Kerjasama Xentral Methods dan DJI untuk Pasaran Dron dan Robot Pendidikan
Oktober 2020, Cyberjaya – Syarikat Xentral Methods, lebih dikenali dengan portal ebook e-Sentral, sedang menjalinkan kerjasama dengan syarikat China Dà-Jiāng Innovations, 大疆创新, atau lebih dikenali sebagai DJI, untuk membangunkan pasaran robotik dan dron kegunaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Science, Technology, Engineering, Arts and Mathematics (STEAM)) dalam segmen pendidikan Malaysia.
DJI, syarikat yang terkenal di dunia dalam industri penghasilan dron, sudah mula aktif dalam industri pendidikan dengan menawarkan penyelesaian penggunaan robotik dan dron untuk tujuan pengaturcaraan.
Integrasi perkakasan dan perisian DJI telah menghasilkan produk STEAM yang lebih canggih berbanding produk-produk lain yang sedia ada di pasaran.
Melihat peluang ini, Xentral Methods Sdn Bhd, syarikat yang mengutamakan operasi kandungan digital dan sistem inkripsi kriptografi, memainkan peranannya sebagai pengedar produk pendidikan DJI untuk pasaran Malaysia.
Kedua-dua syarikat telah menandatangani perjanjian setelah berbulan-bulan berbincang. Hasilnya, Xentral Methods telah menjadi ahli baru dalam segmen pendidikan DJI yang sedang berkembang pesat.
Faiz Al-Shahab, 40, Pengarah Urusan Xentral Methods Sdn Bhd berkata, “Kita sebagai sebuah syarikat mementingkan reka cipta dan inovasi. Walaupun, produk China tidak terkenal dengan inovasi, DJI adalah syarikat yang istimewa.
Produk dan budaya kerja di DJI sangat mengagumkan sejak operasi syarikat tersebut bermula. Mereka telah menerajui hala tuju global untuk dron komersial di samping meraih kejayaan dalam industri dron dalam masa yang singkat, sesuatu yang jarang dilihat dalam syarikat-syarikat lain di China.”
Menurut Faiz, darah daging syarikatnya sentiasa wujud untuk mereka cipta dan membangunkan produk, dan bukanlah untuk menjual semula produk milik syarikat-syarikat yang lain. Tetapi, apabila peluang DJI dibuka, ia dilihat sebagai terlalu lumayan untuk diketepikan.
Xentral Methods akan menawarkan dua produk pendidikan yang sesuai untuk kursus-kursus pengaturcaraan di institut-institut pendidikan tinggi Malaysia dan juga sekolah-sekolah awam dan swasta.
Produk pertama, Tello Edu, merupakan dron dalam bangunan bersaiz miniatur yang mudah dikawal dengan perisian yang berbeza serta selamat dan mesra pengguna untuk tujuan pendidikan.
Produk kedua ialah Robomaster EP, sebuah robot beroda mekanum yang berprestasi tinggi dengan fungsi tangan dan boleh atur cara melalui kod Scratch untuk pembelajaran tahap sekolah dan kod Python untuk pembelajaran tahap pengajian tinggi.
Orang dewasa juga akan teruja dengan keseronokan dan tarikan yang dibawa produk-produk tersebut.
Xentral Methods akan mengadakan pertandingan tahunan Malaysia dalam sektor pendidikan untuk kategori darat dan udara bagi kedua-dua produk DJI tersebut pada tahun 2021.
***
Untuk maklumat lanjut:
Call : +603-8328 0844
Email : info@xentralmethods.com
https://youtu.be/jIdLErsfjIc
https://youtu.be/pK2qcSR7dSU
https://youtu.be/YcTDcphdObA