Selasa, 25 Februari 2020, Cyberjaya – Disamping kemelut politik dan ekonomi yang melandai Malaysia sekarang ini, kita terlupa bahawa tahun 2020 Kuala Lumpur diberikan pengiktirafan sebagai Ibu Kota Buku Dunia oleh UNESCO.
Selari dengan tema ini, kerajaan, NGO dan juga pihak industri bertungkus lumus untuk memperkayakan budaya membaca dalam negara.
Kita sering beranggapan bahawa rakyat Malaysia tidak suka membaca, tetapi anggapan ini adalah tidak benar sama sekali.
Penduduk Malaysia pada zaman ini lebih banyak membaca berbanding daripada abad-abad sebelumnya kerana kita sentiasa membaca pada kaca skrin peranti.
Namun, apa yang kita baca pada hari ini kebiasaannya adalah teks pendek dalam bentuk mesej, hantaran dan perkongsian.
Walau bagaimanapun, cabarannya ialah pembacaan teks pendek mengikut pelbagai kajian dalam dunia digital boleh membantutkan daya perhatian dan juga stamina minda seseorang.
Xentral Methods Sdn Bhd, iaitu syarikat pengelola stor ebook E-Sentral, sebuah aplikasi yang tidak asing lagi bagi penggemar pembaca ebook, telah membangunkan teknologi yang menggunakan dataraya dan AI untuk mengatasi cabaran ini.
Menurut Pengarah Urusan E-Sentral, Faiz Al-Shahab, pembacaan teks panjang ataupun long form reading merupakan satu bentuk senaman untuk minda kita.
“Dengan membaca teks panjang dalam bentuk cerita, biografi, informasi, ataupun hiburan, minda kita akan membina stamina untuk daya pemerhatian yang lebih tinggi, pemikiran yang lebih kognitif, lebih berimaginasi tinggi, dan lebih aktif berfikir.
Sayangnya, kita faham bahawa membaca itu penting, tapi kita tidak tahu kenapa ianya penting”, kata Faiz.
Faiz juga menerangkan bagaimana aplikasi E-Sentral digunakan untuk memupuk minat membaca menggunakan teknologi.
“Aplikasi E-Sentral menyediakan intelligence yang memberi analisis tentang kesihatan membaca kita.
Andaikan ianya sebuah aplikasi kuruskan badan, dimana kita sukat kalori, jarak berjalan dan sebagainya, aplikasi E-Sentral pula menyukat pembacaan pengguna, dan masa yang digunakan untuk membaca.
Prestasi ini pula akan diberikan dalam bentuk laporan ringkas dari minggu ke minggu, supaya pengguna membaca lebih banyak bahan teks panjang.
Secara langsung, aplikasi E-Sentral adalah aplikasi yang digunakan untuk memupuk minat membaca, ataupun melatih diri untuk mengamalkan budaya membaca teks panjang yang sihat”, kata Faiz lagi.
Teknologi analisis pembacaan ini juga telah diaplikasikan oleh syarikat ini dalam perpustakaan digital untuk sekolah.
Dalam konteks ini, pinjaman buku digital yang dilakukan oleh murid akan disukat secara automatik apabila murid menggunakan buku digital tersebut.
Apabila murid menyelak muka surat buku digital, setiap muka surat akan dipadankan dengan waktu yang digunakan.
Laporan kegunaan buku digital seterusnya akan dijana oleh sistem untuk guru-guru memantau prestasi pembacaan murid.
Sebagai perintis industri dan teknologi buku digital di Asia Tenggara, E-Sentral bermula operasi pada tahun 2012 dengan kurang daripada 100 judul ebook, kini menawarkan lebih daripada 300 ribu judul, dan memperjuangkan pembacaan teks panjang melalui teknologi.
“Membaca ebook menjadi lebih biasa kerana secara semulajadinya, pengguna akan beralih format ke digital disebabkan pengguna lebih banyak meluangkan masa bersama peranti-peranti pintar.
Tidak hairan lah jika ebook menjadi lebih popular,” jelas Faiz.
“Disamping itu, ebook adalah lebih murah, lebih praktikal, kerana kita boleh mendapatkannya pada bila-bila masa, sentiasa ada stok, tanpa perlu keluar pun, asalkan ada Internet, kita boleh perolehi ebook dan terus baca.
Untuk mereka yang gemar membaca, ebook memudahkan mereka membawa pelbagai judul bersama-sama kemana-mana mereka pergi, seolah-olah sebuah perpustakaan kecil dihujung jari”, sambung Faiz.
Ketika industri buku bercetak makin merosot, penggunaan buku digital pula semakin meningkat dari hari ke hari. E-Sentral mencatatkan jualan terbuka yang meningkat sebanyak 177% sejak 18bulan kebelakangan ini.
Hasrat syarikat ini adalah untuk menjadi aplikasi utama dalam pembacaan dan pendidikan di Asia Tenggara.
Fitur Aplikasi E-Sentral untuk Memupuk Tabiat Membaca from eSentral on Vimeo.