[SNEAK PEEK] BURUAN

9789670954721-medium
BURUAN Oleh Aiman Hazziq

Aku membuka kelopak mataku perlahan-lahan. Keadaan sekeliling kabur. Rasa seperti baru bangun dari tidur yang lama. Cahaya matahari menusuk pupil mataku, menyakitkan. Aku cuba mengubah posisiku dari berbaring kepada duduk bersila dengan segala kudrat yang aku ada. Aku mengambil masa seketika sebelum mataku biasa dengan keadaan sekeliling. Aku perhati sekelilingku, tubuh badanku. Entah mengapa aku rasa seperti lupa apa yang aku buat semalam. Kepalaku berat seperti ada beban yang menariknya untuk jatuh. Di sisiku ada senaskhah suratkhabar Harian Metro. Aku lihat tarikhnya. 1 Jun 2018.
Bila tarikh harini?
Aku pasti bukan tarikh suratkhabar itu. Baru aku sedar aku berada di dalam sebuah pondok kayu yang saiznya mampu memuatkan hanya tiga orang dewasa. Atapnya nampak rapuh, diperbuat daripada zink yang sudah berkarat, manakala dindingnya papan biasa.
Apa aku buat kat sini?
Aku melangkah keluar daripada pondok yang aku rasa tak mampu bertahan lama. Aku berada di tengah-tengah ladang kelapa sawit. Di belakang pondok itu ada parit kecil yang penuh dengan rumpai dan semak.
Aku lihat pula pakaianku. Baju lusuh warna kelabu dan seluar panjang getah warna coklat cair. Aku tak pasti aku pakai seluar dalam atau tidak lalu aku turunkan sedikit seluarku. Alhamdulillah, ada.
Kruukkk…
Perut berbunyi minta diisi. Aku sangat lapar. Aku masuk semula ke dalam pondok mengharapkan ada nasi lemak daun pisang tersedia di sebelah suratkhabar itu bersama kopi O. Memang sarapan terbaik.
Tapi aku hampa. Tiada apa yang boleh dimakan di dalam pondok itu. Aku mengambil suratkhabar lalu melihat tajuk utamanya.
Ada sesuatu yang menarik untuk dibaca.

Dua Banduan Diberkas di Kuala Selangor
KAJANG, Ahad – Dua daripada tiga banduan yang berjaya melarikan diri daripada Penjara Lelaki Kajang, diberkas semalam di kawasan berdekatan Kuala Selangor. Suspek dikatakan sedang membeli makanan di sebuah gerai kecil sewaktu seorang anggota polis yang tidak bertugas sedang makan di gerai itu kira-kira jam 5:00 petang. “Saya waktu tu tengah makan nasi lemak. Kebetulan haritu hari cuti saya. Tengah saya makan, datang dua orang ni dan saya dapat cam wajah mereka melalui cermin topi keledar yang dipakai. Cepat-cepat saya hubungi rakan saya yang sedang bertugas di balai. Alhamdulillah, dua banduan itu berjaya ditangkap oleh pihak kami.” Suspek berjaya diberkas di tempat kejadian selepas sedikit pergelutan berlaku di antara suspek dan anggota polis. Walau bagaimanapun, seorang lagi suspek, Mohamad Hanafis bin Mat Abu tiada di tempat kejadian dan polis masih sedang memburunya.

Aku membaca ayat terakhir berita itu berulang kali. Ada gambar passport tiga banduan berserta uniform penjara di bawah berita itu. Hampir seminit aku menatap gambarnya.
What the f! Itu aku!
Ya, gambar aku. Kepala aku yang bujur, rambut botak penjara, mata yang sedikit sepet dan bibir yang berwarna hitam. Ada parut kecil di bawah kiri bibirku hasil pergaduhan aku dengan samseng di kampung. Ya, itu aku.
Tiba-tiba, kepalaku terasa berat semula.

                                                                                     ──♦──

“Weh, Nafis, cepat la sikit. Kita takde masa ni,” marah Razak apabila melihat aku jauh ketinggalan di belakang. Kami sedang menyelusuri hutan paya bakau. Aku tak tahu lokasi tepat kami. Yang aku tahu, kakiku lenguh lepas berjalan dan kadang kala lari selama dua hari. Dalam masa yang sama, aku kagum dengan kebolehan kami kerana masih belum ditangkap polis.
Kumang yang tidak jauh di hadapan Razak berhenti sebentar untuk menunggu. Dia mencekak pinggangnya. Walaupun hanya nampak silhouettenya pada waktu malam, aku dapat bayangkan mukanya yang ketat sedang menahan marah kerana aku lambat.
“Sori. Aku penat.” Itu je yang mampu aku jawab kepada Razak. Secara fizikal, aku dengan mereka jauh berbeza. Aku seorang yang kurus, otot pun malu-malu je nak muncul. Razak memang solid build. Kalau pakai baju tak nampak dia sado tapi kalau bukak memang respect, badan dia packed. Kumang walaupun besar, namun tenaganya banyak, kudratnya tak terlawan. Macam seladang.
“Rileks. Tak jauh dah. Lagi dua, tiga batu then kita boleh berambus dari negara sial ni.”
Kami teruskan berjalan dalam gelap. Dalam kepala aku membayangkan segala macam binatang buas dalam hutan. Tapi aku cuma senyap dan berharap yang terbaik. Dari jauh aku boleh lihat beberapa lampu di tengah lautan. Lampu kapal mungkin. Aku tersenyum sendiri menikmati suasana sunyi di dalam paya bakau itu.
Tiga jam selepas itu, aku lihat ada lampu di hujung sana. Bila makin dekat, mataku dapat menangkap yang kami semakin menghampiri sebuah jeti kayu yang kecil. Namun, aku tidak dapat melihat sebiji bot pun di jeti itu untuk membawa kami jauh dari situ.
Razak sebagai ketua menyuruh kami tunggu sementara dia bercakap dengan orang yang menjaga kawasan itu. Razak sudah mengatakan kepada kami yang dia sudah mengaturkan perjalanan kami ke Indonesia dengan sebuah bot pancung, itu yang buat aku turut serta plan gila ni. Aku nak berambus dari Malaysia.
Aku dan Kumang dapat melihat Razak bertengkar dengan dua orang lelaki yang membawa parang. Ada sesuatu yang tak kena. Aku bercadang untuk menolong Razak jika mereka mula bertumbuk. Setelah apa yang kami lalui, tak mungkin aku akan membelakanginya.
Razak sepertinya mengalah dan kembali berlari anak ke arah kami. Mukanya tiada riak gembira, mahupun marah. Tenang.
“Kita datang balik lusa. Katanya, bot kita tak boleh datang sebab ada ribut kat tengah laut pastu ada haram jadah apa entah tak kena lagi. Lusa kita datang. Lek,” Razak mengatakannya kepada kami.
“Babi apa datang balik lusa. Bahaya bodoh. Kita tak boleh keluar dari hutan, semua polis tengah buru kepala kita.” Kumang bersuara dengan sedikit gelabah. Siapa tak gelabah bila muka kau muncul kat berita dengan tajuk yang kurang baik.
Aku hanya diam seribu bahasa. Razak cuba menenangkan Kumang. Tidak lama selepas itu, kami kembali berjalan merentasi paya bakau, sekali lagi.

                                                                                       *****

Tengahari itu, aku cuba ikut parit kecil di belakang pondok untuk keluar dari ladang kelapa sawit itu. Entah kenapa, aku seperti tidak ingat bagaimana aku boleh sampai ke situ. Lebih kurang selepas setengah jam aku berjalan mengikuti parit, aku nampak ada jalan raya di mana ada kereta sekali-sekala lalu di atasnya. Bagus, jalan sunyi.

Aku tak memunculkan diri betul-betul di tepi jalan. Aku tahu aku antara mereka yang paling dikehendaki di Malaysia jadi aku perhati dulu suasana sekeliling. Di seberang jalan masih ada lagi ladang kelapa sawit namun aku dapat melihat beberapa buah rumah atau mungkin penempatan peladang beberapa ratus meter di sebelah kanan. Aku menapak dengan senyap ke situ.
Dari jauh aku boleh nampak ada padang bola yang rumputnya jarang-jarang tumbuh, mungkin kerana selalu dipijak. Ada sebatang pokok ara yang sangat besar menghiasi padang itu, membuatkan tempat itu kelihatan sungguh cantik. Di bawah pokok ara itu pula ada beberapa buah bangku panjang yang dipenuhi lelaki berkulit gelap, sedang bersembang sesama mereka sambil menyedut air bungkus ikat tepi. Aku tersenyum, tahulah aku ada gerai makan di kawasan itu. Tapi senyumanku kembali pudar apabila aku ingat rakan-rakanku diberkas juga di gerai—walaupun aku tak pasti ia gerai yang sama atau tidak.

Sebuah rumah bantuan kerajaan berada di hadapanku. Aku menyorok di belakang pokok cili yang saiznya agak besar, cuba untuk memerhatikan isi rumah itu. Dari tingkap dapur, tiada apa yang mencurigakan di dalam, seperti tiada orang. Langkahku dibuka ke pintu dapur yang sudah sedia terbuka sedikit.
Aku mengintai dari celah pintu. Sah, di dapur tiada orang. Namun aku dapat mendengar bunyi air dicebok dari bilik air bersebelahan dapur. Aku menyelinap masuk ke situ, mencari apa-apa yang boleh dimakan. Dari jelingan anak mata, ada seorang budak kecil yang sedang menonton rancangan kartun di ruang tamu.
Aku angkat tudung saji di atas meja makan. Ada sepinggan roti canai yang sudah sejuk dan secawan kopi yang sudah diminum separuh. Cepat-cepat aku meneguk air itu apabila bunyi air dicebok sudah berhenti. Aku tak bercadang nak makan roti canai di situ, tak elok makan di meja tanpa dijemput tuan rumah. Jadi, aku ambil roti canai bersama pinggannya sekali lalu cepat-cepat beredar.
Sambil berjalan di celah pokok-pokok renek di belakang rumah dan sambil tertunduk-tunduk, sambil itu juga aku mencubit roti canai sejuk lalu menyuap ke mulut. Melihat seluarku yang sudah dikotori tanah, aku bercadang untuk mencuri pakaian baru, namun aku rasa mungkin di kampung lain. Takut-takut ada orang syak pula aku bersembunyi di situ.

Aku masuk semula ke kawasan ladang. Kali ini, aku ikut jalan tanah merah yang bersambung dengan jalan raya. Roti canai sudah habis dijamah. Pinggan sudah aku campak masuk ke dalam parit di tepi jalan.
Tidak jauh di hadapan, ada sebuah Perodua Axia silver diparkir di tengah-tengah jalan yang sempit itu. Aku berhenti sejenak, hairan. Tak mungkin peladang guna Perodua Axia nak kait kelapa sawit.
Aku tertunduk-tunduk di belakang kereta yang sedikit bergoyang. Dari cermin belakang, aku intai sedikit ke dalam. Ada sepasang kekasih sedang bercengkerama di dalam kereta tanpa seurat benang. Aku sedikit jijik dengan aksi mereka. Tekakku mual.
Namun, apabila melihat dari sisi positif, aku akan dapat kereta dan pakaian baru. Tanpa membuang masa, aku mengambil batu sebesar saiz bola futsal di tepi jalan. Dari pemerhatian aku tadi, pintu kereta tidak mereka kunci.
Jadi pintu hadapan dibuka dengan pantas. Tanpa sempat mereka memberikan reaksi, mungkin kerana perasaan yang bercampur-baur: enak, takut dan pelik dalam masa yang sama, aku menghempas batu besar itu ke kepala si lelaki yang berada di posisi atas. Si wanita pula hanya mampu menjerit dan meronta. Selepas habis si lelaki itu aku kerjakan, pasangannya pula menjadi mangsa. Aku cuba sehabis baik untuk mematikan mereka dengan pantas. Orang kata, tak elok biar makhluk Tuhan hidup terseksa.

Mayat itu aku alihkan ke boot kereta. Aku bercadang untuk hapuskan mereka di tempat yang lebih selamat dan sunyi. Seat kereta dibersihkan ala kadar, hanya dilap menggunakan tisu di dalam dashboard kereta.
Aku menukar pakaianku. Pakaian si lelaki, slack hitam dan baju Melayu cekak musang (ironi, kan?), disarungkan dengan pantas. Ada tudung dan baju kurung dengan warna ungu sepadan juga di seat belakang kereta.
Dompet lelaki di poket belakang slack dibuka untuk melihat isinya. Ada sekeping not RM50 dan beberapa not RM10 serta RM1. IC dan lesennya aku keluarkan.
Ebie Aimil bin Hamidi.
Sempat aku sedekahkan al-Fatihah untuk dia dan pasangannya. Aku menyimpan dompet berserta wangnya sekali.
Kereta auto itu aku pandu dengan perlahan, keluar daripada ladang kelapa sawit itu terus ke jalan tar yang hanya ada dua lorong. Aku tak pasti untuk ke kanan atau ke kiri, namun aku ke kanan kerana orang kata, kanan lebih afdhal. Papantanda di hadapan menunjukkan Kuala Selangor dan Banting tidak jauh dari situ.
Sekali-sekala mataku tajam merenung ke hadapan dan ke belakang. Ke hadapan untuk melihat jikalau ada pak polis yang membuat roadblock dan ke belakang untuk melihat jikalau aku diekori. Setakat ini, semuanya clear.
Ada sebuah stesen minyak di hadapan. Aku bercadang untuk berhenti sebentar buat membasuh badan. Tangan kiriku segera mengambil sunglasses yang disangkutkan pada tasbih yang diikat di cermin pandang belakang. Dengan cekap, sunglasses Oakley yang aku rasa dibeli di pasar malam, disarung.
Keretaku diparkir betul-betul di hadapan tandas. Sebelum aku keluar dari tandas itu, aku mendapat satu idea untuk membantu penyamaranku di luar. Handbag si wanita aku selongkar dan aku keluarkan satu persatu isinya. Ada telefon pintar, tisu, bedak kompak, tuala wanita, lipstick, maskara dan beberapa gugus kunci. Akhirnya, aku jumpa apa yang aku cari: Pisau cukur. Aku sumbat baju kurungnya ke dalam handbag itu lalu segera masuk ke dalam tandas perempuan sebelum siapa-siapa nampak.

Selak dikunci. Bajuku ditanggal satu-persatu. Aku mencapai pisau cukur pink di dalam handbag. Walaupun aku tahu pisau cukur itu telah digunakan untuk mencukur tempat-tempat yang menggelikan (masih ada sedikit bulu di bilah pisau), aku tahan saja perasaan geliku itu. Mula dengan kaki, kemudian beralih ke facial hair, aku hilangkan bulu-bulu di badanku sebaik mungkin. Setelah selesai membasuh badan, aku memakai kain baju kurung itu. Pinggang agak longgar, namun aku boleh pakai tali pinggang lelaki tadi, seperti orang menunaikan haji pula. Kemudian, baju kurung pula disarung. Walaupun agak singkat, namun aku rasa itu sudah cukup memadai untuk perjalananku ini. Tudung bawal aku lipat dua, membuat bentuk segitiga lalu aku letak di atas kepala. Pin disematkan di bahu baju agar tudung itu tidak tercabut. Bila aku pandang ke cermin, aku rasa seperti melihat seorang maknyah.
Selesai mengemas barang, aku terus keluar dari situ. Ada seorang wanita menunggu gilirannya di hadapan tandas. Aku tidak langsung menoleh untuk melihatnya, namun aku tahu dia tidak endahkan muka maknyah aku kerana dia seperti tidak tahan ingin terkucil. Aku pandu kereta itu keluar, ke arah Kuala Selangor. Perutku berbunyi, bagaikan ada kugiran muzik bermain di dalam. Aku belok ke sebuah simpang kecil di belah kiri. Tujuanku mudah, untuk menghapuskan mayat atau sekurang-kurangnya menyorokkan sahaja. Aku pandu sehingga sampai ke sebuah kawasan ladang yang agak sunyi.

Hari sudah hampir ke senja, waktu di mana anak-anak akan disuruh masuk ke dalam rumah supaya tidak disorok hantu kopek. Ada parit yang agak besar membahagikan jalan tar yang sempit itu dan ladang. Setelah memastikan tiada siapa di kawasan itu, aku mulakan kerja yang bagi aku satu perkara yang mudah. Mayat pasangan itu aku angkat lalu aku campakkan ke dalam parit. Aku sengaja berbuat demikian, tidak mahu terlalu sorokkan mayat itu agar mudah dijumpai orang. Ini kerana aku yakin akan kematian. Sebagai umat Islam, aku tahu satu hari nanti malaikat maut pasti akan datang kepadaku, dengan cara dan rupa apa aku tak pasti. Yang aku pasti, aku mahu jenazahku diuruskan dengan sempurna, tidak kiralah oleh orang masjid atau tukang mayat di hospital. Jadi, aku biarkan mereka di situ, supaya orang dapat menjumpai mereka dan seterusnya menguruskan jenazah mereka sebaik mungkin. Aku tersenyum sendiri. Tudung bawal dibetulkan, lagaknya seperti perempuan sejati.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/90630/buruan

[SNEAK PEEK] DELIMA

9789670954691-medium
DELIMA Oleh Regina Ibrahim

 

Manusia berjanji meluah kata,
terlalu manis terlupa tuhan,
antara permata dengan permata,
Delima juga jadi pilihan.

Hujan, musim tengkujuh sekarang jadi tidak menentu dan sukar diramal, berterusan dari petang hinggalah ke malam. Jam menunjukkan tepat 9 malam. Ruby mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana. Dia malas menonton televisyen. Tidak ada apa yang menarik. Bolak-balik rancangan hiburan, lawak jenaka yang tidak lucu dan rancangan gosip palsu artis-artis yang hanya bertujuan mahu kekal di persada, disanggah pula dengan jawapan skema membosankan. Tidak menarik langsung atau hatinya yang resah tidak damai?

Sambil duduk di balkoni melihat langit kelam Kuala Lumpur dari apartmen mewah di Ampang, dia mengimbau kembali kenangan silam, bagaimana dia boleh hadir di kota besar ini. Kota yang tidak pernah kenal erti kasihan pada para penghuninya. Manusia KL masing-masing membawa haluan diri, dia juga mungkin termasuk antara satu dalam beribu-ribu manusia KL yang bersifat sama. Kota yang pantas, manusia yang bergerak semakin laju, menipu, ditipu menjadi hal yang biasa, diterjemahkan pula sebagai hidup yang progresif.

Kuala Lumpur membuatkan dia jadi lebih berani, orang di Kuala Lumpur juga yang mengajar dia jadi begitu. Kehidupan remaja di Pulau Pinang suatu ketika dulu, walaupun menggerunkan, tidak pernah sama dengan apa yang dia lalui di Kuala Lumpur. Kerjaya ini menuntut dia bertutur bahasa Inggeris dengan lancar. Kelas dialek Indonesia juga lancar begitu juga dengan kelas tatarias diri, dipendekkan cerita, dia sudah siap untuk menakluki Asia. Tidak pernah terlintas semuanya sebelum ini. Dia yatim-piatu dari desa. Anak orang Lahar Ikan Mati, Kepala Batas, Seberang Perai, nama sebenar tempat dia dilahirkan, namun sehingga kini apabila wartawan bertanya dia orang mana, dia tetap akan berkata, Pulau Pinang atau Penang seolah-olah dia anak orang kelas pertengahan yang dilahirkan di pulau.

“Ya, saya dilahirkan di Penang,” dia kerap secara selamba selesa menjawab.

Herannya wartawan Malaysia tidak bertanya banyak. Mereka juga sudah tentu tidak tahu tentang pergolakan hebat yang dilalui sekitar tahun 80-an di sana, hingga membawa diri ke Kuala Lumpur. Kalaulah mereka tahu semuanya, matilah dia dikerjakan mereka. Wartawan hiburan Malaysia mempunyai satu tabiat, menulis gosip sipi-sipi dengan memberi buah-buah yang mudah ditelah pembaca tentang artis, apabila tercium sifat buruk dan cerita artis Malaysia. Peminat bidang seni Malaysia pula jenis yang sukar untuk memaafkan sebarang kejadian tidak bermoral, akan diungkit sampai bila-bila. Syukur sehingga kini imejnya bersih di mata pendengar dan penonton. Ini merupakan satu hal yang amat Ruby syukuri.

Kalaulah mereka tahu bagaimana dia pernah tinggal di Georgetown dan pernah khilaf remaja, pasti satu Malaysia akan terlopong. Orang Malaysia semakin bermoral sekarang. Mempertikaikan cara hidup orang sudah menjadi agenda utama mereka, sampai terlupa pada cariknya kain sendiri. Kalaulah Amir Mirza, kekasih pertamanya tahu tentang Nur Nabilah, dia juga bakal susah. Manusia dalam banyak waktu seolah-olah ketagih dan lapar pada kisah-kisah sensasi manusia lain. Dia dan Amir bertemu di saat-saat awal membina kerjaya di Georgetown. Segalanya seolah berlaku begitu pantas. Amir, jejaka pertama yang berjaya memikat hatinya, juga guru pada keseronokan, leka, cemburu, kecewa dan luka. Ruby sewaktu bekerja di Yaohan Komtar menjual pakaian dan barangan lelaki, sering melihat jejaka berkulit putih berambut ikal itu datang dengan dua-tiga teman untuk membeli-belah, seperti biasa mengurat nakal, sambil membeli barangan. Perkenalan bermula dan entah bagaimana dia boleh menjadi rapat dengan Amir, dia sendiri tidak ada jawapan, gelojak remaja biasa agaknya. Ada semacam rasa apabila degupan hati wanita remajanya disahut lancar oleh Amir.

Amir yang bekerja sebagai bartender di sebuah kelab di Jalan Sultan Ahmad Shah, melayan Ruby dengan baik, sewaktu cuti hari Isnin Amir akan membawanya berkaraoke, makan-makan dan berhibur di bandar yang penuh dengan hiburan itu. Mesra, bahagia dan romantik hanya mereka berdua yang tahu di saat itu. Sungguh indah.
Amir jugalah orang yang bertanggungjawab mengajar dia berpakaian mengikut zaman. Dia tidak ralat mengeluarkan wang untuk Ruby, supaya kelihatan lebih canggih sebagai kekasih untuk bergandingan. Amir lelaki bercitarasa bagus, jadi sebagai pasangan Ruby mengikut saja. Sebelum ini tidak pernah dia terfikir tentang pakaian, apa saja yang sopan selesa dia akan pakai.

“Malu kalau orang nampak nanti, apa dia orang kata, girlfriend I nampak kampungan.”

Ruby menurut saja, lagipun dia tidak mempunyai masalah bentuk badan, dia bukan gemuk pendek, dia hitam, tapi bukan sebarang hitam, dia hitam manis. Berhidung mancung, anak mami kata ramai orang, padahal dia anak Melayu jati, menurut kakak sulungnya. Tiada siapapun baik dari pihak ayah dan ibunya berdarah kacukan. Dia dan Amir memang sepadan. Amir tinggi lampai, Ruby juga tinggi, 5 kaki 6 inci, dia tahu tapi tidak pernah mengukur, bagi perempuan Malaysia Ruby memang tinggi, silap-silap berdandan orang nanti fikir dia bapok, bapok yang jelita. Sewaktu berkawan dengan Amir dia kerap membelek majalah-majalah fesyen dari Barat dan berkhayal mahu memakai busana trendy.

Masih Ruby ingat antara helaian pakaian yang Amir beli untuknya, yang paling dia ingat adalah baju lycra hitam potongan Tarzan ketat sendat, dibeli di sebuah butik di Komtar.

“Ini satu saja ada… you bole pakai punia, you boli cantik!” kata amoi butik itu.

Ruby ambil saja, kerana yang membayar adalah Amir. Amir banyak duit, bartender-lah katakan. Sehingga kini dia tidak pernah bercerita pada sesiapapun kenapa, dia sering menolak memakai sebarang potongan fesyen yang sama dengan baju Tarzan itu. Kerap kali sewaktu sesi fotografi dia akan menolak, datanglah pereka busana manapun dia akan mengatakan dia tidak selesa. Sebenarnya potongan baju itu mengingatkan dia pada segala punca merana hidup di Georgetown.

Amir Mirza rupanya lelaki kurang ajar dan tidak bertanggungjawab. Tukarlah bagaimana sekalipun nama pakaian itu, “One shoulder dress?”, “Toga dress?” Ingatan kelat itu tidak akan pernah pupus. Itu juga baju kegemaran Amir, kerap kali apabila mahu keluar, itulah baju yang dia suruh Ruby pakai.

Dia masih bekerja di Yaohan, sewaktu Amir mencadangkan mereka pindah saja dan tinggal bersama di Tanjung Bungah. Jangan takut, pujuk Amir, kerana itu kawasan penempatan orang Cina, jadi tiada masalah tangkapan khalwat atau tangkap basah. Orang Cina jenis tidak peduli, asalkan masing-masing tidak membuat gangguan apabila berjiran. Apartmen 2 bilik itulah tempat mereka menjalinkan hubungan bagaikan orang yang telah bernikah. Satu bilik lagi disewakan pada kawan sekerja Amir, Balan namanya, yang bekerja sebagai penyelia kelab malam.

Ruby yatim-piatu sejak berusia 10 tahun, di Kepala Batas dia diuruskan oleh kakak sulungnya, yang berkahwin dengan pekerja Jabatan Tali Air, kakak sulungnya bukanlah orang yang senang-senang, jadi harapan untuk melanjutkan pelajaran adalah satu hal yang tidak mungkin. Malah kakaknya mungkin akan lebih gembira lega bila Ruby sudah mula berdikari. Ruby juga sedar, dia tidak berapa digemari kakaknya sendiri, semakin dia dewasa semakin kakaknya menjadi gusar, mungkin cemburu akan sifat abang iparnya yang bermata liar setiap kali melihat Ruby yang semakin mekar di tempat tinggal yang sempit di kampung. Bilik mandi satu, bilik tidur tidak berpintu lengkap menjadikan suasana agak sukar dan janggal bagi anak gadis yang sedang akil baligh.

Menjadikan Ruby tempat lepas geram di meja makan dan dapur adalah kegemaran si kakak. Dia cemburu apabila sang suami sering terlepas cakap memuji Ruby dan hati wanitanya menjadi panas dengan tanggungan yang jatuh ke tangan dia sejak kematian ibubapa mereka. Membesarkan Ruby mungkin beban besar selama ini. Atas dasar itu masing-masing memilih untuk hilang dari radar tanpa sebarang rasa rindu langsung setelah waktu jauh berlalu. Aneh, sampai hari ini tidak ada sebarang usaha dari kedua belah pihak untuk bertemu.

Sewaktu awal bekerja di Yaohan, Ruby tinggal bersama Rahimah, budak baik dari Baling, Kedah, bekerja sungguh-sungguh kerana mahu sambung belajar. Apabila pindah tinggal bersama Amir terpaksalah Rahimah tinggal sendirian kerana Kak Noor, yang juga menyewa flat kos rendah itu tinggal di bilik kedua, Kak Noor jarang ada di rumah kerana sibuk bekerja di sebuah hospital swasta, Rahimah agak kesal sebenarnya dengan tindakan Ruby, namun manusia apabila mabuk dilamun asmara, tidak guna dinasihati. Rahimah merelakan saja niat Ruby mahu pindah ke Tanjung Bungah. Ruby keluar dengan elok, dia sebenarnya merasa kasihan kerana harga bilik itu mulai bulan seterusnya akan ditanggung Rahimah secara penuh. Namun tiada pilihan, panggilan cinta indah sudah mengatasi segalanya. Perasaan cinta pertama ini sungguh indah, sukar untuk digambarkan. Siapa tahu, ini jodoh buat dirinya?

Sejujurnya setelah mengenali Amir, Ruby dan Rahimah jarang menghabiskan masa apabila cuti hari Isnin. Dia kerap keluar dengan Amir bersantai, menghadiri pesta anak-anak muda. Rahimah sekarang menaiki bas ekspres dari Butterworth dan pulang ke Baling bersendirian, tidak sama lagi seperti waktu dulu Ruby sering menemaninya pulang bercuti.

Apa yang seronok dengan Amir? Anak Melayu dari Perak yang merantau ke Pulau Pinang, berkulit putih kuning, bermata bundar persis anak campuran mat salleh, tapi bila ditanya mengatakan dia anak orang Melayu jati, heran juga Ruby. Amir bagi Ruby ketika itu, adalah seorang yang ‘cool’, dia punya aura yang memikat dan tidak sejengkel jejaka Melayu lain yang pernah Ruby kenali. Gaya keseluruhan berbeza yang amat memikat dan pasti ada harapan dalam perhubungan mereka. Cara hidup Amir di kelab? Ketampanannya sudah tentu akan memikat hati mana-mana saja anak gadis. Menjadi guru Bahasa Inggeris tidak rasmi pada Ruby, dia banyak menyimpan pita-pita rakaman yang dia sendiri beli untuk mempelajari bahasa kedua ini. Sangat berkesan cara itu. Menurut Amir, kita di Malaysia, kalau tidak boleh berbahasa Inggeris, siapapun tidak akan pandang. Hendak-hendaknya tinggal pula di Penang.

Sudah tentu Amir orangnya romantik dan ada kalanya lucu. Ruby masih lagi bekerja di Yaohan, kerana mahu mencari wang sendiri, segan kalau mahu meminta-minta terlalu kerap. Usia 18, kederat masih ada, maka usaha sajalah sebaik mungkin.

****

Cinta leka, cinta bersambut, cinta dusta, cinta nafsu, atau cinta apa?

Empat bulan awal tinggal bersama, segalanya jadi baru. Amir merasa lega kerana Ruby boleh juga mengemas rumah bujang yang disewanya. Nampaklah sedikit seperti rumah tempat orang tinggal, bilik bujang dulu tidak lagi bersepah, ada juga sentuhan kewanitaan, pelayaran hidup menjadi bertambah nikmat, sama seperti pasangan suami-isteri. Amir berusia 25 tahun ketika itu dan Ruby mula merasa dewasa sebagai wanita.

Segala bermula pada suatu pagi selepas mandi, sewaktu ingin mengenakan jeans sendatnya untuk pergi ke tempat kerja, butang tidak dapat dimatikan, ketat! Ada ruang tidak sampai, lebih kurang 2 inci. Tidak mungkin! Itu jeans ketat kegemaran Ruby. Setelah gagal, Ruby terpaksa mencapai seluar getah.

Mustahil, apa yang aku makan? Bila masa aku muntah-muntah? Tidak mungkin. Hati Ruby menjadi berdebar, degupan jantungnya terasa laju dan dada berdegup kencang. Amir sedang tidur, tidur mati kerana letih dan kesan mabuk semalam seperti biasa. Bukankah Amir juga yang mengatakan semuanya akan selamat, kerana dia tahu teknik bersama tanpa perlindungan? Berkerut dahi Ruby pagi itu, dia resah.

Sesampai saja di tempat kerja, Ruby terus mendapatkan Rahimah yang bekerja di bahagian kanak-kanak.

“Imah, hang arini rehat pukul berapa?” tanya Ruby.

“Kenapa, Ruby? Ada apa ni? Tak pernah-pernah nak belanja arini, dapat bonus ka?” Rahimah melawak.

“Taklah, Imah, aku belanjalah, aku ada problem nih!”

Di Pulau Pinang tidak ada siapa lagi untuk dia berbicara hal serius selain Amir, Rahimah dan Kak Noor. Tapi ini hal orang perempuan, yang hampir cuma Rahimah. Ruby sewaktu bekerja hari itu hati merasa tidak senang. Diraba-rabanya perut secara kerap, berlari ke bilik persalinan pakaian dan melihat betul-betul pandangan dari sisi, tiada perbezaan ketara. Waktu rehat dia dan Rahimah, berjalan cepat keluar dari pintu belakang dan mereka ke kedai kopi Seng Tat depan pasaraya Gama. Tempatnya dekat, mudah dan harga nasi tengahari yang dijual murah berbanding dengan kedai nasi di dalam bangunan Komtar sendiri.

“Aku takut sangat, Imah,” Ruby memulakan bicara setelah mereka mengambil nasi masing-masing.

“Awat? Takut kena tinggai dengan Amir ka?” tanya Rahimah melawak.

“Yang ni lagi teruk dari tu, Imah…” kata Ruby serba-salah, tiada pilihan, pada Rahimah dia berterus-terang.

Rahimah mengucap panjang setelah mendengar penerangan Ruby dan berdoa dalam hati agar ia tidak betul. Ruby mula bertanya hal-hal tentang klinik. Terlintas untuk menjalani pemeriksaan samada betul atau tidak dia mengandung? Tentunya sebagai wanita muda biasa dia takut dan malu untuk menyatakan hasrat menggugurkan saja kandungan itu awal-awal. Langkah apa yang harus diambil, juga dia tidak tahu.

Rahimah mencadangkan Ruby tanya saja pada Suziela, yang bekerja di bahagian barangan makeup, kerana dia pernah mendengar khabar angin yang Suziela juga pernah mengandung tahun lepas, tapi Ruby kena tanya sendiri, Rahimah mengatakan yang dia tidak berani bertanya hal-hal peribadi orang secara tidak tentu hala.

“Hang pi lah buat-buat nak beli makeup, kemudian pandai-pandai hanglah untuk bertanya klinik mana nak check,” saran Rahimah yang juga tidak keruan mendengar kisah sebegini.

“Kalau betui, Ruby, hang nak buat apa?” terus Rahimah bertanya kembali pada Ruby yang diam menyepi kerana leka mendengar atau juga mungkin terlalu resah.

Seharian Ruby merasa kurang enak, bukan tidak sihat fizikal, tapi kepalanya berputar-putar, memikirkan pelbagai kemungkinan. Malam itu juga dia memutuskan untuk tidak ke kelab bagi menemani Amir walaupun esok hari minggu. Dia merasa lemah dan mahu berehat-rehat saja, menanti Amir pulang, mendengar muzik, memang dia sukakan muzik, tapi keadaan muzik disko di tempat kerja Amir akan membuatkan dia lebih pening nanti, tunggu Amir balik sajalah, baik dia habiskan waktu malam dengan mendengar pita belajar ‘Bahasa Inggeris perbualan peringkat pertengahan’ dari dibiarkan ia mengumpul habuk.

Sewaktu awal-awal dulu, apabila Amir pulang dalam keadaan separa mabuk, Ruby mendapati diri Amir agak seksi, dia agak suka pada layanan Amir yang tahu membelai tubuh badannya sebagai wanita, kenikmatan itu tidak akan dapat dia lupa. Kalau benarlah dia hamil, minta-minta Amir gembira dan sudi menerimanya sebagai isteri, tidak apalah kalau hanya mahu ‘kawin koboi’, Ruby akan sudi dan rela. Esok hari Ahad, dia bekerja, dia akan mencari jalan bertanyakan pada Suziela, selembut mungkin, di mana klinik untuk membuat pemeriksaan, apa yang tindakan yang harus diambil. Dia merangka-rangka bentuk ayat yang mahu disuarakan nanti dalam kepala.

Ruby tertidur dengan lampu yang terbuka. Amir pulang sekitar 6 pagi, seperti biasa, kali ini mulutnya berbau arak yang sangat kuat. Ruby tidak pasti samada itu merupakan derianya yang baru, deria sensitif orang mengandung, atau selama ini Amir sememangnya berbau demikian. Amir memadamkan lampu dan merangkak menggagahi tubuh Ruby, bertindak kasar bila Ruby dalam keadaan mamai mengatakan dia penat dan mengantuk.

“Aaahhh! Kejap jer, yang…” kata Amir separa sedar.

Ruby mati akal, dia hanya berserah. Amir tidur mati seperti biasa setelah melunaskan kepuasan lelakinya, sehinggalah Ruby siap berdandan dengan memakai seluar getah yang sama untuk ke tempat kerja; pada pukul 9 pagi pun Amir masih lelap. Dia menanti bas biru dari Teluk Bahang menuju Komtar bersendirian, sambil berpusar-pusar berfikir tentang kehidupannya selama ini dengan Amir. Muzik, arak dan hiburan tanpa henti, untuk wanita muda berusia 18 tahun tentulah ia menyeronokkan, tapi sampai bila?

Ruby terfikir, dalam saat-saat begini Rahimah boleh saja menolak mentah untuk membantu atau mendengar keluh-kesah dirinya, kenapa tidak? Sepanjang dia asyik masyuk dengan Amir, Rahimah seolah-olah tidak wujud dalam ruang lingkup sosial dirinya, ke mana-mana saja pasti dengan Amir, leka melompat dari satu kelab ke kelab yang lain menemani boyfriend yang tampan itu.

Deruman bas biru itu sama saja seperti kemarahan dan keresahan dalam benak hatinya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81613/DELIMA

[SNEAK PEEK] COMOLOT

9789670954578-medium
COMOLOT Oleh Hilmi Loma

Hello?”

“Yeah, pukul 7 malam. Tepat. Jangan lambat. Kunci saya letak bawah tikar
depan pintu masuk.”

“Cliché.”

“Your name?“

“Pajura. Tak nampak nama saya pada name card yang awak pegang masa tengah
buat call ni?”

Lelaki tampan itu tersenyum. “Maaf, saya tak perasan. Baik. Jumpa awak malam ni.”

──♦──

Lelaki itu duduk di atas sofa di ruang tamu sambil menikmati root beer sejuk dengan bertuala saja. Tangannya bijak menukar-nukar channel sambil mengerling ke arah jam di dinding. Pukul 7 tepat. Malam. Dia bingkas bangun dan menutup suis lampu. Seisi rumah gelap.

Tiba-tiba pintu rumahnya kedengaran dibuka laju dan ditutup dengan kuat. Hentakan stillettos dan bunyi gemerincing memecah sunyi. Muncul seorang wanita yang cuma memakai kot berbulu pink berdiri sambil tersenyum memandang bahagian belakang badannya.

“Suis radio dekat tepi awak. Cuma tekan play je,” kata lelaki itu.

Wanita itu tersenyum. Mengangguk sendiri dalam gelap, lantas membuka kot berbulu yang dipakainya itu. Meninggalkan coli putih yang bersambung dengan rantai yang berjuntai syiling emas. Kainnya juga berwarna putih, dengan terbelah di bahagian kiri dan kanan, menampakkan paha dan bahagian tepi punggung yang gebu. Dia menekan punat Play. Bunyi intro muzik memecah sunyi rumah. Pinggulnya meliang-liuk mengikut irama.

I’ve been drinking,
I’ve been drinking

I get filthy when
that liquor get into me,

I’ve been thinking,
I’ve been thinking

Why can’t I keep my
fingers off it, baby?

I want you, na… na…

Lelaki tampan itu pula menekan punat di remote control, membuatkan lampu di dinding utama bertukar kelam. Kemudian dia mengambil kerusi di meja makan dan duduk menghadap wanita itu dengan ghairah. Misainya dikuis-kuis. Cerut Herrera Estelli dinyalakan. Asapnya disedut
perlahan tetapi dia membiarkan rencahnya menari di dalam mulut sebelum ia dihembusnya keluar.

Wanita itu bangun dari kerusi dan datang lebih dekat. Tuala yang dipakai oleh lelaki itu, direntap dengan kasar sebelum dia duduk di atas ribanya. Lelaki itu tersenyum lebar. Asap cerut yang disedutnya, dihembus ke muka wanita itu.

Graining on that
wood, graining, graining on that wood

I’m swerving on
that, swerving, swerving on that big body

Been serving all
this, swerve, surfing all in this good, good

“Do you want me to dance? Or do you prefer humping?” soal wanita itu sambil menghenjut perlahan. Bibirnya dirapatkan ke bibir lelaki itu.

“What the… kau?! Kau! Kau ni apa?!” Sekuat tenaga lelaki itu cuba meronta
tetapi dirinya bagaikan dipasung.

Wanita itu tersenyum lebar. “Drunk in love,
baby… comolot sikit…” katanya sambil merapatkan bibirnya ke bibir lelaki itu.

Lelaki itu cuba sekali lagi untuk bangun dan melawan tetapi gagal.
Tubuhnya semakin lemah.

Wanita itu semakin galak pula menghisap dan menggigit.

Urat-urat di sekitar wajah, leher dan tubuh lelaki itu timbul. Pandangannya semakin kabur. Kulitnya tiba-tiba bertukar kekuningan dan mengering. Bebola matanya mengecil dan perlahan-lahan hembusan nafasnya berkurangan.

Ciuman dilepaskan. Wanita itu tersenyum puas. Dia menyarungkan kembali kot berbulu pinknya.

“Ahh! Lelaki semua sama… pffftt…”

****

“Dalam masa beberapa minit sahaja lagi, Tuan Tanah Bandar Tembok Tebal, Tuan Misai Hanget akan berucap mengenai spekulasi beliau untuk menarik diri dari Negara Berdaulat demi menubuhkan sebuah negara republik sendiri, Republic Wall of Bliss. Ketika ini, masing-masing seperti yang kita boleh lihat―”

Suis televisyen dimatikan. Seorang lelaki berusia yang masih segak berpakaian seragam lengkap dengan pingat yang disematkan di dada kanannya kelihatan runsing. Dia membelek-belek topi pelengkap pada seragam itu sebelum meletakkannya ke atas kepala.

Pintu diketuk.

“Masuk.”

“Tuan, podium dah sedia. Wartawan semua dah bising bila Tuan nak beri ucapan. Atau perlu saya yang bereskan mereka?”

“Tak usah, Leyla. Saya dah siap nak keluar pun. Awak pun janganlah garang sangat. Rileks, kita bakal ada negara sendiri. Undang-undang sendiri.” Bahu pembantu peribadinya itu ditepuk. “Dah, dah. Jom kita gerak ke podium.” Tuan Misai Hanget memaniskan wajah.

Leyla mengikutnya.

Mereka melalui terowong kaca yang memisahkan tebing sungai ke bahagian ofis utama pusat pentadbiran Bandar Tembok Tebal itu. Ada sepuluh pengawal peribadi yang mengiring, lima di depan dan lima lagi di belakang. Kesemua mereka melintasi sebatang sungai yang memang sengaja dibela tiga ekor buaya tembaga besar di dalamnya.

“I rasa seram setiap kali nak seberang sungai ni. Kalau kaca ni pecah, mau kita kena makan dengan buaya kat bawah tu.”

“Senang. Kalau ada kes khianat kita bom je jejambat kaca ni, pengkhianat yang nak masuk ofis utama tu mampus sekali terus jadi makanan buaya-buaya kat bawah tu. Case closed.”

“Bodohlah Tuan ni.”

Tuan Misai Hanget ketawa kecil. Dia faham benar dengan perangai PA kesayangannya itu. Walau mulutnya begitu lancang tetapi tugas yang dijalankannya sentiasa jujur dan amanah.

Mereka semakin menghampiri podium utama Bandar Tembok Tebal.

“Are you ready for your close up, Tuan?”

Mereka berdua bertukar high five.

Tuan Misai Hanget membetulkan baju dan topinya dan berdehem dua-tiga kali. Langsir di balik podium dibuka. Serentak itu juga kemilau cahaya dari kamera wartawan-wartawan bertubi-tubi menyerang pandangan.

“TUAN TANAH! TUAN TANAH!”

“SINI, TUAN TANAH! TUAN TANAH! EXCLUSIVE UNTUK BULETIN…”

“HEY! HEY! TUAN TANAH! YOUR 5 O’CLOCK!”

Segala macam suara pekikan sekaligus menyerang tanpa henti. Sambil tersenyum, dia mengetuk mic di podium. “Cobaan. Cobaan. Cobaan. Order, order.
Kalian semua dengar?”

“DENGAR!!”

“LOUD NAK MATI!”

“CEPAT WOI AKU ADA ASSIGNMENT DENGAN FYNN JAMAL!”

“FUYYOOO, FYNN JAMAL!”

Dia ketawa. Bermacam kerenah wartawan. Tak boleh nak salahkan mereka kerana memang begitu bidang kerja yang mereka pilih.

“Seperti yang kalian semua sedia maklum, jawapannya YA! Saya dan pasukan keselamatan Bandar Tembok Tebal yang terdiri dari askar, mata-mata dan peguam, dengan bangga mengumumkan bahawa Bandar Tembok Tebal sudah bertukar menjadi Republic Wall of Bliss. Kami sudah keluar dari Negara Berdaulat dan membentuk kerajaan kami sendiri. Ini bermakna pembesar, pemimpin, polis, askar dan peguam luar tidak dibenarkan sama sekali untuk masuk campur hal-hal ekonomi melainkan hal usahasama dagang, import eksport serta urusan lain-lain yang telah dipersetujui,” katanya.

Semua di situ terkejut mendengar ucapannya. Kecoh sesi berucap dan soal-jawab Tuan Tanah Misai Hanget pada hari itu. Segala persoalan dijawab dengan hati-hati dan telus supaya tidak menimbulkan konflik.

“Tuan Tanah! Bagaimana dengan kes kematian tiga lelaki sebelum ini? Ada perkembangan? Disebabkan polis tidak boleh campur tangan, adakah Mata-Mata Republic Wall of Bliss akan melakukan tindakan sewajarnya?”

Dia tersentak. Suasana kembali hening. Dia berdehem dua-tiga kali. “Mata-Mata Wall of Bliss masih melakukan siasatan tentang kes ini, samada ini perbuatan dari dalam atau luar daerah. Pihak kami akan mengumumkan seperti biasa jika terdapat sebarang perkembangan baru.
Setakat ini sahaja, saya perlu kembali ke ofis utama. Selamat malam dan sila nikmati jamuan ringan di pantry. Oh! Sebelum saya terlupa, sila buang atau mansuh title Tanah pada nama saya. Cuma Tuan Misai Hanget sekarang. Tuan Bandar Republic Wall of Bliss sahaja, ya?”

“TUAN!!”

“TUAN!!”

Langsir podium dilabuhkan. Leyla segera menghampiri lelaki itu dan mengelap peluh yang turun dengan lebat di belakang tengkuknya.
“Tuan okay?”

“Saya okay. Saya kena balik ofis. Kamu semua escort Leyla balik. Biarkan saya sendiri di ofis.”

Kesemua pengawal akur, cuma Leyla yang pada awalnya keberatan. Dia menghampiri lelaki itu dan membisikkan sesuatu. “You know I akan jaga you dengan segala yang I ada, kan?”

Tuan Misai Hanget tersenyum kelat sebelum berlalu pergi.

Pintu ofis utama dibuka. Dia berjalan ke almari kecil di bawah rak file yang bertanda Business dan mengeluarkan botol kaca hijau bertanda Remy Martin 1965 sebelum menuangkan sedikit cecair itu ke dalam gelas. Tiga ketul ais dicampur. Diciumnya terlebih dahulu untuk menikmati aroma perapan sebelum ditelannya perlahan. Dia memejamkan mata.

“Puas hati kau sekarang? Aku gunakan segala apa yang aku ada untuk
puaskan hati kau.”

“Awwhhh…” Dia menerima satu pelukan dari tangan polos milik seorang wanita dari arah belakang. Wanita itu menyandarkan kepala ke bahunya sambil menyanyi kecil.

“Aku nak dia balik. Tolonglah. Aku perlukan dia sangat-sangat.”

“Sabarlah, sayang… semuanya bakal berakhir.
Sekejap saja lagi. Sabar ya.”

Angin sejuk secara tiba-tiba menerpa masuk ke dalam ofis itu dan keluar melalui tingkap terbuka. Wanita misteri tadi ghaib serta-merta meninggalkan aroma seakan waktu hujan lebat. Segar tetapi merunsingkan jiwa.

“Abang akan cari kamu, Fairuz. Abang akan cari kamu sampai dapat walau apa cara sekalipun.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79927/comolot

[SNEAK PEEK] NOTA: 2

9789670954547-medium
NOTA: 2 Oleh Shaz Johar

Aku membuka mata. Entah bagaimana aku boleh berada di dalam hutan waktu itu, terkujur di situ. Nafasku tersekat-sekat. Putus-putus, sekejap datang dan sekejap hilang. Aku cuba mengingati apa yang telah berlaku tetapi tidak berjaya. Tangan meraba dahi yang bengkak. Pedihnya berdenyut-denyut. Apabila aku cuba mengangkat kepala, rasa peningnya makin menjadi-jadi. Seluruh tubuh rasa lemah-lemah. Mungkin aku sudah mati. Mungkin ini yang dikatakan orang roh yang terawang-awang. Roh yang tidak aman. Aku cuba berdiri untuk pergi dari situ tetapi tidak berdaya. Di mana bayang Tuhan? Di mana malaikat maut? Kenapa mereka tidak menampakkan diri lagi?

Aku cuba berdiri sekali lagi. Agak payah juga mahu menopang badan dengan menggunakan siku yang sakit sebenarnya, tetapi sebaik saja berjaya mencapai sebatang pokok kecil, aku genggam dan tarik tubuh yang terlentang. Aku rebah semula. Betis rasa pedih. Seluar jeans biru yang dipakai ditarik ke atas sehingga ke bawah lutut. Ada kesan lebam di buku lali. Mungkin
kakiku telah patah. Atau terseliuh. Batang pokok tadi dicapai semula. Aku cuba berdiri sekali lagi. Kali ini kaki mampu memijak tanah. Sebelah kaki, maksudku. Sebelah yang tidak lebam itu. Sebelah lagi, kasutnya telah hilang entah ke mana. Aku tanggalkan kasut yang masih dipakai itu. Kedua-dua stoking putih yang sudah kekuningan bercampur hitam dan merah, dilucutkan dan dibuang. Kesepuluh jari kaki digerak-gerakkan. Dengan terhinjut-hinjut, aku mula mengatur langkah.

Lama aku berjalan sebelum terduduk semula. Kepenatan. Mata memandang ke
langit yang bakal gelap. “Mama…” Airmata menitis. Aku rindu pada perempuan itu. Aku rindu pada masakannya. Rendang dagingnya. Sambal geseknya. Sialan. Perut tiba-tiba berlagu meminta makanan. Makanan? Makanan apa? Tiba-tiba aku bertanya kepada diri sendiri. Bukankah aku sudah mati? Mungkin apa yang aku mahukan adalah darah. Ya, darah. Apa agaknya rasa darah? Bagaimana aku mahu mencari darah? Di mana? Darah siapa yang harus aku hirup?

Tangan dimasukkan ke mulut untuk merasa gigi. Masih belum ditumbuhi taring. Badan sudah berbau busuk. Berpeluh-peluh. Masam. Mungkin aku perlu mandi. Hantu juga perlu mandi. Betulkah hantu juga perlu mandi? Betulkah aku sudah mati?

Aku perlu mencari sungai. Aku terus berjalan.

Tiba-tiba sepasang kaki melintas di depan muka. Seekor pelanduk kecil yang mungkin terkejut melihatku di situ. Dia melarikan diri sementara aku pula kaku tidak bergerak. Terkejut. Mata tertumpu pada satu lopak basah besar di celah pokok dan busut tinggi di sebelah kiri.
Ada daun kering dan ranting kayu yang bertimbun di atasnya seperti bumbung. Ada kesan tapak kaki babi dan harimau di situ. Mungkin itu tempat kedua-dua haiwan itu berkubang. Atau mungkin juga itu rumah mereka.

Aku menoleh pula ke kanan. Ada sekumpulan kera sedang memerhatikanku di situ. Mata kami bertentangan tanpa berkelip. Seekor jantan yang lebih tua mara ke depan. Dia membuka mulut, mengeluarkan taringnya yang panjang. Mungkin dia marah kepadaku kerana tidak meminta izinnya untuk berada di situ. Aku takut tetapi sengaja memberanikan diri untuk kekal tidak berganjak. Aku tahu kukunya mampu mencakar dan merobek dagingku. Aku tahu taringnya mahu mencengkam dan membaham. Tetapi aku kira waktu itu aku juga harus menetapkan kepadanya yang hutan dan aku telahpun bersatu. Aku bukannya pendatang asing. Lalu aku buka mulut dengan luas sebelum menerpa ke arah mereka. Jeritan kuat bergema sehingga kera-kera itu semua bertempiaran lari.

Aku mengeluh. Nafas yang pendek aku tarik dalam-dalam. Perut makin memulas. Makin
lama makin kuat berkeroncong. Aku menekan-nekannya dengan harapan bunyi yang menjengkelkan itu dapat berhenti. Gagal. Kaki terus melangkah, makin lama makin jauh ke dalam. Menyesal pula aku tidak bersenam sewaktu hidup. Jika tubuh badanku lebih tegap dan kuat tentu aku tidak selemah ini.

Aku menepuk perut yang buncit sedikit. Bukankah lemak sepatutnya boleh membantu? Bukankah tenaga itu dikumpul dalam bentuk lemak? Karbohidrat? Protein? Dulu di dalam kelas Sains, Mr. Ushantha Joseph Chaminda Vaas pernah berkata, karbohidrat akan digunakan jika tubuh tidak diisi dengan makanan. Kemudiannya diikuti lemak dan protein. Jadi apa guna lemak yang berlambak di dalam perut aku ini jika tidak memberikan aku tenaga?

Cuping telinga terasa pedih digigit nyamuk yang mengikut. Mata terus memerhati pada bahaya yang mungkin berada di depan
mata. Ular, harimau, buaya, apa saja haiwan yang boleh membunuh. Kaki terus
melangkah dengan berhati-hati. Tangan memegang sebatang kayu sebagai penunjuk
arah. Atau sebagai alat untuk menghalau semut, labah-labah atau haiwan berbisa yang lain. Aku harus mengikut laluan haiwan jika
terjumpa. Kata Mr. Ushantha Joseph Chaminda Vaas lagi, laluan itu yang biasanya
akan membawaku ke kawasan yang berair atau ke tanah lapang.

Aku memalingkan wajah menghadap ke batang pokok. Ada beberapa ekor semut hitam sedang beratur berjalan di situ. Aku julurkan lidah dan menjilat mereka. Rasanya pedih bercampur masin. Tekak jadi loya tetapi aku kuatkan hati untuk menelan.

Kepala mula terasa pening. Mungkin aku perlu minum saja air embun yang melekat di atas daun atau rumput. Mungkin aku perlu hirup saja mana-mana takungan air dan lumpur yang ada. Hutan telah bertukar menjadi gelap. Pokok-pokok yang sebesar dua-tiga pemeluk menutup cahaya matahari yang menyuluh. Aku tidak dapat melihat apa-apa. Aku takut jika tersepak lipan atau kala jengking. Aku takut jika disergah harimau atau kucing hutan.

Tangan menyapu bibir. Kupingnya aku tarik. Luka di kepala yang sudah berkudis, diraba. Sudah tiada air liur yang mahu ditelan. Badan makin lemah. Panas. Kering. Tidak terasa langsung mahu membuang air juga. Aku meraba-raba wajah. Aku tidak tahu bagaimana rupaku waktu itu. Pipi dan mata terasa cengkung. Tulang bahu dan rusuk juga timbul. Kulit sudah
pucat tidak berwarna. Perut mual. Tiba-tiba aku muntah. Tetapi hanya air kosong yang keluar. Hanya titisan-titisan air. Aku tadah muntah itu dengan tangan. Aku tidak mahu ia membazir begitu saja. Aku kehausan. Lalu aku jilat semula.

Apabila aku tegakkan kepala, ada cahaya kecil yang muncul betul-betul di depan. Sedikit demi sedikit cahaya itu terang, dari satu titik bulat menjadi panjang, tinggi dan seterusnya menyerupai manusia. Atau hantu. Atau hantu menyerupai manusia. Entahlah. Dia berpakaian serba putih. Jubah panjang. Kakinya tidak melangkah tetapi pantas dia bergerak ke depan. Seolah-olah sedang terbang tetapi tidak terlalu tinggi menghampiri aku. Tangannya dihulurkan dan aku cuba untuk menyambutnya tetapi tidak berjaya. Kami telus, tidak bercantum. Dia tidak
membuka mulut tetapi dia bersuara. Dia tiada mulutpun tetapi aku boleh fahami apa yang cuba disampaikan. Katanya,
“Jangan langsung berasa gentar atau takut dengan apa-apa kerana kau yang
sepatutnya mengawal rasa ketakutan itu.” Dia mahu aku pergi dari situ. Keluar
dari situ. Keluar mencari manusia. “Manusia bodoh,” panggilnya. Manusia mudah diperdaya. Manusia mudah lemah dengan bisikan kita. Manusia mudah mengikut kata-kata.

Aku percaya kerana dulu aku pun begitu. Selalu mengikut nafsu. Selalu tertipu dengan kata hati. Terlalu mudah percaya. Tetapi baru saja aku mahu membuka mulut untuk bertanya bagaimana caranya, dia telah hilang.

Aku teruskan perjalanan selepas itu. Terus berjalan sehingga aku lelah. Sehingga aku rebah. Sehingga aku sudah tidak berdaya lagi.

──♦──

Mata terbuka apabila terasa ada benda yang berkuis-kuis di kaki. Mulanya aku mahu melompat tinggi, aku bimbangkan katak beracun atau biawak yang sedang cuba melintas di kaki, tetapi rupa-rupanya ada seekor ayam hutan jantan yang sedang mencari makanan. Tubuhnya kecil tetapi bulunya lebat. Ekornya panjang. Begitu juga dengan tajinya. Dia tidak peduli
langsung aku ada di situ. Mungkin dia menyangka aku hanya timbunan tunggul
kayu. Perlahan-lahan aku mengangkat tangan. Aku biarkan dia terus leka mengais mematuk di situ. Makin lama tanganku makin dekat dengan tubuhnya dan setelah aku yakin aku akan dapat
menangkapnya dengan sekali cekup, aku menerkam. Dia cuba melompat tetapi lehernya telah dapat aku genggam terlebih dahulu. Mulutnya bising, menjerit, berkokok. Kakinya menyepak-nyepak hingga tajinya menghiris lengan tetapi aku biarkan saja rasa sakitnya. Kepaknya dikibar-kibar, dia cuba terbang, tetapi dalam masa yang sama jariku makin kuat menggenggam. Memicit. Mematahkan tulang lehernya. Kepalanya terkulai. Dia mati.

Aku campakkan mangsa pertamaku itu di bawah. Dengan penuh kudrat, aku gigit dadanya hingga gigiku jauh terbenam. Bulu pelepahnya masuk ke dalam mulut dan hidung. Darah yang mengalir keluar aku hirup tanpa henti. Rasanya hanyir tetapi aku teruskan juga. Tekak jadi loya,
kembang, ingin memuntahkan segala isi perut selepas itu. Aku tidak tahu di mana rasa sedapnya. Aku tidak tahu apa yang membuatkan hantu gemar dengan darah. Mungkin aku harus terus mencuba. Berlatih hingga sempurna. Atau mungkin aku harus mencari darah manusia. Rasanya tentu lain. Tentu manis. Jika tidak, masakan ada perumpamaan seperti
itu dahulu?

Aku terus berjalan. Tidak lama selepas itu aku terdengar sayup-sayup bunyi aliran anak sungai. Aku terus memasang telinga sebelum berlari ke situ. Pantas juga kaki aku berlari, bagaikan terawang-awang di atas rumput, kadang-kadang tidak langsung mencecah ke tanah, dan berhenti sebaik saja tiba di tepi tebing. Tebingnya tidak terlalu tinggi, boleh saja jika aku mahu terjun ke dalam sungai itu. Sungai itu juga tidak terlalu dalam. Aku melangkah setapak. Airnya jernih. Mungkin aku berada jauh di ulu kampung kerana jarang dapat berjumpa dengan sungai yang sejernih itu di ibu kota.

Buat pertama kalinya aku dapat melihat bayang-bayang sendiri. Rambut kasar panjang tetapi banyak yang telah gugur. Pipi telah cengkung. Bawah mata lebam kehitaman. Mata putih bertukar kuning. Yang hitamnya berwarna perang kusam. Seluruh tubuh kotor bersalut tanah. Dahi semakin besar, telinga juga semakin capang. Dua butang baju paling atas sudah
tertanggal

menampakkan dada yang kering. Aku mengangkat baju untuk melihat perut. Buncit tetapi kurus. Yang buncit di perut saja tetapi tulang rusuk boleh dilihat berbaris di tepi tubuh. Kemudian aku buka seluar dan seluar dalam. Tulang pinggang tersembul. Kemaluan mengecut. Buah kerandut melendut panjang. Paha sudah sama besarnya dengan betis. Aku hanya tulang yang dilitupi kulit yang nipis. Tanpa membuang masa, aku melompat ke dalam sungai itu.

Sebaik saja kaki mencecah ke dasar, aku terdengar lagu itu semula. Bergema. Mendayu. Lagu Honeymoon dari Lana Del Rey. Itu lagu terakhir yang aku dengar sebelum aku tercampak ke dalam hutan itu.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/79837/nota-2