[SNEAK PEEK] BILA HATI MEMILIH DIA

BILA HATI MEMILIH DIA Oleh Wan Nur Najihah

ADRA gelabah. Satu per satu plastik di dalam bakul merah dikeluarkan. Sampai plastik terakhir, dia mengetap bibir. Apa yang dicari tiada. Serta-merta tangan dan bibir mula bergetar. Manusia mana yang tegar mencuri duit jualannya? Hanya itu wang yang dia ada. Air mata mula membasahi pipi.

Kenapa hari ini nasibnya malang? Ingatkan selamat berada di dalam surau. Tapi dia silap. Kepalanya mula buntu. Jam dinding sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Pukul 8 dia perlu sampai ke rumah. Kalau lambat pasti dia akan dipukul oleh ibu tirinya, Mak Cik Melur.

Tapi bagaimana mahu pulang kalau tidak bawa wang jualan sekali? Lengan baju diangkat. Masih kelihatan bengkak di lengan akibat dipukul tiga hari lepas. Ini gara-gara jualannya tidak habis. Tubuhnya terlalu lemah dan sakit untuk dipukul lagi.

Dia tahu Mak Cik Melur sedang menunggu di rumah. Pasti mengamuk ibu tirinya itu kalau tahu duit jualan telah hilang. Bukan setakat dia dengan adiknya akan dipukul. Teringatkan Adwa, Adra terus bangun. Dia perlu cari kembali duitnya. Dia tidak kisah dirinya dipukul atau tidak diberi makan tapi bukan adiknya. Telinganya sudah tidak mampu mendengar jeritan dan tangisan Adwa.

Bakul yang berisi kuih diangkat. Hari ini jualannya tidak berapa baik. Tapi masih sempat untuk dia habiskan jualan kuih. Adra bergerak ke arah tapak pasar malam. Mungkin ada antara pengunjung yang berminat untuk beli kuihnya.

Laju dia berjalan. Dia perlu kejar masa. “Abang nak beli tak kuih sa…” Belum sempat ayat habis, pelanggan sudah lari. Tidak putus asa dia cuba lagi. Air mata mula mengalir apabila tiada seorang pun mahu beli.

Melihat satu pasangan yang duduk di bangku kosong, cepat-cepat Adra menghampiri. “Kak, abang, nak beli tak kuih saya? Murah aje saya jual.”

“Tak nak.”

Adra menelan air liur mendengar jawapan si gadis. Dia tidak mampu sorok wajah sedih.

“Kak tolonglah beli kuih saya. Saya perlukan duit.” Hilang terus rasa malu. Dikesat air mata. Apa dirinya kelihatan seperti pengemis sehingga orang tidak mahu membeli? Dia lihat si gadis mencebik.

“Kuih apa ni?”

“Awak, jomlah. Buat apa nak beli? Saya dah kenyang. Membazir aje nanti.”

Tanpa dipinta, air mata kembali mengalir apabila pasangan itu pergi. Adra terduduk di bangku sambil mengusap perut yang berbunyi. Sungguh dia lapar. Balik dari sekolah, Mak Cik Melur memaksanya keluar menjual. Dia hanya diberi makan waktu malam. Itu pun berkongsi dengan Adwa.

Ikutkan hati dia tidak mahu pulang malam ini. Tapi itu hanya akan mendatangkan masalah saja. Kenapa dia perlu mengharungi hidup sesukar ini? Semua rakan sebayanya belajar untuk menduduki UPSR. Dia pula berada di bandar untuk jual kuih.

Kalaulah ibu masih ada pasti bukan di sini tempatnya sekarang. Kalau ayah tidak kahwin lain pasti dia tidak perlu hidup menderita. Tak guna menangisi apa yang berlaku. Itu tetap tidak akan merubah hidupnya.

Rantai emas yang terletak elok di leher dibuka. Inilah rantai yang jadi idaman Mak Cik Melur. Mujur sahaja sampai sekarang dia masih pertahankan. Tapi hari ini dia tidak tahu apa nasib rantai ini. Pasti akan dirampas. Sungguh dia sayang rantai milik arwah ibu.

Adra menyapu air mata. Dia perlu pulang sekarang. Dirinya sangat penat. Mahu berjalan pun tidak larat. Kali ini dia terpaksa reda tubuhnya dipukul lagi.

“Dik…”

Kepala diangkat. Dia memandang lelaki yang bersama gadis tadi. Tapi kali ini gadis itu tidak kelihatan. “Abang nak beli kuih?” soalnya dengan penuh pengharapan.

“Haah. Jual kuih apa? Kenapa menangis?”

“Duit kena curi. Saya tak ada duit. Kalau abang beli kuih saya baru saya ada duit.” Ikatan plastik dibuka untuk tunjuk kuih yang dijual. “Ada koci, kuih ketayap, Qasidah, cekodok pisang pun ada. Abang nak kuih mana?”

“Setiap kuih ni bagi dua.”

Laju saja dia angguk. Alhamdulillah, ada juga duit yang akan diberi kepada Mak Cik Melur nanti. “Banyaknya…” Not warna ungu yang dihulurkan tidak diambil.

“Tadi cakap duit kena curi, kan? Ni abang ganti balik.”

Terharu, itu yang dia rasakan. Lelaki itu fahamfaham saja situasinya. Tak pernah dia pegang duit RM100 dalam hidup. “Terima kasih, abang…” ucapnya setelah dipaksa untuk mengambil duit tersebut. Dia akan kenang jasa baik lelaki muda ini.

“Dah makan belum? Ni ada nasi ayam. Tunang abang beli tapi tak makan. Nak buang sayang. Adik ambillah.”

Lambat-lambat Adra mengambil huluran tersebut. Entah berapa lama dia tidak makan nasi ayam. Air liur ditelan apabila sudah terbayang keenakan makanan kegemarannya itu.

Baru sahaja lelaki itu melangkah, dia memanggil lelaki tersebut. Bakul kuihnya diangkat bersama. Rantai emas dikeluarkan lalu dipandang sayu. Entah apa yang merasuk, dia hulurkan rantainya.

“Ini rantai saya. Ambillah. Anggap aje saya jual pada abang.”

Tidak menunggu lama, dia terus pergi. Sengaja dia buat tidak dengar suara yang memanggilnya. Biarlah rantai itu jatuh ke tangan lelaki yang tidak dikenali daripada jatuh ke tangan Mak Cik Melur.

“AZRIEL, awak pergi mana? Saya pergi tandas kejap aje awak dah hilang.” Sofea duduk lalu menghentak kaki tanda marah. Beg sandang dicampak ke tepi. Muncung sudah panjang sedepa.

“Sofea, apa macam ni? Malulah orang tengok,” tegur Nazriel lalu mengambil semula beg Sofea. “Saya beli ni. Jom makan.”

Bulat mata Sofea. “Awak jumpa budak tadi?”

“Saya teringin nak makan kuih dia jual.” Sebenarnya dia kembali mencari budak itu sebab kesian.

“Awak makanlah. Saya dah kenyang,” tolak Sofea sambil menjeling lelaki yang baru bergelar tunangnya. “Berapa ratus awak bagi dekat budak tu?” Mereka kenal bukan sehari dua. Nazriel seorang lelaki yang mudah kesian tambah-tambah lagi apabila melihat budak-budak berniaga.

“Sikit aje. Biarlah, rezeki dia.”

“Kita nak kahwin. Awak lupa ke? Duit yang ada baik awak simpan. Awak tu tak kerja… Masih belajar. Keluarga kita bagi kahwin pun dah untung. Awak kena tunjuk pada family saya yang awak mampu jaga saya.” Sengaja Sofea mengingatkan tentang itu kepada tunangnya.

Nazriel letak donat yang baru digigitnya ke dalam plastik. Dipandang Sofea. Dua hari lepas mereka berjaya mengikat tali pertunangan setelah bercinta sejak zaman sekolah. Sebagai tanda syukur, dia sengaja beri duit lebih kepada budak perempuan itu.

“Awak jangan risau pasal duit. Duit boleh dicari. Walaupun belajar tapi saya kerja.”

“Duit awak kerja tu berapalah sangat…” keluh Sofea. Dia tahu tunangnya melakukan beberapa kerja semata-mata untuk cari duit. “Awak nak belajar lagi… Kerja lagi… Awak tak rasa kita terburu-buru ke?”

“Awak menyesal ke? Saya betul-betul nak kahwin dengan awak. Awak hanya perlu percaya saya. Saya akan buat apa saja untuk awak. Walaupun kita kahwin masa belajar, awak takkan hidup susah dengan saya.”

Sejak kali pertama jumpa Sofea, dia sudah jatuh hati. Habis SPM terus dia bekerja sehingga sekarang. Janjinya harus ditepati.

“Kalau saya tak percaya awak, kita takkan bertunang.”

Nazriel tersenyum. Keputusan untuk menikahi Sofea sewaktu belajar muktamad. Apa pun yang terjadi selepas ini, sekurang-kurangnya gadis itu ada di sisinya. Dia yakin Sofea jodoh yang dikurniakan Allah.

“Sofea…” panggilnya. “Senyumlah sikit. Awak kalau senyum nampak manis. Donat ni pun kalah.”

PINTU dapur dibuka perlahan-lahan sambil mata melilau mencari Mak Cik Melur. Jam dipandang. Sudah pukul 8.30 malam. Dia lambat, patutlah wanita itu tiada. Pasti ibu tirinya ada di ruang tamu menonton TV.

Tadi sewaktu pulang, rantai basikalnya beberapa kali terlucut. Terpaksalah dia berhenti. Habis kotor tangan dan baju kena minyak hitam. Itu belum lagi dia jatuh akibat langgar batu. Tak pasal-pasal lutut dan siku luka. Dia hanya mampu menahan sakit. Tapi tak apalah. Janji dia balik cepat.

Bakul kuih diletak di atas meja. Baru saja cuci tangan, kelibat Mak Cik Melur muncul. Terus plastik kuih dibuka. Dia hanya menunduk. Sudah tahu apa akan jadi nanti.

“Kau tak habis jual? Kenapa kau balik? Mesti kau pergi main, kan? Pandai kau tipu aku!” tengking Mak Cik Melur lalu mencubit lengan Adra. “Aku rugi lagi malam ni. Tak guna betul kau!”

Adra sudah menangis. Tangan kirinya menekup lengan kanan. Dia tidak mampu menahan sakit lagi. Cubitan Mak Cik Melur betul-betul di tempat luka. Sangat berbisa cubitan itu. Kadang-kadang sampai berdarah kulitnya. Duit yang ada di dalam poket dikeluarkan. Hanya ini yang boleh menghentikan amukan wanita itu.

“Eh, mana kau dapat duit ni?”

“Ada orang bagi…” Polos Adra menjawab.

Melihat duit sebesar itu, senyuman mula terukir. “Mesti orang kesian tengok kau. Dah rupa pengemis. Duit jual kuih mana?” Poket seluar Adra diraba. Ada beberapa keping duit kecil. “Pandai kau nak curi duit.”

Adra mengesat air mata. “Mak cik, Adra lapar…”

“Kau jangan berani makan. Lauk tu aku simpan untuk ayah kau. Kalau aku tengok luak, siap kau!” Ditolak Adra masuk ke bilik lalu dia naik ke tingkat atas. Sudah fikir mahu dibuat apa duit sebesar ini.

“Kakak…”

“Adwa…” Adra melangkah ke arah adiknya yang baru keluar dari bilik. “Mak cik bagi makan tak?”

“Tak. Tapi Adwa tak lapar. Tadi kat sekolah Adwa dah makan.”

Dia tahu adiknya tipu. Pasti Adwa sedang menahan lapar. Dia keluar lalu diambil plastik berisi makanan. Sengaja dia tinggalkan di luar.

“Ini ada makanan. Jom kita makan dulu.” Tangannya dibasuh bersih-bersih lalu ditarik Adwa masuk ke bilik. Pintu dikunci lalu dia duduk bersila di atas lantai. Polystyrene dibuka lalu dihulurkan kepada adiknya.

“Kakak makan dulu. Adwa tahu kakak lapar.”

Akur, Adra terus menyuap nasi ke dalam mulut. Mereka dua beradik sangat rapat. Lagipun dia tak ada siapa lagi melainkan Adwa dan ayah.

“ADRA, kau pekak ke?” marah Mak Cik Melur sebaik saja Adra muncul. Ditolak kasar bakul kuih. “Baik kau jual kuih ni sampai habis. Kalau tak, taulah nasib kau nanti.”

Adra menunduk. Penat balik sekolah belum hilang, dia sudah pergi menjual. Untung orang yang masih ada ibu. Balik sekolah terus dapat makan. Dia hanya mampu minum air. Dipandang Maria, saudara tirinya yang sedang makan. Mereka sebaya tapi tak pernah berbaik. Maria sebiji ikut perangai ibunya.

“Mak cik, Adra nak nasi…” Kalau hari baik dapat juga dia sepinggan nasi kosong. Itu lebih baik daripada tiada apa-apa.

“Aku masak untuk anak-anak aku, bukan untuk kau. Eh…” Tajam mata Mak Cik Melur memandang leher Adra. Rasa macam ada yang tak kena. “Mana rantai kau?”

“Hi… hilang.” Fikirnya wanita itu akan perasan semalam. Ternyata duit RM100 berjaya menyelamatkannya.

“Hilang?” Bulat mata Mak Cik Melur. Terus dia bangun. Mahu tercabut jantung mendengarnya. “Kenapa kau hilangkan rantai kau? Aku nak simpan kau tak bagi. Kau mengadu kat ayah kau. Sekarang dah hilang. Apasal kau ni bodoh sangat?”

“Sakit, mak cik…” Dan entah untuk kali keberapa tubuhnya menjadi mangsa. Hari ini lebih sakit daripada semalam. Bukan setakat itu, rambutnya ditarik kuat sampai kepala rasa pening. Dia tahu betapa teringinnya Mak Cik Melur terhadap rantai lehernya itu.

“Kau takut aku jual rantai kau kan sebab tu kau tak bagi aku?” Macam orang gila dia ketika ini. Tak pasal-pasal rugi besar.

“Mak cik…” Adwa yang berada di dalam bilik terus keluar apabila terdengar bunyi bising. Ditarik kakaknya ke tepi. Dipandang tajam ibu dan kakak tirinya. Sampai longlai kakaknya dipukul. “Kenapa mak cik selalu pukul kakak?”

“Kakak kau hilangkan rantai. Kau tahu tak rantai yang dia pakai tu mahal?”

“Kalau hilang pun tu rantai kakak, bukan rantai mak cik.” Berani Adwa melawan. Mak Cik Melur yang ajar dia supaya biadab. “Saya nak telefon polis.”

Mak Cik Melur mengilai. “Kau sekolah baru darjah empat dah pandai nak ugut aku. Polis mana percaya. Sedar sikit, aku bela kau pun dah untung. Ikutkan hati aku halau kau adik-beradik. Aku tak kira malam ni aku nak tengok rantai tu ada. Kalau tak sakit kau dua beradik. Getah paip sampai kat kau.”

“Adwa, kenapa melawan?” tegur Adra sebaik Mak Cik Melur dan anaknya beredar.

Adwa tiga tahun muda daripadanya. Melihat Adwa senyap, dia terus masuk ke bilik. Adiknya masih kecil dan hanya mahu pertahankan seorang kakak yang lemah.

Pintu ditutup lalu dia duduk. Air jernih kembali jatuh. Inilah kehidupannya sebagai anak tiri. Bila semua ini akan berakhir? Sampai bila dia mahu bertahan? Usia mudanya dihabiskan dengan penderitaan. Pemergian ibu pada waktu yang salah. Dia masih perlukan ibu. Apakah hidupnya akan hancur seiring dengan waktu?

****

Sebelas tahun kemudian…

“YA, mak cik…” Adra berlari-lari anak menuju ke pintu bilik. Tak sempat dia nak lipat kain telekung. Suara nyaring Mak Cik Melur buat dia terkejut. Pasti ada sesuatu yang tak kena. Yang pasti dia akan dipersalahkan.

Mak Cik Melur mencekak pinggang. Anak tirinya dipandang sampai hendak terkeluar bebola mata. “Kau tak masak ke? Aku lapar ni. Aku dahlah kerja penat-penat, balik rumah kau tak masak. Pemalas betul.” Tidak menunggu lama, terus dihamburkan amarahnya. Lengan baju disingsing ke lengan. Tangan sudah sedia mahu menarik telinga Adra.

“Adra dah masak.”

Geram dengan jawapan Adra, Mak Cik Melur terus mengheret gadis itu ke dapur. Tudung saji dihempas.

“Kau dah masak? Mana? Mana?” Ditunjal kepala gadis itu. “Menipu aje kerja kau. Dari kecil sampai besar tak pernah berubah. Kerja tahu nak mengusahkan aku aje.”

Adra mengeluh perlahan. Pasti makanan yang dimasak telah dihabiskan oleh adik-beradik tirinya. Padahal awal-awal dia sudah pesan supaya tinggalkan sedikit lauk. Teringat lauk yang disimpan untuk ayah, dia segera menuju ke almari. Keluhan kali kedua terbit apabila melihat mangkuk kosong. Tahu-tahu saja dia ada simpan lauk.

“Ayah kau tu miskin tapi kau gatal nak sambung belajar. Dah habis belajar kau menganggur. Kau ni memang anak tak guna!” Marah Mak Cik Melur masih bersisa. Adra hanya senyap. Dia sudah terbiasa. Kini dia sudah tidak rasa apa-apa lagi. Jalan terbaik dengar saja amarah Mak Cik Melur dan jangan sesekali melawan.

“Bila kau nak cari kerja? Nak duduk rumah suruh aku bela ke? Belajar masuk universiti pun tetap bodoh jugak. Aku ingat habis belajar terus boleh kerja.”

“Mak cik, Adra dah cari kerja cuma belum dapat lagi. Adra pun baru tiga hari duduk rumah.” Tak sampai seminggu dia balik, ini habuan untuknya. Dia tahu Mak Cik Melur marah disebabkan tidak puas hati dia berkeras mahu sambung belajar. Katanya membazir duit.

“Alasan kau aje. Kerja kampung banyak. Kau kerja aje cuci pinggan kat kedai makan. Buat air ke… Kau tu aje yang berlagak. Mentang-mentang ada ijazah, tak nak kerja kampung. Geli sangat. Kau nak tunjuk kat semua orang yang kau ni cerdik. Buat malu aku aje habis belajar duduk rumah.”

“Mak cik nak makan? Adra masakkan untuk mak cik.” Adra mematikan topik.

“Tak payah. Tengok muka kau tu menyakitkan hati aku aje.”

Adra masuk bilik sebaik sahaja Mak Cik Melur beredar. Dilabuhkan duduk di katil bujang. Inilah bilik yang dihuni sebaik sahaja kematian ibu. Apa yang terjadi, dia terima dengan reda. Ini hidupnya dah hanya dia yang boleh ubah masa depan. Sebab itu dia tekad untuk sambung belajar walaupun ditentang keras oleh Mak Cik Melur.

Dia tahu hanya dengan pelajaran hidupnya boleh berubah. Takkan selamanya dia mahu hidup begini? Dia mahu bahagiakan adik dan ayah yang bersusah payah menjaganya. Dia tidak mahu harap belas ihsan orang lain. Setelah empat tahun di alam universiti, akhirnya dia berjaya menamatkan pelajaran. Air mata menjadi saksi betapa sakitnya dia untuk habiskan tempoh itu. Kini hidup barunya akan bermula. Segulung ijazah diharapkan mampu memberi sinar dalam hidupnya.

Adra bersandar di kepala katil. Bilik ini dikongsi bersama Adwa. Tapi memandangkan adiknya juga sedang sambung belajar, maka tinggallah dia seorang diri. Adwa hanya balik pada cuti semester. Ada baiknya begitu. Kalau Adwa balik setiap bulan pasti akan jadi orang gaji Mak Cik Melur.

Baru tiga hari dia pulang. Alhamdulillah, air matanya tidak tumpah. Sengaja dia buat tak dengar dengan amarah, amukan, tengkingan dan ejekan Mak Cik Melur. Melihat ayah membuatkan dia jadi kuat. Ayah penyebab dia pulang. Masuk tahun ini sudah 15 tahun ayah kahwin dengan Mak Cik Melur.

Sebelum kahwin dengan ayah, Mak Cik Melur merupakan janda yang dicerai. Kerana kesian dengan hidup wanita itu, ayah ambil Mak Cik Melur jadi isteri. Tiga orang anak Mak Cik Melur dengan suami pertama ialah Abang Mazwan, Maria dan Marlisa. Dia hanya rapat dengan Marlisa. Yang dua lagi selalu cari masalah dengannya.

Fikirnya apabila umur makin meningkat mereka akan berbaik. Tapi masa tidak merubah keadaan. Tetap sama seperti dulu. Biarlah, dia tidak kisah.

Kuala Lumpur…

PINTU dibuka. Melihat ruang tamu yang sunyi, Nazriel mengerutkan dahi. Mana semua orang? Salamnya tidak dijawab. Dia melangkah masuk lalu merebahkan diri di atas sofa empuk. Laju tangannya menarik tali leher dan dibuka dua butang atas baju kemeja. Penat sungguh seharian bekerja.

“Papa…”

Baru sahaja memejamkan mata, namanya dipanggil. Sekelip mata seorang anak kecil menerjah duduk di atas pangkuannya.

“Argh, berattt…”

“Yeah, papa dah balik.”

Dicium pipi dan rambut anaknya. Kembang kempis hidung mencium aroma wangian Carrie Junior, pasti baru lepas mandi. “Nufail pergi mana? Papa ingat Nufail pergi taman.”

“Nek Ros tak larat nak pergi. Nanti kita pergi taman ya, papa.”

“Ya…” Nazriel berjanji. Apabila melayan telatah Nufail, penatnya terus hilang. Tiada istilah penat untuk melayan kerenah anak tunggalnya.

“Kenapa papa balik lambat? Nufail tunggu papa dari tadi. Nek Ros cakap papa banyak kerja.” Petah Nufail berbicara. Tidak padan dengan umurnya yang baru enam tahun.

“Papa kerja cari duit untuk Nufail. Nanti papa ada duit, boleh beli mainan.” Anaknya jenis yang mudah faham. Sejak kecil lagi Nufail tidak banyak ragam. “Nek Ros mana?”

“Ada ni…” Muncul seorang wanita berusia 55 tahun sambil membawa sebuah beg kecil. “Che Ros balik dululah. Dah lewat ni. Nanti tak ada bas.”

“Suami Che Ros tak ambil?” Che Ros merupakan pengasuh Nufail. Sudah empat tahun wanita itu menjaga anaknya. Nufail agak takut dengan orang yang tak dikenali tapi dengan Che Ros, anaknya sangat rapat dan manja. Nufail tahu siapa yang menjaganya masa kecil.

“Dia ada kerja sikit. Kereta pula ada masalah.”

Teringatkan sesuatu terus Nazriel mengeluarkan sampul berwarna putih dari dalam beg.

“Awalnya bagi gaji bulan ni?” Terkejut Che Ros.

“Rezeki awal. Kiralah dulu.”

“Hesy, tak payahlah. Selama Che Ros kerja sini, Azriel tak pernah salah bagi. Kalau kurang pun Che Ros halalkan.” Jujur Che Ros berkata. Sangat untung kerja dengan Nazriel. Lelaki itu jenis tidak kedekut dan tidak berkira. Kadang-kadang dia naik segan. Kerjanya mudah tapi gaji lumayan.

“Walaupun Che Ros tak kira tapi Che Ros tahu mesti kamu bagi lebih. Nampak tebal semacam aje.”

Nazriel ketawa. “Anggap aje saya sedekah. Saya tahu bukan mudah nak jaga Nufail ni. Kalau orang yang dia suka, manja dia lain macam sikit. Asyik nak berkepit aje. Sampai tak boleh buat kerja.” Ketika Che Ros jaga Nufail, anaknya baru dua tahun. Cepatnya masa berlalu.

“Tak susah pun nak jaga. Yang penting kena baik dengan dia dulu baru dia baik dengan kita. Okeylah, Che Ros balik dulu. Che Ros dah masak. Nanti Azriel makanlah. Nufail dah makan tadi. Che Ros suruh tunggu Azriel tapi dia tak nak.”

“Nak saya hantar tak?” pelawa Nazriel. Kesian wanita itu tunggu bas.

“Tak apa. Azriel rehat aje. Nanti nak bawa Nufail pergi taman.”

Pintu rumah ditutup sebaik wanita itu keluar. Dipandang Nufail yang ralit menonton TV. Apa lagi kalau bukan cerita kartun. Kali ini rancangan Boboyboi.

“Nufail, tadi kat tadika makan apa?” Sengaja dia tanya. Inilah teman berbualnya ketika di rumah. Selalunya kalau dia balik, ada saja cerita Nufail tentang apa yang terjadi di tadika. Tapi hari ini senyap pula anaknya.

“Cikgu bagi makan mi kari. Sedap sangat.” Ibu jari diangkat. “Papa…”

“Apa dia?” Kepala Nufail digosok perlahan.

“Minggu depan ada persembahan. Cikgu cakap datang kena bawak papa mama. Tapi Nufail tak ada mama…”

Dipandang anaknya yang muram. Bukan kali pertama Nufail bangkitkan hal ini. Sejak dia menghantar ke tadika, Nufail sudah pandai bercakap soal mama. Mungkin disebabkan faktor pergaulan.

“Tapi Nufail ada papa, kan?”

“Kawan-kawan Nufail semua ada mama, ada ibu, umi, kenapa Nufail ada papa aje? Nufail cakap Nufail ada Nek Ros. Diorang cakap diorang pun ada nenek.”

Hilang bicara Nazriel. Nufail sebesar ini pun sudah faham apa yang terjadi. Rasa bersalah muncul dalam diri. Kalau tidak kerana dia, pasti kehidupan Nufail akan sempurna. Fikirnya apa yang dibagi selama ini sudah cukup. Rupanya dia silap. Nufail rindukan kasih sayang seorang ibu. Ini semua salahnya.

Tapi dia tidak minta semua ini terjadi. Sehabis daya dia pertahankan masjid yang dibina. Apa guna kalau hanya dia yang berusaha. Sakit dan kecewa yang dia dapat.

“Nufail, jom kita pergi taman.” Nazriel bangun lalu mendukung anaknya. Lama-lama Nufail akan faham apa yang dia buat selama ini.

ADRA menghentikan langkah sebaik sampai ke ruang tamu. Dia mengeluh melihat tempat yang seperti baru dilanda tsunami. Pasti kerja Radi. Anak kepada Abang Mazwan. Memang dia yang kena kemas. Malas fikir panjang, satu per satu mainan kembali disimpan.

Sesekali matanya mencari Abang Mazwan tapi tidak kelihatan. Entah ada di dalam bilik atau pun sudah keluar. Kalau keluar pun bukan pergi kerja tapi melepak di kedai kopi. Dia sebenarnya tidak menggemari sikap panas baran Abang Mazwan. Lelaki itu tiada kerja tetap dan hanya melakukan kerja-kerja kampung. Itu dia tidak kisah. Tapi Abang Mazwan seorang yang pemalas. Hanya bekerja dua tiga hari kemudian berhenti.

Lelaki itu tiada rumah. Anak dan isteri semua tinggal di sini. Kak Lina, isteri Abang Mazwan pun tidak bekerja. Sampai bilakah penderitaan ayah akan berakhir? Sejak kecil ayah menjaga anak orang. Bila dah besar ingat akan membalas budi. Rupanya tidak.

Kalau ayah menegur Abang Mazwan suruh bekerja, pasti lelaki itu melenting. Sungguh tidak malu mereka suami isteri ditanggung oleh ayah. Dalam hati dia berdoa supaya segera dapat kerja. Dia mahu bawa ayah keluar dari sini.

“Adra, kau tak masak ke?”

Tersentak Adra apabila Abang Mazwan tiba-tiba keluar dari bilik. Nampak gaya baru lepas bangun. Anak dan mak perangai sama saja. Hidup untuk makan.

“Beras dah habis.”

“Kau pergilah beli.”

“Kejap lagi Adra beli. Tapi ikan tak ada.”

Disisir rambut yang kusut masai dengan tangan. “Belilah. Itu pun nak cakap kat aku.”

“Beras dah beli guna duit Adra. Ikan guna duit abanglah.” Berani pula dia balas walaupun tahu tengkingan yang akan dia dapat. Sebenarnya dia mahu Abang Mazwan sedar tentang tanggungjawab. Dia bukan jenis yang kedekut untuk beli barang dapur.

“Aku tak ada duit. Kau kan tahu aku tak kerja!” marah Abang Mazwan.

“Carilah kerja bantu ayah. Kesian ayah nak tanggung kita semua. Abang tak kerja, Kak Lina tak kerja… Sampai Radi pun ayah nak kena tanggung.”

“Makin berlagak kau sekarang. Kenapa kau tak kerja?”

Adra mengeluh. Dia malas nak tegur lebih-lebih apabila melihat wajah Abang Mazwan sudah berubah.

Abang Mazwan mendekat sambil menggaru leher. Sesekali mata hitamnya memandang ke luar rumah. “Ni kau ada duit ke? Aku nak pinjam sikit. Kak Lina kau suruh beli pisang cheese. Nanti aku tak beli dia merajuk.” Tapak tangan sudah ditadah.

“Adra tak ada duit. Duit yang ada pun untuk Adra belanja.”

“Aku pinjam RM20 aje. Nanti ada duit aku bayar balik.”

Bayar balik? Dia sudah tidak percaya. Duit ayah sudah berapa ribu Abang Mazwan pinjam. Sampai sekarang belum bayar. Kahwin pun boleh dikatakan separuh guna duit ayah.

“Adra masuk dulu…” ucap Adra. Panggilan lelaki itu dia sengaja buat tidak dengar. Malas nak layan.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203337/bila-hati-memilih-dia

[SNEAK PEEK] ALAHAI ANAK DAN MENANTU

ALAHAI ANAK & MENANTU Oleh Dhiyana

AYRA meringankan tulang membantu mak dan mak tam di dapur. Mak tam selepas bersarapan baru nak bertolak balik ke Ipoh. Nina langsung tak menampakkan batang hidung lagi. Dahsyat sungguh aura pengantin baru Nina dan Faisal. Dia dan Wafiy pun tak melekat selalu di dalam bilik.

Bunyi derapan kaki memijak anak tangga menarik perhatian Ayra. Dia berpaling ke arah tangga yang menghubungkan ruang atas dan juga ruang dapur di tingkat bawah. Seketika kemudian, terlihat batang tubuh Nina.

Serentak terngiang bisikan mak pagi tadi di cuping telinga. Ayra tertawa halus. Sungguh, memang kelakar! Itu yang akan dijadikan bahan untuk dia mengusik Nina sekejap lagi.

“Tu dia, pengantin! Matahari dah terpacak ataih kepala baru nak keluaq bilik. Punya ulit laki sampai tak mau keluaq,” perli mak tam yang sememangnya bermulut pedas.

Ayra yang berada di dapur turut terasa hati dengan sindiran mak tam. Dia memandang mak yang sedang menggoreng cucur di dapur. Apabila pandangannya dan mak beradu, mak gelengkan kepala. Dia faham isyarat daripada mak. Biarkan saja.

Nina pekakkan telinga dan menghampiri Ayra yang sedang membancuh air. Telinga dia dah lali dengan sindiran mak saudaranya. Buat betul disindir. Buat salah pun disindir. Cara paling senang, pekakkan telinga.

“Baru nak keluaq bilik? Kan dah kena berletiaq,” tegur Ayra perlahan.

“Dah keluaqlah awai tadi. Siap keluaq rumah pi cari pucuk jambu lagi. Faisal sakit perut. Entah apa yang dia makan semalam. Cirit sejak subuh tadi,” jelas Nina, membela diri.

“Sakit perut? Tapi semalam seronok punya dok parti.” Giliran Ayra menyindir.

Nina tersengih-sengih.

“Malam ni nak tidoq hampaq Toto kat bawah. Jangan tidoq atas katil,” pesan Ayra dengan nada perlahan.

“Awat?” Nina terpinga-pinga.

“Semalam mak dan ayah tak boleh nak tidoq. Mak kata dengaq bunyi katil nak roboh.”

“Hah?!” Serta-merta riak wajah Nina berubah. Buntang kedua-dua belah mata. Mulut pula terlopong. Namun hanya seketika. Mulut yang terlopong beransur-ansur menjadi sengihan nakal. Ditekup mulut dengan tangan daripada terhambur tawa.

“Serius?”

“Nina ingat Kak Ayra main-main ka? Mak sendiri cakap kot.”

Nina ketawa mengekek.

Ayra menepuk dahi. Aihhh… Bukannya dia nak ada rasa malu atau segan. Boleh pula dia ketawa. Allahuakbar! Dah sah-sah perangai selamba ni datang daripada mak.

“Tu…” Bibir Ayra terjuih ke pangkal bahu Nina yang ditampal plaster luka.

“Kena tokak dengan Dracula,” jawab Nina selamba.

Ayra menggelengkan kepala. Nak cover cop mohor punya pasal, boleh pula tampal plaster luka. Alahai… Otak geliga!

“Abang Wafiy mana? Tidoq lagi?”

“Dia awal-awal pagi lagi dah ikut Syafiq masuk kebun pisang. Ada orang nak beli pisang dua tandan. Lepas tu, mak suruh Syafiq korek ubi kayu untuk bagi kat mak tam,” jelas Ayra. Beria-ia sungguh Wafiy pagi tadi nak ikut Syafiq ke kebun pisang. Nak dihalang, kesian pula. Turutkan ajelah.

“Abang Wafiy tahan ka dengan nyamuk? Kan balik satgi berbirat badan.”

Ayra tersenyum senget. “Biaq pi kat dia. Bukan tak habaq, dah habaq. Dia ketegaq juga nak ikut Syafiq.” Bukan dia tak pesan, tapi Wafiy nak juga ikut Syafiq. Jangan balik nanti Wafiy mengadu badan berbirat dahlah. Memang aku akan tambah birat kat badan tu lagi.

“Faisal sakit perut lagi, Nina?” Hasmah menyoal. Awal-awal tadi Nina kelam-kabut cari dia beritahu pasal keadaan Faisal. Entah apalah si menantu kedua makan semalam sehingga sakit perut memulas pagi tadi.

“Dah kurang, mak. Dok tidoq lepas minum ayaq pucuk jambu,” jawab Nina.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Mereka berempat menyahut serentak. Masing-masing beralih memandang ke pintu dapur.

“Ya Rabbi! Awat tu Wafiy?” Terkejut bukan kepalang Hasmah apabila meihat Wafiy dengan pakaian kotor.

“Tertonggeng masa nak cabut ubi kayu tadi,” jawab Syafiq sambil tertawa kecil. Kemudian disahut pula dengan mereka yang lain di dapur.

“Ada luka kat mana-mana tak?” soal Ayra.

“Tak!” jawab Wafiy.

“Pergi mandi. Kejap lagi dah boleh makan,” arah Ayra, lembut.

“Okey.” Laju saja Wafiy beredar dari ruang dapur.

Selepas mak tam sekeluarga berangkat pulang ke Ipoh, barulah Nina dan Ayra berasa lega dan boleh bergerak bebas di dalam rumah sendiri. Kalau tak, mak tam asyik perhatikan saja gerak-geri mereka berdua.

“Ayah mana, mak? Tak balik dari kandang lagi ka?” soal Nina.

“Balik sat ja tadi. Lepas tu pi balik. Lembu dengan kambing nak beranak hari ni. Kalutlah ayah hang pun,” jawab Hasmah yang turut menyertai anak dan menantu di meja makan.

“Anak Jibam ka, mak?” Ayra pula menyoal.

“Yalah kot! Jibam ja yang berpotensi dalam banyak-banyak lembu jantan kat situ,” balas Hasmah dengan selamba.

Huk! Huk! Tersedak Wafiy dengan jawapan mentuanya. Terutama sekali apabila disebut potensi. Mesti Jibam ni lembu jantan yang paling digilai dalam kalangan lembu betina.

“Makan pelan-pelan, Wafiy. Cucuq ni tak dak kaki nak lari,” tegur Hasmah.

Ayra bertindak mengurut belakang Wafiy supaya batuk kembali reda. “Nak air kosong tak?”

Wafiy hanya sekadar mengangguk. Tekak rasa tak selesa untuk teguk air panas. Batuk membuatkan tekak terasa perit tiba-tiba.

Ayra lantas bertindak mengambil air kosong untuk Wafiy. Belakang tubuh Wafiy kembali digosok.

“Okey,” ujar Wafiy apabila tekak terasa pulih semula.

“Lepas ni kita pergi kandang lembu nak tak? Tengok Jibam,” ajak Ayra. Idea nakal mula muncul di dalam kepala. Dia tahu pasti Wafiy belum pernah lagi menjejak kaki ke kandang lembu.

“Okey!” Wafiy ikutkan saja ajakan Ayra. Inilah masanya dia nak lakukan aktiviti di kampung. Selepas ni, dah kembali semula ke Sabah.

Ayra dan Wafiy hanya menunggang motosikal untuk ke kandang lembu dan kambing. Ketika mereka tiba di sana, kambing belaan ayah Ayra sudah pun melahirkan anak. Hanya lembu saja yang masih dalam proses meneran. Ayra mengheret Wafiy untuk melihat proses tersebut.

“Apa tu?” Wafiy merenung ke arah tepi kandang.

“Itu… lembu betina tengah teran nak lahirkan anak. Proses dia sama aje macam manusia. Baby dok dalam kantung. Bila dah keluar nanti, kantung tu akan pecah,” jelas Ayra. Sejak kecil lagi dia selalu ikut ayah ke kandang untuk membantu ayah. Kadangkala semasa proses melahirkan anak lembu atau anak kambing, dialah orang pertama yang paling teruja.

“Awak tengok tu… dah terjulur kaki.” Jari telunjuk Ayra serentak dituding ke arah ibu lembu yang sedang menahan kesakitan.

Wafiy melarikan pandangan ke arah lain. Dia tak sanggup untuk tengok proses tersebut. Air liur ditelan berkali-kali untuk menghilangkan rasa mual yang tiba-tiba terasa di tekak.

“Kalau awak nak tahu, ibu lembu pun turut rasa sakit semasa proses melahirkan anak lembu. Nak teran, kuat. Awak boleh dengar dia meraung. Sama juga macam manusia. Terasa sakit semasa proses meneran baby keluar.” Anak mata Ayra masih lagi terpaku memandang ke arah lembu betina. Ayah dan seorang pekerja kandang sedang menenteramkan lembu betina tersebut.

Sementara Wafiy pula sudah berkerut muka menahan gelodak dari dalam perut. Wajah dah dibasahi peluh. Dia tak mampu lagi nak bertahan. Tekak terasa dijolok untuk memuntahkan keluar segala isi.

“Awak… anak lembu dah nak keluarlah!” Ayra bersorak. Dan serentak Wafiy turut memuntahkan keluar sarapan pagi tadi.

“Uwekkk!”

Ayra tercengang! Namun hanya beberapa saat saja. Kemudian dia tertawa pula. Belakang tubuh Wafiy digosokgosok. Dah agak dah! Dasar ikan bilis bandar!

“Okey tak ni?” tanya Ayra. Tangan masih lagi menggosok belakang tubuh Wafiy.

“Okey! Okey!” Wafiy mengangguk lemah. Takkanlah dia nak mengaku tak okey pula? Malu kut! Pertama kali tengok lembu betina melahirkan anak dia dah termuntah. Macam mana kalau Ayra minta dia teman di dalam labour room nanti? Mahu pengsan dia dibuatnya!

Wafiy mengeluh kecil. Dia tegakkan tubuh semula. Anak mata memandang lembu betina yang masih lagi terbaring dengan anak lembu yang masih lagi belum keluar sepenuhnya. Tiba-tiba dengan sekali tolakan anak lembu tersebut keluar sepenuhnya bersama-sama cecair melekit. Dia tak mampu lagi untuk berdiri. Serentak pandangan terasa kelam.

Ayra cepat-cepat menyambut tubuh Wafiy daripada melorot jatuh. Dia panik seketika. Kelibat ayah dicari.

“Ayah! Ayah!” Berkali-kali dia menjerit memanggil ayah.

“Allahuakbar! Awat ni, Ayra?” Karim meluru ke arah Ayra. Wafiy pula sudah terbaring di atas tanah.

“Menantu ayah pengsan tengok lembu beranak.” Ayra tertawa kecil.

“Baru tengok lembu beranak. Belum tengok bini beranak lagi. Aihhh… Macam-macam.” Sempat lagi Karim mengomel. Menantu… Menantu…

Kejadian di kandang lembu membuatkan ahli keluarga Ayra ketawa. Wafiy pula sudah tersipu-sipu malu. Apabila terkenangkan kejadian di kandang lembu umpama mimpi ngeri buat dia. Nak makan pun tak ada selera. Jenuh dia menolak ajakan Ayra dan mentua.

Pada waktu petang, ubi kayu rebus cecah kelapa parut hanya dimakan sedikit untuk mengalas perut. Pujukan Ayra langsung tak meninggalkan bekas. Hilang selera dia dibuatnya apabila diingati semula proses tersebut.

Makan makan pula, roti kering dicecah teh O panas. Pelawaan Syafiq nak belikan dia burger pun ditolak. Bukan tak lapar… lapar! Tapi apabila teringatkan proses tu… terbantut selera makan.

Ayra memandang Wafiy yang sedang termenung di atas katil bujang. Malam ni terpaksalah mereka berdua tidur berhimpit lagi. Lori kedai perabot rosak pula petang tadi. Tak dapatlah dia nak merasa tidur di atas katil baru malam ni.

Ayra menghampiri dan perlahan-lahan merebahkan tubuh di sebelah Wafiy. Lengan Wafiy ditarik untuk dijadikan bantal. Mereka berdua diam menyepi sambil masing-masing merenung kipas siling yang ligat berputar.

“Lapar tak?”

“Hmmm…” Wafiy mengangguk.

“Dah tu nak makan apa?” Ayra pun buntu. Suami lapar. Apabila ditanya nak makan apa, dibalas dengan gelengan kepala. Macam mana nak kenyang?

“Nak makan isteri saya,” jawab Wafiy, lemah.

Ayra tersenyum nipis. Jawapan ni lain sikit.

“Senyap tanda setuju,” seloroh Wafiy. Kalau dapat green light, perut lapar pun dia dah tak kisah. Automatik jadi kenyang!

“Tak payah nak gatal sangat,” tempelak Ayra. Pipi Wafiy turut ditolak lembut. Mereka berdua sama-sama ketawa kecil.

“Dah tanya nak makan apa. Dah saya jawab, kata saya gatal pula,” bidas Wafiy, tersenyum meleret. Tubuh Ayra dipaut dan ditarik rapat ke tubuhnya. Kepala Ayra sudah beralih tempat di dada.

Cuppp! Terasa bibir lembap melekap di pipi. “Sorry eh pasal tengah hari tadi. Tak tahu awak lemah semangat.”

Spontan idea mengusik mengetuk kotak minda. Wafiy tersenyum senget.

“Kena cium tiga kali baru saya maafkan awak,” pinta Wafiy. Sekejap lagi pasti Ayra akan terasa kulit muka pijar semacam.

“Ala…” Ayra merengek. Nada suara kedengaran manja.

“Aippp! Jangan bantah cakap suami.”

“Hmmm…” Ayra menggumam panjang pula. Nak cium pula! Kan jadi lain nanti.

Cuppp! Sepantas kilat Ayra melekap bibir sekali lagi di pipi Wafiy.

“Dua! Lagi sekali.” Wafiy melihat gelagat Ayra dengan ekor mata. Dia ternanti-nanti gerakan Ayra seterusnya.

Bibir kembali didekatkan. Belum sempat bibir mendarat di pipi, tiba-tiba Wafiy berkalih muka. Dan… ulas bibir Ayra bertemu dengan ulas bibir Wafiy. Terbuntang kedua-dua belah mata. Cepat-cepat tangan merayap di perut Wafiy.

“Arghhh! Aduh, Ayra…” Terlepas pagutan di bibir Ayra. Sesungguhnya, Ayra lebih cepat bertindak. Terlupa dia tentang cubitan berbisa si isteri.

“Ambil kesempatan! Nilah balasan dia.” Cubitan dipulas. Geram aihhh, aku! Konon nak tiga kali ciuman. Akal aje semua tu!

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203336/alahai-anak-dan-menantu

[SNEAK PEEK] KEKASIHKU JANGAN MARAH

KEKASIHKU JANGAN MARAH Oleh Zan Zarida

HARI ini, Safi akan menghadiri temu duga untuk jawatan pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta. Dia sudah bersedia sejak semalam lagi.
Blaus dan seluar siap licin bergosok. Dia akan memakai tudung yang dibeli di gerai tudung Pasaraya Tesco. Tudung berwarna biru itu mudah dan selesa dipakai. Tidak payah susah-susah hendak gosok dan pin. Sarung sahaja, sudah terletak elok tanpa perlu lilit sana sini.
Begitulah Safi yang suka pada sesuatu yang ringkas dan praktikal. Dia paling tidak suka membuang masa bersiap lama-lama. Wajahnya sudah cukup sempurna dan tidak perlukan solekan tebal. Apa yang penting adalah keyakinan diri yang datang dari dalam dan bukan bergantung pada faktor luaran yang selalunya tidak kekal lama.
Minggu lepas, staf Syarikat Excel yang beribu pejabat di Wisma IJH, Ampang Avenue telah menghubunginya dan beritahu tarikh dan waktu temu duga.

Seawal jam 8.00 pagi lagi dia keluar rumah kerana tidak mahu terlambat. Biar cepat sampai, asal jangan terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Sebaik tiba di syarikat itu, sudah ada beberapa orang calon yang sedang mengisi borang di hadapan kaunter penyambut tetamu. Ingatkan dia datang awal, rupanya ada yang lebih pantas daripadanya. Dalam hati dia berdoa semoga ada rezekinya bekerja di sini.
Setelah menyapa penyambut tetamu dan perkenalkan diri, Safi juga diberikan borang untuk diisi. Tanpa membuang masa, dia menulis maklumat yang diminta dalam borang tersebut. Dia tidak mengambil masa yang lama, siap sahaja terus diserahkan kepada penyambut tetamu tadi. Resumenya juga dikepilkan sekali walaupun sebelum ini dia sudah hantar melalui e-mel.
Kemudian Safi duduk di sofa menanti giliran bersama calon yang lain. Lebih setengah jam juga dia menunggu, barulah namanya dipanggil. Dia melangkah penuh yakin menuju ke bilik temu duga. Memandangkan pintu sedia terbuka, dia terus masuk dan memberi salam.
Dua orang lelaki serentak menjawab salamnya. Salah seorang kelihatan begitu serius memandangnya. Safi berasa tidak selesa apabila diperhati begitu. Bertambah gusar apabila dirinya tidak dipelawa untuk duduk.
“Safi Awadah Bt. Ismail?” tanya lelaki berwajah serius.
“Saya encik,” sahut Safi sambil menanti soalan yang akan dikemukakan.
Pada masa yang sama sempat juga dia menelek wajah lelaki itu. Memang lelaki yang memenuhi cita rasanya. Walaupun nampak tegas, tetap ada aura tersendiri.
“Terima kasih sebab berminat bekerja di syarikat ini. Tapi maaf, awak tak berjaya dalam temu duga ini.”
“Hah?” Safi membulatkan matanya. Dia dipanggil temu duga semata-mata hendak mendengar perkataan ‘anda tidak berjaya?’ Buang masa sahaja dia datang ke sini!
“Awak tak berjaya,” ulang lelaki itu.
“Apa ni, encik? Encik tak temu duga dan tak tanya saya apa-apa soalan pun. Alih-alih beritahu saya tak berjaya?” soal Safi yang terkejut dan tidak berpuas hati dengan apa yang baru lelaki itu sampaikan.
“Siapa awak nak pertikaikan keputusan saya?” balas lelaki itu sambil meletakkan borang yang Safi isi tadi ke tepi.
“Tak ada la… paling-paling pun tengoklah dulu resume saya. Tanya soalan dan pengalaman saya, lepas tu barulah buat keputusan.” Safi cuba mengawal suaranya.
“Ini syarikat saya, suka hati sayalah nak pilih siapa!” Wajah lelaki itu turut berubah apabila Safi bagai sengaja menaikkan darahnya.
“Penat aje saya bersusah payah datang ke sini. Lebih baik tak payah telefon suruh datang temu duga! Dahlah lama kena tunggu giliran, tak sampai seminit dah kata saya tak berjaya?” Safi membebel dengan rasa geram.
“Dah habis cakap?” sindir lelaki itu pula.
“Encik memang tak adil buat saya macam ni, tau tak?” marah Safi, bagai terlupa dengan siapa dia berbicara. Tiba-tiba dia beremosi pula.
“Mona!” jerit lelaki serius itu dengan suara yang agak kuat.
Tidak lama kemudian, seorang wanita bergegas masuk. “Ada apa bos?”
“Sila tunjuk jalan keluar pada Cik Safi Awadah ni,” arahnya tanpa memandang Safi mahupun perempuan yang bernama Mona itu.
“Baik bos,” jawab Mona kemudian memandang Safi. Dia mempersilakan gadis itu untuk keluar dari bilik temu duga dengan isyarat tangan.
“Sampai hati encik buat saya macam ni. Tak apa, hari ni hari saya. Suatu hari nanti akan tiba hari encik pulak. Masa tu baru encik tahu apa rasanya bila ditolak tanpa sebab,” ujar Safi penuh kesal.
“Maaf ya. Saya takkan bekerja dengan orang lain, Cik Safi Awadah!”
“Huh, jangan sombong! Tengok gaya, memang sah encik ni tak kahwin lagi dan tak cukup kasih sayang, kan?” perli Safi dengan beraninya.
Lelaki itu angkat kening dan cuba menahan rasa marahnya. Bengang apabila Safi timbulkan isu yang tiada kena-mengena langsung.
“Encik jugak tak lepas dari ditemu duga bakal pak mentua. Saya doakan encik jadi sewel sebab tak ada yang akan terima encik jadi menantu. Tak pun, terus bertukar jadi serigala jadian sebab tak puas hati!” sambung Safi dan terus berlalu. Puas sungguh hati dia dapat kenakan lelaki berlagak itu.

****

SETELAH gadis itu beredar, Idan melepaskan keluhan. Dia turut menggeleng beberapa kali. Ketika ini memang berbagai perasaan yang datang menyerangnya. Marah dan geram sudah tentu, tetapi ada sesuatu yang buat dia berasa galau di hati.
Seketika dia menoleh di sebelahnya.
“Apa pandang-pandang?” Idan terus menegur Zahim, pengurus projek, merangkap sahabat baik dan sepupunya juga.
Zahim masih tersenyum. Geli sungguh hatinya dengan sesi temu duga sebentar tadi. Bukan senang hendak kenakan Idan Jauhari yang serius memanjang. Sekali kena tembak dengan gadis yang entah dari ceruk mana, terkejut dan terdiam juga lelaki itu.
“Lebih baik kau jangan nak gelakkan aku. Karang ada jugak yang kena humban dari tingkap tu,” ugut Idan pula. Tidak suka apabila Zahim asyik tersenyum-senyum. Memang sah lelaki itu sedang mengutuk dirinya dalam diam.
“Tahulah kau tu tengah tahan rasa geram, tapi janganlah sampai nak humban aku pulak,” balas Zahim dan cuba menahan dirinya dari tertawa.
Andai datang angin puting beliung Idan, teruk dia kena!
“Huh!” Idan mendengus.

Ini kali pertama dia kena sembur dan dimalukan. Nasib hanya Zahim dan dirinya yang ada dalam bilik itu. Kalau tidak, malu satu dunia. Memang satu minggu dia tidak masuk pejabat!
“Sebenarnya aku tak fahamlah dengan kau ni. Tak baik tau layan seorang gadis yang baik macam tu. Kau patut beri peluang kat dia. Dia bukannya tak ada kelulusan.” Zahim memberikan pendapatnya.
“Kau takkan faham dan tak pernah akan faham!” tegas Idan sambil membelek telefon pintarnya.
Ada mesej masuk daripada kakaknya yang mengajak dia makan tengah hari. Namun, dia terpaksa menolak kerana ada perkara yang perlu diuruskan.

“So, terangkanlah. Bukan setakat dia, aku pun tak puas hati,” ujar Zahim.
Dia memang tidak bersetuju langsung dengan tindakan Idan. Kasihan dengan gadis itu. Susah-susah datang temu duga, akhirnya ditolak tanpa sebab yang munasabah. Andai dirinya berada di tempat gadis itu, mahu sahaja dia mencapai borang yang diisi dan baling ke muka Idan!
“Aku mencari pembantu peribadi yang serba boleh. Banyak kriteria yang dia kena penuhi,” balas Idan mempertahankan keputusannya.
“Itu aku tahu, yang peliknya kau terus buat keputusan sebaik dia masuk bilik ni. Ke ada sebab lain?” tanya Zahim dan terus mencapai borang yang diisi oleh gadis yang bernama Safi Awadah itu.
Gambar berukuran pasport turut dikepilkan. Lama wajah gadis itu direnung dan diteliti. Hendak kata wajahnya pelik, gadis itu memang jenis yang sedap mata memandang. Tidak ada cacat celanya dan kategori cantik manis. Zahim cuba mengingat kembali perwatakan gadis itu, namun tiada apa-apa yang ganjil.
“Kau tak payah nak pertikaikan keputusan aku. Satu lagi, tak payah nak teliti sangat wajah dia tu. Dia tidak menyerupai sesiapa pun,” tegas Idan.
“Wajah mungkin tak. Tapi, hmm…” Zahim mula berkira-kira sendiri. Apakah telahannya betul?
“Dah! Bak sini borang tu,” pinta Idan.
“Kau teringatkan Sofea, ya?” duga Zahim.
“Boleh tak jangan mulakan?” marah Idan dan terus bangun menuju ke biliknya.
“Sorry…” ucap Zahim, namun otaknya ligat berputar. Ada perkara yang bermain di mindanya ketika ini.

Wajah Idan yang berubah sebaik dia menyebut nama Sofea bagai memberitahu satu petanda. Sofea… Safi… apakah kaitan mereka berdua? Atau ada kena-mengena dengan Zarith Suraya?
Setahu Zahim, ramai juga gadis yang pernah hadir dalam hidup lelaki itu. Namun, nama mereka dia tidak berapa ingat. Gadis-gadis itu datang bagaikan kereta lembu, pergi pula seperti jet!
IDAN menghenyak dirinya di kerusi. Tidak pasti apa sebenarnya yang membuat dirinya jadi tidak tentu arah begini. Perasaan hati bertambah bengang mengingatkan gadis yang telah membuat darahnya menyirap.
‘Huh! Dia doakan aku jadi sewel? Aku punyalah segak bergaya, boleh pulak dia sumpah aku jadi serigala jadian? Hisy, melampau sungguh. Memang tak patut!” Dia bersungut sendiri.

Walaupun cuba melupakan, Idan tetap berasa tercabar dengan bicara pedas gadis itu. ‘Anak dara siapalah dia tu? Sesuka hati dia sahaja bercakap ikut sedap mulut. Aku punya syarikat, suka hati akulah nak ambil siapa pun jadi staf. Yang dia emosi sangat tu, kenapa? Macamlah tak ada kerja di tempat lain.’
Dalam tidak mahu, resume gadis itu dipandang juga. Dalam sakit hati yang masih bersisa, foto gadis itu ditatap lagi. Ketika ini, Zahim juga pasti sedang berfikir yang bukan-bukan pasal dirinya. Tidak lama mana, cerita ini pasti sampai juga ke telinga kakaknya. Selepas itu, pasti uminya pula yang akan memberi kata nasihat kepada dirinya. Dia sudah boleh mengagak rentetan peristiwa yang bakal terjadi.
Insiden hari ini memang membuat moodnya bertukar tegang. Mujur sebelah petang dia tiada apa-apa janji temu dengan klien mahupun mesyuarat bersama mereka.

Mengingatkan projek yang masuk, buat kepalanya berserabut juga. Kononnya mahu mencari pembantu yang boleh meringankan beban tugasnya, kini ada perkara lain pula yang buat dia tidak tenteram.
Begitupun Idan tetap berasa pelik. Dari mana pula gadis itu dapat tahu yang dia masih belum berkahwin? Macamlah dengan melihat wajahnya sudah dapat membaca segala maklumat tentang dirinya. Tadi, dia memang sentap habis apabila gadis itu mengata dirinya tidak cukup kasih sayang. Itu memang dia tidak boleh terima. Mujur dia masih mampu mengawal perasaannya.

Mujur juga yang berbicara itu adalah kaum hawa. Rasa hormat masih wujud walau perasaan di hati macam gunung berapi. Andai yang berdiri itu kaum adam, memang penumbuk sudah naik ke muka!
Ketika dia cuba menenangkan dirinya, iPhonenya pula berbunyi. “Ya kak…?”
“Betul Idan tak nak makan tengah hari dengan kita orang?”
“Kita orang?” soalnya yang sedikit terkeliru.

Dia masih ingat kakaknya ada mengajak makan tengah hari bersama. Kini, bagai ada orang lain pula yang turut serta. Tetapi dia bukanlah kisah sangat kerana awal-awal lagi dia telah menolak.
“Apasal lain benar suara adik akak ni? Bergaduh dengan siapa pulak ni?”
“Tak ada apa-apalah. Idan memang ada hal.” Idan menjawab malas dan terus memutuskan talian. Banyak pula omelan kakaknya. Dalam keadaan sekarang dia memang malas hendak melayannya.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203275/kekasihku-jangan-marah

[SNEAK PEEK] NOTA CINTA ORIGAMI

NOTA CINTA ORIGAMI Oleh Ruby Hazri

PROLOG

Lima tahun lalu…

BARU beberapa jam tadi mereka berpamitan salam dan berkongsi gelak ketawa dalam kereta. Malah, pesanan isterinya masih kukuh terlekat dalam minda.

“Jangan lupa pula hadiah hari jadi tu.” Pandangan Aina Sophia sekilas mengerling tempat duduk belakang terutama pada sebuah kotak berbalut kertas comel.

Faris angguk, patuh.

“Hmm… Pandu kereta hati-hati, ya bang,” pesan isterinya.

Dia yang gemar berjenaka terus membuat aksi tabik hormat. Masih terngiang-ngiang ilai tawa wanita yang telah berkongsi kasih dengannya sejak lebih dua tahun lalu. Belakang tangannya masih terasa hangat ciuman isterinya. Namun dalam sekelip mata, panggilan dari ibu pejabat polis tiba-tiba meranapkan seluruh sejarah beberapa jam lalu. Aina Sophia sudah menjadi arwah.

Telefon bimbit dalam genggaman menggelongsor jatuh ke lantai. Sampul coklat di genggaman terjatuh dari tangan. Dirinya bagaikan hilang ampu untuk berdiri. Kepala lututnya berasa longgar. Jari-jemarinya menggigil tanpa sebab. Hanya sesekali telinganya mendengar sayup-sayup suara pegawai polis menyebut ‘helo’ berkali-kali dari telefon bimbitnya. Tapi, bibirnya tidak berupaya lagi mengeluarkan sepatah perkataan pun.

“Faris!” Satu suara memanggil namanya, nyaring. Zikri, rakan setugasnya berlari laju ke arahnya. Tubuhnya yang tadi kehilangan daya terasa dipaut untuk bangkit semula.

“Kenapa ni, Faris?” Tiada jawapan.

Zikri membantunya untuk bangun dan berjalan menuju ke bilik. Seluruh beban bagai dilepaskan ke dalam pautan tangan rakan setugasnya.

“Telefon aku.” Hanya dua patah kata itu mampu dikeluarkan. Itu pun kerana terpaksa demi melihat telefon bimbitnya tersadai di lantai.

Zikri berpusing ke belakang. Matanya berjaya menemui telefon bimbit temannya itu sedikit terlindung di bawah sehelai sampul surat coklat. Zikri mengambil lantas menerkap telefon itu ke telinga. Senyap. Taliannya telah terputus.

“Aina, Zikri!” Faris cuba menjelaskan beberapa minit kemudian.

“Okey… okey, kita masuk ke bilik dulu,” arah Zikri tidak mahu berbual di luar bilik ini. Menyaksikan keadaan Faris tadi yang hampir jatuh, Zikri tahu ada masalah besar telah menimpa sahabatnya ini.

Sebaik pintu bilik Zikri ditutup rapat, Faris terus memegang kedua-dua belah bahu Zikri. Kolam matanya rasa teramat berat kini.

“Aina meninggal dunia, Zikri.” Terketar-ketar suara Faris memaklumkan.

“Meninggal dunia?” Zikri terpinga-pinga. Tidak sanggup untuk dia mengucapkan innalillah… Fikirannya sendiri seperti tidak boleh menerima.

MELISSA mengelap bibirnya dengan napkin berona pic, sebelum meletakkan cermat di sisi kanan pinggan makannya. Dia mengerling sekilas lelaki di hadapan. Lelaki itu makan tanpa sedikit pun memandangnya. Cuma dia yang terhegeh-hegeh menolak rasa malu berbual itu dan ini. Melissa menyilangkan garpu dan pisau di atas pinggan yang masih berbaki lebih separuh daging stiknya. Setelah menyisip sedikit air putih dari gelas tinggi, dia tiba-tiba berdiri. Matanya memandang kiri kanan kurang selesa jika aksinya mendapat perhatian orang sekeliling ruang restoran.

Lelaki bernama Faris di hadapan terkejut. Menyedari ada beberapa pasang mata memberikan tumpuan kepadanya, dia memaniskan wajah serta-merta. Dengan tertib, dia mengambil tas tangan di sisi kerusi.

“I nak ke washroom sekejap,” pintanya lembut. Butir bicaranya tidak mendapat reaksi balas. Melissa mendengus geram.

Dengan langkah yang sengaja diatur gemalai, dia masih mampu menjaga gengsi saat berjalan menuju ke arah pintu bilik air. Mata-mata yang memerhati masih melihatnya sebagai seorang yang menjaga tertib. Langkahnya tidak terkocoh-kocoh seperti orang dikejar sesuatu. Adapun hatinya mendesak benar-benar untuk berlagak begitu.

Terlihat sahaja pintu tandas wanita, dia terus menerpa masuk. Nafas yang ditahan-tahan dilepaskan sepuas hati. Tapak kasutnya menghentak lantai jubin beberapa kali. Dia mengerang sakit hati.

“Bodoh! Bodoh!” Dia melepaskan kemarahan.

Rambut gaya Bob Hairstyle separas dada ikut mengerbang. Melissa membetulkan dengan jari-jemarinya. Kemudian, dia meraba-raba isi tas tangan Coach. Blackberry Classic dibawa keluar. Telunjuknya berlari-lari di skrin sesentuh sambil beralih ke cermin besar di singki. Wajahnya ditilik berkali-kali ketika menanti panggilannya bersambut. Sebelah tangannya masih membetulkan gaya rambut. Panggilannya tidak berjawab. Sekali lagi dia mencuba. Juga gagal.

Buat meredakan rasa sakit hati, bibirnya dilekap buat meratakan warna gincu yang mungkin tersisih ketika makan tadi. Alis mata dikuis. Mata dikelipkan beberapa kali kalau-kalau maskara tidak sekata. Kemudian, Blackberry Classic dimasukkan kembali ke dalam Coach. Tangannya mencari-cari benda lain di situ. Akhirnya, Chanel lipstik daripada jenis Rouge Allure Velvet dari warna 40 La Sensuelle dioles ke bibir. Lagi sekali kedua bibirnya melekap meratakan warna gincu. Bedak kompak daripada jenama sama juga dikeluarkan. Wajahnya mula nampak berminyak biarpun berada di dalam restoran berhawa dingin.

Belum sempat dia mendandan semula wajah sendiri, Blackberry Classic berbunyi nyaring. Bedak kompak diletak ke tepi. Sekali lagi dia meraba-raba tas tangan. Dia membetulkan suara terlebih dahulu setelah melihat paparan nama pada skrin pemanggil.

“Helo, mami!” Suaranya kembali mesra. “Ha’ah… Lisa call tadi,” jawabnya bersopan santun. “Masih kat restoran,” terangnya. Dia mula mengezip tas tangan sebaik bedaknya dimasukkan semula. Dia berjalan ke arah pintu keluar.

“Sekejap lagi.” Suaranya diiringi ketawa halus. Seolah-olah penawar sakit hatinya telah ditemui dengan hanya berbual dengan suara pemanggil bernama mami.

“Doa-doakan kami ya, mami.” Dia meletakkan sebuah harapan. Suaranya bersulam ketawa. Kakinya riang me­langkah semula ke dalam restoran. Matanya kembali bercahaya memberi perhatian kepada lelaki tampan yang duduk bersendirian di meja yang ditinggalnya sekejap tadi. Hati yang meronta-ronta sakit sebelum ini pulih dalam sekelip mata. Bibirnya mengoyak senyuman.

“YOU bawa kereta, kan? Tumpangkan I balik… tadi I datang dengan teksi.”

Faris tidak jadi melangkah. Tiba-tiba tubuhnya menjadi keras. Badannya secara automatik berpusing ke belakang.

“Apa?!” Kedua keningnya hampir bertaut. Matanya singgah sekejap ke wajah Melissa sebelum memandang kiri kanan. Mulut Faris sedikit terlopong. Dia tidak tahu hendak memilih perkataan apa. Hanya tangannya mencekak sebelah pinggang.

Melissa menggigit bibir sendiri. Dia tidak sedar mengeluarkan permintaan itu di depan lelaki seperti Faris.

“M… Mami yang…” Lontaran kunci kereta daripada Faris pantas mematikan ayatnya. Nasib baik juga dia sempat menyambut lontaran itu.

“Kereta aku di B1. Nanti kuncinya beri kepada mami.”

Bulat mata Melissa mendengar butir perkataan Faris. Belum pernah dia mendapat kata-kata dan cara sekeji itu daripada mana-mana lelaki. Sebal rasa hatinya. Mahu saja dia menendang lelaki yang sedang menuju ke pintu lif.

Namun, dia tahu siapa Faris. Faris bukan jenis lelaki romantik dan lemah lembut dengan perempuan. Sudah beberapa kali dia keluar dengan Faris. Melissa memandang kiri kanannya, kalau-kalau ada yang mengesani tindakan dia dimalukan. Mujurlah rakyat Malaysia ini jenis buat tidak kisah.

Melissa memilih menggunakan eskalator sahaja. Dia malu tiba-tiba untuk menggunakan lif. Segan untuk berhimpit-himpit di dalam lif dengan adanya Faris di situ. Ayat terakhir Faris jelas menunjukkan pertemuan mereka telah pun tamat.

Di depan pintu lif, Faris menoleh seketika pada Melissa. Perempuan itu sedang menapak ke arah eskalator ke tingkat bawah. Pintu lif terbuka. Faris tidak jadi memasukinya. Sebaliknya, dia menuju ke pintu masuk utama bangunan. Dia membawa keluar Samsung Galaxy S6. Ibu jarinya bergerak di skrin sesentuh. Nama Zikri dicari dalam senarai call log.

“Zikri, kau dah masuk pejabat?”

“Datang ambil aku sekejap.”

“Ya, sekarang.”

“Aku kat entrance.”

“Okey.”

Faris melepaskan keluhan. Gara-gara perempuan, dia harus menjarakkan hati sebegini rupa. Akibat daripada seorang perempuan juga, dia bukan lagi seperti Faris lima tahun dulu.

“SAJA-SAJA dia tu, Lisa.” Mami June cuba berdiplomasi. Suaranya dilunakkan. “Okeylah, nanti mami ke sana,” janji Mami June. “Jangan ambil hati sangat dengan Faris tu. Dia memang selalu macam tu. Tapi hatinya baik tau, Lisa.” Apa lagi yang mampu Mami June jual? Tentulah dengan perkataan baik itu sahaja untuk Faris. Sedangkan ‘baik’ itu telah beberapa tahun hilang daripada diri Faris.

Setelah beberapa ayat bertukar antara mereka dan berpamitan salam, Mami June menamatkan panggilan. Dia mengeluh kecewa. Nasib baiklah Faris tidak ada di depannya sekarang. Jika tidak, mulutnya ini mahu juga meluahkan kata-kata tidak puas hati.

Adakah patut Faris meninggalkan keretanya kepada Melissa? Dia sedarkah siapa Melissa itu? Dia ingat Melissa itu pemandunya atau mekaniknya? Lama berfikir, Mami June kembali ke dada komputer ribanya.

 

Jururawat Peribadi Wanita Diperlukan

Tugas menjaga seorang wanita yang sedang

koma berusia 57 tahun.

Keutamaan kepada wanita belum berumah tangga.

Waktu bekerja lima hari seminggu (8.00 pagi hingga 6.00 petang).

Tidak perlu memasak dan membuat kerja rumah.

 

Tugasan:

Membersihkan badan ( tukar lampin pakai buang, lap badan, syampu rambut, potong kuku dan beberapa lagi)

Membantu melakukan latihan pergerakan secara berskala setiap hari

Mengawasi keadaan pesakit dari semasa ke semasa.

Gaji : RM900.00 (sebulan)

Pengangkutan : RM10 (sehari)

Kerja lebih masa hujung minggu (Sabtu dan Ahad) : RM7 (sejam)

Makan minum disediakan

 

Masuk kali ini telah tujuh kali dia mengiklankan jawatan sama. Semuanya masih belum mendatangkan hasil. Belum ada seorang pun yang sanggup menyahut cabaran jawatan ini. Hendak menggaji pembantu rumah luar negara, dia kurang yakin. Malah di rumah ini, Mak Jah – pembantu rumah mereka semenjak dahulu lagi tidak pernah bertukar. Hanya disebabkan usia Mak Jah yang tidak lagi segagah dululah, Mami June harus mencari orang lain untuk menjalankan tugas-tugas rutin di kamar kakaknya itu.

Bukannya tidak ada langsung yang sanggup membuat kerja ini. Ada. Malangnya semua sempat bertahan untuk sebulan dua sahaja. Semuanya disebabkan mulut bisa anak saudaranya. Kalaulah ada robot yang boleh buat kerja macam itu, pasti dia tidak berhempas pulas mencari orang. Bila dia merungut begitu di depan anak saudaranya itu, Faris meradang.

Lagi sekali dia membaca iklan yang bakal diiklankan di akhbar nanti. Iklan sama juga dua bulan lepas. Hanya terdapat beberapa tambahan di imbuhan termasuk bayaran kerja lebih masa dan pengangkutan. Segala-galanya untuk menarik perhatian. Lumayan betul sekarang sumber pendapatan kerja di Malaysia.

 eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/203283/Nota-Cinta-Origami

[SNEAK PEEK] CUTENYA DIA!

CUTENYA DIA! Oleh Azleya Shadzalin

1

NAURA cuba untuk bangun. Menyeringai wajahnya menahan sakit sambil menekan buku lali. Pergelangan kakinya berasa perit kerana tersadung akar pokok getah semasa berlari tadi. Dalam kepekatan malam, pandangannya memang terhad. Dia main redah saja ketika itu bagi menyelamatkan diri. Dia cuba untuk bangun lagi, tapi kesakitan yang dirasakan membuatkan dia terduduk semula. Sakit bercampur ngilu. Namun apabila terdengar bunyi ranting patah dipijak orang tidak jauh dari tempatnya jatuh, dia gagahkan diri untuk bangun.

Dalam kepayahan, dia memaut sebatang pokok getah bersaiz sepemeluk yang berhampiran dan cuba untuk bangun perlahan-lahan. Bibirnya diketap bersama wajah yang berkerut menahan sakit. Mengalir air matanya, tapi dia tidak berani untuk bersuara. Dia memejamkan mata untuk seketika. Dia bimbang jika dia mengaduh kesakitan, kedudukannya akan dapat dihidu. Musnahlah hidupnya nanti. Itu tidak boleh berlaku. Sebab itu, dia sanggup meredah kepekatan malam, berlari di kawasan kebun getah yang sunyi itu semata-mata mahu menyelamatkan diri.

“Aduh!” rengeknya perlahan ketika kaki mula digerakkan.

Dengan sisa tenaga yang ada, dia paksa dirinya untuk melangkah. Terjengket-jengket dia menapak sambil sesekali menoleh ke belakang. Takut juga kalau dirinya ditemui saat itu. Ada ketikanya, dia menyeringai menahan sakit yang terasa. Pasti pergelangan kakinya terseliuh kesan tersadung akar pokok getah tadi. Dalam kesakitan, dia berdoa di dalam hati. Moga ALLAH menyelamatkan dirinya. Mohon agar dia dilindungi daripada mereka yang berhati kejam.

Terlihat saja sinar cahaya terang beberapa meter di hadapan, dia mula mengukir senyum. Itu bermakna, jalan raya sudah tidak jauh lagi. Berhati-hati dia melangkah agar tidak terpijak ranting kering. Sedikit bunyi saja pasti menjanjikan bahaya. Sesekali, dia menoleh ke belakang, memastikan yang dirinya tidak dapat dijejaki.

Pantas saja dia berlari ke tengah jalan raya bila terlihat sorotan lampu kenderaan. Dia berdiri di situ sambil menggoyangkan tangan ke kiri dan kanan dengan harapan agar kenderaan itu berhenti. Dia tidak pasti jenis apa kenderaan itu. Dia memang sudah nekad. Dia akan menahan mana-mana kenderaan yang lalu nanti. Itu saja usahanya. Lagipun, hari sudah lewat malam benar. Mana mungkin ada lagi bas atau teksi yang lalu di kawasan itu.

BEBERAPA meter di hadapannya terdengar decitan tayar kereta yang agak kuat kesan daripada tekanan brek secara mendadak. Serta-merta Naura memejamkan mata sambil menekup telinganya. Wajahnya membiaskan riak ketakutan. Saat itu, baru dia terfikir bahawa tindakannya berdiri di tengah jalan begitu bakal mengundang bahaya. Dibuatnya pemandu kenderaan yang datang tidak perasan akan dirinya, pasti dia akan dilanggar pula.

“Hoi! Nak mati, ke? Apa hal berdiri kat tengah jalan malam-malam buta macam ni! Dah tak sayang nyawa, ke?” sergah pemandu kenderaan itu. Gema suaranya memecah keheningan malam.

Naura membuka sedikit matanya. Dari jarak yang tidak berapa jauh, Naura dapat melihat yang lelaki itu tajam merenungnya. Marah sangatlah tu!

Dalam kepayahan, dia cuba melawan pancaran cahaya lampu yang menyuluh wajahnya. Sedikit perit matanya melawan sinaran cahaya itu. Tangan kirinya dihadang di depan muka, cuba menghalang cahaya itu terus memanah matanya. Dari celah-celah jemarinya, dapat dilihat sebuah kereta Honda Civic Type-R berwarna hitam gagah menjalar di depannya.

“Encik, tolonglah saya, encik. Saya dalam kesusahan. Tolonglah saya, encik,” rayu Naura sayu. Sudah hilang rasa segannya saat itu.

Sehabis saja dia menuturkan ayat itu, kereta tadi mengundur seperti mahu meneruskan perjalanan. Kereta itu memintasnya melalui sebelah kanan. Naura hampa. Terasa lemah seluruh tubuhnya. Tapi, perasaan itu tidak lama. Dia tersenyum gembira bila kereta itu diparkir di bahu jalan. Enjinnya dimatikan dan lelaki itu keluar dari kereta, berjalan perlahan dan menuju ke arahnya.

“Apa kena dengan awak ni? Tahan kereta orang tiba-tiba. Dah tu, terpacak kat tengah jalan ni, apa hal? Nasib baik saya tak langgar awak tadi. Kalau tak, dengan saya sekali dapat susah.” Lelaki itu bersuara sambil bercekak pinggang.

Wajahnya agak tegang. Mungkin marah dengan tindakan Naura tadi. Ah! Apa dia peduli. Nak marah, marahlah… Tapi, mata itu jagalah sikit. Janganlah tenung orang macam hendak membunuh. Renungan tahap beku tu!

“Encik, bawalah saya pergi dari sini. Saya nak keluar dari tempat ni. Tolonglah saya, encik,” rayunya lagi sambil matanya melilau.

Tangannya menggoncang lengan lelaki itu, minta dikasihani. Pertanyaan lelaki itu hanya dibiarkan sepi. Kerisauannya tidak pernah reda selagi dia belum dibawa keluar dari kawasan itu. Macam-macam boleh jadi.

“Saya tanya, awak tak jawab lagi. Apa hal pulak saya kena bawa awak keluar dari sini? Kenal awak pun tak.” Agak keras nada suaranya.

“Nanti saya ceritalah pada encik. Tapi sekarang ni, bawalah saya pergi dulu. Tolonglah saya, encik. Tolonglah saya…” katanya lagi, masih menggoncang lengan lelaki itu, mohon pengertian dan simpati.

Lelaki itu memandangnya dari atas ke bawah. Tajam.

Aduh! Ini yang lemah ni. Apa hal main ‘usha’ orang atas bawah? Bukannya makhluk asing pun. Oranglah ni!

Lelaki itu masih memandangnya. Matanya dikecilkan sedikit. Mungkin pelik melihat keadaan Naura yang agak tidak terurus dan terdapat kesan lebam serta luka kecil di beberapa bahagian tangannya. Baju yang dipakainya juga ada kesan terkoyak di bahagian bahu. Lepas itu, dia melihat Naura berjalan terjengkit-jengkit tadinya.

“Apa yang berlaku pada awak sebenarnya? Sorang-sorang jalan tengah malam kat kawasan sunyi macam ni, tak takut ke?” tanya lelaki itu lagi sambil memerhati kawasan sekeliling.

Di kiri dan kanan mereka hanyalah terlihat kebun-kebun getah dan sawit yang sunyi. Nasib baik perempuan yang diherdiknya itu menjawab bila ditanya. Nyatalah dia seorang manusia. Jika dibuatnya dia hanya senyap dan tunduk, tapi tiba-tiba mengangkat muka dengan mata yang merah menyala, serta muka yang sudah bertukar warna, tidakkah haru-biru jadinya?

Belum pun sempat Naura menjawab, mereka terdengar suara bising-bising tidak jauh dari situ. Naura jadi gelabah tiba-tiba. Riak wajahnya bertukar ketakutan. Pantas ditarik lengan lelaki itu agar masuk ke keretanya. Lelaki itu jadi bingung. Tapi, dia tidak mampu berbuat apa-apa kerana Naura sedikit menghimpit dan menghalang laluannya.

“Cepat, encik… kita pergi dari sini. Cepat! Tolonglah…”

“Hei, apa ni? Awak ni kenapa? Janganlah macam ni, nanti orang kata kita buat tak senonoh pula!” sahut lelaki itu sambil cuba menepis tangan Naura yang memegang tangannya. Naura sedaya upaya merayu agar lelaki itu membawanya secepat mungkin.

“Encik, tolonglah bawa saya pergi dari sini. Tolonglah…” rayunya lagi. Kali ini, air matanya sudah deras menuruni pipi. Tanpa sedar, Naura membenamkan wajahnya di dada lelaki itu sambil terus menangis hiba.

Lelaki itu tergamam. Timbul pula rasa simpatinya. Jika gadis ini tidak berada di dalam kesusahan, pasti dia tidak akan merayu sambil menangis begitu.

“Okey, kita keluar dari sini. Awak jangan macam ni. Saya tak selesa…” pujuknya lembut, cuba meredakan hati Naura.Namun, belum sempat mereka bergerak meninggalkan tempat itu, tangan Naura tiba-tiba ditarik kasar oleh seseorang. Hampir terjatuh Naura dibuatnya kerana tidak dapat mengimbangi diri. Lelaki tadi pula, terus ditarik keluar dan tersandar di keretanya sambil dikawal oleh beberapa orang yang lain.

“Eh! Apa ni?” soal lelaki itu sambil meronta-ronta minta dilepaskan. Kedua-dua tangannya dipegang kemas tika itu.

“Oh! Ni kerja kau ya, Naura? Buat perkara tak senonoh kat sini. Dengan orang luar pula tu! Kau tak tahu malu, ke?”

“Kau jangan nak tunjuk baik pula! Kau tu yang jahat! Kau nak tuduh aku pula! Kalau tak sebab kau, aku tak jadi macam ni, tau!” tingkah Naura bersama marah yang amat. Sudah tidak terbendung lagi kemarahannya saat itu. Melihat wajah Taufik, bagai melihat wajah syaitan bertopengkan manusia. Sakit hatinya.

“Apa pula aku? Ada ke bukti kau nak tuduh aku? Sekarang ni, kau dengan siapa? Aku atau lelaki ini? Siapa lelaki ni, Naura? Kekasih kau? Patutlah kau selalu keluar malam. Ini yang kau buat rupanya, ya? Memalukan keluarga!” jerkah Taufik, angkuh.

Bulat mata Naura memandang Taufik yang lantang menuduh dia.

“Apa ni, saudara? Jangan main tuduh-tuduh kalau tak ada bukti. Kami tak buat apa-apa pun,” bela lelaki itu bila dia dibabitkan sama dalam hal itu. Dia sudah dapat menghidu sesuatu kurang elok saat itu.

Paling dikesalkannya, secara tidak langsung dia terlibat sama. Inilah dia cari bala namanya. Kalau dia tidak berhenti tadi, pasti tidak terlibat dengan permasalahan ini. Aduh!

“Main tuduh apa pula! Dah jelas aku dengan kawan-kawan aku nampak kau orang berdua aje kat sini. Tempat sunyi, gelap pula tu. Dalam keadaan yang mencurigakan dalam kereta sambil bersentuhan. Pegang-pegang, peluk-peluk. Ni, baju Naura sampai koyak ni. Kau buat apa? Itu bukan bukti, ke? Imam, tengoklah sendiri. Betul tak apa yang Fik cakapkan tadi. Naura buat ‘hal’ kat kampung kita ni. Dia nak malukan kita semua.”

Imam terdiam buat beberapa ketika. Dia hanya memandang Naura dan pemuda itu silih berganti. Riak wajahnya tidak membayangkan apa-apa. Marah tidak, setuju pun tidak. Hanya bersahaja. Namun, di benaknya pasti segalanya berputar bagaikan roda. Menjana dan menimbal balik apa yang didengar dan dilihat dengan mata.

“Dahlah, Fik. Kita bawa mereka ni ke rumah aku dulu. Biar aku yang putuskan apa yang nak dibuat dengan mereka berdua ni,” putus pak imam akhirnya.

Kawan-kawan Taufik yang lain hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Taufik juga turut mengangguk.

Naura sudah rasa lemah lutut. Apa saja yang akan dia katakan saat itu, pasti tidak akan meraih perhatian sesiapa. Malah, kesalahan tetap memihak padanya. Silapnya juga. Tanpa sedar, dia dan lelaki itu sudah ‘bersentuhan’. Dia hanya cuba meluahkan keresahan. Walaupun dia tiada niat lain, tapi apa yang dilihat oleh orang, mereka telah melakukan kesalahan.

“NAURA tahu tak, apa yang Naura buat ni salah dan memalukan keluarga? Naura tu perempuan. Duduk berdua-duaan dalam kawasan sunyi dan gelap, apatah lagi dalam kereta macam tadi itu boleh menimbulkan syak. Tengok keadaan Naura macam ni, dengan baju yang terkoyak, lagilah tak elok, Naura.” Lembut Pak Cik Leman bertanya sekali gus menasihati anak saudaranya.

“Naura dengan dia tak buat apa-apa pak ngah, imam. Naura cuma nak minta tolong daripada dia. Memang Naura yang tahan kereta dia tadi, tapi kami tak buat apa-apa. Pak ngah patut tanya pada Taufik, apa yang dia nak buat pada Naura? Bukan tuduh Naura dan orang tu. Dia tak bersalah,” jawab Naura dalam esak tangis yang tidak mampu dikawal lagi. Sesekali matanya tajam menjeling Taufik yang tersenyum sinis.

“Hei, apa hal pula nak tanya aku? Dah nyata kau ada dengan dia masa tu, aku pula yang kau tuduh. Janganlah kau nak sembunyikan perangai buruk kau tu, Naura,” sindir Taufik. Sinis.

“Ha’ah. Kita orang pun nampak,” sokong kawan-kawan Taufik pula.

Tok imam tekun mendengar sambil mencelah sesekali.

“Kamu semua nampak ke dengan mata kepala sendiri yang anak aku ni lakukan perkara tak senonoh dengan lelaki ni? Apa yang kamu nampak? Ada kamu nampak mereka buat ‘apa-apa’ yang mencurigakan?” Mak Munah bersuara, membela Naura. Matanya dijeling ke arah Taufik. Tajam.

Taufik menunduk. Kawan-kawannya juga.

“Eh! Mak Munah ni… Dah sah-sah kami nampak Naura dengan budak lelaki tu berpelukan dalam kereta. Bukan nak buat perkara tak senonoh ke macam tu?” jawab salah seorang kawan Taufik.

Naura dan lelaki itu serentak memejamkan mata apabila mendengar tuduhan itu.

“Kalau ibu tak percaya, tanyalah imam. Imam sendiri nampak apa yang kami nampak. Memang memalukan!” tokok Taufik pula.

Mak Munah mencerun memandang Taufik.

“Kau, Taufik! Sepatutnya sebagai abang, kau melindungi adik kau ni. Tapi, kau pula yang nak menuduh dia beria-ia. Naura ni kau jadikan mangsa melepaskan kemarahan kau kalau kau tak dapat duit, kan? Sebab nak beli benda haram tu, sanggup adik sendiri kau pukul sampai berbirat badan dia. Lebam-lebam kau kerjakan. Ibu memang tak boleh nak buktikan apa-apa, tapi ALLAH tu Maha Mengetahui.”

“Ibu tak boleh tuduh Fik. Dah terang anak dara ibu yang menggatal dengan orang luar ni. Apa kena-mengena dengan Fik pula?”

“Ibu yang suruh Naura lari. Kau pun tahu apa sebabnya, kan?”

“Ibu cakap apa ni?” Suara Taufik sudah tersekat-sekat. “Naura dah buat tak senonoh pun, ibu masih nak sebelahkan dia lagi, ke? Ibu ni, kenapa? Kalau Fik nak tuduh dia tanpa sebab, kenapa pula lelaki yang entah dari mana asal usul ni ada dengan Naura kat tempat sunyi tu? Naura tu tinggal nak larikan diri aje tadi tu, ibu. Nasib baik Fik dapat tangkap mereka. Kalau tak, malu besar kita semua,” tokoknya lagi, melindungi diri.

“Ibu tahu apa yang berlaku. Ibu tahu Naura dan budak lelaki tu tak bersalah. Ibu tahu semuanya. Mungkin hari ni nasib tak menyebelahi Naura. Tapi, ibu tahu lepas ni hidup dia lebih aman jika dia jauh daripada kau, Fik.”

Sejak sampai di rumah tok imam tadi, keadaan sudah kecoh walaupun hanya keluarga Naura dan beberapa orang kawan Taufik yang ada pada ketika itu. Suara tingkah meningkah tidak henti-henti dari tadi. Paling kuat suara Taufik. Dia tetap menuduh Naura sudah melakukan perkara tidak elok dengan lelaki itu.

“Cukup! Dah, jangan nak menyalahkan satu sama lain. Kamu semua ni bukan orang lain. Anak-beranak juga. Macam nilah, ya. Aku ni sebagai orang tua, imam pula tu, bukan nak menyalahkan sesiapa. Tapi, kalau ikut apa yang aku nampak, ditambah pula dengan cerita oleh saksi-saksi yang melihat, Naura tetap dianggap telah melakukan kesalahan kerana berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan.

Sebenarnya, keadaan mereka tu sudah boleh mengundang prasangka dan memalukan walaupun mereka kata tak buat apa-apa. Keadaan mereka mencurigakan. Tuduhan tetap ada. Kamu tahulah mulut orang, kan? Jadi, macam mana pada pendapat kau Munah, Leman? Kalau ikutkan aku, baik kita nikahkan saja budak berdua ni. Selain nak tutup malu kamu sekeluarga, perkara ini sudah boleh dianggap selesai. Lebih elok begitu dari nanti akan menimbulkan fitnah.”

“Tapi, pak imam… Naura tak buat apa-apa dengan dia! Naura berani bersumpah,” katanya sebak dalam esak tangis yang tidak mampu ditahan-tahan lagi.

Punah jiwannya mendengar usulan daripada imam itu. Bak hukuman yang tidak adil buatnya. Dia berpaling kepada ibunya pula.

“Ibu, tolonglah Naura, ibu! Naura tak nak nikah dengan sesiapa. Kenapa hukum Naura macam ni? Kenapa semua orang tak nak percaya cakap Naura? Naura tak salah,” rintih Naura masih dalam esak tangis.

Sayu Mak Munah mendengar rintihan anaknya. Naura sudah hilang punca bila soal nikah dibangkitkan. Dia belum bersedia untuk ke arah itu. Dia masih terlalu muda. Baru hendak masuk 20 tahun umurnya. Banyak lagi yang harus dia kejar dalam hidupnya. Impiannya pun masih belum tercapai. Janganlah musahkan hidupnya begini.

“Imam, anak aku tak salah.”

“Munah, dalam keadaan macam ni susah kita nak tentukan siapa salah, siapa benar. Kita ada saksi. Ada bukti. Biarlah kita nikahkan Naura dengan budak ni. Itu lebih elok daripada kita biarkan cerita ni jadi fitnah dan melarat-larat pula nanti.”

Naura meluru ke arah lelaki itu tiba-tiba. Dipandang wajah lelaki itu minta pengertian sebelum bersuara.

“Awak… cakaplah apa yang mereka fikir tadi tak benar. Beritahu mereka semua yang kita tidak melakukan perkara seperti mana yang mereka fikirkan. Beritahulah, awak…” rayu Naura sayu.

Beberapa minit berlalu, namun lelaki itu masih sepi. Enggan bersuara. Sekali lagi Naura memandangnya dengan pandangan yang sayu. Lelaki itu membalas pandangannya, tapi dia masih juga begitu. Sepi. Naura putus harap. Perlahan-lahan dia menjauh. Keengganan lelaki itu menceritakan apa yang sebenarnya terjadi bagai menutup jalan keluar buat Naura. Dia menunduk. Demi terpejam saja kelopak matanya, titis-titis air jernih itu kembali deras berlumba-lumba membasahi pipinya.

Pak imam memandang lelaki yang bersama Naura tadi agak lama.

“Kamu tinggal di mana? Bagaimana kamu boleh berada di sini?” tanya imam pada lelaki itu bila kesepian seakan beraja.

Lelaki itu menghela nafas.

“Saya dari Kuala Lumpur, imam. Ada kerja sikit di kawasan sini,” jawabnya tenang.

“Kerja apa? Kerjakan anak dara orang?” jerkah Taufik.

“Taufik! Biar aku yang bercakap. Kamu jangan keruhkan lagi keadaan,” tegas imam. Geram juga dia dengan Taufik. Asyik mahu menyalahkan orang lain saja.

Imam menumpukan kembali perhatian kepada lelaki itu.

“Jadi, macam mana? Setuju ke kamu kalau aku nikahkan kamu dengan Naura? Sebelum kamu jawab, aku nak beritahu kamu satu perkara. Aku dah dengar dan lihat semua yang berlaku. Aku bertanya, bukan memaksa. Keputusan di tangan kamu, jadi apa jawapan kamu?”

Semua mata tertumpu kepada lelaki itu. Lama baru dia menjawab.

“Ya, pak imam. Saya setuju,” ringkas jawapannya.

Naura merasakan dunianya gelap tiba-tiba. Terasa lemah seluruh tubuhnya. Jawapan ringkas lelaki itu begitu memeranjatkannya. Juga yang lain. Tidak ada pembelaan langsung daripada pihaknya. Tanpa ada kata-kata penafian dan sebagainya. Dia hanya bersetuju saja. Tadi pun, dia hanya bercakap ketika ditanya. Selebihnya dia hanya menjadi pendengar setia. Tenang tanpa ada riak apa-apa. Sesekali saja terlihat kerutan merentangi dahinya. Selebihnya, dia banyak mencuri pandang ke arah Naura dalam diam.

“Hmm, eloklah macam tu. Esok pagi, aku uruskan apa yang patut dengan pejabat agama. Buat sementara waktu, kamu tinggal di rumah aku. Jangan ke mana-mana.”

Lelaki itu hanya menjawab dengan satu anggukan. Tanda dia faham apa yang pak imam katakan. Satu arahan sebenarnya.

Ku meniti awan yang kelabu
Ku tempuhi lorong yang berliku
Mengharap sinaran menerangi
Kegelapan ini…

(Pelangi Petang ~ Sudirman Hj. Arshad)

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/165995/cutenya-dia

Sejenak Bersama Yatie Atiqa

Antara judul yang ditulis oleh Yatie Atiqa

Nama sebenar saya Nor Hayati binti Mohamad. Saya dilahirkan dan membesar di Kuala Lumpur. Saya merupakan anak kedua dari sembilan orang adik beradik. Saya bersekolah di Sek Ren Jalan Pasar 2, Sek Men Puteri Jaya dan Sek Men Aminuddin Baki Kg Pandan. Sebaik saja tamat tingkatan 5 saya mengambil kelas menaip dan kesetiausahaan di kolej swasta. Dengan berbekalkan sijil yang diperolehi saya berjaya mendapat pekerjaan pertama di sebuah syarikat swasta di Subang Jaya. Saya telah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak lelaki. Kini telah punya 2 orang menantu dan 2 orang cucu yang berusia 3 tahun dan 2 tahun.

Saya meminati bidang penulisan sejak dibangku sekolah. Apatah lagi saya mengambil aliran sastera semasa ditingkatan 4 dan 5. Oleh kerana kesibukan tugas harian di pejabat dan urusan rumahtangga, saya terpaksa melupakan bidang penulisan buat sementara waktu. Akhirnya setelah berhenti kerja kerana masalah penjagaan anak, minat menulis datang semula. Apabila anak-anak semakin membesar dan banyak waktu terluang maka tercetus ilham untuk berkarya. Tahun 2010 saya mula serius menulis dan novel pertama saya diterbitkan pada tahun 2011 bertajuk Irama Semalam. Novel kedua lahir pada 2013 bertajuk Helo, si Merah Jambu dan yang ketiga pada 2015 bertajuk Terbaik untukmu. Kesemua novel-novel saya lahir di bawah terbitan Alaf 21.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Yatie Atiqa menulis?

Keluarga dan kawan-kawan terdekat.

2. Apa makanan kegemaran Yatie Atiqa?

Mee goreng dan western food.

3. Siapakah penulis kegemaran Yatie Atiqa? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Norhayati Brahim, Ramlee Awang Murshid dan Aisya Sofea,

4. Apakah novel kegemaran Yatie Atiqa? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Tenggelamnya Kapal Van Dervick karya Hamka

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Dulu ada. Kucing. Tapi dah serik nak bela sebab kucing kesayangan mati kerana sakit dan lama bersedih.

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah Yatie Atiqa mahu pergi dan mengapa?

New Zealand kerana pemandangannya yang cantik.

7. Apakah novel baru yang bakal diterbitkan oleh Yatie Atiqa? Boleh ceritakan sedikit mengenai novel tersebut?

Ya. Tetapi buat masa ini diperam dahulu kerana dunia novel agak sejuk sekarang ini.

8. Apakah pesanan Yatie Atiqa kepada pembaca di luar?

Nilailah karya penulis dengan membaca tulisan mereka. Ramai penulis-penulis hebat dengan karya-karya hebat tetapi kurang menonjol kerana terlalu banyak saingan.

9. Pada pandangan Yatie Atiqa, apa istimewanya novel Rehan Makhtar berbanding novel lain di pasaran?

Saya hanya penulis kecil. Karya-karya saya sama seperti karya-karya lain yang ada dipasaran. Masing-masing ada keistimewaan yang tersendiri. Istimewanya novel saya kerana ia adalah kisah cinta. Ia lahir dari sudut hati yang paling dalam dan dicampur aduk dengan pengalaman sendiri.

10.Dari mana Yatie Atiqa dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Ilham datang hasil dari banyak membaca dan sudah tentu dari pengalaman sendiri juga.

11. Apa rutin harian Yatie Atiqa? Ada yang rare tak?

Buat masa sekarang tidak ada yang rare selain dari meluangkan masa bermain dengan cucu-cucu yang semakin lasak dan nakal. Di samping itu saya menguruskan emak pengidap kencing manis dan menjalani dialysis 3 kali seminggu. Bapa saya baru saja meninggal dunia 2 bulan lepas. Sebelum ini rutin saya setiap pagi menguruskan arwah bapa yang menghidapi penyakit stroke.

12. Describe diri Yatie Atiqa dalam 3 patah perkataan?       

Tidak banyak bercakap.                

13. Apa nasihat Yatie Atiqa kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Nasihat saya, konsisten dalam menulis. Tulislah walau sebaris ayat setiap hari. Dan rajin-rajinlah membaca karya penulis-penulis lain supaya ilham lebih terbuka dan meluas.

14. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Yatie Atiqa kuasai?

Sedikit bahasa tamil. Semasa saya kecil tinggal di kawasan kuaters dan berjiran dengan keluarga india.

Kami berharap agar cik Yatie Atiqa akan terus merwarnai dunia penulisan dengan coretan yang menarika dan bermutu. Jika anda berminat dengan tulisan beliau, boleh klik pada link di bawah untuk mendapatkannya

Karya terbaru Yatie Atiqa boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/author/filter/au_36575_yatie-atiqa/~

 

[SNEAK PEEK] CINTA BUNGA TULIP

CINTA BUNGA TULIP Oleh Laila Kamilia

Prolog

Masjid Berlin, Wilbur Cross Highway

“HIERMIT verheirate ich dich Herr Megat Iskandar Ibrani mit dir Frau Azizah Gretel mit 50Euro als mahar.”

„Bist du damit einverstanden?”

„Ja! Ja! Ja!” sagt Megat Iskandar Ibrani und “Ja! Ja! Ja!” sagt Azizah Gretel.

Dann wird die besagte Dua des Sheikh Effendi gesprochen und am Ende alle eine Al-Fatihah.

„Alhamdulillah, suncleit seid Ihr Mann und Frau.”

Sie unterzeichnen Em die Heiratsurkunde vor den Zeugen.

„Das ist die zertifikate.”

„Danke schöne.”

„Bitte.”

Beide lächeln und sind sehr glücklich.

TERJEMAHAN

“Saya dengan ini menikahkan anda, Megat Iskandar Ibrani dengan Azizah Gretel dengan sebanyak Euro 50 sebagai Mahar.”

“Adakah anda bersetuju?”

“Ya! Ya! Ya!” akui Megat Iskandar Ibrani.

“Ya! Ya! Ya!” beritahu Azizah Gretel.

Sheikh Effendi membacakan doa. Setelah itu semua hadirin menamatkannya dengan surah Al-Fatihah.

“Alhamdulillah, anda sudah sah sebagai suami dan isteri.”

Mereka kemudian menandatangani sijil perkahwinan di hadapan saksi.

“Ini sijilnya.”

“Terima kasih banyak.”

“Sama-sama.”

Kedua-duanya tersenyum dan berasa gembira.

Gretel yang bermaksud mutiara itu kini dipanggil Azizah. Aku memilihnya sendiri nama Azizah itu supaya namanya nanti punya jalinan yang menarik apabila digabungkan. Azizah Gretel bermaksud mutiara yang disayangi. Dia tersenyum mesra sambil memaut lenganku. Ya, dia sememangnya sangat berharga yang aku kasihi sepenuh jiwaku. Deminya, aku sanggup lakukan apa saja. Hatta aku harus meninggalkan segala yang pernah aku ada.

Mutiaraku merenung penuh kasih. Cahayanya umpama bintang-bintang yang menerang kegelapan malam. Aku membalas kembali renungannya, juga sarat dengan kasih sayang. Tangannya kugenggam erat. Aku ingin meminjam kekuatan daripadanya. Jika dia boleh berkorban segala untuk membuktikan cintanya kepadaku, mengapa tidak aku menyerahkan seluruh hidupku kepadanya?

“Sijilnya, encik.” Teguran imam yang menikahkan kami membawa aku ke alam nyata. Jauh rupanya aku tenggelam dalam dunia Azizah Gretel. Aku tersenyum malu memandang ke arah imam itu kemudiannya.

“Maafkan saya.” Aku berkata lalu mengambil dokumen yang telah mengikat aku, Megat Iskandar Ibrani dengan Azizah Gretel Ibrani menjadi satu.

Kami bersalam lalu mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin yang ada di masjid itu. Tidak ramai, hanya empat orang semuanya dan enam orang bila termasuk aku dan Azizah. Aku memandang lagi sekadar untuk memastikan, dua orang yang sepatutnya hadir menyaksikan majlis ini benar-benar tiada di situ.

Aku cuba menyedapkan hati. Memadailah, kerana telah menjadikan impian dua manusia yang berlainan adab budaya menyatu di bumi Hitler!

‘Hiduplah sesuka hatimu, sesungguhnya kamu pasti mati. Cinta siapa saja yang kamu senangi, sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya. Dan ingatlah bahawa bersama kesulitan itu senantiasa akan timbul kesenangan.’

– Ibnu Abbas

*****

Taman Keukenhof, Belanda

PUTERI SARA IBRANI merenung jauh pada kuntuman tulip berwarna oren di hadapannya. Kakinya yang berbalut sneaker putih bercop NIKE dilunjurkan ke hadapan sambil bersandar pada bangku kayu yang disediakan di laluan pejalan kaki itu. Dia melepaskan keluhan. Terasa begitu sesak taman ini dengan manusia, menambah sesak fikirannya. Di kepalanya tertanya-tanya mengapa hari ini juga mereka ke sini sedangkan mereka boleh memilih salah satu hari dalam bulan Mac hingga Mei?

Sara terlupa tentang kemasyuran taman ini. Jutaan pengunjung saban tahun ke sini semata-mata untuk melihat tulip dalam masa hanya tiga bulan itu. Bukan setakat hari ini saja orang datang bersesak tetapi setiap hari. Hanya kerana dia ‘tamak’ mahu melihat tulip dalam sunyi dan sendiri, dia marahkan orang lain yang juga mahu menikmati keindahan taman bunga tulip terbesar di dunia itu. Hah! Sungguh terbawa-bawa dengan emosi!

Dia bangun. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam jaket. Matahari sudah separuh tinggi tetapi tetap dingin. Sesekali tubuhnya menggeletar. Walaupun salji telah berlalu, dingin di musim bunga itu tetap menggigit. Dia membetulkan mafla di lehernya lalu mula berjalan. Kamera DSLR yang disangkut di bahu dibetulkan letaknya. Sekalipun suasana indah sedang terbentang di depan mata, hatinya tidak terdetik mahu merakam apa-apa.

Kakinya terus berjalan menghala ke arah taman mini yang menempatkan beberapa haiwan daripada keluarga unggas. Merpati, ayam serama malah itik, bebas berkeliaran di dalam reban. Bukanlah tujuannya datang ke taman bunga ini untuk melihat unggas-unggas itu tetapi kakinya tetap laju melangkah ke situ. Laju tangannya menala lensa kamera DSLR untuk merakam beberapa aksi sang unggas.

Dia melihat di lensa kamera Nikon itu hasil gambar yang terakam. Senyumannya meleret ke telinga. Puas hati dengan hasil sentuhan seninya. Selain itu, pastilah kerana mengenangkan betapa peliknya tingkah sendiri. Datang ke taman bunga, tapi unggas yang diambil gambarnya.

Dia pernah mendengar cerita Aunty Aminah yang unggas-unggas seperti itu banyak berkeliaran di kampung-kampung di Indonesia mahupun di Malaysia. Kepalanya segera teringat pada wajah riang Adrian dan Aziz apabila ibunya itu bercerita tentang pengalaman semasa kecil mereka berdua mengejar dan dikejar ayam semasa di kampung. Tiba-tiba dia tersenyum sendiri mengingatkan keluarga kecil yang dia ada di Berlin. Ya, satu-satunya keluarga yang dia ada di dunia sebenarnya.

Sara mengambil tempat di bangku kosong yang baru ditinggalkan sekumpulan pengunjung dari Asia. Dari telor percakapannya mahupun bentuk matanya, dia dapat mengagak pelancong itu datang dari negara China. Sempit sangat pengetahuannya tentang bangsa Asia hinggakan dia tidak tahu yang bermata sepet dan bertutur Mandarin itu tidak semestinya datang dari negara China. Mungkin saja pelancong dari Hong Kong, Singapura malah tidak mungkin juga dari Malaysia!

Pastilah itu sesuatu yang tidak menghairankan kerana taman bunga secantik Keukenhof ini telah membawa ramai pencinta bunga dari seluruh dunia. Khabarnya hinggakan tempahan dibuat berbulan-bulan lebih awal bagi mengelakkan kehampaan kerana tidak dapat masuk ke taman ini. Malah ada pelancong yang datang terlalu awal ketika bunga-bunga tulip masih belum pun berkembang. Ada pula yang datang hanya sekadar melihat daun bunga tulip sahaja. Masalah ini tidak dapat dielakkan kerana tempoh musim dingin tidak dapat diduga peredarannya setiap tahun.

Sara memeluk tubuh. Jauh sudah dia mengelamun. Dia memandang lagi ke hadapannya. Terbentang pemandangan indah yang memukau mata. Dia mengagumi panorama yang sedang terbentang di hadapannya tanpa pernah jemu. Dia sudah ke sini beberapa kali bersama kawan-kawan dan sekali bersama papanya. Kata papa, ladang tulip itu terbentang luas macam sawah padi di Malaysia. Cuma bezanya padi berwarna keemasan sedangkan tulip pula berwarna-warni.

Sara tidak dapat membayangkan apa yang cuba disampaikan papa. Sawah padi? Kelihatan begitu asing padanya. Dek kerana ingin tahu, dia mencarinya di internet. Rupa sawah padi memang langsung tidak sama dengan ladang tulip. Jadi bagaimana papanya boleh membuat persamaan sebegitu? Sungguh dia tidak faham, sebagaimana dia tidak memahami papanya.

“Assalamualaikum!” Ucapan salam seseorang dari belakang telinganya membuatkan hati Sara berbunga ria tiba-tiba. Dia tidak perlu menoleh untuk melihat siapa yang menegurnya. Dia arif sangat dengan suara itu. Dia dan empunya suara itu sebenarnya sudah tidak boleh dipisahkan oleh apa-apa lagi.

Sara mengukir senyum. Dia membiarkan lelaki itu terus menjadi penunggu di sisinya. Betapa suara itu memang amat dirinduinya. Tak perlu dia menyatakan kerinduan itu, dia tahu akhirnya lelaki itu pasti akan datang. Baru sebentar tadi dia teringatkan lelaki itu dan kini bagaikan mimpi, lelaki itu muncul di sisi.

“Selamat hari jadi, Sara!” ucap lelaki itu dalam bahasa Jerman yang fasih.

Suara lelaki itu gemersik menerpa ke telinganya. Sara memejamkan matanya, menghayati keindahan ucapan salam daripada seseorang yang sangat dekat dengannya. Rasa bahagia itu menyerap ke hatinya membuatkan dia tersenyum.

Haruman Cool Water dari Davidoff yang sudah sebati di hidungnya mengesahkan siapa dia yang berada di sisinya tanpa perlu dia menoleh. Ya, semenjak dia menghadiahi Cool Water kepada lelaki itu dua tahun lepas, haruman itu telah menjadi bau rasminya.

“Terima kasih, Adrian!” jawab Sara, juga dalam bahasa Jerman yang fasih. Matanya perlahan-lahan dibuka. Kini Adrian betul-betul berdiri di hadapannya. Lelaki itu memegang sejambak bunga tulip berwarna merah jambu di tangan kanan, manakala di tangan kirinya secawan besar kopi panas.

Hatta melihatkan Adrian, hampir saja Sara memeluk lelaki itu ke dalam dakapannya. Dia benar-benar teruja kerana sebenarnya di saat dia kesedihan seperti itu tiada siapa yang diharapkan kecuali dia. Tanpa diduga, impiannya tiba-tiba menjadi kenyataan! TUHAN pastilah benar-benar sayang padanya.

Namun reaksi Adrian seperti biasa. Cepat saja menjarakkan dirinya bila Sara membuat aksi teruja begitu. Dia mengundur ke belakang selangkah. Tetapi senyuman tetap tersungging di bibir merahnya. Wajahnya nampak begitu ikhlas tatkala menghulurkan jambangan tulip kepada Sara tanpa rasa bersalah sekelumit pun.

Ah! Lelaki itu terlalu menjaga adab. Dalam keadaan teruja seperti itu, seharusnya Adrian biarkan sahaja dia memeluknya untuk meraikan kegembiraan. Begitulah perkiraan Sara, gadis separuh Malaysia, separuh Jerman itu. Sedangkan bagi Achmad Faris Adrian Fadhli, lelaki setengah Indonesia dan setengah Jerman itu, batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan cukup umur harus ada bentengnya.

Sekalipun mereka membesar bersama, tidak bermakna dia dan Sara boleh saling berpelukan sebagaimana dia memeluk Aziz. Sara tetap haram disentuh sekalipun antaranya dengan Sara boleh diibarat bagai kembar tidak seiras. Mereka sangat akrab hinggakan apa sahaja tentang diri Sara sudah ada di dalam poketnya hinggakan dia boleh membaca fikiran gadis itu. Lihatlah, walaupun Sara tidak memberitahu akan berada di situ, dia boleh menjejakinya kerana pada tahun-tahun sebelumnya memang di sinilah, di kerusi yang sama mereka duduk berjam-jam lamanya berbicara macam-macam.

Sebenarnya bukanlah sukar menduga ke mana Sara pergi kerana beberapa hari sebelum kehilangannya, Sara ada memberitahu yang dia teringin ke Keukenhof melihat tulip. Sara memang gemar dengan tulip. Kalau jumpa tulip meliar di jalanan pada musim bunga, Sara cepat saja berlari mengutipnya. Jadi bila berlaku perselisihan antara Sara dan papanya, Sara menggunakan alasan itu untuk ‘melarikan’ diri seketika sehingga hatinya sejuk kembali. Jadi mudah baginya untuk mengagak ke mana Sara membawa diri kali ini.

Begitulah juga jika dia menghilangkan diri. Sara pasti boleh menjejakinya walau ke mana dia pergi hinggakan Aziz, adik kandungnya kadang-kadang angkat bendera putih kalau tiba-tiba mami dan papi minta mencarinya! Lalu Aziz pasti saja menelefon Sara jika dia tidak mahu pening kepala membuang masa mencarinya.

Adrian mengambil tempat di sisi Sara yang kelihatan asyik membelek jambangan tulip merah jambu.

Sara pula menyimpan rasa terkilan di hatinya pada tingkah Adrian sebentar tadi. Ketika hati dipagut sedih begitu, jika boleh dia mahu dipeluk dan dibelai supaya hatinya menjadi tenteram. Dia tahu, batas yang Adrian letakkan itu seharusnya dihormati tetapi dia benar-benar sedang bersedih dan tertekan. Kalaulah sahaja papa boleh menjadi orang yang dipercayai dan dihormatinya. Dia mengeluh di dalam hati, mengenangkan nasib diri.

Dia membelek lagi bunga-bunga tulip yang begitu segar warna merah jambunya. Dia mengiranya. Ada 21 kuntuman semuanya. Pastilah melambangkan 21 tahun umurnya kini. Ya, dia sudah pun berumur 21 tahun!

“Cukup tak dua puluh satu?” Adrian bertanya untuk menceriakan wajah Sara tetapi gadis itu hanya tersenyum hambar. “Kenapa merajuk sampai ke sini?” Dia bertanya mengorek rasa. Masih juga tidak mahu berputus asa memujuk gadis itu berkata-kata dengan nada yang selalu tegas tetapi tetap lembut tuturnya.

Sebagai lelaki bangsa Indonesia yang masih menjunjung tinggi adab timur, begitulah watak Adrian. Berbeza dengan karakter lelaki bangsa Jerman yang selalunya kedengaran tegas tetapi sedikit kasar. Matanya saja yang kelihatan coklat kebiruan tetapi dia tetap suka makan pempek Palembang buatan papinya. Itulah Adrian yang lebih bahagia menjadi orang Indonesia walaupun tinggal di negara Jerman.

Seperti Sara, Adrian juga menggunakan bahasa Jerman dalam pergaulan sehariannya tetapi yang membezakan antara kedua-duanya ialah Adrian akan bertutur dalam bahasa Indonesia dengan keluarga atau dengan orang Indonesia yang lain sedangkan Sara langsung tidak tahu bertutur bahasa Malaysia. Kerana itu, sekalipun datang dari satu rumpun Melayu, Sara dan Adrian akan bertutur dalam bahasa Jerman kerana kekurangan Sara itu.

“Mana ada merajuk?” Sara tidak mahu mengaku.

Kata-kata Sara itu sekadar membuatkan Adrian tergelak kecil. Dia membongkokkan tubuhnya ke hadapan lalu berpaling ke kiri Sara. Dengan segaris senyuman yang masih tersungging di bibirnya dia hanya memandang wajah Sara. Dia cuba mencari punca mengapa kali ini Sara lari lagi.

Melihatkan Sara hanya membatukan diri, dia menggelengkan kepalanya. Gadis itu tidak berubah. Selalunya dia turut terbabit sama dalam hal ‘melarikan diri’ hinggakan papa Sara pernah mengamuk kepadanya. Tetapi sejak peristiwa setahun lalu itu, Sara telah berjanji kepadanya yang dia tidak akan lari lagi walau apa juga yang terjadi. Kini Sara memungkiri janjinya. Sara sudah pandai ‘lari’ tanpa membawanya. Sungguh Adrian tidak faham.

“Sampai hati tak bawa aku sama. Kalau kau beritahu, aku tak akan biarkan kau pergi sendiri sejauh ini.” Adrian meluahkan apa yang dirasakannya.

Sara menarik nafas yang terasa begitu berat di dadanya. Kedatangannya ke sini memang tidak dikhabarkan kepada sesiapa. Tidak kepada Adrian, apatah lagi kepada papanya. Dia hanya ingin bersendirian menyambut hari lahirnya. Justeru, seawal jam 6.00 pagi semalam, dia sudah berada di Berlin Sentral untuk menaiki ICE ke Amsterdam.

Sangkanya tiada yang akan menemuinya di sini. Yalah, dia bukannya artis yang semua orang kenalnya. Lagi pula jarak di antara Berlin ke Amsterdam lebih kurang 659km! Naik ICE saja sudah pun enam jam! Sudah cukup jauh. Tetapi dia tersilap. Silapnya kerana dia terlupa, dia ada seseorang seperti Adrian.

Adrian ketawa tiba-tiba. Wajah jengkel yang ditunjukkan oleh Sara langsung tidak membuatkannya terasa hati. Malah dia merasakan kemenangan telah berpihak kepadanya.

“Sudahlah… jangan merajuk. Nanti tak cantik.” Dia bercanda.

Wajah Sara masam mencuka mendengarkan lawak Adrian yang langsung tidak menjadi, langsung tidak menyejukkan hatinya yang sedang marah. Adrian tak perlu mencarinya. Dia tak perlukan sesiapa untuk memujuknya.

“Boleh tak lain kali, kau jangan cari aku? Biarkan saja aku seorang. Aku kan memang tak ada sesiapa di dunia ni?!” Bersungguh-sungguh dia marah. Suaranya sudah tinggi. Dia sudah tidak hiraukan bunga tulip merah jambu mahupun orang yang lalu-lalang di hadapan mereka. Dia sudah tidak peduli apa-apa lagi.

“Sara! Kita kan dah berjanji akan melalui semuanya bersama-sama? Aku sekali-kali tak akan biarkan kau sendirian.” Adrian mengulang janji yang pernah terukir di antara mereka sejak kecil. Janji yang sudah dipateri dengan darah pada usia 12 tahun itu. Sekalipun ketika itu mereka tidak faham banyak perkara, tetapi janji tetap janji. Masakan Sara lupa pada janji itu? Masakan Sara terlupa pada dia?

Namun kata-kata Adrian tidak langsung membuatkan Sara tersenyum. Ketika itu, Sara berasa malu pada dirinya. Dia baru tersedar dia telah memungkiri janjinya sedang lelaki itu begitu tegar memegang janji mereka. Mengapalah ketika dia membuat keputusan ke sini dulu, dia tidak memaklumkan kepada Adrian supaya dia tidak mungkir janji? Dia tunduk. Sedar dia terlalu mengikut kata hatinya.

“Baiklah… buktikan! Jangan cakap saja. Kalau betul kau nak bersama aku, susah… senang… mahu kau jadi teman serumahku? Hari ni aku sudah dua puluh satu tahun. Aku rasa dah tiba masa aku keluar dari hidup papa. Apa kata kau? Berani?” Sara memprovokasi Adrian. Mata Adrian ditentang.

“Sara!” Adrian hanya menggeleng. Dia kesal kerana Sara seolah-olah tidak memahaminya. ‘Duduk bersama Sara? Tinggal berdua? Hah! Memang idea gila!’ Bila membayangkannya saja dia sudah tidak sanggup. Idea ‘bunuh diri’ sendiri.

“Aku rasa tak perlu aku jelaskan lagi tentang itu. Kau tahu jawapan aku.” Dia berkata. Dia cuba menyabarkan hatinya menghadapi kerenah Sara. “Kan aku dah datang sejauh ini untuk bersama kau? Senyumlah…” pintanya kepada Sara yang sudah memalingkan wajahnya ke sisi. “Kalau kau terus masam macam ni, aku tahu apa caranya boleh buat kau senyum.” Kali ini dia sudah bangun. Dia membetulkan kedudukan pinggang seluarnya supaya lebih selesa.

Dia menanggalkan topi di kepalanya lalu meletakkannya di kerusi. Rambutnya yang perang, kelihatan sedikit berserabai. Dia mengirai rambutnya dengan kedua-dua tangannya. Tidak lama kemudian, rambut yang dihempap topi tadi kembali kemas terpacak, menyerlahkan sisi wajahnya yang lebih menawan.

“Kau jangan cuba, Adrian! Aku tak nak tengok!” Sara sudah tergeleng-geleng. Hilang rajuknya dek mengenangkan tindakan Adrian nanti. Dia tahu apa yang Adrian mahu lakukan. Adrian bukannya malu. Lagi ditegah, lagilah semangat dia hendak melakukannya. Itu kan sudah hobinya?

Tetapi Adrian kelihatan serius mahu mengenakan Sara. Langsung tidak peduli dengan rayuannya. Dia sudah mengambil tempat beberapa langkah di hadapannya lalu bersedia. Bila-bila masa dia akan memulakan persembahannya.

“Okey… okey… aku senyum!” Sara mengalah. Bibirnya sudah mengukir senyuman plastik.

Tetapi Adrian tidak berpuas hati. Itu bukanlah senyuman yang diharap-harapkannya. Dia mengacah Sara dengan membuat aksi regangan menyebabkan Sara kelihatan huru-hara. ‘Padan muka!’ ejeknya di dalam hati. ‘Tadi tunjuk berani sangat!’ Dia tersengih-sengih nakal.

Sara menutup mukanya dengan telapak tangan. Itulah langkah selamat yang terakhir yang boleh difikirkannya. Dia akan berasa malu setiap kali Adrian mahu membuat persembahan street dance untuknya. Sekejap sahaja nanti mereka akan dikerumuni orang ramai yang kagum dengan persembahannya. Kemudian diberi wang sebagai menghargai persembahan itu. Bukan sekali dua dia terkena. Lalu mengalah ketika itu adalah jalan terbaik. Ada banyak masa yang lain kalau dia mahu bertekak dengan Adrian.

“Sara! Buka mata. Kau jangan bimbang, aku main-main saja.” Adrian tergelak-gelak menjelaskan. Masakan dia mahu menarik perhatian orang di situ. Hari ini adalah hari istimewa yang harus dikongsi hanya untuk dia dan Sara. Tak perlu ada orang yang lain-lain. Dia cuma mahu menyakat.

Perlahan-lahan Sara mengintai dari celahan jemarinya. Dia mahu mengesahkan yang Adrian tidak mempermainkannya. Dia nampak Adrian berdiri betul-betul di hadapannya sambil berpeluk tubuh. Di bibirnya sedang mengukir senyuman lebar. Lega!

“Selamat hari lahir, puteriku,” ucap Adrian perlahan. Dia memandang Sara dengan hati yang damai. Kali ini Sara tersenyum manis kepadanya. Ya, senyuman itulah yang dinanti-nantikannya. Melihat senyuman itu, dia mahu hidup seratus tahun lagi.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/182884/cinta-bunga-tulip