[SNEAK PEEK] HARGA SEBUAH CINTA

HARGA SEBUAH CINTA Oleh Hani Fazuha

HUJUNG minggu itu, aku bermalam di rumah sewaku. Walau tinggal di rumah Zura, aku masih menjadi penyewa rumah tersebut kerana aku tidak akan selamanya tinggal di rumah besar itu. Perancanganku hanya sebulan dua dan apabila aku sudah cukup duit untuk membeli sebuah kereta, aku akan kembali tinggal di rumah sewaku.

Zura memang ingin aku terus tinggal di rumahnya tetapi ada banyak sebab untuk aku menolaknya terutama sekali dengan kewujudan Zhafir di rumah itu yang makin membuatkan aku kurang selesa. Namun, alasan yang kuberikan pada Zura hanya satu, ingin berdikari dan tidak ingin terlalu bergantung pada dia dan keluarganya.

Selalunya apabila bermalam di rumah sewa, aku terpaksa bangkit awal untuk ke tempat kerja kerana Aleeya hanya akan menghantarku ke stesen komuter Serdang. Dari situ, aku harus menaiki KTM ke Subang Jaya dan menaiki teksi untuk ke pejabat.

Pagi Isnin itu, sebaik melepasi pintu utama pejabat, pandanganku menyapa kelibat Zura yang sedang berborak bersama tiga orang lelaki di ruang legar berhampiran dengan kaunter penyambut tetamu.

“Fea!” Zura terjerit memanggil namaku sebaik melihat aku masuk. Pantas dia bergerak mendekatiku. Serentak dengan itu, tiga pasang mata yang sedang bercerita dengannya menoleh pandang ke arahku. Aku memandang sekilas pada ketiga-tiga lelaki yang berbual-bual bersama Zura tadi, tetapi aku tersentak saat pandanganku menyinggah pada salah seorang daripada mereka. Dadaku bergetar hebat.

Arman! Kenapa mataku seakan ternampak bayangan Arman? Benarkah salah seorang daripada mereka itu ialah Arman? Benarkah lelaki yang lengkap bersut coklat yang sedang berdiri di tengah-tengah Ikmal dan Zhafir itu, Arman?

“Jom! Aku kenalkan dengan ‘dia’” Zura berbisik perlahan padaku sambil menarik tanganku menghampiri tiga lelaki tersebut.

“Arm, kenalkan… best friend I, Fea… Hanisofea.” Tatkala Zura memperkenalkan kami, aku terasa ingin rebah di situ juga. Ya! Memang dialah Arman. Lelaki yang pernah mengajarku tentang makna cinta yang di dalamnya penuh dengan keindahan.

“Fea… ni Arman.” Zura memperkenalkan lelaki itu kepadaku pula tanpa menyedari riak wajahku yang sudah berubah.

“Yang selalu aku cerita kat kau tu,” sambungnya lagi bagai berbisik di telingaku.

Zura tersenyum bahagia menyebut nama lelaki itu manakala aku pula… bagai sedang dibakar api marak yang merentungkan hati dan seluruh perasaanku. Kenapa ada pertemuan yang sebegini kejam?

“Hai!” Hanya itu yang mampu keluar dari bibirku sebagai cara menyapa orang yang baru diperkenalkan kepadaku. Sedang hakikatnya, aku lebih lama mengenalinya.

Arman tidak membalas, sekadar mengangguk berbahasa isyarat tetapi aku tahu, dia sebenarnya sudah mati kata-kata dengan pertemuan ini. Ya! Siapa sangka, kami akan dipertemukan semula di sini dalam suasana begini.

“Hai, darling! Dah breakfast ke?” Ikmal yang entah dari mana datangnya tiba-tiba mencelah. Selamba wajahnya seselamba dia memanggilku darling mengejutkan semua orang yang berada di situ termasuklah aku sendiri. Serta-merta semua mata berkalih pandang ke arahnya. Nampaknya, dia semakin berani berlagak Romeo di hadapan semua orang.

“What? Anything wrong?” Dia menyoal sambil menyengih, pura-pura tidak faham apa-apa.

Zhafir melirik ke wajahku sebelum menjeling Ikmal. Arman pula bagai enggan melarikan pandangannya daripada terus menatap wajahku. Aku rasa seperti hilang seluruh jiwa, seolah-olah hanya jasad yang berdiri tanpa nyawa.

“Eh! Jom, ikut kita orang pergi breakfast.” Zura tiba-tiba bersuara memecah kebisuan antara mereka. Dia sudah bertindak memaut lenganku.

“Err… thanks, but no!” Aku cepat-cepat menolak lembut.

“Alaa… jomlah temankan aku, please…” Zura merayu seraya mempamerkan wajah simpati. Kalaulah dia tahu hatiku sedang menangis saat ini, pastinya dia tidak tergamak merayuku begitu.

“Sorry, Zura… aku ada banyak benda nak settle sebenarnya. Maybe next time, okay?” ucapku sebelum menepuk bahunya sebagai isyarat meminta diri.

Tanpa mempedulikan tiga pasang mata yang memandang, aku beredar memasuki pintu utama pejabat berserta air mata yang bergenangan, menunggu masa untuk menitis keluar. Kenapa harus ada pertemuan yang menyakitkan begini?

Tidak daya rasanya mahu terus melangkah namun, aku gagahkan juga kedua-dua kaki ini untuk menjauhkan diri daripada semua yang menyakitkan itu. Aku kalah dengan takdir tetapi selagi nafas belum berhenti, selagi itulah aku harus menelan segala kepahitan.

Duduk di meja kerja, aku jadi tidak tahu mahu berbuat apa. Kenapa harus dia yang menjadi pujaan Zura? Kenapa harus Zura yang menjadi pilihannya? Aku mula tertanya-tanya diri sendiri.

Sambil termenung, keyboard computer aku tekan-tekan tanpa sedar. Entah apa perkataan apa yang kutaip, aku tidak tahu. Ketukan kuat jariku sehingga mengeluarkan bunyi bising tetapi kebisingan itu ibarat satu irama yang mengiringi permainan mindaku.

“Oi! Cik Fea… tengah marahkan apa ni? Kesian keyboard tu jadi mangsa.” Encik Badri yang menjenguk di sebalik partition menyergahku.

Terkejut aku. Spontan tanganku mengurut dada. Aku senyum segaris, bagi menutup kecelaruan di hati. Wajah Arman dan Zura yang sejak tadi bertamu di segenap ruang fikiran terus lenyap diusir suara lelaki itu.

“Mana ada marah! Keyboard ni degil sangat. Tekan lembut-lembut tak mahu, kena kuat-kuat baru mahu.” Aku memberi alasan sambil pura-pura ketawa lucu.

“Yalah tu. Keyboard yang degil ke atau tuannya yang ganas?” usik Encik Badri sebelum dia menyambung langkah masuk ke biliknya.

Aku melepaskan nafas lega. Terlepas satu beban! Perginya lelaki itu, aku sekali lagi termangu. Nama dan wajah Arman singgah semula menggamit kisah lama.

“Kalaupun bumi ini terbelah menjadi dua, cinta saya tetap bertaut satu dan yang satu itu hanya untuk awak.” Mengingatkan janji manisnya suatu ketika dahulu, hatiku jadi sakit dan pedih. Kesakitan itu bagai membunuh seluruh perasaanku. Bertahun lamanya aku mengubat luka itu dan kini, dia kembali muncul menggores parut lama.

Aku tidak dapat menahan perasan. Kelopak mataku sudah membahang panas. Air jernih bergenang mengaburi pandangan. Dadaku berkocak hebat menahan rasa. Ada sesuatu yang masih tersimpan di situ. Sesuatu yang tidak mampu aku luahkan sehingga ke saat ini.

Simpulan cinta yang dia ikat di hatiku masih kemas di situ. Janji manisnya untuk terus hidup bersamaku masih kuingat hingga ke hari ni. Cuma dia mungkin sudah melupakan segalanya.

Oh, TUHAN… andai dia bukan tercipta untukku, kau dorongkan jalan untukku menghapuskan rasa itu dan namanya dari hatiku. Tapi, andai dia memang KAU cipta untukku, kau tunjukkanlah aku jalannya dan hikmah-MU.

Dengan langkah longlai, aku bangun menuju ke surau. Pagi-pagi buta masuk ke surau memang terasa janggal, tetapi hanya di situlah tempat untuk aku mencari ketenangan.

Aku duduk bersandar di dinding sambil menarik kedua-dua lututku rapat ke dada. Tanganku bergerak perlahan menarik tudung, meleraikan rambut yang tersimpul di dalamnya. Sambil mencium haruman rambut sendiri, ingatanku kembali semula kepada Arman.

“Saya suka rambut awak, cantik sangat,” puji Arman sambil memandang rambutku yang lurus dan sedikit ikal di hujungnya ketika itu.

“Awak jangan potong, tau? Simpan sampai panjang, sampai kita kahwin.” Itu yang dia minta dan permintaannya masih aku ingat. Waktu itu rambutku cuma separas bahu dan baru sekali aku memotongnya. Kini, ia sudah mencecah ke paras pinggangku.

Tiba-tiba sahaja aku terasa ingin menangis. Cepat-cepat aku telangkupkan wajahku ke lutut. Dan di situlah air mataku gugur setitis demi setitis. Kenapa rasanya begitu sakit dan pedih sekali? Bagaimana untuk aku lenyapkan sisa-sisa harapan yang masih tinggal di hati ini?

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/93975/harga-sebuah-cinta

REVIEW DIA LEBIH MENGERTI

 

9789834211503-medium
EBUKU DIA LEBIH MENGERTI OLEH NORHAYATI BERAHIM

Sesekali bukan tidak diikut akal warasnya. Sesekali bukan tidak difikirkan rasa cinta yang masih ada. Namun kenangan silam, cukup membuat seorang Umairah terpaksa mengalah. Diperendah dan dihina, dinista dan hanya mampu mendapat sisa. Umairah akur kehendak takdir. Cinta itu bukan untuknya.

Tetapi lelaki yang bernama Syed Abid tidak mengerti. Terlalu besarkah kesalahannya sehingga Umairah marah? Terlalu banyakkah dosanya sehingga Umairah mengalah? Bagi lelaki ini, cinta yang ditemuinya kali ini, cinta sejati.

Bagaimana Umairah marah, bagaimana Umairah mengalah. Tidak semudah itu dia akan menyerah kalah. Cintanya hanya untuk Umairah. Tiada siapa yang boleh menegah. Kerana bagi Syed Abid, cinta yang ada dihatinya, hanya dia sahaja yang mengerti.


Satu cerita yang tidak menghampakan. Penulis sendiri tidak pernah menghampakan. Jalan cerita yang dekat dengan masyarakat dimana ada perbezaana antara
Umairah sejak kecil lagi amat dibenci oleh mama dan kakaknya sendiri.

Oleh itu, dia diberi kepada neneknya untuk dibela di kampung. Bila besar, perbezaan antara dia dan kakaknya, Amy Natasha (Amy), sangat ketara. Umairah lebih cenderung kepada agama dan lebih lembut budi bahasanya. Amy pula mengikut perangai mamanya, Datin Asmah yang pemarah dan lepas laku. Semasa Amy belajar di UK, dia bercinta dengan Syed Abid. Namun, hubungan mereka putus bila mamanya membantah. Selepas sepuluh tahun berlalu, banyak yang telah berubah. Datin Asmah telah lumpuh kerana terkejut suaminya telah berkahwin lain. Tetapi dia dijaga oleh Umairah dan mula berubah kepada kebaikan. Syed Abid pula terpesona bila bertembung dengan Umairah di KLIA. Lalu dia mengekori Umairah dan mula mendekati Umairah. Hubungan mereka berkembang mesra walaupun Abid tidak berterus terang mengenai siapa dirinya yang sebenar.

Suatu hari Umairah ternampak gambar Abid bersama kakaknya. Dia kecewa dan mula menjauhkan diri. Abid merana dan cuba sedaya upaya untuk mendekati Umairah. Dia meminta pertolongan ibu tiri Umairah serta bapa Umairah. Mereka akhirnya disatukan dengan restu keluarga. Tetapi Datin Asmah terbunuh kerana mangsa amarah Amy. Amy terus hilang ingatan bila dia dipenjarakan.

Tragis bila mengenangkan jalan cerita ini. Satu jalan cerita yang menarik.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/48489/dia-lebih-mengerti

 

[SNEAK PEEK] CUMA DIA

9789831244357-medium
EBUKU Cuma Dia Oleh Norzailina Nordin

SENYUMAN yang masih bersisa di bibir Dalila lenyap serta-merta tatkala mereka bertentang mata. Degupan jantungnya kencang. Lututnya terasa lemah. Jari-jemarinya menggeletar dan dia hampir-hampir sahaja rebah jikalau tidak memaut kerusi yang paling hampir dengan pintu itu. Iqbal?

“Dalila… you… you terkejut tengok I?”

Gadis itu hanya merenung Iqbal seolah-olah dia tidak berpijak di bumi nyata. Seakan-akan lelaki itu hanya ilusi. Dan dia seperti berhalusinasi.

“Duduk dulu…” pinta Iqbal sambil tersengih. “Ah, macamlah ni ofis I! You… you nampak luar biasa cantik, Lila. Tadi I hampir tak cam muka you. Ada seri yang tak pernah I nampak sebelum ni. You memang dah berubah. You tak macam yang I kenal dulu.”

Dalila menghela nafas panjang. “Iqbal…”

“Maafkan I, Lila. I tak bagi tahu yang I dah balik dari Tanzania. Masa di sana pun, I cuba contact you, tapi you pun faham. Kat sana tak macam sini.”

Iqbal sudah berubah! Rambutnya panjang mencecah bahu. Mukanya lebih cengkung daripada dulu. Dan tubuhnya ternyata lebih kurus sehinggakan kemeja corak kekotaknya nampak terlalu besar. Malah, kulitnya juga lebih gelap.

“Iqbal…”

“Dengar dulu cerita I, Lila.”

Dalila deras menyampuk. “Tapi ni waktu kerja. I rasa tak patut sangat kalau…”

Lelaki itu mengangkat tangan kanannya ke atas sedikit, seolah-olah meminta izin untuk mencelah percakapan Dalila. Matanya bersinar dengan semangat yang berkobar-kobar. Dia seolah-olah sudah menunggu saat pertemuan ini sekian lama sehingga setiap inci tubuhnya begitu teruja dan dia tidak dapat mengawal gerak hatinya.

“I tahu, Lila. I sanggup tunggu. Petang ni, I datang jemput you lepas habis kerja, ya?”

“I tak tahu pukul berapa. I sibuk hari ni, Iqbal.”

“Esok?” cadang lelaki itu. “Atau lepas you habis semua kerja? I dah lama tunggu nak jumpa you, nak makan dengan you dan berbual dengan you. I tahu kita dah banyak habiskan masa dengan sia-sia. Jadi, kita akan cuba bersama setiap masa yang terluang.”

Dalila melemparkan pandangan ke langit dan kepulan awan umpama sisik-sisik ikan di persada kebiruan. “You dah berubah, Iqbal.”

“Ya, I dah kurus, rambut I dah panjang… I tak sempat ke kedai gunting sebab tak sabar nak jumpa you,” jelas Iqbal. “You pun sama. I nampak ada cahaya bahagia di mata you. You rindukan I ya, Lila?”

“Sebelum ni, you tak bercakap banyak, Iqbal. Sekarang you macam… macam sangat peramah pula. I tak faham.”

Iqbal mengeluh. “Banyak hal dalam dunia ni yang kita tak faham, Lila. Kalau hidup seribu tahun pun takkan faham.”

“Kenapa you cakap berbelit-belit?” Dalila menggunakan nada suara yang sama ketika menginterogasi pihak yang bersalah di dalam kamar mahkamah.

Dia semakin tidak memahami Iqbal walaupun jauh di sudut hati, dia sebenarnya amat lega melihat lelaki itu kembali dengan selamat. Ada sesuatu dalam nalurinya yang telah ‘terbangun’ dengan kehadiran lelaki itu, tetapi dia cuba menepis segala perasaan lama itu.

Selama ini, dia memikirkan Iqbal tidak akan muncul dan telah menutup pintu minda yang terisi dengan segala kenangan manis bersama Iqbal. Tiba-tiba tatkala terlihat lelaki itu semula, pintu minda itu terbuka dengan sendirinya. Semua kenangan umpama tayangan di layar perak fikiran. Dia langsung tiada upaya menghalangnya.

“Macam-macam pengalaman I nak kongsi dengan you, Lila. 1001 malam pun, takkan habis. Macam Scheherazad yang menceritakan hikayat kepada suaminya supaya dia terlepas daripada hukuman bunuh dan dibiar hidup untuk satu hari lagi.”

“Kenapa you dah berubah?”

“Maksud you?”

Dalila memeluk tubuh. “Dulu you tak seramah ni. You lebih banyak diam, berfikir dan sentiasa beringat. Sekarang, you macam…”

“Pandang I, Lila… I rindukan you. I tak nak lagi berpisah. I tahu, dah berbulan-bulan I tak call atau SMS, tapi TUHAN tahu, I dah cuba sedaya upaya. I nak cerita semuanya tapi…”

Sebuah ketukan terdengar di pintu. Dalila bergegas membukanya.

“Ada mesyuarat dalam masa 10 minit lagi,” kata seseorang di sebalik pintu.

“Okey.” Dalila menutup pintu dan berpaling ke arah lelaki itu. “You kena pergi, Iqbal.”

“I tunggu you petang nanti?”

Gadis itu tidak menjawab.

“Telefon I rosak, semua nombor hilang. Boleh you, hmm…” Lelaki itu ketawa. Tidak, dia tidak kelihatan semuda dulu. Mungkin di Tanzania, dia telah mengalami kesulitan yang tidak terkata. “Kenapa I rasa macam orang bodoh, Lila?”

Dalila mengelak daripada menjawab. Dia terus memberikan nombor telefonnya. “Nanti you SMS I, ya?” Kata-kata itu sekadar sebuah janji supaya Iqbal lekas beredar dari situ.

“I datang jemput you petang ni, ya? Kereta I rosak, kena servis…” Iqbal ketawa lagi. “Tapi, kita boleh jalan kaki atau naik teksi, kan?”

“Naik kereta I pun tak apa.” Entah apa yang mendorong Dalila untuk berkata sedemikian. Mungkin atas dasar terlalu simpati.

Iqbal berdiri. Dan Dalila membiarkan lelaki itu keluar tanpa menghantarnya ke pintu hadapan ofis. Hatinya sebak melihat lelaki yang pernah dan sedang mendambakan kasih daripadanya itu. Kenapa Iqbal harus muncul di saat dia sedang membilang hari untuk menjadi isteri Hilman?

Terlintas pada fikirannya untuk menelefon Hilman, tetapi dia perlu membereskan pelbagai kerja terlebih dahulu. Satu demi satu urusan menghambat waktunya sehinggalah Suraya menelefonnya jam 5.10 petang.

“Lila, kamu balik makan di rumah ke malam ni? Mak ingat nak masak taucu yang kamu suka sangat tu.”

“Tak… tak, mak. Ada kerja sikit nak buat. Tak tahu lagi pukul berapa nak balik.”

“Ingat pesan mak, kalau boleh, jangan jumpa Man. Nanti hilang seri pengantin.”

Sebaik sahaja mengucapkan ‘bye’ kepada Suraya, telefon Dalila menerima SMS. Daripada Iqbal!

I tunggu you di lobi. Tak kira pukul berapa you turun, I sanggup tunggu. I dah lama tunggu saat ini, berapa jam lagi pun tak apa.

Sedang Dalila berkira-kira sama ada hendak menelefon Hilman atau tidak, dia menerima panggilan daripada Vanessa. Kata rakannya itu, Gomez memberitahunya tentang kedatangan Iqbal.

“I ingat you nak call I tadi… nak cerita hal tu.”

“Sorry… hari ni I sibuk sangat, Vee. Fikiran I tak tentu arah.”

“Yalah, esok you dah cuti. Tapi, macam mana sekarang?”

“Macam mana apa?”

Suasana pejabat hingar-bingar dengan kakitangan yang bersiap untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada juga yang galak membuat perancangan untuk menghabiskan sisa-sisa petang dan malam melepak di Bintang Walk. Mereka yang kaki sosial memang mempunyai pelbagai agenda sendiri dalam usaha mencari keseronokan.

“Iqbal.”

“Oh… dia tunggu I kat bawah sekarang.”

“Lila!”

“Ya… I patut cakap kat Hilman tak?”

“Kenapa?”

“Kalau dia tahu, mungkin dia marah,” sahut Dalila.

“You belum jadi isteri dia, Lila.”

“Okeylah, Vee. I pergi dulu, ya?”

“Bye…”

Semasa menunggu lif, Dalila berasa tidak sedap hati. Nalurinya mengatakan, dia mesti memberitahu Hilman. Niatnya ikhlas hendak bersemuka dengan Iqbal dan menceritakan segala-galanya. Ini umpama pertemuan terakhir. Tidak mungkin Hilman akan mengesyaki apa-apa. Hilman pun tahu siapa Iqbal. Buat apa dia hendak berselindung jika niatnya ikhlas?

“Helo, sayang…” Seperti selalu di laman chatting, Hilman akan memanggil Dalila begitu.

Dalila menelan liur kerana tiba-tiba sahaja tekaknya terasa kering. Inilah saat paling payah dalam kamus hidupnya semenjak mengenali Hilman. Namun, seandainya dia ikhlas, tiada sebab untuk Hilman berasa curiga.

“Man, I nak minta izin…”

“Izin? Apa halnya?”

“Susah sangat nak cakap. Tapi, I… hmm, you ingat Iqbal?”

Di hujung talian, Hilman terdiam sejenak. Sukar buat Dalila untuk meneka apa yang sedang bermain di benak lelaki itu. Terkejutkah dia? Marahkah dia? Geramkah dia?

“Iqbal, kawan you yang pergi ke Afrika tu?”

“Ya… dia dah balik.”

Hilman membisu lagi.

“I nak jumpa dia, nak cerita hal sebenar. Boleh ke?”

“Bila dia balik?”

“Tak tahu… tapi dia datang ke ofis tengah hari tadi, dan tunggu di lobi sekarang.”

Setelah jangka masa yang dirasakan oleh Dalila terlalu panjang, Hilman berkata, “Okey.”

****

IQBAL yang sedang tersenyum ke arah Dalila petang itu bukan Iqbal tengah hari tadi yang kelihatan tidak terurus langsung. Rupa-rupanya, lelaki itu mengambil peluang ke kedai gunting rambut. Dengan berkemeja biru muda, jaket kulit warna khaki dan seluar coklat tua, dia mampu menarik perhatian ramai wanita yang berjalan di lobi itu.

“Dalila, you nampak letih…”

Gadis itu hanya tersenyum. Mereka melangkah ke tempat parkir. “Kita nak makan di mana?” soalnya sambil menekan penggera Persona.

“Biar I bawa, Lila…”

Dalila mengetap bibir dan termenung sejenak. Dia tidak tahu kenapa, tetapi hatinya begitu lembut terhadap Iqbal. Ada sesuatu dalam pandangan lelaki itu yang meruntun jiwa. Entah apa gerangannya, dia sendiri tidak mengerti. Persona bergerak perlahan dalam kesesakan di Jalan Yap Kwan Seng.

Iqbal kembali pada persoalan yang dikemukakan oleh Dalila tadi. “Ya, I tahu… I janji akan bawa you ke sana, masa I dalam penjara di Stone Town.”

“You… you masuk penjara?”

Iqbal tersengih. “I akan cerita satu per satu. I nak cerita semuanya supaya you tahu apa sebenarnya yang dah jadi pada I di sana. Dan Lila, I nak berterus terang dengan you.”

Dalila mengerutkan dahi. “Jadi, selama ni you simpan rahsia? You sengaja buat I tertanya-tanya?”

Iqbal tersenyum. Dia sudah agak kurus, tetapi tubuhnya tetap nampak tegap dan berkarisma. Mungkin dia banyak membuat gerakan fizikal ketika di Tanzania.

“Malam ni, kita boleh bercerita sampai subuh, Lila.”

Jangan merepeklah, bisik gadis itu di dalam hati. Dia ingin segera pulang dan menelefon atau berchatting dengan Hilman. Dia ingin berkongsi bermacam cerita dengan bakal suaminya itu. Dia juga mahu mendengar kisah hidup Hilman di Kanada.

“Kita ke Mid Valley, ya? Tempat kita mula-mula jumpa dulu?” cadang Iqbal.

Dalila menggeleng. “Ramai sangat orang di sana.”

“Kalau tak nak ramai, kita boleh ke bistro di Bangsar tu. Atau… Tamarind Hill.”

Oh tidak! Tamarind Hill menyimpan kenangan manis antara Hilman dan aku, fikir Dalila.

“Kalau you suka, kita boleh beli take away dan makan di dalam kereta sambil pusing-pusing menghabiskan minyak. Terpulang pada you, Lila… tapi jangan di tempat yang mahal sangat, I tak ada duit.”

“Gila you!”

Iqbal tergelak. “I tengah cari kerja.”

“Apa dah jadi?”

“SRICOM pecat I. Cuti I habis dan I tak dapat bagi tahu mereka, I dalam kesusahan di Zanzibar.”

Mereka membisu seketika. Kesesakan begitu teruk pada petang itu. Akhirnya, Iqbal bercadang membelok ke kiri menuju ke KLCC. Dia yang menetapkan jikalau Dalila masih enggan membuat keputusan.

“Kenapa semua tempat tak bergerak ni?” Iqbal mulai berasa berang. “Tak jadilah nak ke KLCC, kita pergi Great Eastern Mall. Okey juga, kan?”

Dalila menggigit bibir.

“Sorry, Lila. I tak dapat kawal perasaan I. Macam-macam sedang berlaku serentak dalam kepala I. Paling I takut, tak dapat kerja. Tapi kawan I janji, ada tempat lain yang lebih bagus dan gaji lebih tinggi… yang tak perlu I ke luar negara lagi. You suka begitu, kan?”

Gadis itu membisu. Akan sampai masanya dia menceritakan kepada Iqbal status dirinya. Buat masa ini, nampaknya Iqbal sendiri sedang mengalami nasib yang malang. Sampai di tempat yang ingin dituju, mereka terburu-buru ke surau kerana waktu maghrib sudah menjelang.

Kemudian Iqbal mengajak Dalila ke Shyet-Li Kopitiam. Di situ memang agak lengang. Sebetulnya, Dalila tiada selera untuk makan apa-apa. Dia hanya memesan espresso. Iqbal pula, mi Hokkien dengan teh.

“You tak macam dulu, Lila. You sedar tak?” Iqbal menyoal. “I tak kisah kalau you marah I…”

Dalila tidak tahu sama ada hendak marah atau menangis. Selama beberapa bulan tanpa khabar berita, tiba-tiba hadir, sesiapa pun akan marah. “You kata nak cerita tadi.”

“Tak boleh di sini, Lila.”

Jantung Dalila mulai berdegup kencang. Perasaannya bersimpang-siur. Di hadapannya, Iqbal bagaikan orang asing.

Selesai sahaja makan, mereka beredar. Di dalam Persona yang sedang menuju ke MRR2, Iqbal bercerita semula. Katanya, sejak beberapa tahun lalu, dia menjadi pengumpul maklumat untuk membanteras kegiatan pihak tertentu. Itulah sebabnya dia terpaksa ke Pulau Zanzibar. Semuanya berjalan lancar dan dia sudah membuat persiapan untuk pulang ke Dar-es-Salaam dengan feri. Tatkala itulah Farashuu yang banyak menolongnya mendapatkan maklumat, ditangkap oleh Tsehisi.

Dalila mendengar, antara percaya dengan tidak.

Menurut Iqbal, dia berpatah balik kerana ingin menyelamatkan Farashuu, tetapi dia mendapati Tsehisi hanya mahu memerangkapnya. Mujurlah ada seorang lelaki Arab menolongnya. Dia terpaksa menyorok selama beberapa bulan, bimbang ditangkap dan diseksa. Waktu itu, dia menganggap dirinya seperti berada di penjara. Bila berlaku pergaduhan antara Tsehisi dan Kanoute, yang berakhir dengan pembunuhan Tsehisi, barulah dia melarikan diri ke Dar-es-Salaam. Farashuu kembali ke pangkuan keluarganya.

Pihak berkenaan berjaya membongkar penyeludupan dadah di dalam botol bedak. Mereka yang bertanggungjawab menjalankan human trafficking gadis-gadis untuk kegiatan tidak bermoral ditumpaskan akhirnya. Malah, mereka yang terlibat di Malaysia juga sudah ditangkap.

“Semua ni maklumat rahsia, Lila… tapi I percayakan you,” seru Iqbal.

“Bahaya kerja you!”

“Bahaya?” Lelaki itu tergelak. “Kalau you melintas jalan, lagi bahaya kerana ada kebarangkalian dilanggar oleh lori.”

“Boleh berhenti di depan tu?” Dalila menuding ke arah ruang parkir di hadapan tembok pagar Kedutaan China.

“Ada apa di situ?”

“Tak ada apa-apa. I…”

Iqbal memberhentikan Persona di situ. Kawasan tersebut menghadap pokok-pokok besar yang kelihatan amat menggerunkan kerana terlalu rimbun.

“Kenapa?” Iqbal berpaling menghadap Dalila.

“I tak tahu macam mana nak cakap pada you, Iqbal…” Intonasi suara Dalila gementar.

Namun, Iqbal tidak perasan ada sesuatu yang tidak kena. “Lepas dapat kerja, I nak bawa you balik kampung, jumpa emak. Dan kita boleh bertunang.”

Dalila tergelak dalam nada menyindir. “I dapat tahu, Iqbal… you pernah bawa balik anak dara orang ke kampung, akhirnya tak jadi.”

Iqbal terkejut. Air mukanya berubah. “Ikhwan cakap, ya? Betul dia kata, tapi dengan you, I tahu… kita takkan berpisah lagi. Lila, I rindukan you setiap hari masa di Tanzania. Pandang I… I really love you!”

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73861/cuma-dia

REVIEW MAKNA CINTA

9789831244494-medium
MAKNA CINTA OLEH MARIA ALINA

SEPANJANG zaman remajanya, Zulaikha sering dicemuh, dihina dan diherdik rakan-rakannya kerana dikatakan anak luar nikah. Yusuf antara mereka yang sering menjatuhkan air mukanya.

Hanya kepada nenek tercinta, dia memperoleh ketenangan dan semangat dalam mengharungi liku-liku hidup.

Masa berlalu, Zulaikha diterima sebagai siswi di sebuah universiti tempatan. Dia mula bangkit menjadi gadis yang cekal dan dambaan ramai siswa yang terpikat akan kecantikannya. Tidak ketinggalan Yusuf yang merupakan pelajar senior di situ.

Ke mana sahaja dia berada, Zulaikha sering dibayangi wajah Yusuf. Lelaki itu benar-benar ingin memikatnya. Zulaikha rimas. Namun akhirnya, hati gadis itu cair jua. Perlahan-lahan dia mula menaruh hati terhadap Yusuf.


Bila baca cerita ni admin boleh cakap.. Karma. Tapi kasihan Zulaikha. Berjumpa dengan banyak cinta namun cinta sejati memang sukar untuk dicari. Setelah lama mencari.. Akhirnya dia berjumpa dengan cinta sejati secara tidak diduga..

Benar cinta perlukan pengorbanan dan kalau kita benci orang tu dulu, mana tahu dia mingkin menjadi tulang rusuk kita satu hari nanti.

Zulaikha and Yusuf yang dahulunya bermusuh sejak kecil kerana mereka ingatkan bahawa mereka adalah adik beradik. Selepas beberapa tahun kemudian, mereka berjumpa kembali. Bukan benci yang menanti, malah cinta mula berputik. Benarkah mereka jatuh cinta dan bukan bertepuk sebelah tangan? Cinta memerlukan pengorbanan dan inilah cinta yang penuh dengan pengorbanan.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/73863/makna-cinta