Covid19: Alasan untuk Curi Tulang

Covid19: Alasan untuk Curi Tulang

Oleh: Faiz Al-Shahab

Ramai antara kalangan kita yang terkesan dengan Covid19, jika ianya bukan impak kepada kesihatan, Covid19 menekan masyarakat melalui kehilangan mata pendapatan, tekanan psikologi, dan pelbagai lagi.

Namun kini apabila suasana bekerja telah pun mula kembali normal, Covid19 menekan masyarakat dengan pelbagai kepincangan perkhidmatan kerana Covid19 dijadikan alasan untuk ramai yang masih mempunyai pekerjaan, untuk tidak bekerja, jika tidak pun, dijadikan alasan untuk kurangkan efisyiensi.

Kejadian yang lazim berlaku adalah waktu perkhidmatan dan pekerjaan yang lebih pendek, dan tidak menentu. Perkhidmatan yang tidak ambil peduli kesusahan dan rintihan pengguna dan pemohon kerana semuanya akan di salahkan kepada Covid19. Covid19 adalah alasan yang mudah untuk menjustifikasikan mengapa sistem tamadun moden Malaysia sudah pun gagal untuk berkhidmat.

Dalam perbankan, ramai yang merungut kepada saya, moratorium dibenarkan, namun setelah tamat moratorium, akaun pinjaman mereka disekat, supaya pembayaran tidak dapat dilakukan. Pelik? Kesannya, pihak bank dapat mengenakan caj penalti, sekurang-kurangnya dapatlah pendapatan sedikit untuk bank. Sekali lagi, Covid19 menjadi alasan.

Kita selalu dengar istilah bekerja dari rumah, namun kita juga selalu mendengar apabila bekerja dari rumah, maka pekerjaan tersebut tidak dapat dilakukan kerana kekurangan peralatan, akses kepada sistem dan sebagainya sekaligus menjadi alasan untuk tidak dapat membuat kerja. Maka istilah bekerja dari rumah adalah salah dalam konteks ini, ianya hanya sekadar duduk di rumah.

Jadinya, siapa yang akan terus berkhidmat dan membangunkan negara ini? Jika semua sektor, baik swasta dan awam mencari peluang untuk curi tulang, maka lebih teruk situasinya untuk mereka yang bekerja sendiri atau pun menganggur, kerana apabila  negara menjunam, maka peluang penerokaan dan pekerjaan akan turut tersekat. Secara langsung juga, gejala rasuah juga akan meningkat, kerana untuk mendapatkan perkhidmatan dengan lebih lancar, ramai yang sanggup untuk memberikan sedikit pelincir untuk penerima menggunakan pada Hari Raya nanti.

Aneh masyarakat Malaysia hari ini, lebih ramai yang Islam, tetapi tingkah laku dan teladan adalah jauh sekali daripada ajaran agama sebenarnya. Menjelang Ramadhan ini, eloklah kita sebagai masyarakat yang harus melalui waktu susah dan senang pandemik ini bersama-sama, mencerminkan diri kita dan melakukan yang terbaik dalam pekerjaan kita, supaya kemalasan kita tidak menganiaya saudara kita yang lain.

Disamping itu, saya juga mengambil peluang untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua pengguna e-Sentral yang beragama Islam. Ramadhan Kareem!