Perangkap Minda Arus Perdana

Oleh: Faiz Al-Shahab

 

Sudah sekian lama saya tidak menulis, kesibukan dari hari ke hari mencemburui masa kita.

Pada mulanya, saya berniat untuk menulis pada hujung tahun ini, untuk merangkupi pelbagai kejadian yang telah berlaku di Malaysia, khususnya pada perubahan lanskap politik.

Walau bagaimana pun, pada satu pagi minggu lepas, saya dimaklumkan oleh rakan kerja sebaik tiba di pejabat tentang kejadian yang beliau telah dengar dan tonton dikaca televisyen berkaitan dengan sebuah program bernama Gegarvaganza di Astro, dimana penaja program Dato’ Sri Aliff Syukri telah menghina penonton di dalam studio  dengan mengatanya hodoh.

Agak naik angin dengan apa yang didengari, saya pun mencari rakaman ini di dalam Internet pada malam hari tersebut.

Setelah menontonnya, saya membuat keputusan untuk menulis serta merta tanpa membuang masa lagi.

Terima kasih Dato’ Sri kerana memberi saya semangat.

Program televisyen Gegarvaganza ini penuh dengan terpekik terlolong yang sebenarnya tak perlu ada pun tak apa.

Ya, apa yang Dato’ Sri Aliff telah lakukan dalam program ini adalah salah dari pelbagai aspek.

Beliau jelas kelihatan seorang yang tidak berpendidikan atau pun kurang pendedahan, jadi tidak hairanlah jika beliau bersikap tongong.

Namun begitu apa yang lebih menakjubkan untuk saya adalah penerimaan masyarakat kita kepada watak seperti Dato’ Sri Aliff dan sejenisnya pada kaca televisyen kita, pada tajaan kita, pada produk kita, dan pada penerimaan minda kita.

Seolah-olah minda kita akur untuk memilih yang paling teruk. Bagaimana masyarakat kita boleh terima produk dan perlakuan Dato’ Sri ini menentang logik pemikiran dan fitrah manusia.

Menerima beliau sebagai usahawan simbolik yang berjaya juga tidak kurang gilanya.

Tetapi semua ini adalah bukan salah beliau.

Dato’ Sri ini adalah seorang oportunis, dan dalam perihal ini beliau telah mengambil peluang untuk kepentingan perniagaannya.

Bagaimana watak ini dapat diterima masyarakat Malaysia, yang rata-rata menerima pendidikan rendah dan menengah secara percuma, adalah luar jangkaan.

Pemerhatian saya hanya dapat menjelaskan pandemik ini sebagai hasil daripada proses mencuci otak yang berpuluh tahun lamanya berlangsung di kaca televisyen.

Program-program bodoh dan kurang zat yang disajikan dari tahun ke tahun lambat laun akan memberi impak sebegini dimana masyarakat yang bahlul dapat dihasilkan dengan saksama.

Entiti seperti Astro, RTM, Media Prima, dan lain-lain yang sentiasa menipu masyarakat dengan kandungan tidak berkualiti sepatutnya dipersalahkan terlebih dahulu sebelum Dato’ Sri Aliff dikecam.

Industri televisyen Malaysia angkuh dan tiada tanggungjawab langsung dalam membangunkan sahsiah masyarakat kita.

Ya memang benar negara maju yang lain pun mempunyai saluran-saluran televisyen yang merosakkan, akan tetapi selalunya saluran-saluran yang kurang berzat ini diimbangi semula dengan saluran-saluran televisyen yang lebih berilmiah dan yang mengajak manusia berfikir.

Di Malaysia, saluran yang dikirakan sebagai ilmiah adalah saluran agama, malah itu pun sangat lemah kandungannya.

Jika ada program dokumentari dan ilmiah pun ianya tidak menarik dan ditetapkan pada tayangan siang sahaja.

Proses pembodohan dan penzombian manusia melalui kandungan hiburan ini telah berlangsung terlalu lama, dan telah merosak dan memundurkan pemikiran orang Malaysia, dan harus dihentikan serta merta.

Kita perlu faham kenapa ianya dilakukan, kerana masyarakat yang zombi adalah baik untuk pemerintahan dan perkhidmatan seperti bank, insurans, telco, celco, pembangun hartanah malah pendidikan juga.

Semuanya berkait rapat.

Apabila masyarakat lalai, maka lebih mudah untuk pembangun hartanah dan pihak bank menjual rumah pada kadar yang tidak munasabah, lebih mudah untuk pihak insurans mengenakan yuran premium insurans yang melampau, lebih mudah untuk syarikat telekomunikasi mengenakan caj yang tidak perpatutan, dan seterusnya.

Sama juga dengan pendidikan.

Pada tanggapan umum, anak-anak muda didorong untuk mengambil sijil diploma dan ijazah kerana mempercayai bahawa sijil-sijil pendidikan ini akan memberi peluang yang lebih baik untuk golongan ini keluar daripada perangkap B40.

Oleh demikian terpusu-pusu mak bapak yang menegaskan sijil diploma dan ijazah kepada anak-anak mereka walaupun mereka tidak minat untuk melanjutkan pengajian tinggi.

Yang mana kurang mampu akan menjual tanah atau menggadai barang kemas untuk menghantar anak mereka ke kolej dan universiti.

Walau bagaimanapun, kebanyakan daripada golongan muda ini akan mengambil pinjaman PTPTN.

Majoriti golongan muda kita akan meninggalkan kolej dan universiti untuk memulakan hidup bekerja dengan hutang yang sudah banyak.

Terbuktikah bahawa pendidikan tinggi dapat membantu kebanyakan kita untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik? Sedikit sebanyak kenyataan ini mungkin benar.

Akan tetapi apabila masyarakat sudah menjadi zombi, semuanya akan terikut-ikut untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa mengira kos dan implikasi.

Kolej-kolej dan universiti-universiti pun mula menjadi banyak dan kualiti mula tidak diambil berat kerana ianya kini merupakan peluang bisnes yang besar untuk semua.

Kolej yang separa elok mengeluarkan sijil yang tiada makna sebenarnya kepada golongan pemuda-pemudi ini kerana mereka akan menjadi graduan yang masih terperangkap dalam golongan B40, kecuali kali ini, perangkap ini disertai hutang pengajian tinggi pula.

Justeru, tidak pelik bahawa ramai daripada peminjam PTPTN ini tidak mampu untuk membayar semula pinjaman.

Ada antara mereka ini enggan membayar hutang pengajian tinggi mereka kerana mereka rasa tertipu. Tertipu dengan skim untuk mengkayakan institusi pengajian, yang tidak membawa apa-apa perubahan terhadap kualiti hidup mereka, malah ada yang disedut pula oleh pusaran B40.

Yang untung adalah kolej-kolej yang melihat peluang ini sebagai bisnes semata-mata.

Disini bukan saya mahu menentang keperluan pengajian tinggi, akan tetapi apa maknanya proses pengajian yang tidak berkualiti dan tidak mendorong kematangan pemikiran untuk anak-anak muda?

Jika semua anak-anak muda kita mempunyai sijil pengajian tinggi, tetapi tiada peluang untuk mendapat pekerjaan yang bagus, apa gunanya?

Hidup mereka adalah lebih baik tanpa sijil-sijil yang mahal ini, kerana sudah tentu mereka tidak terjebak dengan hutang-piutang yang besar.

Kembali semula kepada kes Dato’ Sri Aliff tadi, bagaimana masyarakat yang mempunyai ramai graduan boleh berseronok dengan hiburan sebegini?

Ada sesuatu dalam komuniti kita yang tidak kena. Begitu luas dunia ini dengan penuh kepelbagaian, namun orang kita masih tidak berminat untuk menjelajah. Sifat tidak ingin tahu ini menunjukkan bahawa kebanyakan kita sudah pun menjadi zombi.

Untuk mengubah nasib, kita harus menggalakkan orang-orang muda kita untuk melancong, menjelajah, dan membaca.

Amalan-amalan seperti ini boleh membantu kita keluar daripada perangkap minda arus perdana.

Jika tidak, kita hanya dilihat sebagai pengambil hutang yang sedia untuk disembelih…

 

Other articles by the Author:

Malaysia: The Inferior Nation Series

 

Artikel Bahasa Melayu

 

English articles