pertamanya.
Prejudis merupakan tembok pertahanan seutuh Tembok Besar Cina dalam menghalang komunikasi berlaku dengan berkesan. Lebih parah, sikap ini biasanya akan menyebabkan seseorang mudah mengarah, menasihat, menyoal dan mengancam kerana merasakan dirinya lebih baik.
2. Pemahaman Cetek
Pemahaman merupakan sebab utama manusia mendengar. Tapi ia tak akan dapat diperolehi tanpa dua perkara iaitu tumpuan dan memori (ingatan). Sebagaimana lagu dan irama tidak dapat dipisahkan, begitulah juga halnya antara tumpuan dan memori.
Anda tidak akan ingat sesuatu jika tidak memberikan tumpuan.
Kadang-kadang, anda berikan tumpuan penuh, namun masih gagal mengingat dengan baik apa yang disampaikan sepanjang perbualan.
Selagi anda tidak menguasai kemahiran memberikan tumpuan dan kemahiran menghafal, anda akan terus dihantui masalah pemahaman cetek dalam mendengar. Tanpa pemahaman yang baik, mana mungkin anda mampu mengwujudkan empati sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.
3. Persekitaran Tidak Kondusif
Persekitaran tidak kondusif merupakan penghalang fizikal yang paling biasa dihadapi. Tempat berbincangan yang tidak kondusif contohnya bunyi bising, suhu terlalu panas atau sejuk, bau tidak selesa dan pemandangan tidak menyenangkan. Keadaan fizikal diri yang tidak bersedia seperti tidak sihat, keletihan, mengantuk, lapar serta emosi yang tidak stabil juga boleh menjadi sebahagian daripada persekitaran yang tidak kondusif.
Secara psikologinya, minda manusia akan tertumpu kepada persekitaran yang tidak kondusif tersebut dan menyebabkan fokus mendengar hilang sama sekali.
eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93869/7-langkah-pemimpin-berwibawa