Sejenak Bersama Yumi Hyra

Karya Yumi Hyra

Hai readers semua! Seperti kebiasaanya, admin akan kongsikan kepada anda hasil temu bual kami bersama penulis buku. Pada bulan ini kami berjaya menemu bual seorang penulis buku yang terkenal, Yumi Hyra. Salah satu daripada novel beliau juga sudah berjaya diadaptasi ke drama ialah Encik Suami Mat Salih Celup.

Kalau readers nak tahu lebih lanjut mengenai cik penulis kita Yumi Hyra, readers boleh ikuti perbualan kami di bawah.

Ceritakan serba sedikit mengenai latar belakang Yumi Hyra. Kami akan kongsikan kepada peminat Yumi Hyra juga info ini.

Seorang novelis bukan sepenuh masa yang bernaung di bawah Lovenovel Publication sejak kelahiran novel pertama pada Mac 2015. Setakat ini mempunyai tiga buah novel iaitu:

  • Encik Suami Mat Salih Celup
  • Encik Kutub Utara
  • Bukan Encik Sempurna

Lahir di Labuan tetapi membesar di Ipoh, Perak. Masih lagi menyambung pengajian separuh masa ke peringkat seterusnya untuk mendapatkan lesen akauntan bertauliah (Chartered Accountant) dan pada masa yang sama bekerja sebagai auditor di salah sebuah Big 4 Audit Firm di Malaysia.

1. Siapa yang memberi inspirasi untuk Yumi Hyra menulis?

Saya mula berjinak-jinak dengan dunia penulisan sejak sekolah menengah tetapi lebih kepada penulisan artikel. Saya pernah menceritakan angan-angan kepada Pn Hikmah (guru Bahasa Malaysia saya sewaktu menuntut di MRSM Langkawi) yang saya akan menulis sebuah novel.  Alhamdulillah, angan-angan itu tercapai juga.

Apabila saya mula mencuba dengan penulisan novel, ahli keluarga saya terutamanya umi, abi dan kak ngah serta mereka yang berada di sekeliling saya yang banyak memberi inspirasi kepada saya.

Sebenarnya saya suka berangan; tak kira masa dan tempat. Sewaktu memandu kereta dan tersekat di dalam kesesakan jalan raya pun saya boleh berangan untuk mencari inspirasi jalan cerita. Haha!

2. Apa makanan kegemaran anda di hari raya?

Rendang tok yang dimasak oleh umi saya. Rendang tok ini sinonim sebagai resipi kebanggaan orang Perak. Sedapnya jika dimakan bersama lemang. Sebenarnya, semua juadah di hari raya sedap-sedap belaka. Saya cuma tak gemar dengan taugeh sahaja!

3. Siapakah penulis kegemaran anda? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Of course J.K Rowling dan Sophie Kinsella.

4. Apakah novel kegemaran Yumi Hyra? (tak kisah luar negara or dalam negara)

Semua sequel Harry Potter (saya sebenarnya mengumpul versi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris disebabkan kegilaan yang melampau) dan semua koleksi novel Sophie Kinsella.

5. Ada haiwan peliharaan tak di rumah?

Tak ada disebabkan umi saya memang tidak mengizinkan saya untuk membela haiwan walaupun si hamster yang comel. Tetapi adik bongsu saya yang berumur 11 tahun suka meniru bunyi kucing. Tak pastilah ini boleh dikira sebagai mempunyai pet ataupun tidak 😉

6. Jika anda diberi peluang untuk melancong secara percuma, ke manakah anda mahu pergi dan mengapa?

United Kingdom! Saya sukakan binaan castles di Wales, mahu menonton Shakespeare’s plays di Stratford-upon-Avon yang merupakan tempat kelahiran beliau, menjejakkan kaki ke Warner Bros Studio Tour London dan mahu mengadakan sesi jelajah Arthur-Merlin History di UK. I’m a big fan of both Merlin and Harry Potter.

7. Apakah Yumi Hyra merancang untuk menulis dan produce novel terbaru?

Saya sedang dalam proses menyiapkan sebuah novel romantik komedi yang menampilkan watak heroin yang mempunyai masalah insomnia (sukar untuk tidur) dan watak hero yang merupakan seorang spy professional tetapi menyamar sebagai lelaki nerd. Mereka bergandingan untuk menyelesaikan kes pemerdagangan manusia yang dijalankan oleh salah seorang pengarah di tempat kerja mereka. Ini merupakan percubaan pertama saya dengan genre yang lain sedikit (sebab ada watak spy) tetapi saya masih ketengahkan elemen komedi.

8. Apakah pesanan Yumi Hyra kepada pembaca di luar?

Terima kasih atas sokongan dan kasih sayang yang diberikan kepada penulis-penulis novel tempatan. Terima kasih kerana sudi menjadikan karya-karya saya sebagai koleksi dan terhibur sewaktu membaca karya-karya saya tetapi dalam masa yang sama mengambil nilai-nilai murni yang cuba saya sampaikan. Teruskan menyokong industri penulisan negara dengan komen-komen membina yang boleh membantu para penulis meningkatkan mutu karya kami.

9. Pada pandangan Yumi Hyra, apa istimewanya novel Yumi Hyra berbanding novel lain di pasaran?

Saya tak reti nak menulis dengan ayat berbunga-bunga. Jadi, saya selesa menggunakan ayat-ayat seharian di dalam novel saya. Disebabkan itu, novel-novel saya biasa sahaja. Jika para pembaca inginkan novel yang ringan dan boleh membuatkan diri sendiri tersengih dan tergelak seorang diri; insya-ALLAH novel-novel saya boleh dijadikan sebagai ‘kawan baik’.

10. Dari mana Yumi Hyra selalu dapatkan ilham untuk menulis? Ada yang dari pengalaman sendiri ke?

Saya suka berangan dan menonton drama terutamanya yang bergenre romantic comedy. Ada juga yang diilhamkan daripada pengalaman sendiri dan apa yang berlaku di sekeliling saya. Kadang-kadang perkara yang simple yang pernah saya alami seperti mempunyai kawan-kawan foreigners yang pelat berbahasa Melayu pun boleh dijadikan idea. Disebabkan itulah boleh tercetusnya idea novel si mat salih celup! Hehe…

11. Apa rutin harian Yumi Hyra? Ada yang rare tak?

Idea untuk menulis akan datang bila saya super stress dengan kerja. Pelik tapi benar. Jadi, saya akan randomly update bab baru walaupun kerja ofis menimbun. Bila stress disebabkan masalah writer’s block, saya akan kacau adik saya yang bongsu. And… ting! Idea datang semula. Kesian dia; menjadi mangsa keadaan.

12. Describe diri Yumi Hyra dalam 3 patah perkataan?

Introvert. Nocturnal. Takut jarum.

13. Apa nasihat Yumi Hyra kepada penulis- penulis yang masih baru dalam industri buku?

Saya sendiri masih mentah dalam industri ini. Namun; apa yang saya boleh kongsikan ialah menulislah dengan hati. Jika hati kita ikhlas; insya-ALLAH para pembaca dapat merasanya. Dongibap!

14. Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Apa lagi bahasa lain yang Yumi Hyra kuasai?

Bahasa Perancis. Oh la la!

Kami harap Yumi Hyra akan sentiasa mewarnai industri penulisan dan, jika anda peminat Yumi Hyra,

Karya terbaru Yumi Hyra boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79666/encik-suami-mat-salih-celup

[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR

SAYANG AWAK, TUAN INSPEKTOR Oleh Julia Basri

ARISH mendengus. Nasib baiklah kat hospital. Kalau tidak, ada juga yang dah kena luku petang-petang macam ni. Geramnya bertali-tali pada Mel. Macam tak ada apa-apa perasaan. Siap boleh mengunyah keropok Mister Potato dengan jayanya. Muka pula selamba habis.
“Terima kasihlah nak sebab tolong hantarkan anak mak cik ke sini,” ujar Mak Cik Sara dengan nada lemah. Namun, bibirnya masih terukir senyuman.
“Sama-sama, mak cik. Memang tanggungjawab saya. Mel ni kan staf saya. Demi dia, tekan minyak sampai 180 kilometer sejam pun takde hallah! Janji kita orang sampai kat sini secepat mungkin!” sindir Arish. Mata dah kerling tajam pada Mel.
Makin laju pula Mel mengunyah. Sekeping demi sekeping kerepok dimasukkan ke dalam mulut. Siap pamer muka tak bersalah lagi. Geram Arish kian menjadi-jadi.
Buntang biji mata Mak Cik Sara. “Hah? Lajunya kamu bawa kereta. Jangan begitu, nak. Bahaya bawa laju-laju macam tu.”
Selamba Mel mencelah. “Tuan Arish ni memang macam ni, mak. Dia memang selalu bawak kereta laju-laju macam tu. Bukan apa, kalaulah terserempak dengan perompak, senanglah dia nak buat adegan kejar-mengejar nanti. Tulah hari-hari dia berlatih bawak laju-laju macam tu. Maklumlah nak kekalkan title selaku inspektor terhebat kat Malaysia ni.”
“Oh, macam tu rupanya. Bagus betul anak ni. Memang boleh menang anugerah polis contoh. Cekap, tangkas, suka tolong orang pula tu. Untunglah sesiapa dapat menantu macam anak ni,” puji Mak Cik Sara.
Arish dah senyum kambing. “Mak ciklah bakal jadi orang yang beruntung tu.”
Dahi Mak Cik Sara dah terlakar kedut seribu. “Apa maksud anak ni? Mak cik tak fahamlah!”
“Sebenarnya saya dan anak mak cik akan mendirikan rumah tangga tak lama lagi. Saya ke sini sebab nak minta restu daripada mak ciklah.”
Mel terlopong. Lebar. Bukan saja lalat, silap-silap langau dan unggas pun boleh terbabas masuk ke dalam mulutnya.
“Betul ke ni, nak? Anak bukan main-main, kan? Mel, kenapa sebelum ni Mel tak pernah cakap dengan mak pasal ni?”
Merah padam muka Mel. “Mak! Tuan Arish bergurau ajelah. Mak janganlah ambil serius kata-kata dia tu.”
“Bila masa pula saya cakap saya bergurau ni? Saya serius, Mel. Sekarang ni mak cik jadi saksi saya. Melina binti Kamil, sudikah awak jadi isteri saya?”
Mel terpana. Rasa macam nak pitam pun ada. “Saya nak cakap dengan tuan sekejap. Sekarang juga! Saya tunggu kat luar.”
Pantas Mel melangkah keluar dari bilik tersebut. Kakinya melangkah laju ke arah bilik menunggu. Arish mengekorinya dari belakang. Sesampainya di sana, Mel berhenti mendadak. Terus dia berpaling. Mengejut. Tanpa sebarang amaran. Hampir-hampir sahaja tubuhnya berlaga dengan tubuh sasa Arish.
“Apa masalah tuan sebenarnya, hah? Kalau setakat tuan nak bergurau-senda dengan saya, saya boleh terima lagi. Kenapa tuan nak babitkan mak saya pula dalam hal ni?”
Arish merapati Mel. Sangat rapat. Tidak pernah serapat ini sebelum ini.
Kening lebat tersisir rapi. Sorotan mata yang tajam dan terperosok ke dalam. Hidung mancung bak seludang. Ya ALLAH, kacaknya! Berderau darah Mel. Barulah kini dia mengerti mengapa Rika, Suzanne dan Qisya tergila-gilakan mamat cengcong ni!
Mel berpaling. Namun, tangkas kedua-dua belah tangan Arish menangkap kedua-dua bahu Mel. Kuat. Sehinggakan sepicing pun Mel tidak mampu berkalih.
“Saya ikhlas, Mel. Awaklah satu-satunya perempuan yang paling rapat dengan saya. Faham saya luar dalam. Sebab awak PA saya. Jadi saya nak upgrade status diri awak. Sanggup tak awak jadi kawan baik, teman gaduh, buah hati pengarang jantung, tunang, isteri dan ibu kepada bakal anak-anak kita?”
Jantung Mel bagaikan berhenti berdegup. “Ini bukan sebahagian dari rancangan Bang Bang Boom, kan?”
“Ada ke awak nampak gorila hitam berlegar-legar kat sini?”
Mel menggeleng.
“Tak ada, kan. Maknanya ini betul-betul kejadian, bukannya cubaan.”
Kali ini Mel betul-betul pitam! Arish kaget. Namun, dia sempat menyambar tubuh Mel sebelum ia jatuh menyembah ke bumi. Dibaringkannya tubuh kecil molek itu ke atas bangku sebelum dia bergegas keluar. Dia harus mencari doktor dengan kadar segera kerana dia tidak mahu apa-apa yang buruk menimpa bakal isterinya!

MASRI dan Daud melangkah ke kaunter pertanyaan dengan wajah bingung. Takkanlah baru beberapa jam, semuanya dah lesap. Hilang tanpa dapat dikesan. Memang pelik!
“Cik misi yang cantik manis. Den nak tumpang tanyo. Mano poienyo posakit kek dalam bilik ICU pagi tadi?” soal Masri.
“Ada ramai pesakit yang ditempatkan dalam bilik tu, pak cik. Siapa nama pesakit tu?”
Masri dah pamer muncung cemberut. “Den ni mudo laie. Ado ko patut dipanggilnyo den ni pak cik? Panggilah abang ko. Sodap sikit tolingo den ni dongar hah!”
Daud mencebik. Lengan Masri ditampar kuat. “Ekau jangan nak mengado-ngado haih! Jangan nak jual minyak pulak kek sini. Kito ado urusan ponting ni.”
“Yolah! Yolah! Den main-main ajo. Cik misi, kami pun sobonar aie tak tahu namo posakit. Cumo kalau tak silap namo anak dio…”
Ayat Masri mati tatkala kelibat Arish bersama-sama dengan dua orang jururawat sedang berlari-lari anak menerpa di hadapan matanya. “Apo kono pulak si Arish tu borlari-lari camtu? Ado acaro larian ko dalam hospital ni?”
“Ado apo-apo dah berlaku ko? Jomlah kito kojar dio!” gesa Daud seraya menghayun langkahnya. Masri juga tidak ketinggalan. Mereka membontoti Arish hingga ke bilik ruangan menunggu. Kelibat Mel yang sudah terjelepuk di atas bangku menyentak jiwa mereka. Terus sahaja mereka meluru ke arah Arish.
“Apo yang ekau dah buat kek anak daro orang ni, hah? Kalau dah suko sangat, masuklah mominang. Apo susahnyo?” tempik Masri. Kuat. Bergema ke segenap ruang.
Arish terpaku. Terperanjat, terkesima menjalar di kalbu. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba kena herdik. Apa kes? “Tenang, bang. Tenang. Saya tak buat apa-apa pun kat Mel. Saya cuma lamar dia aje tadi. Pastu boleh pula dia pengsan.”
Masri dan Daud saling berpandangan. Bibir masing-masing dah tersenyum lebar.
“Botul ko ni? Alhamdullilah… Suko hati den ALLAH ajo yang tahu. Tapi, ekau ni gelojoh sangat! Nak lamar anak daro orang, mano boleh main terjah ajo. Kena ikut adat rosam. Budayo orang kito.” Sempat lagi Masri membebel. Nanar seketika Arish mendengarnya.
“Encik, isteri encik ni tak ada apa-apa. Cuma mungkin dia terlalu penat agaknya. Tu yang sampai dia pengsan tu. Saya dah bagi suntikan. Kejap lagi sedarlah dia,” ujar jururawat itu sambil tersenyum.
Masri dan Daud dah menyeringai macam kerang busuk.
Merah padam muka Arish. “Err… dia bukan isteri sayalah.”
“Samo ajolah tu. Kan tadi ekau cakap ekau nak kahwin dengan dio,” sampuk Masri.
“Maaflah encik, saya tak tahu. Takpelah kalau macam tu, saya minta diri dulu.”
Arish sekadar mengangguk. Kedua-dua jururawat itu terus berlalu ke muka pintu dan menghilang.
“Eh, Mel torimo ko tidak lamaran ekau tadi?” tebak Daud pula.
Arish mengeluh. “Entah. Saya pun tak tahu. Belum sempat apa-apa lagi, dia dah pengsan dulu.”
Masri dah garu kepala. “Iyo tak iyo jugak. Apasallah ekau ni lombab sangat? Kalau den, sokojap ajo den dah koba kek dio.”
Suara Masri yang kuat terus sahaja menjunam tepat ke gegendang telinga Mel. Matanya mula terbuka sedikit demi sedikit.
“Eh, Mel dah sodarlah!” teriak Daud.
“Hah, den tahu macam mano kito nak tahu isi hati dio. Tahulah den nak buek apo. Ekau tengok ajo. Mel, Arish dah hilang! Ponyangak hari tu dah culik dio!”
Mel bingkas bangun. “Hah! Betul ke? Jomlah, kita cari dia sekarang!”
Masri dan Daud dah ketawa mengekek-ngekek. Mel hairan. Dah kenapa dengan mereka berdua ni? Kemudian, baru dia perasan kelibat Arish yang berdiri betul-betul bersebelahan dengan Daud. Saat wajah Arish yang sedang menyengih lebar menerpa ke matanya, barulah dia sedar yang Masri sekadar mempermain-mainkannya. Tebal pula muka dibuatnya. Lebih tebal dari dinding hospital rasanya!
Arish dah kerling nakal. Terjongket-jongket keningnya. “Sayang juga awak kat saya, kan?”
Mel diserbu malu tak terperi. Dalam keadaan terhuyung-hayang, dia menyeret tubuhnya. Dengan lemah, kakinya melangkah ke bilik emaknya semula. Hatinya sakit. Jiwanya perit. Arish betul-betul melampau! Sudahlah tadi dia ‘bermain’ soal kahwin di hadapan Mak Cik Sara, kini Masri dan Daud pun boleh terbabit sekali. Geramnya!
Sebaik sahaja pintu bilik Mak Cik Sara terkuak luas, kelibat sesusuk tubuh lampai segera mampir ke pandangan. Mel tersentak. Apa yang dia buat kat sini?
“There you are! Lama dah I tunggu. Hei, you sorang aje ke? Mana buah hati I?”
Mel dah kerut dahi. “Buah hati? Oh, hati ya? Mestilah hati Cik Qisya ada dalam badan Cik Qisya sendiri. Buat apa tanya kat saya pulak?”
Qisya tepuk dahi. “Hai, kenapalah you ni bendul sangat, kan? Macam manalah si Arish tu boleh tahan kerja dengan perempuan yang bendul tahap cipan macam you ni. Maksud I, mana pergi Tuan Arish Aqlan you tu? Itu pun susah nak faham ke?”
“Apahal cari saya sampai ke sini ni?” soal Arish yang muncul tiba-tiba.
“Mestilah ada hal penting. Kalau tidak, takkanlah I cari you sampai ke sini,” balas Qisya dengan nada suara terlebih manja.
Naik meluat pula Masri dan Daud melihatnya.
“Siapo pulak porompuan ni, Arish? Torgodik-godik ajo den tengok. Dah macam ulat beluncas ajo ruponyo,” selamba Masri menukas.
Berubah air muka Qisya. “You diamlah, orang tua! Sibuk aje nak menyampuk hal orang. Jagalah tepi kain sendiri!”
Tergeleng-geleng kepala Daud. “Rupo ajo cantik, tapi bahaso tak berapo nak cantik. Sayang botul!”
“Memang I cantik! So what? Tak puas hati?” balas Qisya bongkak.
Kebiadapan Qisya kian menghakis kesabaran di hati Arish. “Bukan ini caranya bercakap dengan orang yang lebih tua daripada kita, Qisya. Rasanya saya takde apa-apa urusan dengan awak. Jadi rasanya lebih baik awak pergi dari sini dengan cara baik. Ke awak nak saya guna cara kasar?”
Qisya merengus. Geram. Bencinya kian membukit pada Arish. Kalaulah bukan ayahnya yang menyuruhnya ke mari, tidak ingin dia bersemuka dengan lelaki ini. Buat menyakitkan hati aje.
“Err… maaflah, Arish. I bukannya sengaja nak berkasar dengan dia orang. Tapi, dia orang yang sakitkan hati I dulu. Oklah semua, I minta maaf. I takde maksud nak sakitkan hati you all.” Kali ini nada suaranya dilenturkan selembut mungkin. Bibir dah ukir senyum kelat.
Mel nak tergelak melihat lakonan sendu Qisya. Plastik sungguh!
“Awak dah minta maaf, kan? So sekarang dipersilakan…”
Pantas Qisya memangkas. “Nantilah dulu, Arish. You dengarlah apa yang I nak cakap dulu. Sebenarnya papa yang suruh I ke mari. Dia suruh I datang jemput you. Ada hal penting katanya. Benda ni berkaitan dengan kerjaya you.”
Umpan yang dihulur tampak mengena. Qisya senyum sumbing tatkala melihat bebola mata Arish yang bersinar-sinar.
“Betul ke ni, Qisya? Tuan Kommisioner nak jumpa saya?”
“Betullah! Takkanlah I nak tipu buah hati I sendiri. Jomlah ikut I sekarang. Mesti you dah tak sabar nak dengar berita baik ni,” tokok Qisya lagi.
“Jomlah.”
Arish dan Qisya melangkah ke muka pintu. Sempat lagi Qisya mengerling tajam ke arah Mel. Sinis.
Entah mengapa robek hati Mel tatkala Arish melangkah pergi. Seakan-akan jiwanya turut dibawa pergi. Terpisah jauh dari hati.
“Konapo ekau biar ajo si Arish porgi dongan porompuan godik tu?” soal Masri geram.
Resah di hati sedaya-upaya cuba disorok Mel. “Saya takde hak nak halang dia. Biarlah dia pergi.”
“Siapo kato? Dio tu kan bakal suami ekau!” jerkah Masri.
Mel terjeda.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97180/sayang-awak-tuan-inspektor

[REVIEW] MY SOULMATE

MY SOULMATE Oleh Shila Alish
“Ayuni Zara – Dia terperangkap oleh perasaan mencintai dan dicintai oleh dua orang sahabat. Meletakkan hati dan perasaannya kepada orang yang salah setelah merasakan bosnya itu ialah soulmatenya selepas dua kali diselamatkan daripada kemalangan yang hampir meragut nyawanya, biarpun dia sedar cintanya itu cinta terlarang. Taufik Hidayat – Dia assistant kepada sahabat sendiri, telah jatuh cinta separuh mati kepada Ayuni Zara. Ditentang hebat oleh sahabatnya itu hanya kerana sebab yang tidak boleh diterima. Namun kerana cinta, dia tetap dengan pendiriannya kerana gadis itu telah mengembalikan sinar bahagia dalam hidupnya. Hisyam Datuk Bakri – Dia telah ditunangkan dengan Zetty Nur Sarafina. Seolah-olah menjilat ludah sendiri. Tanpa diduga dia telah jatuh cinta kepada cinta hati sahabatnya hingga dia nekad mengkhianati hati sahabtnya itu dan mengecewakan hati si tunang. Konflik demi konflik berlaku. Baik Ayuni mahupun Hisyam, masing-masing terpaksa berpijak di bumi yang nyata dan terpaksa menerima ketentuan takdir bahawa mereka memang tidak dijodohkan bersama. Masing-masing nekad untuk mengakui bahawa mereka ialah soulmate hanya sekadar dalam hati mereka. Itulah janji mereka tanpa boleh dihalang oleh sesiapa pun kecuali DIA. “…The very moment I heard my first love story, I wanted a soulmate of my own. I searched blindly, not knowing where to look. Finally, I realised… lovers don’t just meet anywhere. They’re in each other all along…” -Hisyam “…Sometimes I think a soulmate is someone who lets you be the person you want to be…” -Ayuni Zara Ternyata cinta Ayuni dan Hisyam tidak bertitik noktah di situ apabila seorang soulmate tetap akan menjadi soulmate dalam hati pasangannya apabila sekali lagi cinta mereka dipertemukan walaupun ia datang dengan cara cerita yang berbeza. Penuh air mata dugaan dan pengorbanan kerana seorang soulmate bukan sekadar pasangan serasi, yang sehati sejiwa tetapi sebaliknya yang saling melengkapi.”

Pada pendapat admin, cerita ini sangat tragik. Kisah hidup Taufik Hidayat yang menyayat hati, demi cintanya kepada Ayuni Zara, dia terpaksa mengorbankan kegembiraannya. Dia menyerahkan insan yang dicintai kepada sahabat baiknya yang juga mencintai isterinya. Sadis kan… Tai ada sebab kenapa Taufik buat keputusan begitu. Kalau nak tahu sebabnya apa, kenalah baca eBook ni.

Sambil baca eBook ini nanti, jangan lupa sediakan tisu sekotak. Admin baca eBook ini sampai meleleh-leleh air mata dan air hidung. Sedih sangat *sobs sobs… eBook ini memang berbaloi untuk dibaca dan dihayati sebab jika kita tanya semula diri kita, mampukah kita menghadapi  dugaan sebegini besar?

So, itu adalah ulasan buku yang dapat admin kongsikan kepada readers pada hari ini. Kalau readers nak dapatkan ebook ini, boleh klik pada link di bawah.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97223/my-soulmate

[SNEAK PEEK] BUSANA NANA

BUSANA NANA Oleh Saidatul Saffa

Nama saya Nana. Saya seorang doktor. Err… maksud saya, doktor kain. Kan dekat kedai ada doktor cermin, apa salahnya kalau saya anggap diri saya sebagai doktor juga kan?

Doktor biasa, jahit-jahit orang. Tapi saya jahit kain. Sebenarnya, saya baru belajar menjahit. Saya ni sangat alergi dengan perkataan ‘tersalah’. Sebab apabila saya dengar perkataan tu… automatik saya akan terbuat salah. Sampai kawan saya suruh saya pergi jumpa pakar psikiatri sebab takut saya ni gila (eheh, sebenarnya saya yang rasa saya gila, bukan kawan saya cakap). Nak dijadikan cerita panjang sikit, akhirnya saya beritahu pada kakak sepupu saya tentang masalah saya tu dan pendapat kawan saya. Dan, akhirnya… saya dibawa berjumpa seorang ustaz yang katanya boleh mengubati penyakit secara ayat-ayat suci al-Quran. Kiranya perubatan alternatiflah. Selepas berjumpa dengan ustaz itu… teng teng! Nak tahu apa cerita selanjutnya…? Teruskan menanti sampai Nana tulis lagi (sambil gelak jahat).

DIARI ditutup semula dengan senyum yang berbunga mekar di bibir. Tiba-tiba dia terasa nak baca balik diari yang dia beli atas cadangan Kak Zatil. Pesan Kak Zatil, diari tu Nana tulis apa yang dia rasa. Antara banyak-banyak rasa tu… rasa takut ‘tersalah’ yang paling banyak Nana tulis.

“Macam ni… setiap kali Nana tulis rasa bersalah tu, Nana tulis penutup dengan doa.”

Kening Nana terangkat sebelah ala-ala The Rock. “Doa minta jodoh?”

Laju tepukan Kak Zatil hinggap di pahanya. “Doa supaya Allah kawal perasaan takut buat salah Nana itulah.”

Perlahan-lahan dia menolak diari ke atas meja kecil di tepi katil. Buku zikir al-Mathurat dicapai. Sekarang ni… dia dah cuba amalkan zikir al-Mathurat ni. Tapi… dalam selalu amalkan itu pun ada juga hari dia terlupa. Tertidurlah. Tersibuk sangatlah dengan kain-jarum. Termenonton drama televisyen lama sangatlah. Isy… macam-macam ‘ter’ ada. Berzikir pun culas Nana ni.

Ya Allah, jangan Engkau hukum kami apabila kami terlupa dan tersalah ~ (al-Baqarah: 286)

 Pertama kali baca zikir al-Mathurat dia tak perasan lagi ayat tu. Tapi… masa kali ketiga dia baca al-Mathurat, dia terasa nak baca secara tenang-tenang, teliti terjemahannya sekali. Dan… di situlah dia jumpa ayat tu.

Allah aje yang tahu betapa tenangnya dia saat terbaca ayat tu. Sekarang ni… apabila sampai ayat al-Baqarah yang ke-286 bahagian doa-doa tu… dia akan lafazkan ayat itu dalam bahasa Arab. Kemudian, dia tutup mata. Lafazkan maksudnya dengan sepenuh hati dalam bahasa Melayu.

Semoga Allah memperkenankan doanya. Aminnn….

“AYA… tolong panggil Abang Syahmin turun makan.”

Suara Datin Mah menyebabkan anak gadisnya yang baru sahaja menarik kerusi, tak jadi duduk. Tanpa banyak soal dia terus berlalu meninggalkan ruang makan untuk ke tingkat atas.

“Abang… jom makan. Pak Andak semua ada sekali ni.” Aya mengetuk perlahan pintu kamar abangnya. Entah apa dibuatnya sejak balik dari pejabat petang tadi, tak keluar-keluar.

“Okey! Dua minit!”

Sahutan dari dalam melahirkan rasa leganya. Maksudnya, tugasnya dah selesai. Aya mengatur langkah berlari anak menuruni anak tangga. Kembali ke meja makan untuk menikmati makan malam bersama keluarga.

Kebetulan pula, keluarga Pak Andak datang bertamu ke kediaman mereka hari ini. Meriah sikitlah jadinya. Mama pun… semangat memasak. Kalau tak ada orang datang, nak harapkan mama memasak meriah macam ni… hmmm… dalam mimpilah.

Dulu, semasa mereka adik-beradik kecil lagi… mama ambil pembantu rumah. Lagipun, mama masa muda-muda aktif berpersatuan sana sini. Jadi, pembantu rumahlah yang selalu ambil alih kerja-kerja dalam rumah. Namun, semenjak dia masuk tingkatan satu di Sekolah Seri Puteri, mama tidak lagi mengambil pembantu rumah. Masa itu mama kata anak-anaknya sudah besar, sudah pandai cari makan sendiri kalau mama tak masak. Untuk kerja-kerja rumah seperti mengemas, mencuci kain semua itu sekarang ini mama hanya upah orang di hujung minggu saja. Selesai tugas, orang itu akan balik.

Semasa dia bersekolah asrama penuh, dia selalu cemburu dengan kawan-kawan yang ibu bapa mereka datang melawat bawa masakan ‘air tangan’ ibu mereka sendiri. Dia… mana pernah. Makan di luar saja. Seingatnya, mama jarang sangat masuk ke dapur. Mama hanya masuk dapur apabila dia rasa nak ataupun apabila saudara-mara datang bertandang aje. Cuma semenjak dua tiga tahun kebelakangan ini saja mama jadi suri rumah sepenuh masa. Dah besar begini barulah dapat merasa air tangan ibu sendiri kerap sikit.

Pernah sekali dia tanya pada mama, kenapa mesti ambil orang gaji? Mama hanya jawab dengan ringkas, “Kita ni orang senang. Ada rezeki lebih. Apa salahnya kalau kita bagi kerja pada orang yang mahu bekerja. Betul tak?”

Masa itu jawapannya adalah mulut yang herot. Baginya, mama tak perlu bekerja pun tak apa sebab abah dah cukup kaya dan mampu untuk tanggung seisi rumahnya.

Namun, apabila sudah besar begini barulah dia boleh cerna ayat mama dulu.

“Abang turun tak?” Tangan Datin Mah mencedok nasi ke pinggan suaminya.

Aya menarik kerusi dan melabuhkan punggungnya. “Dua minit.”

“Dah sampai.”

Semua mata terarah pada Syahmin yang berdiri tegak dengan senyum berbunga di bibirnya.

ROKOK dikepit antara dua jari. “Azra, jomlah kerja dengan syarikat Pak Ngah lepas ni.”

Azra mengerut dahi. “Tak naklah. Nanti kalau apa-apa Pak Ngah report terus pada abi.”

Asap rokok berkepul-kepul memenuhi udara malam seiring dengan tawa Syahmin.

“Abang Min, pleaselah jangan hisap rokok kat sini. Kak Azra tak suka rokoklah.” Suara Aya mengomel menyebabkan Syahmin memandang Azra semula. Patutlah dari tadi Azra duk tertunduk-tunduk tepi buai. Rupanya, tak nak sedut asap rokok yang dihembusnya.

Sorry. Tak beritahu awal-awal…” Syahmin tersengih bersalah. Kakinya memijak puntung rokok. Puntung yang sudah terpadam apinya diambil dan dicampak ke arah pasu-pasu bunga di halaman rumah mereka.

“Dah kita duduk rumah orang… takkan nak komen banyak-banyak.” Selamba Azra menuturkan.

So, sekarang Azra kerja kat mana?”

“Kerja dengan Bank Negaralah. Kan depa yang taja Kak Azra sambung belajar hari tu.” Suara Aya pula yang memintas.

“Oh… Aya, Abang Min nak minta tolong sikit boleh?”

Aya mendongak sedikit, dengan isyarat, apa? “Lain kali… jangan menyampuk cakap orang. Abang Min tanya Azra. Bukan tanya Aya.”

Azra ketawa. Aya merengus geram. Membebel sendiri. Entah apa butirnya, Aya saja yang tahu.

“Azra bila nak kahwin ni?”

Azra duduk tegak dengan soalan daripada sepupunya itu. Aya menelengkan kepala sedikit melihat muka Azra, kemudian ke arah abangnya.

Random betul soalan Abang Min ni. Cakap fasal kerja, tiba-tiba tukar topik kahwin pula?” Huh! Azra mengerut dahi.

Syahmin ketawa kecil. “Taklah. Soalan standard untuk umur Azra kan?”

“Patutnya, Azra tanya Abang Min dulu. Bila nak kahwin ni? Umur dah tiga puluh kan?” Azra memulangkan paku buah keras. Badan kembali disandarkan, biar bergerak seiring dengan ayunan buai.

“Abang Min tengah tunggu jodoh jatuh dari langit.” Selamba dia membalas.

“Kalau jodoh tu macam duit turun dari langit tak apa juga. Azra takut jodoh Abang Min tu buah durian aje. Jatuh atas kepala, wassalam!” Meletus tawa mereka bertiga di situ.

“CUBA BERITAHU aku sikit, apa yang menyebabkan kau paranoid sangat dengan orang kaya ni?”

Nana pegang kepala. Huda ni kan… “Aku tak faham, kenapa apabila aku kata aku tak nak orang kaya, engkau yang tak dapat terima?”

Huda ketawa besar. Sampai sepet matanya. “Bukan tu maksud aku.” Sisa tawa cuba dibuang seupaya mungkin. “Aku nak tahu satu alasan yang konkrit aje.”

Bahu dijongket. “Aku tak tahu. Aku cuma tak suka aje. Itu aje. Tak ada sebab tiang besi konkrit.”

“Okey, meh sini aku beritahu kau.” Huda mengisar punggung. “Islam tak marah orang kaya. Rasulullah tu pun kaya tau.”

Nana angkat kening ala-ala The Rock. “Eh, bukan Rasulullah punya tempat tidur pun pelepah kurma ke? Yang sampai berbekas badan Rasulullah.” Huda   menepuk   meja   perlahan.   “Ha… itulah bezanya. Rasulullah tu kaya, tapi tak suka mengamalkan gaya hidup kaya. Kalau kau semak balik kan sejarah… Rasulullah punya kuda perang tu kuda yang paling tangkas yang ada waktu tu. Pedang Rasulullah, yang dia guna setiap kali jihad… apabila ditarik aje pedang tu dari sarung, cahaya yang terpantul daripada pedang tu dapat menyilaukan mata dan menggentarkan musuh sebab pantulan cahaya tu seolah-olah ada ramai sangat tentera yang ada. Nak buat pedang macam tu, bukan sikit emas yang perlu digunakan.”

“Okey.” Anak matanya menikam anak mata Huda. Tepat. “Kau kata, Rasulullah tu kaya, tapi tak suka mengamalkan gaya hidup kaya. Yang orang-orang kaya ada atas dunia ni memang kebanyakannya mengamalkan gaya hidup kaya. Tak eloklah kan?”

“Kau kena ingat, Allah memang cakap dalam surah an-Nahl. Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya. Ayat ketujuh puluh satu. Maknanya tak salah nak jadi kaya. Dan kau tengok para sahabat macam Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf. Dia orang tu semua kaya-raya tau. Cuma bezanya, dia orang tak letak harta tu dalam hati. Tak rasa susah nak gunakan harta tu untuk buat kebaikan pada orang lain.” Bersemangat Huda menerangkan. “Tak salah nak jadi kaya dan nak amalkan gaya hidup orang kaya. Kita cuma kena ingat kaya tu ujian untuk kita ajelah.”

Nana mengeluh perlahan. “Aku tak kata aku tak nak jadi kaya. Aku cuma kata tak suka sangat orang kaya jadi suami aku.”

Huda ketawa. “Ya Allah, tolonglah beri Nana ni suami kaya. Biar dia dapat buat kebaikan banyak sikit.” Tangan ditadah ke langit. “Amin!”

Nana memicingkan mata. Kalau pintu langit terbuka masa ni… habislah.

Eh… tapi Huda kan doa untuk kebaikan.

Isy! Itulah yang Nana susah nak terangkan. Nana… tak tahu nak aminkan ke tidak doa tu.

Haih….

“YA ALLAH….”

Nana memegang kain yang sudah siap dijahit segala zip, getah dan cangkuknya. Sakit jiwalah macam ni. Asyik tersalah aja. Hesy… nampaknya sumpahan ‘tersalah’ Nana belum habis.

“Kak… silap jahit zip. Terbalik. Luar ke dalam, dalam ke luar.”

Kain di tangan dibawa pada Kak Zatil yang sibuk ‘berchenta’ dengan mesin jahitnya. Kak Zatil mencapai huluran Nana. Diteliti betul-betul apa yang Nana duk kompelin.

“Ambil penetas dalam bekas tu. Tetas je Nana. Tak susah pun.”

Kain dihulur semula pada Nana. Pedal ditekan semula. Baju kurung dipegang berhati-hati agar jahitannya tak serong.

Nana rasa nak hantuk kepala ke dinding. “Memanglah tak susah kak. Tapi… akak perasan tak yang ini… tersalah lagi. Kain sutera orang pula tu.” Zatil berhenti menjahit. Matanya menikam anak mata Nana. Lama. “Nana… pergi ambil diari Nana kejap boleh?”

Nana buat muka sedih. “Baik, kak.”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97186/busana-nana

[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, SAYANG

SAYANG AWAK, SAYANG Oleh Murni Aqila

BANGLO yang sepi itu semakin sunyi. Rasa kosong sahaja apabila tinggal di dalamnya. Junaira memaksa diri untuk pulang semula di situ atas desakan hati dan pujukan Liani, dan rasa rindu pada Nazif.

Sejak pulang ke situ, Nazif tiada di rumah. Entah bagaimanalah reaksi Nazif jika melihat dia kembali ke rumah itu. Atau sebenarnya Nazif tidak kisah? Jauh di sudut hati dia dapat rasakan yang Nazif tidak pedulikan ketiadaannya. Jadi, benarlah kata-kata Fahim?

Setelah mendengar cerita Fahim yang cuba dinafikan, lama-kelamaan ia meresap jua ke hati. Lantas dia bangun daripada pembaringan. Ditinggalkan semua buku nota yang hampir penuh di atas katil. Belajar waktu fikiran sedang runsing hanya membuatkan jiwanya kacau.

Di luar bilik, suasana juga sunyi. Nazif masih belum pulang walau sudah pukul 8.00 malam. Pandangan didongakkan ke atas, ke bilik Nazif. Desakan hati meronta-ronta mahu dia masuk ke dalam bilik tersebut.

Tidak berlengah, lalu dia mendaki anak tangga. Pintu bilik yang tidak dikunci itu dibuka. Hatinya amat yakin, pasti Nazif ada menyimpan keratan akhbar yang mengadungi artikel mengenai kemalangan keluarga mereka. Dia mahu sesuatu sebagai bukti kebenaran kata-kata Fahim. Selagi dia tidak mencari, selagi itu jiwanya kacau. Sudah dicari melalui internet, namun tidak berjumpa. Jika ada pun, sudah menjadi artikel dalam arkib akhbar tersebut. Tidak boleh dicapai lagi. Masakan tidak, peristiwa hampir empat tahun yang lalu.

Dia cuba mencari di setiap laci yang ada. Inilah pertama kali dia membuat kerja gila, menyelongkar bilik orang lain.

Bagaikan sudah terancang, dia menjumpai sebuah fail yang terletak di bahagian bawah laci meja kerja Nazif. Apabila diselak fail tersebut, terpapar beberapa keratan akhbar mengenai kemalangan tersebut. Juga susulan kejadian itu. Malah, ada gambar yang menunjukkan bagaimana remuk kereta Kancil yang dipandu arwah abahnya. Serta-merta rasa pilu menyengat dada.

Dia tidak pernah terfikir kemalangan tersebut mendapat liputan media. Apatah lagi ketika peristiwa itu berlaku, dia bertarung dengan jiwanya yang hampir rapuh. Tidak diambil peduli tentang kisahnya yang tertulis di dada akhbar.

Artikel itu dibaca dengan linangan air mata. Semerta datang kerinduan yang menendang-nendang naluri. Ya… memang benar kata Fahim. Keluarganya mengalami kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan arwah mummy dan daddy Nazif. Akibat kemalangan itu seluruh keluarganya meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala daddy Nazif meninggal tiga hari selepas dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan yang teruk. Manakala mummy Nazif dimasukkan ke dalam wad dan disahkan lumpuh!

“Ya ALLAH…” Junaira terduduk di lantai. Linangan air mata tidak mampu ditahan-tahan lagi. Laju berderai ke pipi.

“Mummy kata dia lumpuh sebab sakit. Penipu! Rupa-rupanya dia lumpuh sebab kemalangan. Tergamak dia rahsiakan semua ni daripada aku. Tapi, kenapa dia ambil aku jadi anak angkat dia? Konon-konon nak ambil aku jadi orang gaji dalam rumah ni. Entah-entah mereka nak dera aku dengan Haziq. Tapi tak sampai hati pulak lepas tu. Dan tergamak pula memaksa Nazif kahwin dengan aku.

Patutlah Nazif terima dia sebagai isteri. Mungkin ada muslihat. Supaya hidup aku makin sengsara. Patutlah Nazif tidak pernah menganggapnya sebagai isteri. Apatah lagi mencintainya. Memang betul kata Fahim. Mereka licik dan penuh muslihat!”

Betapa hancurnya hati tatkala mengetahui semua itu. Setelah hampir empat tahun, baru dia tahu cerita sebenar. Patutlah arwah mummy baik sangat padanya. Dan Nazif terpaksa menurut apa sahaja permintaan mummynya dalam keadaan tanpa rela. Juga tidak rela menikahinya. Hanya dia sahaja yang mencintai lelaki itu, sedangkan Nazif tidak pernah ada hati padanya. Disebabkan itulah Nazif tidak kisah pun dia tidak balik ke rumah semalam. Nazif menamparnya di hadapan khalayak. Nazif langsung tidak memujuknya. Semuanya kerana tiada cinta dalam hati Nazif untuknya. Langsung tiada!

Teresak-esak dia menangis sambil menatap keratan akhbar tersebut. Hatinya tertanya-tanya, mengapa semua ini yang harus terjadi dalam hidupnya? Mengapa? Mencintai seseorang yang tidak pernah mencintai adalah sesuatu yang sangat mendera perasaan.

Tiba-tiba pintu terbuka. Junaira mendongak. Nazif!

Lantas dia bangun dengan fail didakap erat ke dada. Spontan dia menyeka air mata yang membasahkan pipi. Pasti Nazif akan marah kerana dia menceroboh bilik itu.

Nazif tergamam melihat Junaira berada di dalam biliknya. Apatah lagi sedang memegang fail yang selama ini disimpan kemas. Wajahnya berubah riak. Pasti Junaira sudah tahu kisah sebenar antara keluarga mereka yang selama ini cuba disorok. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, Junaira bersuara terlebih dahulu.

“Maaf… Jun takkan masuk dalam bilik ni lagi.” Junaira meletakkan fail tersebut di atas katil dan terus berlalu melepasi Nazif yang tercegat di ambang pintu.

“Jun…” Nazif cuba menahan, namun Junaira sudah turun ke tingkat bawah. Pasti Junaira menyangka yang bukan-bukan sehingga mengalir air mata. Mahu sahaja dia memujuk gadis itu. Mengenangkan keadaan pasti akan lebih teruk jika menerangkan ketika hati Junaira tidak tenang, dibatalkan niatnya untuk memujuk gadis itu. Barangkali esok lusa hati Junaira kembali tenang. Ketika itu dia akan jelaskan semuanya kepada Junaira.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96067/sayang-awak-sayang

[REVIEW] RINDU DI AWAM BIRU

RINDU DI AWAM BIRU Oleh Meen Zulaikha
JANGANKAN berkahwin, bercinta pun Hanan tidak ingin. Menjadi seorang isteri tiada di dalam kamus hidupnya. Pengalaman pahit ibunya dimadukan membuatkan dia jadi fobia. Baginya, lelaki hanya tahu berpoligami, tapi tidak tahu menjadi suami. Pertemuan tanpa disangka di awan biru dengan Kapten Akmal Hakim sewaktu ke Melbourne mengubah persepsinya terhadap lelaki. Bernikah di Masjid Biru dan berbulan madu di Istanbul bagaikan suatu mimpi bagi gadis berkulit mulus itu. Semuanya berlaku tanpa dirancang. Tapi takdir menentukan dia bukan setakat menjadi seorang isteri, bahkan tanpa rela turut terbabit sama ke dalam kancah poligami. Akibat difitnah, Hanan diceraikan dengan talak tiga. Dalam pilu, dia diburu rindu. Dalam duka, dia mengharapkan bahagia. Sanggupkah dia Œbercina buta¹ untuk kembali ke pangkuan Akmal, sedangkan kehadiran Ridz mula membawa cahaya di dalam hidupnya?

Pada pendapat admin, cerita ini lain daripada yang lain sebabnya hero yang datang tiba-tiba lepas tu tiba-tiba hero dan heroin berkahwin. Hanan yang pada mulanya allergik pada lelaki sebab Hanan rasa kaum lelaki ini hanya tahu melukakan je. Itu pon sebab kisah silam ibunya yang dimadukan.

Tapi tanpa sedar, Hanan rupanya berkahwin dengan suami orang! Hidup berpoligami mula menghantui dirinya dan akibat fitnah isteri pertama Akmal, akhirnya Hanan diceraikan dengan talak tiga. Kesian sangat kat Hanan, tapi mujurlah ada Ridz yang muncul memberi sinar baru dalam hidup Hanan dan sekaligus mengubat luka di hati Hanan.

Tahniah kepada penulis sebab berjaya mengetengahkan isu berpoligami yang sentiasa menjadi perbualan hangat di kalangan wanita. Untuk novel ini, admin bagi 5 bintang!

So, itu adalah ulasan buku yang dapat admin kongsikan kepada readers pada hari ini. Kalau readers nak dapatkan ebook ini, boleh klik pada link di bawah.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96063/rindu-di-awan-biru

 

[SNEAK PEEK] KARMA

KARMA Oleh Resmanshah

KAMI melangkah masuk ke dalam sebuah restoran Arab yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam. Sebaik kami semua melangkah masuk di kedai yang tampak mewah itu, pintu kedai terus ditutup. Papan tanda kecil bertulis ‘tutup’ dipamerkan pada kaca pintu restoran.

Seorang pelayan lelaki mempersilakan kami di sebuah meja yang dihias cantik. Kami dilayan seperti kerabat diraja. Pelayan itu dengan penuh hormat, mengambil pesanan kami. Tapi aku tidak ke situ untuk makan. Jadi aku pesan jus tembikai saja. Julianshah juga tidak punya selera untuk makan. Walau aku tahu dari mukanya, jelas dia sedang menahan lapar. Sudahnya dia pesan Cappucino sahaja. Lelaki tua itu juga minum kopi arab.
“Maafkan saya kerana tidak memperkenalkan diri tadi. Nama saya Rano Karjo,” ujar lelaki itu.
Akhirnya kami tahu nama lelaki tua itu.
Belum sempat Julianshah memperkenalkan diri, Rano Karjo sudah kata dia tahu nama Julianshah.
“Apa yang terjadi kepada ibu saya Pak Cik Rano?” soalku dengan pantas
Aku tidak mahu membuang masa. Rasa ingin tahu di hatiku semakin memberontak.
Rano Karjo kelihatan berat hati hendak menjawab soalanku itu. Riak wajahnya kembali sedih. Satu keluhan berat dia lepaskan di depan aku dan Julianshah.
“Almarhum ibumu tidak mati kerana sakit. Tetapi dia dibunuh!” ulas Rano Karjo.
Aku rasa dunia seperti terhenti seketika. Telingaku berdengung. Jantungku mendadak berdebar.
“Biar betul!? Pak cik jangan cuba nak main-main hal macam ni!” beritahuku.
Julianshah marah-marah. Aku tahu dia tidak mahu aku bersedih lagi.
“Kamu lihat wajah saya! Adakah saya main-main?” jawab Julianshah.
Rano Karjo membentak dalam kesedihan.
“Ap… apa yang terjadi kepada ibu saya sebenarnya pak cik?” soalku dengan lemah.
Aku cuba menelan rasa sakit yang sedang tumbuh di lapangan perasaanku.
“Sebelum dia bertemu dengan arwah ayahmu, Mahsuri Dewi adalah rakan seperguruan saya. Kami membesar bersama di Indonesia. Dari anak kecil, hinggalah kami meningkat remaja. Kami tidak pernah berpisah. Saya cintakan dia dan dia juga mencintai saya. Namun percintaan kami tidak mendapat restu dari orang tua. Kerana kedua orang tua Mahsuri Dewi mahu dia dijodohkan dengan anak rakan baik mereka iaitu Sujih Darmowo atau lebih dikenali sebagai Wak Sujih,” beritahu Rano Karjo sepenuh hati.
Rano Karjo berhenti bercerita bila pelayan tadi datang menghidang minuman kami. Dia meneruskan selepas pelayan itu pergi.
“Saya kecewa dan lari membawa diri ke Australia. Saya terpaksa berbohong kepada Mahsuri Dewi agar dia membenci saya. Namun walau selepas kami berpisah, dia nekad tidak mahu bersama dengan Wak Sujih. Mahsuri Dewi melarikan diri ke Malaysia dan seterusnya bertemu dengan ayah kamu. Selepas berpuluh tahun lamanya, saya mendapat khabar tentang kematian Mahsuri Dewi. Pada mulanya saya fikir masanya sudah tiba. Kerana dia juga sedang menderita sakit. Tapi saya tergerak hati untuk menyiasat dan mendapati dia mati dibunuh!” Rano Karjo kelihatan terseksa menahan rasa sedihnya. Sama seperti aku. Air mata sedang mengalir di pipiku tanda sedar.
“Rakan seperguruan? Mati dibunuh? Apa sebenarnya yang terjadi? Maksud saya, ibu Zara belajar apa dan kenapa dia dibunuh?” tanya Julianshah dengan pantas.
Julianshah masih tidak puas hati.
Rano Karjo memandang roman Julianshah sebelum berkalih kepada aku. Dia macam teragak-agak hendak menjawab soalan Julianshah itu semua.
“Sukar untuk saya jelaskan. Tapi demi untuk tidak dituduh cuba menipu, saya akan beritahu. Saya harap kamu bisa membuka minda kamu untuk menerimanya,” beritahu Rano Karjo lagi.
Rano Karjo berhenti seketika.
“Bermula dari abad ke-14 lagi, lima orang pahlawan yang berkawan baik telah menjumpai sebuah gua. Di mana di dalam gua itu mereka telah mempelajari ilmu yang membolehkan mereka menyeru makhluk yang tidak diketahui asal-usulnya. Bukan jin kafir dan bukan juga syaitan. Pada mulanya mereka mempergunakan makhluk-makhluk ini untuk mempertahankan negeri mereka. Namun sebaik zaman berubah dan perang sudah tamat, ilmu itu diperturunkan kepada waris atau anak-anak murid mereka. Ada antara mereka yang memiliki ilmu menyeru itu telah menggunakannya untuk membunuh orang-orang jahat. Tapi lama-kelamaan, wujudlah persatuan demi persatuan. Ada persatuan yang hanya membunuh orang jahat, dan ada juga yang membunuh sesiapa saja,” ujarnya dengan panjang lebar.
Rano Karjo berhenti meneguk kopi panasnya.
“Saya dan Mahsuri Dewi adalah antara manusia yang mempunyai ilmu tersebut. Hanya yang memiliki ilmu ini saja yang akan menjadi ketua persatuan. Selepas saya membawa diri, saya mendapat perkhabaran yang tidak diingini oleh semua ketua persatuan. Satu peperangan di antara sekutu persatuan yang hanya membunuh orang jahat dengan yang membunuh sesiapa saja, telah terjadi di Malaysia. Saya terus ke sini dan bertemu kembali dengan Mahsuri Dewi. Begitu juga dengan Wak Sujih. Kami bertiga dan beberapa persatuan lain bersekutu memerangi sekutu persatuan yang mempergunakan ilmu mereka membunuh orang yang tidak bersalah.
Di situlah kami dapat tahu yang di antara kami semua, Mahsuri Dewi adalah yang terkuat. Makhluknya yang dipanggil dengan nama Lawangsuri menjadi makhluk yang paling digeruni. Selepas perang itu, kami kembali membawa diri masing-masing. Saya kembali ke Australia dan Mahsuri Dewi kekal di Malaysia. Sedang Wak Sujih kembali ke Indonesia,” sambung Rano Karjo lagi
Riak wajah Rano Karjo tampak sedih.
“Tapi ketika usia kami sudah semakin tua, saya mendengar khabar yang Mahsuri Dewi telah meninggalkan persatuannya. Hingga persatuannya itu pupus. Dia juga tidak mewariskan ilmunya kepada kamu. Kerana dia mahu hidup sebagai manusia biasa. Tanpa perlu membunuh lagi. Di saat itu, Wak Sujih datang membunuh Mahsuri Dewi yang sebenarnya sudah memang sakit!”
Ada dendam dalam nada suara Rano Karjo. Begitu juga dengan hatiku!
“Bukankah ibu Zara mempunyai makhluk yang paling digeruni dan paling kuat? Macam mana pula Wak Sujih boleh bunuh dia?” celah Julianshah mencelah.
“Mulanya Wak Sujih adalah orang yang baik. Hingga Mahsuri Dewi mempercayai dia walaupun tidak mencintainya. Dengan kepercayaan itu Wak Sujih telah menewaskan Mahsuri Dewi. Ibu kamu Zara, tidak mahu menggunakan ilmunya saat diserang oleh dia,” ujar Rano Karjo lagi.
Dendam dan amarah bercampur pekat di dalam hatiku mendengar semua itu.
Aku terlalu marah untuk berkata-kata. Julianshah mula risau melihat riak wajahku yang penuh dendam dan kemarahan.
“Saya mencari kamu kerana… Wak Sujih mahu memulakan satu lagi perang. Dia kini menjadi ketua kepada sekutu persatuan yang membunuh manusia lain sesuka hati mereka. Sedangkan sekutu kami tidak mampu menumpaskan Wak Sujih. Tidak tanpa Lawangsuri. Selepas secara tidak sedar kamu telah membunuh tiga lelaki jahat itu dan ibu tiriku kamu yang jalang, kami tahu. Lawangsuri telah bangkit dari tidur yang panjang,” beritahu Rano Karjo lagi.
Sekarang barulah jelas semuanya. Lawangsuri sendiri telah mencari aku. Dia menyamar menjadi rakan karib ibuku dan bertemu denganku di depan kubur ibu. Rantai yang dia berikan kepadaku selama ini mungkin kunci atau lambang yang aku adalah tuan barunya.
Julianshah mengeluh sambil bergeleng kepala. Dahinya berkerut. Sepertinya dia tidak boleh menerima semua itu. Aku sudah tidak kisah. Sekarang aku sudah tahu apa tujuan ilmu ini.
“Apa yang perlu saya buat?” tanya aku akhirnya.
“Zara!” panggil Julianshah.
Julianshah pandang aku dengan muka yang berkerut.
“Saya mahu kamu seru Lawangsuri dan tewaskan Wak Sujih. Saya pernah cuba tewaskan dia, namun saya hampir kehilangan nyawa saya,” balas Rano Karjo.
“Zara. Awak kena fikirkan dahulu hal ni. Takkan awak…” ucap Julianshah dengan tergantung.
Aku tidak mahu dengar apa kata seterusnya dari Julianshah.
“Sudah Julianshah. Aku dah fikirkan semuanya dan keputusan aku muktamad!” cantasku.
Julianshah mengetap giginya lalu mengeluh. Dia bersandar pada kerusinya. Wajahnya tampak kecewa.
“Di mana aku boleh cari dia?”
“Sabar dahulu Zara. Belum masanya untuk kamu bertindak. Saya juga marah dan berdendam seperti kamu, tapi kamu harus kawal diri kamu. Kerana untuk menentang dia, akal kamu harus sama tajamnya dengan ilmu kamu,” tingkah Rano Karjo.
Aku tatap matanya tajam. Sedang dia cuba mengukir senyuman kecil sambil mengangguk kepalanya. Isyarat menyuruh aku bertenang. Tidak membiarkan dendam dan amarah menguasai diriku.
Satu rengusan kasar aku lepaskan. Perlahan-lahan air mataku mengalir lagi. Tapi cepat-cepat aku kesat dengan lengan bajuku.

PANAS terik matahari di sebelah pagi menganjakkan masa ingin memasuki waktu tengah hari. Namun, Wak Sujih masih berkurung di dalam bilik bacaannya. Riak wajahnya tampak sedih dan kesal. Sedang fikirannya membawa dia ke masa silam.
Ketika itu dia dan Mahsuri Dewi masih anak kecil. Usianya dua tahun tua dari Mahsuri Dewi. Kedua-dua bapa mereka berkawan baik. Begitu juga dengan mereka. Ke mana saja, mereka sukar dipisahkan. Ketika dia berusia 12 tahun, dia sudah mula dilatih. Mahsuri Dewi juga begitu. Tiga tahun kemudian, mereka diberikan ilmu yang mampu memberikan mereka kuasa menyeru makhluk yang luar biasa.
Usia remaja mereka dipenuhi dengan tugasan yang menjadikan mereka seorang pembunuh. Namun, mangsa mereka adalah golongan manusia yang berhati keji seperti perogol, pembunuh bersiri dan semua manusia yang sudah melakukan kejahatan kepada manusia lain.
“Saya sudah tidak betah melakukan semua ini lagi Sujih,” kata Mahsuri Dewi menitiskan air matanya malam itu. Malam di mana mereka baru selesai menonton wayang dipanggung.
Dalam perjalanan pulang, mereka singgah di sebuah kedai makan.
“Kita tidak punya pilihan Mahsuri,” balas Wak Sujih.
Wak Sujih cuba memujuk.
“Tidak! Kita punya pilihan. Cuma dari kita saja untuk mengambil pilihan itu atau sebaliknya,” tingkah Mahsuri Dewi dengan tegas.
Wak Sujih mengeluh. Tapi dia tetap cuba untuk tersenyum walau sedikit.
“Saya mengerti perasaan kamu. Tapi ini semua sudah menjadi takdir kita. Sudah terlalu jauh langkah kita untuk diundur Mahsuri. Gelaran pemburu dan pembunuh itu sudah terpahat pada diri kita. Nama kita. Dan ia tidak akan bisa dipadam buat selamanya,” ujar Wak Sujih.
Mahsuri Dewi mengatup wajahnya dengan kedua tapak tangan. Air matanya masih mengalir. Menyesak hati Wak Sujih melihat setiap titis air jernih itu.
“Sudahlah Mahsuri. Hapuskan air matamu. Sungguh aku terseksa melihat kamu begini. Aku mohon kamu jangan bersedih lagi,” ujar Wak Sujih.
Bersungguh Wak Sujih memujuk kekasih hatinya itu.
Beberapa bulan selepas malam itu, satu perbalahan telah berlaku di antara persatuan yang telah menggunakan kuasa mereka untuk membunuh sesiapa saja demi duit. Bapa Mahsuri Dewi adalah ketua persatuan yang paling lantang bersuara dalam perjumpaan yang tegang itu.
Di situlah bermulanya perkenalan mereka kepada Rano Karjo. Anak kepada Karjo Judika. Ketua persatuan Mancang Ireng yang telah melanggar peraturan yang telah ditetapkan kepada semua persatuan yang ada. Di mana hanya manusia berlaku jahat sahaja akan dibunuh dan cara pembunuhan haruslah dibuat seperti ia adalah kematian semulajadi atau kemalangan. Agar tidak menimbulkan curiga kepada masyarakat biasa.
Dari pandangan mata Rano Karjo memerhatikan Mahsuri Dewi, Wak Sujih tahu pemuda seusianya itu punya hati dengan kekasihnya. Malah Rano Karjo tidak teragak-agak untuk menegur dan menabur kata manis kepada Mahsuri Dewi di depannya.
“Jaga mulutmu! Dia ini kekasihku. Mustahil kamu tidak tahu tentang itu,” tingkah Wak Sujih.
Satu ketika, Wak Sujih hilang sabar dan menegur Rano Karjo di depan Mahsuri Dewi.
“Hanya kekasih ya sudah marah-marah begini. Ya kalau belum bernikah, maknanya aku masih ada peluang kan?” ujar Rano Karjo
Rano Karjo tersenyum sinis.
“Kau..!” laung Wak sujih yang hendak meluru ke arah Rano Karjo tapi dihalang oleh Mahsuri Dewi.
Gadis itu menariknya pergi jauh dari Rano Karjo.
“Jangan termakan dengan umpannya Sujih! Dia mahu kamu jadi punca kepada peperangan yang tidak diingini oleh semua kita,” kata Mahsuri Dewi.
Wak Sujih merengus kasar. Dia terpaksa menelan semua amarahnya. Perlahan-lahan Mahsuri Dewi memegang tangannya. Sentuhan gadis itu terasa seperti air yang memadamkan api kemarahannya.
“Sudahlah,” pujuk Mahsuri Dewi dengan suara yang lembut.
Wak Sujih mengeluh panjang sebelum dia anggak kepala sambil cuba tersenyum.
Tetapi dua bulan kemudian, perang yang cuba dielak berlaku jua. Persatuan Mancang Ireng yang diketua oleh Karjo Judika, telah membina sekutu dengan beberapa persatuan lain. Di mana mereka mahu peraturan lama dihapuskan agar mereka boleh membunuh sesiapa saja dengan makhluk peliharaan mereka.
Kedua orang tua Wak Sujih dan Mahsuri Dewi telah bergabung dengan beberapa persatuan yang lain untuk menentang sekutu Mancang Ireng. Ayah Mahsuri Dewi nekad berjumpa dengan Karjo Judika dan cuba berbincang secara baik tentang perbalahan mereka. Kerana mereka berkawan baik dari kecil lagi, Karjo Judika akhirnya setuju untuk berdamai. Dia juga insaf dengan perbuatannya selama ini.
Isteri Karjo Judika tidak puas hati dengan semua itu. Dia mahu suaminya terus menjadi ketua kepada persekutuan mereka ketika itu. Kerana dia sudah muak melihat ayah Mahsuri Dewi menjadi ketua kepada semua persatuan yang ada di Indonesia dan Malaysia. Di belakang Karjo Judika, dia telah merancang pembunuhan ayah Mahsuri Dewi.
Selepas memberitahu tentang hal Karjo Judika kepada ayah Wak Sujih, ayah Mahsuri Dewi pulang ke rumah bersama isterinya. Tapi mereka tidak pernah pulang malam itu. Mahsuri Dewi memberitahu hal tersebut kepada ayah Wak Sujih.
Pagi itu, kedua orang tua Mahsuri Dewi ditemui mati di dalam kereta mereka. Jantung mereka ditarik keluar. Ayah Wak Sujih terus menjalankan siasatan. Mengggunakan semua kenalan yang dia ada termasuklah ketua polis negara Indonesia, akhirnya pembunuh telah dikenal pasti. Namun, semua mereka menuduh Karjo Judika yang bertanggungjawap. Walaupun ketua Mancang Ireng itu bersungguh kata dia tidak melakukannya.
Mahsuri Dewi tidak mahu menanti apa saja tindakan dan perbicaraan yang hendak dilakukan kepada Karjo Judika. Di sebabkan ingin membalas dendam dan sikap amarah, Mahsuri Dewi nekad membunuh Karjo Judika dan keluarganya.
“Berhenti Mahsuri!” ujar Wak Sujih. Tetapi sudah terlambat. Karjo Judika dan isterinya telah pun putus kepala dibunuh oleh makhluk milik Mahsuri Dewi iaitu Lawangsuri.
Ketika itu, Mahsuri Dewi sedang memegang pisau di tangan. Sedang Lawangsuri sedang mengunci gerak Rano Karjo.
“Jangan bunuh dia Mahsuri! Aku mohon Mahsuri. Dengarkan aku,” rayu Wak Sujih.
“Biarkan dia hidup Mahsuri. Orang yang kamu dendam sudah kamu tewaskan. Dia tidak salah apa-apa kepadamu Mahsuri,” bersuara Wak Sujih sekali lagi.
Akhirnya dia berjaya memujuk dan menenangkan Mahsuri Dewi. Manakala Rano Karjo telah menghilang entah ke mana. Persatuan Mancang Ireng dilenyapkan dan semua sekutunya diberi kata dua. Beroperasi mengikut peraturan, atau dihapuskan. Semua mereka terpaksa akur.
Selepas berjaya membunuh Karjo Judika, nama Mahsuri Dewi melonjak naik. Ini kerana Karjo Judika adalah ketua persatuan dan penyeru yang digeruni. Tapi Mahsuri Dewi telah menolak tawaran untuk menggantikan tempat arwah ayahnya menjadi ketua kepada semua persatuan di Indonesia dan Malaysia.
Mahsuri Dewi telah memberikan mandat itu kepada ayah Wak Sujih. Dia telah memberitahu kepada semua yang dia akan menutup persatuan ayahnya. Di situlah kisah cinta Wak Sujih dan Mahsuri Dewi berakhir. Tiada apa yang mampu dia lakukan dan katakan untuk mengubah fikiran Mahsuri Dewi.
Mahu atau tidak, Wak Sujih terpaksa menerima perpisahan itu. Mahsuri Dewi telah berhijrah ke Malaysia dan bertemu dengan lelaki melayu kacukan yang akhirnya menjadi suaminya. Ayah kepada Zara. Walaupun Wak Sujih sedar Mahsuri Dewi berada di luar Indonesia akan tetapi Wak Sujih sering berulang-alik dari Indonesia ke Malaysia. Ini kerana ingin mengikuti perkembangan hidup Mahsuri Dewi sehinggalah kekasihnya itu mengandungkan Zara. Dia akhirnya berhenti mengintai kehidupan Mahsuri Dewi.
Hasil dari siasatan Wak Sujih dan ayahnya, mereka akhirnya mendapat tahu yang sebenarnya kedua orang tua Mahsuri Dewi dibunuh oleh seorang penyeru yang diupah oleh ibu Rano Karjo. Penyeru itu telah ditangkap dan dijatuhkan hukuman mati.
Setahun selepas itu, Wak Sujih menerima berita kematian Mahsuri Dewi. Bila disiasat, bekas kekasihnya itu meninggal kerana sakit. Sekali lagi dia terpaksa redha. Tetapi tidak lama selepas itu, dia menerima satu lagi berita kematian. Kali ini melibatkan anak saudara kesayangannya, Juwita. Hasil siasatan berbeza. Buat dia syak Juwita dibunuh oleh Rano Karjo. Tapi dia memerlukan bukti atau pengakuan dari Rano Karjo sendiri.
Wak Sujih yang sudah kembali ke alam nyata, mengeluh berat dan panjang. Seperti ayahnya, Rano Karjo kini mahu memulakan peperangan. Wak Sujih pasti, dia adalah sasaran utama Rano Karjo kerana ayahnya sudah meninggal dunia. Sakit tua.

AKU hanya diam dalam perjalan ke tempat kerja. Menjadikan jeda sepi berpanjangan. Aku tahu sepanjang perjalanan itu Julianshah sedang memikirkan ayat yang dia rasakan paling sesuai untuk memulakan bicara. Aku pula sengaja mempamerkan rasa marah di hatiku melalui riak wajahku.
“Saya harap awak tak percaya dengan kata-kata orang tua. Tak mungkin semua yang dia cakap tu wujud. Persatuan yang ketuanya boleh seru makhluk dari alam mana entah? Filem negara mana orang tua tu tengok pun saya tak tahu,” ujar Julianshah.
“Habis macam mana dengan kebolehan kita melihat hantu ni? Filem negara mana pula yang kita dah tengok?” balasku dengan sinis.
Julianshah terdiam. Tersenyum sebelum menggeleng kepala. Aku sambung mendiamkan diri. Sesekali ada keluhan halus yang terhembus membawa pergi secebis rasa sesak di fikiranku. Dendam dan amarah tidak mahu keluar dari ruang hati. Sekadar menanti masa untuk dilepaskan dan dipuaskan.

Aku sekadar mengucapkan ucapan terima kasih apabila kami sudah sampai di destinasi. Aku sudah lambat. Dengan langkah bergegas, aku menuju ke bilik penyimpanan barang dan mendaftar masuk kerja. Ketika aku berjalan ke kaunter di mana aku ditugaskan hari ini, aku sudah menantikan panggilan dari supervisor.
Ternyata benar, aku akan ke pejabat Puan Ipah lagi. Seorang rakan sekerja memberitahu aku yang singa betina itu mahu berjumpa dengan aku. Lepas mengeluh berat sendiri, aku bergerak menuju ke pejabat Puan Ipah.
Sebaik aku ketuk pintu, masuk dan duduk di kerusi menghadap dia, maka bermulalah sesi basuhan telinga. Dengan muka serius, penyelia perempuan di depanku bersuara.
“Boleh saya tahu kenapa awak lewat hari ni?” soal Puan Ipah kepadaku.
Aku cuba menahan rasa marah di hati mendengar suara sinisnya itu.
Setahu aku, tidak pernah lagi aku lewat sepanjang kerja di sini. Ini kali yang pertama. Tapi dia layan aku macam aku sudah seratus kali datang lewat. Ini mesti kes dia berdendam sebab aku bentak dia hari itu.
“Maafkan saya puan. Saya janji tak lewat lagi,” ucapku di depannya.
Aku sengaja bagi alasan budak sekolah.
“Ini bukan soal lewat. Tapi soal disiplin. Tak kira hebat mana pun awak, kalau tak berdisiplin, awak takkan ke mana,” ujarnya, masih dengan nada sinis.
Aku mula mengetap gigi. Menghela keluhan halus. Sedang amarah mula memberontak di dalam hatiku. Entah macam mana aku hendak tenangkan rasa marah ini.
“Sebab-sebab macam beginilah bangsa kita susah nak maju. Tapi bila tengok bangsa lain berjaya, mulalah bising. Lepas tu buat alasan kata bangsa lain tu berniaga tak jujurlah, guna cara haramlah, dan macam-macam lagilah,” bebel Puan Ipah lagi.
Kata-katanya itu seperti minyak tanah yang disimbah ke arah api kemarahanku.
“Sia-sia aje mak ayah awak hantar awak ke sekolah kalau macam ni. Harapan mereka bila awak besar macam ni, bolehlah jadi manusia berdisiplin,” sambung Puan Ipah lagi.
Aku tatap matanya tajam.
‘Berapa kali aku nak cakap kat kau, jangan libatkan ayah dan ibu aku!’ ucapnya dalam hatiku.
Kemarahanku tidak terbendung lagi.
Hapuskan dia Zara! Baca mantera itu. Biarkan Lawangsuri menjamah nyawa perempuan tak guna ini! Mengejut suara wanita bergema di telinga kiriku.
Aku cuba melawan. Tapi aku tewas dengan sifat amarahku. Hingga aku buat pertama kalinya, membaca mantera itu dalam sedarku. Aku pandang tepat mata penyeliaku itu.
“Dalam kegelapan… Aku membuka pintu buatmu. Keluarlah kau. Patuhi perintahku. Bunuhlah musuhku itu…dan nyawanya menjadi milikmu!”
Dalam sedar, aku melafazkan setiap perkataan.
Puan Ipah itu tergamam mendengarnya. Aku kemudian bergegas keluar dari pejabatnya dan menuju ke tandas. Tidak mempedulikan mata-mata yang sedang memerhati.
Di dalam tandas aku termuntah. Kepalaku pusing. Tapi tidak seteruk yang sebelumnya. Dalam masa beberapa minit, aku kembali pulih. Tapi hatiku masih berdebar.
Apa yang aku dah buat tadi? Gumamku di dalam hati. Namun, penyesal yang hadir di hati sudah terlambat.

HANYA tinggal tiga minit sebelum masa rehatku. Kebetulan tidak ramai pelanggan ketika itu. Aku sudah bersiap untuk makan tengah hari. Tapi tiba-tiba kelihatan Puan Ipah datang denga riak wajah bersalah. Dia berdiri di depan kaunter aku bertugas. Menarik perhatian ramai rakan sekerja.
“Zara… saya nak minta maaf kepada awak. Maafkan saya,” luah Puan Ipah.
Dengan riak penuh bersalah dia mengungkapkan kata. Buat aku terkejut. Begitu juga dengan rakan sekerja yang lain.
“Saya pun minta maaf puan,” balasku.
Sememangnya aku juga ada salah dengannya. Aku memang sudah lewat ke tempat kerja.
Penyeliaku itu kemudian berjalan ke pejabatnya. Beberapa orang kawan sekerja pandang aku. Tanya aku apa halnya semua itu. Aku sendiri tidak tahu.
Ketika budak yang ganti aku datang, terus aku dan dua rakan sekerja berjalan ke food court, makan tengah hari. Kami berborak kosong sambil makan. Tapi aku lebih banyak mendengar dari bercakap.
Di sebalik semua itu, fikiranku masih melayang. Memikirkan kembali tentang Puan Ipah yang dibenci hampir semua pekerja di situ. Ramai rakan sekerja menyumpah dan memaki dia di belakang. Tapi aku tidak pernah lakukan semua itu. Hinggalah dia melibatkan kedua orang tuaku atas kesalahan yang aku lakukan. Itu buat aku marah betul.
Tapi apa yang aku lakukan kali ini sesuatu yang aku sendiri tidak sangka. Suara wanita yang berbisik di telinga kiriku itu masih menjadi misteri. Adakah mantera yang aku baca mampu menyeru makhluk yang dipanggil Lawangsuri? Itu juga masih jadi tanda tanya.
Namun, bila aku melihat Puan Ipah datang kepadaku dan meminta maaf, aku jadi separuh yakin. Mantera dan kebolehannya menyeru makhluk yang mengerikan tidak benar. Lelaki tua bernama Rano Karjo itu mungkin seorang banyak menonton filem seram dan fantasi.
Mengejut kedengaran seorang pekerja perempuan menjerit ketakutan. Menarik banyak perhatian. Termasuklah aku. Dari meja yang aku duduk, aku mampu melihat dengan jelas dia berlari ketakutan.
Aku dan dua rakan sekerja pantas bangun dan bergegas ke tempat kejadian. Ingin ambil tahu apa yang sudah terjadi. Di situ sudah ramai pekerja dan pelanggan berkumpul. Ada yang muntah dan juga yang menjerit terkejut.
“Apa dah jadi tu?” tanya Suzie, rakan sekerjaku, kepada pekerja yang lain.
“Puan Ipah! Di… dia dah mati. Kepalanya putus!”
Telingaku berdengung mendengar itu. Semua manusia kelihatan bergerak pada kelajuan yang perlahan. Slow motion bak kata orang putih.
Ternyata ianya benar! Mantera itu memang boleh menyeru makhluk yang membunuh! Aku berdiri dalam kebingungan. Tidak tahu berkata dan berbuat apa. Kedua pelipisku berdenyut. Akalku tidak berfungsi. Ia keliru dengan semua yang sedang dan sudah terjadi.
Aku berjalan meninggalkan tempat kejadian. Tidak perlu aku lihat bagaimana keadaan mayat Puan Ipah. Aku sudah boleh bayangkan. Langkah demi langkah aku hayun tanpa arah yang pasti. Jantungku berdegup pada ritma yang cukup pantas.
Kalau mantera ini benar, maknanya semua cerita Rano Karjo itu juga benar. Jadi ibu telah dibunuh kerana hasad dengki! Memikirkan kenyataan itu buat dendam dan amarah di hatiku kembali memberontak.
Aku merengus kasar. Segala rasa terkejut dan bingung di hati ini sudah menghilang. Yang ada hanya dendam dan kemarahan. Langkahku yang tadinya lemah, kini bergerak teguh dan gagah.
Kini semuanya sudah sangat jelas. Makhluk yang dipanggil sebagai Lawangsuri datang mencari aku atas satu misi. Membalas dendam kematian ibuku! Aku bersumpah akan memburu dan menghapuskan lelaki yang sudah merampas kebahagiaanku. Menjadikan hidupku lebih merana selepas ayah berjumpa dengan perempuan jalang itu.
Kalau kau dan aku bersatu, semua musuhmu akan terhapus dari muka bumi ini! Suara wanita itu bergema di telinga kiriku lagi. Menambah minyak tanah kepada api dendam dan kemarahanku.
Aku Lawangsuri menurut perintahmu tuan. Berkata suara wanita itu lagi.
Nyawa musuhku itu akan jadi milikmu Lawangsuri! Aku membalas dalam hati.

RANO KARJO memerhatikan kekecohan di dalam bangunan Aeon Big cawangan Seksyen 23, Shah Alam dari dalam sebuah kereta mewah,. Bersamanya duduk seorang lelaki tua seusianya. Ketua kepada salah satu persatuan yang menjadi sekutunya.
“Ternyata Lawangsuri masih hebat seperti dulu!” luah Rano Karjo.
Rano Karjo ketawa besar sendiri.
Lelaki yang duduk bersamanya itu sekadar memerhati dengan riak serius.
“Kau yakin anak Mahsuri Dewi itu akan menjadi sekutu kita?” tanya lelaki itu.
“Tenang saja Dhamak, dia sudah pun menjadi sekutu kita,” beritahu Rano Karjo.
Rano Karjo memberi jaminan.
Tapi Dhamak masih tampak serius dan kurang yakin. Buat senyuman di bibir Rano Karjo pudar.
“Adakah kamu kurang yakin dengan saya Dhamak?” tanya Rano Karjo dengan serius.
Dhamak mengeluh halus. Ada takut tersirat pada riak seriusnya itu kini.
“Maaf. Aku bukan tak yakin dengan kau. Cuma aku takut dia khianat kita,” balas Dhamak.
Dhamak memberi alasan.
“Tapi nada suaramu tadi seperti mempertikai kebolehan saya,” ujar Rano Karjo
Tajam pandangan yang ditujukan Rano Karjo.
“Maafkan aku Rano Karjo,” pinta Dhamak.
Dhamak tewas.
Dia masih sedar yang Rano Karjo bukan lawannya. Kekuatan makhluk ketua persatuan Mancang Ireng itu bukan calang-calang.
“Saya bisa menghancurkan Sujih Darmowo itu. Tapi itu terlalu mudah dan tidak menyakitkan. Aku mahu melihat dia menderita saat dia tahu yang nyawanya diragut oleh makhluk yang pernah dimiliki oleh wanita yang dia cintai,” bersuara Rano Karjo yang kembali ketawa besar.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/97178/karma