[SNEAK PEEK] SAYANG AWAK, SAYANG

SAYANG AWAK, SAYANG Oleh Murni Aqila

BANGLO yang sepi itu semakin sunyi. Rasa kosong sahaja apabila tinggal di dalamnya. Junaira memaksa diri untuk pulang semula di situ atas desakan hati dan pujukan Liani, dan rasa rindu pada Nazif.

Sejak pulang ke situ, Nazif tiada di rumah. Entah bagaimanalah reaksi Nazif jika melihat dia kembali ke rumah itu. Atau sebenarnya Nazif tidak kisah? Jauh di sudut hati dia dapat rasakan yang Nazif tidak pedulikan ketiadaannya. Jadi, benarlah kata-kata Fahim?

Setelah mendengar cerita Fahim yang cuba dinafikan, lama-kelamaan ia meresap jua ke hati. Lantas dia bangun daripada pembaringan. Ditinggalkan semua buku nota yang hampir penuh di atas katil. Belajar waktu fikiran sedang runsing hanya membuatkan jiwanya kacau.

Di luar bilik, suasana juga sunyi. Nazif masih belum pulang walau sudah pukul 8.00 malam. Pandangan didongakkan ke atas, ke bilik Nazif. Desakan hati meronta-ronta mahu dia masuk ke dalam bilik tersebut.

Tidak berlengah, lalu dia mendaki anak tangga. Pintu bilik yang tidak dikunci itu dibuka. Hatinya amat yakin, pasti Nazif ada menyimpan keratan akhbar yang mengadungi artikel mengenai kemalangan keluarga mereka. Dia mahu sesuatu sebagai bukti kebenaran kata-kata Fahim. Selagi dia tidak mencari, selagi itu jiwanya kacau. Sudah dicari melalui internet, namun tidak berjumpa. Jika ada pun, sudah menjadi artikel dalam arkib akhbar tersebut. Tidak boleh dicapai lagi. Masakan tidak, peristiwa hampir empat tahun yang lalu.

Dia cuba mencari di setiap laci yang ada. Inilah pertama kali dia membuat kerja gila, menyelongkar bilik orang lain.

Bagaikan sudah terancang, dia menjumpai sebuah fail yang terletak di bahagian bawah laci meja kerja Nazif. Apabila diselak fail tersebut, terpapar beberapa keratan akhbar mengenai kemalangan tersebut. Juga susulan kejadian itu. Malah, ada gambar yang menunjukkan bagaimana remuk kereta Kancil yang dipandu arwah abahnya. Serta-merta rasa pilu menyengat dada.

Dia tidak pernah terfikir kemalangan tersebut mendapat liputan media. Apatah lagi ketika peristiwa itu berlaku, dia bertarung dengan jiwanya yang hampir rapuh. Tidak diambil peduli tentang kisahnya yang tertulis di dada akhbar.

Artikel itu dibaca dengan linangan air mata. Semerta datang kerinduan yang menendang-nendang naluri. Ya… memang benar kata Fahim. Keluarganya mengalami kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan arwah mummy dan daddy Nazif. Akibat kemalangan itu seluruh keluarganya meninggal dunia di tempat kejadian. Manakala daddy Nazif meninggal tiga hari selepas dimasukkan ke dalam wad akibat kecederaan yang teruk. Manakala mummy Nazif dimasukkan ke dalam wad dan disahkan lumpuh!

“Ya ALLAH…” Junaira terduduk di lantai. Linangan air mata tidak mampu ditahan-tahan lagi. Laju berderai ke pipi.

“Mummy kata dia lumpuh sebab sakit. Penipu! Rupa-rupanya dia lumpuh sebab kemalangan. Tergamak dia rahsiakan semua ni daripada aku. Tapi, kenapa dia ambil aku jadi anak angkat dia? Konon-konon nak ambil aku jadi orang gaji dalam rumah ni. Entah-entah mereka nak dera aku dengan Haziq. Tapi tak sampai hati pulak lepas tu. Dan tergamak pula memaksa Nazif kahwin dengan aku.

Patutlah Nazif terima dia sebagai isteri. Mungkin ada muslihat. Supaya hidup aku makin sengsara. Patutlah Nazif tidak pernah menganggapnya sebagai isteri. Apatah lagi mencintainya. Memang betul kata Fahim. Mereka licik dan penuh muslihat!”

Betapa hancurnya hati tatkala mengetahui semua itu. Setelah hampir empat tahun, baru dia tahu cerita sebenar. Patutlah arwah mummy baik sangat padanya. Dan Nazif terpaksa menurut apa sahaja permintaan mummynya dalam keadaan tanpa rela. Juga tidak rela menikahinya. Hanya dia sahaja yang mencintai lelaki itu, sedangkan Nazif tidak pernah ada hati padanya. Disebabkan itulah Nazif tidak kisah pun dia tidak balik ke rumah semalam. Nazif menamparnya di hadapan khalayak. Nazif langsung tidak memujuknya. Semuanya kerana tiada cinta dalam hati Nazif untuknya. Langsung tiada!

Teresak-esak dia menangis sambil menatap keratan akhbar tersebut. Hatinya tertanya-tanya, mengapa semua ini yang harus terjadi dalam hidupnya? Mengapa? Mencintai seseorang yang tidak pernah mencintai adalah sesuatu yang sangat mendera perasaan.

Tiba-tiba pintu terbuka. Junaira mendongak. Nazif!

Lantas dia bangun dengan fail didakap erat ke dada. Spontan dia menyeka air mata yang membasahkan pipi. Pasti Nazif akan marah kerana dia menceroboh bilik itu.

Nazif tergamam melihat Junaira berada di dalam biliknya. Apatah lagi sedang memegang fail yang selama ini disimpan kemas. Wajahnya berubah riak. Pasti Junaira sudah tahu kisah sebenar antara keluarga mereka yang selama ini cuba disorok. Baru sahaja dia ingin membuka mulut, Junaira bersuara terlebih dahulu.

“Maaf… Jun takkan masuk dalam bilik ni lagi.” Junaira meletakkan fail tersebut di atas katil dan terus berlalu melepasi Nazif yang tercegat di ambang pintu.

“Jun…” Nazif cuba menahan, namun Junaira sudah turun ke tingkat bawah. Pasti Junaira menyangka yang bukan-bukan sehingga mengalir air mata. Mahu sahaja dia memujuk gadis itu. Mengenangkan keadaan pasti akan lebih teruk jika menerangkan ketika hati Junaira tidak tenang, dibatalkan niatnya untuk memujuk gadis itu. Barangkali esok lusa hati Junaira kembali tenang. Ketika itu dia akan jelaskan semuanya kepada Junaira.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/96067/sayang-awak-sayang

[SNEAK PEEK] CINTA AKU SEADANYA

9789831245965-medium
CINTA AKU SEADANYA Oleh Murni Aqila

DARI meja kaunter bayaran, Luna merenung pintu masuk salunnya. Ternanti-nanti wajah yang ingin ditatapnya setiap hari. Sejak membeli kedai itu tiga bulan lalu, dia sering terpandangkan satu wajah. Dan seraut wajah itu kini mula dirindu. Sukar untuk menelah apa sebenarnya yang sedang bermukim di hatinya kini.

Masih terbayang di mindanya bagaimana kali pertama dia bertemu dengan seraut wajah itu. Malunya tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Dapat dirasakan wajahnya panas sewaktu memandang lelaki itu. Dia langsung tidak sedar kereta yang hendak diparkirnya telah mencalarkan sebuah kereta yang terparkir di sebelahnya. Ironinya pula, pemilik kereta tersebut adalah lelaki itu, yang kebetulan sedang berada di depan keretanya!

Sebaik keluar dari kereta, lelaki itu menerpa ke arah keretanya. Ketika itulah baru dia sedar. Dengan rasa bersalah, dia terus membayar kerosakan tersebut tanpa sempat lelaki itu bersuara. Walaupun lelaki itu beriak tenang seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku, dia tetap sedar yang dia telah melakukan kesalahan.

Ketika itu barulah dia tahu nama lelaki itu… Muszahri. Belum pernah dia mendengar nama sebegitu. Begitu indah pada pendengarannya. Begitu manis pada pandangannya. Wajah Muszahri cukup tenang. Dengan wajah maskulin dan gaya metroseksual yang semakin popular kini, jejaka itu memang layak dipanggil pengurus. Lalu, mereka bertukar-tukar kad perniagaan. Begitulah bermulanya perkenalan mereka.

Namun, hanya dia yang memulakan langkah. Dia yang sering membuat panggilan dan menghantar SMS kepada Muszahri. Sehingga mula timbul perasaan malu apabila jejaka itu mengatakan dirinya sedang sibuk bekerja sehingga tidak sempat membalas SMSnya. Sedangkan hatinya mengasak-asak agar terus mendekati Muszahri. Ada sesuatu dalam diri lelaki itu yang menarik hatinya, bagaikan magnet.

Mengenangkan jiwa yang semakin parah dipanah cinta, dia cuba memikirkan jalan dan arah terbaik untuk menawan hati Muszahri. Jejaka itu kelihatan sukar untuk ditawan. Kenapa ya? Sudah berpunya barangkali. Tetapi sepanjang tiga bulan ini, tidak pernah sekali pun dia nampak Muszahri bersama gadis lain. Dan dia tahu jejaka itu belum bergelar suami orang walaupun sudah berusia 28 tahun.

Memikirkan perihal Muszahri membuatkan fikirannya kacau-bilau. Ada kala mengganggu konsentrasi kerjanya. Sudah dicuba untuk melupakan jejaka itu, tetapi cuma bertahan seketika sahaja. Aduh… memang dia sudah parah!

“Hah, berangan!”

Terkejut Luna apabila bahunya ditepuk dari belakang. Dia menoleh. Sepupunya sedang tersengih-sengih memandangnya. “Kau ni, Nurin… main sergah-sergah aje!” Rambut perangnya yang berpotongan layer dimainkan dengan hujung jari. Matanya masih terarah ke pintu salun.

“Pintu cermin tu boleh cair kalau kau tenung lama-lama. Hei, sekarang baru pukul 12.00! Satu jam lagi baru waktu rehat. Lambat lagi orang tu nak turun. Sempat lagi kalau kau nak buat rambut. Aku tengok, rambut kau ni kusam sikitlah. Aku boleh buatkan sementara pelanggan tak ramai ni, nak? Jomlah! Barulah orang tu pandang kau sampai berpusing kepalanya 360 darjah,” usik Nurin.

Luna mencebik, berpura-pura seakan-akan usikan Nurin itu tidak mengenainya langsung. Dia memandang seorang pelanggannya yang sedang membuat rawatan stim rambut. Pada hari-hari biasa, pelanggan yang datang agak kurang berbanding pada hujung minggu.

Jam tangan dikerling. Betullah… baru pukul 12.00. Lambatnya nak tunggu pukul 1.00. Dia mengeluh sendiri. Tidak mengapalah jika dia sahaja yang mabuk dilamun cinta. Mungkin Muszahri memerlukan masa untuk menyedari betapa dia benar-benar sudah jatuh hati pada jejaka itu.

“Aku risau tengok kau ni, Luna. Kau tak pernah macam ni, tau! Aku rasa, baik kau dapatkan ubat sebelum melarat jadi kanser.”

Luna menggeleng-geleng sambil tergelak. “Apa yang kau merepek ni? Siap nak suruh aku ambil ubat lagi. Sakit kanser, konon. Aku okeylah…”

Nurin mencebir. Okey ke kalau asyik tenung pintu? Sejak salun dibuka pukul 10.30 pagi tadi sampailah sekarang, tak berkelip-kelip dia merenung pintu. Orang angau saja yang buat macam itu.

SETELAH selesai menjamu selera, bayang Muszahri masih tidak kelihatan. Baik Mahdi, Farizal atau Hazim… kesemua mereka tidak tahu ke mana anak sulungnya itu pergi. Padahal, kerja sepejabat.

“Abang memang tak tahu ke Mus pergi mana?” Sekali lagi Nafisah bertanya kepada suaminya itu.

“Tak tahu. Dia kat ofis lagi masa abang balik pukul 6.00 tadi. Dia kata nak balik sebelum maghrib. Tak ada pulak dia cakap nak ke mana-mana.” Mahdi menuju ke ruang tamu. Berita jam 8.00 malam memang ditunggu-tunggunya setiap hari.

“Tipah… kamu kemaskan meja ni. Kalau Mus balik nanti, kamu hidangkan untuk dia,” arah Nafisah kepada pembantu rumahnya.

“Kejaplah, mama… Hazim makan pun tak habis lagi ni.” Terhenti terus suapan Hazim. Dilihatnya Farizal sedang membasuh tangan.

“Lepas Hazim siap makanlah. Takkan Tipah tu nak kemas masa kamu tengah makan!” Nafisah menggeleng. Anaknya yang seorang itu memang kuat makan. Malah, dialah selalu yang paling lambat habis.

Tipah tersenyum-senyum memandang Hazim yang menambah sesenduk nasi lagi.

Nafisah berlalu ke ruang tamu mendapatkan Mahdi. “Saya nak ke butik balik ni, bang. Nak tutup butik tu. Kesian Donna dan Lili berdua kat sana.”

“Tak payahlah… Donna dengan Lili tu kan boleh tutupkan.” Mahdi menghalang. Matanya masih terpaku ke arah televisyen.

“Alah bang, bukannya jauh sangat pun! Tak sampai lima minit dah sampai. Memanglah budak dua orang tu boleh diharap, tapi saya kesian jugak tengok budak berdua tu. Kerja dari pagi sampai ke malam. Nanti saya ingat, nak bagi bubur jagung yang Tipah buat pada budak-budak tu.” Nafisah menjengah ke pintu utama rumah apabila terdengar ia dibuka dari luar. Wajah Muszahri terpacul di situ.

“Hah, balik pun budak ni. Panjang umur… semua dah makan, Mus. Kamu makanlah kat dapur. Hazim tengah makan lagi agaknya tu,” sapanya.

Muszahri mengeluh, melepaskan lelahnya lalu mengambil tempat di sebelah papanya. “Mus nak mandi dulu ni. Penat sangat rasanya.”

“Mus pergi mana tadi? Mama telefon handphone tak berjawab. Telefon ofis pun tak berangkat.”

Muszahri meleretkan sebaris senyuman. “Mus hantar dokumen tuntutan pada klien kat hospital sambil ziarah sekali anak dia yang sakit tu. Kat hospital, Mus kena off handphone.”

Nafisah melirikkan senyuman. “Hmm… pergilah mandi. Lepas tu makan. Mama nak ke butik balik ni. Nak temankan mama?”

Cepat-cepat Muszahri menggeleng. “Tak apalah. Mus penat…”

“Err… kamu tak ada calon lagi ke, Mus? Yang boleh dibuat isteri?” Tiba-tiba terluah pula soalan itu dari bibir Nafisah.

“Soalan apa pulak ni, mama? Tiba-tiba aje?” Muszahri tergelak.

“Kalau kamu dah ada isteri nanti, bolehlah dia tolong urut-urutkan kamu bila kamu penat macam ni. Betul tak, bang?” Nafisah menepuk manja paha suaminya.

Mahdi tersenyum meleret.

Muszahri menjongketkan kening. Papa dan mamanya beria-ia sangat mahu dia kahwin, tetapi mahu kahwin dengan siapa? Dia sendiri pelik. Setiap kali berhadapan dengan mana-mana perempuan, dia langsung tidak rasa apa-apa. Walau dihadapkan dengan gadis-gadis cantik, itu belum cukup menawan hatinya. Entahlah…

****

YUSUF terus memandu pulang sebaik sahaja mendapat panggilan Syifa. Anaknya itu mahu ditemani ke kedai alat jahitan. Dia tidak kisah walau diajak ke mana sahaja oleh Syifa. Walaupun sudah membawa teksi jauh beribu batu, dia sanggup berpatah balik demi untuk menggembirakan hati Syifa.

Tidak pernah dia merungut bila berkaitan dengan Syifa. Dia faham benar dengan sifat dan sikap Syifa. Gadis itu memiliki sifat rendah diri yang terlalu dominan. Sifat itu telah berkerak dalam diri Syifa sehingga tidak mampu dikalis lagi.

Dia memberhentikan teksi betul-betul di depan rumah, menanti Syifa di situ. Syifa keluar mendapatkannya tidak lama kemudian. Gadis itu seperti biasa, memakai tudung hingga ke depan, hampir menutupi keseluruhan pipinya. Memakai cermin mata yang agak besar dan kalau berjalan, sentiasa menunduk.

“Assalamualaikum, baba…” Syifa menghulurkan salam sejurus mengambil tempat di dalam teksi.

“Waalaikumussalam… Syifa nak ke mana ni?”

“Kedai biasa, baba… tempat Syifa beli manik selalu tu,” balas Syifa riang.

Yusuf memandu teksinya menuju ke pusat bandar Puchong. “Banyak ke Syifa nak beli?”

“Banyak jugak. Baju yang Auntie Fisah bagi hari tu, banyak warna yang Syifa tak ada. Lagipun, Syifa cadang nak beli manik jenis terbaru. Mesti Auntie Fisah suka.”

Yusuf tersenyum sambil melirik ke arah beg kertas yang dipegang Syifa. Pasti itu baju-baju yang Nafisah berikan kepadanya.

SAMPAI sahaja di kedai yang dimaksudkan, dia terus menonong menuju ke bahagian manik dan labuci. Tidak dipedulikan pada yang lain lagi. Ghairah dia melihat manik-manik baru yang terpampang di hadapan mata. Semuanya cantik-cantik belaka. Kombinasi warna yang ingin dibeli juga terlalu banyak pilihan. Memang rambang mata. Itu belum memilih labuci lagi. Memang akan memakan masa sejam atau lebih.

Yusuf menggeleng-geleng melihat gelagat Syifa. Dengan melihat manik sahaja, Syifa boleh lupa di mana dia berada. Begitu khayal dia memilih. Begitu juga jika jarum sudah berada di tangannya. Langsung tidak ingat hal-hal lain sebaik sahaja dia mula menjahit manik. Pelik betul!

Dia yang sudah penat, sekadar duduk memerhatikan Syifa dalam dunianya sendiri.

Sedang Syifa tekun membelek manik yang sesuai, dia seperti terperasan seseorang sedang merenung ke arahnya. Dengan ekor mata, dia melirik sedikit. Benar, ada seseorang berdiri hampir dengannya. Perlahan-lahan dia menoleh.

Seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan tiga tahun sedang memandang tepat ke arahnya. Dia cuba mengukir senyuman, namun kanak-kanak itu terus sahaja memandangnya tidak berkelip.

Spontan, dia memegang pipi kirinya sendiri. Dia tahu, bahagian itu yang menjadi tumpuan, yang membuatkan mata kanak-kanak itu terbeliak. Walaupun sudah memakai tudung agak ke hadapan dan memakai cermin mata besar, tanda lahir itu masih kelihatan di hujung-hujungnya. Itulah yang membuatkan tumpuan kanak-kanak itu tidak beralih dari wajahnya.

Syifa menelan liur. Dia mengalihkan pandangan, kembali membelek manik-manik yang hendak dibeli. Di dadanya, terasa debaran kencang. Mukanya mulai pucat. Hatinya berasa tidak sedap. Dia cuba memberi sepenuh tumpuan pada tujuan asal dia di situ. Menggigil-gigil tangannya memilih paket-paket manik yang hendak dibeli.

Sesudah memilih, dia bergegas ke bahagian labuci pula. Semuanya dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa. Dicapai apa sahaja yang terpandang olehnya. Dia mahu segera beredar dari situ. Dia perasan, kanak-kanak itu masih berdiri di tempat tadi. Tidak berkutik memandangnya. Dia hilang arah.

“Eh, anak mummy kat sini rupanya! Puas mummy cari.”

Kedengaran suara seorang wanita. Spontan, dia menoleh ke arah kanak-kanak tadi. Tanpa disangka-sangka, kanak-kanak itu menangis kuat sambil menunjuk ke arahnya. Wanita yang pasti ibunya itu terburu-buru mendukung anaknya sambil memujuk.

Syifa jadi kaget di tempat dia berdiri. Apatah lagi bila melihat ibu kanak-kanak itu memandang semacam ke arahnya. Tuan kedai dan beberapa orang pelanggan lain menerpa ke arah mereka. Masing-masing terpinga-pinga.

“Kenapa anak mummy ni? Kenapa menangis?” pujuk wanita itu sambil menyeka air mata anaknya.

Kanak-kanak itu terus-menerus menunjuk ke arah Syifa dengan tangisan yang semakin kuat.

“Kau buat apa kat anak aku?”

Tersentak Syifa bila disoal sebegitu kasar. Tergagap-gagap dia mahu menjawab. Hanya gelengan yang terzahir olehnya.

“Muka kau yang berkeladak tu menakutkan anak aku! Takkan kau tak sedar lagi? Jangan keluar rumah lagi baiklah. Peram muka kau tu supaya tak ada orang ngeri tengok kau!” cerca wanita itu dengan wajah bengis.

Menggeletar seluruh tubuh Syifa menerima penghinaan itu. Terasa lembik lutut untuk menampung sekujur tubuhnya.

Yusuf muncul di tengah-tengah keributan itu lalu menarik Syifa ke arah teksi tanpa memandang wanita yang menjerkah anaknya. “Syifa tunggu baba kat sini. Baba pergi bayarkan harga manik-manik ni semua. Nanti baba datang balik,” pesan Yusuf sebelum berlalu.

Serta-merta, air mata Syifa yang cuba ditahan sedari tadi tumpah di dalam teksi babanya. Tersedu-sedan dia menangis. Dia tidak peduli. Tiada sesiapa yang mendengar tangisannya di situ. Entah apalah nasibnya, sering menjadi bahan hinaan.

Pedih jiwanya mendengar herdikan wanita itu tadi. Seperti biasa, wajah hodohnya dijadikan sasaran. Benarkah wajahnya menakutkan orang lain? Hodoh sangatkah wajahnya itu apabila ditatap? Mungkin benar. Jika tidak, kanak-kanak tadi tidak mungkin menangis melihat wajahnya. Dan kalau tidak, sudah tentu dia sering diejek selama ini.

Merintih-rintih dia meratap di dalam hati. Banyak mana lagi ujian yang harus dikendong seumur hidupnya? Dilahirkan dengan kekurangan itu, pasti tiada istilah ‘bahagia’ yang akan dikecapinya sampai bila-bila. Dia pasti, dia tidak akan bahagia sehinggalah nyawanya ditarik ALLAH. Semakin basah pipinya mengenangkan untung nasib diri.

NURIN baru saja siap melayan seorang pelanggan. Luna menerima bayaran yang dikenakan kepada pelanggan itu sebelum mengucapkan ‘terima kasih’ dan ‘datang lagi’ dengan penuh sopan dan senyuman manis.

Sebaik sahaja pelanggan itu berlalu keluar, dia kembali melangut, menanti pelanggan lain. Ada sesuatu yang mengusik hatinya. Sekejap-sekejap dia memanjangkan leher menjengah ke luar cermin pintu. Dari situ, dia nampak kereta Muszahri terpamer megah. Nampak keretanya pun jadilah.

“Lama-lama, leher kau tu panjang macam zirafah!”

Luna mengeluh. Nampak aje apa aku buat si Nurin ni. Dia menghadap laptop pula. Membaca berita-berita muktahir secara online. Sekurang-kurangnya, dia dapat mengawal diri daripada kelihatan terlalu ketara sedang merindui seseorang.

Nurin sengaja mengambil tempat di sebelah Luna, mengintai sekilas skrin laptop sepupunya itu. “Hati kau boleh jahanam kalau dibiarkan. Macam gunting rambut ni.” Dia mengacip-ngacipkan alat yang sedang dipegangnya itu. “Lama-lama boleh berkarat tau kalau tak guna.”

Kata-kata Nurin itu juga sama seperti gunting itu. Tajam! Luna cuba untuk tidak menghiraukan Nurin, tetapi hatinya makin jadi tidak keruan.

“Tak salah kalau orang perempuan mulakan langkah dulu. Bukannya buat dosa pun. Bukannya kita merompak. Apalah yang susah sangat? Cakap aje apa yang ada dalam hati kau tu. Dia nak dengar ke, tak nak ke… belakang kira.”

Luna menoleh memandang Nurin. Cakap bukan main sedap lagi. Memang senang. Yang akan berdepan dengan hal ni gabra semacam, apa dia tahu? Dia menjeling geram.

Riak wajah Luna sudah jelas membuatkan Nurin turut merasa kemelut yang melanda hati gadis itu. Luna pun mengada-ngada. Dengan muka cun, bergaya mengikut fesyen semasa… senang-senang saja mahu pikat si Muszahri tu. Kalau dia jadi Luna, silap-silap dah lama dia jadi tunang jejaka itu.

“Kalau Mus tu macam lelaki-lelaki lain, tak adalah aku melepek macam ni. Dia tu… hisy, susahlah nak cakap macam mana.” Akhirnya Luna bersuara juga.

Nurin mencebik. “Kenapa? Ayat manis madu menikam sukma kau tu dah sampai tarikh luput ke? Dah tak jalan?” Sinis nada pertanyaan itu.

Luna menjeling sepupunya. Kau ingat, aku ni playgirl? Memang aku ramai kawan lelaki. Tapi setakat kawan aje. Dia orang tu yang lebih-lebih dengan aku. Aku bolayan aje semuanya. Tak ada yang betul-betul menepati cita rasa.

Nurin mengangguk. Dia faham apa yang Luna alami sebenarnya. Entahlah… pelik, kerana cinta Luna boleh jadi sangat berbeza. “Beginilah… si Mus tu kan ada syarikat insurans. Tak reti-reti nak fikir? Buat-buatlah macam kau nak beli insurans dia. Sambil-sambil tu, kau cubalah beli sekali hati dia.” Dia mengangkat-angkat kening memandang Luna sambil tersenyum penuh makna.

Luna terdiam, cuba memikirkan cadangan Nurin itu. Dia berkira-kira. Beli insurans? Salunnya itu sudah pun diinsuranskan. Jadi, apa lagi? Ligat otaknya bekerja. Semuanya semata-mata kerana ingin mendekati Muszahri.

TEKSI Yusuf sudah berada di pekarangan rumah. Sepanjang perjalanan pulang, dia tidak putus-putus cuba meredakan perasaan Syifa. Syifa hanya diam membatu di dalam teksinya. Kejadian yang berlaku di kedai tadi, bukan kali pertama. Sudah banyak kali Syifa berhadapan dengan peristiwa sebegitu.

Namun, hati Syifa tetap lut. Masih tidak mampu bertahan apabila diejek dan dihina begitu. Walaupun bukan wajahnya yang hodoh, dia tetap terasa apabila anaknya itu dikeji sedemikian rupa. Ayah mana yang sanggup melihat anaknya sendiri dicerca?

Selepas membayar harga manik-manik Syifa tadi, sempat dia membalas cacian wanita yang menghina anaknya secara terang-terangan itu. Dia dengan nada sinis mengatakan bahawa wanita itu tidak layak hidup di dunia kerana tergamak mengeji ciptaan ALLAH. Dia dapat menangkap riak tergamam wanita itu sejurus mendengar kata-katanya.

“Kak Zahra datang, baba…” kata Syifa sambil membuka tali pinggang keledar. “Baru sampai agaknya.”

“Datang tak beritahu dulu. Pintu pagar tu macam mana dia buka? Ada kunci sendiri ke?” omel Yusuf lalu keluar dari teksinya. Dia membantu Syifa mengeluarkan barang-barang yang dibelinya dari tempat duduk belakang.

“Hari tu, Kak Zahra ada duplicate kunci rumah. Senang nak datang katanya,” jawab Syifa. Dia lantas melaungkan salam di muka pintu.

Zahra terjengul di situ bersama sepasang anaknya. Tersenyum lebar Syifa melihat anak-anak buahnya memanggil. Dipeluk cium Sofian dan Sofia penuh rindu sebelum bersalaman dengan kakaknya pula.

“Bila kamu sampai, Zahra?” tanya Yusuf.

“Dah setengah jam tunggu. Saja singgah ke sini. Duduk kat rumah pun tak ada apa nak buat,” jawab Zahra setelah mencium tangan babanya. “Kau beli manik lagi, Syifa?” Dia berbasa-basi dengan adiknya pula.

Syifa mengangguk. “Dapat banyak tempahan. Saja beli lebih sikit, senang nak pilih warna yang sesuai.”

“Mak su… mak su ada beli buku cerita untuk Yan tak?” Sofian bertanya sambil sibuk menyelak-nyelak beg plastik yang dijinjing oleh atuknya tadi.

“Yan tak beritahu awal-awal nak datang. Kalau tak, mak su dah belikan buku untuk Yan. Untuk Sofia sekali mak su belikan.” Syifa melepaskan lelahnya di sofa. Kedua-dua anak saudaranya mengambil tempat di kiri dan kanannya.

“Baru tiga tahun, dah sibuk nak beli buku. Bukan tahu baca pun!” Zahra menyergah anak lelakinya itu.

Terkulat-kulat Sofian dibuatnya. Syifa yang perasan perubahan Sofian, cepat-cepat mengusap kepala kanak-kanak itu. Zahra selalu tegas tidak bertempat. Baginya, anak itu punya minat membaca walaupun masih tidak tahu mengeja. Sepatutnya digalakkan. Hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya. Dia membebel-bebel sendiri di dalam hati.

“Ayah temankan Syifa beli semua barang ni?” Mata Zahra melilau memandang beberapa beg plastik yang diletakkan di atas meja itu.

Yusuf yang duduk di hadapan Syifa sekadar mengangguk. Dia sudah mula mengesan sesuatu yang tidak menyenangkan apabila Zahra bertandang ke rumah itu. Gaya percakapannya juga serius semacam.

“Tak boleh ke baba biarkan Syifa pergi beli sendiri? Suruh dia berdikari. Suka sangat menyusahkan orang lain. Ada kaki, ada tangan, tapi tak nak usaha sendiri. Orang cacat pun reti tak menyusahkan oranglah!”

Suara Zahra itu bagai petir menusuk pendengaran Syifa. Serta-merta perasaan sebak menghurung diri, hingga kerongkongnya berasa keras cuba menahan kepiluan yang bergendang di hati. Dia tiada kekuatan untuk memandang wajah Zahra.

Hatinya merintih hiba. Kenapa Zahra melayannya begini? Mana perginya kasih seorang kakak yang sepatutnya dicurahkan sebagai pengganti kasih arwah ibu? Disebabkan berwajah hodoh, maka dirasakan dia tidak memerlukan kasih sayang dan perhatian? Air mata Syifa mula bergenangan. Sudahlah tadi dia dicerca. Kini, kata-kata kakaknya pula menggoreskan perasaan. Tidak sudah-sudah dia dilukai hanya kerana tanda lahir di pipi.

“Makin lama, makin naik lemak! Baba pun selalu manjakan dia. Layankan sangat kehendak dia tu. Tahulah anak bongsu, tapi tak payahlah bagi muka sangat. Suka-suka hati aje nak mengarah itu ini. Dia ingat dia tu siapa? Puteri raja? Eeiii… sedarlah diri tu sikit!” bentak Zahra lagi dengan riak bengis. Dijelingnya wajah Syifa yang menunduk. Menyampah!

Sesak dada Syifa menahan sebak yang bergelodak. Kerongkongnya pula terasa perit dek pilu yang mengasak. Nafasnya juga seperti tersekat-sekat. Dia cuba mempertahankan hati yang mudah robek itu.

“Eh, baba rasa laparlah. Syifa, tolong hidangkan nasi untuk baba. Kita makan sama-sama.” Yusuf segera mencelah, bertindak sebagai pelerai kekusutan itu.

Dia tidak mahu ada sebarang pertikaman lidah berlaku di dalam rumahnya. Dia kasihankan Syifa. Tidak cukup di kedai tadi, Syifa dihina. Di rumah pun Syifa dicerca, ditengking sedemikian rupa. Terus dia berlalu ke ruang dapur tanpa mempelawa Zahra yang tidak sayang mulut itu. Biar anaknya itu terasa.

Dalam kepayahan menelan kata-kata Zahra, Syifa menuruti sahaja arahan babanya. Dia berdiri, tetapi secara tidak sengaja matanya bertentangan dengan Zahra. Wajah wanita itu menikam pandangan. Terus tumpah air matanya tanpa dapat disembunyikan lagi. Selalu Zahra datang ke situ menyakitkan hatinya. Dia tidak tahu puncanya.

Kenapa, Kak Zahra? Kenapa? Kenapa layan Syifa begini? Sebelum ibu meninggal, Kak Zahra tidak pernah begini. Tapi sekarang, kata-kata Kak Zahra selalu pedih bagaikan belati menusuk hati setiap kali bertandang ke rumah ini. Kenapa? Apa salah Syifa? Dia bingung memikirkannya.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/81519/Cinta-Aku-Seadanya

[SNEAK PEEK] TUNANG TAK GUNA

9789678607230-medium
TUNANG TAK GUNA Oleh Murni Aqila

 

BUNYI siren membingit. Mujur cuma seketika. Waktu kerja di kilang elektronik itu berakhir. Pekerja syif petang pula akan mengambil alih. Suasana yang tadi tenang mula hingar dengan riuh-rendah pekerja di situ. Semuanya sibuk nak balik cepat!
Shila terkial-kial mahu memasukkan sebiji cip lagi di atas papan elektronik. Sebelum pulang, aku mesti siapkan! Tekad Shila. Kelihatan kawan-kawannya sudah beredar. Dia masih gigih mahu menyiapkan kerja. Namun, makin dicuba, makin susah pula cip tersebut masuk ke lubang yang sepatutnya. Berkerut-kerut mukanya berusaha.
Cip ni pun kecik sangat! Tweezer ni pulak macam nak tak nak aje mengepit. Susah betul nak kepit cip ni!
“Eii… dah kenapa susah sangat nak ambil ni?” Shila merungut. Geram pula dia. Dia tertunduk rapat ke papan elektronik itu.
“Woi, Shila!”
Shila tersentak! Spontan tangannya terlanggar bekas cip di atas meja. Prang!
“Mak kau, kambing kau! Mak kau kambing terloncat-loncat!” Shila terlatah.
Melihat cip-cip yang bertaburan di atas lantai, matanya membulat. Mulutnya terlopong.
“Hah?” Sambil menggelabah, Shila bingkas dari kerusi mahu mengutipnya. Namun, akibat kelam-kabut dan kalut, kakinya tersepak tiang meja. Berdebuk dia jatuh tertiarap.
“Uwaaa…” Shila rasa nak menangis. Dadanya terasa sakit. Dia terdengar suara orang ketawa. Dia mendongak.
“Yang menggelabah sangat ni kenapa?” Ezzat masih ketawa. Dia yang sergah Shila tadi. Dihampiri Shila yang sedang bangun sambil menepis tapak tangan dan uniformnya.
Shila monyok.
“Rajin sangat!” Ezzat menyekeh kepala Shila yang bertudung. Acah-acah marah.
“Sakitlah!” rungut Shila.
“Eleh…” cebik Ezzat.
Bukan kuat pun dia sekeh. Dia mencangkung mengutip cip-cip yang bertaburan itu.
“Dah tahu orang cepat kalut, sergah-sergah pulak.” Walaupun monyok, Shila turut mengutip cip-cip itu. Banyak gila kot!
“Dah waktu balik, balik ajelah,” balas Ezzat terus menunjal kepala Shila. “Degil!”
“Biarlah!” Shila mendengus. Dibetulkan tudung bawalnya yang terasa herot.
“Cepat kutip!”
Makin panjang muncung Shila. Berubah riak wajah Ezzat. Tak jadi dia nak berlagak serius. “Aloh… abang gurau pun tak boleh,” usiknya.
“Gurau ‘hek’ abang!” Dipukul bahu Ezzat dengan perasaan geram.
“Adeh!” Ezzat pura-pura rasa sakit, padahal tak rasa apa-apa pun.
“Orang nak cepat, dia datang kacau pulak. Yani dah tunggu Shila nak balik tu.”
“Yalah, yalah… abang tolong kutip,” kata Ezzat ketawa.
“Bila nak berubah perangai kalut tu? Sikit-sikit menggelabah. Sikit-sikit melatah.”
Shila mencebik sambil menjeling Ezzat.
“Amboi… jelingan maut. Tadi tergolek dog. Bertepek!” usik Ezzat sambil menunjuk cara Shila jatuh tertiarap. Mengekeh dia ketawa.
Shila tetap muncung. Langsung tak ketawa dengan jenaka Ezzat yang hambar itu.
Makin seronok Ezzat ketawa sambil tangannya mengutip cip-cip di lantai itu.
“Tempat kerja abang kan kat luar sana. Sibuk aje datang tempat Shila!”
“Alolo… janganlah marah. Okey, okey… abang tolong kutip sampai siap ya?” pujuk Ezzat sambil tersenyum.
Tak jadi Shila nak marah apabila melihat senyuman Ezzat yang berlesung pipit di pipi kiri dan kanan itu. Dia membantu Ezzat mengutip cip-cip itu secepat mungkin. Tak pasal-pasal bertambah kerjanya hari ini.

“MANA si Shila ni?” Liyani memanjangkan leher mencari kelibat sahabatnya itu. Tiada di mana-mana.
“Eh, kau orang nampak Shila tak?” Liyani bertanya pada rakan-rakan yang sedang mengambil barang di loker masing-masing.
“Entah,” balas salah seorang daripada mereka.
Yang lain-lain turut mengangkat bahu.
Baru saja Liyani mahu melangkah, Shila muncul. Kalut Shila menghampiri Liyani. Riak wajahnya menggelabah tak tentu arah.
“Kau pergi mana? Van dah tunggu tu! Karang kena tinggal pulak.”
Menggelabah Shila membuka lokernya dengan tangan terkial-kial memasukkan kunci.
“Apasal?” Liyani bertanya lagi. Tak puas hati Shila tak menjawab soalannya.
Kalut Shila mengeluarkan begnya dari dalam loker setelah berjaya dibuka. “Abang Ezzat datang sergah aku tadi. Habis berterabur cip. Kutip benda alah tulah yang sampai lambat ni.”
Liyani melepaskan nafas panjang.
“Tunang kau tu pun satu! Dah tahu kau ni jenis cepat menggelabah, huru-hara dengan perangai kalut, nak mengusik lagi buat apa?”
Rakan-rakan yang berada di sekitar loker mentertawakan Shila.

“Perempuan macam tu pun ada orang nak,” bisik Faizah kepada kawan-kawannya. Dia bukannya orang lain, rakan sekampung Shila dan Liyani juga.
“Bukannya cantik pun. Menggelabah aje lebih.” Kawan Faizah pula berbisik.
“Dah kahwin nanti tak tahulah macam mana dengan Ezzat. Kucar-kacirlah hidup dia,” sampuk seorang lagi dengan nada perlahan.
“Kan? Malang nasib Ezzat,” balas Faizah, cuba mengapi-apikan.
Shila dapat menangkap kata-kata pedih itu.
“Tapi Shila ni baik. Tak pernah mengata orang. Mulut tak macam mulut puaka! Ada orang tu… mulut dahlah macam puaka, perangai pun puaka jugak!” Liyani menyelar dengan suara yang agak kuat. Geram betul kalau ada orang mengata sahabatnya. Mengata depan-depan pulak tu!
“Eh, Shila… kau kahwin hujung minggu ni kan?” Seorang daripada mereka tiba-tiba bertanya. Buat-buat ramah. Tak nak disindir Liyani lagi sebenarnya.
“Haahlah!” sahut salah seorang yang berbisik tadi bagaikan baru teringat. “Kau tak ambil cuti kahwin ke, Shila?” Dipandang Shila konon-konon teruja.
Liyani menyaksikan aksi kawan-kawan Faizah itu dengan riak meluat. Propa!
“Hari ni baru hari Selasa. Nikah hari Sabtu,” celah Faizah. “Takkan Shila nak ambil cuti awal-awal. Kan, Shila kan?” Dia buat-buat baik hati pada Shila.
Shila mengangguk. “Cuti…” Dia tergagap-gagap nak menjawab. “Cuti hari Khamis ni.”
“Cepatlah, Shila! Van dah tunggu tu!” kata Liyani geram.
Si Shila ni dah keluarkan beg, tapi masih tercegat berdiri kat situ. Biarkan diri dikutuk pulak tu! Faizah dengan kawan-kawan pencacai dia tu propa aje lebih. Mengutuk tak kira depan atau belakang.
Shila berwajah kalut semula. “Okey, okey…”
Semasa dia mahu menutup pintu loker, dia terpandang sebungkus coklat. Lupa pulak aku nak makan coklat ni. Kalau simpan dalam loker, mesti cair.
Lalu, dia keluarkan bungkusan coklat tersebut. Diserahkan kepada kawan Faizah yang paling dekat dengannya. Yang mengatanya tadi. “Nah… ambillah.” Dia menghulur dengan senyuman.
Kawan Faizah itu terpinga-pinga. Namun, tangannya mengambil jua bungkusan tersebut.
Faizah menyenggol lengan kawannya dengan riak marah kerana mengambil pemberian Shila itu.
“Cepatlah, Shila!” desak Liyani.
Ya ALLAH… sempat lagi si Shila ni bagi coklat kat orang.
“Okey!” Kelam-kabut Shila menutup pintu loker yang agak tinggi separas kepalanya. Bap!
Pintu loker itu terhentak kepalanya sendiri. Menyeringai mukanya menahan pedih. Semua yang berada di situ menghambur ketawa. Faizah yang paling kuat ketawa. Sengaja dia kuatkan suaranya.
Liyani menggeleng. Tak tahu macam mana lagi cara nak mengubah perangai kalut Shila.
Shila menggosok-gosok kepalanya sambil menyeringai sakit.

****

Shila dan Liyani melangkah keluar dari bangunan kilang. Kelihatan van-van pekerja sedang menunggu di luar pagar.
“Jangan-jangan van kita dah tinggalkan kita. Driver van tu bukan kira! Tak menyempat-nyempat kalau nak balik.” Liyani merungut.
“Tu… dia ada lagi tu!” tunjuk Shila apabila matanya menangkap kelibat van yang biasa mereka naik dari jauh.
“Cepat!”
Berlari-lari mereka berdua. Takut kena tinggal.
Tidak semena-mena, sebuah motosikal Modenas Kriss warna biru berdesup merempit dan berhenti mengejut betul-betul di hadapan Shila dan Liyani.
“Oi, mak kau! Kumbang kau! Berdosa kau terbang! Woi, terbang!” Shila terlatah yang bukan-bukan.
Berdekah-dekah Ezzat ketawa. Lucu dia melihat muka Shila terkulat-kulat.
Bukan main terkejut lagi Shila dan Liyani. Mujur mereka sempat menghentikan langkah. Kalau tak…
Liyani bercekak pinggang geram. “Abang Ezzat! Orang nak cepatlah. Dia boleh buat lawak pulak! Ingat kelakar?” Marah betul dia.
Shila mengurut dada. Dijeling Ezzat dengan perasaan geram. Tadi mengusik, sekarang mengusik lagi!
Ezzat menghulurkan topi keledar kepada Shila. “Abang hantar. Jom!”
“Hah?” Shila tercengang.
“Eii…” Liyani menepuk kuat bahu Ezzat. Sakit hatinya.
Tak sempat Ezzat mengelak. Mukanya berkerut menahan pedih.
“Tadi tak nak cakap. Orang dahlah lambat ni.” Liyani menahan geram. Dipandang Shila. “Kau baliklah dengan tunang kau ni, Shila. Aku balik dulu. Bye!” Tanpa menunggu lama, Liyani terus berlari ke arah van.
“Eh!” Shila mahu bersuara, namun tak sempat. Dipandang Liyani sehingga kelibat sahabatnya itu melolos masuk ke dalam van.
“Nah!”
Shila memandang Ezzat yang masih menghulurkan topi keledar.
“Kesian Yani balik sorang-sorang.”
“Kan ramai dalam van tu?”
Shila memandang van pekerja yang dinaiki Liyani mula beransur pergi.
“Kita pergi minum jom.” Ezzat mempelawa dengan senang hati.
“Lain kali, abang cakaplah awal-awal kalau nak ajak balik sama-sama. Boleh Shila bagitahu Yani awal-awal. Kesian Yani. Dia sanggup tunggu Shila keluar lambat tadi tau!”
“Tiba-tiba abang terasa nak minum.” Ezzat beralasan sambil tersenyum manis, menggoda.
Nak tak nak, Shila menyambut topi keledar yang dihulur Ezzat.
“Nanti abang kena mintak maaf dengan Yani. Tahu?”
Ezzat mengangkat tangan kanan separas bahu. Aksi berjanji.
Barulah Shila menyarung topi keledar. Dia menyorokkan senyuman yang menguntum di bibir. Senyuman Ezzat tadi sebetulnya dah buat hati dia cair.

SHILA menyedut jus tembikai yang baru dihantar pelayan restoran itu di atas meja. Seketika mukanya muncung.
“Adoi… manisnya!” Tak jadi dia nak minum lagi.
Ezzat sudah ketawa berdekah. “Yang tak menyabar minum tu dah kenapa?”
“Haus.”
Tergeleng Ezzat melihat Shila dengan senyuman. “Kacaulah dulu air tu sebelum minum, Shila. Macam ni…” Lalu, dia menunjuk caranya. Dikacau gelas jus tembikainya dengan straw beberapa kali. Kemudian, barulah dia menyedut jus itu. “Hmm… sedap!”
Shila meniru tingkah Ezzat. Dikacau bersungguh-sungguh! Tiba-tiba…
Pap!
“Oh, kro… kro… kro… kopocot kau pokopot copokot!” Buntang mata Shila. Macam nak tersembul keluar. Gelasnya tumpah di atas meja! Meleleh air tembikai itu ke lantai. Dia mengelak-elak apabila lelehan air itu hampir terkenanya.
Cepat-cepat Ezzat mencapai tisu di atas meja. Diletakkan di atas lelehan air supaya tidak merebak. “Eh, mak cik… tadi kacau air ke, bertumbuk?” Dia boleh pula buat gurau.
Padahal, Shila dah pucat. Takut kena marah dengan pelayan restoran. Nak telan air liur pun dia tak mampu.
“Dik!” Ezzat menggamit pelayan tadi. “Tolong lap ni, dik. Dia tumpahkan,” kata Ezzat sambil menuding ke arah Shila selamba.
Makin cuaklah Shila. “Tak… tak… tadi… saya… saya…” Tergagap-gagap dia nak menerangkan.
Terkemut-kemut bibir Ezzat nak ketawa.
“Tadi… masa nak… nak kacau…” Shila masih mahu menerangkan walaupun gagap.
“Buatkan satu lagi jus tembikai, dik.” Ezzat memintas kata-kata Shila. “Maaf ya? Dia tak sengaja.” Dia memohon maaf bagi pihak Shila.
“Tak apa, tak apa…” Pelayan itu memaniskan wajah. Entah-entah dalam hati mesti menyumpah seranah.
Shila memandang Ezzat setelah pelayan itu berlalu. “Abang…”

“Tak ada apalah! Bukan sengaja pun.”
Kata-kata Ezzat itu menenangkan hati Shila. Tetapi dia tetap rasa bersalah. Tadi, beberapa orang pelanggan restoran itu memandang mereka. Mesti Ezzat malu.
“Lepas ni, hati-hati. Tak apa… belajar dari kesilapan.” Ezzat mengukir senyuman lebar. Dia tak nak Shila terlebih risau.
Setelah mengelap tumpahan air, pesanan air Shila pun sampai.
Perlahan-lahan Shila mengacau jus tembikai itu dengan straw. Seketika, barulah dia minum. “Hmm… sedap!” Senyumannya mula menguntum.
Senang hati Ezzat. Shila dah tak muram lagi. Diperhatikan tunangnya itu menyedut minuman semula.
“Shila…” panggilnya dengan nada sayang.
Shila mendongak memandang Ezzat tanpa melepaskan straw dari bibir. Matanya bulat.
“Dah siap ke persiapan untuk majlis kita?”
Barulah Shila berhenti minum. Dia mengangguk.
“Ada yang dah siap. Ada yang belum. Malam ni, Shila tolong mak buat bunga telur. Yani kata dia nak datang tolong jugak.” Shila bercerita dengan perasaan teruja.
Senyuman Ezzat meleret. Lagi beberapa hari mereka akan dihalalkan dengan ikatan pernikahan.
“Abang Ezzat jangan risau. Kak Ana kata dia ambil cuti awal nak tolong buat persiapan.” Shila merujuk pada satu-satunya kakak yang dia ada.
“Hari Khamis ni Shila dah cuti. Semuanya Shila siapkan nanti.”
Ezzat mengangguk. Lega mendengarnya. “Esok Shila kerja lagi kan? Shila balik kerja dengan abanglah kalau macam tu.”
“Okey!” Wajah Shila makin cerah ceria.
Ezzat menghirup minumannya.
“Abang…”
“Hmm…”
Shila terfikir-fikir seketika. “Err… nak tanya boleh?”
Ezzat menjongket kening, menyuruh Shila terus bertanya.
“Ada orang cakap kalau abang kahwin dengan Shila, nanti hidup abang kucar-kacir.”
“Siapa cakap?” Meluat Ezzat mendengar cakap-cakap begitu.
“Budak-budak kilang.” Lurus Shila memberitahu apa yang didengar ketika di loker tadi.
“Kalau Shila dengar ada orang cakap macam tu lagi, abang nak Shila tampar dia.”
“Hisy!” Spontan Shila buat muka keruh. “Tak baik.”
“Suka-suka dia aje nak mengata orang. Lagi? Dia orang cakap apa lagi?” Panas hati Ezzat.
“Ada orang cakap, perempuan macam Shila pun ada orang nak. Shila ni tak cantik! Menggelabah aje lebih!” kata Shila, langsung tak berselindung. Diberitahu segala yang dia dengar. Memang perangai lurus bendul!
“Alah, Shila… dia orang tu jealous! Shila bukannya tak cantik. Cantik apa. Sweet.”
Ezzat meneliti raut wajah Shila yang putih bersih. Berlekuk lesung pipit di pipi kanan kalau Shila senyum. Cuma Shila tak reti bergaya. Pakai tudung bawal pun herot. Mekap langsung tak pakai. Pendek kata, jenis yang tak pandai bergaya.
“Kenapa Abang Ezzat nak kahwin dengan Shila? Shila ni cepat kalut. Menggelabah tak tentu pasal. Melatah pulak tu!” tanya Shila lagi. Dia pun pelik sebenarnya. Tak sangka cepat pulak dia berjodoh.
“Shila nak tahu tak? Shila punya kalut dengan menggelabah melatah tulah yang buat abang terhibur. Abang rasa kelakar. Ceria hidup abang bila dengan Shila.” Ketawa Ezzat berderai. Teringat dia peristiwa Shila jatuh tertiarap kat kilang tadi. Kesian memanglah kesian. Tapi rasa kelakar pun ya jugak!
Menguntum senyuman Shila. Bahagia bila Ezzat cakap begitu.
“Alah, Shila… abang pun bukannya handsome.”
Shila tahu Ezzat bukanlah kacak mana pun. Tapi dia tak pandang paras rupa langsung! Yang penting… hati.
“Habis, kenapa Shila nak kahwin dengan abang? Abang ni dahlah kerja kilang aje. Sijil SPM tak laku. Harta tak ada. Harapkan motor buruk tu ajelah yang abang ada. Tak handsome pulak tu!” Ezzat menduga Shila.
“Sebab abang baik, bertanggungjawab…” Makin meleret bibir Shila. “Senyuman abang manis. Shila suka tengok abang. Kulit sawo matang. Muka bersih tak ada misai tak ada janggut. Ada lesung pipit. Comel…”
Kembang hati Ezzat dipuji. Tersenyum-senyum dia bangga. “Dah kahwin nanti abang cari duit banyak-banyak, okey?” Bersemangat dia nak pegang status suami.
“Hah, abang!” Tiba-tiba Shila tepuk tangan. Teringat sesuatu. “Mak tanya, baki duit hantaran enam ribu tu abang bagi masa nikah ke?”
Ezzat terdiam seketika sebelum teragak-agak mengangguk.
“Sebab mak dah ambik barang kat kedai runcit Kak Tipah. Hutang dulu. Lepas majlis baru mak bayar bila dapat duit hantaran tu. Untuk mak andam, pelamin, baju semua tu pun… hutang dulu.”
Ezzat mengangguk lagi. Diam dia berfikir.
“Dua ribu yang abang bagi dulu dah habis beli macam-macam.”
Terhembus nafas panjang Ezzat. “Jom abang hantar Shila balik.”
Cepat-cepat Shila menghabiskan minumannya.
Ezzat bingkas membayar di kaunter.
Setelah selesai, mereka berdua beriringan keluar dari restoran tersebut. Langkah Shila laju mendahului Ezzat menuju ke arah deretan parkir motosikal di hadapan bangunan itu. Terus dia mendapatkan motosikal Ezzat.
Setelah keluar dari restoran, mata Ezzat tertancap ke arah hujung deretan bangunan kedai itu. Langkahnya terhenti. Kedai nombor ekor itu direnung. Lama.

Shila baru perasan yang Ezzat masih berdiri di hadapan restoran. Dia duduk di atas motosikal sementara menunggu Ezzat. Dia pelik melihat Ezzat berdiri tercegat tak bergerak-gerak sambil merenung ke satu arah. Diperhatikan tunangnya itu. Dia meninjau ke arah yang dilihat Ezzat. Tak tahu apa yang menjadi fokus pandangan lelaki itu ketika ini.
“Kak, boleh ke tepi tak?”
Spontan Shila berpaling ke arah suara itu. Seorang lelaki muda berdiri di tepi motosikal.
“Tu motor saya, kak… yang akak duduk tu.”
“Hah?” Mendadak Shila melompat dari motor tersebut.
Tak semena-mena motor itu bergoyang-goyang, lalu jatuh menimpa motor di sebelahnya. Motor itu pula jatuh menimpa motor di sebelahnya pula dan jatuh ke motor seterusnya dan seterusnya. Bam! Bam! Bam!
Membulat mata Shila terkejut. Mulutnya melopong. Menggelabah dia berlari cuba menyelamatkan motor-motor itu dari terus jatuh, namun dia tak mampu berbuat apa-apa sehinggalah motor paling hujung turut jatuh menyembah bumi.
Ezzat yang mendengar bunyi itu mengalihkan pandangan ke arah Shila. Tercengang dia melihat motor-motor di situ jatuh menyenget. “Ya ALLAH…”
Pucat wajah Shila memandang Ezzat. Memohon diberi pertolongan.
Tergeleng-geleng Ezzat. Hai, Shila… Shila…

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/book/info/79972/Tunang-Tak-Guna

REVIEW AWAK JANGAN NAKAL

9789831249444-medium
EBUKU AWAK JANGAN NAKAL OLEH MURNI AQILA

Pernah dengar pasal Geng Mat Ngek? Ya, memang Ayu jatuh cinta dengan Shahrul. Tapi Shahrul tak senakal Geng Mat Ngek yang suka mengusik, menyakat, membahan dan mengenakan kaum perempuan. Lebih-lebih lagi ketua Geng Mat Ngek, Jeffry. Nakalnya… Bencinya dia melihat Jeffry.

Namun, apa yang kita harapkan adakala lain yang jadi. Disebabkan berada pada masa, tempat dan keadaan yang salah, Ayu terpaksa menerima Jeffry sebagai suaminya. Perkara yang tak pernah dibayangkan terjadi dalam hidupnya, membuatkan dia sengsara. Hubungannya dengan ibu menjadi dingin. Terpaksa pula berhadapan dengan keluarga Jeffry yang kacau-bilau. Argh… tertekan!

Macam manalah hidup dia selepas sebumbung dengan Jeffry? Sedangkan dia masih mengharapkan Shahrul.


 

Kadang- kadang kita suka orang lain, tapi kahwin dengan orang lain. Dalam novel ini,  kita harapkan keajaiban akan berlaku dalam hidup. Suka orang itu, nak sehidup semati dengan orang itu. Namun, itu semua terserah kepada takdir yang menentukan.

Admin suka cerita ni sebab, jalan cerita dia tak heavy dan dekat dengan pembaca kerana setting dalam novel, mudah untuk digambarkan. Kisah cinta Ayu terpaksa menerima Jeff walaupun masih menunggu Shahrul. Mampukah kamu ubah haluan cintamu Ayu terhadapku! Bila admin baca, terus admin membayangkan kalau ia terjadi kepada diri admin sendri.

 

Untuk mengetahui kesudahan cinta mereka, dapatkan ebuku penuh di laman web kami.

eBook penuh boleh didapati di E-Sentral.com
https://www.e-sentral.com/search/byid/66581/awak-jangan-nakal